Showing posts with label Isu Bahasa Melayu. Show all posts
Showing posts with label Isu Bahasa Melayu. Show all posts

Saturday, February 28, 2009

Mansuhkan PPSMI!!!!

"I think we should continue Science and Mathematics in English. It is because this is idea to enhance the capabilities of our generation. The Tun idea is a good. " Tegas seorang kawan saya di dalam kelas pengucapan awam ( public speaking ),kelas kokurikulum. Memang menarik kelas ini. Cikgu yang mengajar pun kritikal dengan isu semasa membuatkan kelas tidak berasa bosan.

Semasa di dalam kelas itu, saya terfikir bagaimana saya hendak memberikan hujah yang kuat tentang isu bahasa ini? Boleh dikatakan majoriti di dalam kelas saya tu menyokong Sains dan Matematik diteruskan dalam Bahasa Inggeris. Saya masa itu memikirkan apa hujah saya boleh bawa untuk menyakinkan mereka.

Pertama isu ini bukan hanya isu bahasa. Ia adalah isu bangsa kita dan juga bahasa kita. Saya katakan kepada mereka. Saya berkata saya bukannya anti Bahasa Inggeris dan saya juga suka belajar bahasa Inggeris. Tetapi saya di sini hendak membuka kepada anda semua hakikat sebenar isu ini.

Jikalau kita melihat kepada perlembagaan Malaysia, ia adalah salah bertentangan dengan artikel 152 yang menyebut bahawa Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi untuk pembelajaran. Ini adalah dari segi undang-undang bahawa perkara ini kita semua perlu mengetahuinya. Ia adalah dasar kepada apa yang akan kita cakapkan pada hari ini.

Selain itu, kita beralih kepada statistik kejayaan isu ini. Rata-rata idea baru yang dibawa ini tidak mendapat kejayaan sama sekali. Malah ia menimbulkan banyak masalah kepada semua pihak. Pelajat terutamanya pelajar SPM menanggung kesusahan untuk menjawab soalan Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris. Walaupun mereka diajar dalam Bahasa Inggeris tetapi soalan mereka mempunyai dwibahasa di mana mereka boleh menjawab salah satu daripadanya. Sebab itu, apabila dikatakan PPSMI ini berjaya adalah kerana mereka membuat penilaian bahawa mereka semua menjawab dalam Bahasa Inggeris. Sedangkan mereka banyak menjawab dalam Bahasa Melayu.

Saya sendiri mempunyai masalah untuk mengajar adik saya Matematik. Hal ini kerana saya sendiri belajar Matematik dalam Bahasa Melayu. Selain itu, pencapaian pelajar dalam SPM dalam dua mata pelajaran ini juga melihatkan penurunan. Skema pemarkahan menunjukkan penurunan markah lulus diturunkan dengan serendah-rendahnya. Dan mereka kata ini adalah kejayaan PPSMI. Sedangkan mereka telah merendahkan martabat ilmu itu sendiri. Ini yang saya risaukan.

Tambahan daripada itu, kekurangan tenaga kerja untuk mengajar membuatkan guru-guru tidak memahami dengan sebenarnya yang di ajarkan. Ia seperti kita mengajar orang yang tidak paham. Diri sendiri yang menjadi tidak paham. Seperti cerita P.Ramlee, Cikgu itu menyuruhPak Ali menyebut huruf jawi 'kho'. Orang suruh sebut 'kho' tetapi dia sebut lain. Dia sebut Jin ada toceng. Tidak ke menyusahkan orang. Pelajar tidak memahami apa yang cikgu hendak sampaikan tambah lagi dengan subjek yang diajar itu memang susah membuatkan pelajar dan guru sekali tidak memahami sedalamnya.

Ini yang dihadapi pelajar sekarang. Akhirnya cikgu hanya mengajar apa di dalam silibus dan pelajar menerima silibus tanpa memahami sebenarnya yang diajar dan dipelajari. Timbullah di sini misi belajar hanya hendak lulus dalam peperiksaan dan bukan kerana ilmu itu sendiri.

