Memaparkan catatan dengan label Pendapat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pendapat. Papar semua catatan

Ahad, Mac 14, 2010

'Susah kan pilih susu anak?'

Assalamualaikum..



'Susah kan pilih susu anak?'

Ayat ini dipetik daripada satu iklan susu formula di kaca televisyen. Sejauh mana kebenaran ayat tersebut? Mendengar sahaja ayat tersebut pertama kali dahulu, dua perkara terlintas di fikiranku.

Perlukah memilih?

Perkara pertama ialah mengenai perihal memilih. Pada pendapat pembaca sekalian, jika sudah tersedia yang terbaik, perlukah kita memilih di kalangan yang baik atau yang tidak baik (bukan yang terbaik) selain daripada yang terbaik itu? Sudah tentu kita tidak teragak-agak untuk mengambil yang terbaik dan sudah tersedia di depan mata itu tanpa perlu memikirkan proses pemilihan yang lain-lainnya yang perlu dicari di merata-rata tempat itu.

Jadi, begitu juga halnya dengan isu penyusuan ini. Susu ibu yang sudah tersedia dengan zat-zatnya yang lengkap tanpa perlu dibayar perlu dimanfaatkan sebaik mungkin tanpa perlu memilih produk-produk yang belum tentu lengkap untuk keperluan si kecil kita. Tambahan pula, ia perlu dicari di kedai-kedai dan mesti dibeli setiap kali kehabisan stok.

Susahkah memilih?

Apabila kita tidak perlu memilih, sudah pasti langsung tidak timbul soal senang atau susah. Isu sukar hanya akan timbul jika kita memilih sesuatu untuk dibandingkan, sedangkan kita sudah mengambil yang terbaik tanpa perlu membuat sebarang pilihan kerana susu ibu telah terbukti adalah yang terbaik untuk bayi.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Selasa, Mac 09, 2010

Koleksi lampin Ummair..

Assalamualaikum..

Walaupun di awal beberapa bulan pertama umur Ummair, kami pakaikan lampin pakai buang, namun akhirnya kami memiliki set lampin yang dipanggil cloth diaper atau CD. Lampin ini tidak dibuang, sebaliknya dibasuh setiap kali selepas digunakan.

Membasuh CD tidaklah rumit. Ia boleh dibasuh hanya dengan rendaman dan sentalan tangan, atau jika agak keberatan, CD juga boleh dibasuh dengan mesin basuh.

Koleksi CD Ummair dengan pelbagai warna :













Memang tidak dinafikan harganya agak mahal tetapi sangat berbaloi kerana kita hanya perlu mengeluarkan modal sekali, tetapi sangat tahan lama. CD yang sama juga mungkin masih boleh digunakan untuk anak-anak kita yang seterusnya.

Kerana harganya ini, pada permulaannya kami hanya membeli 6 keping. Selepas sebulan, baru kami tambah 6 keping lagi, menjadikan semuanya 12 keping sekarang. Jadi, CD sempat dibasuh untuk memastikan ia dapat digunakan keesokan harinya.

Walaupun harga lampin pakai buang jauh lebih murah iaitu beberapa sen sahaja sekeping, tetapi setiap hari kita memerlukan 7-8 keping lampin untuk dipakaikan dan selepas itu dibuang. Kiraan untuk seorang bayi sebulan ialah 240 keping. Jika anak lebih daripada seorang, tentu jumlah wang yang perlu dilaburkan semakin besar dan amaun lampin yang dibuang juga meningkat.

Inilah bumi kita sekarang..

Selain daripada faktor harga, faktor global ialah mengenai alam kita. Suatu masa nanti, akan tiba masanya di mana bumi kita sudah tidak lagi mampu menampung timbunan lampin pakai buang yang terlalu banyak sehingga menjadi bukit malahan gunung lampin.

Satu lagi kelebihan yang kami nampak setelah menggunakannya ialah, ruam-ruam kemerahan pada Ummair yang timbul ketika dipakaikan lampin pakai buang sudah hilang setelah dipakaikan CD.

Ini kerana, lampin pakai buang dilengkapi dengan bahan yang menyerap cecair dengan tujuan untuk menyerap air kencing bayi. Tetapi malangnya, bahan tersebut terlalu menyerap sehingga mengeringkan kulit bayi.

CD pula diperbuat daripada kain yang sangat lembut dan selesa pada kulit bayi. Kainnya menyerap cecair, tetapi pada masa yang sama, tidak mengeringkan kulit bayi.

Ummair seronok memakai CDnya..

