Memaparkan catatan dengan label Informasi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Informasi. Papar semua catatan

Khamis, Ogos 13, 2009

Perginya tidak kembali lagi..

Assalamualaikum..

Vokalis kumpulan nasyid Rabbani, Mohd Asri Ibrahim, 40, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 10.30 pagi tadi akibat serangan jantung ketika dalam perjalanan ke Hospital Pantai, Bangsar.

Jenazah Asri telah selamat dikebumikan pada pukul 9.00 malam ini di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21.

Sebelum itu, jenazah telah dibawa ke rumahnya di Jalan Ikan Keli, Kampung Bukit Lanchong, Selangor.

Arwah jatuh pengsan semasa raptai dalam sidang media program 'Syahadah' di Angkasapuri, Radio Televisyen Malaysia (RTM) kira-kira pukul 10.00 pagi tadi.

Asri menyertai kumpulan nasyid terkenal itu sejak ia ditubuhkan secara rasmi pada 1 Mac 1997 dengan dianggotai oleh sembilan orang termasuknya.

Sebelum Rabbani, kumpulan itu dikenali sebagai Nada Murni yang ditubuhkan sekitar tahun 80-an dengan dua orang solo iaitu Asri Ibrahim dan Munif Ahmad. Kumpulan Nada Murni akhirnya berpecah kepada kumpulan Rabbani dan kumpulan Hijjaz.



Satu lagi kumpulan nasyid pelopor ketika itu ialah kumpulan The Zikr dengan solonya Nazrey Johani yang akhirnya dikontemporarikan kepada kumpulan Raihan.


Aku teringat akan fenomena nasyid sebelum timbulnya nasyid kontemporari seperti hari ini. Pada waktu itu, nasyid belum diminati umum. Cuma beberapa golongan sahaja terdedah kepada irama ini.



Aku yang mendapat pendidikan di salah sebuah sekolah agama di Kelantan ketika itu tidak terlepas daripada golongan yang meminati muzik yang mendamaikan jiwa itu.

Sekarang, semua itu telah menjadi kenangan bagi penggiat awal nasyid dengan wujudnya nasyid kontemporari yang diselitkan dengan pelbagai elemen untuk mendekati semua golongan masyarakat di Malaysia.

Mungkin coretan-coretan arwah di dalam blog beliau iaitu http://asrirabbani.blogspot.com dapat memberitahu kita akan segala luahan hatinya selaku pelopor irama nasyid tanah air.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Khamis, Julai 30, 2009

Hak bayi untuk disusukan dengan susu ibu..

Assalamualaikum..

Penyusuan adalah hak bayi yang telah ditetapkan oleh Islam. Hak ini dipertanggungjawabkan kepada ibu berdasarkan firman Allah di dalam surah Al-Baqarah ayat 233.



Antara hikmah dalam menetapkan tempoh penyusuan selama dua tahun adalah kerana penyusuan yang melebihi tempoh tersebut akan mendatangkan kemudharatan kepada bayi itu sendiri sebagaimana yang diperakui dalam bidang perubatan.

Menyusu badan mendatangkan banyak faedah terhadap tumbesaran dan emosi bayi. Susu ibu amat baik kerana ia lengkap dengan pelbagai unsur serta kandungan antibodi bagi melawan penyakit. Oleh itu, seorang bayi yang menyusu daripada ibunya akan memiliki tumbesaran yang stabil dan lebih kuat. Tambahan pula, bayi itu telah disusui dengan penuh kasih sayang, lemah-lembut dan suasana yang tenang.

Malah, susu ibu tiada tandingannya dengan susu-susu yang lain kerana ia berfungsi mengikut umur bayi dan keperluan badan bayi tersebut. Ia juga bersih dan bebas daripada sebarang jangkitan kuman. Pakar perubatan juga mengesahkan bahawa ibu-ibu yang menyusukan anak mereka tidak akan diserang kanser payudara dengan izin Allah dan ia juga membantu mengelakkan obesiti.

Sepatutnya, seorang wanita Islam perlu mengambil berat untuk menyusukan anaknya dengan susu badannya sendiri sebagai tanda ketaatan kepada perintah Allah dan juga bertujuan menjaga kesihatan diri serta bayinya. Dia hendaklah menyusukan bayinya agar ia menjadi insan yang paling berhak mendapat layanan terbaik sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadith Nabi ketika Baginda disoal tentang siapakah yang paling berhak mendapat layanan terbaik daripada seorang anak. Jawab Baginda: Ibumu! Ibumu! Ibumu! Ini keana, ibulah yang merasai kesusahan ketika mengandung, melahirkan anak dan menyusu.

