Aktiviti

Akan Dikemaskini dari Semasa ke Semasa...
Showing posts with label Pemuda PAS. Show all posts
Showing posts with label Pemuda PAS. Show all posts

Sunday, September 27, 2009

Pemuda PR Sedia Gempur - TVA

Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang semakin terasa bahangnya.
Barisan Pemuda Pakatan Rakyat mengumumkan kesediaan menghadapi UMNO-Barisan Nasional dalam pilihanraya kecil Bagan Pinang.

Pimpinan kanan Pakatan Rakyat melancarkan jentera bersepadu sayap pemuda gagasan kerajaan alternatif itu di Bagan Pinang semalam dalam usaha merampas kerusi yang dikatakan kubu kuat Umno-BN.

Perasmian jentera Pemuda Pakatan ini dihadiri oleh ramai barisan pemuda dan penduduk Kampung Bagan Pinang.

Hadir pada majlis itu adalah Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Md Akin, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, ustaz Nasaruddin Hassan Tantawi dan Ketua DAPSY, Loke Siew Foke.

Bagi tetamu istimewa, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Dr. Syed Hussien Ali yang merasmikan pelancaran tersebut berkata, apa pun jua permasalahan di Bagan Pinang ianya perlu ditangani dengan bijak.

Beliau berkata demikian mengulas tentang undi pos yang difahamkan akan terus digunakan pada pilihanraya kecil Bagan Pinang.

" Sebaik-baiknya pengundian dilakukan macam biasa. Ada kotak misalnya ada tong di pintu pejabat atau di luar kem dan mereka keluar untuk mengundi. Mengapa tak boleh? Sama macam proses yang lain. Mereka tidak di Monggolia atau di perbatasan. Mereka sentiasa ada di kem itu, Mereka tidak ke mana-mana pun" ujarnya.

Sementara itu bagi Ustaz Nasaruddin pula, meski apa pun halangan yang bakal dihadapi oleh Pakatan di Bagan Pinang, jentera pemuda sudah bersedia.

Beliau tidak lupa memberikan nasihat kepada Pemuda supaya sentiasa bersedia mendengar arahan dan jangan sesekali melakukan perkara negatif yang memungkinkan harapan parti itu terkubur.

" Biarpun kita diganggu dan diancam dengan undi pos di Bagan Pinang ini. Saya yakin kita masih mempunyai peluang yang cerah di DUN Bagan Pinang ini asal sahaja kita mempunyai komitmen yang tinggi, bekerja keras untuk memastikan kemenangan berpihak kepada kita".

Bagi Siew Foke pula, UMNO-BN katanya semakin hilang sengat. Bagi DAP, gagasan parti-parti perkauman itu dalam keadaan tertekan dan terdesak memenangi Bagan Pinang.

" Kita nampak UMNO sudah ketandusan isu. Sudah bankrap idea. Tidak ada idea baru. Tidak ada cara baru untuk mendekati hati rakyat. Tidak ada cara untuk menangkan pilihanraya. Todak ada cara untuk berkempen. Balik-balik cara yang lama" ujarnya kepada sidang hadirin.

Malah Siew Foke yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan berkata, taktik UMNO-BN yang sering menyogok rakyat dengan pembangunan tidak akan berhasil di Negeri Sembilan.

Pembangunan apa lagi yang diharapkan oleh rakyat Negeri Sembilan sekiranya insfrastruktur yang sudah sedia ada juga telah lama terbengkalai.

" Kita sudah nampak masa kita masuk Kampung Bagan Pinang tadi. Sudah mula lah. Hari Sabtu pun sudah ada kerja sekarang. Kontraktor kelas F semua gembiralah. Musim perayaan untuk mereka sekarang ini. Banyak projek dapat" tambahnya lagi.

Manakala bagi Ketua Angakatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar, Bagan Pinang bukan hanya satu laluan yang sukar kepada kepimpinan Umno malah mereka turut menghadapi krisis untuk memulakan pertarungan sengit ini.

Beliau berkata demikian kerana parti itu ujarnya dalam dilema untuk menentukan siapa calon mereka nanti.

" UMNO sekarang ini mengalami satu sindrom takut nak jadi calon. Berapa banyak calon-calon UMNO hilang pekerjaan. Formula Manek Urai, terbarai. Dulu pengarah sekarang penganggur. Problem. Kawan saya di Permatang Pasir, tak apalah dia lawyer tapi susah juga nak jawab bini nombor dua. Kalau tak jadi calon tak apa. Sudah jadi calon keluar semua. Kalah pula tu".

Sebelum ini heboh diperkatakan UMNO akan meletakkan mantan Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad sebagai calon mereka di Bagan Pinang.

Malah menurut Shamsul lagi, mungkin ada benarnya meletakkan Isa Samad kerana beliau sememangnya sudah kaya dan tidak risau sekiranya kehilangan pekerjaan.

