Showing posts with label Catatan. Show all posts
Showing posts with label Catatan. Show all posts

4 Jumaat Dalam Penungguan

Posted by Tukya Labels:

4 JUMAAT DALAM PENUNGGUAN

1.
Tidur bangun, makan mandi, suntik, ujidarah dan entah apa-apa lagi, sedar tak sedar sudah empat kali Jumaat tidak solat Jumaat berjemaah di masjid. Katil B/N 3 (bukan Barisan Nasional) R/N 838715 wad CRW Hospital Pulau Pinang begitu sudi memerapkan saya selama sebulan hanya kerana menunggu satu tarikh pembedahan.

Terpaksa menelan pil tidak kurang 300 biji untuk berbagai fungsi. Kencing pun lebih dari 20 liter. Sesekali ingat bagus juga hikmah sakit jika di hospital, layanan serba baik ketika usia menancap enam puluh sembilan tahun sebelas hari, sementara menunggu pembedahan yang kononnya akan dikendali Dato Dr Hamzah.

Sungguh-sungguh amat terasa doa kawan-kawan melalui pengakuan lewat Facebook, e-mail, blog dan SMS. Kudusnya seperti angin malam membisik ke telinga memberitahu bagaimana mereka bermunajat memohon seorang hamba yang terlantar ini kembali sembuh seperti mereka. Saya sangat sedar bagaimana kawan-kawan, peminat mengharap saya dipanjangkan umur untuk terus menulis.

Tuhan, saya sangat sedar murninya harapan mereka.

Menunggu dada dibelah sangat menggerunkan. Tapi banyak rangsangan memberitahu itulah cara terbaik. “Lakukan. Aku dah mengalami,” kata seorang sahabat dari Terengganu, Rahman CM dan kemudian dia memberitahu dia baru selesai solat hajat untuk saya.

Tuhan, murninya hati sahabat.

Tapi saya tidak dapat membayangkan ngeri yang bagaimana, dan terbaik yang bagaimana? Kata Rahman CM,ketika dibius, satu kengerian mimpi dan igauan akan bermula.

2.
Subhanallah… Maha Suci Tuhan… apakah itu kebesaran Tuhan, Allahku? Sememangnya saya percaya ia adalah kebesaran Tuhan. Subhana... Subhanallah... dan ia bukan saja mimpi dan igauan ngeri malah bunyi degup jantung, mencerus air di pundi-pundi atau letup tulang dan selisih urat pun, mungkin ia adalah suara tasbih yang mengagungkan Tuhan.

Saya menghabiskan bacaan buku ‘Ketika Alam Bertasbih’ tulisan Dr. Musa Al Khathib yang saya beli di Jakarta tempuh hari sangat memberi kesan. Saya terkedu, terencat rasa, sebak dan merasa diri sangat jauh takbur terhadap Tuhan apabila selama ini terabai dan lagho dengan Tasbih.

Sungguh amat hebat makhluk yang dijadikan Allah ini bertasbih sedangkan saya tidak menyedari sekian lama. Hebatnya dan dahsyatnya apabila alam bertasbih. Ia bukan saja bunyi guntur, kilau kilat petir, debur ombak dan gegar runtuh gunung, tetapi juga suara katak dan kicau burung dengan bahasanya adalah tasbih yang membesarkan Allah.

Ya Allah, saya sangat jauh dengan kesedaran ini. Hud-hud dengan Nabi Sulaiman, Semut yang khusus disebut dalam surah Al Naml sehingga kepada hymenoptera, vespiodea, formicidae, lalu bondongan burung-burung mampu meneduhkan Sulaiman dengan kepak mereka.

Bukankah hebat kebesaran Allah? Bunyi kepak itu pun adalah Tasbih. Ya Allah, demikian aku tersentak betapa hebat dan besarnya Tasbih; Subhanallah...

Tuhanku...sesungguhlah aku terlalu jauh lupa mentasbih kebesaranmu!


Bersama Ust. Takiyudin Hamzah. Beliau juga sedang menunggu untuk dibedah.


Ustaz Takiyuddin Hamzah, Timbalan Pesuruh Jaya Pas Pulau Pinang yang terlantar bersama saya menyentak lagi kesedaran perasaan saya, menjadikan saya tersebak ketika membiacarakan kehebatan alam, pokok-pokok, batu-batu, rerumput, unggas, serangga yang tak henti-henti mentasbih kepada Pencipta. Mengapa manusia lupa?

3.
Selama berada di wad CRW 4 minggu ini, sempat juga melakar cacatan kasan yang mencerminkan perasaan seorang anak yang menyangka bapanya membencinya. Sangat berharap kekuatan menulis ini dapat diteruskan sekiranya panjang umur:

“ Ema! Panggil aku Ema walaupun ini bukan nama aku sebenar. Panggil aku Ema kerana panggilan aku inilah yang aku suka dan aku seringkali memperkenalkan diri kepada sesiapapun, yang aku bernama Ema. Ini bukan nama yang diberi oleh bapaku dan bukan juga nama di dalam daftar pendaftaran. Aku juga tahu ini bukan nama-nama Putri Nabi. Tidak mengapa. Maafkan aku, terutama kepada bapaku.

Aku ingin saja berterus terang, terutama kakakku yang berasingan ibu, Ema tidak tahu mengapa Ema merasa benci kepada bapa. Ema sedar lelaki ini memang bapa Ema tetapi Ema tidak tahu mengapa Ema merasa benci tak berpasal. Sepatutnya Ema seorang anak yang sudah mampu berfikir, Ema tidak boleh benci kepada bapa sendiri. Ini tidak, tiba-tiba Ema merasai benci. Apakah benci Ema ini dianggap sebagai anak derhaka? Ya Allah, aku tidak terdaya hendak menafikannya. Dia bapaku ya Allah. Dia ayahku, ya Allah. Dialah segala-galanya, ya Allah.

Ya Allah, air mataku yang sedang mengalir ini bukti aku sangat sayang padanya ya Allah.

Tidak, Ema bukan anak derhaka, begitu Ema akan beritahu bapa jika bapa menganggap Ema anak derhaka. Tapi hanya sekadar itulah, selebihnya Ema tidak tahu lagi hendak memberi alasan untuk dipercayai. Ema tidak mahu jadi anak derhaka. Dia bapaku. Dia maskulinku Tetapi mengapa Ema membencinya? Sesungguhnya Ema tidak tahu nilai kebencian Ema ini sama dengan kebencian Ema kepada orang lain, seperti Ema benci kepada seekur anjing yang berak di halaman rumah atau benci kepada lelaki yang menipu kaum sejenis Ema?

Tuhan..

Tidak. Kebencian ini tidak dibanding dengan kebencian kepada orang lain..

Aku membaca berkali-kali catatan di dalam dairiku. Ada semacam tidak puas hati sehingga aku terasa dua keningku terangkat. Kukebam-kebam bibir kerana terasa tidak puas hati. Rasa-rasa tulisanku ini seperti dipaksa tetapi sesekali kurasa itulah luahan hatiku yang sebenar walaupun aku tidak tahu mengapa dan kenapa. Aku menulis ketika seketul kebencian tertanggung di atas pundakku dan kemudian aku rasa menyayangi pula ketika aku berhenti menulis.

Memanglah aku bukan anak derhaka. Sumpah, aku tidak ada niat hendak derhaka! Cuma yang aku lakukan ialah penipuan dan pembohongan. Tapi mengapa aku merasa benci kepada bapaku sendiri aku tidak tahu. Aku tidak terdaya menolak ingatan rasa benciku kepada bapaku ini.

Dairi ini aku simpan sepenuh rahsia.

Memang pun tentang kebencian inilah yang tidak dapat aku jelaskan. Selama ini aku tidak pernah pun dilesing atau dijentik. Sekali pun tidak. Cuma sesekali kena marah dengan matanya terbeliak merah tetapi kemudiannya baik semula. Dia menunjukan manja semula.

Aku cukup merasa pelik, anih dan hairan tetapi itulah yang tidak dapat kulontarkan jauh-jauh walaupun ia bukan selalu. Bukan apa-apa hanya kerana setiap kali aku merasa benci kepada bapanya sendiri, setiap kali itulah pula aku merasa puas. Ada semacam satu kepuasan yang hanya dapat aku rasai ketika aku meluahkan benci.

Bukan tidak pernah timbul dalam fikiranku pertanyaan-pertanyaan yang perlu kujawab. Kenapa? Mengapa? Seusia 19 tahun rasanya sudah mampu aku menjawab soalan seperti itu.

‘Engkau bohong lagi?’ itulah yang ditempek oleh bapaku dan ketika itulah kebencianku meluap-luap.

‘Semua anak berbohong!’ aku seperti hendak menjawab semula.

Tapi aku tidak melakukannya. Aku masih sopan. Tapi aku menjadi kusut kalau itu yang diminta jawab. Mujurlah tidak ada siapa pun yang tahu yang aku membenci habis bapaku ini. Lagi pun tak ada siapa yang hendak ambil tahu. Kakakku jauh sekali. Emak yang tidak melahirkan aku pun tidak peduli. Adakah di dalam rumah ini ada bilik-bilik kebencian dan ada bilik kasih sayang? Apa yang aku rasa, masuk ke bilik belakang terasa kosong, masuk ke bilik tengah terasa kosong. Pergi ke dapur terasa kosong dan rumah bapaku ini tidak ada seorang manusia pun.

Duniaku ialah bilik, seperti gua kelam yang jarang diziarahi pelancung.

Sekarang aku berhadapan dengan satu fenomena baru. Dulu hanya sekadar rasa benci tapi kini kelibat bapanya pun sudah tidak mampu hendak kulihat. Walaupun tinggal serumah, aku sering menyelinap masuk ke bilikku jika bapaku di ruang tamu atau di atas kerusi sedang membaca. Ketika sedang menonton TV, aku akan cepat beredar jika bapaku tumpang menonton bersama. Makan semeja tidak pernah lagi.

Ada rasa bersalah tetapi aku rasa perasaan bersalah itu tidaklah sebesar mana. Aku tidak pernah menjerkah bapaku. Aku tidak pernah maki hamun bapaku, malah aku sering mencium tangan ketika hendak keluar rumah atau hendak ke mana-mana.

Satu tengahari ketika emak ke rumah jiran menziarahi sakit,aku dengan mata benci cuba mengintai bapaku makan seorang diri di meja dapur. Sesekali bapaku menguak-nguak tangannya, menggawang-gawang jarinya menghalau lalat. Kalau ada emak, emak selalu menampar dengan plastik. Ya Allah, tiba-tiba air mataku mengalir. Pedih pelupuk mataku. Itulah bapaku yang aku benci. Bapa terkunyah-kunyah memepak ulam petai. Matanya terkebil-kebil kerana pedas sambal. Cengkung tubuhnya. Aku memerhati sungguh-sungguh. Pada bapa ketika itu, dunia tidak ada manusia kecuali dia seorang.

