Menu daging arnab di Restoran Itali Santini
Berita Harian, 25 Mei 2002
PERNAHKAH anda menikmati daging arnab? Jika belum, singgahlah ke Restoran Itali Santini di Plaza Mon’t Kiara, Kuala Lumpur.
Menu daging arnab panggang yang dihidang bersama kentang putar, cendawan dan sos rosmari itu disediakan khas oleh Chef Frederico Michiletto yang diterbangkan dari Itali. Ia adalah antara resipi istimewa restoran Santini yang memperkenalkan set hidangan baru mengandungi pembuka selera, sup, pasta, hidangan utama dan pencuci mulut.
Kata Chef Michiletto, daging arnab amat popular di Itali kerana ia rendah kolesterol dan baik untuk kesihatan. Di Santini, daging arnab di panggang dan dihidangkan bersama kentang putar yang dihidang sebagai hidangan utama.
“Daging arnab adalah kategori daging putih yang rendah kolesterol. Cara memasaknya juga mudah. Bagaimanapun, arnab di negara ini agak kecil dan perlu direbus agak lama agar dagingnya lebih lembut,” katanya.
Buka selera anda dengan Insalata Di Ganchio, Fritto iaitu ketam goreng yang dimakan bersama sos oren masam manis. Jika ke Santini, jangan lupa menghirup sup labu enak yang dimakan bersama biskut amaretti.
Hidangan Itali tidak lengkap tanpa pasta. Cubalah Insalata di Tagliatelle, iaitu pasta yang dimasak dengan dakwat sotong dan dihidang bersama udang harimau. Rasanya amat berbeza dengan pasta biasa yang pernah anda nikmati dan ia dicadangkan sebagai hidangan kedua selepas pembuka selera.
Selepas hidangan utama, cuci mulut anda dengan pemanis Banana Caramellizzata, iaitu karamel pisang berkrim yang digulung dengan pastri dan dihidang bersama sos karamel, ais krim coklat dan Canelloni al Mascarpone yang ranggup. Krim mascarpone adalah krim yang sama digunakan untuk membuat tiramisu.
Santini Ristorante Italiano muat 132 pengunjung dibuka dari 12 tengah hari hingga 3.00 petang dan 6.00 petang hingga 12.00 tengah malam.
Tempahan boleh dibuat dengan menelefon 03-6203 2881