Namun begitu katanya, UMNO-Barisan Nasional meletakkan diri mereka dalam zon merbahaya kerana Isa Samad cukup sinonim dengan kes rasuah.

TVA

Wednesday, September 16, 2009

Muzik: Berdialog dengan Pemuda PAS - Harakah

"MINTA maaf ya, ustaz, saya ada pengakuan," kata saya. "Dalam kolum saya, teruk juga saya tibai ustaz tentang pendirian Pemuda PAS berkenaan konsert Michael Learns to Rock."

Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan at Tantawi, senyum selamba saja. "Saya tak ambil hati. Kalau macam tu, Datuk Zaid Ibrahim pun mengkritik kami juga." Rakan-rakan Nasrudin dari Pemuda PAS tersenyum dan mengangguk-angguk.

Dengan itu, dialog anjuran musicForum antara saya dan Nasrudin bermula. Ia melihat penglibatan kira-kira 30 orang muda-mudi Melayu Islam yang lain. Masanya lepas solat terawih, dan tarikhnya 2 Sept 2009. Tempatnya di Studio Poket, Pusat Bandar Puchong Utama. Tajuknya, Di mana muzik dalam politik Islam?.

Dengan ikhlas saya mengaku, saya berdebar-debar juga mahu berhadapan dengan Nasrudin. Akan tetapi, walaupun moderator dialog tersebut, Fathi Aris Omar, memperkenalkan saya sebagai seorang pemuzik dan anggota bersekutu Sisters in Islam (SIS), Nasrudin dan kawan-kawannya tidak terkejut. Malah, tidak seorang pun yang memperlekehkan atau mengutuk SIS seperti yang saya biasa lihat di pelbagai blog dan siaran akhbar.

Saya sebenarnya dijemput oleh pihak penganjur sebagai seorang pemenang Anugerah Industri Muzik, jadi bab keanggotaan SIS saya memang tidak masuk tajuk pun.

Saya diminta membuka tirai dialog tersebut, jadi saya mengupas pendapat imam al-Ghazali. Menurut al-Ghazali, kesenian itu sebenarnya merupakan kurniaan daripada Allah yang Maha Berkuasa. Ia menghidupkan jiwa kita untuk kita lebih menghayati keindahan ciptaan Allah. Ini termasuklah bidang muzik dan tarian. Dan inilah yang mendorong saya untuk berkarya sebagai seorang artis beragama Islam.

Saya juga mengupas dua hadis sahih daripada saidatina Aishah, di mana Rasulullah sendiri telah membenarkan Aishah untuk berhibur dan menonton persembahan tarian dan nyanyian. Malah, apabila saidina Abu Bakar menegur penghibur-penghibur tersebut sebagai "serunai syaitan", Rasulullah sendiri berkata, "Biarkan mereka � bukankah ini hari perayaan?"

Malah, belum terdapat ijma yang benar-benar kukuh tentang hukum muzik dalam Islam. Ada ulama yang berkata hanya nyanyian suara saja yang dibenarkan, ada yang berkata hanya instrumen tidak bertali yang dibenarkan, tetapi ada juga yang berkata kesemuanya dibenarkan bergantung kepada niat dan mesej yang terkandung dalam karya muzik tersebut.

Pendirian PAS

Kemudian, pihak Nasrudin dan pemuda PAS yang lain pula memberikan hujah mereka. PAS tidak anti-kesenian. PAS bukan anti-muzik, malah bukan anti-konsert. PAS hanya menentang bentuk-bentuk hiburan yang melalaikan, yang menyesatkan, dan yang menggalakkan pergaulan bebas yang boleh membawa kepada pelbagai jenis kemudaratan yang lain.

"Saya faham pendirian PAS sebagai sebuah parti Islam," saya membalas. "Tetapi kenapa PAS tidak terangkan saja kepada masyarakat umum pendirian seperti ini? Bukankah itu dakwah PAS? Kenapa respons pertama daripada PAS selalunya menjurus kepada mengharamkan sesuatu yang PAS tidak suka?"

Panjang lebar juga jawapan yang diberikan oleh pihak pemuda PAS, tetapi akhirnya naib ketua Pemuda PAS, Ahmad Sabki Yusof, tersenyum dan berkata, "Kami pun sentiasa mengalami evolusi dalaman. Kami pun sedang berusaha."

Banyak juga soalan kritikal yang ditujukan kepada PAS oleh mereka yang hadir. Contohnya, insan atau institusi mana yang berkuasa untuk menentukan apa itu "bermoral" dan apa itu "tidak bermoral"? Bukankah pihak berkuasa Islam juga pernah menggunakan alasan "moral" untuk mematahkan sentimen yang mengkritik kerajaan? Apakah PAS tidak mampu bertolak-ansur?

