Showing posts with label Tribut. Show all posts
Showing posts with label Tribut. Show all posts

Monday, July 6, 2009

Tribut Untuk MJ: Satu Hari Dalam Hidupmu

1981. "From Sekolah Rendah Tunku Abdul Halim, we now present Asrul Muzaffar!". Tepukan kedengaran. Taklah gemuruh sangat.

Saya melangkah perlahan penuh gementar ke tengah pentas sekolah. Apa kejadahnya saya yang tak pernah disuruh menyanyi dipaksa menyanyi dalam perhimpunan persatuan UNESCO di antara sekolah rendah sekitar Alor Setar. Ketika itu saya di dalam darjah 6.

Saya memejam mata dan membuka mulut.

"One day in your life, you'll remember a place. Someone touching your face. You'll come back and you'll look around you. One day in your life, you'll remember the love you found here..."

Saya membuka mata yang dipejam. OK... tiada tanda penonton mahu baling tomato busuk. Alamak... part lepas ni tinggilah! Dahlah nyanyi tak guna muzik!

"You'll remember me SOMEHOW (yeay... berjaya tak sumbangkan lagu). Though you don't need me now. I will stay in your heart. And when things fall apart, you'll remember one day...."

Hah! Budak-budak! Suara pun baru nak pecah!

1983. Satu ketika di hujung minggu. Saya menuntut di Tingkatan 2 di sebuah sekolah berasrama penuh.

"E.T... Man Lat sughuh hang pi bilik dia"; kata rakan sebilik saya yang baru pulang dari Dewan Makan dan kebetulan terserempak dengan senior berkenaan.

Selalunya bila disuruh mengadap senior adalah sama ada untuk kena pelempang di sebabkan sesuatu ataupun dipaksa membeli makanan di kantin sekolah. Juga di sebabkan perkara yang tak begitu difahami, gelaran 'E.T.' lekat pada saya di awal alam persekolahan menengah.

Menghampiri bilik senior tadi, kedengaran lagu 'Wanna Be Startin' Somethin'' kuat berkumandang. Baru selangkah kaki masuk ke dalam bilik, Man Lat bersuara:

"E.T.... dengag kata hang pandai Moonwalk. Tunjuk kat aku sat..."

Ini merupakan era kaset-kaset cetak rompak dijual merata-rata dengan harga RM3. Pita video VHS boleh disewa dari rata-rata pusat video, juga dengan harga yang sama. Manakala penduduk luar Lembah Kelang cuma boleh mengakses dua stesen TV sahaja, iaitu TV1 dan TV2 siaran RTM. Pawagam-pawagam cuma menayangkan satu filem dalam sesuatu masa dan tiket dijual mengikut Kelas 1, Kelas 2, Kelas 3 dan Kelas Khas yang selalunya terletak di tingkat atas. Bilamana 'disko' adalah perkataan yang lebih dikenali dan 'club' hanya merujuk pada persatuan-persatuan seperti Belia 4B.

Sebetulnya saya hanya mula mengenali Michael Jackson dengan lebih akrab (berbanding sebelum ini) melalui kaset cetak rompak komplilasi lagu-lagu yang dicalonkan untuk anugerah Grammys 1983. Pita video 'The Making of Thriller' juga boleh disewa. RTM juga ada menayangkan klip-klip video calon Grammys tahun tersebut yang terdiri dari Michael Jackson, The Police, Culture Club, Eurythmics dan berbagai lagi.

Mungkin kerana tarian agresif Michael dalam video 'Beat It' yang luar dari kebiasaan berbanding tarian-tarian melentok lentik siri muzikal 'Solid Gold'. Mungkin kerana gorengan gitar Eddie Van Halen yang berasap. Mungkin juga dengan fesyen sarung tangan sebelah dan stokin putih.

Apapun, tak lama kemudian, kaki seluar sekolah saya menjadi singkat dan rambut mula berjambul dengan belalai ekor di hadapan. Saya mula mencari lagu-lagu Michael yang lain, terutamanya ketika beliau masih bersama The Jackson 5. Lagu 'Farewell My Summer Love' merupakan lagu 'selamat jalan' peribadi saya sebelum pelajar pulang bercuti di hujung penggal persekolahan.