Alhamdulillah, setelah beberapa bulan dipakaikan CD, Ummair kelihatan begitu serasi dan selesa. Kami sebagai ibu bapa juga seronok kerana walaupun memerlukan sedikit tenaga untuk membasuh, kami tidak menganggap tugas itu sebagai bebanan kerana minda kami sentiasa berfikir bahawa kami sedang menyelamatkan bumi daripada dilitupi timbunan lampin pakai buang!

[+] Baca seluruh catatan ini..

Rabu, Mac 03, 2010

Realiti amalan solat hari ini..

Assalamualaikum..

Hari ini terdetik di hatiku untuk menulis mengenai realiti amalan solat di kalangan masyarakat kita di Malaysia pada masa kini. Sebenarnya sudah lama keinginan ini timbul setelah melihat situasi ini pada masyarakat persekitaran.


Walaupun negara ini sudah terkenal sebagai negara Islam di kaca mata dunia, namun kesedaran mengenai ibadah yang menjadi tunjang agama ini nampaknya benar-benar dianggap remeh. Islam hanya dilihat sebagai agama pengakuan semata-mata, sedangkan praktikalnya diabaikan.

Pengalaman berada di negeri pantai barat beberapa tahun telah membuka mataku mengenai situasi yang amat membimbangkan ini. Rupa-rupanya solat atau tidak solat bukanlah menjadi perkara penting di kalangan masyarakat kota yang sibuk dengan urusan kerja masing-masing.

Teringat pula kami adik-beradik semasa di alam persekolahan suatu masa dahulu. Kami sering diingatkan supaya tidak meninggalkan amalan solat walau sesibuk mana pun kami. Jika berkelapangan, kami berjemaah bersama-sama.


Berada di kalangan masyarakat yang jauh daripada solat mengejutkan aku pada awal-awal dahulu. Terasa janggal. Tetapi, rupa-rupanya kita yang menjaga solat pula dilihat janggal kerana menjaga setiap waktu solat. Bagi mereka, hanya orang yang bergelar ustaz atau yang seangkatan dengannya sahaja perlu menjaga solat.

Satu lagi perkara pelik mengenai solat ialah, mereka langsung tidak segan mengakui bahawa mereka memang tidak solat, sedangkan mereka bermati-matian mempertahankan kedudukan mereka sebagai muslim.

Inilah realiti masyarakat kita. Kita yang menyedari dan memahami perkara ini perlu menegur dengan berhikmah. Semoga isu ini juga akan dipandang serius oleh pihak yang berkenaan suatu masa nanti.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Jumaat, Oktober 16, 2009

Berkesankah kempen pada kotak rokok?

Assalamualaikum..

Sejauh manakah kempen untuk memberhentikan amalan merokok di kalangan penduduk Malaysia berjaya? Walaupun foto-foto yang menggerunkan dikepilkan pada setiap kotak rokok yang dijual, namun tabiat ini tidak akan dapat dikurangkan.

Entah bagaimana caranya, aku sendiri tidak pasti. Sememangnya, sesuatu tabiat buruk di kalangan masyarakat kita amat sukar untuk dibendung.


[+] Baca seluruh catatan ini..

Jumaat, Ogos 14, 2009

Sejauh manakah kempen ini berjaya?

Assalamualaikum..

Kempen yang berslogankan "Say no to plastic bags" nampaknya tidak begitu dipandang sebagai isu yang penting di kalangan masyarakat kita. Aku memang menyedari hakikat perkara sebegini di negara ini.


Disebabkan perkara ini tidak menampakkan kesan apabila jumlahnya sedikit, orang kita tidak nampak kepentingannya. Apabila berlaku bencana seperti banjir kilat atau seumpamanya, baru umum menyedari akan kesan jangka panjang isu global ini.

Berdasarkan pemerhatianku, aku berpendapat bahawa masyarakat kita yang penuh dengan adat kesopanan ini agak sukar untuk meninggalkan budaya atau kebiasaan yang sudah lama sebati dengan amalan harian mereka. Bila situasi ini berlaku dalam urusan pembelian harian, kita akan menjadi segan untuk mengatakan "TIDAK" kepada penggunaan beg plastik yang diberi oleh peniaga.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Khamis, Julai 30, 2009

Hak bayi untuk disusukan dengan susu ibu..

Assalamualaikum..

Penyusuan adalah hak bayi yang telah ditetapkan oleh Islam. Hak ini dipertanggungjawabkan kepada ibu berdasarkan firman Allah di dalam surah Al-Baqarah ayat 233.



Antara hikmah dalam menetapkan tempoh penyusuan selama dua tahun adalah kerana penyusuan yang melebihi tempoh tersebut akan mendatangkan kemudharatan kepada bayi itu sendiri sebagaimana yang diperakui dalam bidang perubatan.