Di sini saya sendiri telah memetik pengalaman Yusuf Islam, yang pernah membuat persembahan dalam konsert HIV/AIDS di Afrika Selatan. Para penghibur lain di konsert tersebut banyak juga mempromosi pendekatan "sekular" untuk menangani HIV/AIDS, tetapi Yusuf Islam tetap berkongsi pentas dengan mereka.

Tetapi sekali lagi saya ingin tekankan keindahan dan keikhlasan dalam dialog antara saya dan Nasrudin. Sepertimana difirmankan Allah dalam Surah An-Nahl, ayat 125: "Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik." Nasrudin dan saya memang berbahas dengan baik dan manis.

Erti dialog

Tetapi "berdialog" bukannya bererti "tumbang dan setuju seratus-peratus dengan pihak lain". Apabila mengakhiri sumbangan saya terhadap dialog tersebut, saya menekankan lagi sekali bahawa saya tidak bersetuju dengan pendirian PAS. Saya bersetuju dengan hak PAS untuk bersuara dan berdakwah, dan juga menghormati hujah-hujah yang dikemukakan.

Saya berikan analogi ini kepada pihak Pemuda PAS. Sekarang ini pihak Pakatan Rakyat (PR) dan aktivis hak asasi banyak mengecam akta-akta seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang digunakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN). Tapi mungkin satu hari kelak, PAS akan mendapat mandat untuk memerintah negara ini dan akan meluluskan undang-undang hudud.

Apakah PAS akan membenarkan bantahan terhadap undang-undang hudud oleh pihak pembangkang, artis, wartawan dan aktivis? Apakah PAS akan akur jika sebilangan besar rakyat tidak mahukan undang-undang hudud?

Menurut Nasrudin, sudah tentu PAS akan mendengar suara rakyat. Katanya lagi, "Kami berpegang kepada prinsip yang didukung oleh khulafa ar-rashidun. Kalau kami betul, sokonglah kami. Kalau kami salah, perbetulkanlah kami."

Bagi saya, jawapan ini masih perlu dilihat dalam konteks sosio-politik tanahair secara keseluruhan. Sejak 8 Mac 2008, kredibiliti BN semakin merosot, dan pada masa yang sama saham PR semakin naik. Malah, rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam pun sudah sanggup mengundi PAS demi menjatuhkan kerajaan BN.

Dan tidak dapat dinafikan, kerajaan BN juga menggunakan pelbagai taktik kotor dan ganas untuk kekal berkuasa � lihatlah saja rampasan kuasa di Perak, penggunaan meriam air dan gas pemedih mata terhadap demonstrasi anti-ISA, dan sebagainya.

Dalam situasi kini, PAS dan rakan-rakan PRnya sudah nyaris-nyaris menawan puncak kuasa. Dan dalam keadaan seperti ini, memang mudah untuk mana-mana pemimpin politik dari kalangan mereka membuat pelbagai janji manis. Akan tetapi, kita juga perlu menumpukan perhatian kepada pendirian lain yang dibawa oleh parti komponen PR.

Dalam kes PAS, kita perlu mengkaji pelbagai kenyataan para pemimpinnya tentang isu hukuman sebat, pelaksanaan undang-undang hudud, isu pertukaran agama kanak-kanak, pihak yang tidak bersetuju dengan tafsiran Islam PAS, dan juga mazhab minoriti seperti golongan Ahmadiyah. Apakah pendirian PAS dalam isu-isu ini konsisten dengan sistem demokrasi dan masyarakat madani yang ideal?

Kesanggupan kita untuk berdialog bukannya bererti kita berhenti bersifat kritikal antara satu sama lain. Selagi kita bersikap kritikal, selagi itulah masyarakat kita akan menikmati satu sistem semak dan imbang yang kukuh dan berprinsip. Dan selagi itulah kita akan dapat mencari jalan penyelesaian yang benar-benar menghormati perasaan dan pendirian semua pihak yang terlibat.

Oleh itu, amatlah penting jika PAS terus menyuarakan pendiriannya tentang pelbagai isu, dan berikhtiar untuk menyebarkan ideologinya di kalangan umum. Sumbangan PAS terhadap perkembangan demokrasi tanahair kita sangatlah besar. Akan tetapi, kita yang lain pun perlu menyuarakan pendirian kita dan menyumbang kepada perbincangan umum tentang pelbagai isu kemasyarakatan.

Kesimpulannya, kita masing-masing mengidamkan keamanan dan kebahagiaan dalam hidup ini. Pada penghujung dialog saya dengan Nasrudin, kami saling berpeluk dan bersalaman. Saya dapat merasakan keikhlasannya dan saya pasti dia juga dapat merasakan keikhlasan saya. Hakikatnya kami tidak bersetuju dalam beberapa hal, tetapi hanya Allah yang Maha Mengetahui segala-galanya.

