.
Hari-hari yang telah berlalu, sememangnya akan meninggalkan seribu satu kisah dan cerita. Maka dengan itu lahirlah akusebuahkisah ! yang mana, diari kembara hidup yang singkat ini diabadikan terus secara maya kerana hari-hari yang telah berlalu, tidak mungkin berulang kembali. Maka, apa salahnya ia diterjemahkan sebagai sebuah kisah. Kisah bukan sebarang kisah... Tetapi kisah yang begitu indah...

.
Showing posts with label fikir-fikir. Show all posts
Showing posts with label fikir-fikir. Show all posts

Wednesday, April 13, 2011

Apabila Berbicara Mengenai Kepimpinan


Kelayakan Dalam Kepimpinan
Oleh : Ustaz Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin



Sabda Nabi s.a.w. maksudnya:

"Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ianya pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya."

(Riwayat Muslim)

Dari Abu Zar, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

"Wahai Abu Zar, sesungguhnya aku melihat engkau seorang yang lemah, sesungguhnya aku suka untuk engkau apa aku suka untuk diriku. Maka jangan engkau menjadi ketua ke atas dua orang dan jangan engkau uruskan harta anak yatim."

(Riwayat Muslim)



SYARAH AL HADIS

Dalam hadith ini Rasulullah s.a.w. tidak memberikan jawatan sekalipun kepada Abu Zar, seorang sahabat yang sangat dikasihi baginda, apabila dilihat ciri-ciri kelayak tidak wujud sepenuh. Abu Zar adalah seorang sahabi yang soleh lagi warak dan zuhud. Namun begitu, amanah jawatan dan politik berhajat ciri-ciri yang yang lebih dari itu, yang bukan semua individu memilikinya. Justeru itu tidak semua sahabah layak mengendalikan urusan siyasah atau politik seperti al-Khulafa ar-Rasyidun. Demikian juga bukan semua mereka kuat agama boleh mengendalikan urusan politik.

Juga hadith ini menonjolkan sikap yang terpuji Abu Zar r.a. yang meriwayatkan ucapan Nabi s.a.w, sekalipun inti kandungannya menyatakan kelemahan dirinya dalam kepimpinan. Ini amanah ilmu dan kejujuran para sahabah yang menyampaikan ajaran Rasulullah s.a.w kepada umat.

Berpandukan al-Quran dan as-Sunnah, maka para ulama ahli sunnah yang silam seperti Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) telah membahaskan persoalan ini. Dengan itu umat Islam tidak sepatutnya hilang garisan dalam perlantikan dan pemberian kuasa terutamanya dalam hal politik.

Hadith ini juga menjelaskan besarnya tanggungjawab kepimpinan dan pengurusan di dalam Islam dan bukan sebarangan individu yang benar-benar mampu memikulnya. Justeru itu memberikannya kepada seseorang yang tidak memiliki keahlian atau kelayakan adalah punca kerosakan masyarakat dan umat. Kerosakan sistem masyarakat menatijahkan kerosakan individu keseluruhannya. Nabi s.a.w. sering memberi amaran tentang kemusnahan hidup apabila amanah dikhianati.

Sabda Nabi s.a.w. maksudnya:

"Dari Abu Hurairah dia berkata: “Ketika Nabi s.a.w. di dalam suatu majlis berbicara dengan orang ramai maka datang seorang `arab badawi lalu bertanya: "Bilakah hari kiamat?". Rasulullah s.a.w. meneruskan ucapannya. Ada yang berkata "Baginda dengar (apa yang ditanya) tetapi baginda tidak suka apa yang ditanya". Sementara yang lain pula berkata "Bahkan baginda tidak mendengar". Apabila telah selesai ucapannya, bagida bertanya: "Manakah orang yang menyoal". Jawab (badawi tersebut): "Saya di sini wahai Rasulullah". Baginda bersabda: "Apabila dihilangkan amanah maka tunggulah kiamat". Tanya badawi tersebut: "Bagaimanakah menghilangkan amanah itu". Sabda baginda: "Apabila diserahkan urusan kepada bukan ahlinya maka tunggulah kiamat". *2

Firman Allah, maksudnya:

"Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia hendaklah kamu berhukum dengana `adil." *3

Kata al-Imam al-Qurtubi :

