Halaman

Memaparkan catatan dengan label Top News. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Top News. Papar semua catatan

Jumaat, Jun 24, 2011

ABIM PENCETUS KEBANGKITAN UMMAH


PERTEMBUNGAN dan tarik- menarik antara fahaman nasionalisme dengan sosialisme, pada akhir tahun 60-an dan awal tahun 70-an, begitu hebat terjadi di mana-mana, tidak hanya di Malaysia, bahkan juga di negara-negara Arab dan di kebanyakan negara-negara umat Islam pada amnya. Sementara umat sedang mencari-cari, dan banyak yang terpukau dan terngiur dengan fahaman ini.

Islam sebagai addin, ajaran universal belum nampak muncul dengan nyata, beberapa puluhan tahun setelah merdeka, lontaran penjajah masih membekas dalam diri sebahagian pemimpin negara yang sudah merdeka ataupun sebahagian rakyat, bahawa Islam itu hanyalah agama di masjid dan surau, berkaitan dengan nikah dan hukum faraid, tiada hubungan dengan kehidupan yang luas dengan segala aspeknya.

Islam masa itu ditampilkan dengan begitu sempit, Islam tiada hubungan dengan masyarakat, negara, politik, ekonomi perundangan, pendidikan dan sebagainya. Pada masa yang sama keterbelakangan rakyat dari segi ilmu dan pendidikan, menjadikan mereka pasrah dengan apa yang disajikan, baik oleh media mahupun pihak berkuasa. Sekularisasi kehidupan disedari atau tidak, sedang menggurita pada masa itu. Memang sudah ada jabatan agama, dan pertubuhan-pertubuhan serta NGO Islam yang lain, tetapi gerakannya masih sempit dan terbatas, belum sampai mengetengahkan Islam yang syumul dan universal itu.

Kalangan muda terutama mahasiswa telah menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), membuat program keilmuan mengetengahkan idea dan hujah untuk membicarakan Islam dengan segala aspek dan keluasan ajarannya, dan sudah tentu ahli PKPIM juga ingin menghayati dan mengamalkannya seberapa yang boleh, tetapi persekitaran yang rosak dan bobrok masa itu, menjadikan gerakan dakwah pelajar ini menghadapi tribulasi dan cabaran, dan gerak langkahnya adakalanya terbawa-bawa oleh cara-cara gerakan yang belum Islami, namun benih dan tanaman sudah mula ditebar dan ditanam.

Kemuncaknya adalah berdirinya Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada 6 Ogos tahun 1971, pelopornya adalah Anwar Ibrahim (kini Dato’ Sri), Ustaz Razali Nawawi, Ustaz Fadzil Noor, Ustaz Siddiq Fadzil, Dato’ Fauzi Abdul Rahman, Sanusi Junid (kini Tan Sri), Ustaz Nakhaie Ahmad dan ramai lagi. Walaupun pertubuhan ini agak lama baru disahkan pendaftarannya oleh Pejabat Pendaftaran, gerakan itu sudah bermula dengan halaqah-usrah dan tamrinnya, dan taddabur al-Quran serta membicarakan buku-buku baik dari Mesir/Timur Tengah, Pakistan, Indonesia. ABIM mula mengasah ahlinya dengan menampilkan hujah dan idea, dalam mendepani masyarakat, bagaimana membantu penyelesaiannya dengan gerakan dakwah dari bandar ke kampung serta kemana sahaja jika ruang dan peluang itu ada.

Nama Anwar sinonim dengan kebangkitan itu, yang sudah mula bergerak dan nampak, ABIM berhadapan bukan hanya menggiatkan dakwah; ceramah dan mengimarahkan masjid dan surau, tetapi juga membincangkan masalah kemiskinan, ketidakadilan dan persoalan pendidikan umat yang masih terkebelakang. Matlamat ABIM adalah bagaimana menjalankan agama Ilahi ini, dan ingin menghayati sunnah Nabi, namun sebagai pengakuan Razali Nawawi, hasrat hakiki ABIM tidak difahami oleh banyak pihak terutama, pihak kerajaan.

Sebagaimana kata Dr Siddiq Fadzil, mantan Presiden ABIM ketiga, sejarah perjuangan ABIM adalah sejarah umat, kerana pada masa berdirinya ABIM, "kita telah mampu mencatat sejarah sangat penting, dan segala gerakan-tindakan dan perancangan kita bukan main-main (sangat serius) dan hari ini dirasakan hasilnya juga tidak main-main." Bukti sejarah menunjukkan gerakan Islah yang dipelopori oleh Syeikh Al Hadi, namun gerakan dan hasil yang nyata ini tercipta setelah berdirinya ABIM sebagai pelopor kebangkitan umat pada masa itu, kita harus mengakui katanya kemerdekaan Malaysia tidak merubah landskap pemikiran seperti tidak ada apa-apa.

Kemerdekaan tidak mencetuskan idea ke-Islaman, barulah gerakan pelajar tahun 1967 kembali digegarkan bagaimana memaknai kembali pemahaman Islam orang Melayu, atau Re-Islamization, meng-Islamkan kembali orang Melayu. Di mana pada masa itu sebagai contoh seperti kata Ustaz Razali, Muslimah pakai mini telekung dianggap benda yang aneh dan ganjil, dan dengan berbagai idea dan gerakan yang dibuat oleh ABIM, menjadikan ABIM lebih matang dan lebih cepat dewasa, apalagi "tragedi" 1982 dengan masuknya Anwar Ibrahim ke dalam Umno, antara lain kerana rayuan beberapa cendekiawan Islam antarabangsa.

Walaupun Sabtu, 14 Mei yang lalu dalam pengkisahan 40 tahun ABIM itu di Unisel Shah Alam, Anwar Ibrahim mengakui dia tidak sepenuhnya yakin dengan tawaran kelompok nasionalis Umno, dengan pandangan dan sinisnya mereka terhadap Islam dan gerakan Islam selama ini, dan inilah kehebatan ‘feeling’ Ustaz Fadzil, yang dengan terpaksa membiarkan Anwar masuk Umno, tetapi dia sudah memberitahu hati-hati nanti mereka akan mengkhianati Anwar, kalimat ini diulangi lagi oleh Ustaz Fadzil apabila Anwar menang menjadi naib presiden Umno tahun 1987, nanti akan dikhianati.

Kemuncaknya awal 1998, sebelum Anwar dipecat pada 2 September 1998, Ustaz Fadzil sudah memberitahu Anwar pengkhianatan itu kini sudah bermula dan mulai nampak. Hati nurani Ustaz Fadzil yang mengganggap Anwar bagaikan adiknya, juga sama dengan Almarhum Dr M Natsir, Anwar masuk Umno tahun 1982 tidak puas hati, dengan jawapan Anwar beliau kirim Endang Saifuddin Anshari ke sini, mendengar hujah Anwar. Bahkan apabila Anwar dilantik menjadi menteri kewangan Pak Natsir mengirim surat "hati-hati ini amanah, tetapi juga perangkap dan tidak mustahil ini awal gerak mereka untuk menjatuhkan anakanda Anwar."

Menoleh ke belakang tahun 1978 Pak Natsir datang ke Malaysia, beliau menilai masa itu "PAS lesu darah" perlu disuntik darah baru dan segar, itulah sebabnya kemudian pimpinan dan aktivis ABIM beramai-ramai masuk PAS, walaupun ada antaranya ada yang sudah ahli PAS, sebutlah Ustaz Fadzil, Ustaz Hadi, Ustaz Abu Bakar Chik, Muhammad Sabu, Ustaz Azizan, Syed Ibrahim Abdul Rahman dan ramai lagi, kemudian diikuti oleh yang lebih muda seperti Husam Musa, Ustaz Muhammad Mustafa, apalagi setelah reformasi tahun 1998, yang sebahagiannya juga ada yang masuk ke dalam KeADILan, dan sudah tentu ramai juga yang masih berada dalam Umno.

Walaupun Anwar mengakui dia tidak menyesali masuk kerajaan, kerana banyak pengalaman yang didapat, dan tahu bagaimana buruk dan rosaknya sistem yang ada di dalam. Bagi Siddiq Fadzil peristiwa tahun 1982 ABIM terpaksa melalui jalan getir dan pahit, mendepani berbagai kritikan dan pukulan dari berbagai pihak, dan ABIM berusaha untuk terus tampil sebagai gerakan non-partisan, memang diakui jalan itu tidak mudah, dan setuju atau tidak setuju era Mahathir-Anwar, ABIM cuba membantu program yang positif untuk kemaslahatan umat, dan ini dilakukan dengan kesedaran dan keikhlasan.

Kata Siddiq Fadzil kita tidak meminta apa-apa apalagi ghanimah, sebab itulah "apabila kita tidak dapat apa-apa dan tidak diberi apa, kita tidak marah apalagi mengamuk. Masa itu kita cuba realistik tetapi tetap dengan prinsip." Seperti berlaku sekarang ini mereka yang mengamuk dan menikam Anwar Ibrahim, adalah mereka yang pernah ditolong dan dibantu secara wajar oleh Anwar. Bagi Anwar berdirinya ABIM adalah mengembalikan umat ke akarnya dan identiti jati diri sebagai orang Islam, memantapkan kembali komitmen kita menjadikan Islam sebagai addin dan ‘way of life’, dan salah satu program ABIM yang orang belum lakukan pada masa itu adalah membicarakan bagaimana konsep Islam dalam menangani masyarakat majmuk.

Apa yang terjadi hari ini, pukulan dan hentaman bertubi-tubi dari segala sudut dan aspek terhadap Anwar, siang dan malam dan tiada henti, entah bagaimana perasaan dan hati perut mereka yang melakukan ini sebagai Muslim, tidakkah ingat dengan dosa pahala syurga dan neraka, melakukan fitnah dan mengaibkan orang hampir 24 jam siang dan malam. Bagi ABIM dan keluarga besar ABIM, yang dicabuli bukan hanya maruah Anwar dan keluarganya, tetapi ini pencabulan terhadap maruah keluarga besar ABIM dan umat Islam. Soal ini bukan lagi hanya sekadar tugas para ahli politik tetapi, ini sudah menjadi tanggungjawab bersama para ulama dan pendakwah dalam konteks menegakkan amar makruf nahi munkar.

Empat puluh tahun ABIM sudah bertapak dengan pelbagai program dan amal usahanya,memiliki Taski, sekolah rendah dan menengah serta mempunyai kolej Darl Al Hikmah, mempunyai hospital, pusat dakwah untuk saudara baru, koperasi belia Islam. ABIM juga mempunyai hubungan antarabangsa yang hebat, peringkat antarabangsa dengan WAMY, IIFSO, hubungan baik dengan gerakan Islam di merata tempat, termasuk Mesir, Turki dan Pakistan. Untuk regional jelas ABIM mempunyai yang mesra dengan gerakan dakwah di Indonesia, bukan hanya dengan Dewan Dakwah Islamiyah, tetapi juga Muhammadiyah, NU, ICMI, Majlis Ulama Indonesia, apalagi setelah adanya PKPIM, ABIM yang kini dipimpin oleh Dr Muhammad Razak Idris, juga ada Wadah Pencerdasan Umat (Wadah) yang presidennya adalah Dr Siddiq Fadzil.

