Showing posts with label BUKU. Show all posts
Showing posts with label BUKU. Show all posts

Monday, August 9, 2010

Aku dan Buku 8 : Ramadhan Tetamu Yang Dirindui

Assalamualaikum wbt..

Semalam sempat ke UKM, untuk menzirahi sepupu suami yang mengalami kecelakaan, menyembabkan 4 batang gigi gerahamnya patah. Kemalangan motor semasa di Perlis, huhu. Semoga beliau cepat sembuh.

Dalam pada itu, sempat mengunjungi Pesta Konvokeseyen UKM yang meriah. Tak sabar nak berkonvo bulan Oktober ini. UPSI je yang lambat berkonvokesyen, tapi tidak mengapa, ada hikmahnya.

Pergi ke pesta itu pada asalnya hanya sekadar berjalan-jalan. Selepas membuat pemeriksaan kesihatan di booth Fakulti Perubatan, merayau-rayau ke gerai2 yang banyak. Dan kerana itu, sempat membeli 2 buah buku. Alhamdulillah, bertambah lagi koleksi buku itu. Dan, salah satunya adalah buku di atas. Ayuh kita tengok reviewnya yang dipetik dari laman web ini.

InsyaALLAH akan cuba menghabiskan sebagai persediaan kepada bulan Ramadhan ini.



Ramadan datang dan pergi. Ramadan datang lagi. Apa yang seronoknya Ramadan ini? Ada yang berasa seronok kerana selepas Ramadan diikuti dengan Hari Raya Aidil Fitri. Namun adakah ia keseronokan sebenar Ramadan?

Buku ini mengupas rahsia bulan Ramadan yang masih menjadi 'misteri' oleh kebanyakan orang Islam. Buku ini turut memuatkan sejarah puasa, kelebihan daripada pelbagai sudut dan cara-cara bagaimana berpuasa yang mendatangkan impak yang nyata kepada individu Muslim. Diolah menggunakan bahasa yang mudah dan santai. Ia sesuai dibaca oleh segenap lapisan masyarakat.
Dato' Seri Abdul Hadi Awang berkelulusan ijazah B.A. (Syariah) dari Universiti Islam Madinah dan ijazah M.A. (Siyasah Syar'iyyah) dari Universiti Al-Azhar, Mesir. Beliau adalah tokoh pendidik, ilmuwan, pendakwah dan pengasas pusat pengajian ilmu-ilmu Islam di Marang, Terengganu.
- Penerbit
KANDUNGAN

- Selamat Datang Ramadan!
- Suai Kenal Ramadan
- Apa Itu Puasa?
- Banyaknya Kelebihan Ramadan
- Sejarah Puasa
- Ganjaran Puasa Ramadan
- Hikmah Puasa
- Peristiwa Besar Pada Bulan Ramadan
- Puasa Daripada Perspektif Kesihatan
- Puasa Daripada Perspektif Psikologi
- Bagaimana Cara Berpuasa?
- Mengenali Puasa Wajib
- Perkara Penting Sebelum Berpuasa
- Ganjaran Bonus
- Doa Bagi Orang Yang Berpuasa
- Apa Yang Membatalkan Puasa?
- Puasa Ganti
- Kesimpulan; Puasa Dan Latihan Diri

Harga = RM12.00 (Sem) RM15.00 (Sab/Swk)
Mukasurat = 133
Penulis = Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang
Penerbit = PTS Islamika Sdn Bhd

Friday, July 23, 2010

Aku dan Buku 7 : Persembahan Cinta Isteri Hassan Al-Banna


Alhamdulillah sudah selesai membaca buku ini. Buku kecil sebanyak 100 helai ini berjaya dihabiskan dalam masa sehari. Buku yang menceritakan tentang seorang wanita Latifah AsShuli, isteri kepada murabbi dakwah, As-Syahid Hassan Al-Banna.

