Memaparkan catatan dengan label Semasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Semasa. Papar semua catatan

14 Julai 2013

Sokong Produk Melayu Bumiputra/Muslim..



Mi segera:
1.Saji Mee (Felda)
2.Agromas (Fama)
 3.Adabi 4.Faiza
Minyak:
1.Saji
2.Tiara
 3.Alif
4.Olife
5.Adela Sunflower/Canola
6.Cap Tiga Udang (Jenis Paket – Felda)

Perencah dan Rempah Ratus anak tempatan melayu jati bumiputera Islam:
1.Brahim's
2.Rasabonda
3.Faiza
4.Mak Siti
 5.Agromas
6.Ihsan & Son
7.Cap O
8.Peladang
9.Puteri Ayu
10.One
11.Sherwan
 12.Al-waqiah
13.HPA
14.Sernan
15.Supergh
16.Aween
 17.Suri
18.Iman's
19.Cap Bunga Ros
20.SY Foods
21.Seri Tanjung

Kicap/sos:
1.Tamin
2.Cap Kipas Udang Hablal's
3.Jalen
4.Mudim
5.Faiza
6.Agromas
7.Bumi Hijau

Susu Manis:
 1.Saji Susu Pekat
2.Saji Susu Cair
3.Alif Susu Pekat
4.Alif Susu Cair

Mayonis:
 1.SajiMayo

Tepung yang selamat digunakan dan tiada bahan peluntur clorox adalah:
1.Tepung Faiza
2.Tepung Cap Bidara
3.Tepung 1 Malaysia
4.Tepung HPA

 Makanan Beku anak tempatan melayu jati bumiputera Islam:
1.Ramly
 2.Azmy
3.Enna
4.Makanan Beku Runcit Az-Zain
5.Ayamas

Sardin melayu jati bumiputera Islam:
1.King Cup *pastikan King Cup made in Malaysia Sahaja
2.Pertima
 3.Agromas (Fama)
4.HPA
5.Classfoods Sardin/Mackerel
6.Adabi

Garam anak tempatan melayu jati bumiputera Islam:
1.Garam Faiza
2.Garam Halagel HPA
3.Garam Tamin
4.Garam Coop 1 Malaysia
5.Garam Gu Awa 593
6.Garam Nevgel
7.Garam Himalaya Sandora

Ubat gigi anak tempatan melayu bumiputera Islam:
1.Mu'min
2.Halagel
3.Miswakgel
4.Najwa



 

11 Oktober 2011

Gaji, elaun Ahli Parlimen ditarik balik

KUALA LUMPUR: 11-10-2011; Kerajaan semalam menarik balik cadangan untuk menaikkan gaji dan elaun 222 Ahli Parlimen daripada peruntukan Bajet 2012, Jumaat lalu, setelah mendapat bantahan daripada empat wakil rakyat pembangkang.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, berkata penarikan itu membabitkan
peruntukan sebanyak RM30 juta
yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan Bajet 2012, Jumaat lalu.
Beliau berkata,
empat pemimpin pembangkang yang membantah kenaikan itu adalah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali; Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.
“Saya gagal buktikan kepada Perdana Menteri bahawa cadangan ini mendapat sokongan penuh daripada Ahli Parlimen sendiri,” katanya di lobi Parlimen, di sini.

Jumaat lalu, Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2012 di Dewan Rakyat mengumumkan bahawa kerajaan akan mengkaji semula elaun Ahli Parlimen sekiranya mendapat sokongan penuh wakil rakyat kerajaan, pembangkang dan Bebas. Nazri berkata, cadangan menaikkan gaji dan elaun Ahli Parlimen adalah tepat pada masanya memandangkan gaji wakil rakyat di negara ini jauh lebih rendah jika dibanding dengan negara jiran lain.

Ahli Parlimen negara ini memperoleh RM6,500 sebulan dan paling rendah berbanding Singapura (RM33,589), Indonesia (RM18,111) dan Thailand (RM11,534).
Katanya, pembatalan kenaikan gaji itu membabitkan kajian berhubung peruntukan elaun pegawai penyelidik dan pembayaran kos sewa pejabat setiap wakil rakyat.

“Pembangkang ‘buka mulut’ (bantah) terlalu awal sebelum kita jelaskan kandungan pakej kajian berkenaan yang merangkumi pelbagai kemudahan yang diperlukan oleh seorang wakil rakyat.

“Sebenarnya kenaikan gaji Ahli Parlimen yang dicadangkan tidak begitu banyak, mungkin dalam lingkungan RM1,000. Tapi kita banyak fokuskan mengenai elaun sampingan lain seperti elaun pegawai penyelidik, bayaran pejabat serta gaji pemandu,” katanya. Kali terakhir gaji dan elaun Ahli Parlimen dikaji semula ialah pada 2005 yang menyaksikan gaji pokok RM6,508.59 berbanding RM5,916.90 pada 2002.

Selain itu, Ahli Parlimen juga diperuntukkan elaun pemandu RM1,200 sebulan. sumber bharian

10 Oktober 2011

Bajet 2012

Disini dipetik beberapa intipati bajet 2012 yang dibentangkan PM baru-baru ini

Kakitangan awam.
Kerajaan akan wujud lebih banyak mata gaji. Ini bermakna, penjawat awam akan mendapat gaji maksimun lebih tinggi, sehingga kepada 37.7 peratus. Kakitangan awam akan mendapat kenaikan gaji antara RM80 hingga RM320.
Tambahan bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM 500 ringgit untuk penjawat awam dan bayaran bantuan RM500 ringgit kepada pesara kerajaan. Bayaran ini akan dibuat bersekali dengan gaji bulan Disember 2011. Umur wajib bersara dinaikkan daripada 58 kepada 60 tahun.

Subsidi

Beras - Bagi setiap kilogram beras super tempatan, harga asal RM2.40, rakyat hanya bayar RM1.80. Subsidi kerajaan 60 sen.

Gula - bagi setiap kilogram gula, harga asal RM2.50, rakyat hanya bayar RM2.30. Subsidi kerajaan berjumlah 20 sen.
Minyak masak - harga RM4.75, rakyat hanya bayar RM2.50

Tepung - harga asal RM1.90, rakyat bayar RM1.35

Simpanan KWSP

Caruman majikan dinaikkan daripada 12 peratus kepada 13 peratus bagi pencarum yang menerima gaji bulanan RM5,000 dan ke bawah. Langkah ini akan memanfaatkan seramai 5.3 juta pencarum KWSP.

Kos Sara Hidup

Bantuan RM500 kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ringgit dan ke bawah. Pemberian ini melibatkan peruntukan sebanyak 1.8 bilion ringgit.