Shanon Shah amat berbesar hati kerana dapat berbual, bergurau dan makan sekali dengan kepimpinan Dewan Pemuda PAS._

Harakah

Tuesday, July 28, 2009

Penubuhan MAMPAT (Majlis Muafakat Pemuda Pakatan Rakyat)

KENYATAAN MEDIA

27 Julai 2009


Kami Pemuda PAKATAN RAKYAT yang terdiri daripada Dewan Pemuda PAS (DPP), Angkatan
Muda Keadilan (AMK) dan Pergerakan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) hari ini memutuskan
penubuhan Majlis Muafakat Pemuda Pakatan Rakyat dengan penggunaan singkatan nama
MAMPAT. Mesyuarat MAMPAT yang pertama pada hari ini (Isnin 27hb Julai 2009) di Tingkat 2, Pejabat Pemuda PAS Pusat bersetuju bahawa ahli-ahli mesyuarat MAMPAT terdiri daripada Ketua, Setiausaha dan 3 pimpinan tertinggi Pemuda yang lain daripada setiap parti dan akan mengadakan mesyuarat bulanan secara tetap.

Pemuda PAS, AMK dan DAPSY percaya penubuhan MAMPAT ini akan menguatkan lagi hubungan
kerjasama politik Pakatan Rakyat dan memberikan kekuatan untuk pemuda Pakatan Rakyat
merencana gerak kerja bersama pada setiap masa. Penubuhan MAMPAT ini juga akan dapat
membantu Pemuda Pakatan Rakyat menyelesaikan sebarang isu berbangkit yang melibatkan
hubungan parti-parti Pakatan Rakyat dengan lebih cepat.

Mengenai Himpunan Mansuhkan ISA yang akan berlangsung pada 1 haribulan Ogos ini,
MAMPAT membuat penegasan pada hari ini menyokong penuh Himpunan tersebut dan
memberikan komitmen kehadiran pimpinan dan seluruh ahli pemuda Pakatan Rakyat ke
Himpunan tersebut. MAMPAT percaya himpunan tersebut akan berlangsung secara aman
sepertimana yang dirancangkan dan meminta kerjasama pihak polis untuk membantu
mengawal keselamatan semua pihak.

Sekian.

Nasrudin Hassan
Ketua DPP

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua AMK

YB Loke Siew Fook
Ketua DAPSY

Friday, June 26, 2009

Memorandum Pemuda PR desak gugurkan kes liwat 2 DS Anwar Ibrahim

MEMORANDUM PEMUDA PAKATAN RAKYAT


26 Jun 2009


Y.Bhg. Dato' Mohd. Yusof Bin Hj. Zainal Abiden
Peguamcara Negara II
Jabatan Peguam Negara
MALAYSIA


Y.Bhg. Dato'


MEMORANDUM SUPAYA PERTUDUHAN JENAYAH LIWAT KEDUA TERHADAP YB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM DIGUGURKAN.



Dengan segala hormatnya perkara di atas adalah dirujuk dan kes yang telah ditetapkan untuk dibicarakan pada 8hb Julai 2009 adalah berkaitan.

1. Untuk makluman Y.Bhg. Dato', pihak Pemuda Pakatan Rakyat memandang serius terhadap pertuduhan liwat yang dikenakan kepada YB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim untuk kali yang kedua berikutan dengan pendedahan mengenai laporan perubatan oleh seorang doktor dari PUSRAWI dan 3 orang Pakar Hospital Besar Kuala Lumpur yang mengesahkan bahawa hasil pemeriksaan fizikal yang dilakukan terhadap si pengadu iaitu Mohd Saiful Bukhari Azlan adalah didapati TIADA BUKTI YANG MENUNJUKKAN BERLAKU TUSUKAN (PENETRATION) SECARA KLINIKAL DAN KONKLUSIF PADA DUBUR SI PENGADU yang boleh mensabitkan atau membuktikan bahawa kejadian liwat seperti yang didakwa telah berlaku.

2. Pihak Pemuda Pakatan Rakyat percaya bahawa segala pertuduhan yang dikenakan kepada YB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim ini merupakan satu perancangan konspirasi politik oleh pihak tertentu yang menyedari bahawa kekuasaan mereka selama ini telah tergugat sebaik sahaja keputusan Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu diumumkan. Perancangan konspirasi liwat ini adalah merupakan satu alternatif bagi pihak tersebut untuk memastikan kemaraan YB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim di arus perdana politik dapat dihancurkan dan dengan pertuduhan ini ia akan dapat memburukkan kredibiliti YB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim di mata rakyat Malaysia dan dunia.

3. Pihak Pemuda Pakatan Rakyat percaya bahawa Y.Bhg. Dato' telah di arahkan oleh Peguam Negara Malaysia untuk mengetuai barisan kumpulan Pendakwaan yang akan mengendalikan kes ini kelak dengan tujuan untuk menyabitkan YB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim dalam apa keadaan sekali pun (at all cost). Pihak Pemuda Pakatan Rakyat juga percaya bahawa Y.Bhg. Dato' telah diberikan arahan dan harapan yang tinggi oleh pihak tertentu untuk memastikan agar YB Dato’ Seri

Anwar Bin Ibrahim akan disabitkan di dalam kes liwat ini selepas KEGAGALAN pihak Pendakwaan yang dikepalai oleh Peguam Negara Malaysia pada tahun 1998.