Buku ini boleh dikatakan sebagai sambungan dari buku 'Cinta di Rumah Hassan Al-Banna' di mana buku ini lebih banyak menceritakan secara fokus tentang isteri as-syahid. Yang banyak memainkan peranan sebagai suri rumah tangga As-Syahid yang diketahui sangat sibuk dalam urusan dakwah. Maka Latifah telah menjalankan tugas dengan sebaiknya dalam mendidik anak-anak As-Syahid terutamanya sehinggakan As-Syahid tidak gusar untuk meninggalkan isteri atas tanggung jawab dakwah kerana sangat mempercayai kewibawaan isteri beliau untuk mengemudi rumah tangga apabila beliau tiada.

Adalah sangat sesuai untuk para wanita di sana untuk mendapatkan buku...Wallahu 'alam.

Wednesday, July 21, 2010

Aku dan Buku 6 : Secangkir Teh Pengubat Letih


Assalamualaikum wbt..

Alhmadulillah berjaya juga menghabiskan buku ini. Buku hasil tulisan, idea dan pengalaman Ustaz Hasrizal menjadi pilihan untuk berada dalam senarai keutamaan yang perlu dibaca. Setelah Murabbi Cinta, buku ini menyusul sebagai bahan bacaan. Kain yang belum berlipat ditolak ketepi terlebih dahulu kerana ingin menghabiskan buku ini sekejap tadi. Sekejap lagi kena sambung tugas housewife sambil menyelak buku baru untuk dibaca.

Seperti biasa, bukan untuk menulis sinopsis, cuma ingin berkongsi tentang apa yang saya dapati sepanjang membaca buku ini. Pada awalnya, diri seolah menolak untuk membaca memandangkan di awal pembacaan, boleh dikatakan agak berat, tidak seperti Murabbi Cinta, yang fokus utamanya adalah cinta. Hehe... Tetapi lama kelamaan buku ini diteliti dari helai ke helai. Sungguh menarik pendekatan yang digunakan.

Secangkir Teh Pengubat Letih

Buku ini merupakan kisah penulis sepanjang pengembaraannya di Turki. Kisah suka duka di Bumi Khalifah. Ada beberapa perkara yang menarik dalam buku ini. Sebenarnya banyak, tapi perkara ini mengundang otakku untuk ligat berfikir.

1. Keindahan Ukhwah Islamiyyah
Betapa walaupun dua manusia dibezakan kerana bangsa dan bahasa, itu bukan penghalang untuk tautan ukhwah ini terus bersemi terutamanya antara Ustaz dan sahabatnya, Fathi. Ukhwah atas dasar iman, tiada yang dapat memutusnya. Ukhwah atas dasar perjuangan. Dua jiwa yang membawa satu hala matlamat yang sama, sentiasa berfikir tentang ummah.

2. Aku Pedulisme
Perkara yang tidak dicaknakan oleh rakyat Malaysia. Tapi tidak pada bangsa Turki. Mereka sangat peka pada isu di sekeliling, kerana itu Siaran Berita di Tv adalah menjadi keutamaan. Tiada isu untuk memboikot saluran TV arus perdana, kerana mereka punya pilihan untuk menonton saluran TV pihak lawan. Tidak seperti di Malaysia, kononnya mengamalkan demokrasi, namun lesen dihentikan, maklumat disekat untuk dicapai oleh rakyat. Huhu

3. Kejatuhan sebuah Khilafah
Sungguh, buku ini membuka mataku. Buku ini memberi sinar harapan pada diri sendiri untuk lebih mengkaji tentang Khilafah Othmaniyyah. Bagaimana sebelum ini aku menolak untuk mengetahui, kerana pada zaman ini runtuhnya sistem khilafah. Aku seakan sedih untuk mengetahui sisi gelap zaman pemerintahan ini. Namun, buku ini memberi permulaan pada perkenalan ini. Itulah pentingnya sejarah. Sejarah ini bukan sebagai tanda untuk umat ISlam terus diam dan bersedih, tapi melalui ratapan sejarah ini lah umat Islam perlu bangkit untuk kembali menegakkan Sistem Khalifah, sistem pemerintahan Islam. Dan kerana itu, dan atas kesedaran itu, cahaya Islam dilihat kembali bersinar di bumi Turki.