"Ayat ini adalah pusat segala hukum-hakam yang mengandungi seluruh isi agama dan syara'." Katanya juga: "Yang sebenarnya ayat ini adalah umum untuk semua manusia, ianya menyentuh para pemerintah mengenai amanah yang mereka tanggung dalam membahagikan harta-harta, menolak segala kezaliman dan adil dalam pemerintahan. Demikian juga, ayat ini juga menyentuh golongan yang selain mereka.." *4

Itulah titah perintah Allah, agar posisi penting di dalam kepimpinan umat hanya diberikan kepada yang benar-benar layak menyendalikannya sehingga tidak berlakunya kepincangan, kecacatan dan kezaliman. Persoalan amanah merangkumi setiap aspek hidup, terutamanya persoalan kenegaraan. Termasuk dalam rangkaian amanah persoalan pentadbiran rumahtangga, pejabat, kampung, sekolah dan seumpamanya. Namun huraian para ulama banyak tertumpu kepada persoalan sistem politik dan negara kerana natijah kerosakan adalah besar jika amanah mengenainya diabaikan. Sekiranya pemimpin yang dipilih berkelayakan maka sejahteralah seluruh rangkaian di bawahnya. Sekiranya cacat maka cacatlah seluruh rangkaian dibawahnya.

Di atas nama amanah maka seseorang dituntut membuat pemilihan dan perlantikan yang tepat dengan tuntutan jawatan yang ada. Sekiranya tidak, maka dia dianggap pengkhianat. Apakah ciri-ciri yang jika seseorang melandasinya maka dia tidak dianggap khianat dalam perlantikan?

Secara umumnya pemilihan yang bertanggungjawab berteraskan dua ciri asas yang mesti ada pada tokoh yang bakal dipilih iaitu ciri al-Quwwah dan al-Amanah.

Allah menyebut di dalam al-Quran menceritakan kisah Musa a.s., maksudnya:

"Sesungguhnya sebaik-baik orang yang hendak engkau ambil bekerja ialah yang kuat (berkemampuan) dan amanah (dipercayai)." *5

Maka tugasan yang diberikan kepada seseorang wajar dilihat pada dua ciri utama yang disebut di dalam nas di atas. Ini seperti yang dihuraikan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah di dalam as-Siyasah asy-Syar`iyyah fi Islah ar-Ra`i wa ar-Ra`iyyah iaitu:

Pertama: Al-Quwwah iaitu kekuatan, kemampuan dan kemahiran menjalankan tugas.

Ciri-ciri al-Quwwah atau kemampuan merujuk bidang tugas yang diberikan. Contohnya, jika jawatan berkenaan berkaitan ekonomi konsep al-Quwwah merujuk kepada kemahirannya dalam pengurusan ekonomi. Bagi bidang kehakiman maka al-Quwwah merujuk kepada pengetahuan dalam persoalan hukum-hakam. Dalam bidang ketenteraan merujuk kepada persoalan kepakaran medan perang, semangat juang dan keberanian.

Kedua: Al-Amanah iaitu bersikap amanah atau bertanggungjawab.

Ini merujuk kepada tiga perkara utama iaitu: Takutkan Allah, Tidak menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah untuk mendapat habuan dunia dan tidak takutkan manusia. Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah: "Hendak dipastikan orang yang terbaik bagi setiap jawatan, kerana sesungguhnya kepimpinan itu mempunyai dua rukun iaitu al-Quwwah dan al-Amanah. Ini seperti yang Allah firmankan, maksudnya:

"Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah."

Kata Raja Mesir kepada Yusuf a.s., maksudnya :

"Sesungguhnya kamu hari ini menjadi orang yang berkedudukan tinggi lagi dipercayai" *6

Firman Allah dalam menyifatkan Jibril, maksudnya:

"Sesungguhnya al-Quran itu benar-benar firman (Allah yang dibawa oleh) utusan yang mulia (Jibril). Yang mempunyai kekuatan, yang mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi (Allah) yang mempunyai `arsy. Yang ditaati (di alam malaikat) lagi dipercayai) *7

Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah lagi:

"Al-Quwwah dinilai pada setiap kepimpinan berdasarkan keadaannya. al-Quwwah dalam mengetuai peperangan merujuk kepada keberanian hati, pengalaman dalam peperangan, tipu daya peperangan kerana peperangan itu adalah tipu daya dan kemampuan dalam berbagai jenis peperangan. ... al-Quwwah dalam kehakiman manusia merujuk kepada ilmu mengenai keadilan seperti yang ditunjukkan oleh al-Quran dan as-Sunnah dan kepada kemampuan melaksanakan hukum. Dan amanah pula merujuk kepada perasaan takutkan Allah, tidak menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah dan tidak takutkan manusia. Inilah tiga ciri yang ditetapkan Allah bagi setiap yang memerintah manusia, firman Allah, maksudnya: 'Kerana itu janganlah kamu takutkan manusia (tetapi) takutlah Aku, jangan kamu membeli ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit. Barang siap yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan Allah maka mereka itulah orang-orang kafir)'" [Surah al-Maidah: ayat 44] *8

Oleh itu sesiapa yang melantik atau memilih seseorang bagi mengendalikan sesuatu urusan yang berkait dengan umat tanpa diteliti persoalan al-Quwwah dan al-Amanah atau persoalan kemampuan dan amanah bererti telah menyerahkan urusan bukan kepada ahlinya. Perbuatan itu mengundang kemurkaan Allah.

Timbangan yang telah digariskan oleh al-Quran dan dihuraikan as-Sunnah serta dibahaskan oleh sarjana-sarjana atau para ulama Islam yang seperti Ibn Taimiyyah, dapat dimanfaatkan oleh setiap individu dalam mengatur urusan pentadbiran dan kehidupan dalam semua aspek. Di mana pun posisi seseorang, sama ada pemimpin negara di peringkat negara atau negeri atau apa sahaja, maka setiap tugasan yang bakal diserahkan kepadanya berpandukan konsep al-Quwwah iaitu kemampuan untuk melaksanakan dan al-Amanah iaitu perasaan takutkan Allah dari melakukan pengkhianatan atau kecuaian. Sekiranya dua perkara ini dipastikan, maka sudah tentu tanggungjawab kepimpinan tidak akan dicemari, kekusutan masyarakat tidak akan timbul.

Kadangkala kita mungkin bertembung dengan satu masalah iaitu ketandusan tokoh untuk sesuatu jawatan melainkan dua orang atau jenis kelompok sahaja, seorang atau satunya daripadanya memiliki al-Quwwah atau kekuatan dan kemampuan tetapi kurang amanah, sementara seorang lagi satu kelopok lagi memiliki ciri amanah iaitu solih dan bertanggungjawab tetapi lemah atau tidak berkemampuan, siapakah yang patut dipilih?

Dalam hal ini maka para `ulama al-siyasah al-syar`iyyah menyatakan pemilihan dalam keadaan sebegini hendaklah dilihat kepada jenis atau keadaan jawatan yang hendak diserahkan, kemudian menilai siapakah yang paling boleh memberi manfaat dan paling kurang mudharatnya apabila menduduki jawatan tersebut. Sekiranya jawatan berkenaan berteraskan kepada kekuatan seperti medan peperangan maka hendaklah didahulukan yang memiliki kekuatan dan keberanian walaupun kurang solih ataupun tidak baik peribadinya. Sekiranya jawatan berhajat kepada amanah yang lebih seperti mengendalikan kewangan maka hendaklah didahulukan yang amanah walaupun ada kelemahan dalam pengurusannya.

Di atas sebab ini maka Rasulullah s.a.w. memilih Khalid bin al-Walid r.a. mengepalai tentera Islam dan menggelarnya sebagai pedang Allah walaupun ada para sahabah yang lebih besar kedudukannya di sisi Nabi s.a.w. Ini kerana kemampuan yang dimiliki Khalid tidak dimiliki oleh mereka. Sekalipun Rasulullah s.a.w. pernah menegur beberapa tindakan Khalid yang tidak disetujui oleh baginda. Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah:

"Apabila dua orang lelaki, salah seorangnya lebih amanah dan seorang lagi lebih kuat (mampu) maka hendaklah didahulukan yang lebih bermanfaat untuk jawatan berkenaaan dan paling kurang mudharatnya bagi jawatan tersebut. Maka dalam mengepalai peperangan, lelaki yang kuat dan berani walaupun padanya ada kejahatan diutamakan dari lelaki yang lemah dan tidak berkemampuan walaupun dia seorang yang amanah. Ini seperti yang ditanya kepada al-Imam Ahmad: Mengenai dua lelaki yang menjadi ketua di dalam peperangan, salah seorangnya kuat tetapi jahat dan seorang lagi solih tetapi lemah, siapakah yang layak berperang? Jawab al-Imam Ahmad: 'Yang kuat dan jahat, kekuatan untuk kepentingan orang Islam, kejahatannya untuk dirinya sendiri adapun yang solih tetapi lemah maka kesolihannya untuk dirinya tetapi kelemahannya merugikan orang Islam'" *9

