Showing posts with label Ujian Dunia. Show all posts
Showing posts with label Ujian Dunia. Show all posts

Thursday, August 24, 2017

Terjumpa balik gambar lama

Assalamualaikum semua,

Apa khabar? Lama tidak mendengar khabar masing-masing. Alhamdulillah. Selepas beberapa tahun sebelum ini, saya dilanda cabaran yang tidak terfikir oleh dek akal manusia. Saya alhamdulillah mampu juga bertahan dan akhirnya Allah swt masih sayangkan saya.

SEMUA SUDAH TERTULIS 

Semua pernah dengar ke tidak perumpamaan "Kita semua adalah pelakon di dunia ini. Semua sudah tertulis". Iye, saya percaya semua benda yang terjadi di dunia ini sudah dirancang oleh Allah swt. Setiap yang berlaku ada hikmahnya.

Bagi yang sedar atau tidak, kita sebagai manusia kita perlu redha dan percaya bahawa Allah swt berkuasa ke atas segalanya. Termasuk yang hidup dan mati. Kita tidak ada kuasa untuk mengubah seseorang menjadi baik atau berubah ataupun sebaliknya. Cukup sekadar kita berdoa dan berusaha sedaya mampu kita untuk membuatkan sesuatu lebih baik. Yang lain serahkan kepada Allah swt.

USAHA DAN BERDOA SELAGI MAMPU 

Allah swt telah berjanji bahawa sesiapa yang berusaha dan meletakkan segala harapan kepada Allah swt, insya allah Allah swt akan makbulkan niat usaha mereka. Pengalaman hidup saya selama 8 tahun sebelum ini banyak mengajar saya tentang erti tawakkal dan percaya kepada qada dan qadar Allah swt. Dan jika kita percaya dan yakin bahawa apa kita buat adalah betul di sisi Allah dan agama, teruskan tanpa ragu-ragu. Jangan di fikirkan manusia di sekeliling kita hendak komen apa. Cukuplah Allah swt sahaja mengetahui segalanya.

Saya secara peribadi sangat kagum dengan ibu dan abah saya selama ini. Mereka sangat sabar dan redha dengan segala apa yang berlaku ke atas mereka sebelum ini. Kadang-kadang perubahan pada abah terutamanya membuatkan saya berfikir bahawa kita tidak akan sentiasa menjadi baik selamanya jika kita tidak berusaha untuk mengekalkannya. Dan tidak pula menjadi baik jika kita tidak berusaha ke arah itu. Saya sedar saya lemah dan banyak perlu dipelajari daripada mereka.

Akhir kata daripada saya, kita mestilah ingat bahawa rezeki,jodoh dan mati adalah pasti. Semua ini Allah swt ingin kita beringat bahawa semua perkara itu datangnya daripada Dia. Bukan daripada manusia. Oleh itu, mintalah tolong daripada Allah swt dalam apa jua pengharapan dan bantuan. Dalam keadaan senang dan susah, jangan lupakan Allah swt, tempat kita bergantung harap di dunia ini dan juga di akhirat.

"ALLAH CINTA AGUNG"



Gambar konvo 2015 Studio


Langkawi 17 Jul 2016




Tuesday, November 29, 2011

Mencari sinar cahaya daripada kegelapan

Sinar cahaya itu merupakan sinar yang diimpi-impikan oleh kita semua. Sinar yang dapat menerangi kegelapan. Yang membuat kita tertunggu-tunggu untuk mendapatkannya selepas berada dalam kegelapan. Dan itu ialah sinar matahari.

Bersinarnya alam ini bukanlah hanya kerana sinaran matahari sahaja bahkan lebih daripada itu. Ia dapat menyinari bukan hanya alam semesta bahkan dapat menyinari hati setiap hati manusia. Ianya adalah hidayah daripada Allah swt.

Betapa besarnya nikmat cahaya ini yang dapat ditafsirkan dari pelbagai sudut dan keadaan. Ia tetap akan bersinar dan menyinari walaupun ia disekat oleh pelbagai halangan. Dan hanya orang yang terpilih sahaja yang dapat sinaran cahaya ini.

Bukan calang-calang orang mendapat cahaya ini. Hanya manusia yang sanggup menghadapi dugaan dan cabaran sahaja yang akan mendapat pengiktirafan daripada Pencipta yang Maha Berkuasa ini.

Beruntunglah mereka bahawa mereka semua ini mendapat balasan yang setimpal dengan apa yang mereka lakukan di dunia ini. Hanya dengan usaha sahaja dapat menentukan samaada kita tergelincir ke sebelah sana dan sebelah sini.