4. Pihak Pemuda Pakatan Rakyat ingin memohon supaya Y.Bhg. Dato' untuk MENGGUGURKAN pertuduhan ini berdasarkan kepada laporan perubatan yang dinyatakan di atas dan memohon supaya Y.Bhg. Dato' tidak sesekali tunduk kepada mana-mana arahan atau tekanan supaya kes ini diteruskan sebagaimana yang telah dilakukan oleh Peguam Negara Malaysia selama ini. Pihak Pemuda Pakatan Rakyat percaya bahawa Y.Bhg. Dato’ sebagai seorang Timbalan Pendakwaraya Kanan yang sangat berpengalaman dan dihormati oleh pendukung keadilan untuk memastikan Jabatan Peguam Negara tidak terus diperkudakan oleh pihak tertentu bagi maksud memenuhi tuntutan nafsu mereka yang ingin terus berkuasa walaupun semakin ramai rakyat negara ini kian kuat menolak mereka.

5. Adalah besar harapan rakyat Malaysia supaya Y.Bhg. Dato' untuk mengembalikan semula imej cemerlang Jabatan Peguam Negara sebelum Tan Sri Abdul Gani Patail dilantik menjadi Peguam Negara Malaysia hasil habuan dari kerajaan selepas usaha beliau dengan dibantu oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan bagi memastikan YB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim dipenjarakan dalam kes sebelum ini.

6. Pihak Pemuda Pakatan Rakyat yakin bahawa sekiranya Y.Bhg. Dato' memilih untuk tidak meneruskan pertuduhan ini dan seterusnya tidak dipergunakan oleh Peguam Negara dan Ketua Polis Negara Malaysia, maka tindakan Y.Bhg. Dato tersebut akan disokong oleh semua rakyat Malaysia yang telah marah dan berasa jijik dengan sikap yang diamalkan oleh Tan Sri Abdul Gani Patail dan Tan Sri Musa Hassan yang membiarkan institusi di bawah jagaan mereka dilacurkan demi kepentingan pangkat yang di sandang oleh mereka.

7. Pihak Pemuda Pakatan Rakyat berharap agar gesaan dan desakan kami dipandang serius, demi memartabatkan akauntabiliti dan integriti negara Malaysia yang tercinta ke arah menzahirkan prinsip-prinsip keadilan dan kesaksamaan buat semua rakyat Malaysia.


”PULIHKAN KREDIBILITI INSTITUSI KEHAKIMAN: GUGURKAN DAKWAAN TERHADAP DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM”


Yang Benar,


SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN
Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

NASRUDIN HASSAN TANTAWI
Ketua
Dewan Pemuda PAS Pusat


YB LOKE SIEW FOOK
Ketua
Pemuda Sosialis DAP


Tuesday, June 16, 2009

Demo anti-ISA dilancar di Parlimen esok - Malaysiakini

Kempen terbaru untuk menuntut kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan dilancarkan di lobi Parlimen tengah hari esok, kata Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hasan.

Kempen itu bersempena usaha menganjurkan demonstrasi besar menentang akta tersebut yang digelar 'Himpunan Mahsuhkan ISA' yang dijadual 1 Ogos ini di Kuala Lumpur.

"Pemuda PAS akan menjadi antara penggerak utama di samping rakan-rakan NGO yang lain. Kempen ini akan digerakkan ke seluruh negara," katanya di sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.

Demontrasi tersebut, antaranya untuk menyambut ulang tahun ke-49 pelaksanaan akta tersebut, telah dua kali ditunda - bulan Mac dan Jun.

Dalam sidang media itu, Nasrudin turut mengumumkan barisan exco dan jawantankuasa Pemuda yang dilantik bagi memimpin dewan tersebut dalam tempoh dua tahun akan datang.

Pelantikan tersebut dibuat dalam mesyuarat pertama dewan tersebut selama lebih empat jam malam tadi, katanya.

Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad dilantik setiausaha dewan yang baru, menggantikan Ahmad Sabki Yusof yang kini sebagai naib ketua Dewan Pemuda.

Manakala Ketua Pemuda Johor dan juga ahli jawatankuasa Dewan Pemuda, Khairul Faizi Ahmad Kamil dilantik sebagai penolong Kamaruzaman.

Bendahari diserahkan kepada Mohd Adram Musa, menggantikan Mohd Zaki Ibrahim yang dicalonkan mencabar Nasrudin tetapi menarik diri di saat-saat akhir.

Suhaizan Kaiat, juga ahli jawatankuasa Dewan Pemuda, dikekalkan sebagai ketua penerangan.