Kunci kekuatan sempena 40 tahun ABIM ini adalah tazkirah daripada veteran dan mantan presiden ABIM Prof Dr Razali Nawawi, "perbetulkan niat hanya kerana Allah dan kerana Allah!"

(Dipetik dari artikel oleh: Ahmad Muhajir, akhbar Harakah, Mei 2011)

Jumaat, Mei 06, 2011

SUMPAH DALAM PERUNDANGAN SYARIAH

Qazaf adalah satu daripada kesalahan jenayah Hudud yang dinyatakan secara qat’iy (pasti) dengan jelas oleh al-Qur’an dan Sunnah. Ia merupakan satu jenayah khusus yang melibatkan penghinaan yang amat serius ke atas seseorang yang baik akhlaknya dengan tuduhan zina atau seumpamanya dan tuduhan anak luar nikah. Justeru, pembuktian untuk mensabitkan kesalahan jenayah ini amat ketat prosedurnya. Jika berlaku sebarang keraguan terhadap bukti maka hukuman asal boleh digugurkan berdasarkan hadith, gugurkanlah hukuman hudud dengan adanya kesamaran bukti.

TAKRIF QAZAF

Imam Nawawi daripada Mazhab Shafi’i mentakrifkan Qazaf ialah tuduhan melakukan zina (ke atas seseorang) untuk menghinanya.1 Ibn Humam daripada Mazhab Hanafi mentakrifkan Qazaf ialah tuduhan melakukan zina (ke atas seseorang).2 Ibn Arafah daripada Mazhab Maliki pula mentakrifkan Qazaf ialah seseorang mukallaf menuduh orang merdeka, berakhlak baik, Muslim yang baligh atau kanak-kanak melakukan zina atau menafikan keturunannya yang sah.3 Ibn Quddamah daripada Mazhab Hambali pula mentakrifkan Qazaf ialah tuduhan melakukan zina (ke atas seseorang).

Memandang kepada takrif yang diberikan oleh ulama daripada pelbagai mazhab, Qazaf ialah tuduhan ke atas seseorang yang baik akhlaknya dengan berzina, atau menafikan keturunannya yang sah. Manakala zina pula mengikut Mazhab Shafi’i bermaksud memasukkan kemaluan lelaki kadar hasyafah atau seumpamanya ke dalam faraj perempuan untuk kepuasan yang haram baginya tanpa ada sebarang syubhah.

Mengikut Mazhab Hanafi pula, nama bagi persetubuhan haram dalam faraj perempuan yang hidup berlaku secara sukarela dalam negara Islam yang bebas daripada sebarang syubhah hamba miliknya atau perkahwinan. Manakala Mazhab Hambali pula mentakrifkan zina mengikut Ibn Quddamah ialah persetubuhan pada faraj perempuan yang haram baginya tanpa ada sebarang syubhah.

Mazhab Maliki pula mengikut takrif yang diberikan oleh al-Dasuqi ialah memasukkan kepala zakar atau kadarnya dalam kemaluan perempuan, sekalipun beralas, tetapi tidak menghalang kepuasan dan ketegangannya.

Berdasarkan takrif di atas bahawa penzinaan itu adalah persetubuhan haram yang dilakukan oleh seseorang dengan memasukkan kemaluannya sekadar hasyafah atau seumpamanya ke dalam faraj perempuan yang isterinya dan bukan juga hamba miliknya, serta tidak ada bukan sebarang syubhah pada perlakuan tersebut.

Tuduhan zina adalah tuduhan ke atas seseorang yang melakukan persetubuhan haram ke atas perempuan yang tidak ada hak baginya yang bertujuan untuk mengaib dan menghina pihak yang dituduh.

LIWAT SAMA DENGAN ZINA

Takrif liwat mengikut Mazhab Shafi’i ialah memasukkan zakar ke dalam dubur lelaki, perempuan atau khunsa dikenakan hukuman had(hudud).9Ibn Quddamah daripada Mazhab Hambali berpendapat bahawa persetubuhan di dubur sama dengan persetubuhan di faraj iaitu zina.Mazhab Maliki mengikut pendapat al-Dasuqi menyatakan bahawa seorang lelaki yang bersetubuh melalui dubur dengan perempuan asing baginya melakukan jenayah zina
mengikut syarak dan dikenakan hukuman had ke atasnya.

Mazhab Hanafi pula berpendapat bahawa persetubuhan pada dubur tidak diwajibkan hukuman had ke atas kedua-dua pelaku liwat dan penerimanya, lelaki atau perempuan, sekali pun hukumnya adalah haram. Ini disandarkan kepada hujah bahawa zina haram hukumnya kerana persetubuhan di faraj, tetapi bagi peliwat, yang berlaku bukan zina, ia adalah liwat.

Berdasarkan penjelasan di atas, majoriti fuqaha’ daripada empat mazhab berpendapat bahawa liwat adalah sama sahaja dengan zina, kerana perbuatan liwat berlakunya kemasukan kemaluan dan berlakunya kepuasan seperti zina, maka ia sama dengan hukum zina.

AUTORITI PENGHARAMAN QAZAF
Fuqaha’ yang membincangkan tentang kesalahan jenayah Qazaf berdasarkan autoriti al-Qur’an, hadith dan ijmak. Mazhab Shafi’e13 menjadikan ayat 4 surah an-Nur sebagai dalilnya. Maksud Firman Allah:

“Mereka yang menuduh perempuan-perempuan suci dengan tuduhan zina dan mereka itu tidak dapat buktikan dengan empat saksi lelaki maka hendaklah mereka disebat sebanyak 80 kali. Saksi mereka tidak diterima selama-lamanya dan mereka itu adalah orang-orang fasik."(an-Nur (24): 4)

Tuduhan zina yang palsu terhadap perempuan-perempuan yang suci dan baik akhlaknya, hendaklah mereka dikenakan hukuman sebat sebanyak 80 kali, kesaksian mereka tidak diterima selama-lamanya dan mereka menjadi Fasik. Hadith Abu Hurairah ada meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya:

“Jauhilah tujuh perkara yang besar dosanya.” Sahabat bertanya, “Apa dia ya Rasulullah?” Katanya, “syirik kepada Allah, sihir, membunuh orang yang diharamkan Allah kecuali dengan hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan perang dan menuduh perempuan yang baik dengan zina.”

Hadith di atas menjelaskan bahawa antara kesalahan besar di sisi Allah S.W.T. ialah Qazaf ke atas seseorang perempuan yang baik dan suci peribadinya. Ia meliputi lelaki dan perempuan. Mazhab Hambali juga berdasarkan ayat al-Qur’an dan hadith di atas sebagai dalil kesalahan Qazaf ini dan Mazhab Hanafi juga berdalilkan hadith di atas dan ayat surah an-Nur, ayat 32,18 Allah berfirman:

“Mereka yang menuduh Qazaf perempuan-perempuan baik dan suci yang beriman, mereka itu dilaknat di dunia dan di Akhirat dan bagi mereka azab yang besar.” (an-Nur (24): 23)

Ayat ini jelas menerangkan janji buruk ke atas mereka yang melakukan Qazaf ke atas orang wanita mukminah dan lelaki mukmin dengan menerima laknat Allah di dunia dan mendapat seksa di Akhirat.19

Tuduhan liwat ke atas seseorang mengikut Imam Malik, Imam Shafi’i dan Imam Ahmad sama dengan tuduhan zina (Qazaf) kerana mereka berpendapat bahawa liwat adalah zina dan peliwat adalah penzina sama ada ia sebagai pelaku atau penerima pelakuan itu, sama ada ia lelaki atau perempuan jika sabit penuduh berniat dalam
tuduhannya itu bermaksud yang dituduh melakukan perbuatan kaum Lut, maka penuduh wajib dikenakan hukuman had, manakala Abu Hanifah berpendapat bahawa tuduhan liwat termasuk dalam hukuman ta’zir kerana beliau berpendapat bahawa liwat bukannya zina justeru tuduhan liwat tidak dikira sebagai tuduhan zina.

AUTORITI KESALAHAN JENAYAH LIWAT DAN ZINA

Mazhab Shafi’i menyandarkan kesalahan liwat kepada al-Qur’an dan Sunnah. Dalam al-Qur’an Allah berfirman:

“Janganlah kamu menghampiri zina kerana zina itu adalah fahishah (perkara keji) dan sejahat-jahat jalan.” (al-Isra’ (17): 32)

Firman Allah lagi:


“Adakah kamu melakukan fahishah (perkara keji) yang tidak dilakukan oleh sesiapa pun sebelum kamu di dunia ini.” ( al-A’raf (7): 80)

Ayat pertama menjelaskan Allah melarang melakukan zina yang disifatkannya sebagai fahishah (suatu perbuatan keji) dan ayat kedua pula Allah menyifatkan perbuatan liwat sifatnya fahishah (suatu perbuatan keji). Oleh sebab kedua-duanya bersifat fahishah (keji) maka kedua-dua hukumnya sama. Mereka juga berasaskan kepada Sunnah yang bermaksud: “Apabila lelaki bersetubuh dengan lelaki, maka kedua-duanya melakukan zina,” dan hadith riwayat Abu Daud, Tarmizi dan Ibn Majah maksudnya: “Sesiapa yang mendapati antara kamu yang melakukan perbuatan kaum Lut maka bunuhlah yang melakukan dan yang kena lakukan.”

Hadith ini menjelaskan tentang kesalahan jenayah liwat yang boleh dikenakan hukuman mati dibunuh dengan pedang seperti orang murtad. Mazhab Hambali juga berpendapat liwat sama dengan zina berdasarkan nas-nas al-Qur’an di atas yang difahaminya bahawa kemasukan zakar dalam faraj sama dengan kemasukan zakar ke dalam dubur.

Pada awalnya, kaum Lut memulakan liwat dengan perempuan mereka, kemudian melakukannya pula ke atas orang lelaki. Qadi Abu Hasan daripada Mazhab Maliki berpendapat persetubuhan lelaki dengan perempuan ajnabi pada duburnya adalah hukum liwat sebagaimana hukum liwat antara lelaki dengan lelaki.

Dua murid Abu Hanifah, iaitu Abu Yusuf dan Muhammad berpendapat bahawa hukuman keseksaan jenayah liwat sama dengan zina. Dalil mereka ialah kesalahan zina adalah hukuman had mengikut ketetapan nas. Dari sudut nama, zina adalah fahishah (perbuatan keji), liwat juga fahishah mengikut nas “ata’tuna alfahishah.”


Dari sudut makna, zina mempunyai makna yang maknawi, yang tersirat dan mempunyai tujuan mengeluarkan mani dengan memasukkan zakar ke dalam faraj secara haram tanpa sebarang syubhah. Tujuan itu didapati wujud pada kedua-dua perbuatan itu, iaitu kemasukan di faraj atau di dubur, yang kedua-dua anggota itu dianggap kemaluan yang wajib ditutup pada syarak dan kedua-dua anggota itu diingini oleh nafsu, terutamanya
bagi orang yang tidak memahami hukum syarak. Keinginan nafsu itu ditinjau dari sudut kesuaman dan kelicinan salurannya. Kedua-duanya tidak ada beza antara faraj dengan dubur.