Untuk menerima bantuan ini, ketua isi rumah yang layak hendaklah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri sebagai agensi pelaksana. Bantuan ini akan disalurkan melalui bank dan Pejabat Pos;

Pemberian baucar buku bernilai RM200 ringgit kepada semua pelajar warganegara Malaysia di institusi pengajian tinggi awam dan swasta tempatan, matrikulasi serta pelajar tingkatan enam di seluruh negara.
 

Sekolah

Bantuan persekolahan RM100 ringgit diberi kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima di seluruh negara.

Kerajaan memansuhkan yuran pendidikan rendah dan menengah di semua sekolah kerajaan. Pada masa ini yuran dikenakan sebanyak rm24.50 bagi sekolah rendah dan rm33.50 bagi sekolah menengah untuk bayaran kokurikulum, kertas ujian dalaman, yuran Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia dan insuran takaful. Semua ini bermula penggal sekolah tahun depan.
sumber


05 Oktober 2011

Harga emas jatuh....

Pengukuhan nilai dolar AS antara punca penyusutan hampir 20 peratus

ALIRAN kenaikan jangka panjang emas terhenti selepas mencapai kemuncaknya tiga minggu lalu dengan kejatuhan hampir 20 peratus daripada paras tertinggi yang dicatat pada 6 September lalu.

Kontrak semasa emas semalam terus mengalami penyusutan dengan kejatuhan 5.8 peratus kepada AS$1,561.69 seauns kejatuhan harian terbesar sejak Oktober 2008.
Penganalisis berkata, kejatuhan mendadak harga logam berharga itu sejak kebelakangan ini adalah berikutan pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS), penjualan oleh dana lindung nilai untuk mendapat tunai bagi menampung kerugian di pasaran lain serta ketidaktentuan terhadap daya tarikan emas sebagai instrumen pelaburan selamat.
Bagi kontrak semasa perak, yang mana harganya lebih berkait rapat dengan pertumbuhan ekonomi susulan kegunaan dalam industri, mencapai paras terendah sejak Januari dan susut 45 peratus daripada paras tertinggi yang dicatat pada April.

Ahli Ekonomi Kanan Penyelidikan UOB, Alvin Liew, berkata sebelum ini tunai digunakan untuk melabur dalam komoditi khususnya emas dan perak.

Bagaimanapun, katanya emas kini bukan lagi instrumen menarik untuk melindungi pelaburan daripada inflasi susulan masalah hutang Eropah dan jangkaan inflasi Amerika Syarikat (AS).

Kedua-dua masalah itu menyaksikan dana mengalir kembali ke AS, yang mana menyaksikan peningkatan semula nilai dolar.
Namun begitu, dalam jangka panjang, emas masih memiliki nilainya yang tersendiri dan harganya akan meningkat dalam tempoh akan datang, jelasnya.

Bagi Ketua Penyelidikan Komoditi, Pengurusan Kekayaan UBS, Dominic Schnider, berkata dari sudut teknikal, emas masih belum memasuki jajaran terlebih jualan dan secara keseluruhannya aliran kenaikan kini semakin pudar.

Harga komoditi itu dijangka meningkat semula kerana sebelum ini, kami sudah menyaksikan peningkatan permintaan fizikal yang kukuh terhadap komoditi itu khususnya dari Asia dan secara bermusim, ia akan memasuki tempoh permintaan tinggi, katanya.

Pakar Ekonomi Serantau Penyelidik CIMB, Song Seng Wun, berkata ramai yang memperkatakan mengenai risiko emas akan memasuki jajaran terlebih belian, namun ia meningkat naik sejak empat tahun lalu.

Dengan tekanan kemelesetan meningkat, berlaku peralihan pelaburan kepada instrumen yang benar-benar selamat iaitu dolar AS dan Perbendaharaan AS, katanya.

Sementara itu, Penganalisis Phillip Futures, Ong Yi Ling, berkata kini harga emas sudah susut ke bawah paras purata 100 hari dan 150 hari dan ia memberi isyarat aliran penurunan akan berlaku dalam jangka pendek.

Untuk jangka panjang, selepas harganya kembali stabil dan keadaan kembali normal, instrumen pelaburan selamat itu akan kembali meningkat, katanya. Reuters

sumber



24 Ogos 2011

Saat Akhir Ramadan...di Makkah.

MAKKAH: Ratusan ribu jemaah dari seluruh pelusuk dunia mula membanjiri Masjidilharam untuk mengerjakan ibadah umrah, menunaikan solat Tarawih dan qiamullail bagi mencari keberkatan malam Lailatulqadar.
Jabatan Pertahanan Awam di Makkah memberikan akhbar Arabnews peluang yang sangat jarang untuk merakamkan gambar Masjidilharam pada malam 21 Ramadan yang jatuh pada Sabtu melalui helikopter jabatan itu dengan inisiatif Panglima Tentera Udara, Mejar Jeneral Muhammad al Harbi.

Misfala, Kuday, Ajyad, Hafair, Hajoun dan Aziziya, merupakan kawasan yang sesak dengan kenderaan membawa jemaah dan orang ramai yang mahu beribadah.

Sebaik saja Ramadan menghampiri fasa terakhir masjid di seluruh Arab Saudi mula menganjurkan ibadat qiamullail termasuk solat malam.

“Solat istimewa ini dilaksanakan pada malam 10 hari terakhir Ramadan mulai jam 1 pagi,” kata imam di Masjid Sheebani di daerah Nasseriyah, Riyadh.
Tempoh 10 malam terakhir Ramadan lebih penting kerana al-Quran kali pertama diturunkan kepada Rasulullah SAW pada malam Lailatulqadar. Justeru, amalan baik umat Islam akan diberi ganjaran besar, kata imam itu.

Kementerian Hal Ehwal Islam, Wakaf dan Dakwah mengeluarkan arahan supaya semua masjid dibuka untuk jemaah sepanjang malam pada malam 10 Ramadan terakhir.
Imam berkata masjid dibuka kepada orang ramai pada waktu malam untuk mereka membaca al-Quran dan melaksanakan solat sunat. – Agensi - http://www.bharian.com.my/

22 Ogos 2011

Kristian ganggu akidah Muslim

Oleh Syed Mu’az Syed Putra
KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) mendakwa kumpulan-kumpulan Kristian “mempergunakan” Perlembagaan Persekutuan dan hak asasi manusia untuk menyebarkan agama mereka kepada umat Islam.