Menyusu badan mendatangkan banyak faedah terhadap tumbesaran dan emosi bayi. Susu ibu amat baik kerana ia lengkap dengan pelbagai unsur serta kandungan antibodi bagi melawan penyakit. Oleh itu, seorang bayi yang menyusu daripada ibunya akan memiliki tumbesaran yang stabil dan lebih kuat. Tambahan pula, bayi itu telah disusui dengan penuh kasih sayang, lemah-lembut dan suasana yang tenang.

Malah, susu ibu tiada tandingannya dengan susu-susu yang lain kerana ia berfungsi mengikut umur bayi dan keperluan badan bayi tersebut. Ia juga bersih dan bebas daripada sebarang jangkitan kuman. Pakar perubatan juga mengesahkan bahawa ibu-ibu yang menyusukan anak mereka tidak akan diserang kanser payudara dengan izin Allah dan ia juga membantu mengelakkan obesiti.

Sepatutnya, seorang wanita Islam perlu mengambil berat untuk menyusukan anaknya dengan susu badannya sendiri sebagai tanda ketaatan kepada perintah Allah dan juga bertujuan menjaga kesihatan diri serta bayinya. Dia hendaklah menyusukan bayinya agar ia menjadi insan yang paling berhak mendapat layanan terbaik sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadith Nabi ketika Baginda disoal tentang siapakah yang paling berhak mendapat layanan terbaik daripada seorang anak. Jawab Baginda: Ibumu! Ibumu! Ibumu! Ini keana, ibulah yang merasai kesusahan ketika mengandung, melahirkan anak dan menyusu.

Kami sentiasa berdoa agar kami diberikan kekuatan untuk meneruskan niat murni kami ini. InsyaAllah.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Khamis, Mei 21, 2009

Gaya bahasa penulisan blog..

Assalamualaikum dan selamat bertemu kembali..

Jika diperhatikan kepada perkembangan teknologi perhubungan dan maklumat masa kini, saban hari kewujudan blog-blog baru di ruang siber makin bertambah dan bercambah dengan begitu cepat. Tidak kira daripada golongan mana, semua manusia alaf baru kini tidak mahu melepaskan peluang untuk menikmati era yang serba canggih ini.

Bermula daripada kanak-kanak sekolah sehingga ayah atau ibu kepada beberapa orang anak malah datuk atau nenek, semua lapisan masyarakat mengambil kesempatan untuk meluahkan perasaan atau apa yang terbuku di hati melalui penulisan blog.

Jika dahulu manusia gemar menulis diari secara manual di dalam buku, kini penulisan diari kehidupan sudah ditukar kepada penulisan blog. Jadi, blog sebenarnya adalah sebuah diari digital, atau mungkin boleh dikenali sebagai e-diari!


Untuk catatan kali ini, aku terfikir untuk berkongsi atau meluahkan satu perkara yang sudah berlegar-legar di benakku sejak beberapa waktu, iaitu mengenai gaya bahasa penulisan blog. Setelah membaca dan meneliti banyak blog, pelbagai ragam bahasa dapat dikenalpasti. Terdapat blog yang bahasanya dijaga dengan rapi sehingga menampakkan keindahannya. Tetapi, kebanyakan blog begitu bercelaru penulisannya sehingga merosakkan keluhuran bahasa itu sendiri.


Di sini, aku menumpukan topik ini kepada gaya penulisan bahasa Melayu. Pada pendapatku secara peribadi, seseorang penulis blog perlu memastikan bahawa setiap nukilannya tidak mencacatkan bahasa itu sendiri. Beberapa perkara asas mesti diberi perhatian agar keindahan bahasa kita terpelihara.

Antaranya ialah, seseorang penulis haruslah memastikan supaya ayat yang digarap itu tidak tergantung. Imbuhan pula mesti digunakan dengan betul. Di samping itu, penggunaan huruf besar dan huruf kecil pada tempat yang sesuai juga memainkan peranan dalam penulisan. Kesimpulannya, kita hanya perlu mengaplikasikan apa yang pernah kita pelajari dalam mata pelajaran bahasa Melayu ketika di bangku sekolah rendah dan sekolah menengah suatu ketika dahulu!

Jika alasan untuk tidak menggunakan bahasa dengan betul adalah kerana ingin menjadikan catatan blog itu santai dan bersahaja, aku kurang bersetuju kerana aku pernah membaca beberapa blog yang ditulis dengan bahasa yang tidak cacat tetapi masih mampu menyelitkan elemen santai itu.

Semuanya bergantung kepada kehendak masing-masing dalam menghasilkan nukilan-nukilan e-diari kita dalam ruang maya ini.

Secara jujurnya, bahasa penulisanku sendiri kadang-kadang ada juga kesilapannya. Tetapi aku berusaha sebaik-baiknya agar setiap patah perkataan digarap dengan betul.

