Pasukan Gen-13 MATRI Seri 2 Sama Menentang G-16 di Eco Ardence Arena
By Syed Ahmad Fathi - Sunday, July 03, 2022
Setia Alam / 2 Julai 2022 - Pasukan Gen-13 MATRI meneruskan saingan persahabatan bagi tahun 2022 dengan menentang Pasukan Gen-16 pada Sabtu malam di Eco Ardence Setia Alam Football Arena. Persediaan pasukan Gen-13 untuk perlawanan ini agak tempang kerana pasukan kehilangan banyak pemain-pemain utama. Kapten Gen-13, Najmi Abdul Rahim sendiri tidak mahu turun beraksi atas alasan kerja. Ketika dihubungi beliau berkata:
"Maaf ana sibuk urusan kerja, nak kejar cut-off time siapkan barang" katanya.
Sementara itu pemain-pemain lain seperti Azarudin Rahim yang menjadi harapan untuk menjaringkan gol turut tidak dapat turun. Pemain tonggak pertahanan Gen-13, Ahmad Faheem Islahi (Apoy) yang terkenal dengan teknik larian lidi pula bertarung dengan kecederaan akibat dari 'lutut meletup'. Manakala atlit Mesir, Naqiuddin Adam masih sakit kaki dan sedang diurut oleh isterinya. Hal ini menyebabkan pasukan Gen-13 terpaksa mengambil beberapa pemain import untuk menguatkan barisan pertahanan. Manager Gen-13, yang mahu namanya dirahsiakan dan hanya mahu dikenali sebagai A.A. Zakaria ketika dihubungi berkata:
"Sedih aku kawan-kawan banyak tak support, penat aku booking padang. Lagi sedih apabila Najmi tak nak main, banyak kenangan susah senang bersama dahulu di UiTM, sanggup dia mengutamakan kerja dari sahabat-sahabat, takpelah kita cuba yang terbaik" katanya sambil bergelinangan air mata.
Sementara itu, Ustaz Syafiy Zakaria yang mengeluarkan dalil, "Riadhah bukan hanya main bola, main dengan anak-anak dan isteri pun riadhah", telah tiba-tiba muncul dengan stroller bersama anak-anak. Beliau sebelum ini tidak meletakkan nama dan mahu membuat penampilan kejutan. Para pemain Gen-13 terpaksa membuat-buat terkejut bagi meraikan beliau. Sementara itu, Muzakkir Ridzuan yang sebelum ini meletakkan nama, tidak dapat bermain akibat tidak fit dan mengalami hamstring, beliau cedera selepas bermain dengan Azizan Osman semalam.
Antara pemain yang diimport kali ini adalah Ashraf Gattuso Manaf, Aiman Ronaldo Nasaruddin, Raif Takfunction Abdul Rahman, Faiz Zaki, dan juga bekas last back UTM, Azreen Abdul Aziz. Pasukan Gen-16 pula tampil dengan ramai pemain-pemain muda yang laju dan bersemangat dengan mengenakan jersi hipster berwarna warni.
Barisan Pemain Gen-13 yang dipertaruhkan. |
Sejurus pengadil meniup wisel bagi sepak mula, Pasukan Gen-13 pantas mengatur serangan bagi mendapatkan gol yang pertama. Usaha mereka hadir awal apabila mereka berjaya mendapatkan gol pertama pada suku masa yang pertama. Gol ini adalah hasil dari seorang pemain berbakat dan begitu fit sekali yang bermain persis seperti Andres Iniesta iaitu Syed Ahmad Fathi. Beliau memanfaatkan sepakan sudut yang tidak berjaya ditangkap oleh keeper lawan, Ihsan Rosli. Walaupun diasak keras oleh dua pemain pertahanan, Fathi bijak menggunakan positioning yang baik dan merembat kencang bola masuk ke dalam gawang lawan. Gol cantik ini telah membuatkan pasukan Gen-16 terpana, sementara rakan-rakan Gen-13 cemburu.