Ketika inilah rasa kasihanku membuak-buak, mengalun-ngalun dan terus menggulung-gulung. Aku tetap mengintai. Dalam keadaan amukan dengan kebencian, aku segera mendapatkan bapa dan memaksa diriku duduk bersamanya. Sengaja aku isikan sedikit nasi ke dalam pingganku. Kubiarkan bapaku menceduk apa-apa dan kemudian aku pula menceduknya. Aku hanya tunduk malu kepada diriku sendiri.

Tiba-tiba bapaku meletak seketul ikan goreng ke dalam pingganku. Ya Allah, kasih sayang apakah ini? Apakah ini dalil kasih seorang bapa kepada anakny?

Aku tidak percaya tapi aku dapat merasai percikan kasih sayangnya.

Aku lihat bapa makan dengan senang hati. Tak tersekat dan tidak tersedak pun. Nampak gelambir kulit bawah dagunya seperti kulit bawah dagu unta tua. Sesekali dia pelawa lauk atau isi kari yang dijemputnya berlebihan. Aku cuba menolak menolak. Mana mungkin aku dapat menelan dari pemberian dari orang yang aku benci.

“Kenapa? Pedas?” tanya bapaku dalam keadaan menenyeh-nenyeh nasih di pinggan apabila melihat air mataku tergenang dan kelipan pelupuk mataku sangat cepat. Apa lagi bila melihat aku mengesat air mata. Bapa tentu menyangka aku pedas makan sambal belacan.

Aku mengeleng kepala walaupun air mata yang keluar ini bukan kerana pedas sangat.

“Kalau keluar air mata kerana makan cabai, tanda sedaplah tu,” bapa mengusik aku.

Aku mengeremot muka tapi yang terjadi aku tersengih.

Sekali lagi bapaku menyua juga-juga lauk dan aku mengalah. Dengan kelopak mata yang tergenang air, aku menunjukan gembira. Aku angguk-angguk.

“Kenapa menangis?” sekali lagi tanyanya apabila bapaku nampak kelopak mataku berair.

Aku tergamam. Firasat apakah bapaku ini dapat membaca perasaan seorang anaknya yang anaknya terlalu benci. Laduni apakah yang menyinar di bola matanya sehingga nampak jerit dan lara hati anaknya? Lalu aku cepat-cepat menyeka. “Nasi panas pak, kuah pedas,” kataku memberi alasan. Memang aku suka berbohong dalam keadaan hati benci sakan. Aku cepat-cepat menyudahkan makan. Kutinggal bapaku seorang.

Bapaku jahil dengan feel penipuan aku ini. Barangkali dia terlampau sayangkan aku. Dia percaya penuh sedangkan aku membencinya.

Akhirnya aku mencari kesimpulan, sampai bilakah aku mampu menyimpan kebencian kepada bapaku sendiri? Kebenciankah jika tidak tahu punca sebabnya? Aku ingin melarikan kebencian aku ini jauh-jauh. Aku tidak mahu dikatakan anak derhaka hanya sanya kerana aku membencinya. Dia bapaku. Ya Allah, dia bapaku. Dia bapaku. Aku anaknya.

‘Ya Allah...’ aku pun menangis dalam lemas gelisah yang kusorok.

“Aku menyayangi bapaku kerana dialah saja di dalam dunia ini bapaku. Tetapi dalam masa yang sama, aku membencinya sedang membencinya ini aku sendiri tidak tahu sebabnya. Tuhan, ampunkan hambaMu ini.” Demikian aku menulis pada satu tengah malam di dalam dairi dengan dua tiga titik air mataku jatuh.

............................


-15 April 2011=11 Jamadil Awal 1432

Jemu Yang Terpaksa

Posted by Tukya Labels:

JEMU YANG TERPAKSA

Sudah tiga kali Jumaat (25hb Mac- 9hb April 2011) bermukim di Wad CRW Hospital Pulau Pinang sangat menjemukan. Ia bukan satu pengalaman pahit tetapi keterpaksaan yang menjemukan.

Terima kasih kepada kawan-kawan yang telah menunjukan ukhuwah Islamiah bersama iringan doa minta cepat sembuh. Mereka ziarah tak henti-henti, termasuk Dr MAZA mantan Mufti Negeri Perlis. Bosan membaca buku kali ini. Buku ‘Jihad Terlarang’ hanya sempat dibaca beberapa helai lalu disedekah kepada Us.Takiyudin Hamzah yang berada dalam wad yang sama.


Ust Takiyudin


Apa lagi yang perlu dilakukan dalam letih dan suasana kiri kanan terdiri dari mereka yang perlu menyambung hidup. Manakala saya tidak dijanjikan dengan ‘date’ yang memberi harapan bila saya dapat keluar. Mematuhi kata-kata Datuk Dr. Hamzah yang saya dapat tahu dia yang akan proses pembedahan, agar saya terus berada dalam rawatan dan terus melakukan pembedahan dalam masa terdekat, maka saya bertahan dengan penuh bosan.

Novel terbaru yang baru siap setebal 299 muka bertajuk ‘MANDALA DUNIA KE DUA’ mujur menjadi peneman. Untuk edit kali ke 8 dan terakhir dapat juga dilakukan secara penyegan. Alhamdulillah rasanya sempat habis sebelum bedah. Jika hayat saya pendek, barangkali inilah novel terakhir saya.

Hospital rupanya bukan institusi menempah kematian, tidak juga jaminan menyambung hayat. Di sini adalah institusi ikhtiar bagi rakyat sesebuah negara. Saya melihat perbelanjaan dari sekecil-kecilnya hingga perkara besar seperti sehelai tisu tandas kepada bayaran nilai nyawa bukan ribuan belanja dalam sebulan.

Jika perbelanjaan ini memang benar hasil dari wang rakyat, maka saya sangat percaya mereka yang dicempung papah, yang disorong dari kerusi roda dan dari mana saja mereka datang, sebahagian besar adalah wang mereka; dari cukai dan hasil, dari titik keringat mereka sendiri.

Tapi bukan semua rupanya rakyat mesti dapat percuma walaupun dia seorang pekebun sayur yang taat membayar cukai. Ada masa dan ada ciri-ciri sakitnya yang dikena bayaran hatta ke tahap hayat terakhir.

Tapi yang sangat jelas belanja pengurusan dan perubatan sesebuah hospital tersangat besar dan pengorbanan kakitangannya bermula dari pemungut sampah hingga kepada pengarah tidak ternilai.



Saya dapati ada dua pertarungan jika berada di hospital. Bagi si kaya yang tidak ada masalah kewangan kerana mereka mampu membeli sebuah nyawa. Sejak ia di sorong masuk ke wad kecemasan, dia bukanlah dalam keadaan cemas. Ia seolah-olah mampu membeli semua urusan dalam wad. Dia hanya berkata ‘ok’ jika ribuan material yang diperlukan untuknya.

Lain bagi Balasunderam. Dia dicempung oleh anaknya masuk wad di tengah malam. Berbadan kurus cengkung, Bala mengaduh setiap waktu. Dia ingin membeli secebis kelegaan dari hospital yang dia yakin kepunyaan rakyat sepertinya. Dia mempertaruhkan wajah belas kasihannya kepada jururawat, kepada doktor. Kemudian apabila pihak pengurusan memberitahu dia perlu menyediakan RM30K harga tiga gelang untuk jantung tersumbat, Bala terbeliak mata. Mulutnya berbuih.

Doktor yang mengubatinya, memandang sayu. Mahu diberitahu harga itu bukan harga darinya dan barang itu bukan kepunyaannya. Dia hanya menjalankan tugas.

Akhirnya Bala mengaku akan berusaha tapi bagaimana? Masakan RM30K untuk membeli tiga gelang mahu dia membuat iklan memohon derma simpati.

Balasunderam adalah di antara ribuan pesakit yang mengalami nasib buruk di dalam negara yang rakyatnya +- 25 juta, yang taraf miskin tegar semakin berkurangan.

Dan dalam masa yang sama rakyat boleh menyaksi kehilangan lebih RM100 juta dari kakitangan / pegawai kastam. Tidak ada seorang rakyat yang menangis apabila ada pegawai yang rasuah sebanyak RM1 juta. Seorang menteri terus menyedut asap cerutnya apabila tahu YBnya didapati rasuah.

Apakah ada seorang Balasunderam yang mampu berkata kepada doktor bedahnya, mengapa RM30K untuk tiga gelang mengubati saya tidak boleh diambil dari saku mereka yang menipu kementerian, menipu jabatan atau tarik sekeping dua dari belanja membuat video fitnah?

Ternyata doktor yang penuh dengan etika itu tidak menjawab. Tapi itulah gaya hidup sebahagian rakyat. Mereka sanggup memungut duit syiling dari lori terbalik daripada mengangkat derebarnya yang tersepit. Mereka memang membantu mangsa kemalangan tetapi yang hilang dompet duit mangsa.

Kemudian ada yang tertekan untuk melaksanakan undang-undang lalu dibelasah seorang murid hanya kerana disyaki mencuri RM5 sedangkan di mahkamah besar berlaku ketidakadilan dari pemegang undang-undang itu sendiri.

Demikian apa yang berlaku. Seorang pesakit akan terus menderita sakit dan rakyat juga terus sakit dan inilah yang dikatakan jemu yang menyakitkan.

-Wad CRW Penang 9hb April 2011

Jakarta Melelahkan Kami

Posted by Tukya Labels:

Catatan 26hb Januari – 30 Januari 2011

JAKARTA MELELAHKAN KAMI

1. Memang lelah jika di Jakarta dan akan terjelepok jika tidak ada pemandu berkereta. Saya dengan tiga rakan sangat bertuah kepada penulis buku agama dan isu antarabangsa yang prolifik, Saudara Herry Nurdy yang sangat bersedia dengan van ala Kijangnya putar-putar sekitar Jakarta hujung Januari lalu.


Jalan Sudirman


2. Niat saya hanya ke Toko Buku Gramedia di tengah kota Jakarta sahaja tapi jadi melampau lelah dan letih apabila Jakarta yang seluas 661,52 KM dengan penduduk 8,389,444 juta dan seramai 44,283 penduduk per batu persegi, dengan kelip-kelap lampu neon dan kenderaan yang membingit setiap waktu.

3. Bukan hobi saya melawat ke tempat bersejarah atau tempat peranginan. Tetapi Herry Nurdy semacam tidak mahu menghampakan saya dan kawan-kawan. Singgah di rumahnya di Celidug Tenggerang di pinggir Jakarta, mengejutkan saja dengan buku-buku sebanyak 14 ribu lebih. Saya belum pernah ketemu di Malaysia manusia seperti Herry Nurdy ini yang katanya setiap minggu, dia akan membawa buku-bukunya dengan kereta, berputar di sekitar kampong, berhenti di padang permainan dan mengajak belia dan kanak-kanak sama-sama membaca. Kadang-kadang katanya, kami adakan lomba cerita.