Maka di sini isu PPSMI bukan isu pelajar sahaja tetapi ia melibatkan masa depan bangsa Melayu itu sendiri. Jika hari ini kita tidak melakukan sesuatu, bila lagi? Hendak tunggu Melayu pupus di dunia baru masa tu hendak bertindak. Sudah terlambat. Isu Bahasa bukan perkara main-main, kita semua perlu memainkan peranan agar bahasa kita tidak menjadi bahasa pijakan oleh orang lain. Hanya kesedaran daripada bangsa itu sendiri boleh mendaulatkan bahasa mereka.

Mansuhkan PPSMI!!!!

Sunday, February 1, 2009

Isu Bahasa perlu diambil perhatian

"Bahasa Jiwa Bangsa". Begitulah ungkapan Melayu yang biasa kita dengari. Semua di dunia ini hatta haiwan sekalipun mempunyai bahasa mereka sendiri. Betapa pentingnya bahasa ini ia sebenarnya melambangkan identiti bangsa itu sendiri. Dengan bahasa kita dapat melihat bagaimana bangsa itu sebenarnya.




Di dunia globalisasi hari ini, kita sebenarnya sedang menempuh satu zaman yang kita tidak sedari ancamannya kepada kita. Baik dari segi pandang mata kasar atau mata halus. Serangan pemikiran yang dilakukan oleh bangsa putih ini makin lama sudah menampakkan hasilnya pada hari ini.




Kita lihat sekarang bagaimana benda yang paling dekat dengan kita iaitu bahasa Melayu sudah hilang jatidirinya. Penggunaan bahasa Inggeris telah menjadi bahasa yang paling berkuasa untuk memajukan bangsa Melayu sendiri.




Dari segi pemimpin kita, pemimpin Melayu sudah tidak percaya akan kehebatan Bahasa kita sendiri. Kita lihat idea Tun Mahathir sendiri iaitu Penggunaan Bahasa Inggeris dalam Subjek Matematik dan Sains telah mengalami kegagalan. Keputusan setiap tahun UPSR,PMR dan SPM menunjukkan kemerosotan dari tahun ke tahun. Jurang yang terbina adalah sangat besar antara orang pedalaman dan orang bandar.




Mereka menunjukkan statistik peningkatan dari tahun ke tahun. Tetapi itu adalah statistik orang bandar. Kita tidak melihat orang pedalaman seperti di Sabah dan Sarawak. Adakah mereka boleh mempelajari sesuatu tanpa menggunakan bahasa ibunda sendiri?




Banyak lagi bukti yang menunjukkan tidak keberkesanannya idea Tun itu. Ramai yang menyangka apabila kita belajar bahasa orang lain, kita akan menjadi hebat. Tetapi kesannya adalah sebaliknya. Kita dapat lihat kesannya sekarang.




Oleh itu, saya menyarankan kepada semua untuk membaca buku ini agar minda kita terbuka dan menyedari peripentingnya bahasa kita. Saya bukanlah anti bahasa lain,tetapi apabila bahasa ibunda kita diketepikan dan dijatuhkan martabatnya, ini membuatkan saya perlu membuat sesuatu agar bahasa dan identiti kita dipelihara maruah dan martabatnya. Banyak buku yang menerangkan tentang pentingnya bahasa kita. Tanggungjawab kita semua untuk mengkaji dan menghayati sendiri akan keindahan bahasa Melayu itu sendiri.

Sunday, November 30, 2008

“Kembali ke Pangkal Jalan”



Mewakili Jawatankuasa Pendidikan dan Penyelidikan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), ingin melahirkan rasa kekesalan terhadap tindakan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia yang masih berteka-teki terhadap perlaksanaan Pengajaran Sains dan Matemaik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Setelah hampir enam tahun, dan daripada lambakan kajian yang telah dibuat, JPP-PKPIM merasakan sudah tiba masanya PPSMI dimansuhkan dan “kembali ke pangkal jalan”.