Tegas Presidennya Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata, kumpulan-kumpulan Kritian juga berselindung di sebalik badan-badan kebajikan dengan tujuan yang sama.
“Kita percaya bahawa ini adalah hasil dan natijah dan di belakangnya tentu ada perancangan yang tersusun rapi untuk mengkristiankan dan mengeksploitasi kebebasan beragama dalam Perlembagaan dan di atas nama hak asasi manusia.
“Tanpa kita sedari sebenarnya mereka (kumpulan Kristian) menggunakan peruntukan Perlembagaan dan hak asasi manusia untuk mencucuk jarum permusuhan dan merosakkan akidah umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan.
Justeru jelas beliau, kontroversi pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama dekat Petaling Jaya membuktikan agenda memurtadkan umat Islam wujud.
“Hasil siasatan Jais menjadi bukti jelas bahawa kegusaran umat Islam selama ini terhadap aktiviti memurtadkan bukan lagi menjadi perkara yang tersembunyi.“Isu ini menjadi sensitif bagi umat Islam bukan sahaja kerana kerosakan akidah yang berlaku di kalangan masyarakat Islam yang hanya tinggal pada nama sahaja tetapi lebih penting daripada itu, kita perlu memahami bahawa usaha tersusun pihak bukan Islam yang mengancam keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.
Tegas Abdullah Zaik, kumpulan Kristian telah melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang tidak membenarkan agama lain disebarkan kepada umat Islam.
“Pada hari ini, kumpulan Kristian berselindung di sebalik alasan kebebasan beragama. Sebenarnya tindakan mereka terang-terang telah melanggar peruntukan Perlembagaan di dalam Perkara 11 (4) yang tidak membenarkan sebarang aktiviti mengajak orang Islam keluar daripada agama itu.
“Dalam Perlembagaan tercatat bahawa setiap orang mempunyai hak untuk menganut dan mengamalkan ajaran agama masing-masing tetapi undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara penganut Islam,” katanya.
Gereja Methodist Damansara Utama menjadi tumpuan sejak beberapa minggu lalu selepas Jais melakukan pemeriksaan ke atas satu majlis makan malam muhibah anjuran Harapan Komuniti di premis itu. sumber

20 Ogos 2011

Penyembelihan 60,000 ayam di Johor diragui..!!!



Aug 19, 11 3:43pm
Daripada 200,000 bekalan ayam segar yang dikeluarkan di Johor setiap hari, kesucian 30 peratus daripadanya diragui kerana ada pengusaha pusat penyembelihan tidak mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Johor (JAJ).

Penolong pengarah penyelidikan Unit Halal JAJ, Samsudin Paimi, berkata terdapat beratus-ratus peniaga yang memasarkan kira-kira 60,000 ayam segar setiap hari yang kesuciannya diragui.
"Malah ada penyembelihan dilakukan di tempat terbuka yang turut dimasuki anjing dan binatang lain," katanya kepada pemberita selepas serbuan terhadap dua premis penyembelihan dan pemprosesan di Jalan Kampung Sawah dan Jalan Pontian-Johor Baharu di Pontian awal hari ini.

Dalam serbuan dari 1 pagi hingga 3 pagi itu, JAJ mendapati premis terbabit masing-masing tidak melakukan proses penyembelihan dengan kaedah ditetapkan manakala logo halal sudah tamat tempoh sejak empat tahun lepas.

Samsudin berkata JAJ khuatir dengan pertambahan permintaan terhadap ayam segar menjelang Aidilfitri, pengusaha kecil seperti itu semakin berani untuk mengaut keuntungan dengan berselindung di sebalik logo halal tamat tempoh selain tidak mengikut piawaian JAJ.

Turut membimbangkan JAJ, katanya, ialah ramai pengusaha tidak memiliki tauliah penyembelihan selain mempraktikkan kedah penyembelihan dan pemprosesan ayam sambil lewa.

"Kita tidak mahu pengguna terus tertipu dan mereka seharusnya diberi kesedaran untuk hanya memilih ayam yang disahkan halal dan suci," kata Samsudin.

Beliau berkata pemeriksaan akan terus dilakukan bagi melindungi kepentingan pengguna.

Samsudin berkata JAJ sudah mewajibkan pengusaha ayam di Johor membuat label yang akan diletakkan di kepak ayam yang mengandungi maklumat mengenai penyembelihan serta status halalnya.

Mengikut Undang-undang Perlindungan Pengguna (Pindaan) 2010 yang akan dikuatkuasakan bermula tahun depan, syarikat yang didapati bersalah menipu sijil halal boleh dikenakan denda sehingga RM5 juta bagi kesalahan pertama dan denda sehingga RM10 juta bagi kesalahan kedua.

- Bernama

15 Ogos 2011

Suara bacaan al-Quran tidak dikuatkan

Oleh:- Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Saya amat bersetuju dengan keputusan Jabatan Mufti Pulau Pinang yang mengeluarkan arahan agar suara bacaan al-Quran tidak dikuatkan melalui pembesar suara seperti yang berlaku di kebanyakan masjid sebelum waktu solat. Fatwa atau arahan ini bagi saya selaras dengan kehendak syarak. Seperti yang lepas, saya berpegang kepada alasan-alasan berikut menyokong keputusan berkenaan;