Di rumah Herry Nurdy, (tengah) di Celidug Tengerang jakarta, seorang penulis buku agama, yang memiliki lebih 17 ribu buku



4. Memberi sedikit ceramah kepada guru-guru di SMA An Nisaa Bintaro Elementary School. Sangat kagum kerana sekolah swasta ini lebih baik dari sekolah pemerintah, yang diwakafkan oleh seorang tokoh korporat lagi dermawan, manakala gaji guru-guru tidak selumayan seperti di Malaysia.


Berkesempatan memberi ceramah kepada guru-guru SMA An-Nisaa Bintaro Eelementary School di Tanggerang Jakarta



Gaji mereka tidak lumayan tetapi tetap menjalankan tugas pendakwahan


5. Satu waktu solat zuhur, Herry singgah di Masjid Sunda Kelapa di tengah Jakarta. Sekali lagi kami kagum kerana inilah satu-satunya masjid yang berjaya mengIslamkan seramai 15,980 orang lebih sepanjang tahun 1993 hingga 2010. Kami diberitahu 75.03% warga Indonesia dan 24.97% warga asing.


Masjid Sunda Kelapa, Jakarta


Subhanallah! Kami teruja dengan system pengurusan, sedangkan masjid dan kawasannya tidaklah seluas mana.

6. Lain pula apabila solat Jumaat di Masjid Raya Bintaro Jaya, di mana program asuh anak yatim dan dhuafa sangat kemas dan ia ditadbirkan oleh kumpulan ilmuan. Masjidnya tidaklah besar. Jemaah Jumaat hari itu kira-kira 600 orang tetapi pengumuman kutipan sangat menakjubkan. Lebih 7 juta Rp seminggu atau kira-kira RM3 ribu.


Bersama Herry Nurdy di Masjid Raya Bintaro Jaya selepas solat Jumaat


7. Saya tidak percaya warga Jakarta dikatakan susah dan miskin. Jakarta memang tidak layak bagi mereka yang meminta. Tidak ada yang tidak bekerja. Sistem lalu lintas kenderaan lebih kepada perasaan dari peraturan. Alangkah baiknya kalau di Malaysia di buat lorong khas di bibir jalan di tengah bandar untuk laluan bas, seperti yang dilakukan di Jakarta.

8. Di setiap simpang yang macet, sedia ada beberapa anak muda yang sememangnya mencari sedikit wang poket, tetapi yang lebih penting ialah pengorbanan mereka melegakan lalu lintas yang sesak. Tidak ada polis trafik tetapi merekalah yang memain peranan menguak-nguak mana-mana kereta yang dirasanya perlu didahulukan. Anihnya tanpa diminta pemandu akan meletak secara pantas ditapak tangan. Mungkin sekadar 500 Rp atau 1000 Rp.

9. Di Bogor Istana bekas Presiden Sukarno, kawasannya sangat dingin. Di depan istana peninggalan, beribu-ribu ekur rusa memagut rumput. Satu teknik menarik pelancung.


Ribuan rusa berkeliaran di halaman Istana Bogor


10. Dua hari, pagi dan petang menghabiskan di Toko Buku Gramedia. Buku ribuan judul. Sekali lagi saya melihat tafsir al-Qur`an hampir seratus judul dari berbagai penerbit. Saya teringat JAKIM bahagian penerbitan. Saya pernah menulis dalam tebloit KHABAR betapa JAKIM perlu perhebatkan tafsiran al Qur`an dan percepatkan terjemahan dari tafsir luar. Hasrat untuk mencari buku tercapai. Di antara yang saya sangat berkenan ialah ‘EVEN ANGELS ASK: Bahkan Malaikat Pun Bertanya,’ sebuah buku yang memantapkan iman dengan berfikir kritis. Kedua ‘RUMAH SERIBU MALAIKAT,’ oleh Yuli Badawi yang disedekahkan oleh Herry Nurdy, mengesahkan satu keluarga yang membesarkan puluhan anak angkat.


Dua buku menarik


Di Lapangan Terbang bayan Lepas, Kastan bertanya, adakah buku tafsiran Qur`an apabila saya memberitahu bes saya berisi buku-buku.

Saya tidak tahu mengapa ditanya begitu. Mungkin akan dirampas. Pelik, yang kita tak mau cetak.

SANG PENDEKAR

Posted by Tukya Labels:

Pendekar Berakta dan Peraturan


-Azizi Hj Abdullah


Aku tidak tahu dia berasal dari mana, berguru dengan siapa lalu dia dinamakan ‘ Pendekar.’ Melihat sosoknya yang koro, bongkok cengkung aku nyaris-nyaris menamakan dia pendekar silat pulut.

Aku juga ragu menamakan dia pendekar walaupun namanya Pendekar.Aku tidak tahu dia sarjana silat kelas berapa. Lalu aku sebut saja Pendekar ini secara pendekar Randai Piring Si Pulut Kuning. Biarlah aku tidak memahat dalam baris, berkata dalam pusaka. Biarlah aku tidak berpegang kepada musuh jangan dicari, bersua jangan dielak atau kail sebentuk umpan seekur, sehari putus, sehari hanyut.

Kusebut saja dia Pendekar Pulut Kuning Si Pondan Sumbing, walaupun dia ada berkebolehan gerak awal,gerak tengah, gerak akhir. Dia memang berkebolehan memulih kadar nadi, membuat telapak sama paras dengan bahu,memusing telapak kanan arah belakang lalu menyiku sama paras dengan bahu.

Aku tahu dia berkebolehan duduk sesujud, tangan separas dada dan telapak memegang piring kemudian memusing telapak melawan jarum jam. Tapi dia Pendekar yang emosional, kerana itu aku pooorrraaahhh! Perangainya huduh dalam gelanggang. Dialah bukan disesar gunung berlari, hilang kabut pun masih tak nampak. Dia bukan tidur diperkalang, tidak juga berjalan dipertongkat.

Dia pendekar yang hanya tahu menepis, tidak menghibu. Dia tahu menghanduh tapi tak kuat merengkuh. Dia pendekar berhujahkan perkara dan akta.

Begitu anggan mereka yang selalu menjadi pemerhati gelanggang bersilat itu.
Memang dia diberi kuasa menggelanggang bersama anak buah pesilat yang tak tamat bertauliah. Mereka selalu buka langkah mengikut rentak gendang sumbang yang ditabuh oleh budak-budak yang hingus meleleh. Adalah lebih kurang seratus tetapi selalunya tidak hadir semua kalau tiba waktu silat.

Gelanggang itu kepunyaan seorang guru yang tidak memiliki ijazah ‘maha’. Manakala tapak itu dikawal oleh seorang penyangak kawasan luar yang bernama Yahud Ocpa, selaku penasihat.

“Pendekar!” begitu disebut apabila mula berada dalam gelanggang.

Dia pun memuncungkan mulutnya. Perasan gila meroyan naik ke kepala. Megah separuh dunia. Maka dengan pongah, selendang yang diselempang di bahu itu dipegang-pegang.
Tapi jadahnya sejak akhir-akhir ini dia semakin gila sasau. Dia terasa pendekarnya tidak mampu menepis apabila beberapa orang lain yang bukan ahli masuk gelanggang.

Mengikut peraturan memang dia kena terima kemasukan mereka ke gelanggang itu. Mereka bukan calang-calang pendekar. Mereka terpilih menjadi pesilat. Tepis terajang mereka memang sakan terutama Pak KS, Kiyai An, Tetuan S dan Anak Muda Julung Berkeris.
Sepenggal dia menjadi pendekar tak diberi pun keris. “ Kamu tidak layak diberi keris,” kata Yahud Ocpa, penasihat gelanggang.

“Kenapa Tuan?”

“Engkau emosional. Muncung mulut kau pun sudah tahu, kau orang emosinal. Dibimbangi ketika bertepis terajang, kau guna keris. Mampus semua!”

Maka selepas itu Pendekar menjadi pendekar tak berkeris. Dia asyik main tepis-tepis sahaja walaupun kadang-kadang dia menepis angin dan sesekali menepis air liurnya sendiri. Dia tidak mahu pendekar yang masuk ke gelanggang yang bukan dari kalangan ahli Yahud Ocpa bertikam-tikam ke tepi ke tengah begitu saja. Dia mesti menghalangnya dengan tepis terajang. Jika tak terdaya, dia akan guna peraturan dan akta. Pedulikan tuduhan berat sebelah.

Memang pun dia tahu dia berat sebelah. Memang dalam gelanggang yang diperhati oleh Sang Guru dan Yahud Ocpa kena berat sebelah. Kadfang-kadang sampai berat dua bela. Dunia mencemuhnya dan memang Pendekar tahu orang mencemuhnya, meluat kepadanya. Tapi dia ada alasan. Kalau puak Penghakim Penghakam mengadili pesilat dan pendekar boleh menggunakan ‘tak relevan, tak relevan’ sebagai pemati hujah, maka dia juga mampu menggunakan hujah lain yang menasabah. Dia akan pakai ‘menurut akta- mengikut peraturan.’

Satu hari berlakulah pertikaman dan tepis menepis. Silat harimau Putih dan Gayung pun berlaku.

“ Anda tidak boleh berguling?” demikian dia menempik Pak KS yang berjanggut bermisai itu. Puncanya kerana Pak KS menggunakan silat Harimau Putih untuk membantah kependekarannya.

“Kenapa?”

“Menurut peraturan gelanggang, anda tidak boleh guna guling anak harimau. Itu silat Harimau Putih, di sini tidak.”

Maka hari itu gelanggang pun riuh dengan sorak dan tepis menepis, elak mengelak, tendang menendang. Pendekar yang sememangnya kurang pendekar cukup tidak termampu hendak mengelak serangan dari empat pendekar itu. Dia mula lelah tetapi sangat malu hendak memberitahu dia lelah. Masakan seorang pendekar boleh semput dalam gelanggang.
“Pendekar, menurut peraturan, kami boleh Balik Kuang, kami boleh Cekak Musang, kami boleh Kunci Kalimah Mim dan kami boleh Guling Tenggiling! Ini buah-buah Silat Harimau!” kata Anak Muda Julung Berkeris sebagai membela kawannya.

“Tapi anda melanggar peraturan. Banyak perkara kamu dedah tentang persilatan dalam gelanggang ini yang tak sepatutnya kamu dedah. Ini rahsia. Malu kalau orang tahu!” kata Pendekar lagi dengan penuh emosi.

Maka berlakulah tepis menepis yang anih antara Pendekar tak berkeris dengan pendekar yang bukan dari kalangan anak buahnya. Dia melompat dengan kependekaran lelah, terangguk-angguk penat. Dia mengompol segala akta dan peraturan untuk ditepis ketika yang berempat itu menerajang atau penyepak.

Pemerhati di tepi gelanggang melihat penuh jijik. Tidak ada seni persilatan langsung dalam gelanggang itu. Pendekar yang kononnya pendekar tidak lngsung mengguna pendekatan mahabbah. Dia sering mengeluarkan peraturan dan akta.

“Hahhhh!” dia menempek dan menyebek-nyebek kerana penat.