Saya tidak menentang Bahasa Inggeris yang merupakan anatara bahasa utama dunia, tetapi PPSMI bukan cara yang terbaik untuk meningkatkan penguasaannya di kalangan pelajar. Tidak ada teori yang telah terbukti secara praktis yang membernarkan persepsi longgar ini.

Saya masih konsistan dengan prinsip bahawa “pemartabatan Bahasa Melayu harus diperhebat, penguasaan Bahasa Inggeris perlu dipertingkat” namun pastinya dengan fokus dan keutamaan yang logik dan rasional seperti mana yang telah ditegaskan oleh Datuk Haji Baharuddin Zainal semasa membincangkan “Bahasa Melayu Dijunjung Bahasa Inggeris Digendong” dalam buku kecil siri Bicara Siswa keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Persatuan Linguistik Malaysia (PLM).

Selain itu, pandangan songsang yang berterusan mengagung-agungkan Bahasa Inggeris sebagai senjata terpenting mencipta tamadun baru Malaysia bukan sahaja tidak masuk akal, tetapi pandangan golongan pendek akal. Mulkay, seorang sarjana Barat, dalam bukunya Sosiologi Ilmu Pengetahuan menjelaskan bahawa seseorang tidak boleh berfikir dalam acuan orang lain, sebagaimana sesuatu bangsa itu tidak boleh bangun dengan bertunjangkan bahasa bangsa orang lain, kecuali mereka menghayati keseluruhannya budaya bangsa tersebut.

Sejarah telah mengabsahkan kenyataan Asraf dalam Manifesto Budaya: Pupus Bahasa Pupuslah Bangsa. Orang Arab tidak mungkin bangun dengan bahasa, budaya, dan tatasusila orang Parsi, dan begitu juga orang Timur tidak mungkin bangun dengan bahasa dan budaya orang Barat. Dengan demikian, pembangunan tamadun baru Malaysia yang menetapkan aspek sains dan teknologi sebagai salah satu asas terpenting seharusnya menepati citra dan cita masyarakat Malaysia selaian digerak menggunakan bahasa kebangsaan.

Oleh itu, menyedari perihal Bahasa Melayu yang kedudukannya kian tegugat, adalah menjadi suatu kemestian perkara ini dibincangkan secara matang seterusnya diperjuangkan dengan penuh keikhlasan dan kejujuran agar survival bahasa yang menunjang kebangunan bangsa dan keutuhan negara akan dapat terus dipertahankan.

Kedudukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dalam pendidikan negara adalah jelas. Hal ini selaras dengan kandungan dasar-dasar pendidikan negara seperti Laporan Razak (1956), Penyata Rahman Talib (1960), Akta Pelajaran 1961, dan Akta Pendidikan 1996. Fasal 152 (1) Perlembagaan Malaysia jelas menyebut, “Bahasa kebangsan adalah Bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen.”

Selain itu, kedudukan bahasa kebangsaan itu sendiri telah dimantapkan oleh Akta Bahasa Kebangsaan dan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka yang diluluskan oleh Parlimen, iaitu suara keramat rakyat dan sepakat pemerintah negara.

Oleh itu, saya menanggapi PPSMI sebagai suatu kesilapan besar pihak pemerintah khususnya Kementerian Pelajaran yang harus segera diperbetulkan. Penentangan terhadap pelaksanaan PPSMI ini adalah kerana;

  1. PPSMI secara dasarnya menyalahi peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia dan dasar-dasar pendidikan negara.
  2. PPSMI menafikan hak bahasa kebangsaan untuk menjadi pengantar ilmu di seluruh peringkat institusi pendidikan negara.
  3. PPSMI merupakan kilang memproses bahasa rojak yang menghakis keunggulan bahasa kebangsaan sebagai medium terpenting dalam perhubungan masyarakat Malaysia. Hal ini menjurus kepada kegagalan usaha untuk menyatukan rakyat Malaysia menerusi kesatuan bahasa.
  4. PPSMI dilaksanakan secara tergesa-gesa dan gagal menuruti carta alir bagi perlaksanaan dasar-dasar baru dalam kurikulum pendidikan negara. Suatu yang sungguh menghairankan apabila projek perintis tidak dilaksanakan yang mana mampu meminimumkan kerugian sekiranya berlaku kegagalan bagi pelaksanaan awal PPSMI.
  5. Keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 gagal membuktikan dengan jelas bahawa PPSMI tidak mendiskriminasi golongan pelajar kurang upaya dan mereka yang berada di kawasan pendalaman. Statistik yang terperinci dan profil lengkap keputusan tersebut masih gagal dikemukakan kepada umum oleh pihak Kementerian Pelajaran. Sedar atau tidak, PPSMI telah secara terangan menggagalkan usaha meliberalisasikan pendidikan yang bermatlamat “pendidikan untuk semua”.