Aku berpegang kepada prinsip bahawa setiap ilmu yang dipelajari wajib diamalkan sedaya yang mampu. Jadi, jika kita pernah mempelajari ilmu bahasa Melayu ini, kita perlu mengaplikasikannya dalam penulisan blog.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Sabtu, April 11, 2009

Tabiat membuang sampah..

Assalamualaikum..

Sebagai permulaan catatan, perlu diingatkan kembali di ruang fikiran kita bahawa Islam sangat mengutamakan kebersihan. Kebersihan adalah salah satu daripada tanda keindahan deen (cara hidup) kita ini.


Melihat kepada budaya menjaga kebersihan di kalangan masyarakat Islam di negara kita, aku dapat membuat kesimpulan bahawa aspek ini dianggap begitu remeh oleh kebanyakan individu yang mengaku dirinya muslim, seolah-olah bab ini tidak ada dalam pelajaran agama kita.

Walhal jika kita merujuk mana-mana kitab Fiqh, kebanyakan ulama meletakkan tajuk kebersihan sebagai tajuk utama perbincangan sebelum memasuki tajuk-tajuk yang lain. Ini menunjukkan bahawa kebersihan sangat dititikberatkan agar diaplikasikan dalam kehidupan kita. Secara logik pun, kita perlu berada dalam keadaan suci sebelum dapat menunaikan amalan fardhu seperti solat lima waktu.

Memang tidak mudah untuk mengamalkan sesuatu supaya menjadi rutin kehidupan. Semuanya memerlukan didikan sejak awal dan latihan berterusan agar apa yang diamalkan itu menjadi sebati dengan jiwa dan tidak lagi terasa bebanan ketika melakukannya.

Jika kita suka memerhatikan gelagat masyarakat kita hari ini, bermacam-macam sikap manusia mampu membuat hati kita tertanya-tanya. Sesetengah tempat yang diletakkan papan tanda "dilarang membuang sampah di sini" dipenuhi dengan sampah yang dilonggok di kawasan tersebut. Adalah mustahil jika penghuni negara merdeka ini masih buta huruf!

Antara gelagat yang dapat diperhatikan juga ialah sikap membuang bungkusan makanan atau apa sahaja yang dikategorikan sebagai sampah, ke luar tingkap kereta dengan tiada langsung perasaan bersalah. Walhal, bila berlaku kejadian seperti longkang tersumbat dan seterusnya mengakibatkan terjadinya banjir kilat, tiada siapa pun tampil mengakui kesilapan sedangkan pembuangan sampah sewenang-wenangnya itu lah punca utama terjadinya tragedi yang tidak diingini tersebut.

Sebagaimana yang disebutkan tadi, perkara yang dianggap remeh ini memerlukan didikan, kesedaran, dan amalan berterusan kerana perkara ini melibatkan sikap manusia. Aku teringat pada zaman persekolahanku suatu ketika dahulu yang begitu banyak mencorak diriku pada hari ini. Daripada faktor didikan Abah dan Ma, sanak-saudara, guru-guru, teman-teman, sehingga lah faktor diri sendiri dan pengalaman yang mematangkan. Pengalaman kadang-kadang boleh menjadi guru yang paling baik!

Masih terngiang-ngiang di telingaku nasihat seorang ustaz ketika di bangku sekolah suatu ketika dahulu,

"Lepas makan gula-gula atau apa sahaja makanan, pembalutnya hendaklah dibuang ke dalam tong sampah. Kalau tidak kelihatan tong sampah di kawasan sekitar, kamu simpan dahulu pembalut itu di dalam kocek. Apabila nampak tong sampah, kamu boleh buang sampah itu ke dalamnya. Pada saat itu, kamu telah melakukan satu kebajikan. Alam akan bersih daripada pencemaran walaupun hanya daripada secebis pembalut makanan," begitulah nasihat yang terus aku amalkan ketika itu.

Sehingga sekarang, jika terlihat orang membuang sampah sesuka hati, hatiku menjadi sakit dan marah. Apa lah salahnya jika sampah itu disimpan seketika sebelum menemukan tempat yang sepatutnya untuk dibuang.

Kempen untuk memberikan kesedaran telah banyak dianjurkan tetapi tetap juga tidak dapat menyedarkan masyarakat. Entah sampai bila kempen akan terus dianjurkan tanpa mendapat natijah yang diharap-harapkan.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Jumaat, Mac 20, 2009

Unikkah kembar?

Assalamualaikum dan bertemu kembali..

Secara logiknya, adalah lebih mudah untuk mencipta sesuatu yang sama berbanding menghasilkan sesuatu yang berlainan. Semakin besar kuantiti produk yang dihasilkan, semakin senanglah proses pengeluaran produk yang sama itu dan semakin sukarlah proses pengeluaran produk yang berbeza-beza itu. Produk-produk yang berlainan itu pastinya lebih unik daripada produk-produk yang sama.