Maka dalam perlaksanaan pembahagian tugas atau perlantikan jawatan, hendaklah dipastikan perkara berikut:

1. Melantik individu atau tokoh yang memenuhi ciri al-Quwwah dan al-Amanah,
2. Sekiranya berlaku kekurangan tokoh yang berlayakan melainkan setiap orang memiliki kecacatannya yang tersendiri, maka hendak dibandingkan kelemahan yang ada dengan tugas yang bakal dipikul. Ini dilihat siapakah yang paling bermanfaat dan paling kurang mudarat untuk tugasan tersebut.

Oleh itu usaha untuk mewujudkan kelompok manusia yang memiliki dengan sempurna kedua-dua ciri ini adalah tanggungjawab besar umat agar terpeliharanya kita daripada golongan yang khianat dan merosakkan masyarakat. Perlu disedari, apa ertinya jika generasi pakar teknologi atau ilmu-ilmu lain yang tanpa amanah atau dalam kata lain perasaan takutkan Allah yang akan menyebabkan mereka menggunakan kepintaran dan kecekapan untuk merosakkan tanggungjawab, melanggar hukum-hakam Allah sekaligus merosakkan umat. Pun begitu kita juga tidak mahu menyerahkan tugasan kepimpinan umat kepada suatu kelompok manusia yang baik, salih atau pandai agama tetapi jahil tentang selok belok pentadbiran dan perlaksanaannya sehingga mudah ditipu oleh golongan musuh dan pengkhianat yang menyebabkan kelemahan dan kelembapan perjalanan urusan umat.

Maka menjadi tanggungjawab umat mencari pemimpin yang solih lagi takutkan Allah dengan melaksanakan seluruh arahan dan meninggalkan seluruh tegahanNya di samping pakar dan cekap dalam mengendalikan pentakbiran dan urusan.
RUJUKAN

*1 Riwayat Muslim dalam Sahihnya, kitab al-Imarah..

*2 Riwayat al-Bukhari.

*3 Surah an-Nisa': ayat 58

*4 Al-Jami` li Ahkam al-Quran, 5/256, cetakan Dar al-Fikr, Beirut

*5 Surah al-Qasas ayat: 26

*6 Surah Yusuf: ayat 54

*7 Surah al-Takwir ayat 19-21

*8 Al-Siyasah al-Syar`iyyah fi Islah ar-Ra`i wa ar- Ra`iyyah,m.s.27-28. Ctk. Dar al-Arqam, Kuwait

*9 Ibid, m.s.29 


Sunday, January 16, 2011

Ababil & Abrahah


Di dalam Al-quran Allah ada menceritakan tentang kisah tentera bergajah dan juga burung ababil. Tetapi perlu diingatkan Al-Quran itu bukan cerita yang dibuat-dibuat tetapi Al-Quran itu menjelaskan segala sesuatu dan pada kisah-kisah tersebut terdapat pelajaran bagi orang yang berakal.


Banyak riwayat yang tersebut dalam kisah tentera bergajah ini. Ada riwayat yang menyatakan tentera bergajah hancur kerana wabak cacar yang dihantar oleh Allah melalui kuman yang dibawa oleh binatang atau serangga yang boleh terbang seprti lalat. Ada riwayat juga menyatakan yang burung membawa 1 batu kecil pada paruh dan dua batu kecil pada kedua-dua belah kaki lalu dilontar kepada tentera bergajah dan batu itu hanya sebesar kacang dal.


Kemusykilan pula timbul bilamana dikatakan bagaimana tentera bergajah boleh berada di kawasan padang pasir?Sedangkan pada masa tersebut binatang tunggangan adalah terdiri daripada kuda, unta dan keldai. Ada yang menyatakan tentera bergajah itu datang dari Afrika. Adakah gajah mampu bertahan di kawasan padang pasir dengan badannya yang besar?Tidakkah gajah akan terjerlus ke dalam pasir kerana kakinya tidak sesuai untuk berada di padang pasir?


Hakikatnya ramai manusia yang cuba mempertahankan hujah masing-masing. Tidak Allah jadikan sesuatu itu dengan sia-sia.Ada sesuatu yang tersirat yang Allah cuba sampaikan dalam kisah ini.