Kami sentiasa berdoa agar kami diberikan kekuatan untuk meneruskan niat murni kami ini. InsyaAllah.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Rabu, Mei 27, 2009

Kelahiran putera sulung kami..

Assalamualaikum dan selamat bertemu kembali..

Alhamdulillah, bayi pertama kami (lelaki) selamat dilahirkan pada 26 Mei 2009 bersamaan 1 Jamadil Akhir 1430 Hijriah pada pukul 9.41 malam di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kelantan.

Kelahiran ini adalah buah cinta kami dan sangat berharga dalam hidup kami. Semoga kehadiran si kecil ini dapat melengkapkan kasih yang terjalin di antara kami selama-lamanya.
















[+] Baca seluruh catatan ini..

Sabtu, Januari 31, 2009

Perkara yang perlu dielakkan sepanjang kehamilan..

Assalamualaikum dan selamat berkunjung..

Sebagai wanita mengandung, bakal-bakal ibu seharusnya mengambil berat mengenai beberapa perkara. Penjagaan sepanjang awal kehamilan sehingga hari kelahiran yang ditunggu-tunggu adalah sangat penting bagi menjamin tahap kesihatan ibu dan bayi dalam keadaan sihat dan selamat. Jadi, banyak perkara yang perlu diketahui oleh bakal-bakal ibu terutamanya mengenai perkara-perkara yang perlu dielakkan.

Antara perkara yang perlu dielakkan semasa hamil ialah :-

1.Aspirin --> Ia akan menyebabkan jumlah cecair amnion menjadi sedikit dan mengurangkan aliran darah di dalam otak bayi.

2.Alkohol --> Ia meracun sel-sel di dalam tubuh janin yang sedang membesar.

3.Litium --> Ia adalah ubat yang berkesan untuk merawat masalah mood yang tidak menentu tetapi boleh menjejaskan perkembangan jantung bayi.

4.Vitamin A --> Jika pengambilannya berlebihan melebihi 8000 IU sehari, risiko untuk bayi mendapat keabnormalan urinari dan trak genital semakin meningkat.

5.Tetrasaiklin --> Ia adalah sejenis antibiotik untuk merawat jangkitan dada, faraj dan ubat jerawat. Jika diambil pada trimester kedua dan ketiga, ia boleh menjejaskan perkembangan gigi bayi dan menyebabkan giginya berwarna kuning.

6.Ubat penahan sakit --> Ia boleh menyebabkan penguncupan salur darah yang penting di jantung bayi yang sepatutnya hanya menguncup selepas dilahirkan.

7.Rokok --> Asap rokok bukan sahaja mengandungi nikotindan tar, tetapi juga karbon monoksida, ammonium, racun sianida dan campuran bahan kimia lain yang menjadi penyebab barah. Ia menganggu pengaliran oksigen kepada janin, janin cenderung lahir tidak cukup bulan, kecil, dan ringan, mudah keguguran, bayi cacat atau mati sebaik dilahirkan.

8.Kegiatan lasak --> Hentikan kegiatan lasak seperti bermain tenis, menunggang kuda atau kerja yang memerlukan anda berdiri sepanjang masa.

9.Minuman tertentu --> Kurangkan pengambilan minuman bergas, berkafein, dan teh herba kerana dikhuatiri boleh mengancam bayi dalam kandungan.

10.Makanan yang dipanaskan semula --> Ia dikhuatiri mengandungi bakteria dan tidak baik untuk kesihatan. Makanan dalam tin biasanya tinggi kandungan gula, garam, perisa, lemak, bahan awet dan penawar tiruan. Gula boleh menambahkan berat badan.

11.X-Ray --> Ibu hamil tidak digalakkan mendapat rawatan secara x-ray sepanjang tempoh kehamilan.


[+] Baca seluruh catatan ini..

Rabu, November 26, 2008

Alahan bagi ibu yang mengandung..

Assalamualaikum..