Pasukan Gen-16 yang mula tersedar akan kelicikan abang-abang senior mula melakukan serangan-serangan yang didalangi oleh Muhammad Rafiqin, Mustaqim Anuar, Ahmad Qasemi, Syed Ahmad Islami, dan Ahmad Ramadhan. Namun serangan-serangan mereka ini mudah dipatahkan oleh barisan pertahanan Gen-13, terutamanya Umair Suhaimi yang menggunakan teknik pertahanan yang dinamakan sebagai "jurus cinta dari Seremban". Barisan pertahanan dibantu oleh Ahmad Abdul Hadi, Faiz Zaki, dan Aiman Nasaruddin. Sementara itu, lastback import Gen-13, Azreen Abdul Aziz bekerja dengan begitu bijak untuk memastikan semua serangan Gen-16 masuk ke dalam perangkap off-side. Keeper dari Sepanyol, Muhammad Izzat bin Mat Suki pula berjaya mengekalkan prestasi clean sheet. Ketika dihubungi beliau berkata:
"Depa tak dapat try banyak sangat, aku ingat nak beli kati Ikea tidur depan gol" katanya bangga.
Kapten Gen-13, Syafiy Zakaria pula asyik dengan taktik through pass beliau kepada Ahmad Bashier Nasharudin. Walaupun taktik ini terbukti tidak pernah berjaya, Syafiy tidak mahu menggunakan taktik baharu kerana kekeringan idea. Bashier terus berlari-lari mengejar bola tanpa berjaya menjaringkan sebarang gol, kemarau gol beliau terus gersang seperti gersangnya hati Syauqi Murshid menanti cinta dari seorang cikgu.
Keadaan ini mula berubah apabila Syauqi mula merancang strategi bersama Ashraf Gattuso Manaf. Pada suku permainan ketiga, Ashraf telah melakukan satu through pass jauh ke dalam kawasan pihak lawan. Lorongan Ashraf ini telah digunakan oleh Syauqi Murshid yang menggunakan teknik larian ayam cirit untuk mengejar bola. Apabila Syauqi berjaya memasuki petak penalti lawan dan diasak oleh bahagian pertahanan, Syauqi pantas melakukan lakonan diving dengan 3 kali golekan seperti terjatuh dari motor. Lakonan Syauqi ini yang lebih hebat dari filem Mat Kilau berjaya mengaburi mata pengadil yang memberikan Gen-13 sepakan penalti.
Lakonan diving Syauqi Murshid (Chot) berjaya mendapatkan sepakan penalti. |
Sepakan penalti ini telah membuatkan pemain-pemain Gen-16 begitu marah sekali dan mengerumuni pengadil untuk protes. Kapten Gen-16, Mustaqim Anuar bersama Muhammad Rafiqin dengan bertubi-tubi mempersoalkan keputusan pengadil, para pemain lain turut bersama memarahi pengadil. Pengadil yang geram dengan protes ini telah berkata:
"Keputusan saya adalah muktamad. Jangan salahkan saya, kamu yang tak pandai bermain. Kalau kamu pandai main mereka tak akan dapat penalti".
Pada mulanya Gen-13 ragu-ragu siapa yang patut mengambil sepakan penalti. Syauqi yang sudah penat berlakon menolak untuk mengambil penalti kerana tidak sanggup menghadapi tekanan. Oleh kerana kasihan kepada Bashier yang kelihatan murung kerana kemarau golnya, Gen-13 memberikan laluan kepada Bashier untuk mengambil penalti walaupun beliau mempunyai rekod penalti yang buruk di Manjung. Tetapi ternyata kali ini beliau berjaya menggunakan kaki gersangnya untuk menewaskan penjaga gol lawan, Ihsan Rosli. Jaringan penalti Bashier memberikan keselesaan kepada pasukan Gen-13 untuk mendahului 2-0.