Tetapi, produk-produk yang unik itu tidak lagi dipandang unik apabila kebanyakan produk adalah berlainan. Sebaliknya, produk-produk yang sama tadi dianggap unik apabila jarang dapat ditemukan.

Sebenarnya ayat-ayat yang aku falsafahkan di atas adalah suatu gambaran mengenai istilah 'kembar' atau lebih tepat lagi ialah 'kembar seiras'. Cuma bila dikaitkan dengan kekuasaan Allah, tiada suatu apa pun yang mustahil. Tiada yang sukar bagi Allah. Allah menterbalikkan logika tersebut, iaitu 'tidak kembar' yang sebenarnya adalah unik sudah dianggap tidak unik manakala 'kembar' yang sepatutnya tidak unik kerana diciptakan sama, sudah dianggap unik.


Sedar atau tidak, aku dijodohkan dengan kembar. Memang tidak terduga untuk berkongsi hidup dengan insan kembar di mana pada pandanganku suatu ketika dahulu, kembar amat jarang ditemui dan sesiapa yang mendapat jodoh dengan kembar sangat bertuah!

Mengikut pendapat beberapa teman, kembar boleh terjadi berdasarkan keturunan. Nampaknya ada juga benarnya kerana AbeKiman (abang isteriku) dikurniakan sepasang anak sulung lelaki yang kembar seiras, iaitu Afiq dan Adib. Sekarang mereka sudah berusia 11 tahun.

Ada juga yang berpandangan bahawa antara pasangan kembar tersebut akan ada satu pihak yang berkemungkinan tinggi mendapat zuriat kembar. Jika dilihat kepada situasi setakat hari ini, kembar isteriku (Ti) sudah mempunyai dua orang anak dan kedua-duanya bukan kembar, manakala isteriku sedang mengandung dan bayi tersebut juga tidak kembar mengikut pemerhatian semasa pemeriksaan kami di klinik.

Ini bermaksud bahawa jika Ti dikurniakan zuriat kembar, maka kebarangkalian untuk isteriku mendapat anak kembar adalah rendah. Begitulah juga sebaliknya, iaitu jika ditakdirkan isteriku dikurniakan zuriat kembar, kemungkinan Ti pula akan tipis untuk mendapat anak kembar.

Kembar juga dikatakan boleh berlaku apabila ibu mengandung mengamalkan pemakanan yang dapat meningkatkan kebarangkalian mendapat bayi kembar. Sejauh mana kebenaran dan keberkesanannya, semuanya bergantung kepada kehendak Yang Maha Pencipta.

Walau bagaimana pun, semua itu adalah mengikut ketentuan Allah. Apa yang lebih penting daripada isu kembar ini ialah apabila setiap zuriat yang dikurniakan kepada kita dapat dididik menjadi anak yang soleh/solehah serta musleh/muslehah, iaitu bukan sahaja baik budi pekertinya, malah dapat membawa kebaikan kepada manusia sejagat.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Isnin, Oktober 20, 2008

Ayat-Ayat Cinta : Antara novel dan filem..

Assalamualaikum..

Ayat-Ayat Cinta ialah novel berbahasa Indonesia karangan Habiburrahman El Shirazy (atau lebih dikenali sebagai Kang Abik) yang diterbitkan pertama kali pada tahun 2004. Novel ini berjaya menjadi salah satu novel terlaris di Indonesia yang dicetak sehingga 160 ribu naskhah hanya dalam jangka masa tiga tahun. Ayat-Ayat Cinta juga adalah pelopor kepada karya sastera Islam.



Setelah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan di Indonesia sehingga diiktiraf sebagai best seller, novel ini telah diterjemahkan kepada bahasa Melayu untuk tatapan rakyat negara kita.



Novel Ayat-Ayat Cinta menggambarkan kehidupan seorang penuntut Indonesia bernama Fahri yang sedang berusaha untuk mendapatkan ijazah sarjananya di Universiti Al-Azhar, Mesir. Fahri adalah seorang muslim yang sangat taat kepada ajaran agamanya iaitu Islam.

Sesiapa sahaja yang pernah membaca novel ini akan mengagumi watak utama itu. Setiap pembaca pasti mendambakan akhlak yang sangat sempurna seperti Fahri. Pernah terdetik di hatiku bahawa Fahri adalah Habiburrahman El Shirazy. Ya! Seolah-olah penulis itu memperihalkan dirinya sendiri di dalam karya indahnya itu.

Pada tahun ini, akhirnya novel ini difilemkan setelah perkembangan yang sangat memberangsangkan dicapai melalui karya novel tersebut. Setiap orang mempunyai pendapat yang tersendiri mengenai filem tersebut.