Ya Allah, berilah aku kekuatan menghadapi semua ini dan berilah aku pertolongan dalam menempuh dugaan hidup aku ini. Amin.

Pukul 1.15 petang
Lab Econ
30/11/2011




Wednesday, November 17, 2010

Wajib bayar balik hutang PTPTN selepas enam bulan tamat pengajian.


Saya apabila terbaca berita ini membuatkan saya takut dan seronok bercampur-campur. mana tidaknya satunya perasaan seronok sebab dapat habiskan pelajaran. Yang tidak seronoknya adalah saya dah kena mula bayar hutang PTPTN ini. Tidak sempat 'enjoy' bila grad terus dah kena bayar hutang.

Itulah lumrah hidup seorang penghutang. Apabila sudah pandai meminjam jangan lupa untuk bayar hutang. Hal ini sekarang PTPTN telah menetapkan selepas 6 bulan habis pengajian, diwajibkan untuk memulakan pembayaran pinjamana PTPTN. Jikalau tidak denda akan dikenakan kepada peminjam.

Nak kata kejam pun tidak nak kata tidak bertimbang rasa pun tidak. Ini memang kerja mereka untuk memastikan yang penghutang membayar balik pinjaman mereka. Hanya kita sahaja yang susah ikut arahan mereka kerana kita pun ada masalah lain.

Oleh itu, saya mengingatkan diri saya dan anda juga supaya jangan suka berhutang dengan orang. Saya sekarang pun tengah berhutang gak. Tapi insya allah akan dilunaskan secepat mungkin. Sebelum kita menghembuskan nafas, hutang manusia perlu dibayar agar kita tidak disoal di dalam kubur. Pedoman untuk semua. Ingat! hutang mesti dibayar.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Maaf,penggunaan ayat pasar yang berlebihan. Hanya untuk luahan hati sahaja.

Sunday, April 18, 2010

Berterus terang walaupun pahit

Kenapa susahnya aku untuk berterus terang? Atau apakah aku ini terlalu pengecut untuk berterus terang walaupun pahit? Hmm.. Banyak betul aku patut pelajari dalam dunia ini. Getus hatiku yang selalu tertekan kerana tidak dapat meluahkan hasrat hati aku yang sebenar.

Hari ini, saya sudah berumur 23 tahun. Satu umur yang cukup matang untuk saya menilai siapa diri saya,apa kelemahan saya, dan apa matlamat hidup saya. Dan sekarang saya hanya perlu ada keyakinan diri untuk meneruskan hidup ini.

Ayah saya selalu berkata, "be strong" dalam hidup ini. Jikalau tidak kita akan kalah. Di dunia ini persaingan sangat kuat. Sesiapa yang kuat akan menang dalam permainan dunia ini. Dan sesiapa yang kalah akan tersingkir daripada permainan dunia ini.

Keberanian untuk bercakap benar merupakan amalan yang baik yang patut kita amalkan. Kadang-kadang kita sesama keluarga pun tidak berani untuk berterus terang sehinggakan menimbulkan perselisihan faham antara satu sama lain. Perkara ini boleh dielakkan dengan kita berterus terang apa yang tidak puas hati.

Selain itu, ada individu yang suka berterus terang dan ada juga yang tidak suka berterus terang kerana hendak menjaga perasaan hati orang lain. Berterus terang juga ada baiknya jika kena pada tempatnya dan masanya dan juga caranya.

Saya teringat semasa saya di dalam program PKPIM dan ABIM selalu menekankan cara untuk kita berdakwah secara lebih efektif dan berkesan. Dengan cara wasatiyyah dan juga berhikmah dengan tindakan nescaya golongan sasaran dakwah kita akan mudah dekat dengan kita dan berubah mengikut kehendak sendiri dan bukan dengan paksaan. Perubahan dalam diri itu yang kita hendakkan dan bukannya paksaan.

Apa yang penting sekarang ini adalah cara kita untuk berterus terang dan meluahkan rasa hati yang terbuku di dalam hati dengan lebih efektif dan tidak menyakiti orang lain. Kerana dengan ini sahaja semua masalah akan diselesaikan dan semua masalah dalaman dan luaran dapat diselesaikan dengan baik. Tetapi ingat dengan cara yang berhikmah dan berkesan.

Monday, March 30, 2009

Ujian sudah datang


Hari sabtu ini bermulalah ujian dunia yang setiap tahun aku alami. Persediaan pun lebih kurang. Risau dan tenang silih berganti. Bagaimana ingin kuubah??