1. Apa yang Islam syariatkan untuk diangkat suara, hanyalah azan. Adapun selain dari itu, tiada nas yang menyuruh kita menguatkan suara sehingga mengganggu orang lain. Bahkan perbuatan itu dilarang oleh Nabi s.a.w. Apatah lagi dalam Islam ketenteraman orang lain dipelihara melainkan jika ada pengecualian tertentu yang diizinkan oleh syarak.
2. Walaupun bacaan al-Quran dan zikir amatlah baik. Namun kita tidak boleh memaksa orang lain mendengar bacaan kita. Mungkin orang lain ingin membacanya sendiri, atau ingin membacanya pada waktu lain, atau mereka sedang sakit atau ada anak kecil yang tidur, atau mereka tidak difardukan solat seperti wanita yang haid atau bukan muslim dan lain-lain.3. Ramai orang bukan muslim keliru antara azan dan bacaan-bacaan selain azan yang dilaungkan menerusi corong pembesar suara. Mereka menyangka bacaan-bacaan itu adalah azan yang disuruh oleh Islam, lalu mereka bersangka buruk dengan Islam yang harmoni ini. Apatah lagi bacaan itu mengambil masa yang lama, sedangkan azan yang sebenar tidak lebih dari lima minit.
4. Sebenarnya, Nabi s.a.w sendiri telah melarang orang menguatkan bacaan al-Quran dalam masjid sehingga mengganggu jamaah lain. Dalam hadis Nabi s.a.w, kata Abu Sa'id al-Khudri:
"Ketika Nabi s.a.w beriktikaf (beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi s.a.w berada di tempat ibadah baginda. Lalu baginda mengangkat langsir dan bersabda: "Ketahui setiap kamu bermunajat kepada tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat" (Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih).
Dalam hadis ini Nabi s.a.w melarang mengangkat suara bacaan di masjid sehingga mengganggu mereka yang lain yang sedang beribadah, atau menyakitkan orang lain. Jika mereka yang berada dalam masjid yang memang bersedia untuk beribadah pun, tidak dibenarkan untuk diangkat suara bacaan sehingga mengganggu konsentrasi mereka, mana mungkin untuk dikuatkan suara bacaan melalui pembesar suara sehingga menggangu mereka yang di luar masjid. Mungkin mereka itu mempunyai anak kecil, orang sakit dan seumpamanya.
Ulama besar di zaman ini, Al-Syeikh Muhammad Salih al-Uthaimin r.h mengulas hadis ini dengan katanya:
"Realiti hari ini menyaksikan apa yang disebut oleh hadis ini. Ini yang kita lihat mereka yang melakukan hal ini dengan menunaikan solat menggunakan pembesar suara (luar masjid). Mereka itu jika menyakiti sesiapa yang ada di sekeliling mereka, maka mereka berdosa..tiada syak lagi meninggal perbuatan ini lebih afdal yang pada hakikatnya tiada faedah pun, sebab insan tidak bersolat dengan mereka yang di luar masjid, sebaliknya dengan mereka yang berada dalam masjid..dengan itu kita berpesan kepada saudara-saudara kita, khususnya para imam masjid jangan lakukan ini..boleh jadi sesetengah orang telah solat dan perlu tidur dan berehat, boleh jadi dia sakit lalu terganggu dengan suara ini, boleh jadi juga masjid dekat dengan rumah, pada musim panas pula dan anak-anak kecil terganggu dengan bunyi pembesar suara. Kesimpulannya, masalah ini telah menimpa sesetengah orang sehingga mereka menyakiti jiran-jiran masjid atau rumah mereka dalam perkara yang tiada faedah baginya". (Ibn Uthaimin, Syarh Riyadh al-Salihin: http://www.ibnothaimeen.com/all/eBook-o.shtml).
Bayangkan kenyataan ini dikeluarkan oleh ulama besar dan terbilang tersebut di negara Saudi Arabia yang penduduknya kesemuanya muslim. Bagaimanakah pula bagi negara yang seperti kita.
5. Ulama silam juga telah mengingatkan hal ini, bahawa bacaan-bacaan lain di menara-menara masjid adalah dilarang kerana boleh mengganggu orang ramai. Al-Imam al-Hafizd Ibn Jauzi (meninggal 597H) pernah berkata:
"Antara tipu daya Iblis ialah mereka yang mencampur adukkan azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat. Mereka jadikan azan perantaranya lalu bercampur aduk. Para ulama membenci segala yang ditambah kepada azan. Banyak kita lihat orang yang bangun waktu malam lalu memberikan peringatan dan nasihat atas menara azan. Dalam kalangan mereka ada yang membaca al-Quran dengan suara yang tinggi lalu menghalang tidur orang ramai dan mengganggu bacaan orang yang bertahajjud. Kesemuanya itu adalah perkara-perkara munkar". ( Ibn Jauzi, Talbis Iblis, 159, Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah).
Ini adalah larangan ulama pada zaman yang belum ada pembesar suara yang gangguannya tidaklah setakat mana, bagaimana jika mereka melihat keadaan pembesar suara pada zaman ini?
Maka, dengan itu memang wajar arahan meminta dielakkan bacaan-bacaan yang dibuat melalui pembesar suara yang boleh mengganggu orang luar dan dalam masjid. Mematuhi hal ini bukan kerana isu politik semata, tetapi itu arahan Nabi s.a.w. dan juga menjaga Islam yang harmoni. Umat Islam Pulau Pinang sepatutnya menyokong keputusan ini, dan saya menyokongnya.

06 Ogos 2011

Resepi Berniaga...!!!

Dari air kosong sebotol 1.5L berharga 20 sen, sebotol dapat 3-4 gelas...
Nak sejuk taruk ais.
Bertambah cantik taruk sirap....jadi merah,
Nak manis tambah....gula,
Perah  asam limau.. jadi masam masam manis..
Taruk selasih..... biji-biji tuu...
kurang menarik tambah susu, jadi bandung
Tambah plak cincau..
Masuk straw bengkok!
Isi plak dalam gelas genting ditengah dan lebar tapaknyerr...
Class gtu..
NAH!!! bayar kau RM5.00 SEGELAS...
sumber Nashwa

Kedai roti, kek guna DNA babi berleluasa

KUCHING: Masyarakat Islam sekali lagi dikejutkan apabila ratusan kedai roti dan kek di seluruh Sarawak disyaki turut menggunakan mentega jenama Golden Churn Creamy Butter yang telah disahkan mengandungi DNA babi oleh Majlis Islam Sarawak (MIS). JAKIM


            Apa yang membimbangkan, kira-kira 40,000 kilogram mentega berkenaan berada di pasaran di negeri ini dengan bekalan masih boleh didapati di kebanyakan pasar raya dan kedai runcit yang menjualnya secara terbuka. Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak, Wan Ahmad Huzir Wan Sulaiman, berkata penggunaan mentega Golden Churn Creamy Butter bukan saja di kalangan pengusaha kek lapis sebaliknya turut digunakan dalam industri pembuatan roti dan kek.

Katanya, banyak pengusaha kedai roti dan kek termasuk yang bukan beragama Islam dikesan menggunakan jenama mentega itu selepas mendapat pengiktirafan halal dari Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS).

“Golden Churn Creamy Butter telah digunakan secara meluas di Sarawak sebelum ini dan ia tidak terhad digunakan pengusaha kek lapis saja kerana ia turut membabitkan kedai roti serta kek yang banyak di seluruh negeri.

"Selesai pemeriksaan semua premis pengusaha kek lapis, kami akan meneruskannya ke atas kedai roti dan kek bagi memastikan mereka mematuhi sijil halal dikeluarkan JAIS,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.

Selasa lalu, MIS memutuskan mentega jenama Golden Churn Creamy Butter adalah haram selepas ujian makmal di Jabatan Kimia Malaysia mendapati wujud DNA babi di dalam sampel yang diambil dari pengedar di sini.
Wan Ahmad Huzir, berkata pihaknya telah mengeluarkan arahan ke atas semua pasar raya yang menjual mentega berkenaan agar mengalihkannya ke seksyen tidak halal selain meminta pengedar menampal logo halal pada bahagian bungkusannya.
“Kita tidak boleh mengarahkan mentega ini dimusnahkan kerana ada pelanggan bukan Islam masih menggunakannya.

“Mengenai dakwaan mengatakan wujudnya penghantaran Golden Churn Creamy Butter yang halal dari Australia, pihak kami menetapkan keseluruhan produk berkenaan adalah haram dan tidak ada sebarang penghantaran yang halal,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Kek Lapis Sarawak (PPKLS), Rabiah Amit, meminta tindakan tegas turut dikenakan ke atas mana-mana pihak didapati pernah dan menggunakan mentega itu.

“Janganlah hanya ‘menyerang' pengusaha kek lapis kerana Golden Churn Creamy Butter turut digunakan banyak pihak termasuk hotel terkemuka dan kedai roti bagi menghasilkan kek atau biskut yang dijual kepada orang ramai.