Justeru, gesaan tersebut saya lontarkan kepada masyarakat khususnya pihak yang terlibat secara langsung dalam menangani isu ini;

  1. Membuka ruang terhadap partisipasi golongan mahasiswa khususnya PKPIM dalam persidangan meja bulat kali kelima anjuran Kementerian Pelajaran. Sikap keterbukaan dan non-partisan PKPIM selain sebuah badan tidak berkepentingan diharap mampu memberi impak positif dalam mencari penyelesaian isu PPSMI ini.
  2. Pendedahan semua kajian yang dibuat oleh mana-mana pihak termasuk pihak kerajaan, NGO, pihak swasta serta orang perseorangan dengan tanpa sebarang tapisan demi menjamin ketulenan kajian. Menolak sekeras-kerasnya tindakan pilih kasih dalam pemilihan kajian yang hasilnya sama dengan apa yang dikehendaki khususnya hasil terpencil yang menyokong penerusan perlaksanaan PPSMI.
  3. PPSMI dapat diusulkan dan diterima sebulat suara untuk dibahaskan pada sesi perbahasan Dewan Rakyat yang terdekat. YB Speaker Dewan juga digesa supaya sedia membantu bagi melicinkan proses tersebut. Harapan saya agar ahli-ahli Parlimen dapat mengenepikan perbezaan faham politik dan berbahas dengan matang dan berobjektif.

Saya percaya bahawa komitmen ahli-ahli Parlimen bakal dinilai dengan seadilnya oleh rakyat. Bila keperluan rakyat dipenuhi, aspirasi rakyat didukungi, pastinya undi rakyat akan dimiliki. Keputusan mesyuarat Kumpulan Prihatin pada 27 November lepas yang dipengerusikan oleh Profesor Emeretus Datuk Dr Abu Bakar Hamid jelas memperincikan gerakan mengembalikan kedudukan Bahasa Melayu perlu kepada gerakan politik.

Menyedari bahawa tarikh 8 Mac lalu merupakan permulaan bagi kempen yang panjang sebelum berlangsungnya PRU ke-13, besar harapan kami agar isu PPSMI ini tidak sama sekali dikambinghitamkan demi kepentingan juzu’ politik golongan tertentu.

Dalam ruangan ini, saya juga ingin merakamkan penghargaan terhadap Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang telah berjaya membahaskan isu PPSMI ini dengan lantang di persidangan Kongres Nasional Tahunan ke-5 pada 28 November lalu. Justeru, saya juga mengharapkan perkara yang sama akan juga dilaksanakan pada Perhimpunan Agung UMNO Mac hadapan. Pesanan saya kepada seluruh perwakilan agar tidak gentar menyatakan kebenaran demi agama, bangsa dan negara. Mengungkap kata-kata Tun Mahathir, “dengan sedikit keberaniaan, kita mampu meminpin perubahan.”

Kesimpulannya, kita hidup dalam pinjaman zaman generasi mendatang. Sekiranya kita tidak berupaya untuk menyediakan baki keuntungan, cukuplah untuk kita tidak meninggalkan hutang, kerugian yang membebankan mereka. Beramanahlah dengan sejarah genarsi lalu dan harapan generasi hadapan.

“Bahasa Jiwa Bangsa”

ABU QASSIM NOR AZMI

EXCO PENDIDIKAN DAN PENYELIDIKAN PKPIM SESI 08/09