Sejak isteriku mengandung, aku mula berjinak-jinak dengan keadaan isteriku yang mengalami alahan. Alahan semasa mengandung sering dikaitkan dengan muntah-muntah, pening kepala, dan perut berasa tidak selesa.

Keadaan ini biasa berlaku ketika ibu yang sedang mengandung baru bangun daripada tidur dengan mengalami sedikit pening dan muntah. Namun ada juga yang akan mengalaminya sepanjang hari. Keterukan alahan bergantung kepada individu. Malah, ada juga wanita yang bernasib baik kerana tidak mengalami alahan langsung!

Punca alahan

Punca sebenar alahan sebenarnya masih kurang jelas. Kebanyakan penyelidik mempercayai bahawa alahan yang berlaku terhadap ibu yang mengandung adalah disebabkan oleh perubahan fizikal dan hormon dalam badan. Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa alahan mungkin disebabkan oleh ketidakseimbangan paras gula di dalam darah.

Waktu alahan berlaku

Kebiasaannya, ibu yang mengandung akan mengalami alahan pada trimester pertama (tiga bulan pertama) kandungannya. Apabila usia kandungan mencecah trimester kedua (tiga bulan kedua), alahan akan beransur-ansur hilang. Walau bagaimana pun, ada sesetengah wanita akan mengalami alahan yang berlanjutan sehingga bersalin.

Kebanyakan wanita yang mengalami alahan semasa mengandung akan merasai kesannya pada rutin seharian. Ada yang terpaksa menukar perancangan harian untuk menyesuaikan diri dengan keadaan ini. Malah ada yang terpaksa bercuti daripada kerja kerana alahan yang terlalu teruk.

Kesan alahan terhadap kesihatan

Secara amnya, alahan dalam jangka masa yang pendek tidak akan menjejaskan kesihatan ibu dan bayi yang berada di dalam kandungannya. Jika alahan terlalu teruk sehingga apa yang dimakan akan dimuntahkan kembali, bayi berkemungkinan akan kekurangan nutrisi untuk perkembangannya dan kesihatan ibu akan terjejas. Selain daripada itu, ibu akan mengalami dehidrasi (kekurangan air di dalam badan).

Tanda (simptom) dehidrasi ialah pening-pening, dahaga, dan air kencing kurang daripada kebiasaan. Jika ibu yang mengandung mengalami simptom-simptom ini, ibu tersebut memerlukan rawatan dengan segera.

Cara mengatasi alahan

Makanan :

i.Apabila sedar pada waktu pagi, digalakkan supaya memakan kraker atau biskut, dan setelah berehat selama 15 minit, barulah bangun.

ii.Bangun perlahan-lahan dan jangan terus baring selepas makan.

iii.Keraplah memakan snek atau hidangan dalam kuantiti yang kecil supaya perut tidak kosong (contohnya, sekali dalam setiap dua jam) walaupun tidak lapar.

iv.Makan apa sahaja yang anda mahu tetapi elakkan daripada mengambil makanan yang pedas, berlemak dan bergoreng.

v.Jika anda tidak tahan dengan bau yang kuat ketika memasak, buka tingkap dan kipas. Adalah lebih baik jika orang lain yang memasak.

vi.Makanlah makanan yang sudah sejuk berbanding makanan yang masih panas kerana makanan yang sudah sejuk kurang baunya.

vii.Hidu bau limau nipis, limau kasturi, atau halia kerana ia boleh meredakan perut yang berasa sebu atau tidak selesa.

viii.Elakkan diri daripada mengambil kafein dan rokok.


Minuman :

i.Minum air dengan kerap sehingga 12 cawan sehari.

ii.Elakkan daripada minum semasa makan serta sebaik sahaja sebelum dan selepas makan.

iii.Pengambilan air halia boleh mengurangkan rasa mual.


Rutin harian :

i.Berehat secukupnya kerana alahan akan bertambah buruk apabila kepenatan. Tidurlah seketika pada waktu siang kerana kebiasaannya pada trimester pertama (tiga bulan pertama), wanita yang mengandung kerap berasa letih dan mengantuk.

ii.Dapatkan bantuan dalam melakukan kerja-kerja di rumah. Pastikan bahawa anda memperuntukkan masa untuk berehat.

iii.Bersiar-siarlah dan lakukan senaman ringan di luar rumah untuk mendapatkan udara yang segar. Buka tingkap rumah untuk pengudaraan yang baik di dalam rumah.

iv.Elakkan daripada berada di tempat yang panas kerana kebiasaannya alahan akan bertambah teruk.

v.Jika pengambilan vitamin bagi ibu yang mengandung menyebabkan alahan bertambah teruk, minta nasihat doktor.

vi.Bergeraklah secara perlahan-lahan dan elakkan daripada pergerakan yang pantas.

vii.Jangan gosok gigi sebaik sahaja selepas makan kerana ini boleh menyebabkan rasa mual.

viii.Dapatkan sokongan daripada orang yang rapat (contohnya suami, ibu bapa, sahabat).