“Mereka juga harus mengambil langkah sama termasuk menghentikan penggunaan mentega berkenaan dan menyamak peralatan dan perkakasan kerana pelanggan mereka merangkumi umat Islam juga,” katanya.
Sumber Berita Harian



24 Julai 2011

Sultan Kelantan Cemar Duli

TUMPAT - Sabtu:- 23 Julai 2011
Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V semalam mencemar duli mengutip sampah bagi menunjukkan contoh kepada rakyat di negeri ini supaya mementingkan kebersihan persekitaran. Baginda yang kelihatan selesa mengenakan baju T, berseluar trek dan topi tanpa segan silu bersama-sama dengan 1,000 orang rakyat mengutip sampah sarap selama dua jam di Pantai Sri Tujoh di sini.


Majlis tersebut yang bermula pukul 10.30 pagi diadakan di situ kerana Pantai Sri Tujoh adalah antara destinasi tumpuan orang ramai dan pelancong. "Beta dapati masjid tidak dibersihkan, tandas tidak dicuci, ini tidak sepatutnya berlaku sebab kebersihan adalah sebahagian daripada iman,'' titah baginda kepada pemberita selepas majlis anjuran Pertubuhan Kerabat D'Raja Al-Muhammadi itu berakhir. Program itu adalah yang pertama seumpamanya melibatkan pihak istana dengan matlamat untuk merapatkan hubungan antara institusi diraja dengan rakyat.

5 Sumber Kosmo

23 Julai 2011

Tip Keselamatan Kebakaran

Senarai semak ringkas panduan keselamatan kebakaran berikut dapat membantu anda mencegah kebakaran :




[1] Disyorkan supaya memasang alat pengesan asap di setiap tingkat. Tempat yang sesuai ialah pada siling, di dalam kurungan tangga, bilik tidur dan ruang tamu.
[2] Pastikan ada dua laluan kecemasan dari setiap bilik dan semua penghuni tahu serta telah berlatih menggunakannya.
[3] Jangan sekali-kali merokok sambil berbaring di atas katil semasa berada dalam keadaan mengantuk, mabuk atau setelah mengambil ubat-ubatan yang boleh menyebabkan mengantuk.
[4] Gunakan bekas habuk rokok yang besar dan berat. Pastikan puntung rokok dipadamkan sepenuhnya sebelum dibuang.
[5] Elakkan membuat penyambungan atau membebankan litar elektrik.
[6] Letakkan mancis dan pemetik api di tempat yang tinggi supaya tidak boleh dicapai oleh kanak-kanak.
[7] Bekas-bekas yang mengandungi cecair mudah bakar hendaklah disimpan di tempat yang jauh dan selamat dari punca api dan kanak-kanak.
[8] Jangan biarkan lilin menyala tanpa diawasi walaupun sesaat dan jauhkannya dari kanak-kanak.
[9] Anda disyor meletakkkan satu unit Alat Pemadam Api jenis debu kering ataupun jenis gas di rumah.

KESELAMATAN BARANGAN ELEKTRIK
  • Lampu hendaklah ditempatkan di permukaan yang jauh dari apa-apa bahan yang boleh terbakar.
  • Gunakan mentol yang sepadan dengan watt lampu
  • Gunakan pelindung untuk melindungi mentol daripada pecah sekiranya lampu terkena hentaman yang kuat.
KUASA ELEKTRIK DI LUAR RUMAH
* Alatan elektrik yang dipasang di luar rumah seperti di anjung hendaklah kalis cuaca.
* Jangan gunakan penyambung pendawaian untuk lampu neon atau lampu "kelip-kelip".
* Jangan gunakan perkakasan elektrik di luar rumah ketika permukaan tanah dalam keadaan basah  melainkan peralatan tersebut telah lulus ujian dan boleh digunakan.
* Jangan gunakan penyambung pendawaian untuk lampu luar.

KABEL ELEKTRIK

* Jangan menyentuh kabel kuasa - anda mungkin akan terkena renjatan dan terbakar teruk.
* Simpan tangga (terutama tangga besi) jauh dari kabel kuasa.
* Laporkan kerosakan kabel kuasa dan tandakan kawasan berkenaan bagi memberi amaran kepada orang ramai yang menghampirinya.
TANDA AMARAN

Kenalpasti masalah-masalah elektrik yang wujud sebelum terjadinya renjatan dan kebakaran. Perhatikan perkara-perkara berikut :-

* Masalah berulang seperti flus terputus atau bekalan terputus.
* Terdapat kejutan karan apabila anda menyentuh perkakasan elektrik.
* Berbau getah terbakar yang datang dari perkakasan elektrik.
* Lampu berkelip-kelip. Jangan tunggu sehingga masalah menjadi besar. Hubungi pihak berkuasa Tenaga Nasional Berhad atau juruteknik yang berkelayakan.

STATISTIK RENJATAN ELEKTRIK

Setiap tahun renjatan elektrik dan kebakaran menyebabkan beratus-ratus orang mati dan beribu-ribu mengalami kecederaan. Beberapa asas keselamatan eiektrik dapat mengurangkan risiko kepada anda.

KEROSAKAN FlUS DAN LITAR

* Jika fius terbakar atau berlaku kerosakan pendawaian yang menyebabkan bekalan terputus, jangan kembalikan ke kedudukan asal. Kenalpasti punca-punca yang menyebabkan keadaan tersebut berlaku dan atasi masalah tersebut.
* Setiap fius di rumah anda mestilah mempunyai ukuran dari segi kemampuan menampung beban elektrik. Apabila anda menukar fius pastikan ianya mampu menampung kemampuan litar.
* Seterika dan lain-lain peralatan pemanas menggunakan arus elektrik yang banyak. Jangan gunakan plug lebih dari satu di soket atau litar yang sama.

PEMUTUS LITAR (ELCB)

Pemutus Litar Bocor ke Bumi boleh mengurangkan risiko renjatan apabila berlaku kerosakan litar dan peralatan elektrik dengan bertindak lebih pantas berbanding pemutus fius biasa. ELCB tidak mahal dan mesti dipasang di setiap rumah anda. Ujian bulanan hendaklah dibuat dengan menekan 'butang ujian'.

SOKET ELEKTRIK

* Soket elektrik tiga cabang adalah diterima dengan satu cabang lebih besar dari yang lain.
* Pastikan plug anda sesuai dengan soket elektrik.
* Sekiranya terdapat anak kecil di rumah anda letakkan di rumah anda letakkan penutup plastik keselamatan di soket yang digunakan.