Hukuman had pada kesalahan liwat adalah ketetapan nas-nas yang terdapat hukuman pada jenayah zina, maka nas didapati juga pada liwat. Abu Hanifah mempunyai pendapat yang berbeza di mana beliau membataskan persetubuhan itu pada faraj sahaja, tidak pada dubur.

Maka peliwat tidak dikenakan hukuman had kerana zina itu ialah persetubuhan yang berlaku pada faraj, sedangkan apa yang berlaku pada peliwat itu bukannya zina, tetapi liwat. Sekiranya liwat itu sama dengan zina, tentunya para sahabat tidak berbeza pendapat tentang ini.

Dengan perbezaan pendapat itu menunjukkan bahawa liwat bukannya zina, kerana zina hukumannya mengikut ketetapan nas. Maka dengan itu, Abu Hanifah berpendapat bahawa tidak boleh menetapkan hukuman had zina terhadap perbuatan bukan zina, dan dengan itu hukum liwat tidak ada hukuman tetap pada nas, maka yang pastinya hukuman ta’zir dikenakan mengikut ketetapan imam.

Berdasarkan perbincangan di atas, pandangan majoriti fuqaha’ daripada pelbagai aliran mazhab kecuali Abu Hanifah yang berpendapat bahawa kesalahan jenayah liwat sama dengan jenayah zina. Oleh itu, hukumannya sama dengan hukuman zina termasuk prosedur pensabitannya.

PROSEDUR PENSABITAN JENAYAH QAZAF

Jenayah Hudud merupakan jenayah yang hukumannya amat berat, yang hukumannya adalah antara sebatan, mati dan buang kawasan. Justeru, ia memerlukan prosedur yang ketat berdasarkan nas Qat’iy dari sudut pensabitan, kesalahan dan hukumannya. Prosedur untuk pensabitannya seperti berikut:

Pengakuan (Iqrar)

Pengakuan ialah menyatakan sesuatu tindakan atau hak terhadap diri seseorang, seperti A membuat pengakuan di mahkamah di hadapan hakim, “Saya mengakui bahawa saya yang melakukan jenayah zina/liwat.” Jika pengakuan itu telah jelas difahami, mencukupi sekali pengakuan sahaja mengikut Mazhab Shafi’i dan empat kali pengakuan dalam kes zina mengikut Mazhab Hanafi.

Pengakuan penjenayah merupakan bukti yang paling kuat untuk disabitkan jenayah. Ia berbeza dengan dakwaan dan tuduhan seperti seorang berkata: “Saya disetubuhi oleh sipolan” atau “saya diliwat oleh sipolan.” Kenyataan ini berupa tuduhan dan dakwaan yang mesti dibuktikan dengan empat orang saksi, sebab ia bukan satu pengakuan tetapi, satu tuduhan terhadap orang lain yang melakukan jenayah tersebut ke atasnya yang memerlukan bukti tentang kebenaran dakwaannya itu.

Penyaksian (Bayyinah)

Penyaksian maksudnya ialah menyampaikan penyaksian untuk mensabitkan sesuatu hak atau kesalahan dalam majlis perbicaraan rasmi. Penyaksian merupakan satu daripada prosedur untuk mensabitkan jenayah Hudud.

Jenayah zina dan liwat boleh disabitkan dengan penyaksian yang bilangan saksinya mestilah empat orang lelaki yang layak (mukallaf), yang adil, menjelaskan dengan betul dan tepat perlakuan jenayah yang disaksikannya dan kenyataan mereka semua adalah seragam dan tidak
ada percanggahan antara satu dengan yang lain, sama ada dilakukan secara berasingan antara mereka mengikut mazhab Shafi’i atau mereka melakukan serentak mengikut mazhab Hanafi.

Berdasarkan keterangan dan pembuktian empat saksi lelaki itu, maka jenayah zina atau liwat dapat disabitkan ke atas penjenayah. Jika pendakwa atau penuduh tidak dapat membuktikan dakwaan zina atau liwat itu dengan empat saksi maka, dia boleh dituduh melakukan jenayah Qazaf disebabkan tidak cukup bukti ke atas yang dituduh untuk disabitkan.

Qarinah

Qarinah maksudnya sesuatu tanda atau perkara yang diyakini ada kaitan langsung dengan sesuatu tindakan jenayah yang berlaku, atau sesuatu yang dapat diambil kesimpulan daripadanya oleh hakim tentang berlakunya jenayah tersebut. Ia diambil kira sebagai satu saluran untuk mendapatkan kenyataan terhadap kesalahan jenayah ketika ketiadaan fakta-fakta atau bukti-bukti yang lain.

Qarinah dijadikan sebagai bukti jenayah jika tidak terdapat bukti-bukti lain yang lebih kuat. Ia dijadikan bukti dalam jenayah Hudud. Contohnya, perempuan yang tidak bersuami mengandung, maka bukti “mengandung” itu dianggap sebagai qarinah adanya persetubuhan haram. Begitu juga dengan bau arak di mulut sebagai qarinah untuk disabitkan kesalahan minum arak; dan carik atau luka pada faraj perempuan menjadi qarinah berlakunya persetubuhan.

Memandangkan jenayah zina dan liwat termasuk dalam kumpulan jenayah Hudud, maka ia terikat kepada nas qat’iy dari sudut kesalahan, pembuktian, dan hukuman keseksaannya. Oleh itu, tidak ada sebarang penambahan prosedur yang perlu dilakukan kerana pembuktian dalam jenayah Hudud adalah pembuktian yang tepat dan benar, dan tidak ada sebarang keraguan. Sekiranya ada sedikit keraguan, maka kes itu dan hukuman asalnya digugurkan. Adalah lebih baik membebaskan seseorang yang tidak jelas bukti kesalahannya daripada menghukum seseorang secara zalim.

APAKAH SUMPAH BOLEH DIJADIKAN ASAS PEMBUKTIAN DALAM JENAYAH ZINA DAN QAZAF?

Sumpah (al-yamin) sama pengertiannya dengan al-khalaf dan al-qasam. Pengertiannya mengikut penggunaan umum ialah penegasan terhadap sesuatu hak atau kenyataan sama ada pengakuan atau penafian dengan menggunakan nama Allah atau salah satu daripada sifat-sifatnya. Sumpah untuk penghakiman (al-Yamin al-Qadhaiyyah) ialah untuk mensabitkan pendakwaan bagi tujuan penegasan sabitnya hak atau penafian hak di hadapan hakim dengan menyebut nama Allah atau salah satu dari sifat-sifatnya.

Autoriti Sumpah

Sumpah diharuskan berdasarkan al-Qur’an dan al-Hadith. Allah S.W.T. berfirman:

“Allah tidak mengambil kira sumpah kamu yang siasia tetapi, Dia mengambil kira sumpah kamu yang benar-benar.”

Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya:

“Kalau manusia itu dibiarkan membuat dakwaan, nescaya manusia akan mendakwa hak darah dan hak harta sesuka hati, tetapi ditetapkan bahawa ke atas pendakwa membawa bukti dan yang didakwa ingkar hendaklah bersumpah.”

Hak sumpah adalah hak pihak yang didakwa, manakala yang mendakwa perlu mengemukakan bukti. Berdasarkan ayat dan hadith di atas menjelaskan bahawa sumpah adalah diharuskan dalam pertikaian hak. Ia menggunakan nama Allah atau salah satu daripada sifat-sifatnya. Jumhur fuqaha’ berpendapat bahawa sumpah penghakiman hendaklah orang yang bersumpah menyebut Wallahi, Wabillahi, atau Rabbul ‘alamin dan seumpamanya. Sumpah penghakiman hendaklah diberikan dengan perintah hakim atau wakilnya untuk menyelesaikan kes berdasarkan kehendak hakim, demikian pendapat jumhur fuqaha’.

Hak-hak Yang Tidak Dapat Disabitkan dengan Sumpah dan Yang Dapat Disabitkan dengan Sumpah

Fuqaha’ sepakat berpendapat bahawa tidak diharuskan bersumpah dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan pensabitan Hak Allah semata-mata sama ada ia kesalahan Hudud seperti zina, mencuri, minum minuman yang memabukkan atau yang berkaitan dengan ibadah semata-mata seperti solat, puasa, haji, sedekah, nazar dan kaffarah, melainkan jika ia ada melibatkan hak manusia, kerana hudud tertolak apabila ada kesamaran bukti.

Fuqaha’ juga sepakat berpendapat bahawa diharuskan sumpah dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan harta dan seumpamanya. Pihak yang didakwa diberi hak bersumpah untuk memperakukan dakwaannya atau menafikannya. Demikian juga, fuqaha’ sepakat berpendapat bahawa diharuskan bersumpah dalam perkara jenayah, melibatkan kesalahan qisas dan kecederaan termasuk juga sebahagian daripada perkara-perkara yang berkaitan dengan kekeluargaan.

Tuduhan zina antara suami isteri lebih kepada mencabuli keselamatan dan kesejahteraan rumah tangga yang lebih bersifat hak peribadi manusia daripada hak Allah kerana penglibatan tuduhan itu berlaku dalam keluarga tidak melibatkan masyarakat awam, tidak sebagaimana yang berlaku ke atas bukan keluarga.

Oleh itu bagi mensabitkan jenayah Qazaf yang berlaku antara suami isteri hendaklah pihak yang menuduh membuktikan tuduhan ke atas isterinya berzina, sekali pun didubur dengan bersumpah menyebut nama Allah, Wallahi, Wabillahi atau Watallahi sebanyak empat kali bahawa isterinya melakukan zina dan kali kelima hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah jika ia berdusta maka laknat Allah ke atas dirinya.

Bagi isterinya jika ia menyangkal dakwaan suaminya hendaklah ia bersumpah dengan menyebut nama Allah, Wallahi, Wabillahi, atau Watallahi, sebanyak empat kali bahawa dia tidak melakukan zina yang didakwanya, dan kali kelima ia bersumpah jika ia berdusta maka ia dilaknat oleh Allah S.W.T. Ini berdasarkan kepada Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang menuduh isteri mereka (berzina) tidak mempunyai saksi-saksi selain diri mereka sendiri, maka persaksian orang itu ialah empat kali bersumpah dengan nama Allah sesungguhnya dia adalah termasuk orang-orang yang benar (an-Nur: 6). Dan sumpah yang kelima bahawa laknat Allah ke atasnya jika ia termasuk orang-orang yang berdusta (an-Nur: 7).

Isterinya itu dihindarkan daripada hukuman oleh sumpahnya empat kali atas nama Allah bahawa sesungguhnya suaminya itu benar-benar termasuk orang-orang yang dusta (an-Nur: 8).

Dan sumpah yang kelima bahawa laknat Allah atasnya jika suaminya itu termasuk orang-orang yang benar (al-Nur: 9).