Ibu yang mengandung perlu mendapatkan nasihat doktor jika,

i.cadangan di atas tidak memberikan kesan,

ii.muntah lebih daripada tiga atau empat kali sehari dan sebaik sahaja makan, termuntah kembali,

iii.berat badan menurun dengan banyak,

iv.muntah tersebut mengandungi darah atau berwarna hitam pekat,

v.mengalami simptom-simptom dehidrasi, atau

vi.risau dengan keadaan anda atau merasakan perubahan serius pada kesihatan anda.


Semoga maklumat-maklumat di dalam catatan ini dapat membantu pembaca yang mengalami alahan!

[+] Baca seluruh catatan ini..

Isnin, November 24, 2008

Amalan-amalan yang digalakkan semasa mengandung..

Assalamualaikum..

Sepanjang tempoh kehamilan seorang bakal ibu, setiap perbuatan dan perkataannya perlu dijaga agar bayi yang berada di dalam kandungannya bukan sahaja sihat dari segi fizikalnya, malah akan lahir sebagai seorang insan yang mampu membawa ketenangan dan sinar kebahagiaan kepada ayah dan ibunya.

Seperti ayah dan ibu yang lain, kami juga mendambakan anak yang soleh/solehah. Berdasarkan informasi dan pembacaan, di sini kami sertakan beberapa panduan kepada bakal ayah dan ibu.

Antara himpunan doa yang sangat digalakkan untuk diamalkan oleh para ibu mengandung sepanjang kehamilannya ialah :

1.   sayyidul istighfar (penghulu bagi segala doa pengampunan), iaitu seperti di bawah ini :

yang bermaksud : "Ya Allah, Engkau adalah Tuhanku. Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau. Engkau telah menciptaku dan aku adalah hamba-Mu. Dan aku (terikat) dengan janjiMu semampu yang aku boleh (laksanakan). Aku memohon perlindungan kepadaMu daripada kejahatan yang aku lakukan. Aku mengakui bahawa semua nikmat yang Engkau berikan kepadaku adalah milikmu, dan aku mengaku terhadap dosa-dosaku. Oleh itu, ampunilah aku, kerana sesungguhnya tiada yang dapat memberi keampunan kecuali hanya Engkau." (Hadis Riwayat Bukhari),

2.   doa memohon rahmat daripada Allah (Surah Ali 'Imran, ayat 8 dan 9), iaitu :

yang bermaksud : "Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau memberi petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau, karena sesungguhnya Engkau adalah Maha Pemberi (kurnia). Wahai Tuhan kami, sesungguhnya Engkau mengumpulkan manusia untuk (menerima pembalasan pada) hari yang tiada keraguan padanya. Sesungguhnya Allah tidak menyalahi janji.",

3.   doa memohon zuriat yang baik (Surah Ali 'Imran, ayat 38), iaitu :

yang bermaksud : "Di sanalah Zakaria berdoa kepada Tuhannya seraya berkata : 'Wahai Tuhanku, berilah kepadaku dari sisi Engkau seorang anak yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar doa'.", dan

4.   doa agar anak rajin untuk mendirikan solat (Surah Ibrahim, ayat 40 dan 41), iaitu :

yang bermaksud : Wahai Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan solat. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doaku. Wahai Tuhan kami, berikanlah keampunan kepadaku dan kepada kedua-dua ibu dan bapaku, serta sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari perhitungan).".


Selain daripada doa-doa yang dinyatakan di atas, ada juga surah-surah yang sangat baik untuk diamalkan ketika hamil.