Pemuda PAS turut melantik ahli parlimen Jerai dan ahli jawatankuasa dewan tersebut, Mohd Firdaus Jaafar sebagai pengarah pilihanraya Pemuda PAS.

Terdapat sepuluh ahli jawatankuasa baru yang dilantik: Zuraidin Abdullah (Kelantan), Sanusi Mohd Nor (Kedah), Zamakhshari Muhammad (Kelantan), Anuar Ali (Sabah), Yusainee Yahaya (Perlis), Mohd Sani Hamzan (Selangor), Wan Sukhairi Abdullah (Terengganu), Dr Zuhdi Marsuki (Wilayah Persekutuan), Mohd Nazri Din (Perak) dan Mohd Fuad Othman (Negeri Sembilan).

Nasrudin berkata Dewan Pemuda memutuskan untuk membentuk biro-biro tertentu selepas bengkel hala tuju dewan tersebut yang dijadualkan hujung bulan ini.

Ditanya mengenai persiapan Pemuda PAS menghadapi pilihanraya kecil DUN Manek Urai pada 14 Julai ini, Nasrudin berkata, dewan tersebut bersama Pemuda Pakatan Rakyat akan melancarkan jenteranya pada 19 Jun ini.

" Kita mahu mempastikan momentum sokongan pengundi terhadap Pakatan Rakyat kekal untuk menghadapi pilihanraya umum ke-13.

"Kita akan mengurus kebajikan pengundi dan ia menjadi agenda utama parti. Kita juga cuba memahamkan pengundi berhubung situasi politik tanah air," katanya

Malaysiakini

Friday, June 12, 2009

Pemuda Pakatan debat halatuju PAS - Malaysiakini

Tiga Ketua Pemuda parti komponen Pakatan Rakyat akan berkongsi pentas 16 Jun ini untuk membincangkan halatuju PAS ekoran isu-isu yang timbul selepas muktamar parti itu minggu lalu.

Mereka ialah Ketua Dewan Pemuda PAS pusat, Nasrudin Hassan Tantawi; Ketua Pemuda Sosialis DAP yang juga ahli parlimen Rasah, Anthony Loke dan Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin.

Seorang lagi panelis ialah bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Majlis tersebut - Sembang Kopitiam anjuran Angkatan Muda PKR (AMK) Selangor dan Shah Alam - membawa tajuk 'Pasca muktamar PAS - kerajaan perpaduan?'

Dalam satu kenyataannya, ia berkata majlis tersebut diadakan mulai jam 8 malam bertempat di Dewan MBSA, Seksyen 11, Shah Alam.

Menurutnya, banyak isu yang kontroversi timbul selepas muktamar PAS minggu lalu, antaranya penubuhan kerajaan perpaduan dengan Umno, pemansuhan 30 peratus ekuiti bumiputera dan usul menggesa pengharaman Sistem in Islam (SIS) yang membawa aliran Islam liberal.

Pekembangan tersebut, kata kenyataan itu, telah menjadi topik perbincangan yang hangat di kalangan orang ramai, termasuk golongan muda yang ingin melihat perubahan tulen selepas tsunami politik yang berlaku tahun lalu.

Menurutnya lagi, empat persoalan utama yang bakal dibincangkan dalam majlis tersebut ialah:

- Dengan pimpinan baru yang dipilih, ke manakan PAS ingin menuju selepas muktamar?

- Mengapakah Presiden PAS ingin mengutarakan tentang konsep kerajaan perpaduan?

- Apakah persediaan untuk mengambil alih Kerajaan Persekutuan telah dijalankan dalam Pakatan Rakyat?

- Bagaimana hubungan di antara ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat?

"Kesemua persoalan akan dikupas oleh penceramah-penceramah yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin muda masakini," kata kenyataan tersebut.

Malaysiakini

Sunday, March 22, 2009

Undur, tangkap Ali Rustam - PAS Melaka - Harakah

MELAKA, 22 Mac (Hrkh) - PAS Melaka bersama Parti KeADILan Melaka menghantar memorandum kepada Dato' Seri Mohd Ali Rustam supaya meletakan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka kerana didapati bersalah terlibat dengan politik wang oleh Lembaga Disiplin Umno, baru-baru ini.

Memorandum itu diserahkan oleh Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Melaka, Adly Zahari dan turut ditemani bersama Ketua AMK Pusat, Syamsul Iskandar Mat Akin serta Ketua Pemuda PAS Melaka, Ustaz Kamaruddin Sidek.

Sebelum itu, hampir 400 penyokong Pakatan Rakyat berhimpun di depan Masjid Al Alami, Ayer Keroh, di sini Jumaat lalu dan diketuai oleh Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman, di dalam hujan dengan laungan takbir dan 'undur Ali, tangkap Ali Rustam'.

Pada awalnya mereka bercadang berarak ke Seri Negeri untuk menghantar memorandum itu tetapi tindakan melampau pihak polis diketuai Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Mohd Adnan Abdullah merempuh Ustaz Ghani yang sedang berucap telah menimbulkan kekecohan.