“Heeeeeh!” pendekar berempat yang tidak pernah mendapat keadilan bergelanggang itu menjawab balik.

Maka atas kuasa sebagai pendekar dalam gelanggang yang mulia itu, berlakulah satu perlawanan tradisi yang tidak mempunyai seni langsung. Pendekar melibas Gunting, Pak KS mengeluar Buah Penggerun.Kiyai An melibas Amuk Harimau, Pendekar membuat Gerak 7 Penjuru.

Melompat pula Tetuan S, Pendekar mengeluar Telunjuk Tahaiyat. Di serang dengan Buah Sayap Kuku Harimau. Pendekar mengeluar Buah Kunci kalimah Dal, Kiyai An mengeluar Buah Kunci Kalimah Muhamad. Pendekar tercungap-cungap lelah, terkentut dan cirit.

“Nanti!” katanya. “Mengikut peraturan, anda tidak boleh terajang sepak dengan
kalimah yang mulia!” katanya.

“Saya boleh hambat anda keluar gelanggang!”

Maka berhuhu, berhua-hualah bunyi sindiran dari pmemerhati.

Ketika dalam bilik rehat Pendekar didatangi Penasihat Gelanggang lalu memberitahunya yang sepanjang persilatan tadi Sang Guru dan Yahud Ocpa melihat melalui CNN. Katanya tepisan dan terajang Pendekar tidak berkesan. Satu kaedah lain mesti dilakukan sesuai dengan pendekar gelanggang. Yang penting empat pendekar yang bukan ahli sendiri perlu disingkir dari gelanggang. Pendekarlah yang perlu mencari kaedah. Yang paling elok hanya dengan peraturan dan akta.

Pendekar pun angguk-angguk. Soal peraturan dan akta memang sudah ada dalam kepalanya. Dia akan menggunakan nanti.

Maka ketika sessi petang bermula, anak buah Pendekar seramai seratus orang lebih yang asyik menguap dan mengantuk itu tiba-tiba memanggung kepala sebaik saja Kiyai An mula bersilat.

“Tuan Pendekar, ini buah serangan maut gayung bersambut!” kata Kiyai An lalu dia pun melompat menerajang. Dilakukan patah dayung nasi hangit, patah dayung kuda gila, lambung kuda gila, humban ketam kawah pecah dan selak duyung.

“ Heee, apa ni Kiyai An. Peraturan, peraturan, perkara 7, ” dia hairan. Matanya terkelip-kelip macam mata katak malam.

“Apa ni?” sembung Anak Muda Julung Berkeris. Lalu dia pun melompat dengan jinjit kuali pangku mayat, kebas selak duyung, patah alu selak duyung, sambar helang pecah kawah, kuda gila pecah tebu.

“Heee, mengikut peraturan, lagang anda mencemar alam. Mengikut akta anda tak boleh teruskan!” kata Pendekar sambil menggaru-garu lurah juburnya.

“Hoi!” tiba-tiba Tetuan S menyinga. “Aparaaaa! Ini pendekar gila. Sikit-sikit peraturan,sikit-sikit peraturan,” katanya dan kemudian dia pula membuka lagang langkah kilas dayung perahu karam, patah alu tembi siku, kawah sepit patah tebu dan pulas patah tebu.

“Stop! Berkali-kali saya kata, ini peraturan. Kalau anda tidak patuh, sekarang juga saya boleh hambat dari gelanggang ini!”

“Peraturan apa?” tanya Anak Muda Julung Berkeris.

“Peraturanlah!”

Maka melompatlah sekali lagi Pak KS kerana dia seorang yang arif tentang sepak terajang dan peraturan. Lalu dia pun mendepa tangan, memberi hormat dan memulakan Buah Tapak Kunci Mati:

Dia mengilas sawa berendam.
Pendekar terlopong mulut.
Dia mengilas payung sangga maut.
Pendekar terkelip-kelip hairan.

Dia mengacip emas, patah dayung cekak bunting. Mengacip selak emas, pasung Cina, tali gantung.

Pendekar hendak tergincit cirit. Semalam memang makan asam jawa.
Pak KS membuka langkah lagi lalu dikilas dayung tali gantung, selak emas, kilas tali, tolak lintang, patah layar perahu karam.

“Heee pendekar KS. Peraturan 001, anda kena berhenti!” Pendekar memberi peringatan.
Pak KS seperti tidak dengar. Dia dengan meradang membuat patah sangga, kilas biawak, pasak mati, kilas buaya berendam. Kemudian Kiyai An melompat dan mendepa-depa dan memulakan langkah lain: Dilakukan pecah genting, pecah bata dan dengan mendengus dia pecah buluh. Dengan geram dia kopak pecah kelapa, lompat atas kaca.

Pendekar terjegil. Dia sungguh tidak mampu hendak menepis atau menerajang. Rasanya kependekarannya terlalu jauh tersentot.

Apabila Kiyai An hendak mengopak cekau batang pisang dan tumbuk kertas, Pendekar yang sememangnya berkuasa dalam gelanggang itu mehentak-hentak tumit kakinya ke tanah. Dengan penuh emosi dia berkata: “Ini gelanggang mulia. Tidak ada orang yang boleh lebih dari peraturan. Saya sendiri ikut peraturan. Nampaknya anda berempat sudah melampau langgar peraturan. Mengikut peraturan 002 + 006 berpaksi emosional, kamu berempat diperentah keluar dari helanggang ini.” Katanya sambil me nyeh-nyeh hingus.

“Heee Pendekar!” Pak KS cuba menghalang.

“Enam bulan!” katanya dan kemudian melangkah keluar dari gelanggang sambil mengampu-ngampu seluar dan labuh jubahnya. Tak siapa yang tahu dia sebenarnya sudah cirit birit.

Dalam keadaan anak buahnya terpinga-pinga, Pendekar tergesa-gesa mengatur langkah. Apabila sudah melepasi pintu tandas, dia tersenyum. Dia rasa dialah yang paling bodoh dikalangan orang yang pandai dan dialah yang cukup pandai dikalangan orang yang bodoh. Tapi satu saja yang tidak dapat dilindunginya, dialah pendekar yang paling emosional ketiga berada dalam gelanggang.
“Puuttt!” dia terkentut.
‘Plummm! Kelecak!’ bunyi ketul tahinya jatuh.
“Haaaa...’ dia melepas lega.

NAK JADI APA, HAA?

Posted by Tukya Labels:


Si Mamat baru menikah tiga bulan. Satu malam isteri senak perut. Esok bawa ke klinik. Periksa sana sini, Doktor kata mengandung.


Balik Mamat buat kenduri pulut kuning. Selepas itu berbeka-beka (merancang) jika anak lelaki nak suruh jadi apa,kalau anak perempuan nak jadi apa.


Mamat yakin anak lelaki, maka dia pun merancang masa depan anaknya. Pertama akan dinamakan Ketuanan Melayu. Tapi setiap rancangannya, ada-ada saja timbal balik dan kontra.



  • Mau jadi peguam - sekarang selalu hujah melalut.

  • Nak jadi speaker- tak pandai baca peraturan.

  • Nak jadi orang undang-undang - fasal selalu berubah.

  • Nak jadi ketua hukum, itu undang-undang kanda yang bikin.

  • Nak jadi orang taat setia – kebal dan istimewa sudah dirampas.

  • Nak jadi setiausaha - ramai yang pertikai.

  • Nak jadi ulama, ramai jadi pengampu.

  • Nak suruh jadi peniaga –harga barang selalu naik.

  • Nak suruh jadi ushawan - tak tahan dengan rasuah.

  • Nak suruh jadi orang politik- cakap jadi kupang tembaga.

  • Nak suruh berjuang ketuanan, ramai sangat nak jadi tuan.


Mamat pun tanya isteri, habisnya mau jadi apa? Jawab isterinya:



  • Jadi tukang angguk kan senang.

  • Jadi tukang ampu, kan selamat.



Akhirnya selepas kenduri pulut kuning, mereka pun baca doa selamat. Mamat tidak pasti bila Ketuanan Melayu akan lahir.

SMS YANG MENGUJAKAN…

Posted by Tukya Labels:

Isnin 27hb Disember 2010, saya dihujani SMS yang sangat menguja dan mengejutkan. Saya sangat bodoh untuk memahami ini. Saya masukkan di sini untuk sdra-sdra kongsi memahami dan kalau yang pandai tolonglah perjelaskan atau komen:



1. 6.57 pagi

Sayalah orang yang awal buat proposal puncak niaga tapi telah ditipu oleh ### dan M***. Bekas Ed PNSB R+++ ++ proxy saya dan Dato ^^^ bawa lari berjuta saham bila Terbitan Awam dilakukan. Allah Maha kaya, Maha Adil balasanNya tetap ada di dunia. Setelah kepentingan kami dikhianati R+++ ++ dengan wang berjuta, dia ditimpa penyakit leukemia. Doa 3 ribu peneroka Sungai Buaya tiada hijabnya. Tanah mereka tergadai gara-gara ^^^ dan R+++ ++ telah menggadai pada bank dan projek-projek terbengkalai di Sungai Buaya itu M*** senyap menyepi. Dialah pemegang saham terbesar PNSB dan sahabat atas nama-nama proxy Umno yang bergaji.Semua rekod ada dengan saya tapi kalau kita tidak menguasai $$$$ tiada maknalah. Saya cucuk K*** dedahkan gerand desing ini waktu di ugut Tuntaik bagi laluan pada ### bertanding lawan Kijangjuah. Tapi jerat bingkas dulu Tuntaik bertindak cepat. K*** diserang oleh ketua anjing gila.


- Hisss, lagi saya tak faham. Menatang apa proxy-proxy ini? Ini semua dunia.

2. 6.57 pagi

Saya dah masuk dalam blog pagi ini. Ini SMS pembaca kawan kita yang membaca kolum tentang gaji CEO Shabas empat ratus ribu sebulan. Mari kita oleh untuk tatapan pembaca. Anak-anak Petronas akan jadi mangsa terbaru. Itulah Umno…

-Sabar….sabar…apa nak hairan, sekarang nak buang air pun kena duit.


3. 6.58 pagi

Hal yang sama akan berulang; Petronas sekarang sedang mengapongkan anak syarikat-syarikatnya terbitan awam. Petro Chem, Gas Malaysia, Carigali.
Sedikit masa lagi termasuk Celcom dan Felda Holding. Dia tu dengan kementeriannya akan mengapongkan dulu jadi Public Listed Company. Kalau tak percaya tengok Januari 2011 Gas Malaysia dan Carigali akan dilisted. Saya dah dapat tawaran dari ****.Ini guna cari duit buat PRU13. Harganya RM2.80 seunit. Target mereka 50 sen seunit akan dilonjakkan. Keuntungan bagi kroni sedang berjalan. Oktober lalu petrol chem. Diterbitkan 51 sen seunit telah dilonjakkan. Ratusan juta saham dikuasai syarikat Umno link company dengan GLC. dan individu tertentu. Petronas akan umumkan kerugian dan pengambilan aleh dapat dilakukan oleh Tuntaik dan D** kerana mereka dah siap siaga jadi syarikat penyelamat kononnya macam Bank Bumi ditelan oleh ular lidi Bank Of Cmere. Tipah tertipu lagi.
Aku dah bagi info kepada ketua pembangkang apakan daya.