4. Sekularisme yang menggila
Iya, bumi Turki dilanda sekularisme anjuran Laknatullah, Kamal Attartuk. Bukan si laknat itu untuk dibicarakan, tapi bagaimana sekularisasi ini membawa kepada anak-anak muda belia di Turki langsung tidak mengenal nenek moyang mereka. Ya, nenek moyang mereka yang hebat pada zaman Othmaniyyah dahulu. Bahkan mereka dimomokkan tentang buruk2 sahaja berkaitan Islam. Islam dipisahkan sepenuhnya dari kehidupan. Mereka langsung tidak tahu tentang sejarah itu. Kerana sejarah itu dihapuskan secara total dalam lembaran kehidupan mereka.

5. Ironi negara pengeluar tudung
Tudung Turki, itu antara koleksi tudung yang aku ada. Tetapi di Turki walaupun mereka mengeluarkan fabrik tudung, tetapi Muslimah di sana tidak dibenarkan untuk memakai tudung. 'Mereka' sangat takut pada entiti agama. Oh, sungguh malang. Dalam hal ini, boleh kita rasai bagaimana seorang mahasiswa perlu memilih antara iman dan impian sebagai akibat pilihan yang perlu dibuat kerana tidak dibenarkan untuk mengambil peperiksaan akhir di sebuah instituti pengajian kerana hijab yang dipakai. Seorang ahli parlimen Muslimah Turki juga dihalau serta hilang kerakyatan kerana hijab yang dipertahankan. Alhamdulillah, iman mereka sangat teguh. Bagaimana dengan kita di Malaysia. Kita belum sampai tahap perlu membuat pilihan yang kritikal itu. Namun masih berdolak dalih dengan fesyen tudung yang pelbagai. Ingat, matlamat x menghalalkan cara.

6. Suasana Ramadhan yang dirindui
Melalui penceritaan Ustaz, diriku cuba merasai suasana Ramadhan di sana. Ramadhan yang hidup. Bagaimana alunan bacaan Quran oleh pada Huffaz menghiasi bibir senja di Turki sementara menantiakn ifthar. Iya, kerana Ramadhan bulan Ummah. Jadi ummah di sana benar-benar menghidupkannya. Tapi tidak di Malaysia, sebelum puasa lagi, sudah kalut hendak beraya. Bibir senja, manusia kalut ke bazar Ramadhan, memenuhi tnututan nafsu mencari juadah berbuka, walau seawal jam 3 petang. huhu. (Sinikal). Lagu-lagu raya sudah dipasang, seolah tidak sabar agak Ramadhan cepat pergi. Aduh ummatku!

Mungkin itu serba sedikit yang ingin dikongsi. Bagaimana penceritaan Ustaz Hasrizal seolah-olah membawaku untuk turut berada di Turki. Dulu, semasa membaca Rindu Bau Pohon Tin, seolah berada sekejap di Jordan, tapi kali ini terasa lama di Turki.

Terima kasih buat beliau atas terhasilnya buku ini. Membawa kepada ligatnya akal ini berfikir, setelah sekian lama terasa otak ini tepu dan tertipu dengan kehidupan yang melalaikan.

p/s : Ateh kembali melipat kain setelah selesai menulis post ini. Huhu

Thursday, July 8, 2010

Aku dan Buku 5 : Murabbi Cinta


assalamualaikum wbt..


Alhamdulillah, selesai juga menghabiskan bacaan. Buku Murabbi Cinta menarik minatku untuk menghabiskannya secepat mungkin. Untaian kata bersalut hikmah sungguh mempesona. Buku yang sangat sesuai buat mereka yang bakal dan sudah mendirikan rumah tangga, terutamanya kepada pasangan muda belia.

