Wednesday, April 29, 2015

Di dalam surah al-mudassir pada ayat yang ke-4 ada menyebut :

وَثِيَابَكَ فَطَهِّر (4)

Bermaksud : dan pakaian-pakaian kamu, maka bersihkanlah.



Ayat yang termaktub di dalam al-quran ini, Allah memberi penegasan di dalam adab-adab berpakaian. Pastikanlah pakaian itu bersih dari kekotoran.

                Zahirnya, kekotoran yang berada di benak pemikiran kita adalah kotoran dari debu-debuan, najis dan sebagainya. Mungkin kotoran inilah yang menyebabkan kesukaran kita dalam beribadah kepada Allah.

                Pada asasnya Allah meminta hamba-hambaNya untuk sentiasa menjaga luarannya dari keadaan yang kotor. Maka perlulah kita memakai pakaian yang cantik, menutup aurat, memakai pakaian yang bersesuaian dengan tempat serta sentiasa menjaga akhlak dan penampilan dari perkara yang salah. Seterusnya, janganlah berbangga dengan nikmat kecantikan pakaian itu. Tetapi junjunglah perintah Allah dalam sepanjang kehidupan.

                Cuma, ayat Allah itu tidak terhenti di situ semata-mata kerana apa yang kita bincangkan sebentar tadi hanyalah sekadar menyentuh perkara-perkara luaran yang bersifat fizikal. Sebaiknya, janganlah kita menidakkan perkara yang bersifat dalaman atau pun perkara kerohanian di dalam melaksanakan perintah Allah s.w.t.

                Dari dimensi yang lain, setiap hari kita akan memakai pelbagai jenis pakaian. Yang mana pakaian yang kita sarung adalah pakaian yang mendatangkan betapa pentingnya peranan kita. Sedar atau tidak kita akan memakai pakaian seorang anak, pakaian seorang ayah atau ibu, pakaian seorang suami atau isteri, pakaian seorang pekerja, dan pakaian seorang hamba kepada Allah s.w.t.

                Jagailah pakaian kita sebaiknya, peliharalah pakaian ini dari debu-debu dosa atau najis-najis maksiat dari terpalit kepadanya. Maka pastikanlah akhlak dan jiwa kita bersih dari kekotoran agar yang akan dilihat adalah ; seorang manusia yang berpakaian cantik dan mempunyai akhlak yang cantik. Bukannya seorang manusia yang berpakaian cantik, malangnya akhlaknya amat kotor dan busuk.


                InsyaAllah bersama-sama kita menjadikan diri dan hati kita cantik pada luaran dan dalamannya. Menjadi hamba yang soleh kepada tuhannya. Wallahu ta’ala a’lam.

No comments:

Post a Comment