PERKAKASAN ELEKTRIK

* Perkakasan yang dibeli hendaklah mempunyai label yang menunjukkan barangan tersebut telah diluluskan semasa ujian oleh SIRIM.
* Simpan perkakasan elektrik yang menghasilkan kepanasan seperti seterika sekurang-kurangnya 1 meter dari tirai, perabot dan apa-apa peralatan yang mudah terbakar.
* Pastikan plug tidak dipasang pada perkakasan kecil seperti 'toaster', 'coffeemakers' apabila tidak digunakan.
* Mengadakan ruang udara yang mencukupi di sekitar komponen elektrik seperti komputer, stereo system untuk mencegah bahang panas yang berlebihan.PENDAWAIAN/PENYAMBUNG

* Gunakan pendawaian mengikut kadarnya.
* Gantikan pendawaian yang rosak.
* Pastikaan sambungan tidak menghalang laluan atau disorok di bawah karpet.
* Gunakan penyambung yang diluluskan oleh SIRIM
sumer

13 Julai 2011

Penentuan Arah Kiblat

Penentuan arah kiblat berdasarkan peta google. Arah kiblat dapat ditentukan dengan cara klik pada tempat dikehendaki, sebelum itu tempat

diingini hendaklah dicari. [masuk sini http://www.al-habib.info/qibla-pointer/ ] Apabila klikkan dibuat pada tempat diingini satu garis merah akan terpancar ke arah kiblat [A line will be drawn to indicate the direction of qibla or Ka'bah in Makkah]. Bagaimanapun ketepatan adalah tidak diketahui, adalah lebih baik merujuk kepada pihak-pihak yang lebih pakar dalam bidang berkenaan.

5

05 Julai 2011

MLM ikut syariah...!!

          SATU isu yang sering diperkatakan dan dibincangkan melalui neraca muamalat Islam ialah berkaitan perniagaan jualan langsung (MLM). Reka bentuk MLM yang pada asalnya selari dengan syariah sering kali dilencongkan hingga menjadikannya haram.



Ironinya, peserta MLM sama ada syarikat atau ejen pengedar yang membentuk dan memandu sistem pengedaran menjadi tidak menepati hukum Islam. Hal ini boleh dikesan melalui pelan pemasaran, produk, harga, komisyen dan pelbagai elemen lain yang tidak memenuhi kontrak muamalat. Hakikat yang perlu diakui, MLM ialah instrumen pemasaran terbaik untuk mengedar sesuatu produk atau perkhidmatan kerana pengedar yang dilantik oleh syarikat akan membentuk rangkaian pengedar lain di bawahnya. Seterusnya mereka akan mendapat bonus, komisen atau insentif hasil daripada jualan peribadi dan rangkaian masing-masing. Daripada aspek kontrak muamalat, MLM biasanya membabitkan kontrak al-Bai (jual-beli) dan al-Ju’alah (upah).

Oleh itu, sistem pemasaran ini sewajarnya menepati semua syarat kontrak seperti produk jualan hendaklah halal, wujud ketika akad dan boleh diserah kepada pembeli. Selain itu, bonus atau komisyen hendaklah diketahui nisbahnya, dimiliki oleh syarikat dan bukan diambil daripada yuran keahlian rantaian yang ditaja pengedar.

Justeru, MLM yang patuh syariah bukannya menjalankan transaksi secara skim piramid yang menghendaki peserta baru membayar yuran dan kemudian bayaran itu diagihkan kepada pemilik skim dan upline.

Objektif utama MLM mengikut syariah adalah menjual produk dan bukannya menaja downline. Keuntungannya daripada keuntungan jualan produk bukan kutipan yuran keahlian.
Ada kala wujud dalam sistem MLM, produk hanyalah replika duplikasi laman web yang boleh menempatkan downline yang ditaja secara automatik. Sasaran sistem itu adalah menaja dan menempatkan rangkaian, bukannya untuk jualan produk.

Walaupun kebanyakan sistem sebegini mempunyai produk dalam laman tetapi ia hanya helah dan tempelan untuk mengesahkan transaksi. Ini boleh dikesan melalui jenama produk yang tidak dikenali, tetapi harganya sangat melampau berbanding produk hampir sama di pasaran.

Pemasaran secara MLM juga jauh daripada syariah apabila wujud elemen pengharaman dalam muamalat Islam seperti riba, judi, gharar (ketidakpastian) dan penipuan serta pemalsuan.
Unsur penipuan boleh dilihat melalui promosi serta gambaran melampau terhadap sesuatu produk sedangkan hakikat kualitinya tidak begitu dan harganya juga jauh lebih tinggi dengan produk setaranya di pasaran.

Kadang-kadang tipu membabitkan pengedar yang ditonjolkan dengan gambar berkereta mewah seolah-oleh syarikat yang menghadiahkan sedangkan syarikat hanya membayar deposit dan bulanannya dibayar pengedar itu sendiri.

Begitu juga gharar boleh berlaku apabila ‘upline’ memperoleh keuntungan daripada jualan ‘downline’ dengan hanya duduk goyang-kaki. Segala usaha jualan dilakukan oleh ‘downline’ tetapi ‘upline’ memperoleh habuan kerana terbabit sebagai penaja.

Justeru, semua perkara itu hendaklah dielakkan bagi menjamin rezeki yang diperoleh halal dan berkat. Sikap berhati-hati dan memilih menurut piawai syarat perlu diutamakan daripada impian dan nafsu kekayaan melimpah ruah.

Penulis ialah Pensyarah di Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam sumber

03 Julai 2011

Ukur Bajet Anda..!


Bajet adalah suatu pelan mengurus aliran tunai. Bajet digunakan untuk membuat anggaran pendapatan dan pembelanjaan anda...
contoh Bajet:-


Gaji [pendapatan ni tetap]
RM2,000

Pendapatan Sampingan [berubah-ubah/tetap]
RM500

Pendapatan Pasangan [berubah-ubah/tetap]
RM500

Jumlah Pendapatan RM3,000

Perbelanjaan:- Makanan RM750, Pakaian RM150,Ansuran Rumah RM600, Ansuran Kereta RM400, Perbelanjaan Anak RM200, Petrol dan tol RM250, Penyelenggaraan RM100

Simpanan
RM300

Jumlah Perbelanjaan RM2,750

Lebihan
RM250


http://www.akpk.org.my/
(Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit)
Cuba bezakan antara keperluan dan kehendak, berikut adalah contoh barangan keperluan dan kehendak
Keperluan:- Makanan, tempat tinggal, pakaian, kenderaan, telefon bimbit, komputer...manakala Kehendak:- makanan di restoran mewah/ hotel 5 bintang, Banglo mewah, pakaian berjenama, percutian ke luar negara, kereta mewah, telepon dan komputer canggih dan seumpamanya... tip-tip..Sentiasa senaraikan barangan yang hendak dibeli, elak membeli barang yang tidak perlu, pastikan anda hanya membeli mengikut bajet anda...bandingkan harga sebelum membeli, simpan "buku senarai harga" (kena buat sendiri) untuk mengejak harga barang yang selalu dibeli....selamat berbelanja...  *sumber

22 Jun 2011

Budak baca ayat al-Quran elak dirogol

JEDDAH:
Seorang mangsa perogol bersiri berkata beliau membaca ayat al-Quran untuk menghentikan penyerang mencabulnya, lapor akhbar al-Madinah kelmarin.