Saya menyeru buat mereka di luar sana untuk menghayati buku ini sebagai panduan yang berguna. Kisah benar dan pengalaman realiti hidup yang diselubungi cinta. Apatah lagi mengambil contoh daripada kisah junjungan mulia, Rasulullah SAW. Bagindalah murabbi cinta terbaik sepanjang zaman.


"Sesungguhnya telah ada pada(diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu(iaitu) bagi orang yang mengharap(rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah" (al-ahzab: 21)

Masa yang lapang ini teruatamanya buat lepasan graduan yang sdg menanti pekerjaan, haruslah dimanfaatkan dengan membaca buku selain ke majlis2 ilmu. Ayuh, membaca! Julai bulan membaca!

p/s : Sekarang sedang membaca buku 'Secawan Teh Pengubah Letih'

Friday, June 25, 2010

Mengasah minda...


Assalamualaikum wbt..

Hari yang mendung bagaikan mahu hujan...Cuba untuk menulis...Bersendirian sementara suami bekerja kadang2 membosankan... Laptop menjadi peneman diri setelah selesai menyelesaikan tugasan di rumah ini sebagai suri rumah... ('',),

Minda ini sudah lama tidak diisi dengan bahan bacaan. Agak lama meninggalkan dunia membaca. Seketika sementara menguruskan urusan mendirikan rumah tangga. Jadi, kali ini, buku ini menjadi pilihan. Buku yang dibeli oleh Adik Hala, beserta dengan tanda tangan penulis ini... Terima kasih buat hala...

Akan cuba untuk menghabiskan buku ini kerana banyak lagi buku yang menunggu...APatah lagi terasa ingin mengajak suami ke Pesta Buku di PKNS Shah Alam...


Tuesday, April 20, 2010

Aku dan Buku 4


Assalamualaikum wbt...

Alhamdulillah, tadi sambil menjaga pelajar2 form 5 yang sedang menjalani exam, sempat juga aku menghabiskan buku ini. Buku yang dibeli pada bulan Mac yang lepas di Medan Ilmu usai kuliah pagi Jumaat oleh Tok Guru.

Banyak ilmu yang boleh didapati dari buku ini. Kisah yang dicoretkan berdasarkan kepada perkongsian2 serta kisah2 daripada anakanda pejuang Islam yang mulia ini, As Syahid Imam Hassan Al-Banna.

Buku ini banyak berkisar tentang peribadi beliau bersama-sama anak-anaknya. Bagaimana beliau mentarbiyah anaknya secara langsung mahupun tidak langsung. Walaupun beliau sangat sibuk, memandangkan As Syahid merupakan pejuang Islam yang sangat berjaya apatah lagi berjaya mewujudkan sebuah gerakan Islam yang menjadi kegerunan golongan2 kuffar serta munafiq, namun peranan serta tugas sebagai seorang bapa tidak pernah ditolak ke tepi. Beliau sentiasa mencari ruang serta peluang untuk bersama2 dalam proses mendidik anak2nya. Sebagai bukti, beliau sentiasa meluangkan masa untuk makan bersama2 keluarga serta sentiasa ke sekolah bertemu guru untuk bertanyakan tentang perkembangan pelajaran anak2nya.

Mungkin itu sedikit sebanyak rumusan yang aku boleh kongsikan. Sebenarnya banyak lagi perkongsian daripada buku ini, namun elok rasanya agar sahabat2 di luar sana membaca buku ini. Sesuai untuk mereka yang berada di jalan juangNYA serta yang bakal mendirikan rumah tangga.

Aku berjaya menghabiskan buku ini dalam masa yang agak singkat memandangkan buku ini hanyalah setebal 74 muka surat serta ayat2nya yang mudah.

"Aku ingin menyampaikan dakwah ini hingga kepada janin di perut ibunya"(Imam Hassan Al-Banna)

Wallau'alam.

Tuesday, March 9, 2010

Aku dan Buku 3

Assalamualaikum wbt..

Post kali ini tentang buku. Sudah lama tiada post tentang buku2 yang dibaca. Waktu luang sepanjang minggu peperiksaan ini, aku banyak menghabiskan masa dengan membaca buku yang dibeli pada cuti Tahun Baru Cina yang lepas.