Setelah menonton filem Ayat-Ayat Cinta yang ditayangkan di kaca televisyen pada bulan Syawal yang lalu, aku tidak dapat mencapai kepuasan seperti selepas aku menghabiskan pembacaan novelnya.

Pada pendapat peribadiku, novel Ayat-Ayat Cinta sangat bagus dari pelbagai sudut. Daripada kekuatan wataknya, sehinggalah kepada jalan cerita dan keindahan bahasanya, terserlah kehebatan penulisannya.

Apabila dilihat kepada filemnya, ternyata tahap kehebatan novel yang menjadi dasar penerbitannya itu sukar dicapai sepenuhnya. Watak Fahri di dalam filem tidaklah sekuat atau sehebat watak Fahri yang telah digambarkan di dalam novel.



Di samping itu juga, terdapat beberapa perbezaan antara filem dan novel tersebut. Antara perbezaan yang dapat dilihat ialah, di dalam novel karangan Habiburrahman El Shirazy, watak Maria mempunyai seorang adik lelaki yang bernama Yousef, tetapi di dalam filem yang ditayangkan, watak Yousef tidak ada sama sekali kerana Maria digambarkan sebagai anak tunggal di dalam keluarganya.

Habiburrahman El Shirazy..


Satu lagi perbezaan yang dapat dilihat ialah, di dalam novel, watak wartawan Amerika yang bernama Alicia akhirnya datang melawat Fahri sebagai seorang muslimah, sedangkan di dalam filem, perkara tersebut langsung tidak diketengahkan.

Kesimpulannya, bagi orang yang telah membaca novelnya sebelum diterbitkan filemnya, ramai yang berasa tidak puas dengan hasil produksi filem yang seolah-olah tidak seratus-peratus menggambarkan novelnya.

Bagi orang yang belum pernah membaca novelnya pula, mungkin ada yang teruja dengan filem yang ditonton, lantas berasa tidak perlu lagi membaca novelnya, dan mungkin juga ada yang mula mencari naskhah novel yang mendapat jualan terlaris itu.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Selasa, Oktober 14, 2008

Sekitar Pemilihan UMNO pada 9 Oktober hingga 9 November 2008..

Assalamualaikum..

Politik Malaysia terus bergolak tanpa ada kesudahannya. Sekarang pula, telinga kita disajikan dengan berita mengenai pemilihan parti melayu terbesar negara, iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, atau lebih dikenali sebagai UMNO (United Malays National Organisation).



Sebarang keputusan dalam pemilihan parti itu dilihat sebagai sangat penting dalam menentukan halatuju negara kerana secara tidak langsung, ia bakal menentukan pemimpin negara berikutan parti itu adalah parti yang memerintah.

Pemilihan kali ini menyaksikan pengumuman Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk tidak terus mempertahankan jawatannya sebagai presiden parti itu. Ini membuka ruang kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak apabila Perdana menteri dengan yakinnya meletakkan timbalannya itu sebagai penggantinya.


Kedudukan itu seolah-olah tidak dapat disangkal lagi. Namun, keputusan tetap terletak di tangan perwakilan-perwakilan parti itu jika dirasakan bahawa terdapat calon lain yang lebih layak untuk jawatan nombor satu itu.


Untuk jawatan yang akan dikosongkan oleh Datuk Seri Najib pula, calon paling layak yang sudah diteropong oleh pihak media ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Untuk tiga jawatan naib presiden parti, kelihatan beberapa calon menawarkan diri.

Untuk jawatan Ketua Pemuda pula, Datuk Mukhriz Mahathir dilihat lebih berpengaruh berbanding Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.


Kesimpulannya, kita sebagai rakyat Malaysia selalu mengharapkan sesuatu keputusan yang terbaik untuk kebaikan semua pihak.


Jika Barisan Nasional masih diberi mandat untuk memerintah, semoga pemilihan itu dibuat untuk kepentingan bersama.


Tetapi, jika apa yang diwarwarkan melalui Pakatan Rakyat oleh Ketua Pembangkang iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi kenyataan sebelum atau pada Aidil Adha ini, kita juga berharap agar kepentingan dan kebajikan rakyat tetap diutamakan.


[+] Baca seluruh catatan ini..

Isnin, Oktober 13, 2008

Akhbar yang semakin mendapat sambutan..

Assalamualaikum..

Hari ini, terdetik di hatiku untuk mencoret sedikit mengenai Sinar Harian, iaitu akhbar yang menjadi tatapanku saban hari semenjak mendirikan rumahtangga lebih kurang enam bulan yang lalu. Jika dahulu aku jarang membaca akhbar, sejak hati terpaut dengan akhbar tersebut, hampir setiap hari aku akan mendapatkan informasi daripada akhbar komuniti itu.