Ustaz Ghani berkata, sepatutnya polis tidak boleh campurtangan kerana tujuan PAS hanya hendak menghantar memorandum tetapi dilabel sebagai perhimpunan haram sebab itu ianya menjadi masalah.

"Kita minta Ali letak jawatan kerana telah disabitkan bersalah oleh Umno sendiri dan ini menjadi bukti kukuh bahawa Ali mempunyai akhlak yang tidak baik," katanya.

Sementara itu, penyokong Umno yang berhimpun di depan Seri Negeri bagi menghalang penyerahan memorandum tersebut bertindak ganas menerajang dan melempar dengan pelbagai objek terhadap kenderaan Ustaz Kamaruddin sehingga mengakibatkan kerosakan.

Mereka yang berarak dari kediaman rasmi Ketua Menteri, Seri Bendahara diketuai oleh Ali Rustam diberi kawalan keselamatan VIP oleh pihak polis sedangkan ianya bertujuan memprovokasi rombongan Pakatan Rakyat.

Polis telah mengadakan sekatan jalanraya menuju ke Masjid Al Alami dan Seri Negeri serta mengawal ketat di ke dua lokasi tersebut sejak awal pagi bagi menghalang hasrat Pakatan Rakyat.

Ini adalah kejadian ke dua provokasi yang dilakukan oleh penyokong Ali Rustam ke atas Pakatan Rakyat di mana sebelum ini mereka melakukan provokasi di depan bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Melaka ketika laporan rasuah Ali Rustam dibuat. - azm _


Sumber: HarakahDaily


Wednesday, March 18, 2009

Sekitar Laporan SPRM oleh Pemuda Pakatan Rakyat ke atas Datuk Seri Mohd Ali Rustam 1

Antara Pimpinan serta penyokong Pakatan Rakyat Melaka yang hadir

Antara pimpinan Angkatan Muda Jasin yang hadir

Polis mengawal dan cuba menyuraikan himpunan penyokong UMNO

Sdr. Hairiz (Timb. AMK Melaka) & Ust. Kamaruddin (Ket. Pemuda PAS) sedang memberikan kenyataan media

Sdr. Shamsul Iskandar (Ket. AMK Malaysia) sedang memberikan kenyataan media
* Sebaik sahaja laporan serta sidang media habis dibuat, para pimpinan dan penyokong beredar. Ketika ini kenderaan Sdr. Shamsul telah cuba dihalang dan dikerumuni oleh beberapa penyokong UMNO. Ada antara mereka telah mengeluarkan kata-kata kesat serta menunjukkan isyarat lucah. Kenderaan Sdr. Shamsul turut ditendang. Kejadian ini turut berlaku ke atas beberapa buah kenderaan pimpinan Pakatan Rakyat Melaka yang lain. Selain itu, beberapa kenderaan turut diketuk dengan kayu bendera di bahagian cermin. Malah mereka turut menyimbahkan air mineral pada beberapa kenderaan tersebut. Kejadian tidak sempat kami rakamkan.

Friday, August 29, 2008

Salahuddin akan debat isu Auku di UIA esok

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Hrkh) -Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub akan bertembung dengan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato' Saifuddin Abdullah dalam dialog mendebatkan beberapa seksyen kontroversi rang pindaan Akta Unversiti dan Kolej Universiti (Auku) yang kini sedang dibentangkan di Dewan Rakyat.

Menurut laporan Malaysiakini, dialog membincangkan akta itu akan turut disertai seorang lagi ahli parlimen iaitu Mohd Yusmadi Mohd Yusoff (KeADILan-Balik Pulau) dan diadakan esok di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Seorang wakil persatuan pelajar Mohd Saifullah Mohd Zulkifli juga akan membentangkan hujahnya di majlis itu yang dimulakan jam 8 malam di auditorium utama universiti itu.

Dialog itu selama 90 minit itu terbuka kepada umum, kata jurucakap penganjurnya Ahmad Fahmi Mohd Samsuddin hari ini.

Beliau berkata, program itu dianjurkan bertujuan membuka mata lebih ramai pelajar yang tidak mengikut dengan dekat rang undang-undang tersebut.

"Kami fikir ini masa yang sesuai mengadakan forum sebegini kerana parlimen akan membahaskan cadangan pindaan akta ini.

"Kami ingin menunjukkan, mahasiswa bukan kerja berdemonstrasi saja (terhadap AUKU) tetapi juga boleh membincangkan sesuatu secara ilmiah dan tidak partisan,"jelasnya.

Penganjur, tambah Ahmad Fahmi, bercadang merumuskan resolusi mahasiswa berhubung pindaan itu selepas mendengar pandangan tiga ahli parlimen itu dan juga wakil Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia.

"Kami juga bercadang mengedarkan resolusi kepada semua ahli parlimen supaya mereka menyuarakan pandangan kami di Parlimen," katanya.