Hebatnya Cara Rasulullah SAW Mendidik

Buku ini diperkenalkan oleh sahabatku Aqilah bilamana kami keluar ke KB MALL pada masa itu. Niat di hati menjejakkan kaki ke Kedai Buku Syarikat Muda Osman hanyalah untuk membeli buku rujukan Sains tingkatan 4. Namun, apabila melihat pelbagai jenis buku baru, rambang mata jadinya. Apatah lagi, bersama ulat buku cm Aqilah. Pelbagai jenis buku yang dicadangnya. Namun, kerana kekurangan duit (hehe), buku ini yang berjaya dibeli. Bersama2 dua buah buku lagi karangan Pak Latip, Khalid Memburu Syahid dan Umar Al-Khatab.

Masih lagi dalam proses membaca buku ini. Aku mencadangkan agar semua guru, juga bakal guru agar membaca buku ini. Hayati bagaimana kaedah yang digunakan oleh Rasulullah saw dalam mendidik hati2 manusia sepanjang dakwah baginda SAW. Benarlah firman Allah SWT :-

لقد كان لكم فى رسول الله أسوة حسنة لمن كان يرجوا الله واليوم الأخير( الأحزاب : 21 )

Maksudnya : Demi sesungguhnya untuk ikutan kamu pada diri Rasulullah S.A.W itu satu ikutan yang baik bagi sesiapa yang mengharapkan Mardhatillah dan balasan baik di Akhirat kelak.


p/s : Sedang cuba menghabiskan buku ini. Ada dua lagi buku yang menunggu. Buku yang dibeli semasa Perkampungan Alam di KHAR. Aqidah dan Perjuangan oleh Allahyarham Al-FAdhil Ustaz Haji FAdzil Mohd Noor dan Ingatlah Tempatmu di Akhirat oleh Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

Friday, November 6, 2009

Aku dan Buku..


Assalamualaikum wbt...

Alhamdulillah baru saja selesai baca buku ni..Detik Detik Masa dalam Kehidupan Muslim karangan Dr Yusof Qardhawi. Banyak input yang diperoleh dari buku ini. Betapa pentingnya umat Islam perlu menjaga masa...

Dalam tinggal satu paper saja lagi iaitu 9hb ni, mencuba juga untuk habiskan buku ini... Buku ini sangat sesuai untuk kepada org seperti aku yang tidak pandai mengurus masa sebaiknya. Sudah banyak masa yang dipersiakan sepanjang 22 tahun bernafas di bumi Allah ini.


Kewajipan Muslim terhadap Masa

Masa amat penting di dalam sepanjang hidup manusia. Oleh itu setiap muslim berkewajipan menjaga masa-masanya dengan penuh teliti supaya masanya itu dapat dipertingkatkan lagi prestasi keimanan, amalan dan pelaksanaanya.

Rasulullah SAW ada mencaritakan sedikit mengikut apa yang terdapat dalm kitab Nabi Ibrahim A.S. :-

Sewajar setiap yang berakal, selagi akal fikirannya tidak hilang, bahawa dia membahagikan masa-masanya kepada empat waktu :-

1. Waktu untuk dia bermunajat (berzikir) kepada Tuhannya
2. Waktu untuk dia bermuhasabah tentang dirinya
3. Waktu untuk dia berfikir tentang barang-barang ciptaan Allah
4. Waktu untuk dia menumpukan kepada keperluannya, seperti mencari makan dan minum


Betapa wajarnya setiap manusia membahagikan masanya. Golongan yang menghargai masa kelihatan lebih sibuk dari orang yang berjawatan, kerana tugas mereka itu lebih banyak hinggakan kewajipan yang perlu dilaksanakan tidak mencukupi dengan masa yang terhad itu.

Buku ini begitu menekankan kepentingan masa itu sendiri. Banyak lagi perkara yang kita tidak sedar tentang masa ini. Masa juga adalah makhluk ALLAH.