Surah-surah tersebut ialah :

1.   Surah Al-Fatihah (untuk keterangan hati dan kekuatan ingatan),

2.   Surah Maryam (untuk memudahkan ibu bersalin),

3.   Surah Yusuf (untuk memperoleh anak yang cantik rupa parasnya dan indah akhlaknya),

4.   Surah Luqman (untuk memperoleh anak yang cerdik akalnya dan kuat jiwanya),

5.   Surah Yaasin (untuk ketenangan hati dan agar anak tidak terpengaruh dengan godaan syaitan yang mengajak kepada maksiat),

6.   Surat Toha (untuk memperoleh bayi yang lembut hatinya),

7.   Surah An-Nahl (untuk memperoleh anak yang tinggi displinnya),

8.   Surah Hujurat (untuk memperbanyakkan susu ibu dan agar anak mempunyai sifat berhati-hati), dan

9.   Surah At-Taubah (untuk membersihkan jiwa dan agar terpelihara daripada maksiat).


Di samping itu juga, terdapat beberapa perkara yang perlu sering diambil perhatian agar anak yang dilahirkan akan sejahtera dan berakhlak mulia.

Perkara-perkara tersebut ialah :

1.   banyak mengingati Allah dengan memohon keampunan dan taubat supaya Allah mengampunkan segala dosa yang telah dilakukan selama ini dan seterusnya akan membersihkan hati daripada perasaan yang tidak baik,

(Dengan ini juga diharap agar anak yang bakal lahir nanti bersih hatinya dan ibu dapat bersalin dengan tenang dan selamat)

2.   banyak melakukan ibadah, membuat kebajikan dan meninggalkan segala larangan agama,

(Ibu yang hamil dituntut agar memperbanyakkan amal ibadah seperti solat sunat, puasa sunat terutamanya pada hari Isnin dan Khamis, serta sentiasa menjaga syariat. Bukan sahaja isteri, malah suami juga dituntut untuk mengamalkan semua ini bersama-sama)

3.   sentiasa berakhlak baik,

(Ibu-ibu yang sedang mengandung perlu lebih banyak bersabar, bersikap baik dengan jiran, menghormati ahli keluarga dan teman-teman. Tingkah laku yang baik akan mempengaruhi sikap anak yang bakal lahir) dan

4.   sentiasa tenang dan gembira.

(Keadaan emosi yang tenang dan bahagia merupakan rangsangan kepada pembinaan otak, seterusnya menghasilkan kelahiran bayi yang sihat, terangsang, pintar dan cerdas)


Marilah kita semua bersama-sama berusaha untuk membangunkan generasi baru yang akan memartabatkan Islam!

[+] Baca seluruh catatan ini..

Jumaat, Mei 16, 2008

Satu mesej..

Assalamualaikum..

"Kepada semua kawan-kawan yang dikasihi. Jika anda mendapat panggilan telefon yang bernombor panjang, contohnya +62852731520946 dan nombor berwarna merah, diharap sangat agar jangan diangkat dan dijawab panggilan itu. Ini kerana di Indonesia sekarang, sekumpulan penuntut ilmu hitam sedang menguji ilmu mereka melalui telefon. Sesiapa yang menjawab panggilan itu, mulut akan berbu.........."

Begitulah ayat di dalam mesej yang dihantar oleh bapa saudaraku, AyahCik, ke handphoneku malam tadi. Mungkin ayatnya terlalu panjang sehingga hanya sebahagian sahaja daripada ayat-ayat itu selamat tiba di handphoneku. Sebaik sahaja menerima mesej itu, aku membaca sekali lalu sahaja.

"Siapa hantar mesej tu, bang?"

"AyahCik."

Itu sahaja jawapan daripadaku. Aku mengantuk kerana malam sudah agak lewat. Aku pasti, isteriku juga mengantuk. Lantas, aku tidak menghiraukan mesej itu.


Pagi tadi, sebaik sahaja aku tiba di tempat kerja, handphoneku berdering.

"Abang, Abang dapat tahu mengenai satu panggilan tak? Nombor dia panjang, lepas tu warna merah. Heboh kat ofis Sayang hari ni."

"Laa.. Sebenarnya mesej pasal tu lah yang AyahCik hantar malam tadi, Sayang. Abang pun baca sekali lalu je."

"Owh.. Ye ke? Sayang tak tanya, dan Abang pulak tak beritahu malam tadi."

"Erm. Mengantuk sangat. Abang nampak, Sayang pun letih je."