Diri ketika itu masih tercari-cari diri sendiri.

1985. saya bertukar sekolah. Lagu anthem 'We Are The World' nukilan Michael Jackson dan Lionel Richie mula berkumandang di sana sini. Dari konsert-konsert pelajar sekolah hinggalah ke disko-disko sekitar bandar Alor Setar, di mana lagu ini diputarkan di penghujung sesi disko, menandakan yang disko dah nak tutup dan menghalau semua pengunjung pulang.

Diri yang tercari-cari diri juga masih belum kelihatan.

1987. Saya mengikuti A-Levels di PPP/ITM kampus Damansara Utama. Single pertama dari album 'Bad', 'I Just Can't Stop Loving You', duet antara Michael dan Siedah Garrett menjadi dedikasi favorit pasangan-pasangan cinta papi. Ada juga yang cuba menebak membezakan yang mana satu suara Michael dan yang mana suara Siedah memandangkan mereka menyanyi dalam 'key' yang sama.

Ketika filem 'Moonwalker' ditayangkan di pawagam, rasanya ketika itu bulan puasa. Saya menonton berseorangan tayangan jam 6.30 petang berbekalkan McD takeaway. Walaupun agak terkagum dan efek khas yang digunakan dan penentangan graviti di adegan 'Smooth Criminal', saya melihat keseluruhan filem ini sebagai kasis egoistik berlebihan oleh penyanyi yang cenderung mendekatkan diri dengan kanak-kanak daripada mereka yang sebaya dengannya.

Pada mulanya saya kurang memahami maksud 'Man In The Mirror' sehinggalah mengamati lirik lagu ini dan seterusnya menghafal setiap bait, korus dan "shamon, urgh... shamon..." (Michael menggunakan slanga 'shamon' untuk 'come on'). Manakala cara Michael mengurat model dalam video 'The Way You Make Me Feel' pula pernah direalisasikan di luar kaca TV pada awek-awek junior ataupun dari Kolej Damansara Utama berdekatan.

Diri sendiri masih belum ditemui. Malah kekeliruan, kebuntuan dan kekecewaan membelenggu diri.

1991. Saya menuntut di United Kingdom dalam jurusan International Relations. Selain lagu 'Heal The World' yang merupakan teman ketika menulis 'assignment' berkaitan polisi luar, krisis antarabangsa dan sosiologi kebangsaan, album 'Dangerous' merupakan CD utama untuk menguji 'kecanggihan' sistem hi-fi pertama yang dibeli di sana.

Dari bunyi kaca pecah dalam lagu 'Jam' yang selalu disalah anggap rakan serumah sebagai tingkap dapur bawah dipecahkan bebudak jiran Pakistan hinggalah pengagihan bunyi 'surround' pergaduhan ayah dan anak di awal lagu 'Black Or White'. Mungkin sekadar memujuk hati bahawa saya telah melakukan yang betul kerana pembelian hi-fi tersebut adalah antara punca poket selalu kekeringan wang biasiswa di tengah bulan!

Buat pertama kali, saya berpeluang menonton 'world premiere' di saluran BBC atau ITV bagi setiap video klip Michael yang baru dilancarkan berbanding sebelum ini yang 'bila dah basi baru nak tengok'.

Sesuai dengan gelaran 'mahasiswa' kononnya, daripada hanya menikmati lagu dan video Michael, saya mula mengkaji inspirasi dan proses kreativiti yang telah menzahirkan album-album 'Off The Wall', 'Thriller' dan 'Bad' melalui buku 'MoonWalk' nukilan Michael sendiri.

Diri yang dicari telah mula menunjukkan halatuju. Walaupun masih dalam keadaan bayi.