Aku yakin dan pasti bahawa bukan aku sahaja yang mula berjinak-jinak dengan akhbar Sinar Harian, malah ramai lagi rakyat Malaysia yang bertukar selera kepada akhbar itu.

Saban hari, akhbar Sinar Harian semakin mendapat tempat di hati pembaca-pembaca akhbar tanah air. Perkara ini berlaku kerana rakyat lebih mengharapkan laporan-laporan yang telus dan tidak 'berat sebelah'.

Dengan laporan yang bersifat setempat, setakat ini, Sinar Harian sudah pun mempunyai 5 edisi mengikut negeri, memandangkan terdapat sambutan yang begitu menggalakkan daripada pembaca-pembaca.

Kebanyakan akhbar sebelum ini biasanya mewakili sesebuah pertubuhan atau parti politik, lantas hanya melaporkan berita-berita yang baik mengenai pihak sendiri serta menyembunyikan fakta atau laporan mengenai kebaikan pihak lawan.

Perkara sebegini adalah tidak sihat kerana minda masyarakat kita seolah-olah dikongkong tanpa didedahkan dengan informasi yang tepat dan telus. Daripada maklumat yang separuh-separuh itu, masyarakat akan membuat penilaian yang salah mengenai sesuatu pihak.

Jika difikirkan sejenak mengenai masyarakat kita yang sudah 51 tahun merdeka, kita akan dapat memberikan sebab dan alasan kepada perubahan pemikiran orang kita itu. Ya, sebagai jiwa yang merdeka, sudah pastinya kita amat mendambakan berita yang telus dan terbuka.

Seharusnya, masyarakat diberi pendedahan yang sewajarnya agar penilaian dapat dibuat berdasarkan rasional sendiri, tanpa dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk kepentingan peribadi.

Di samping itu, selain daripada akhbar, media seperti televisyen juga seharusnya lebih terbuka dalam penyampaian informasi kepada rakyat.

P/s : Untuk pengetahuan pembaca, penulis tidak mendapat apa-apa bayaran daripada akhbar berkenaan kerana mempromosikannya. Ini hanya pandangan peribadi penulis.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Khamis, September 11, 2008

11 September 2001 tinggal kenangan..

Assalamualaikum..

Selain daripada ulangtahun kelahiran Abah, tarikh ini juga adalah tarikh yang amat menggerunkan dunia pada 7 tahun yang lalu.



Peristiwa yang menimpa Pusat Dagangan Dunia (WTC) itu begitu memberi kesan kepada dunia seluruhnya. Pelbagai tuduhan kepada agama Islam dan segala yang berkaitan dengan pegangan suci kita itu dilemparkan bertubi-tubi.

Tiba-tiba, aku teringat kepada tarikh 11 September 2001 itu. Ketika berlakunya peristiwa itu, aku sedang menuntut di Kolej MARA Seremban (KMS) di Seremban, Negeri Sembilan.

Seingatku, sepanjang hampir 2 tahun belajar di sana, itulah berita dunia yang paling menggemparkan seluruh warga KMS. Di samping berbincang mengenai pelajaran pada waktu malam, pasti akan terselit juga perbincangan di kalangan kami mengenai isu tersebut.

Islam terus-menerus dipersalahkan oleh pihak barat walaupun belum terbukti akan kebenarannya. Tragedi itu seolah-olah membuka peluang yang begitu luas kepada pihak barat untuk menghentam Islam secukup-cukupnya.

Lalu, menularlah ke seluruh pelusuk dunia bahawa Islam itu adalah agama yang menganjurkan keganasan. Penganut-penganutnya pula dilabelkan sebagai pengganas-pengganas yang perlu diburu dan dihapuskan. Imej Islam tercalar teruk.

Walhal, peristiwa hitam itu mungkin sahaja sengaja direka-reka oleh pihak barat sendiri, semata-mata untuk mencipta alasan agar Islam halal untuk dimusuhi oleh semua pihak.



Apa yang pasti ialah, sejak tragedi itu, tahun demi tahun, dunia Islam mula menyanjung tinggi Osama bin Laden dan mengutuk serta membenci Bush. Osama dianggap sebagai wira dan pejuang Islam yang sejati, manakala Bush pula dilabelkan sebagai penjahat dunia yang kejam.

Tidak ketinggalah untuk mendapat faedah daripada peristiwa ini ialah pengeluar pakaian. Sejak tarikh itu, idea mereka mengeluarkan kemeja-T dengan dicetak gambar Osama bin Laden di bahagian hadapannya, mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila di mana-mana, kelihatan baju sebegitu dipakai oleh sesiapa sahaja!


[+] Baca seluruh catatan ini..

