AKTRES Maria Farida, orangnya cukup cantik, langsing, kulit putih melepak dan wajahnya sentiasa dihias dengan senyuman manis.
Sekali pandang dengan busana hijau terang yang disarungnya, Maria tidak ubah seperti anak dara. Namun hakikatnya tahun ini, pemilik nama sebenar Maria Faridah Atienza itu sudah menjangkau usia 44 tahun.
Tersipu malu saat dipuji, ibu kepada Mizan Ashley, 16, itu yang sudah menjanda lebih 10 tahun tidak menolak andai dia ditemukan jodoh dengan lelaki lebih muda atau lebih tua daripadanya.
"Saya bukanlah jenis yang cerewet dan bukan cari lelaki yang sempurna tetapi pada usia sekarang saya tidak mahu bercinta lama-lama.
"Sebaliknya jika saya bercinta, lelaki itu bakal menjadi suami saya. Saya tidak kisah jika umurnya 30-an atau 60 tahun sekalipun. Janji, lelaki itu ikhlas untuk menerima diri saya bersama anak lelaki kesayangan saya," jawabnya.
Mustahil wanita cantik sepertinya tidak dikejar lelaki terutamanya lelaki yang berstatus dan kaya raya. Akuinya, dia pernah dilamar ramai lelaki kaya, namun, Maria mempunyai sebab untuk menolak semua lamaran itu.
"Tipulah kalau saya kata tidak ada lelaki yang lamar saya. Memang ramai yang melamar tetapi hati tidak berkenan. Kalau saya jenis wanita yang kejar wang ringgit sudah lama saya berkahwin dan sekarang sudah bergelar puan sri agaknya (ketawa).
"Bagi saya tidak kisahlah berapa umur lelaki itu, apa yang penting saya harus cintakan dia bukan kekayaannya. Jika tidak, saya lebih rela tidak berkahwin kerana saya boleh cari duit sendiri tanpa bantuan sesiapa pun," ujarnya serius.
Namun begitu, lelaki yang ingin memenangi hati Maria haruslah mempunyai taraf ekonomi yang stabil.
"Bukanlah saya mahu lelaki yang bergelar jutawan. Memadai lelaki itu mampu menanggung saya dan anak tanpa menyusahkan saya.
"Memang saya mengaku anak saya mempunyai selera yang tinggi. Saya juga suka membeli-belah barangan yang agak mahal tetapi itu semua hasil usaha saya sendiri.
"Jika berkahwin, saya harus mengubah cara perbelanjaan saya selama ini, susahlah. Jadi, lelaki itu harus mempunyai ekonomi yang cukup stabil," tuturnya.
Bagaimanapun sehingga hari ini status Maria masih lagi solo. Katanya jika dia mahu berkahwin, pasti berita gembira itu akan dikongsi bersama.
"Andai benar saya akan berkahwin, jangan risau, saya akan berkongsi berita itu bersama semua orang kerana itu perkara yang baik.
"Jadi, jika saya kata tidak ada maknanya memang saya tidak bersama sesiapalah. Sebelum ini kalau ada pun mereka mendekati saya sebab populariti saya sebagai pelakon.
"Selain stabil ekonomi dan ikhlas, saya mahu lelaki yang boleh beri komitmen sepenuhnya pada keluarga. Jika memenuhi semua kriteria itu barulah saya akan pertimbangkan untuk berkahwin," balasnya dengan senyuman.
Tidak tergugat
Maria yang mula berlakon sejak usia belasan tahun nampaknya masih laku sehingga ke hari ini walaupun ramai pelakon muda membanjiri industri seni tanah air sejak kebelakangan ini.
Tidak pernah rasa tergugat dengan kemunculan pelakon wanita muda, tegas Maria situasi itu adalah normal untuk aktres seusianya.
"Memang ramai pelakon muda sekarang ini tetapi saya okey sahaja tidak rasa tergugat kerana tawaran lakonan sentiasa ada.
"Ada waktunya, saya perlu menolak beberapa tawaran lakonan kerana jadual yang bertindih. Saya bersyukur dengan apa yang saya ada hari ini," katanya.
Tambahnya, pada usia 40-an, dia kerap ditawarkan watak ibu daripada watak utama dan dia menerima perubahan itu dengan baik.
"Sebelum ini, saya kerap diberikan watak wanita penggoda dan antagonis. Biasalah apabila sudah meningkat usia, ada beberapa watak yang sesuai dengan saya seperti watak ibu.
"Saya tidak kisah membawakan watak seorang ibu kerana saya sudah merasa zaman bawa watak utama dan wanita muda. Selagi saya selesa dengan watak yang diberikan, itu bukan masalah buat saya," tuturnya.
Rehat sebulan
Sepanjang bulan Ramadan, Maria sudah merancang untuk berehat selama sebulan selepas tidak berehat sejak tahun lepas.
Cuma sebelum Ramadan, Maria akan terlibat dengan penggambaran filem Showdown bersama aktres Izara Aishah sebelum berehat panjang.
"Penggambaran filem untuk babak saya hanya seminggu sahaja sebelum Ramadan, jadi selepas itu saya akan berehat dan menikmati bulan Ramadan dengan penuh penghayatan bersama anak.
"Mungkin selepas raya baru saya akan bekerja semula seperti biasa. Saya mahu ambil kesempatan ini untuk menghabiskan lebih masa bersama anak, kadang-kala saya sedar anak saya terasa kerana saya terlalu sibuk bekerja," ujarnya.
Bercerita lanjut tentang Ramadan, kata bintang filem Femina itu, bulan Ramadan akan diisi dengan amal ibadah berbuka puasa bersama keluarganya.
"Bulan Ramadan saya biasa sahaja, solat terawih dan berbuka dengan keluarga. Saya tidak mempunyai kampung di luar ibu kota kerana saya berasal dari Kuala Lumpur.
"Jika orang lain teruja ingin pulang ke kampung pada bulan Ramadan, saya hanya menyambutnya di Kuala Lumpur kerana seluruh keluarga saya berada di sini. Begitu juga dengan hari raya, kami tidak perlu bersesak untuk pulang ke kampung," jawabnya sambil tersenyum. KOSMO ONLINE
APJ : huhuhu langsung tak layak rupanya hihihi ... nak makanpun kekadang tidak , ni ada hati nak miliki si jelita ... hihi alahai anak omak .....