Akhbar Arabnews melaporkan kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun itu memberitahu akhbar itu yang beliau berjaya melindungi dirinya daripada serangan perogol itu dengan membaca lima surah kitab suci itu yang dipelajarinya secara bersungguh-sungguh. “Setiap kali beliau menghampiri, saya mula membaca al-Quran dan penjahat itu melepaskan saya,” katanya. Kanak-kanak yang hanya dikenali sebagai MMS memberitahu perogol itu meminta beliau berhenti membaca al-Quran tetapi apabila beliau enggan mengikut arahannya, perogol itu memukul mukanya.

“Kerana bacaan ayat suci itu beliau enggan menyentuh saya,” katanya.
Mangsa diculik semasa menghadiri majlis perkahwinan dan dilarikan ke rumah perogol.

Lelaki itu menolak mangsa ke dalam rumah dan mengunci pintu.
“Perogol itu kemudian menyerang saya tetapi saya mula membaca ayat al-Quran,” katanya.

Mangsa kemudian ditinggalkan di klinik berdekatan di daerah Al-Muntazahat. – Agensi
sumber

20 Jun 2011

Pusaka...

Undang-undang harta pusaka di dalam Islam adalah perkara yang telah telah ditetapkan secara qat'ie di dalam al-Quran. Qat'ie maksudnya, kita tidak dibenarkan berijtihad di dalam perkara tersebut. Kita tidak berhak mempertikaikan lagi hukum tersebut sebagai tidak adil dan sebagainya. Kita cuma dibenarkan utk berfikir atau mencari sebab kenapa Allah memberikan lelaki harta pusaka lebih berbanding dengan wanita.  Kadar harta pusaka yg ditetapkan dengan jelas di dalam al-Quran, surah al-Nisa':

Ayat 11 surah al-Nisa' :
" Allah mewajibkan kepadamu tentang pembahagian warisan utk anak-anakmu, iaitu bahagian seorang anak lelaki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan."

-maksudnya anak lelaki akan mendapat dua bahagian, manakala anak perempuan mendapat satu bahagian. undang-undang ini dipanggil sebagai rule 1/3 dan 2/3 (one third dan two third)

-kenapa anak lelaki mendapat dua bahagian dan anak perempuan hanya satu bahagian?

Anak lelaki adalah ketua keluarga, anak lelaki yang bertanggungjawab menyara keluarganya, menjaga adik perempuan dan kakak perempuannya yang masih belum berkahwin atau yg menjadi ibu tunggal atau ibu tinggal. Anak2 perempuan tidak diberatkan dengan tanggujawab tersebut, tetapi kalau mereka mahu membantu keluarga, mereka mendapat pahala bersedekah. Maksudnya anak-anak lelaki adalah wajib menyara keluarga mereka. manakala anak2 perempuan adalah sunat menyara keluarga. Tidak timbul isu tidak adil dan sebagainya.

yang menjadi masalah ialah kebanyakan lelaki hari ini tidak sedar betapa beratnya tanggunjawab mereka. apabila mereka bernikah, mereka lupa bahawa tanggungjawab mereka kepada ibubapa mereka tidak pernah berhenti atau luput. mereka wajib menyara ibubapa mereka terutamanya yang susah sehinggalah ibubapa mereka kembali ke rahmatullah.

Jikalau ibubapa mereka meninggal dunia dalam keadaan belum sempat mengqadha puasa atau membayar fidyah, anak2 lelaki lah yg wajib melaksanakan tugas ini. Jikalau tidak ada anak lelaki, kewajiban ini jatuh kepada adik beradik lelaki si mati. Cluenya hanya satu, mereka yang mewarisi daripada si mati itu adalah orang yang wajib mengqadha puasa dan membayar fidyah si mati. kalau tidak ada saudara mara lelaki, barulah kewajiban itu jatuh kepada anak perempuan dan adik beradik perempuan.

- sambungan ayat 11: (kalau ibubapa meninggal dunia dan hanya mempunyai anak perempuan sahaja.)
"Jika anak perempuan si mati lebih dari dua orang, maka bahagian meraka adalah dua pertiga daripada harta yang ditinggalkan. Dan jika hanya seorang sahaja, maka dia mendapat setengah daripada harta (yg ditinggalkan oleh ibubapanya).

-sambungan daripada ayat 11 tentang hak ibu bapa dalam harta pusaka peninggalan anak mereka.

"dan utk kedua ibu bapa, bahagian masing-masing adalah satu perenam dari harta yang ditinggalkan , jika dia (anak yang meninggal) itu mempunyai anak (cucu kepada ibubapa).

Keterangan:
jika anak2 yg sudah bekerja dan mempunyai harta meninggal dunia, ibubapanya akan mendapat 1/6 setiap seorang, jika si mati mempunyai anak.

"Jika si mati tidak mempunyai anak, maka siibu akan mendapat satu pertiga (1/3), dan jika si mati meninggalkan adik beradik, maka si ibu akan medapat satu perenam sahaja."

Keterangan:
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa ibubapa dan adik beradik mempunyai hak di dalam harta pusaka peninggalan si mati. Kenapa ada yang sanggup mengatakan kita bersusah payah mencari harta utk anak-anak kita, kenapa perlu diberikan kepada ibubapa dan saudara mara kita. manusia apakah kita jika sanggup berfikir seperti itu.siapa yang melahirkan kita? siapa yang menjaga kita hingga tergamak mengatakan kenapa ibubapa perlu diberikan harta pusaka? kakak2 kita, adik2 kita dan abang2 kita adalah saudara kandung kita, kenapa ada yang tergamak mangatakan mereka tidak ada hak dalam harta kita?

tak terfikirkah kita,kalau anak2 kita nanti yang berfikir bahawa kita ibubapanya tidak berhak mendapat harta mereka? Mungkin ibubapa kita miskin dan tidak banyak memberi wang atau nafkah kepada kita semasa kita kecil, tetapi kita terhutang nyawa dengan mereka. hutang yg tidak mungkin dapat dibayar kepada ibubapa kita. jadilah anak2 yang insaf dan bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada ibubapa.

saya amat faham, ada masanya kita berasa marah kerana adik beradik kita tidak pernah berbuat baik kepada kita, tidak mengambil berat tentang kita, jadi kenapa mereka perlu diberikan harta pusaka jika kita meninggal dunia?