1996. Saya mendirikan rumahtangga. Kami menyewa unit sempit di sebuah flat PKNS AU2 sementara menunggu apartmen yang dibeli siap. Dari pintu masuk, hanyalah kurang 10 tapak untuk tiba di dalam bilik. Kesempitan ini menjadikan 'sonic' bunyi ruang tamu agak baik, terutamanya bila album 'HIStory' diputarkan melalui set berasingan hi-fi Pro-Logic (termasuk subwoofer aktif 80W) yang baru dibeli.

Gamaknya jiran-jiran pasti merungut bila terdengar saja intro orkestra lagu 'History', dentuman gendang dalam 'They Don't Care About Us' atau nyanyian berhantu gadis kecil dalam 'Little Susie'. Namun rasanya tak ada yang komplen bila alunan mendayu 'You Are Not Alone' dimainkan!

Kereta pertama saya, Daihatsu Charade Aura model tahun 1990 yang dibeli 'second hand' juga dilengkapi unit pemain kaset lengkap dengan amplifier, cross over dan subwoofer. Kesemua pembesar suara asal ditukar kepada yang berkuasa lebih tinggi. Penukar CD 10 keping juga dipasang elok di dalam but. Dua slot CD memang kepunyaan 'HIStory Disc 1' (kompilasi lagu terbaik Michael) dan 'Disc 2' (lagu-lagu terbaru).

Diri yang dicari semakin jelas namun susur galur jalan halatujunya masih kabur.

2001. Saya telah mempunyai seorang anak perempuan. Karier membawa saya ke selatan tanahair. Ketika berjalan-jalan di hujung minggu di kompleks beli belah bandar tersebut, saya terlihat CD 'Invincible'. Baru teringat yang saya belum mempunyai album ini dalam koleksi. Sebaik dua lagu diputarkan dalam kereta, terus saya tukar ke CD lain. Entahlah, pada saya ianya tidak 'mengancam' seperti album-album Michael terdahulu.

Saya telah mula menulis ke berbilang media dan bernasib baik kerana ada yang membaca. Pengalaman dan skilset kerja hingga ke saat itu juga agak menyakinkan saya untuk mencuba hala sendiri (kemudiannya gagal dan jatuh namun bangun semula).

Saya dah sedar apa yang diinginkan dalam hidup. Cuma yang tinggal adalah peluang.

2009. Saya telahpun dikurniakan anak lelaki pula.

Pada awal pagi 25 Jun 2009, handphone berbunyi ketika dalam perjalanan ke pejabat. Panggilan dari isteri.

"You tau tak Michael Jackson passed away?"; tanya beliau.

"Entahlah pulak. Nanti sampai opis I check"; kata saya.

Terus terang saya tak mengendahkan sangat khabar itu pada mulanya kerana Michael memang masak dengan gosip sensasi yang kebanyakannya adalah palsu - dari berita kononnya beliau memeluk Islam (ahaksss!!!) hinggalah membeli rangka tulang The Elephant Man. Itu belum termasuk sensasi kes mahkamah mengenai pencabulan kanak-kanak penghidap kanser, yang mana segala pertuduhan terhadap Michael digugurkan kemudiannya.

Beberapa jam kemudian saya menonton sendiri kenyataan media oleh Jermaine Jackson yang disiarkan secara langsung ke seluruh dunia. Seperti kebanyakan orang yang membesar dengan lagu-lagu dan video Michael, berita tersebut seakan 'surreal' pada mulanya namun perlahan-lahan realiti mula menyelinap beberapa hari kemudian bahawa King Of Pop memang sudah tiada lagi.

Sejak dua minggu lepas saya mula mendengar semula lagu-lagu Michael dan menonton klip-klip videonya yang tak pernah gagal mengkagumkan saya. Nostalgia bersilih ganti namun saya mampu mengingati dengan tepat bila dan di mana saya berada ketika pertama kali mendengar hampir setiap lagu beliau.