Dengan sumpah ini menjadikan mereka berdua terpisah dan gugur ke atas suami hukuman Qazaf dan gugur atas isteri hukuman had zina.

Memandangkan jenayah Qazaf ini sebagai suatu jenayah yang serius dan terdapat nas qat’iy tentang ketetapan kesalahan, prosedur pembuktian dan hukuman keseksaannya, kerana ia diketegorikan sebagai kesalahan awam, maka sumpah tidak termasuk dalam prosedur pembuktian jenayah Hudud, kecuali dalam kes yang melibatkan tuduhan zina antara suami dengan isteri yang tidak diketegorikan sebagai kesalahan awam.

Kerana ia lebih kepada kesalahan peribadi dan kekeluargaan, maka ia sebagai kes pengecualian maka pihak yang membuat dakwaan diminta bersumpah laknat dengan nama Allah demikian juga pihak yang engkar dakwaan itu diminta bersumpah laknat dengan nama Allah.

Berdasarkan pandangan jumhur fuqaha’ bahawa kesalahan jenayah Hudud tidak termasuk dalam perkara yang boleh menggunakan sumpah untuk mensabitkan atau menafikannya kecuali pada masalah li’an, tuduhan zina yang melibatkan suami isteri yang diperuntukkan khusus dalam al-Qur’an sebagai pengecualian daripada prosedur umum pensabitan zina dan Qazaf.


KESIMPULAN
Jenayah zina dan liwat adalah termasuk dalam jenayah Hudud yang tidak ada peruntukan sumpah sebagai prosedur untuk membuktikan atau mensabitkan kesalahan. Penyelesaiannya setelah dibawa ke mahkamah ialah mahkamah menentukannya dan prosedur pembuktiannya harus dirujuk kepada peruntukan nas tentang pembuktian tuduhan Qazaf, iaitu mesti ada empat orang saksi yang adil, memberi penyaksian terhadap perlakuan jenayah yang didakwa di hadapan hakim dalam mahkamah. Sekiranya empat orang saksi tidak boleh dikemukakan, maka tuduhan itu dianggap palsu dan penuduh dikenakan kesalahan Qazaf.

Prosedur yang ketat dan hukuman yang keras diperuntukkan bagi mengelakkan manusia daripada membuat tuduhan menghina orang dengan kata-kata yang amat keji yang boleh meruntuh kerukunan hidup rumah tangga seseorang dan kehormatan diri yang dituduh serta seluruh keluarganya. Jenayah Qazaf adalah satu jenayah serius yang melibatkan kehormatan diri individu, keluarga dan keturunannya. Justeru itu, Allah menetapkan nas secara qat’iy dari sudut ketetapan kesalahan prosedur pembuktian dan hukuman keseksaannya.

1 Ibn Humam, Fath al-Qadir, jilid 4, h. 190.
2 Sharbini, Mughni al-Muhtaj, jilid 4, h. 155.
3 Dasuqi, al-Sharh al-Kabir, jilid 4, h. 324.
4 Ibn Quddamah, al-Mughni, jilid 10, h. 201.
5 Sharbini, Mughni al-Muhtaj, jilid 4, h. 144.
6 Kasani, Badai’iy wa al-Sonai’, jilid 7, h. 33-34.
7 Ibn Quddamah, al-Mughni, jilid 10, h. 120.

Rabu, Mac 23, 2011

PENDEDAHAN VIDEO AKSI SEKS: ABIM GESA PATUHI TATACARA PENGADILAN SYARIAH

Merujuk kepada pendedahan salah laku seksual pemimpin politik negara oleh laman Malaysiakini bertajuk 'Rakaman aksi seks pemimpin utama pembangkang? ', Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ingin menyatakan bahawa sebarang pertuduhan ataupun dakwaan salah laku moral ke atas seseorang individu haruslah disalurkan menerusi prosedur perundangan yang sah. Jika kes berkenaan itu membabitkan seseorang Muslim, kedua pihak pendakwa serta pembela sepatutnya menyalurkan kes mereka untuk diadili serta dinilai menerusi prosedur perundangan syariah sepertimana yang telah ditetapkan oleh Al-Qur'an dan Sunnah.

Dalam hal ini, ABIM memandang berat sebarang pertuduhan serta dakwaan liar berupa fitnah yang dilakukan di luar lingkungan prosiding perundangan yang telah digariskan seperti membawa para saksi yang mencukupi di samping iqrar daripada individu yang dituduh. Tatacara perundangan syariah telah menetapkan prosidingnya yang tersendiri untuk memelihara bukan sahaja moral serta maruah individu yang dituduh, bahkan juga integriti pihak yang membuat tuduhan.

Kegagalan memenuhi prasyarat yang ditetapkan akan meletakkan pihak yang terlibat dalam hukuman jenayah Qazaf yang turut menafikan hak si tertuduh sebagai saksi di masa-masa akan datang. Hal ini selari dengan salah satu prinsip utama Maqasid Syariah iaitu untuk menjamin serta melindungi maruah dan serta kehormatan seseorang individu di samping memelihara keharmonian hubungan di antara manusia.

Dalam konteks perundangan negara yang unik, seseorang tidak sahaja berhak menuntut untuk dibicarakan serta membela dirinya menerusi lunas perundangan sivil yang sah. Bahkan sebagai seorang Muslim juga, beliau berhak untuk dibicarakan serta menafikan sebarang dakwaan yang dikemukakan ke atasnya dalam prosiding perbicaraan Mahkamah Syariah sepertimana yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, ABIM menggesa agar semua pihak menghormati segala ketetapan syariah yang telah digariskan oleh Syariah untuk kebaikan bersama. ABIM juga meminta sebarang perbincangan serta perbicaraan kes hanya dilakukan oleh autoriti-autoriti yang berkenaan menerusi perundangan yang telah ditetapkan di samping mengelak untuk membicarakannya secara meluas tanpa dilandasi sebarang etika.


MENEGAKKAN KEBENARAN DAN KEADILAN

DR. MUHAMAD RAZAK IDRIS
Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia

Jumaat, Mac 18, 2011

PENGEDARAN BIBLE BAHASA MELAYU: ABIM TUNTUT PENJELASAN SEGERA

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ingin mengulangi gesaannya sebelum ini agar YAB Perdana Menteri, Dato Seri Najib Tun Razak memberikan penjelasan segera berhubung kenyataan pihak-pihak yang mempertikaikan penahanan kitab Injil berbahasa Melayu yang mengandungi kalimah ‘Allah’oleh Kementerian Dalam Negeri.

Merujuk kepada laporan akhbar Sunday Star bertarikh 13 Mac 2011 (m/s N6) BERTAJUK ‘Ministry urged to release Bibles’¸ ABIM berpendirian bahawa penjelasan tersebut haruslah segera diberikan memandangkan dakwaan yang terkini oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr. George Chan yang dilihat bertentangan dengan pendirian rasmi kerajaan pusat berkaitan isu tersebut.

ABIM ingin memohon penjelasan samada kenyataan yang dibuat oleh beliau merupakan kenyataan peribadi beliau atau mewakili kerajaan negeri Sarawak, memandangkan laporan yang sama memetik bahawa perkara tersebut hanya akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet kerajaan negeri yang akan datang, sebelum dipertimbangkan untuk dibawa ke perhatian kerajaan pusat dan Perdana Menteri.

Pendirian sedemikian juga nampaknya disuarakan oleh beberapa pemimpin kanan parti komponen Barisan Nasional termasuklah Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek dan Presiden PPP Datuk M.Kayveas baru-baru ini. Kekeliruan yang timbul daripada kenyataan-kenyataan sebegini boleh menimbulkan pelbagai tanda tanya dan spekulasi terhadap status quo larangan penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam teks agama selain Islam.

Mengulangi kenyataan sebelum ini (sila klik), ABIM tetap berpandangan bahawa semua pihak wajib menghormati keputusan mahkamah yang melarang penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam teks agama lain- sehinggalah rayuan pihak Kementerian Dalam Negeri untuk kes tersebut didengar. Justeru ABIM memandang berat dan sebarang usaha oleh mana-mana pihak yang dilihat cuba memanupulasi isu sensitif ini bagi tujuan-tujuan politik.

Dalam konteks ini, ABIM ingin memohon penjelasan pihak kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri terhadap dakwaan yang menyatakan bahawa Sabah dan Sarawak ‘terkecuali’ daripada larangan mahkamah yang melarang penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam sebarang teks agama selain Islam. Sekiranya benar, ABIM menuntut justifikasi perundangan dan proses yang digunakapai dalam ‘meluluskan’ pengecualian tersebut. Andai dakwaan tersebut ternyata tidak benar, maka kerajaan pusat haruslah bertindak tegas menyatakan pendiriannya dan menguatkuasakan larangan pengunaan kalimah ‘Allah’ dalam teks agama selain Islam di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.

ABIM sekali lagi menyeru semua pihak bersikap tegas dalam menghormati keputusan mahkamah tersebut dan tidak tunduk kepada tekanan-tekanan politik yang dikenakan oleh mana-mana pihak. Langkah ini juga amat selari dengan doktrin pemisahan kuasa dan kedaulatan undang-undang yang dijunjung dalam Persekutuan Perlembagaan




Mohamad Raimi Ab.Rahim
Setiausaha Agung

Ahad, Januari 16, 2011

Perutusan Sempena Perlancaran Sambutan 40 Tahun ABIM



ABIM bukan nama asing di pentas dakwah negara ini. Tahun ini, ABIM akan menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-40. Menurut Prof John C Raines, seorang pengkaji Islam dari Amerika Syarikat dalam rencananya mengenai sejarah perjuangan ABIM, beliau membahagikan pertumbuhan ABIM sebagai pertubuhan dakwah kepada beberapa era utama. Era pertama ia mula ditubuhkan pada 1971, ABIM mendepani persekitaran masyarakat yang ‘rapuh’. Kerana pada sekitar tahun itu negara baru saja 12 tahun mencapai kemerdekaan.

ABIM muncul ketika usia negara terlalu muda serta tidak mempunyai sistem pemerintahan kukuh dalam segala aspek kehidupan. Banyak perkara diwarisi daripada sistem penjajahan terutama segi dasar dan sistemnya terus diguna pakai kepemimpinan awal negara. Keadaan ini menimbulkan rungutan dan kekecewaan masyarakat Melayu kerana sistem pemerintahan tidak berupaya memenuhi aspirasi kemerdekaan mereka khususnya dalam memajukan ekonomi mereka yang amat daif akibat dasar ‘pecah dan perintah’ yang diamalkan penjajah.

Keadaan ketidakseimbangan ekonomi antara kaum dicatat seorang penganalisis yang mana dari keseluruhan pemilikan ekuiti pada 1971, British memiliki 65 peratus, masyarakat Cina (27 peratus) manakala masyarakat Melayu hanya memiliki 2 peratus ekuiti. Realiti ini menggusarkan semua pihak dan mendorong penentangan masyarakat yang kecewa.