-Hoiii,saya pening dan bila saya ajukan kepada Pakteh Sahak yang jual karipap, Dia gelak sampai Nampak anak lidah. Baguslah, kita maju. Produktiviti kita meningkat, katanya.


4. 10.26 pagi:

***, ++++, *** janji nak cuba cari kat stor DBP, macam mana? Saya cuba dekat Sungai Patani,, tak ada. Dah dapat Interloknya?

- Agak saya ini tentu pasal novel Interlok karya Abdullah Hussain yang nak jadi buku teks sastera di zon tengah. Novel Interlok jadi kecuh sekejap dan kononnya ada menteri nak tarik dari jadi teks sastera kononnya kerana ada dialog-dailog yang kata Melayu bodoh, haprak.
Yang syoknya ada Mantan Perdana kata Melayu haprak dan mudah lupa, masih terangkat sampai sekarang. Kononnya pasal Ketuanan Melayu kena jaga. Tapi bila Tanya, apa menatang ‘ ketuanan’ itu? Di mana tercatatnya? Maruahkah? Kalau maruah, kenapa sudah 50 tahun maruah ini dipijak lenyai, tak gaduh pun.


5. 10.12 pagi:

SMS *** ***: Kenapa depa tak minta pandangan kami? Soal nak swastakan bahagian pendaftaran dan saman dah lama kami dengar. Ingatkan tak jadi. Kami pun tak setuju. Nanti saya cuba tulis.

Alangkah baiknya jika sdra tulis tentang saman ekor dan isu-isu lain seperti yang dibangkitkan oleh yb-yb dan timnya semasa menyerah memorandum kepada Yang Dipertuan Agung. Ini dah undang-undang. RUU penguatkuasa jalan (Pindaan) 2010. Bayangkan saman juga telah disubkan kepada kompeni. Betul-betul kerajaan subkontraktor! Semua diswastakan. Apa punya kerajaan?



Pakngah Taha Merbau Kudung tau apa



Alhamdulillah…saya tak kena saman. Jadi ada baiknya kalau saya jawab macam Pakngah Taha Merbau Kudung tentang kenaikan minyak; “Alaa, naiklah berapa pun, Pakngah bubuh lima ringgit saja.”

Ke Mana Arah Tuju Pas Dalam Pakatan?

Posted by Tukya Labels:

KE MANA ARAH TUJU PAS DALAM PAKATAN?

Saya terima 2 SMS dari 2 seorang sahabat di Pahang, seorang pensyarah di pusat pengajian tinggi, seorang lagi artis terkenal di KL. Mereka ini setahu saya di mana saja ada seminar atau perjumpaan Pas, dia tidak pernah tidak hadir.

Saya terfikir juga apa yang di SMS kepada saya. Ayatnya lembut, berbahasa, tidak seperti saya yang dikatakan tahu ‘tutuh’ saja. SMSnya:

SMS 1:



Pas awal-awal lagi sudah bagi amaran jangan sentuh isu negara Islam (macam pihak lain bagi amaran jangan sentuh ketuanan Melayu, kot?- saya)

Bagi Ana mengapa tak jadikan konvensyen PR pada 19hb Disember ini satu peluang untuk menjelaskan KONSEP negara Islam yang Pas impikan? (perjuangkan- saya)

Sabit itu (sebab itu) sampai sekarang Karpal Singh tak faham. Kita terpedaya,terheret sama-sama memfobia matlamat puncak menegak daulah Islamiah. Rakyat pada mulanya kabur, berjaya dibutakan apakah hala tuju Pas. Sejarah berulang. Harakah Islamiah sering mengalah dan kalah. Atas nama strategi, bertolak ansur, akhirnya ditolak beransur-ansur. Asyik jadi follower, pada hal punya kekuatan lebih dari yang lain. Negara Islam dianggap ancaman, bukan peluang oleh pejuang-pejuangnya sendiri.


Aduh, sedap juga patukan sahabat saya ini. Saya sangat berharap entry ini dapat dibaca oleh YB Salehhudin mahupun 2 Tuan Guru.

Tuan Guru Haji Hadi



Sekiranya menjadi takut kepada Karpal, bererti Pas takutlah juga kepada DAP dan menyertai PR bukan kerana berkewajipan memperkenalkan konsep negara Islam tetapi kerana mahu menang nampaknya.

Seperti Kedah sekarang, imej dan dengung-dengung pemertabatan Islamiah sudah semakin sayup. Betulkah?


SMS 2:

UMNO ATAU BN? AHHH, DUA-DUA SAMA.

Rumah di Kg Abdullah Hukum


Assalamualaikum, YB-YB, Dr-Dr dan kawan-kawan,

Ini satu lagi petaka terjadi. Kampung Kerinci sudah mahu ditukar nama ‘Bangsar South.’ Kawasan elit dibangunkan, dipecah jadi sub bandar, The Village, The Sphere, The Harizon, The Vertikal, The Park.

Kerajaan BN (Umno tonggaknya kot?) benar-benar dikelentong pemaju yang bencikan Melayu. Budayawan Bertindak ada tugas besar.

Saya dah beritahu kawan-kawan FB, untuk program di Gelanggang Abdullah Hukum.
Gabunglah Kerinci. Kalau Bricksfeild mengimpot ‘Little India’, ‘China Town’ tapi
nama tempat Bahasa Melayu dihapuskan. Ya Rabbi....

Saya termenung membaca SMS ini. Demikianlah pemerintah yang Umno di dalamnya. Sesekali nak memartabatkan Melayu, Bahasa Melayu, sesekali ketuanan Melayu. Yang kata Melayu haprak pun turut jadi haprak.

Terbalik, Tertunggang, Tertungging

Posted by Tukya Labels:


Memetik dari Malaysiakini 1 Disember dan sebelumnya, teringat iklan tentang Astro dulu. Dengan lidah terkodek-kodek orang tua itu kata ‘Macam-macam ada.’ Hasilnya menjadikan sesetengah orang naik biul, pening dan bengang. Tak tahu lagi yang mana kura-kura, yang mana pelanduk.

1.
Mursidul Am Pas kata, Pas bersedia menerima perlantikan Lim Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat menerajui Kerajaan Persekutuan, seperti syarat yang termaktub dalam Dasar Kebangsaan Negara Islam.

“Ini Negara demokrasi!” kata Mursidul Am itu.

Fullamak! Sesekali Mursidul Am ini selalu ambil jalan songsang. Ketika arus mengalir ke kuala, Tuan Guru ini berkayak ke hulu.

Memang tak ada apa halangan pun. Demokrasi, katakan. Tapi sesekali naik terbeliak mata juga kita. Kenapa asyik melayan isu sahaja sedangkan sekarang ini Pas dah lupa perjuangan teras keIslaman. Bukan saja di Kelantan sepi senyap hal-hal perundangan dan hukum tapi di negeri-negeri lain juga, macam Kedah, sepi senyap tentang undang-undang dan hukum Islam. Tak pernah timbulpun dalam Dewan Undangan tentang kaedah melestarikan imej Islam.

Sesekali, ada baik pakat-pakat duduk semeja, bermuhasabah pula tentang teras dan dasar Pas. Jangan terbawa-bawa sangat dengan rentak tari Pakatan.


2.
Dato’ Seri Anuar Ibrahim pula menangkis tentang ribut taufan tuduhan terhadap Wan Azizah yang menyentuh tentang ketuanan Melayu. Katanya: PKR menolak konsep Ketuanan Melayu kerana konsep itu hanya mencerminkan hubungan ‘Tuan’ dan ‘hamba’.

Cup-cup Sultan Selangor pula berkata, entah sindir siapa atau Lillahitaala kerana sayangkan bangsa, lalu tersiarlah berita Sultan Selangor melahirkan rasa dukacita dengan segelintir orang Melayu yang tidak memiliki rasa megah dan bangga, sanggup menggadaikan bangsa sendiri. Semuanya kerana matlamat golongan berkenaan adalah agar sistem raja berperlembagaan disemak dan dikaji semula.

Astaga…. Mat Marhaban pun berwirid Asmaul Husna. Pening kepala nak kata, apanya…. apanya… blaa… blaaa… blaaa.

Saya yang tak mengaji ini pun masih ingat, kalau tak silap seorang Perdana Menteri Melayu satu ketika dulu pernah memain peranan tentang hak-hak raja dan kedaulatan. Apakah Baginda baru tersedar hal ini di hujung tahun 2010? Tak pula berani ditegur, apa lagi merasa dukacita dan murka.

Titah Baginda lagi: Sejarahwan Barat tulis mengenai Tanah Melayu, Negeri Melayu, Raja Melayu. Itu bukti Barat iktiraf adanya Melayu memulakan sejarah Negara ini.

“Beta sedih dengan generasi sekarang yang malu mengaku Melayu!” titah Baginda lagi.

Ya Tuhan…saya tak mengaji tinggi. Tapi buku dalam almari buruk, ada sebuah buku “Mitos Peribumi Malas’ Imej Orang Jawa, Melayu dan Filipina danam Kapitalisme Penjajah, terbitan Dewan Bahasa 1991.

Puuuuhhhhh! Ya holakk-holakkk! Dalam buku itu penuh catatan dari orang Barat menggambarkan Melayu ini hancai, suka bersiput babi, sabung ayam, penipu, pemalas dan lain-lain.

Macam mana ni? Buku itukah yang tak betul atau penulis Baratkah yang sasau? Fuhhhh, nampaknya kita kena mengaji lagi.




Tanya Pak Kasim Daun Ketom, setahu aku penjajah memang jajah tanah Melayu tapi yang makan Melayu, yang pekena Melayu, yang hambat Melayu, yang kelentong Melayu, yang ubah ketuanan Melayu, yang melinglong Melayu, siapa?

Orang Melayu juga! Bila? Ketika orang Melayu mula berkuasa? Bila? Bila-bilalah. Yalah, bila?

Tanya sama ular, apa pasal makan katak?

Cup-cup Dr. Mahathir pula kata, lupakan keturunan jika ingin 1Malaysia Berjaya. Mengasimilasikan diri menjadi satu!

Aikkkk! Dulu kata 1 Malaysia samar, kabur, kelabu asap, tak jelas. Aik, tak mengapa pula kata lupakan keturunan, pada hal orang yang kata tentang ketuanan Melayu yang berkonsepkan hanya ‘Tuan’ dan ‘Hamba’ macam tongkang pecah.

Dengan rasa rendah hati, tawadduk dan hina dinanya, silalah baca kalau ada lapang buku bertajuk JIWA HAMBA. Bab-bab macam ini sudah ditulis sejak tahun 2007 lagi.