Penghitungan Diri
Adalah juga menjadi kewajipan manusia untuk bermuhasabah segala kerja buatnya pada setiap hari. Penghitungan ini amat baik jika dapat dibuat setiap hari sebelum tidur di waktu malam. Muhasabah berdasarkan tahap bahagian nafsu amatlah sesuai, dengan melihat sejauh mana kita sudah mampu mendidik nafsu kita sendiri.

Nafsu manusia terbahagi kepada 3 bahagian :-

1. Nafsu Ammarah Bissu' : iaitu nafsu yang sentiasa bergelumang dengan dosa
2. Nasu Lawwamah : iaitu manusia yang terkadang dia melakukan dosa dan terkadang dia bertaubat serta berbuat baik
3. Nafsu Mutmainnah : iaitu yang senantiasa beriman dan berbuat baik

Sayyidina Umar Al-Khattab telah berwasiat :

Hisablah dirimu sebelum kamu dihisab, Timbanglah amalanmu sebelum kamu ditimbang.

Di setiap malam, Sayyidin Umar memukul kakinya seraya bertanya pada dirinya sendiri : "Apakah yang kamu buat pada hari ini?".

Wallahu 'alam...

p/s :- Sedikit sebanyak perkongsian tentang buku ini. Buku seterusnya, Tundukkan Hatimu karangan Tok Guru Nik Abdul Aziz..

Wednesday, October 14, 2009

Aku dan Buku




Assalamualaikum wbt...


Alhamdulillah. kembali untuk menulis di sini. Kebelakangan ini, aku kembali kepada hobi lama ku, iaitu membaca buku. Apabila internet agak ber'masalah' di bilik ini, maka buku menjadi pilihan untuk aku menghabiskan masa. Jika ber'surfing', aku banyak membaca di laman2 web serta blog2. Bebanan tesis juga diharapkan makin berkurang walaupun sudah dihantar, tapi proses peng'edit'an terus berlaku. Bertuah juga dapat supervisor seperti Dr Abu Hasan, walaupun agak strict, tapi beliau senang untuk dibual bicara.





Kali ini aku ingin kongsi tentang buku yang berjaya aku khatam semester ini iaitu Buku Rindu Bau Pohon Tin karangan Ustaz Hasrizal atau Abu Saif. Kisah mujahadahnya dalam titian perjalanan menuntut ilmu di bumi Mu'tah. Bumi yang merakam seribu satu kisah syahidnya ramai sahabat Rasulullah SWT di situ. Kisah suka-duka, pahit-manis, dalam menuntut ilmu di bumi jauh dari bonda tercinta. Kisah yang paling membuat aku menitiskan air mata bila mana empat orang sahabat beliau meninggal dunia ketika dalam perjalanan untuk menziarah beliau.

Ustaz Anhar,Ustaz Hasrizal dan Ustaz Mohamad ketika KHAT '09




Susunan ayat serta perkataan yang sangat sesuai dan berjaya menggambarkan kisah-kisah lalu beliau. Aku pernah makan semeja bersama Ustaz Hasrizal bersama pengetua dan felo2 iaitu Puan Aisyah dan Encik Ghazali ketika beliau dijemput sebagai ahli panel forum perdana KHAT '09 yang bertajuk ' Berpaut di Dahan Cinta.' Apa yang boleh aku gambarkan ialah beliau seorang yang sangat menjaga dalam tutur katanya, penuh hikmah. Mungkin kerana itu juga tulisan beliau di blog saifulislam.com sentiasa ditatap oleh ribuan pengunjung. Tahniah buat Abu Saif, aku doakan semoga beliau terus berdakwah dengan caranya yang tersendiri. Aku akan menjadi 'silent reader' kepada blog beliau.


Dan sekarang, aku sedang membaca Buku Detik-detik Masa dalam Kehidupan Muslim karangan Dr Yusof Al-Qardhawi. Buku yang sangat sesuai untuk org seperti aku yang 'failed' dalam mengurus masa...