Permainan diteruskan dengan pasukan Gen-16 semakin terdesak untuk mengejar jaringan. Para penyokong Gen-16 telah berteriak "Biar seri jangan kalah!". Sementara itu, Gen-13 pula telah membariskan penyerang-penyerang segar baharu iaitu Amin Roseli, Abbas Salimi, dan Saiful Islam Izraei. Namun trio ini tidak berjaya melepasi kubu Gen-16 yang telah mengambil iktibar selepas lolos 2 gol. Saiful Islam juga melakukan kesilapan mudah ketika baru masuk dan hampir memberikan gol pada pihak lawan sebelum diselamatkan oleh keeper Spain, Izzat Mat Suki. Sementara itu, pemain dari Putrajaya, Hanif Hilmi seperti biasa bermain dengan passing fancy dan gagal memberikan impak positif pada pasukan, sementara Hanif Ismail pula kelihatan berat dan baloq liat untuk mengejar bola. Pemain import Gen-13, Muhammad Raif juga gagal menjaringkan sebarang gol dan kelihatan tidak begitu function, ini berbeza dengan abangnya, Rafiqin yang diimport sebelum ini.
Peluang untuk Gen-16 hadir pada suku terakhir permainan apabila mereka mendapat sepakan percuma yang diambil oleh Ahmad Qasiemi Fisal. Qasiemi bijak untuk mengelirukan keeper Gen-13, Ahmad Afifi Zakaria dengan menendang terus ke gawang gol. Afifi yang beraksi seperti Loris Karius, gagal menangkap bola dengan sempurna. Beliau memberi alasan bahawa lampu sportlight Eco Ardence terlalu terang dan menyilaukan menyebabkan beliau sukar menangkap bola. Kesilapan Afifi ini pantas dihidu oleh Rafiqin Abdul Rahman yang masih geram dengan pengadil, beliau meluru laju penuh emosi dan memanfaatkan bola muntah dari Afifi untuk merapatkan jaringan 2-1.
Afifi Zakaria gagal menangkap kemas bola kerana silau lampu sportlight. |
Jaringan Rafiqin telah menyebabkan Gen-13 tersentak, mereka yang sebelum ini bermimpi dapat menang mudah melawan adik-adik kini berhadapan dengan kemungkinan jaringan disamakan. Memburukkan lagi keadaan, kapten Gen-13, Syafiy Zakaria memutuskan untuk keluar pada saat-saat genting ini dan membiarkan pasukan tergantung di awang kayangan. Pada saat-saat akhir, Gen-16 yang semakin terdesak telah menggandakan serangan dan menggunakan segala chakra yang mereka ada. Hasilnya sebelum wisel penamat dibunyikan, pemain pantas Gen-16, Abd Alim berjaya menggelecek bola melepasi pertahanan kiri Gen-13, beliau terus meluru dan melepaskan rembatan kencang ke gawang gol Gen-13. Penjaga gol Gen-13, Afifi Zakaria cuba menyelamatkan gawang gol dengan terbang untuk menepis namun tidak berjaya. Jaringan Abd. Alim berjaya mengikat jaringan 2-2 hingga ke wisel penamat.
Keputusan seri 2-2. |
Selepas tamat permainan, pasukan Gen-13 telah meraikan keserian perlawanan mereka dengan jamuan ringan di Restoran Nasi Kandar Takbir yang telah diperkenalkan oleh Muzakkir Ridzuan. Restoran ini ternyata sangat efisien dan dapat menyiapkan pesanan pelanggan selepas 3 jam.
Terima kasih diucapkan kepada barisan pemain dan penganjur yang telah terlibat dalam perlawanan ini. BKK mewakili Gen-13 ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada wakil-wakil Gen-16 terutamanya kepada Muhammad Rafiqin dan Ekhwan Maznee atas kerjasama yang diberikan. Kami juga memohon maaf atas sebarang kesilapan sepanjang perlawanan berlangsung. Moga ukhuwwah adik-abang kekal bersama til jannah. - BKK
0 comments