3.
Saya terkejut lagi, sampai terpanggung macam kucing terkejut. Persatuan Sejarah Cawangan Kedah desak Kerajaan Kedah, bukan selayaknya menuntut cukai RM10 juta atau RM100 juta dari kerajaan Pulau Pinang tapi yang sepatutnya tuntut kembali Pulau Pinang kerana faktor sejarah, Kedah masih lagi terima duit pajak dan duit pajak itu bererti Pulau Pinang masih hak Kedah.

Aik… ini cakap Mat Piah Seberang Nyonyakah atau Persatuan Sejarah? Yang dok lama dulu, batuk pun tidak. Yang saya hairan, berani pula bersuara macam itu. Kata Din Bukit Tembaga, faham-faham sajalah. Lalang bukan boleh menyacak canggang angin.

Aduhhhhh, harap-harap Kerajaan Pas tidaklah jadi pakyet Alur Mengkudu.

Di bawah ini dipetik dari buku PERJANJIAN & DOKUMEN LAMA MALAYSIA, Old Treaties & Dokumens Of Malaysia 1791-2965. Buku ini saya dapat percuma dari Pengarah Urusan Institut Terjemahan Negara Malaysia, Mohd. Khir Ngadiron. Saya selalu tabik kat Pengarah Urusan ini.


Persetiaan dengan Sultan Kedah 1791

Pada 16 hari bulan Syaaban tahun Hijrah 1205, hari Ahad (20 April 1791)

Perkara 1
Syarikat Inggeris akan memberi Duli Yang Maha Mulia Baginda Yang di Pertuan Kedah enam ribu Dolar Sepanyol setiap tahun, selagi Inggeris kekal memiliki Pulau Pinang.

Perkara II
Duli Yang Maha Mulia Baginda Yang di Pertuan bersetuju bahawa segala jenis bekalan yang diperlukan untuk Pulau Pinang, kapal perang, dan kapal Syarikat, boleh dibeli di Kedah tanpa halangan atau dikenakan apa-apa cukai.

Perkara III
Semua hamba yang lari dari Kedah ke Pulau Pinang atau dari Pulau Pinang ke Kedah, hendaklah dikembalikan kepada pemunya mereka.

Perkara IV
Semua orang berhutang yang lari daripada pemiutang mereka, dari Kedah ke Pulau Pinang, atau dari Pulau Pinang ke Kedah, jika kerana tidak membayar hutang mereka itu, hendaklah diserahkan kepada pemiutang mereka.

Perkara V
Baginda Yang di Pertuan tidak akan membenarkan orang Eropah dari mana-mana Negara lain tinggal di mana-mana bahagian negeri Baginda.

Perkara VI
Syarikat tidak akan menerima (melindung) mana-mana orang yang melakukan penderhakaan besar atau pemberontakan terhadap Baginda yang di-Pertuan.

Perkara VII
Semua orang yang melakukan pembunuhan, yang lari dari Kedah ke Pulau Pinang atau dari Pulau Pinang ke Kedah, akan ditangkap dan dipulangkan berbelenggu.

Perkara VIII
Semua orang yang mencuri cap meteri (pemalsuan) akan diserah balik sedemikian juga.

Perkara IX
Baginda Yang di-Pertuan tidak akan membekalkan apa-apa bekalan kepada semua orang yang menjadi musuh kepada Syarikat Inggeris.

Ke 9 perkara ini diwujudkan antara baginda Yang di-Pertuan dengan Syarikat Inggeris; Kedah dan Pulau Pinang akan menjadi sebuah negeri.

Disempurnakan oleh Tunku Shariff Mohamad, Tunku Alang Ibrahim dan Dato Penggawa Talibon, wakil-wakil bagi pihak Baginda Yang di-Pertuan dan diberikan kepada Gabenor Pulau Pinang, wakil bagi Syarikat Inggeris. Dalam Perjanjian ini, mana-mana pihak yang menyimpang daripada apa-apa yang tertulis dalam Perjanjian ini, Tuhan akan menghukum dan memusnahkannya: tidak akan ada padanya kesejahteraan dan kesihatan.

Meterai Shariff Mohamad dan Tunku Alang Ibrahim, dan Dato Penggawa Talibon, diperturunkan pada Perjanjian ini, dengan tandatangan masing-masing.

Ditranskripsikan oleh Hakim Bunder, Pulau Pinang.

Ditandatangan, dimeterai dan disempurnakan di Kota Cornwallis, Pulau Pinang pada 1 haribulan mei tahun Masihi 1791

Catatan 2 November 2010

Posted by Tukya Labels:

ORANG-ORANG `ABID

Dari Pulau Pinang, walaupun boleh dikatakan selalu melalui jalan itu, yang selalu menempuh sesak kereta oleh kerana jalan menemui simpang-simpang, hari itulah pertama kali saya singgah di sebuah surau yang selama ini saya tahu bahawa di situ ada surau.

Surau ini sangat tersorok di tengah kesibukan.


Berhampiran pasaraya, Pejabat Agama Daerah, berjiran dengan kedai roti canai, di belakang ada ibu pejabat Telekom dan sebelahnya pula pusat karaoke. Nyata surau itu sangat tersorok. Ketika saya sampai dekat pasaraya, saya dengar suara azan yang cukup berkarat bunyinya. Saya membelok ke surau itu kerana hendak solat berimam.

Allah memberikan saya kekuatan mentafsir dari pancaindera yang Allah anugerahkan. Kadang-kadang tafsiran saya sangat buruk, membawa saya kepada ‘suk uzzan’. Surau yang saya singgah mulai menyentuh hatinurani saya.

‘Sila tanggalkan kasut’

Hanya itu saja tulisan di dinding surau yang separuh simen separuh papan dan kerangka besi. Kolahnya tidak mampu muat tiga budak-budak hendak berkubang. Ruang sebelah kanan, seakan ruang tempat tidur. Ada meja rendah dan tikar-tikar.

Ketika saya masuk, muazzin yang sangat melengkung tubuhnya, berseluar panjang menyinsing hingga ke betis, ber T-Shirt dan berkopiah putih. Dia meneran suara azannya di kalimah akhir, seolah-olah itulah kali terakhir dia memberitahu, solat akan bermula, segeralah datang.

Surau itu beruang sempit. Untuk satu saf hanya sepuluh orang dan mampu tiga saf sahaja. Sejadah nampaknya lusuh, berkedut dan berkeremot. Tingkap dialas dengan renda dan kain langsir yang saya kira ia bukan dibuat khas, tetapi hanya dari kain-kain yang terbuang atau kitar semula.

Tapi muazzin sangat patuh. Saya dapati ia sangat khusyuk dan setia menunggu jemaah lain. Teragak-agak dia hendak qamat kerana bimbang tidak ada imam, sedangkan saya berniat, kalau dia qamat juga, sayalah akan jadi imam.

Akhirnya muazzin itu qamat apabila seorang lelaki berseluar panjang, berkemeja dan bersongkok putih ke hadapan tempat imam.

Saya sangat terasa kelainan solat di sini. Hanya ada dua belas makmum selepas imam selesai membaca doa iftitah. Saya tersentuh melihat imam dan muazzin bersolat. Mereka bagaikan sang musafir yang tidak membawa apa-apa. Surau yang robek dan buruk itu, mereka luluhkan dengan bacaan khusyuk dan ternampak mereka meredai seluruh kehidupan mereka.

Rupa-rupanya mereka berdua adalah abdi surau itu setiap waktu. Seorang tetap menjadi muazzin, seorang tetap menjadi imam yang dalam pemerhatian saya mereka cukup menyedari tugas sukarela mereka perlu dilakukan demi makmum lain.

Saya teringat ketika saya pernah solat di masjid-masjid di kota besar, bandaraya dan masjid sesebuah negeri. Mereka sangat berbeza dengan insan cengkung dengan pakaian buruk di surau ini. Bukan dari segi itu saja, malah saya seakan dapat membezakan, betapa jauh khusyuk, tawadduk, rela dan redho mereka dari mereka yang bersolat di masjid megah, ternama atau masjid mewah.

Mereka tidak seperti yang datang di masjid-masjid besar, yang indah dengan lenggang lengguk, pongah, dengan jubah serban, atau yang datang diiringi pengawal, kemudian yang lain memberi ruang. Mereka sujud tidak seperti sujud ratusan jemaah di masjid besar, di masjid bandaraya atau wilayah. Mereka sujud sampaikan hidung terpenyet ditikar, bukan di atas karpet tebal.

Pastinya sang muazzin dan imam itu tidak menerima apa-apa upah. Tapi doa imam tetap sama, merendah diri, bersungguh-sungguh, mengharap keredaan, meminta rahmat dan keampunan untuk semua, bukan seperti sang khatib di masjid besar berdoa dan meminta pengampunan dari Allah kepada orang tertentu walaupun yang tertentu itu lebih miskin amal ibadahnya dari sang muazzin dan imam ini.

Subhanallah, saya merasakan mereka seperti malaikat. Tapi sayang surau yang saya singgah ini sangat terpencil, di mana malamnya saya mendapat tahu, tapak halamannya menjadi parking pengunjung karaoke yang berhampiran di situ.

Dan apakah yang patut saya lafaz kebanggaan. Siapakah punya kerja seperti ini? Saya terkedu apabila keluar di pintu saya dapati semua kasut-kasut jemaah tersusun rapi dengan kepala kasut mengadap hala keluar.

Siapa punya kerja mulia ini? Sedangkan minggu sebelumnya, saya kehilangan kasut selepas solat Jumaat di Masjid Negeri.

Subhanallah, Tuhan, abid inikah yang mentarbiah makmumnya atau inikah yang dikatakan keberkatan?

Perbuatan menyusun kasut jemaah bukanlah aneh, tetapi ianya tidak pernah berlaku dalam pengalaman hidup saya kecuali satu ketika dulu di Bandar Country Home Rawang, Pusat Jemaah Al Arqam, di mana kalau kita memasuk mana-mana kedai atau rumah, tanpa disuruh atau di arah, keluar saja kita akan dapati kasut kita tersusun elok.

Subhanallah! Inilah tarbiah hasanah dan rupanya ia sampai ke surau terpencil ini.

Catatan 25hb Oktober 2010

Posted by Tukya Labels:


Dari kanan, Pak Shukur Harun, Razali Indun, Kasim Mohamad dan Dinsman, di Subang Airport


Sangat mengujakan apabila ‘Paksi’ (Kumpulan penulis dan seniman rakyat) membuat temujanji dengan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Selangor (PPAS) Puan Mastura, jam 2 petang pada 25hb Oktober 2010 yang lalu.

Paksi dengan delegasinya Dinsman, Kasim Mohamad, Razali Indun dan Shukur Harun menemui Pn Mastura bersama pegawai-pegawainya yang baik hati, dalam siri perbincangan bagaimana buku-buku yang ditulis oleh penulis, yang terpinggir dari syarikat penerbitan gergasi itu mampu sampai kepada pembaca, terutama melalui ‘rumah buku’ yang lebih dikenali dengan nama ‘perpustakaan awam.’