Michael Jackson merupakan suatu fragmen perjalanan diri menuju kedewasaan, setidaknya bagi saya. Fragmen yang mempengaruhi rentetan hidup sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Bila diri sudah menjengah usia 40an, Michael dan muziknya adalah seakan seorang kawan lama yang tahu dirinya makin tidak dipedulikan dalam kesibukan kita mengharungi hidup. Namun seperti mana-mana kawan lama yang baik, beliau sentiasa ada dan akan memunculkan diri bila kita memerlukannya.

Sama ada untuk inspirasi dari 'Man In The Mirror' atau 'Another Part Of Me'.

Meyakini bahawa kebaikan dan perpaduan sejagat masih boleh menjadi harapan melalui 'Heal The World', 'We Are The World' dan 'Earth Song'.

Sekadar melepas kekusutan dengan gitar elektrik 'Beat It', 'Dirty Diana' atau 'Give In To Me'.

Beromantika dengan 'Human Nature', 'She's Out Of My Life' atau 'You Are Not Alone'.

Atau setidaknya gambaran terhadap inosens diri yang hilang di celah suara lantang kanak-kanak dalam 'I Want You Back', 'This Place Hotel' dan 'I'll Be There'.

"One day in your life, when you find that you're always waiting. For the love we used to share...."

R.I.P Michael Jackson. We'll miss you.

"....Just call my name..."

Terima kasih di atas segala muzik dan inspirasi untuk menjadikan dunia ini sebagai tempat yang lebih baik untuk semua.

"....And I'll be there..."

Diri sendiri telah ditemui.

Monday, April 7, 2008

Otograf Peribadi Dari Tun M

Ketika Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) dipecat dari UMNO sekitar 1969-1971 dahulu, beliau telah kembali semula kepada profesyen kedoktoran.

Ketika itu, MAHA Klinik, klinik beliau yang terletak di Pekan Melayu, Alor Setar amat terkenal di kalangan masyarakat setempat. Ditubuhkan pada tahun 1957 setelah Tun M bersara dari berkhidmat dengan hospital kerajaan, ia merupakan antara klinik persendirian pertama yang dibuka di kampung saya.

Hingga kini saya amat berbangga kerana Tun M sendiri merupakan doktor yang telah menanam vaksin ketika saya masih bayi. Sebagai doktor autoritatif terhadap bukti bahawa ibubapa saya telah menjalankan tanggungjawab seperti mana ibubapa lain yang baru menerima kelahiran cahayamata, notasi dan tandatangan Tun M termetrai pada sijil kelahiran saya, bertarikh 15 April 1970.

My Personal Tun M's Autograph.jpg

Kiranya inilah otograf peribadi dari Tun yang ada dalam simpanan.

And the most priceless!

Wednesday, March 19, 2008

Tahniah Shahrizat!!!

Ada antara kita yang bila saja tidak menyukai sesuatu akan terus kondem 100% segala yang dilakukan 'sesuatu' itu walaupun ada antaranya mempunyai merit dan kebaikan. Saya kategorikan orang sebegini sebagai 'bodoh sombong'.

Ada pula antara kita yang terlalu mengagungkan sesuatu akan menerima bulat-bulat apa saja yang dibuat atau dikatakan 'sesuatu' itu hingga ke satu tahap seolah-olah menyamai seorang nabi yang maksum. Saya kategorikan orang sebegini sebagai 'balachi'.

Pada saya pula, "give credit where credit is due".

Untuk rekod, saya sememangnya mengkagumi YB Datuk Sri Shahrizat Abdul Jalil yang pernah memegang portfolio Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan ADUN Kawasan Lembah Pantai sebelum Pilihanraya Umum 2008.

Antara penghormatan terbesar yang pernah saya terima ialah mendapat peluang untuk bertemu secara terus dengan beliau ketika proses menyiapkan buku 'coffee-table' CHANTEK pada tahun lepas. Walaupun cuma bertemu secara peribadi sebanyak tiga kali secara rasmi untuk memberi laporan kemajuan dan membentangkan unjuran 'mock' CHANTEK, saya dapati beliau sebenarnya mempunyai citarasa tinggi, ide yang bernas, boleh menerima pendapat orang lain (asal saja dilapik fakta --- beliau adalah bekas majistret) dan mempunyai 'sense of humour'.