Program itu anjuran bersama jawatankuasa tindakan kolej kediaman as-Siddiq dengan kerjasama Kelab Intelektual Muda (IYC) dan sekretariat penyelidikan Persatuan Ekonomi UIA.

Semalam satu persatuan pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganjurkan perbahasan isu yang sama antara Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Idris Haron dengan Saifudin Nasution (KeADILan-Machang) dan wakil Pemuda PAS, Abdullah Karim.

Kumpulan-kumpulan aktivis mahasiswa, yang membantah Auku selama ini, menganggap rang pindaan itu hanyalah "kosmetik." - mks._

Sumber: HarakahDaily

Thursday, August 14, 2008

Pemuda PAS diarah gempur Permatang Pauh

IPOH, 14 Ogos: Seluruh jentera Pemuda PAS di semua peringkat diarahkan supaya menggempur Permatang Pauh bagi memastikan kemenangan yang lebih besar untuk Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Arahan ini dikeluarkan oleh ketuanya, Salahudin Ayub dalam Ucaptama beliau sempena Muktamar Dewan Pemuda PAS ke 49 di Stadium Indra Mulia dekat sini malam tadi.

Lebih 150 perwakilan di samping beribu-ribu pemerhati menyertai muktamar itu. Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa telah merasmikan muktamar itu.

"Dewan Pemuda PAS akan membuka Markaz Besar untuk jentera pilihan raya kita dan Pemuda PAS hendaklah bekerja sepenuh hati untuk mempastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim mencatatkan kemenangan besar dalam pilihan raya ini, sekaligus merapatkan semula jentera PR dalam menghadapi BN," kata beliau diiringi laungan takbir oleh para perwakilan dan pemerhati.

Beliau mengambil kesempatan daripada muktamar ini untuk memetik pepatah Melayu Mekasar yang memperkatakan soal perjuangan pemuda.

Prof Hamka yang memetik pepatah ini menyebutkan:

”Anak laki-laki tidak boleh dihirau panjang, hidupnya ialah buat berjuang, kalauperahunya telah dikayuhnya ke tengah, dia tak boleh surut palang, meskibagaimana besar gelombang. Biar kemudi patah, biarkan layar robek, itu lebihmulia daripada berbalik haluan pulang”2. Ibarat kata pepatah ”Daripada hidupbercerminkan bangkai biar mati bergalang tanah.”

Sumber: Siasah

Thursday, July 10, 2008

Mufti Perlis Dilihat Seperti Mahu Lepas Tangan

BANDAR MELAKA- Tindakan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri mencadangkan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai orang tengah yang membawa Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan untuk 'mubahalah' seperti mahu 'lepas tangan' walaupun cadangan itu datang daripadanya.

Demikian menurut Ketua Pemuda PAS Melaka, Kamarudin Sidek berhubung keengganan mufti tersebut menjadi orang tengah 'mubahalah', sebaliknya mencadangkan orang lain untuk melakukannya.

Menurutnya, pemilihan Nik Aziz boleh menimbulkan reaksi kurang senang kerana beliau pemimpin sebuah parti politik, walaupun mempunyai pengaruh yang besar dalam masyarakat dan mempunyai ilmu agama yang tinggi.

"Jika bukan Nik Aziz, ada ramai lagi tokoh yang layak dan berkaliber dan tidak ada kepentingan politik seperti mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria" katanya menyokong 'mubahalah' dilakukan sebagai jalan terakhir menyelesaikan isu liwat yang menjadi tumpuan nasional.

Ketika dihubungi Sinar Harian semalam, Kamarudin turut mengatakan pendirian yang kurang yakin isu ini akan dikendalikan seadil-adilnya.

"Mubahalah adalah satu jalan terbaik bagi menyelesaikan isu ini dan suka saya jelaskan ia adalah satu majlis 'laknat-melaknati' dan kesannya amat cepat dan boleh mengakibatkan kematian jika benar seseorang itu melakukan fitnah setelah dia bermubahalah dengan kuasa Allah yang Maha Berkuasa," tegasnya.

Kerana itu juga katanya, tidak mudah bagi seseorang berani melakukannya, kerana kesannya cukup dasyat dengan izin Allah SWT.

Kamarudin turut menjelaskan, 'mubahalah' wajar diperluaskan terutama ketika seseorang menghadapi ancaman fitnah dan di negara initiada sebarang halangan untuk melakukannya.

"Jika Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib juga rasa dirinya difitnah maka dia boleh juga melakukan mubahalah. Proses ini tidak membabitkan isu agama dan tidak bersifat politik. Ia juga tidak melibatkan kos, hakim dan sebarang proses perundangan" katanya lagi.

Sementara itu usaha Sinar Harian untuk mendapatkan pandangan mufti Melaka, Datuk Rashid Redza Md Salleh gagal kerana beliau enggan mengulas.

Sumber: Kamarudin Bin Sidek