Jika kita lihat dari sudut ketenteraan, tentera bergajah adalah sebuah tentera yang kuat. Di mana pada waktu itu tidak ada yang mampu menandingi kekuatan seekor gajah. Dan gajah adalah terdiri daripada haiwan darat. Maka tentera bergajah ini adalah sebuah tentera darat yang sangat kuat.

Tetapi bagaimana tentera darat ini dikalahkan? Bila kita lihat pada surah Al-Fiil ayat ke-3, Allah mengirimkan kepada mereka burung yang berbondong-bondong(Ababil).

Maksud Ababil adalah berbondong-bondong. Dan burung itu melemparkan mereka dengan batu berasal dari tanah yang terbakar seperti yang terdapat dalam ayat ke-4. Jadi apa yang hendak dimaksudkan dengan burung dan batu yang terbakar ini?

Burung adalah sejenis binatang yang boleh terbang dan sentiasa berada di udara.Adakalanya mendarat di kawasan tempat tinggalnya. Dilihat dari sudut ketenteraan burung yang berbondong-bondong ini adalah sebuah tentera udara.Bagaimana pula tentera udara ini menghancurkan tentera darat? Dengan membawa batu yang terbakar iaitu sejenis bahan yang sememangnya boleh terbakar.Maka batu yang terbakar itu diumpamakan seperti bom. Jadi burung yang membawa batu terbakar itu adalah seperti jet yang membawa bom-bom.

Kisah tentera bergajah dan burung ababil itu sememangnya kisah yang nyata di dalam Al-Quran. Sehingga diwahyukan dalam surah ke 105 iaitu Surah Al-Fiil. Tetapi kisah tersebut bukan setakat mati di situ sahaja sebagai cerita sejarah.Ia haruslah di ambil iktibar dan pelajaran.Maka apa pelajaran yang boleh diambil dari kisah ini ialah untuk mengalahkan tentera darat adalah melalui tentera udara! Maha Besar Allah. Allah itu Maha Berilmu. Allah sudah mengajarkan kepada umat Islam strategi ketenteraan lebih kurang 1400 tahun yang lampau. Jadi kita lihat balik keadaan sekarang. Siapa yang terlebih dahulu mengaplikasikan Al-Quran ini. Sama-sama fikirkan.

Monday, January 10, 2011

Prinsip Pareto, 20/80


Oleh DR. ISMAIL ZAIN

[Selamat Pagi Cikgu - Utusan Malaysia]


KADANGKALA apabila kita balik ke rumah setelah bekerja atau belajar di sekolah kita berasa penat serta berada dalam keletihan. Apa yang menyedihkan lagi ialah segala tenaga yang kita keluarkan sepanjang hari tidak dapat membuahkan hasil yang banyak.


Masalah di atas selalu sahaja dihadapi oleh individu. Justru, lahir pula istilah "work smart" di mana individu dapat menjalankan sesuatu tugas dengan lebih bijak tanpa terlalu banyak membazirkan guna tenaga.


Richard Koch, 1997 seorang ahli korporat dalam bukunya "The 80/20 Principle – The Secret of Achieving More with Less" telah menghurai prinsip yang telah dikemukakan oleh Vilfred Pareto seorang ahli ekonomi berbangsa Itali 100 tahun yang lalu. Richard Koch yang juga merupakan pengamal bagi Prinsip 80/20 cuba menghurai implimentasi dan kesannya dalam pelbagai bidang dalam kehidupan manusia.


Apakah yang dimaksud dengan Prinsip 80/20? Ianya memberi pengertian bahawa sesuatu keputusan, hasilan (output) dan ganjaran yang banyak yang diterima adalah hasil daripada sebahagian kecil daripada tenaga atau input. Tujuannya ialah untuk meningkatkan keberkesanan dan kebahgiaan individu.



Prinsip 80/20 mempercayai bahawa terdapatnya ketidak-seimbangan dalaman (inbuilt imbalance) antara sebab dan akhibat, input dan output serta usaha dan ganjaran.


Beberapa contoh dapat dilihat pertalian antara 80/20 dalam kehidupan manusia. Misalnya, 80% keuntungan adalah datangnya daripada 20% nilai produk. Seterusnya 20% penunggang dijalanraya mengakhibatkan 80% kemalangan, 20% penggunaan kertas dalam suratkhabar mengandungai 80% berita dan 20% masa menyuarat menghasilkan 80% keputusan.