Pertemuan yang singkat itu sangat memberi makna. Pn Mastura diluar jangkaan saya dari segi apapun kerana keramahan, layanan atas nama seorang ‘boss’ kepada penulis.

Rupa-rupanya sangat banyak rintangan untuk buku-buku yang ditulis oleh penulis untuk sampai ke tangan pembaca memalui Perbadanan Perpustakaan Awam. Sangat banyak rahsia dan peraturan yang tidak diketahui oleh penulis dan sebahagian besar perpustakaan awam memeram peraturan itu yang entah apa sebabnya.

Dalam pertemuan itu barulah tahu rupa-rupanya bukan semua Perbadanan Perpustakaan Awam mengenakan peraturan kemasukan buku yang sama. Ada sesetengah perpustakaan nampaknya sengaja menyembunyikan untuk bagaimana buku penulis itu sampai ke perpustakaan atas sebab-sebab tertentu. Tapi ini menggambarkan seolah-olah, buku-buku yang hendak sampai ke perbadanan perpustakaan bukanlah dari penulis tetapi mestilah ‘sebuah rekomen’ dari sebuah syarikat yang diberi ruang mendaftarkan diri.


Pn.Mastura dengan dua pegawainya sedang berbincang


Banyak hal yang kami mendapat maklumat apabila Pn. Mastura berkongsi saranan. Nampaknya Pn Mastura sangat bersedia membuka jalan dan ruang untuk penulis yang hendak menyampaikan buku-buku mereka kepada Perbadanan Perpustakaan.

‘Tidak susah, cuma mahu atau tidak saja,’ begitu kami berpendapat.

Tapi soalnya mengapa kebanyakan Perbadanan Perpustakaan Awam seakan tidak berminat, tidak berupaya, apa lagi berusaha mendapatkan buku-buku dari penulis itu sendiri. Yang berlaku sekarang, sesetengah Perbadanan Perpustakaan Awam boleh membeli buku penulis anak negeri tersebut tetapi tidak membeli dari penulis negeri lain, melainkan kena membeli melalui syarikat yang sudah dilantik.

Pn Mastura saya dapati sangat mengerti masalah buku-buku seperti ini. Selain memberi penghargaan kepada penulis, beliau mahu sesebuah buku itu mesti sampai dan ditatap oleh semua orang.

Terima kasih Pn. Matura dan pegawai-pegawainya. Semoga hajah yang akan dikerjakan pada 28hb Oktober 2010 akan dimabrurkan oleh Allah .

Pemudaiman dan Mutiara Wahyu

Posted by Tukya Labels:

Aidil Fitri hari ke empat 1431 yang lalu, saya dikunjungi oleh tiga anak muda dari pengajian tinggi. Seorang pensyarah dari UIA, seorang dalam proses PhDnya di USM yang bukan bidang keagamaan dan seorang lagi saya sudah lupa, tapi berperanan dalam ilmu-ilmu kebajikan.

Mereka datang menziarahi orang-orang yang mereka rasa patut diziarahi dan mereka memberitahu, mereka adalah kumpulan dari blog http://pemudaiman.blogspot.com. Mereka mewujudkan blog tersebut hanya semata-mata sebagai wadah dakwah, menyampaikan apa yang dirasakan patut, sesuai dengan ilmu dan perjuangan mereka.

Saya tersentak kerana ada juga golongan anak muda yang begitu prihatin tentang perlunya ilmu disebarkan dan ia tentunya secara percuma. Saya berfikir, alangkah baiknya jika ramai lagi yang dengan sukarela berbuat begini. Mereka dari kalangan terpelajar dan tentunya ilmu yang mereka lontarkan tidak sia-sia.

Baru-baru ini saya ke Medan Indonesia dengan hasrat mencari sedikit buku-buku. Di antara buku yang saya beli ialah “Menyibak Rahsia Sains Bumi Dalam Al-Qur`an’, ‘Mencari Tuhan Yang Hilang’, ‘Islam & Ekologi Manusia’ dan ‘The Amazing Stories of Al-Qur`an’. Buku-buku ini sangat hebat, termasuk juga dari segi jodolnya. Kehebatan jodol buku-buku Indonesia, menjadikan saya melontar kata dalam wacana TVRI SUMUT di hari saya ke sana, sebagai buku-buku yang penuh dengan penipuan jodol, touching dan memancing.

Kembalinya, saya menemui sebuah buku kecil dan nipis dari Pemudaiman ini, yang ditulis oleh Mohd. Syauqi Mod Zahir, salah seorang penggerak blog dan kerjamal ini bertajuk ‘Mutiara Wahyu.’


Huraian dan penulisan buku ini tidaklah sehebat mana, tetapi pemilihan mauduk (tematik) yang kemudian diadakan sedikit rengkasan, ulasan menjadikan buku ini sangat perlu dibaca oleh semua peringkat.

Saya tertarik dengan pancingan tajuknya seperti Qur`an dan Gunung, di mana sebuah buku Indonesia yang saya beli bertajuk Murka Alam, seakan begitu persamaannya. Kemudian ‘Manusia Pemakan Bangkai’, ‘Anak dan Isteri Menjadi Musuh,’ ‘Eksperimen 4 Ekur Burung,’ dan lain-lain.

Buku setebal hanya 104 muka, tidak membebankan untuk menghabiskan bacaan bagi mereka yang pemalas. Ia rengkas dan padat. Setiap ayat akan diulas dan disisip dengan maksud, dititip untuk amal.

Memang tepat hanya untuk mereka yang ingin Tadabbur dan tafakkur. Pelajar university sangat sesuai menjadikan ia ‘halaqah’.

Alangkah baiknya mana-mana korporat atau individu yang memiliki kelapangan kewangan, membelinya beberapa nakshah dan disedekah kepada setiap masjid sebagai pengisi khutub khanah. Ia pasti berfaedah.

Catatan Awal Oktober 2010

Posted by Tukya Labels:

Wacana dalam rancangan Pantun Empat Tujuh TVRI Sumatera Utara, Medan, dalam kontek sastera & Budaya Malaysia-Indonesia. Dari kiri: Hj Amir Arsyad, moderator I, Hj Anuar Asmadi dari 2PNP, Dr. Takari dari UUSU, Azizi Hj Abdullah dan Retno Ayuni moderator II.

(I)

Medan, Sumatera, sebuah kota metropolitan yang sebuk dan padat sudah banyak berubah. Saya sudah lama tidak ke sana. Tanggal 4-6 Oktober 2010 saya bersama seorang kawan tiba di sana dengan hasrat hendak membeli buku-buku dan berehat.

Niat begitu tidak berapa kesampaian kerana tiga hari di sana, kawan yang menemai kami, Saudara Fadli, seorang pensyarah di Universiti Sumatera Utara, juga seorang taukeh kek di Medan dengan nama syarikatnya Nazwa, melantakkan kami dengan makan setiap waktu.

Tanpa Fadli tentunya kami sangat sukar hendak bergerak kerana kereta Kijangnya sedia ke mana-mana saja. Fadli seorang sahabat Anuar Asmadi yang tidak banyak karenah.

Dengan usahanya juga, kami ke TVRI Sumatera Utara yang stesennya tidak jauh dengan hotel kami. Selama satu jam kami diminta memberi maklumat, bertukar fikiran tentang Sastera dan Budaya antara dua negara.

Anuar Asmadi yang mewakili persatuannya 2PNP bercakap tentang kegiatan dan aktiviti badan-badan penulis di Malaysia, khususnya 2PNP dalam menyemarakkan sastera dan budaya.

Saya, selain dari sedikit pengkesahan tentang menulis, novel Sangetha menjadi tajuk perbincangan. Saya juga ditanya bagaimana pengaruh penulis Indonesia terhadap proses penulisan sepanjang saya terlibat.

Ternyata rancangan ‘Pantun Empat Tujuh’ sangat memberi makna. Apa lagi moderator 1, bagi saya melampaui budayawan biasa. Beliau menutur pantun secara sepontan yang tidak ditekad skripnya terlebih dahulu. Saya amat kagum. Saya belum pernah menemui pemantun di Malaysia begitu rupa.



Di depan Stesen TVRI Sumatera Utara (SUMUT) Dari kiri Fadli dari Universiti USU, Hj Anuar Asmadi 2PNP, Azizi Hj Abdullah dan Dr. Takari dari USU.

(II)

Seharian menghabiskan masa di Tokok Buku Gramedia, di lantai 2 sangat mengkagumkan. Bagaikan mahu gila melihat buku-buku dari pelbagai jenis.

Di Malaysia, walaupun ada kedai-kedai buku yang hebat, seperti Konikuya di KLCC, Mid Valley, tapi di Gramedia menampakkan bagaimana rakyat Indonesia suka membaca.

Menulis buku dan diterbitkan di Indonesia sangat berlainan dengan Malaysia. Di Malaysia lebih menjurus kepada keuntungan bertunjangkan kepada kepopuleran. Tapi di sana ia lebih kepada mencambahkan ilmu yang berbagai.

Bayangkan, sebuah bioghrafi dari seorang yang tidak pernah muncul namanya sebagai penulis hebat, diterbitkan dan ia dijual di gedung buku seperti Gramedia. Sedangkan di Malaysia, buku seperti itu dianggap tidak laku jika di jual, kerana buku seperti itu tidak layak di toko buku.


Cardboard yang digubah dengan bunga-bunga kain menjadi ucapan selamat.


(III)

Di sana juga kita melihat betapa kreatifnya penduduk. Mereka mampu mencipta sesuatu yang baru.

Barangkali saya sudah ketinggalan masa, tapi bagi saya agak baru apabila melihat bagaimana perca-perca kain yang berbagai warna, digunting dan dijadikan berbagai bunga. Dari bunga-bunga itu dilekat pada papan besar (Cardboard) lalu dibentuk huruf-huruf berbagai gaya.

Diucapkan untuk harijadi, pengantin dan lain-lain. Sesiapa saja boleh menyewanya.



Dalam Toko Buku Gramedia.


(IV)

Tidak banyak buku yang dibeli. Saya sedang menekuni dua buku yang saya rasa menarik. Pertama, Dia, Muhammad Rasulullah, yang diolah tekniknya menjadi novel, Kedua, tentang Mencari Tuhan Yang Hilang.


Hotel Deli, sebuah hotel bertaraf sederhana.


(V)

Belum ada pengkaji bahasa kita di sini melihat perkataan-perkataan sumbang yang diucapkan oleh penulis/ pengarang Indonesia, walhal buku-buku mereka bercambah-cambah di pasaran kita.

Apakah betul jika menggunakan perkataan ‘Sang’ yang diucap bersama perkataan ‘Tuhan?’. Apakah tidak kurang ajar atau menyalahi akidah jika di sebut ‘Sang Tuhan?’

‘Sosok’ juga sering digunakan. Ada disebut mencari ‘sosok Tuhan’. Sosok membawa erti bentuk. Apakah Tuhan mempunyai bentuk?