PuasaFest KPWKM 2007.jpg

Ini dapat dilihat terhadap kemajuan kawasan Lembah Pantai sejak beliau menjadi wakil kawasan, terutamanya dari segi peningkatan taraf hidup setinggan kawasan tersebut. Dari segi portfolio Shahrizat sebagai menteri pula, wah... kalau nak dibariskan pencapaiannya dari tahun 2001 ke 2007, memang 'sampai esok pagi' jawabnya:

  • Agresif mengunjurkan pindaan perkara 8(2) Perlembagaan Malaysia - Hak sama rata antara lelaki dan wanita yang sebulat suara diluluskan parlimen pada 1 Ogos 2001.

  • Agresif mengunjurkan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kesaksamaan Gender pada tahun 2003 yang mana berfungsi menentukan halatuju dan dasar serta memantau pelaksanaan projek yang berkaitan dengan pembangunan wanita dan keluarga.

  • Agresif meminta Kerajaan melaksanakan dasar bahawa wanita harus memegang jawatan di peringkat 'decision maker' dalam sektor awam (kurang pasti sama ada sektor swasta juga melaksanakannya). Dasar ini dipersetujui Kerajaan pada tahun 2004.

  • Penubuhan Klinik 'Nur Sejahtera' yang menyediakan khidmat kesihatan reproduktif, saringan kanser wanita, kaunseling dan informasi.

  • Mengetuai dialog-dialog antarabangsa yang menyentuh isu-isu kesaksamaan gender dan masyarakat seperti Sidang Penduduk Asian dan Asia Pasifik Kelima di Bangkok pada tahun 2002.

  • Mewartakan Akta Kanak-Kanak (Akta 611) pada tahun 2002 yang bertujuan memberikan pemeliharaan, perlindungan dan pemulihan bagi kanak-kanak dan meningkatkan hukuman terhadap kesalahan rogol melalui pindaan Seksyen 375 Kanun Keseksaan pada tahun 2002.

  • Berbaris-baris dan berjela-jela pencapaian terhadap golongan-golongan sasar seperti kanak-kanak, keluarga, wanita & gadis, orang kurang upaya, orang papa, mangsa bencana alam, NGO dan warga emas.

Ada yang bertanya saya, kenapa Shahrizat boleh kalah padahal beliau memiliki kredibiliti dan 'track record' yang memberangsangkan. Jawapan saya ialah kerana beliau berada di tempat dan masa yang tidak sesuai --- ketika masyarakat mula muak dengan kerenah golongan tertentu dalam parti yang juga dianggotainya. Juga terpaksa bertembung dengan darah daging 'kepala' Parti Keadilan Rakyat yang dilihat sebagai 'alternatif baru' dalam senario politik tanahair yang dibebani imej negatif sejak empat tahun sudah.

Saya banyak melayari Web sejak keputusan Pilihanraya 2008 diumumkan. Banyak terdapat gesaan atau ejekan 'padan muka' terhadap individu tertentu yang kalah. Namun hingga ke hari ini saya belum melihat sebarang posting atau artikel yang memperlecehkan pencapaian Shahrizat. Itu, pada saya, banyak berbicara!

Oleh yang demikian, saya merasa gembira bila mendapat tahu bahawa Shahrizat telah dilantik sebagai Penasihat Khas (Berpangkat Menteri) Kepada Perdana Menteri yang akan banyak memberikan pandangan dan input berkualiti terhadap portfolio dan skop kerja yang pernah disandangnya sebelum ini.

Shahrizat mempercayai 'merit'. Secara mudah, caranya ialah 'buktikan dahulu bahawa anda bercakap serupa bikin' sebelum diberikan kepercayaan menangani projek-projek yang dianugerahkannya.

Itulah antara pengalaman berguna yang kami alami ketika menyiapkan CHANTEK.

Dan semoga kami akan terus menerima pengalaman-pengalaman berguna seumpamanya dan limpahan 'wisdom' beliau di masa hadapan!