Apa-apapun saya memohon jutaan kemaafan atas salah silap saya selama ini kepada anda semua. Juga kepada ibu bapa dan guru-guru yang banyak mengajar erti kehidupan yang sebenar.

Doakan saya mudah menjawab peperiksaan ini. Bagi saya peperiksaan kali ini peperiksaan yang paling penting bagi saya. Pointer saya banyak ditentukan oleh peperiksaan kali ini. Semoga dipermudahkan. Insya Allah.

Tuesday, December 9, 2008

Subuh yang terakhir


Rumah yang dibawa tanah runtuh




Tanah yang masih bergerak



Sedih rasanya apabila hati penulis membaca berita ini. Apa tidaknya kejadian tanah runtuh ini sudah terjadi dahulu. Dan sekarang kejadian ini berlaku lagi. Kejadian seperti ini sepatutnya tidak berlaku jika kita semua belajar dari kesilapan. Memang benar pepatah oleh Mantan PM kita, Tun Mahathir Mohamad yang "Melayu mudah lupa".

Kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa baru-baru ini yang mengorbankan seramai 4 orang ini sangat memilukan hati saya. Mana tidaknya seorang mangsa yang terkorban bernama Shaiful Khas sempat memberitahu ibu bapanya bahawa rumah bergegar kuat dan bergerak sebelum ditimbus dengan tanah. Gegaran berlaku sebelum subuh berkumandang.

Mangsa dikesan dengan petunjuk telefon bimbitnya dari ayahnya. Tambahan dari itu, memang perangai si mangsa agak pelik seperti kenyataan oleh ibu bapanya yang mana beliau sebelum malam kejadian beriya ingin tidur di ruang tamu daripada kebiasaan tidur di bilik atas.

Itu adalah salah seorang mangsa daripada 4 orang mangsa. Pendekkan cerita semua mangsa yang terlibat ada kisah sedih di sebaliknya. Daripada cerita gembira kepada cerita yang sangat sedih. Semuanya lumrah hidup yang perlu dihadapi.

Saya secara peribadi memang sedih dengan kejadian ini. Mana tidaknya kejadian seperti ini sudah beberapa kali berlaku di depan mata kita. Dan pemimpin kita yang sepatutnya menjaga keamanan negara dan rakyat hanya pandai bercakap sahaja. Mereka tidak memikirkan masa depan bangsa mereka terutamanya pemimpin Melayu. Hanya manis di mulut tidak bisa melakukannya. Sudah terhantuk baru terngadah.Pendek kata jika pemimpin kita tidak menyedari hakikat kehidupan yang sebenar, langit yang dikatakan tinggi itu akan rendah sebelum masanya.

Akhir kata, jangan biar rakyat merana akan tangan-tangan anda yang tidak bertanggungjawab. Sedarlah kerajaan pada hari ini dan akan datang serta parti politik baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang bahawa politik yang tidak sihat ini bisa akan merugikan diri dan juga rakyat jika tidak digunakan dengan sebaiknya. Jangan biarkan rakyat yang tidak berdosa itu menjadi mangsa kealpaan anda semua.

Semoga subuh yang mendatang menjadi subuh yang baik sebagai permulaan hari dan juga hari yang seterusnya. Doakan semoga kita semua mati dalam keadaan beriman dan diredhai Allah swt. Amin.


* Pemuda Pujangga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua umat Islam dan bloggers yang sudi melayari blog ini. JadikanHari Raya Korban ini untuk mengenang akan peristiwa Nabi Ibrahim bersama anaknya Nabi Ismail dan juga peristiwa para nabi kita yang lain. Pengorbanan inilah yang semakin luntur dan hilang daripada jiwa setiap dari kita. Bersama kita membina erti pengorbanan yang sebenar.!!!!

Saturday, December 6, 2008

Usah Putus Asa


Sahabat perjuangan dalam PPINS

Semasa artikel ini ditulis, penulis baru sahaja mendapat berita seorang sahabat penulis mengalami satu pengalaman yang sangat pahit untuk didengar dan untuk dihadapi. Saya pun tidak tahu hendak berkata apa-apa semasa saya dengar berita ini. Berita yang kalau boleh kita sendiri tidak mahu dengar. Berita sedih ini membuatkan saya berfikir tentu ada hikmah di sebalik semua ini.