Dalam latar masyarakat yang sebeginilah ABIM sebagai sebuah pergerakan dakwah membentuk dirinya pada awal penubuhan. Kegiatan yang bersifat protes bagi menyuarakan isi hati dan menyampaikan realiti sebenar masyarakat umum yang ketinggalan pada arus pembangunan negara begitu sinonim dengan ABIM. Walaupun corak kegiatan dakwah ini dilihat terlalu lantang dan keras, namun ia dijayakan atas cita-cita perjuangan yang murni iaitu bagi memastikan semua pihak terutama masyarakat Melayu terbabit secara aktif dan tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara selepas kemerdekaan.

Selepas melalui era ini, dinamika pergerakan ABIM melalui fasa baru sekitar 1980–an dan 1990–an. Masyarakat dan melalui pengalaman baru pembangunan kesan dari beberapa dasar negara yang mula proaktif terhadap realiti sosio-ekonomi semasa. Selepas peristiwa 13 Mei 1969 di mana terjadi pertembungan kaum di negara ini, kerajaan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Tumpuan khusus dasar ini bagi membentuk keseimbangan ekonomi dan ia memberi manfaat kepada masyarakat Melayu.

Berdasarkan rekod, pemilikan ekuiti masyarakat Melayu meningkat daripada 2 peratus pada 1971 kepada 19 peratus pada 1994, walaupun dalam masa sama ekuiti masyarakat Cina meningkat daripada 27 peratus pada 1971 kepada 45 peratus pada 1994. Peningkatan keupayaan ekonomi Melayu memberi kesan kepada kehidupan masyarakat. Apa yang jelas pertambahan golongan kelas menengah dan elit. Sebahagian besar masyarakat memperoleh peluang pendidikan sama ada di dalam atau luar negara. Kesan lain ialah aspek kebudayaan. Masyarakat terdedah dengan kebudayaan global yang berkembang tanpa kawalan.

Pada era baru ini, ABIM bertukar corak. Dasar dan sikap pemerintah yang dinamik dalam memenuhi tuntutan dan keperluan masyarakat terutama dalam aspek ekonomi, pendidikan dan agama membuka ruang yang luas kepada usaha pengisiannya. ABIM menumpu usahanya sebagai rakan dalam pembangunan negara. Penyertaan ABIM dalam pelbagai bidang pembangunan masyarakat bagi memastikan perkembangan masyarakat dimanfaatkan dengan mewujudkan persekitaran yang mendorong penghayatan agama secara lebih menyeluruh.

Saya sering ditanya apakah agenda ABIM selepas ini? Pada saya, ABIM pada alaf baru harus mempersiapkan masyarakat terutama generasi muda mendepani era masyarakat terbuka. Realiti dunia bersifat global menuntut persediaan luar biasa terutama dari segi ketahanan ilmu dan budaya. Jika tidak, masyarakat kita berdepan krisis jatidiri yang parah. Kita tentu tidak menginginkan negara mencapai status maju namun asing di tanah air akibat jati diri yang larut dalam kebudayaan asing. Inilah agenda besar dakwah ABIM untuk beberapa dekad mendatang.

Rabu, November 17, 2010

ABIM SAMBUT BAIK PENUBUHAN MAJLIS PENASIHAT PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyambut baik penubuhan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan yang ditubuhkan Kementerian Pelajaran sebagaimana diumumkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam. ABIM berharap penubuhan majlis ini menjadi badan perundingan yang bermakna di dalam usaha mengukuhkan usaha pengukuhan dan pembaharuan sistem pendidikan di dalam negara kita kini yang sedang mendepani cabaran globalisasi yang rencam. Kita yakin pengwujudan forum penasihat terdiri dari kalangan para pakar pendidikan ini bakal mendorong pembangunan idea-idea baru ke arah pengukuhan agenda pendidikan dari pelbagai aspek meliputi arah tuju, kualiti kurikulum, sistem dan pembangunan pendidikan secara menyeluruh.

Apa yang lebih penting juga ialah kepentingan majlis ini memberikan nasihat kepada pihak pengurusan pendidikan negara langkah-langkah yang perlu diberi keutamaan dan tumpunan di dalam menrealisasikan cita-cita pendidikan bersepadu sebagaimana tercerna di dalam Falsafah Pendidikan Negara akan dapat dijayakan sepenuhnya. Sesungguhnya cabaran di dalam pembangunan dan pembaharuan sistem pendidikan negara kini amat besar. Oleh kerana itu, penglibatan semua pihak terutama dari kalangan tenaga pakar adalah langkah yang tepat supaya segala dasar berkaitan pendidikan dijalankan secara berperancangan dan berkesinambungan bersandarkan tuntutan masa kini dan keperluan masa depan. Langkah pengenalan sesuatu dasar pendidikan secara gelojoh tidak harus diamalkan lagi memandangkan ia memberi kesan yang buruk kepada pembinaan generasi. Menerusi usaha ini, ia diharap akan dapat membuang pandangan yang melihat bahawa para pelajar seolah satu bentuk bahan eksperimen atau ujian bagi sesuatu pendekatan pendidikan yang tidak menentu atau bersifat jangka pendek.

ABIM berharap majlis ini akan menjadi sebuah medan musyawarah yang segar dan subur. Namun demikian, usaha dan proses musyawarah dengan kalangan masyarakat terbanyak terutama perkumpulan masyarakat madani di negara ini tidak terhenti setelah penubuhan majlis penasihat ini. Masyarakat terbanyak dari kalangan perkumpulan masyarakat madani harus terus didekati bagi memastikan segala usaha pembaharuan pendidikan di sandarkan kepada satu pendangan yang bersifat menyeluruh terutama dari kalangan masyarakat akar umbi.


Sekian.
Demi Kebenaran dan Keadilan.

Yang benar,
DR. MUHAMAD RAZAK IDRIS
Presiden ABIM

Banjir Di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis: ABIM Rayu Bantuan Dari Masyarakat Prihatin

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah melancarkan misi kemanusiaan membantu penduduk-penduduk Kedah, Perlis, Kelantan serta Terengganu, yang terlibat dalam musibah banjir besar yang melanda negeri-negeri terbabit. Misi kemanusiaan ini akan digerakkan menerusi Skuad Prihatin, akan mengagihkan barang keperluan asas seperti air mineral, set kebersihan diri, selimut, tikar serta barang-barang keperluan asas serta penjagaan bayi.

Di samping itu, Skuad Prihatin juga dijangka akan mendirikan dapur umum di samping menghantar pasukan doktor untuk meringankan beban mereka yang dilanda musibah ini. Skuad Prihatin akan bergerak ke negeri-negeri berkenaan mulai hari ini (4/11/2010). Skuad prihatin ABIM Pusat adalah unit di bawah Jabatan Antarabangsa,kemanusiaan & alam sekitar dipengerusikan oleh Dr. Mohd Saifullah Al Hany Abdul Halim serta mempunyai pengalaman luas dalam mengendalikan misi-misi bantuan kemanusiaan.

Atas dasar keprihatinan terhadap mereka yang ditimpa musibah ini, ABIM ingin mengajak rakyat Malaysia untuk sama-sama membantu serta memberikan sumbangan. Untuk sumbangan serta sebarang makluman sila hubungi Sdra. Shakir Fahmi di talian 013-387 7722. atau Sdri Noraliza Effendy di talian 013-212 8466/03-4108 4500. Sumbangan boleh dibuat ke akaun BIMB : 14-023-01-002743-2 (ABIM).

Jumaat, Oktober 22, 2010

AURAT & HIJAB ANJURAN SYARIAT BUKAN UNTUK PESTA-PESTAAN



HELWA ABIM memandang serius dakwaan pakaian yang ditayangkan sempena Festival Fesyen Islam yang dinaungi oleh Isteri Perdana Menteri Malaysia yang lalu nyata tidak patuh syariah malah tersasar dari konsep aurat Islam yang sebenar. HELWA ABIM juga berpandangan bahawa isu penjagaan aurat dan hijab adalah isu yang vital sekiranya masyarakat mahu membicarakan tentang fesyen islam.

Namun demikian HELWA ABIM merasa sangat kecewa dan terkilan dengan interpretasi fesyen Islam yang secara keseluruhannya gagal dihayati dan difahami khususnya isu penjagaan aurat yang menjadi elemen terpenting dalam penghayatan Islam secara keseluruhannya. Malah apa yang dipotretkan kepada masyarakat sewaktu penganjuran Festival Fesyen Islam ini nyata jauh tersasar, menyesatkan dan mengelirukan masyarakat Islam sendiri malah ada unsur-unsur penghinaan terhadap Islam dengan jelas.

Menutup aurat dan hijab adalah lambang wanita Islam.Ia hadir dengan esensi yang murni dan signifikan untuk memelihara kehormatan, maruah dan melambangkan akhlaq seorang wanita Islam. Ia bukan pakaian bermusim untuk pesta-pestaan, ia bukan pakaian untuk melambangkan siapa yang lebih islamik, ia juga bukan interpretasi bahawa inilah

pakaian Islam yang sebenar mengikut pandangan peribadi sesiapapun.

Anjuran menutup aurat bukan anjuran pesta-pestaan atas nama Festival Fesyen Islam. Ia adalah anjuran ketegasan wahyu dan perintah yang tuntas demi menjaga kehormatan dan maruah seorang wanita Islam sebagaimana yang terkandung di dalam Surah al-Nur: 31:

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman, supaya menahan pandangan mereka (daripada memandang perkara-perkara yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya. Dan mereka perlu melabuhkan kain tudung mereka ke dadanya”

Selanjutnya Firman Allah SWT di dalam Surah al- Ahzab: 59 yang bermaksud:

“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman supaya mereka melabuhkan pakaian bagi menutup seluruh tubuhnya”.

Andai wanita Islam jelas tentang konsep dan anjuran syariat tentang kewajipan menutup aurat, tidak timbul soal fesyen Islam yang berterusan mahu dipesta-pestakan sedangkan ia jelas bertentangan dengan syariat dan sama sekali terpesong dari fahaman esensi kepentingan menutup aurat yang sebenar.


FADHLINA DATO’ SIDDIQ
Naib Presiden Hal Ehwal Wanita Islam (HELWA)
ABIM Kebangsaan

Isnin, Oktober 11, 2010

UPSR-PMR: ABIM Sambut Baik Keputusan Kementerian Pelajaran


Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyambut baik dan menyokong penuh langkah Kementerian Pelajaran memperkenalkan format baru terhadap peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebagaimana diumumkan Y.A.B Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran, semalam.

Pengenalan format baru peperiksaan ini dilihat satu langkah penting terhadap proses pembaharuan sistem pendidikan negara yang pada masa kini lebih berorientasikan peperiksaan. Menerusi format baru peperiksaan ini, penilaian pencapaian seseorang pelajar tidak lagi hanya tertumpu kepada aspek kecekapan di dalam menjawab soalan-soalan peperiksaan, tetapi penilaiannya akan lebih menyeluruh.

Ini kerana sebagaimana yang telah diumumkan, penilaian pencapaian pelajar menerusi format baru akan dibahagikan kepada dua aspek iaitu aspek peperiksaan di peringkat kebangsaan dan dalam masa yang sama ialah penilaian berasaskan sekolah.