Sejauhmanakah Prinsip 80/20 yang telah menunjukkan kejayaan terutamanya dalam sektor korporat dapat diimplementasikan dalam bidang pendidikan?


Dalam hal ini cuba kita lihat semula 2 aspek yang kita gunakan dalam menjalankan tugas seharian kita iaitu aspek masa dan tenaga. Kedua-dua aspek ini di antaranya merangkumi beberapa aktiviti-aktiviti berikut:


  • Masa mengajar: Tambahan masa dan waktu mengajar tidak akan memberi apa-apa makna jika apa yang diajar tidak dapat dimenafaatkan oleh pelajar. Apa yang akan terhasil nanti ialah sebaliknya iatu rasa penat di pihak guru dan bosan di pihak pelajar.

  • Masa mesyuarat: Berapa banyak masakah yang digunakan oleh anda dalam mengendalikan sesuatu mesyuarat dan banyak manakah pula hasil yang didapati dalam menyuarat ini? Tidak ada gunanya sesuatu menyuarat itu dijalankan berjam-jam tetapi tidak dapat membuahkan keputusan serta idea-idea yang bernas.

  • Masa belajar: Bagi golongan pelajar pula tidak ada gunanya kita belajar berjam-jam tetapi masih tidak dapat memahami apa yang kita belajar.


Walau bagaimanapun kita perlulah berhati-hati supaya tidak membuat sebarang andaian yang salah terhadap Prinsip 80/20 ini.



Tiga contoh yang diberikan di atas adalah di antara aktiviti yang kita lakukan setiap hari. Setiap individu inginkan kepuasan Oleh kerana masa itu adalah tetap dan tidak boleh ditambah lagi maka setiap individu cuba berusaha untuk mendapat ganjaran yang banyak dari masa yang tetap itu. Begitu juga setiap individu ingin membeli barangan yang banyak dengan mengeluarkan wang yang sedikit.


Dalam situasi pembelajaran, Prinsip 80/20 memberi panduan kepada kita supaya dapat membuat persiapan dan perancangan yang rapi supaya apa yang diajar berkesan dan dapat difahami oleh pelajar-pelajar tanpa terlalu banyak menggunakan masa.


Begitu juga dalam menjalankan aktiviti-aktiviti lain seperti dalam mengendalikan mesyuarat. Mesyuarat yang baik ialah yang dapat mengeluarkan keputusan, idea dan persefahaman dalam masa yang ditetapkan. Mesyuarat yang panjang, meleret-leret akan menimbulkan kebosanan serta tidak memberi kepuasan dan keseronokan.



Istilah seperti "smart learning" adalah di antara teknik mengajar bagaimana untuk belajar. Prinsip 80/20 memberi panduan kepada kita bagaimana kita dapat belajar dengan menggunakan teknik-teknik yang tertentu agar segala tenaga yang kita gunakan dapat mengeluarakan hasil yang memuaskan.


Akhirnya cubalah kita buat satu renungan sejauhmanakah Prinsip 80/20 ini dapat kita gunakan khususnya dalam profesion perguruan. Sesungguhnya prinsip ini cuba mengelakkan rasa ketidakpuasan, penggunaan masa dan sumber yang tidak ekonomikal ke arah melahirkan kehidupan yang lebih produktif, sempurna dan bahagia.


sumber...


Saturday, December 4, 2010

Gurindam Terima Kasih Malaysia: Hadiah Yang Tidak Terkata

kalian rampas subsidi kami, entah ke mana dibawa lari

kalian beritahu, wang mesti dicatu, kita menuju maju..

kalian kata: jika tidak, semua menderita, habis harta negara..

kalian berbahasa: bukan barang naik harga,

cuma penyelarasan dan rasionalisasi subsidi sahaja..

kalian berhelah: mahu rakyat bijak berbelanja

kami orang desa, mungkin tidak pandai kira berjuta-juta..

kami orang kecil kota, mungkin tiada sedemikian harta..

jika kalian tipu sebegitu, biasanya kami diam selalu..

tapi dapatkah kami dibohongi, tentang suapan saban hari?

apalah yang dapat diberitahu anak ke sekolah..?

papa semakin parah..? wang semakin lelah..?

jika semalam berlauk, hari ini cuma berkuah..