Sambungan ayat 11:
"Pembahagian2 tersebut adalah wajib dibuat setelah dipenuhi wasiat yg dibuatnya dan setelah dibayar hutangnya. tentang org tuamu dan anak-anakmu, kamu tidak mengetahui siapa di antara mereka yang lebih banyak manfaat bagimu. Ini adalah ketetapan Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan maha Bijaksana."

Keterangan:
-ayat ini menjelaskan bahawa sebelum dibahagikan harta pusaka, terlebih dulu tunaikanlah wasiat yg telah dibuat oleh si mati dan bayarlah segala hutang2 si mati. kerana itu adalah hak yang wajib didulukan. Wasiat pula hanya sah jika tidak lebih daripada 1/3, daripada harta si mati.
-hadis nabi Muhammad s.a.w jelas menyebut:
" Tidak boleh membuat wasiat lebih daripada satu pertiga."


Saya berhenti di sini dulu, insyaAllah saya akan sambung mengenai hak suami isteri di dalam harta pusaka. Apa yang saya tuliskan di sini adalah merujuk kepada ayat Quran dan hadis Nabi Muhammad. Suka saya mengingatkan semua, jikalau kita mencabar ayat Quran mengatakan tidak patut dan sebagainya memang jatuh hukum kafir. sila rujuk kepada surah al-maidah. Itulah yang ingin dijelaskan oleh ustaz Insani sebenarnya. beliau bukan melabelkan sesiapa, tetapi kadang2 ustaz insani ni hilang kesabaran melihat manusia yang mempertikai hukum Allah. Saya faham dan kenal hatibudi beliau.

wassalam
Dr Fauziah

25 Mei 2011

Suami Tak Kenal Isteri..?


Sebenarnya memang banyak perkara tentang isteri yang suaminya tak faham dan tak kenal. Ada kajian menyatakan, suami hanya akan kenal dan faham

isterinya setakat 35% sahaja, itupun setelah berumah tangga bersama dan hidup bersama 35 tahun. Suami agak susah nak kenal isteri. Antara sebabnya Lelaki dan perempuan, Kita tak sama, malahan kita tak ade persamaan pun, tetapi kita nak mencari keserasian. Biasanya lelaki digelar manusia logik dan perempuan digelar manusia abstrak.

Contohnya dalam hal makanan. Suami akan beli makanan, akan bawa balik makanan ke rumah, kebiasaannya ialah menandakan makanan yang suami gemar, makanan yang dia suka. Jarang sekali orang lelaki (suami) tahu makanan kegemaran setiap orang yang ada didalam rumahnya (isteri, anak1, anak 2,,,seterusnya, mak mertua dsb kalau ada tinggal bersama). Maka bila suami membeli makanan (minim petang contohnya, suami akan membeli satu atau dua jenis kueh sahaja).

Isteri (orang perempuan) lain pulak, Isteri akan selalu masak makanan yang Suaminya suka, yang anak2 nya suka (bukan yang isteri itu suka). Dengan demikian, Suami akan susah nak tau apakah makanan kegemaran isterinya. Kalau beli makanan di luar untuk dibawa balik, Selalunya orang perempuan (isteri) dia tau hampir kesemua makanan kegemaran orang yang ada didalam rumahnya, dengan sebab itu kalau isteri membeli makanan, Hampir kesemua orang yang ada dalam rumah itu ada bahagian masing2 mengikut kegemarannya.
Contoh lain, Isteri kalau melihat suaminya 20 kaki dari belakang (muka tak nampak), InsyaAllah isteri boleh kenal suaminya. Suami,,,biasanya tak akan kenal isterinya dalam keadaan yang sama. Malahan suami akan terlupa apakah warna pakaian, atau warna tudung yang isterinya pakai, walaupuin mereka keluar rumah sama-sama pada awalnya.

Kesimpulan, Orang lelaki dan orang perempuan (Suami dan isteri) ada kehebatan masing2, kehebatan mereka tak sama dan jangan cuba nak samakan. Seorang menjadi pelengkap kepada yang seorang lagi. sebab itu kita ni akan jadi lengkap setelah berumah tangga. Yang pentingnya suami isteri kena berterus terang dan maklumkan apa yang kita suka dan apa yang kita tak suka. Kena selalu ingatkan walaupun dah cakap banyak kali. Buat dan cakap lagi, dan lagi dan lagi dan lagi dan lagi dan lagi sampai kita tiada lagi. Jangan giveup, Afterall dia tuh pasangan kita juga, pasangan di dunia dan di syurga InsyaAllah.

16 Mei 2011

Bahan buat kek, roti ada DNA babi: JAKIM


PUTRAJAYA: Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Malaysia minggu lalu menolak permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sebuah syarikat pembekal bahan membuat kek, roti dan pastri selepas mendapati ia mengandungi DNA babi dalam dua ramuan yang digunakan oleh syarikat itu.

Dua ramuan terbabit ialah ‘Whole Egg Powder’ dan ‘Whole Milk Powder.’ Difahamkan, syarikat yang beribu pejabat di Eropah itu turut membekalkan roti, kek dan pastri untuk pasar raya besar dan restoran di negara ini. Berikutan itu, Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) meminta semua pemegang dan pemohon baru SHPM yang menggunakan produk keluaran syarikat terbabit mengambil langkah untuk mengelakkan sijil mereka ditarik balik.
Semua pemegang atau pemohon baru yang menggunakan produk syarikat terbabit diminta menukar produk itu kepada produk lain yang memiliki sijil halal yang diiktiraf.
“Mereka juga diminta mengemukakan resit pembelian produk baru daripada pembekal yang memiliki sijil halal yang diiktiraf,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman web, semalam.

Selain itu, pemegang dan pemohon baru juga diminta menjalankan proses samak dan mengemukakan bukti surat akuan semak daripada pihak Jabatan Agama Islam Negeri.
Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya melayari laman web www.halal.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai syarikat yang memiliki SPHM.
Halal_JAKIM

Kemungkinan Harga RON95 naik...

PUTRAJAYA, 15 Mei 2011-- Rakyat perlu bersedia kemungkinan berlaku kenaikan harga petrol RON95, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata kemungkinan itu adalah memandangkan kajian mengenai rasionalisasi subsidi dijangka akan dibuat sekali lagi bulan depan.
"Saya ingin rakyat bersedia. Saya tidak mahu rakyat terkejut, kata harga minyak tidak naik tetapi akhirnya naik juga,"katanya kepada pemberita di siniBeliau diminta mengulas laporan akhbar baru-baru ini bahawa harga bahan mentah itu tidak akan naik buat masa ini.
Ismail Sabri berkata kenyataan tidak akan naik buat masa ini tidak bererti harga bahan mentah itu tidak akan naik.
Kali terkhir harga RON95 naik ialah pada Disember tahun lalu sebanyak 5 sen kepada RM1.90 seliter.dipetik dari bernama