Aku sekadar ingin berkongsi mengenai mesej itu. Untuk mempercayainya atau pun tidak, terpulang kepada diri kita sendiri. Yang paling penting, langkah berjaga-jaga mesti diambil supaya risiko dapat dikurangkan.

[+] Baca seluruh catatan ini..

Rabu, Mac 26, 2008

Pemergian Tuan Guru Haji Abdullah..

Assalamualaikum pembaca-pembaca sekalian..

Selasa lepas, 18 Mac 2008 bersamaan 10 Rabiul Awal 1429 H, aku menerima mesej daripada dua orang sahabat lama ketika di maahad dulu, iaitu Kama dan Azman.


"Tuan Guru Haji Loh Lubuk Tapah sedang tenat. Marilah kita sama-sama membacakan YASIN dan mendoakan kesejahteraan beliau. Tuan Guru Nik Abdul Aziz sedang mengetuai bacaan YASIN di rumah beliau sekarang. Moga beliau diberikan kesihatan. Sebar-sebarkan kepada sahabat-sahabat yang lain.".


Terbayang wajah beliau yang lembut dan tenang. Aku lantas menceritakan serba sedikit mengenai tuan guru yang pernah aku menuntut ilmu dengannya itu, kepada isteriku. Sekelumit doa kulafazkan, memohon agar kesihatan dikurniakan kepada beliau untuk terus berbakti kepada masyarakat yang amat memerlukan khidmat beliau.


Pagi esoknya, 19 Mac 2008 bersamaan 11 Rabiul Awal H, Kama mengirimkan satu lagi mesej iaitu berita kematian beliau.

"Tuan Guru Haji Loh Lubuk Tapah baru meninggal 7.20 pagi tadi."

INNAA LILLAAH WA INNAA ILAIHI ROOJI'UUN. Sesungguhnya kita adalah milik ALLAH dan kepadaNYA lah kita akan kembali. Aku tergamam seketika. Sedih melanda diriku. Sebutir permata yang begitu bernilai sudah diambil kembali oleh ALLAH.


Terbayang kenangan bersama sahabat-sahabat maahad suatu ketika dulu, di Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas. Aku bersama-sama dengan Azmi, Salihin, dan Kama telah menghabiskan waktu cuti sekolah (sebelum memasuki tingkatan 4) kami di pusat pengajian pondok tersebut. Di situlah kami mengenali Tuan Guru Haji Abdullah bin Haji Abdul Rahman, tuan guru di pusat pengajian pondok tersebut. Beliau lahir pada tahun 1934. Jadi, beliau meninggal dunia pada umur 74 tahun.


Walaupun tidak banyak ilmu formal yang kami dapat daripada beliau kerana masa kami yang terhad di sana, namun banyak ilmu tidak formal yang dapat kami belajar daripada peribadi beliau sendiri.


Memang terbukti kealiman beliau berdasarkan pemerhatianku sendiri. Aku mendapati bahawa beliau berkemampuan mengajar banyak cabang ilmu. Aku berhak mengatakan demikian kerana aku juga pernah belajar di Pondok Pasir Tumboh yang tidak berapa jauh dari rumahku di kampung. Habis sekolah pada waktu petang, aku menghabiskan waktu malam di pusat pengajian pondok tersebut. Di sana, jika seseorang guru itu mahir tafsir, beliau hanya mengajar kitab-kitab tafsir. Begitu juga dengan ilmu-ilmu hadith, feqah, tauhid, dan yang lain-lainnya.


Uniknya Tuan Guru Haji Abdullah ialah, beliau mampu menghuraikan kitab-kitab daripada pelbagai cabang ilmu, dan aku suka cara beliau mengolah, walaupun agak tradisional. Beliau sangat dikenali sebagai seorang yang sangat tegas dengan pendiriannya. Beliau juga sering disebut-sebut sebagai tuan guru yang bermulut masin, iaitu, apa yang disebut oleh beliau, pasti akan berlaku. Tentang kebenaran dan kesahihan perkhabaran tersebut, hanya ALLAH jua yang Maha Mengetahui.


Sekarang, semua itu hanya tinggal kenangan. Moga ruh beliau aman di alam yang sudah tidak sama dengan alam kita yang fana ini.

Al-Fatihah..

[+] Baca seluruh catatan ini..

Disediakan oleh Tengku Azlan || Hakcipta Terpelihara © 2008