Di dalam hubungan ini, ABIM berpandangan langkah pembaharuan ini tepat pada masanya sejajar dengan perkembangan dunia hari ini yang penuh dengan persaingan. Oleh yang demikian, usaha membangunkan generasi pelajar yang berkualiti bagi mendepani persaingan dunia hari ini menuntut suatu proses pendidikan yang bersifat sepadu atau holistik. Pembaharuan sistem peperiksaan adalah antara langkah-langkah yang amat strategik sekali bagi mencapai cita-cita ini.

Pembaharuan sistem peperiksaan ini juga amat penting bagi merealisasikan Falsafah Pendidikan Negara. Sebagaimana kita sedia ketahui, falsafah pendidikan negara kita amat menitikberatkan pembangunan insan yang sepadu dan menyeluruh mencakupi aspek akaliah, ruhaniah, emosi dan jasmani.

Oleh kerana itu, semua masyarakat harus memberi sokongan terhadap langkah pembaharuan ini kerana ia bakal memberikan kesan positif terhadap pembangunan pelajar pada masa depan. Apa yang lebih mustahak juga ialah pengenalan format baru ini akan mendorong kepada perubahan budaya pembelajaran di sekolah pada hari dari budaya yang terlalu menekankan peperiksaan kepada budaya yang menggalakkan proses kreativiti dan inovasi.

Kita yakin, sekiranya budaya kreatif dan inovatif dapat dipupuk secara berterusan dan menyeluruh, ia bakal melahirkan satu kualiti generasi Malaysia yang utuh dalam segenap aspek kehidupannya sebagai seorang insan seterusnya mempunyai nilai keyakinan yang tinggi bagi mendepani cabaran dunia sezaman yang penuh dengan persaingan.

MUHAMAD RAZAK IDRIS

Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Jumaat, Oktober 01, 2010

UPSR-PMR: Terapkan Pendidikan Holistik


(Salinan memorandum yang diserahkan kepada Y.A.B Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berhubung cadangan pemansuhan UPSR-PMR)

Terlepas dari soal setuju atau tidak,cetusan idea pemansuhan UPSR-PMR kami tanggapi sebagai isyarat positif bahawa pada tahap pembuat dasar telah ada kesediaan untuk melakukan rethinking, menilai dan memikirkan semula kerelevanan sistem pelajaran kita secara menyeluruh dan mendasar. Cadangan pemansuhan peperiksaan (UPSR-PMR) tentunya tidak hanya sekadar memansuh semata-mata untuk memansuh,tetapi dilatari kesedaran tentang wujudnya masalah, bukan hanya masalah-masalah yang berbangkit dari peperiksaan dan isu-isu yang terkait dengannya, tetapi masalah yang lebih fundamental dan mendasar.

Memang sistem pendidikan kita terkesan amat berorientasi peperiksaan, dan seterusnya (hampir) memutlakkan prestasi dalam peperiksaan sebagai satu-satunya ukuran kualiti dan penentu masa depan seseorang pelajar. Orientasi dan persepsi sedemikian jelas membawa pelbagai implikasi negatif terhadap misi dan esensi pendidikan sebagai proses pembinaan insan secara utuh, bersepadu dan seimbang. Justeru, antara implikasi yang sangat memprihatinkan termasuklah:

·Misi besar pendidikan telah direduksi menjadi sekadar suatu siri peperiksaan yang mendera dan menegangkan. Di situlah tercurah dan terperahnya seluruh kekuatan pendidikan sehingga mengabaikan dimensi-dimensi penting kependidikan lainnya. Dalam konteks realiti seperti itu memang ada kebenarannya apabila dikatakan bahawa sistem kita lebih banyak menguji daripada mendidik (more testing than educating).

·Akibat tumpuan semata-mata pada pencapaian prestasi dalam peperiksaan, maka lahirlah generasi yang berprestasi (akademik) cemerlang, tetapi gagal menjadi manusia berakhlak dan berwatak mulia.

·Demikian jadinya kepada mereka yang dianggap "berjaya", betapa pula nasib mereka yang menjadi "korban" peperiksaan? Tidak sedikit jumlah anak bangsa yang dihukum sabagai "gagal" dalam usia yang sedemikian muda. Keputusan peperiksaan dianggap keputusan nasib hidup mereka. Demikianlah, persekolahan kita telah melahirkan generasi yang mengalami kekosongan erti hidup, pesimis dan tidak percaya diri. Keleluasaan gejala penyakit sosial ketika ini mungkin salah satu jelmaannya.

·Dalam orientasi yang terlalu menumpu dan mementingkan prestasi dalam peperiksaan anak didik dibebani harapan yang seringkali tidak tertanggung, dan dipaksa bersaing meskipun tidak mampu. Akibatnya persekolahan kita telah mencipta generasi yang mengalami ketegangan (stress) dan sentiasa berasa terancam (rasa tidak selamat kerana sentiasa disaingi).

·Sistem yang menjadikan keputusan peperiksaan sebagai ukuran mutlak, sesungguhnya hanya menghargai hasil terakhir suatu proses pendidikan yang panjang. Yang berharga hanya jumlah A yang terkumpul pada peperiksaan akhir, sedang susah payah guru mengasuh dan mengasah dari hari ke hari seolah-olah tidak ada harganya.

·Menjadikan prestasi dalam peperiksaan sebagai penentu persaingan merebut peluang pekerjaan, selalu memacu persaingan mencapai prestasi tanpa memperhitungkan cara, etika dan aturannya. Akibatnya peperiksaan, di mana-mana, selalu diwarnai penipuan, manipulasi dan pelbagai kecurangan lainnya.

·Mereka yang kalah dalam persaingan, atau yang tidak mampu bersaing, tetapi terus-menerus dipaksa bersaing rata-rata merasakan persekolahan suatu penderaan. Mereka selalu merasa didiskriminasikan dan tidak dihargai. Mereka tidak senang ke sekolah, kerana sekolah memang tidak menyenangkan.

Hakikat tersebut tidak menafikan perlunya peperiksaan pada tahap-tahap tertentu sebagai salah satu cara penilaian dalam proses pendidikan. Yang dipermasalahkan adalah kadar pemberatannya sehingga menjadi terlalu berorientasi peperiksaan, dan terlalu dimutlakkan sebagai ukuran kemampuan, walhal peperiksaan mempunyai pelbagai keterbatasan di samping selalu mengandungi unsur kemujuran. Kerana itu kertas ini tidak bermaksud menolak peperiksaan, tetapi menyarankan peninjauan semula dan mengemukakan modifikasi-modifikasi seperlunya dengan semangat korektif-reformatif pembaikan sistem pendidikan secara menyeluruh, sesuai dengan keperluan kita sebagai insan, umat dan bangsa.

Tanpa ragu, kami menyimpulkan bahawa sistem pendidikan kita harus dibebaskan dari dominasi orientasi peperiksaan yang keterlaluan. Untuk itu kekerapannya harus dikurangi, di samping peranannya sebagai ukuran kejayaan proses pendidikan harus diimbangi dengan penilaian dimensi-dimensi kependidikan lainnya rohani, jasmani, intelek dan emosi. Perlu dicatat bahawa peperiksaan tidak dapat mengukur seluruh aspek yang terliput dalam proses pendidikan.

Secara pedagogis, peperiksaan mempunyai keterbatasaan yang sangat jelas. Ia hanya mencakup aspek kognitif, tidak mencakup aspek psikomotorik, dan tidak juga aspek afektif. Selain itu peperiksaan juga hanya dapat mengukur kompetensi pelajar dalam subjek-subjek tertentu yang diambil, dan ini jelas mereduksi kompetensi pelajar , mengabaikan kompentensinya dalam bidang-bidang lain yang tidak termasuk dalam subjek-subjek peperiksaan.

Untuk menjadikan peperiksaan sebagai kayu ukur yang dapat dipercaya, ia tidak harus bersifat sekadar bubble test yang dangkal dan tidak substantif. Bentuk dan pola soalan peperiksaan harus dianjak ke arah soalan yang bersifat high order thinking questions, soalan yang mencabar pemikiran, menguji kemampuan berfikir, dan merangsang pemikiran analitikal, kreatif dan kritis. Anjakan ini bererti bahawa soalan peperiksaan tidak lagi bersifat menguji hafalan dan ingatan semata-mata, di samping ia juga tidak dapat diteka-teka atau diramal-ramal berdasarkan soalan-soalan peperiksaan yang lalu. Untuk melakukan anjakan ini, corak pengajaran dan pembelajaran perlu diorientasikan semula sesuai dengan pola dan format soalan yang sedemikian.

Orientasi peperiksaan memang memerlukan modifikasi untuk menjadikannya lebih bererti, tetapi ia tetap tidak boleh dimutlakkan sebagai satu-satunya ukuran yang sah dan muktamad. Kerana itu modifikasi peperiksaan harus beriringan dengan sejumlah modifikasi lain yang melibatkan kandungan dan orientasi kurikulum keseluruhannya. Dalam kaitan ini pencapaian matlamat pendidikan sebagai humanizing process harus dinilai semula.

Untuk mempastikan tercapainya objektif pengutuhan manusia, subjek-subjek yang dapat memanusiakan manusia harus diberikan penekanan semula. Tanpa menafikan kepentingan sains dan matematik, obsesi yang berlebihan terhadap subjek-subjek tersebut ternyata telah mengakibatkan peminggiran dan peremehan terhadap bidang-bidang lain yang sarat dan padat dengan nilai-nilai murni kemanusiaan seperti pendidikan Islam, sejarah dan kesusasteraan. Penyelesaian kepada persoalan ini bukan dengan mengunggulkan yang satu dan memperlekeh yang lain, tetapi dengan pendekatan integratif penyepaduan disiplin-disiplin tersebut dan perapatan jurang antara sains dengan disiplin-disiplin yang dikategorikan sebagai subjek-subjek arts itu.

Sesuai dengan tuntutan zaman kini sebagai zaman kreasi dan inovasi, sistem pendidikan kita (termasuk orientasi peperiksaannya) harus memberikan penekanan pada usaha pengembangan daya kreatif-inovatif anak didik. Tanpa menafikan bidang sains juga dapat merangsang daya kreatif, tetapi dasar meremehkan bidang ilmu kemanusiaan yang sangat kaya dengan unsur kreativiti adalah suatu kesilapan fatal.

Dalam kaitan ini perlu dicatat bahawa kreativiti adalah faktor penting daya maju bangsa, khususnya dalam bidang ekonomi. Kerana itu negara-negara maju umumnya sangat prihatin terhadap gejala kemorosotan daya kreativiti anak bangsa. Dan apabila gejala ini timbul, yang pertama dilihat adalah sistem persekolahannya. Apakah sekolah mampu menjadi lahan yang subur bagi kegiatan-kegiatan kreatif-inovatif?

Di samping banyak mencipta kejayaan di pelbagai bidang, harus pula diakui bahawa sistem persekolahan kita dari satu sisi dapat dinilai kurang berhasil membina generasi yang kuat dan berdikari. Yang terhasil rata-rata adalah generasi yang lemah, generasi yang meminta-minta, generasi yang mengharap belas kasihan agar diberikan pekerjaan. Pendidikan yang komited terhadap misi pemberdayaan (empowerment) seharusnya mampu melahirkan generasi yang berkompetensi tinggi. Untuk itu kita memerlukan sistem persekolahan yang berorientasi pengupayaan pelajar mencipta pekerjaan, bukan menunggu peluang pekerjaan.