Selasa, September 02, 2008

Tadarus mengikut kemampuan..

Assalamualaikum..

Apabila tiba Ramadhan, antara ibadah yang dijadikan rutin selain solat sunat Tarawih ialah tadarus Al-Quran.



Sebenarnya, tidak semestinya kita berazam untuk mengkhatamkan Al-Quran 30 juzuk dalam tempoh sebulan ini. Tadarus bergantung kepada kemampuan fizikal dan mental kita. Ia juga berkait rapat dengan amalan tadarus yang sudah biasa kita lakukan pada setiap bulan walaupun bukan Ramadhan.

Jika kita sudah biasa dengan 1 muka sehari, eloklah kita teruskan dengan kadar itu, atau boleh juga menambahkan sedikit bilangan muka per hari itu jika sudah rasa berkemampuan ke arah itu.

Tapi, jika sebelum Ramadhan, kita membaca Al-Quran dengan kadar seperti tadi, iaitu 1 muka sehari, lalu bila tiba Ramadhan, ingin terus mengejar 1 juzuk sehari, dikhuatiri fizikal dan mental tidak dapat bertahan untuk terus beristiqomah (berterusan).



Biarlah apa jua amalan yang kita lakukan itu berterusan walaupun sedikit. Tapi, jika mampu melakukan banyak, itu semestinya adalah lebih baik.

Ibadah ini juga tidak boleh dipaksa secara keterlaluan sehingga apabila tiba beberapa hari kita bertadarus, timbul perasaan yang negatif seperti penat dan malas, lalu tadarus tersebut terus ditinggalkan. Jadi, akan hilanglah konsep istiqomah tadi.

Satu lagi perkara yang tidak harus dilupakan apabila bertadarus ialah, seelok-eloknya kita membaca Al-Quran yang disertakan terjemahan di setiap muka surat. Ini akan memudahkan mata kita untuk melirik kepada maksud bacaan kita.

Bukan semua orang pernah belajar dan memahami bahasa Arab. Jadi, apabila kita membaca terjemahan dalam bahasa ibunda kita pada setiap ayat yang dibaca, kita akan lebih menghayati dan sekurang-kurangnya tahu apa yang kita sedang baca.

Kesimpulannya, tepuk dada, tanyalah ilmu dan iman. Ilmu akan memandu akal untuk memilih yang benar dan baik, manakala iman pula akan menuntun jiwa mengenal khaliq (pencipta).

Selamat berpuasa dan selamat bertadarus.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Ahad, Ogos 31, 2008

Merdekakah kita?

Assalamualaikum..

Hari ini, negara kita sudah 51 tahun merdeka. Jika sesuatu yang bernama 'merdeka' ini digambarkan sebagai seorang manusia, sudah tentu 51 tahun adalah usia yang cukup matang untuk menilai dan mentafsir sesuatu, malah sudah semakin hampir menuju tarikh persaraan.



Pastinya, pada usia sebegini, manusia yang berumur 51 tahun itu sudah tidak lagi ghairah mengumpul harta dan mengejar keseronokan, tetapi berlumba-lumba menggandakan amalan yang berpahala sebagai bekal di negeri yang kekal abadi.



Namun, jika dilihat kepada realiti rakyat Malaysia hari ini, kita tidak nampak merdeka itu dalam maksud yang sebenarnya. Entah di mana silapnya, pemikiran generasi kita seolah-olah masih dijajah walaupun secara luarannya, fizikal sudah tidak dikuasai oleh mana-mana pihak.

Semakin tua usia kemerdekaan, semakin menjadi-jadi pula penyakit sosial dalam masyarakat sehingga kita menjadi takut berada di dalam negara sendiri. Setiap hari, pelbagai kes jenayah dipaparkan di dada-dada akhbar. Ini membuatkan kita sentiasa diselubungi ketakutan. Merdekakah kita dalam keadaan begini?



Apa pun, marilah sama-sama kita renungkan erti kemerdekaan itu sendiri. Adakah kita sudah merdeka fizikal, mental, dan jiwa? Adakah cukup sekadar melaungkan 'MERDEKA' tepat pukul 12.00 tengah malam setiap 31 Ogos, lalu diraikan dengan pesta yang melalaikan?



Semoga kita dapat mencari dan menemukan erti kemerdekaan itu. Sudah pastinya, kemerdekaan dapat ditemukan di dalam diri kita sendiri andai kita benar-benar ingin mencarinya. Semoga kita dapat menghayati laungan kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman dengan penuh keinsafan. Cukuplah nenek moyang kita dahulu menderita akibat penjajahan.

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR!

[+] Baca seluruh catatan ini..

Disediakan oleh Tengku Azlan || Hakcipta Terpelihara © 2008