kerana kerajaan kita sedang susah..?

maka subsidi kita terpaksa diserah..

sedangkan gaji kalian tambah mencurah-curah

jika semalam kau makan sepinggan, hari ini kami makan separuh

makanan kau melimpah ruah, kami hanya merasa cebisan kuih

kerana barang makin angkuh, wang papa makin rapuh..

apa yang dapat dibisik pada anak berkopiah ke madrasah..?

makananmu sayang, sebahagiannya sudah hilang..

jika mereka bertanya siapa yang bawa lari

kepada siapa patut kami tuding jari?

janganlah nanti mereka membenci pertiwi..

akibat pencuri harta bumi rakyat marhaen ini..

atau kami jadi insan curang..

kami beritahu; cuma subsidi sahaja yang kurang?

tiada apa yang hilang, nanti akan datang wang melayang..

dengar sini wahai yang tidak memijak bumi!

pernahkah kalian mengintipi kehidupan kami..?

di siang dan di malam hari ?

pernahkah kalian ngerti makna derita dan susah hati..?

kami yang semput bagai melukut di kota kedekut

kami yang bekerja hingga senja di desa yang makin terseksa

bertarung nyawa dan masa, menghitung setiap belanja

pernahkah kau merasa?

rumah bocor yang lanjut usia..

baju dan kasut anak yang koyak

tinggal dalam rumah yang berasak-asak

siang kami sebak, malam kami sesak..

sedangkan kalian manusia angkasa..

istana permata dibina, kereta berjuta dirasa..

elaun di serata, dari isteri sehingga seluruh keluarga..

hidangan istimewa, konon meraya kemakmuran negara..

tapi kami masih di sini.. di teratak usang ini..

dengan lauk dan kuah semalam..

dengan hidangan yang tidak bertalam..

dengan rumah yang suram..

dengan wang yang hampir padam..

tiada istana lawa..tiada kereta berharga..

tiada layanan diraja..tiada baju bergaya

tiada kediaman menteri..tiada hidangan v.i.p..

tiada persen di sana-sini..tiada bahagian anak dan bini..

tiba-tiba kalian kata: kamilah beban negara.. ??!!!

aduhai celaka bahasa yang kalian guna..

kalian yang belasah, kami yang bersalah..

kalian buat untung, hutang kami tanggung..

kalian mewah melimpah, kami susah parah

kalian hilangkan wang, poket kami yang terbang..

kalian bina istana, rumah kami jadi mangsa..

kalian makan isi, kami dijadikan abdi..

lantas, kalian rampas lagi subsidi..

ke mana wang itu pergi nanti?

buat melancong sana sini ?

dan bina pusara sendiri ?

tapi entah berapa kali janji..

konon: nanti kami ganti, kami ganti, kami ganti..

hari demi hari, ceritanya pun tidak berbunyi lagi..

kami terus termanggu di sini.. kalian juga yang nikmati..

kami hanya menggigit jari.. kalian pasti akan disoal nanti !

Terima Kasih Kerajaan 1Malaysia !!!


- tidak bernama -

versi hasyimie yg hot n spicieee

Thursday, July 22, 2010

WONDERPETS vs CSI



Wonderpets, wonderpets kami datang, membantu haiwan dalam kesusahan, kami tak besar dan kami tak kuat, bila berkerjasama semua jadi mudah. Wonderpets datang membantu, apa yang penting kerjasama.

Bercuti selama sebulan di rumah, melayan kerenah dua orang anak buah yang non stop talking n talking, memang memeningkan kepala aku. Ubatnya mudah, cartoon channel. Jadi aku pun tumpang lah kaki sekali menonton cartoon2 yang disamping banyak buruknya, still terselit baiknya. Daripada Wonderpets, Danny Phantom, Cat n Dog, Spongebob Squarepants, Kampung Boy, Upin Ipin, dan ntah apa nama lagi lah. Sampai aku pulak yang gile menengok cartoon2 tu, best jugak sebenarnya tgk cartoon ni, gelak sorang2 tu memang biasalah. Habis satu, satu lagi, haruslah, ada sekurang2nya 4 channel yang menayangkan 24 jam karton, tak termasuk channel 611, tv9 dan di HBO yang kadang-kadang terselit movie cartoon.