Tidak semua subjek dapat dinilai prestasinya melalui peperiksaan formal oleh sebuah lembaga rasmi. Harus diakui hakikat bahawa tidak siapa pun yang tahu tentang kemampuan seorang pelajar lebih daripada gurunya yang saban hari mendampinginya. Kerana itu ruang penilaian guru (sekolah) perlu diperluas dan diberikan pengiktirafan yang sewajarnya. Dalam kaitan inilah relevannya sistem Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) dipertimbangkan. Amalan pengijazahan oleh guru dalam sistem pengajian (Islam) tradisional sebenarnya sangat beralasan.

Bagaimanapun untuk melaksanakan kaedah penilaian ini diperlukan tingkat kejujuran dan integriti moral yang cukup tinggi. Untuk itu diperlukan pula suatu program intensif latihan pembinaan integriti keguruan. Dengan demikian segala penilaian dan pentaksiran akan dapat dilaksanakan berlandaskan nilai amanah dan ketaqwaan yang setinggi-tingginya.

Untuk membina generasi yang religious, berwatak dan berakhlak mulia, pendidikan Islam memainkan peranan yang sangat menentukan. Kerana itu ia harus ditempatkan sebagai subjek istimewa, bukan sekadar subjek pengetahuan, tetapi sebagai disiplin penghayatan. Sesuai dengan posisi dan fungsinya yang sedemikian, ia memerlukan cara penilaian tersendiri. Tidak cukup dinilai dari segi kefahamannya, tetapi juga dari segi internalisasi dan penghayatannya.

Selama ini sistem peperiksaan kita telah melahirkan golongan yang dianggap berprestasi akademik. Bagaimanapun yang lebih penting dan lebih bererti daripada prestasi ialah semangat cintakan ilmu. Tetapi isu inilah pula yang masih menjadi tanda tanya besar. Untuk menepati makna pendidikan sebagai proses sosialisasi dan internalisasi nilai, sistem pendidikan kita harus lebih memberikan penekanan pada usaha pemartabatan nilai ilmu, pembinaan sikap menyintai ilmu, dan membangkitkan semangat ingin tahu (intellectual curiousity).

Pemansuhan jenis-jenis peperiksaan tertentu dalam sistem pendidikan kita memang ada justifikasinya. Bagaimanapun ada kemungkinan langkah tersebut disalaherti dan disalahgunakan untuk mengurangi komitmen sekolah terhadap tanggungjawab pencapaian prestasi akademik. Pemansuhan dalam konteks ini bukan tanpa alternatif.

Sistem pentaksiran alternatif PBS itulah yang harus dilaksanakan sejaya-jayanya, tanpa mengurangi komitmen terhadap kecemerlangan akademik. Semangat tersirat di sebalik langkah tersebut ialah untuk kembali ke falsafah pendidikan bersepadu dan seimbang dengan matlamat membina insan seutuhnya sebagaimana yang diungkapkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Keunggulan sistem pendidikan tidak hanya pada tahap dasar dan falsafahnya, tetapi juga harus cukup berkesan dari segi operasi dan pelaksanaannya di semua peringkat. Dalam kaitan ini peranan sekolah sebagai "hujung tombak" sistem pendidikan negara dalam erti sebagai institusi akar rumput yang sentuhannya sampai dan langsung kepada sasaran terakhir (anak didik) harus mencapai tahap kompetensi yang memungkinkannya melaksanakan misi kependidikan holistik, menyeluruh, seimbang dan sekaligus bersepadu.

Pendirian Terhadap Cadangan Pemansuhan UPSR-PMR
Mengambil kira perkara-perkara di atas, kami berpendapat bahawa UPSR perlu diteruskan, sementara PMR boleh dimansuhkan dengan catatan-catatan berikut:

·Pengekalan UPSR atas rasional kepentingan fungsinya sebagai penilaian penamat bagi persekolahan peringkat rendah.

· Peperiksaan UPSR tidak seharusnya digunakan sebagai sorting machine untuk pemilihan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Menggunakan peperiksaan sebagai asas pemilihan akan menjadikannya tumpuan seluruh kekuatan kependidikan sehingga mengabaikan dimensi-dimensi pendidikan lainnya. Untuk tujuan pemilihan ke SBP harus diwujudkan mekanisme alternatif dengan mengambil kira penilaian-penilain selain prestasi akademik.

·UPSR harus berorientasi penilaian diagnostic dalam erti mengenalpasti titik-titik kelemahan untuk seterusnya dicari jalan mengatasinya.

·Murid-murid yang gagal menguasai 3M/LINUS harus "ditahan" di tahap satu selama setahun untuk tujuan korektif dan pemulihan.

·Pemansuhan PMR pula didasarkan pada rasional bahawa penilaian persekolahan pada tahap menengah sudah memadai dengan peperiksaan SPM.

·Dengan pemansuhan PMR harus diwujudkan pula mekanisme alternatif untuk tujuan penjurusan dengan penekanan pada potensi dan keupayaan (aptitude test).

·Pemansuhan PMR memerlukan cara penilaian alternatif yang dalam hal ini Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) dirasakan paling sesuai. Untuk memastikan keberkesanannya PBS perlu dilaksanakan dengan prosedur yang kemas berpandukan set aturan yang terperinci dan baku. Oleh kerana PBS akan banyak melibatkan peranan guru, maka perlu dipastikan mereka (guru-guru) mencapai tahap profesionalisme dan integriti yang setinggi-tingginya. Dengan demikian penilaian mereka akan diterima umum sebagai penilaian yang berkredibiliti, berautoriti dan tidak dipertikai.

Cadangan
Menyedari hakikat masalah-masalah fundamental yang tersirat di sebalik persoalan UPSR-PMR, kami ingin mengemukakan cadangan-cadangan umum seperti berikut:

·Untuk mempastikan pendidikan tidak akan kehilangan esensi hakikinya sebagai proses pengutuhan manusia dan proses sosialisasi nilai Falsafah Pendidikan Kebangsaan perlu difungsikan sepenuhnya sebagai landasan penggubalan kurikulum, proses pengajaran dan pembelajaran, dan seluruh kegiatan persekolahan. Falsafah Pendidikan Kebangsaan perlu dimartabatkan semula dan dihayati secara yang lebih bererti dalam penggubalan kurikulum dan proses pengajaran dengan menekankan dimensi-dimensi penerapan nilai-nilai murni, pengembangan potensi, kesepaduan, keseimbangan dan keharmonian.

·Untuk mengembalikan pendidikan kepada esensi, fungsi dan misi hakikinya, istilah pendidikan harus digunakan semula menggantikan istilah pelajaran yang dipakai sekarang. Sesungguhnya istilah pendidikan jelas lebih kental, lebih padat, dan lebih tepat dari segi erti, isi dan substancenya.

·Pendidikan sebagai proses pembinaan generasi memang memerlukan masa yang panjang, tidak boleh diringkas-ringkas atau disingkat-singkatkan. Kenyataannya hari ini "tidak cukup masa" selalu dijadikan alasan untuk menjelaskan pelbagai kelemahan dan ketidakberkesanan dalam pengajaran dan aspek-aspek pendidikan lainnya. Besar kemungkinan alasan tersebut benar.

Untuk mengatasinya kami sarankan agar kementerian mempertimbangkan semula idea persekolahan satu sesi yang pada suatu ketika dahulu pernah dibincangkan. Persekolahan satu sesi akan membolehkan penambahan masa untuk pengajaran dan pembelajaran, proses pengukuhan dan interaksi guru-murid.

·Untuk meningkatkan keberkesanan pendidikan keseluruhannya, telah sampai masanya kementerian mempertimbangkan secara serius pelaksanaan sistem semester dan seterusnya pemakaian sistem penilaian CGPA dalam sistem persekolahan negara.

·Untuk menambah keberkesanan juga langkah segera perlu diambil untuk memperbaiki kadar nisbah guru-murid. Jumlah murid yang terlalu ramai di bawah seorang guru seperti yang berlaku ketika ini mengakibatkan kegagalan memberikan perhatian yang secukupnya kepada murid-murid, dan seterusnya ini membawa pelbagai masalah yang sukar diatasi.

·Tujuan pemansuhan peperiksaan tertentu untuk mengurangi orientasi peperiksaan tidak akan tercapai sepenuhnya jika sistem pengkelasan (grading) sekolah-sekolah yang diamalkan ketika ini tidak dirubah. Pengkelasan sekolah berasaskan prestasi akademik/SKPM akan menjadikan orientasi peperiksaan terus menguat.

·Antara yang sangat memprihatinkan ketika ini ialah tahap penguasaan tulisan jawi dalam sistem persekolahan kita. Kelemahan penguasaan tulisan jawi akan mengakibatkan pendangkalan agama, di samping kehilangan khazanah persuratan warisan, ilmu dan wisdom kepujanggaan bangsa yang bertulisan jawi.

Kerana itu kami menyarankan agar di samping meneruskan pengajaran jawi dalam subjek bahasa Melayu, tulisan jawi juga hendaklah digunakan seluas mungkin dalam pengajaran dan pembelajaran subjek pendidikan Islam. Pengajaran agama Islam menerusi tulisan rumi dikhuatiri akan mengakibatkan pendangkalan dan penyimpangan. Yang jelas ia adalah suatu keganjilan yang sangat menyolok.

·Agama seharusnya dilihat sebagai sumber kekuatan dan faktor kunci survival umat. oleh itu pendidikan keagamaan harus menekankan keberkesanannya dari segi pemberdayaan dan impak transformatifnya terhadap murid. Sesuai dengan tuntutan zaman the age of wisdom pendidikan Islam harus mengakar pada falsafah dan prinsip pendidikan berhikmah sebagaimana yang terumus dalam pesan-pesan kependidikan Luqman al-Hakim.

·Untuk penambahbaikan sistem pendidkan arus perdana mungkin ada kebijaksanaannya pihak kementerian melihat pelbagai eksperimen pendidikan alternatif yang dilaksanakan oleh badan-badan NGO, termasuk sistem persekolahan ABIM yang berasaskan agama, menggunakan pendekatan bersepadu dan mengamalkan sistem persekolahan satu sesi. Berdasarkan sambutan hangat masyarakat mungkin ada kekuatan-kekuatan tertentu pada persekolahan alternatif tersebut yang dapat dipelajari dan dimanfaatkan.

oleh :
Dato' Dr Siddiq Fadzil (Presiden, Wadah Pencerdasan Umat Malaysia)
Muhamad Razak Idris (Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia)
Muhamad Faisal Abdul Aziz (Presiden, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia)

Selasa, Ogos 24, 2010

MUJAHADAH RAMADHAN: PENJANAAN DAYA JUANG


Ramadhan dengan segala amal penghayatannya memberikan sejenis pengalaman rohaniah yang unik dan istimewa. Kita semacam dalam keasyikan menjalani pelbagai amal yang disebut ihya' Ramadhan, sehingga peralihan waktu dari hari ke hari terasa begitu cepat. Andainya Ramadhan itu suatu deraan, tentu perjalanan waktunya terasa lambat dan panjang. Mungkin itulah yang namanya kelazatan ibadah atau ladhdhatu 'l-`ibadah. Mudah-mudahan kita dapat menikmati tahap kelazatan yang setinggi-tingginya.