Pada 6 Oktober 2010, walaupun waktu berangkat jam 11, tapi FireFly tidak berapa peduli. Kerana tidak ada lagi penumpang, sekitar jam 10.45 sudah terbang.

Saya tidak tahu, apakah ini jam Melayu atau jam bukan Melayu.

Komentar

Posted by Tukya Labels:



(1) Tun Mahathir & DS Dr. Rais


‘Orang Melayu akan hilang kuasa dan suara sekiranya pembangkang berjaya memerintah negara,’ kata Tun M, mantan PM yang paling lama memerintah.

‘Sungguh, benar berasakan fakta politik, rekod pemerintah dan Perlembagaan’ tokok penanda aras penyokong Dr. M, Menteri canang dan gong, Dr. Rais Yatim.

Dalam kontek kini, yang tak jadi pembangkang ialah Umno/BN, yang pembangkang itu Melayu dan Pakatan. Nampaknya cakap macam ni macam cakap nak beritahu orang Melayu, rakyat Malaysia, lain dari Umno/BN, parti apa pun tak layak. Di berinya contoh Perak.

Puiiii, yang Kelantan tak pula diberi contoh. Apa raaa punya saranan.

-Ya Allah, berilah kekuatan pada aku untuk mempercepatkan menyudahkan novel FOBIAku.


(2) Saya Sedang menulis Cerpen SEBATANG TUBUH TANPA AURA

Petikan: ‘Apakah mereka Melayu?’ tanya Surinam Malacindia, kepada Ubado Salam, kawannya yang menuntut di UIA, yang menyewa rumah di Kampong Kerinci.

“Kau akan kenal sendiri, kalau kau lama di sini. Secara rengkas, ada dua macam Melayu di sini.”

Surinam Malacindia membeliak mata.

“Melayu pertama, Melayu asobiah. Melayu kedua, Melayu Islam. Engkau akan tenguk macam mana Melayu asobiah dan Melayu Islam.” Kata Ubado Salam dengan tertib dan lembut.

“Tamadun?” Udabo Salam agak hairan.

“Ya, tamadun Melayu yang hebat, sejak dulu hingga sekarang.” Katanya.

“Engkau belajar antropologi?”

Surinam Malacinda mengeleng kepala tapi dia meyakinkan kepada Udabo Salam dengan bahasa matanya bahawa dia mampu memahami. Dia tidak akan menaruh apa-apa syak wasangka tentang bangsa Melayu kerana dari bacaannya dia tahu bangsa Melayu adalah bahasa yang sangat hebat, berbudi bahasa, bersopan santun, beramal dengan kasih sayang, bertolak ansur. Berat sama di galas, ringan sama ditanggung. Berenang-rengang ketepian setelah berakit-rakit ke hulu. Gunung sama di rengkuh, ke lurah sama diranduk.

(2.1)
‘ Malangnya Melayu itu kuat bersorak. Terlalu ghairah pesta temasya,sedangkan kampung telah tergadai, sawah sejalur tinggal sejengkal tanah sebidang mudah terjual.Meski telah memiliki telaga, tangan masih memegang tali, sedang orang mencapai timba.’

Haram jadah punya Melayu! Demikian maki seranahnya. Sungguh tak disangka bangsa Melayu diungkap begitu dalam abad 21 ini. Mau dia mengirim e-mail kepada Sarini-sarini, kekasihnya yang setia di Surinam untuk memberitahu teruknya bangsa Melayu menjelang abad 21.

Dibacanya lagi:
'Berbuahlah pisang tiga kali, Melayu itu masih bermimpi. Walaupun sudah mengenal university, masih berdagang di rumah sendiri ‘.

“Dajal! Haram jadah! Babi sesat!” begitu dia maki kepada Melayu apabila puisi Usman Awang dibacanya. Terasa Melayu seperti itu akan tempias kepadanya.


(2.2)

Dibacanya apa yang ditulis oleh Swettenham tahun 1885 tentang orang Melayu. Meradang habis apabila imej Melayu yang ditulis oleh Hugh Clifford .
“Haram jadah!” makinya.

Tom Pires bangsa Portugis yang hidup tahun 1512 – 151 pun haram jadah. Dikatanya; ‘Bangsa Melayu cemburu kuat. Isteri tidak penting bagi mereka di muka umum. Jika isteri mau pergi, semua kena tutup,’ demikian Ton Pires menulis tentang Melayu. Duarte Barbosa 1518 pula lain bunyinya; ‘Melayu terkemuka adalah kelompok Muslim, taat, menyenangkan, rumah besar, punya kebun buah-buahan, taman, kolam air, halus budi bahasa, sopan, gemar muzik dan menyanyi.’

Alhamdulillah, dia tersenyum. Dia mahu jadi Melayu seperti gambaran Duarte Barbosa, kerana katanya lagi; ‘ mereka sangat terampilan dalam segaja jenis pekerjaan, terlatih dalam setiap kadar kebencian, walaupun pun kurang disiplin- gagah berani, miliki senjata- bertempur tanpa takut.’

Yeeeaaahhhhh!

Tetapi yeeeaaahhh itu tidak berlarutan. Ada kerut-kerut berlapis di dahi dan matanya mula berbianglala. Surinam terus membaca petikan yang dipotostat yang ditulis oleh Emanuel Godhino de Eredia, seorang Pegawai Portugis kepada Raja Sepanyol; ‘ Orang Melayu telah menemui pengalaman diri sebagai komuniti sasaran selama satu abad. Orang Melayu menyenangkan, nakal dan sangat ceroboh- banyak akal, cerdas tapi semberono, mengabaikan pelajaran dan sastera, suka bersenang-senang, sikit ilmu matematik, suka meramal bintang.

Orang bangsawan suka sabung ayam dan muzik- orang biasa lebih baik, memanfaatkan waktu dan keterampilan teknik dalam mendapat pendapatan, ahli ukir, mahir dalam bidang kimia, melebur besi dan mengerasnya.’

Lambar potostat yang lain dibaca lagi. Kali ini tulisan John Francis Gamelli Careri yang datang ke Melaka tahun 1695. Tulisnya: ‘ Melayu Islam pencuri yang handal- musuh yang garang- suka menolak jalinan hubungan dagang- liar seperti binatang.’ Francois Valentyn dari Belanda pula menulis pada 1726M: ‘ Melayu lincah-lucu-sombong diri-penduduknya cerdik,berbakat, sopan santun tapi tak banyak boleh dipercayai.’

Dia menepuk-nepuk dahi. Mengeluh panjang.
‘Melayu biadap!’ demikian pula de Vellez Guirreiro seorang Kapten Portugis menulis.
“ Babi mandul!” jerkahnya sangat kuat. Geram sangat.



(3) PKR Macam Air Liur Basi BN Juga

Masakan tidaknya. Perangi berebut jawatan macam proses perhimpunan Umno, MIC , MCA dan lain-lain komponen juga. Nampak sangat berjuang nak berebut pangkat. Komplen sana sini. Laporan polis pun sudah semakin banyak. Aparaaaaa!

Kalau ya pun, janganlah Nampak sangat yang kita itu masih meleleh air liur basi Umno, MIC atau MCA. Ini bukan mustahil akan berlaku baling punggal kerusi. Aparaaaa!

Memang ada yang tak betul. Baguslah kalau nak perbetulkan. Tapi kalau sudah sampai ketahap nak perbetul kerana nak berebut jawatan, Nampak sangatlah siku-singgung, meleleh berlenja air liur basi Umno.

Kata Minah Jambul, itu buan salah PKR tapi itulah perangai ahli PKR yang menetas dari kepompong Umno.

Lantaklahhhhh!

(4)
‘Saya malu kalo ini TV keluar dari rumah saya. Saya malu pada itu jilan-jilan dan saya sanggup mati kalo kamu masih mahu buat gitu!’

‘Jika kamu mau ambil juga, cubalah. Sebelum kamu sempat balik pejabat kamu akan dapat panggilan saya bakar diri sendiri di belakang rumah.’ Demikian rayu dan ugut Ammatanu 76, ketika Penguatkuasa MPSPK merampas TV milik anaknya kerana tidak bayar cukai pintu tertunggak.

Ini kejadian di Sg Patani, menurut laporan harian Sinar keluaran 25 September 2010.
-Saya teringat bagaimana CAP (Persatuan Pengguna Pulau Pinang) sering memperingati kesan dan keburukan TV, terutama kepada kanak-kanak.
Ternyata, TV sudah menjajahi minda kita. Ugutan itu bukan saja ada dalam kepala Ammatanu, tetapi sebahagian besar rakyat kita, terutama orang Melayu.

-Saya kagum akidah Ammanatu.

Catatan Di Hospital

Posted by Tukya Labels:



Bersama Dr. Safari di KPJ Perda, Bukit Mertajam.



Masuk hospital Pulau Pinang bagi saya bukanlah pertama kali. Entah tahun berapa, ketika balik dari ceramah di KUZA Terengganu, muntah di Lapangan Antara Bangsa Bayan Lepas, saya dimasukan ke sini. Penyakit kononnya Hepatitis.

Kini,sejak 31 May dimasukkan ke dalam kategori lain, sehingga melibatkan sahabat handai melahirkan simpati, kasih sayang dengan membaca Yasin dan solat hajat di masjid-masjid.

Terima kasih.

Saya dikatakan serius. Saluran darah dijantung tidak berfungsi. Tersumbat macam longkang kotor. Sesungguhnya apabila melihat jentera Allah dari Kun FayakunNya dalam diri barulah tersedar bahawa Allah Maha Hebat.

Saya sungguh tidak menjangka begini kerana tanda amaran tidak pernah saya lalui. Lalu hasil dari sebuah mesin yang diduplikat dari mesin Allah Taala, barulah saya diberitahu itu dan ini tak kena. Itupun sesudah saya membeli maklumat itu secara bayaran tunai RM6000.

Masuk ke hospital ini hanya ingin menyambung talian hayat. Mampukah manusia yang bernama doktor melakukannya? Di sinilah beberapa pintu iman telah di buka. Rupa-rupanya dari mereka yang beriman berkata, kita di sini berikhtiar mengubati penyakit , bukan menghalang maut.

Menunggu tarikh untuk di belah dada sama saja dengan pembunuh menunggu algojo. Tapi harapan cukup tinggi. Kehebatan doktor pakar memberi keyakinan kepada ramai, usaha mereka seperti malaikat yang mampu memberi pitisyen penangguhan hukuman.


Bersama admin blog.


Saya sangat banyak menerima rangsangan, motivasi dan bunga-bunga doa dari kawan-kawan.

Ketika menulis ini sudah masuk hari ke 3 saya di Wad CRW. Alhamdulillah layanan dari jururawat, doktor dan semua petugas sangat baik. Pesakit lain sudah menjadi kawan. Cuma yang kepingin ialah Nasi Kandar. Sahabat saya Anuar Asmadi dengan sukarela menyediakan bahan bacaan.


Salam. Semoga berjumpa lagi jika umur panjang.

-Catatan 2 Jun 2010 di Wad CRW 6 jam 9-40 mlm