Saya pun lepas dengar itu terus bertanyakan sahabat-sahabat lain apa patut dibuat. Sahabat rapatnya mengakui keadaan sekeliling yang membuatkan dia begini. Tetapi dia dan sahabat jemaahnya sangat rapat sekali. Sahabat saya ini begitu sedih apabila mendengar perkara ini terjadi kepadanya. Hal ini kerana setiap masa beliau memberikan semangat usah putus asa dalam pelajarannya. Berbagai-bagai cara kami buat untuk membantunya agar ia cemerlang dalam bidangnya.

Pelajaran di universiti bagi pendapat penulis sangat rumit dan susah jika kita tidak pandai menguruskan diri dan masa sebaiknya. Diri dan dunia luar juga memainkan peranan yang penting untuk mencorak kehidupan kita pada masa akan datang. Jika di kampus, cara belajar kita akan mempengaruhi sikap kita apabila bekerja nanti. Hal ini dapat dibuktikan apabila sikap kita dengan mengambil sambil lewa dalam pelajaran seperti lambat ke kelas, main-main dalam kelas dan sebagainya akan memungkinkan kita masa alam bekerja juga akan main-main. Semua perkara ini nampak seperti remeh untuk diceritakan.

Mesti ada antara kita akan berkata “ Masa belajar inilah nak enjoy” Tak begitu. Dialog ini pasti akan keluar kepada sesiapa yang masih tidak sedar akan hakikat dunia ini. Hakikat dunia seperti bumi. Satu hari kita akan berada di atas dan satu hari kita akan berada di bawah. Jika masa belajar kita main-main dan tidak mengamalkan cara belajar yang sihat, pasti kita akan merana pada masa akan datang.

Walaupun kita seorang yang cemerlang dalam belajar tetapi jika kita tiada adab belajar yang baik ia adalah sama juga dengan orang yang tidak cemerlang dalam pelajaran mereka. Kuncinya sikap dan ‘attitude’ kita mencorakkan diri ini untuk menjadi yang terbaik.

Ingatlah bahawa kecemerlangan dunia pada masa sekarang tidak akan menjamin kecermelangan dunia pada masa akan datang. Tetapi kejayaan yang hakiki adalah apabila kita bersyukur dengan kejayaan yang kita miliki dan redha dengan ketentuan ilahi. Perancangan DIA lebih rapi dan tersusun dan daripada perancangan kita. Berserahlah segalanya kepada Allah swt atas apa yang kita lakukan. Semoga Allah swt memberkati hambamu ni. Amin.

* Teruskan berusaha sem depan.

* Doakan yang terbaik di dalam apa juga bidang yang diceburi.

* Tetapkan iman agar menjadi salah seorang hamba yang bersyukur.

Friday, November 7, 2008

Akhirnya sempurna!!!


"Akhirnya sempurna". Apa saya merepek ni?? Aduh2... Biasalah orang sudah baru habis exam macam ini la. Dah lama jugak tidak menulis. Tak tau la ada orang masih baca lagi blog ini. Harap2 adalah.

Tadi bersamaan hari jumaat 7hb November pada pukul 6 petang, saya sudah sempurna. Sempurna? Sempurna menghabiskan semua kertas. Kertas yang terakhir tadi, merupakan kertas yang agak mencabar juga. Risau pun ada juga kertas tu. (risau). Apa-apa saya sudah berusaha dan biarlah Allah yang menentukan kejayaan saya.

Masa kertas yang terakhir ini, saya terkena Demam Panas. Hanya Allah sahajalah yang tahu sampai ayah saya datang bawa air kelapa. Air kegemaran ketika demam. Nasib baik exam yang terakhir. Kalau tidak habislah hamba. Demam ini kadang-kadang sejuk kadang-kadang panas. Dan saya pun tidak suka makan ubat. Jadilah macam tu.

Sem ini sudah sempurna, dan perjalanan hidup perlu diteruskan walaupun kita ini tidak sempurna. Ramai orang apabila habis ujian, mereka kata "Merdeka". (biasa) dan ada juga berkata "sedih"(jarang-jarang) dan ada juga yang ingin "jom bakar buku ini"(tidak pernah dengar). Semuanya adalah luahan hati apabila orang sudah habis exam.

Kesimpulannya walaupun ujian dunia(exam dunia) sudah habis, ingatlah bahawa ujian di dunia yang mendatang pasti juga akan ditempuhi oleh kita. Oleh itu, bersiap sedialah menempuhi ujian ini kerana kita tidak tahu apa ujian yang akan menimpa kita.

*Selamat bercuti kepada semua yang sudah berjaya menghabiskan peperiksaan mereka.
*Gunalah cuti ini sebaik yang mungkin... Masyarakat memerlukan anda semua. Berbaktilah kepada mereka.