Aku pasti, cartoon yang aku senaraikan ni mesti korang pernah tengok atau sekurang2nya pernah dengar. Siapa ajelah yang tak minat tgk cartoon, kalau ramai yang tak minat cartoon, tak mungkin kita akan dengar wujudnya Toy Sory, Madagascar, Finding Nemo, Ice Age, Sherk, Upin Ipin Geng yang mencatatkan keuntungan jutaan ringgit dan dolar.

Pertama kali menonton wonderpets yang diarahkan oleh Jenifer Oxley tu, ah... bodohnya katon ni, dah lah tak lawa, animasinya pun x menarik langsung. Tapi wonderpets punya kehebatannya sendiri sehebat namanya, WONDERPETS ! Mesejnya mudah, walaupun kerjanya menyelamatkan haiwan yang dalam bahaya sebaik mendengar bunyi telefon, tapi.... apa yang penting.... KERJASAMA !!! word inilah yang menjadi kegilaan kanak-kanak sehingga kawan2 aku pun ada yang menggunakannya sebagai ringtone dan callerringtone. Aku pulak dah naik hafal tiap lirik lagu yang ada dalam wonderpets tu. Anak buah aku tu takyah ceritalah. Bagi aku, wonderpets, sesuai ditonton oleh semua, termasuk aku haha.. n karton yang jenis mendidik, yelah... apa yang penting... kerjasama !



Telefon... telefon berbunyi... ada haiwan dalam bahaya, ada haiwan dalam bahaya di sana... ini serius.

Ape pun Wonderpets, Upin Ipin ker, Spongebob pun pastinya tak mampu mengalahkan CSI (Crime Scene Investigation), Num3rs dan yang latesT NCSI, cerita penyiasatan kes pembunuhan yang menggunakan kaedah forensik dengan kelengkapan teknologi yang pastinya memang menjadi kegilaan aku untuk menonton berpuluh2 episod CSI. Korang pun tengoklah, tak membosankan, dan menariknya, CSI sentiasa menyelitkan ilmu2 penyiasatan dalam setiap episod. Jalan ceritanya, meskipun tau ia mesti penyiasatan kes pembunuhan, tetapi percayalah setiap episod pasti menampilkan kelaianan. Sehingga kini aku masih beranggapan CSI... AWESOME ! Ape pun tu cerita datangnya dari negara yang terkenal dengan pusat kasino utama dunia dan pantainya yang hot, haruslah ade adegan2 yang tidak perlu. I mean tidak perlu dipertontonkan dan ditonton.



CSI pun mengamalkan prinsip Wonderpets... apa yang penting...? KERJASAMA !!!


Tahniah juga kepada Astro Oasis untuk IMAM MUDA yang sangat bagus. Pertama seumpamanya. Rancangan macam nilah yang sepatutnya bersepah2 kat tv. Bukannya hiburan sana sini x kira masa. AF lah, Jangan Lupa Lirik, Mentor, Konsert sana sini, Huh... ape pun nak wat camne, kita termasuk diri aku ni pun suka hiburan even Halaqah, AlKuliyah, Forum Perdana RTM masih ada. Haruslah Syahir yang lahir di pentas AF tu terus popular, menang terus jadi ikon belia Perak, kalau bukan syahir yang menang, conferm bukan dia yg jadi ikon tu. Sekali sekali tengok Tom Tom Bak, memang lah bagus, cisss... bagus apenyer? Budak baru nak idup seawal 5 tahun dah didedahkan dengan lagu2 yg ntah ape2, hafal lak tu, joget bagai nak rak, bagus ker? Kecik2 dah hidup dgn dunia mcm tu, dah besar ? Sape tak setuju dgn ape aku tulis, aiman x kisah... tapi tu hakikat, apepun baru2 ni terbaca akhbar, kanak2 3 tahun dah boleh menghafaz 30 surah2 lazim dalam AQ, berdasarkan cerita yang ditulis, dalam hati, aku memuji parentsnya yang sejak dalam kandungan lagi, dah memperdengarkan bacaan ayat2 AQ kepada babynya. Bukannya dedahkan dengan lagu2 lagho !

Sunday, May 16, 2010

Penciptaan Manusia


12. Dan Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah;

13. Kemudian Kami jadikan "pati" itu (setitis) air benih pada penetapan Yang kukuh;

14. Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu Dengan daging. setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk Dia menjadi makhluk Yang lain sifat keadaannya. maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.

15. Kemudian, Sesungguhnya kamu sesudah itu akan mati.

Al-Mukminun