Selain itu, kita juga dapat merasakan bangkitnya motivasi dari pedalaman hati nurani untuk melakukan self-improvement, meningkatkan kualiti diri menerusi penghayatan nilai-nilai unggul yang terumus dalam istilah inklusif taqwa. Memang sudah selayaknya bulan ini disebut madrasatu Ramadan, persekolahan Ramadhan yang intensif, padat dan terfokus pada komponen-komponen utama pendidikan nabawi: tilawah, tazkiyah dan ta`lim (3T).

لقد منّ الله على المؤمنين إذ بعث فيهم رسولا من أنفسهم يتلو عليهم آياته ويزكيهم ويعلّمهم الكتاب

والحكمة وإن كانوا من قبل لفى ضلال مبين. - آل عمران:164

Hari-hari Ramadhan sedapat mungkin kita padati dengan amal yang meliputi tiga tonggak misi tarbawi tersebut: tilawah yang kita hayati dengan amal tadarrus,membaca ayat-ayat kitab suci Ilahi secara yang lebih serius dan intensif; tazkiyah yang kita hayati

dengan amal pemurnian dan penyihatan hati serta peningkatan kewaspadaan batin demi menghindari hal-hal yang mencemarkan kejernihan hati yang sedang berpuasa; sementara ta`lim pula kita hayati dengan pelbagai kegiatan keilmuan -- ceramah, taklim, tazkirah dan yang sejenisnya.

3T adalah gabungan padu kekuatan transformatif (quwwah taghyiriyyah), pencetus perubahan mendasar yang ditandai perbezaan nyata antara sebelum dengan sesudahnya. Kata min qabl… (meskipun sebelumnya…) dalam ayat tersebut adalah kata yang kental dengan makna transformasi, radical departure, perubahan radikal kaum mukminin generasi nabawi - dari gelita kesesatan kepada benderang cahaya kebenaran. Memang al-Rasul s.`a.w. adalah model terunggul pemimpin transformatif yang melahirkan umat baru, umat yang memiliki segala ingredients untuk memimpin dan menyelamatkan dunia.

Umat baru tersebut adalah generasi pejuang yang setia bersama Nabi s.`a.w., responsif terhadap perintah Allah dan Rasul-Nya dalam keadaan bagaimana sekalipun, termasuk ketika menempuh kegawatan sa`at al-`usrah melawan gempuran musuh. Demikianlah kualiti para lulusan madrasatu Muhammad, persekolahan nabawi Pembina tough generation, generasi yang tangguh dan perkasa. Mereka bukan generasi yang dimanjakan dalam keadaan serba selesa, tetapi generasi yang dididik dengan mujahadah, hempas pulas perjuangan melawan hawa-nafsu. Falsafahnya mudah: jika mampu mengalahkan nafsu, akan mampu mengalahkan yang lain-lain; sebaliknya jika gagal melawan nafsu, takkan berdaya menghadapi selainnya.

Mereka tidak hanya berjihad dalam erti tampil di medan tempur, lalu pulang setelah musuh dapat dikalahkan. Memang jihad juga memerlukan pembinaan watak pejuang dan fighting spirit yang tinggi. Tetapi mujahadah adalah perjuangan dalaman yang berterusan, dilaksanakan sepanjang masa, diulang-ulangi tanpa henti. Demikianlah makna mujahadah, kata yang terbentuk mengikut wazan mufa`alah. Memang kata tersebut mengandungi makna perulangan -- al-tikrar marratan ba`da ukhra. Justeru, musuh di medan tempur tidak akan bangkit setelah terpenggal kepalanya, tetapi lain halnya dengan musuh yang bernama hawa nafsu, sekali tumbang tidak bererti segalanya sudah berakhir. Biar berapa kali tumbang, ia tetap bangkit kembali.

Ternyata mujahadah adalah antara muatan madrasatu Ramadan yang paling kental. Bukankah sepanjang bulan ini urusan besar kita adalah melawan? Melawan nafsu, dan melawan kebiasaan. Kerana perlawanan itulah segalanya jadi berubah -- ibadat, makan, tidur, kerja harian, watak dan perilaku, segalanya berubah sesuai dengan semangat Ramadhan. Dan ternyata kita sebenarnya mampu berubah, tetapi bukan berubah sekadar untuk berubah. Berubah dalam konteks mujahadah adalah untuk menjadi al-mu'min al-qawiy (mukmin yang kuat), tough generation yang daya juangnya tak terkalahkan.

Mujahadah adalah salah satu teras pendidikan nabawi yang terbukti telah melahirkan generasi tangguh yang sanggup melawan ribut, berani menentang badai. Mereka adalah generasi yang telah menyebatikan mujahadah menjadi cara hidup hingga mendarah-daging, bergerak bersama denyut nadi, bergetar bersama degup jantung. Pendidikan mujahadah telah melahirkan pahlawan segagah `Ali (k.w.), pemuda berusia 20 tahun yang menyanggupi tugas mempertaruhkan nyawa menempati kamar bahaya (tempat tidur al-Rasul s.`a.w.) dalam peristiwa Hijrah.

Bukan beliau tidak tahu risiko menempati kamar yang menjadi sasaran mata liar kumpulan teroris Quraysh, tetapi tetap disanggupinya dengan rela kerana pendidikan mujahadah telah melumpuhkan nafsu mementingkan diri dan keinginan bersenang-senang. Orang yang dikuasai nafsu takkan sanggup mengambil risiko seberat itu. Nafsulah yang sebenarnya menyebabkan seseorang menjadi pengecut. `Ali (k.w.) tidak takut kerana beliau adalah pahlawan yang terbina dalam pendidikan mujahadah. Pada suatu ketika beliau ditanya bagaimana perasaannya pada malam bahaya tersebut, katanya, "Itulah malam paling damai pernah kurasakan sepanjang hayatku".

Pendidikan mujahadah juga telah menampilkan wanita pejuang sehebat Asma' bint Abi Bakr (r.`a.). Dalam peristiwa Hijrah beliau diberi tugas menghantar bekalan makanan ke Gua Thawr, tempat persembunyian al-Rasul (s.`a.w.) dan pendamping setianya Abu Bakr al-Siddiq (r.`a.). Tugas ini juga tidak kurang berat dan bahayanya, mengingat bahawa selama tempoh persembunyian tersebut pihak Quraysh menjalankan operasi besar-besaran memburu Junjungan (s.`a.w.).

Untuk melaksanakan tugas tersebut Asma', wanita muda berusia 23 tahun yang sedang sarat mengandung (7 bulan) itu harus berjalan kaki setiap hari sejauh sekitar 5 kilometer, terdedah kepada risiko tertangkap di tengah maraknya operasi jahat Quraysh. Dari mana datangnya kekuatan dan keberanian luar biasa wanita muda tersebut melaksanakan tugas berat dan berbahaya seperti itu? Dari mana lagi kalau bukan dari pendidikan mujahadah, melawan nafsu mementingkan diri, mengenyah keinginan hidup bersenang-senang. Justeru, pendidikan mujahadah telah menjadikan Asma' bint Abi Bakr (r.`a.) seorang tough lady dengan keluarbiasaan yang mencengangkan orang sepanjang sejarah.

Sesungguhnya pendidikan mujahadah telah menciptakan umat dan tamadun yang religious, bersih dan berintegriti moral yang tinggi. Demikianlah hakikatnya sebagaimana yang kita saksikan pada catatan sejarah umat generasi seratus tahun pertama (dari bi`thah hingga ke pertengahan era Umawi). Sepanjang tempoh tersebut hukum hudud zina hanya dilaksanakan sebanyak enam kali, walhal pada tahun-tahun menjelang pengutusan al-Rasul s.`a.w. kota Makkah merupakan sarang budaya maksiat.

Di sana-sini berkibar bendera merah, yang menandakan bahawa di situ tersedia pelayanan seksual bagi yang menginginkannya. Sementara itu hukum hudud ke atas pencuri hanya dilaksanakan sebanyak empat kali sepanjang tempoh seratus tahun tersebut, walhal jenayah rompak-samun memang berleluasa dalam masyarakat Arab pra-Islam. Masyarakat yang mengamalkan cara hidup mujahadah adalah masyarakat yang beradab, damai dan santun.

Diriwayatkan bahawa setelah dua tahun menduduki jawatan Hakim, `Umar ibn al-Khattab menemui Khalifah Abu Bakr (r.`a.) memohon untuk mengundurkan diri kerana sepanjang tempoh tersebut tidak siapa pun datang mengadukan sebarang pertikaian. Sempena Ramadhan bulan intensifikasi mujahadah wajar kita merenung isu ini secara serius, bagaimana mengembalikan mujahadah ke ranah pendidikan umat, dan mengembalikan mujahadah sebagai bahagian integral cara hidup kaum Muslimin. Sikap serius dalam isu ini akan membuka pelbagai jalan penyelesaian:

Oleh: Dato' Dr Siddiq Fadzil

Selasa, Ogos 17, 2010

ABIM Kelantan ke Ijtimak Harakiy



Pada tahun ini julung-julung kalinya Wadah Pencerdasan Umat (WADAH), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) disatukan dalam satu himpunan yang dinamakan Ijtimak Harakiy pada 6,7 dan 8 Ogos 2010 dan perasmiannya di German-Malaysian Institute (GMI) Bangi-Kajang, Selangor.

Deligasi daripada Kelantan ke perhimpunan ini iaitu YDP, Ust. Faisal, Timbalannya En. Khairul Anuar, Setiausaha Negeri Saudara Hafeez, Penolongnya Saudara Faizul Afzan, Setiausaha Kewangan, Ust. Fadhlul Rahman dan beberapa orang exco iaitu saudara Alami, Sir Syafiq dan Ust. Amin.

Manakala Saudara Syahiran yang juga merupakan exco negeri akan ke Muktamar PKPIM sebagai perwakilan Persatuan Pembimbing Pelajar Islam Kelantan (PPIK) bersama-sama pimpinan yang lain iaitu YDP Saudara Abdullah Nawi, Setiausaha Agung Saudara Faizal dan exco Saudari Azura yang masing-masing menuntut di IPT di Pahang dan Selangor.

Turut bersama-sama deligasi ABIM kelantan ialah pimpinan WADAH Kelantan yang diketuai sendiri Pengerusi negerinya iaitu Ust. Wan Hassan, Timbalannya Ust Ghazali, En. Zahidin dan beberapa exconya yang lain.


Pada hari pertama disebelah malam diadakan Majlis Makan Malam Jemaah bertempat di resort Kelab Golf Bangi yang dihadiri oleh YB. Dato' Sri Anwar Ibrahim, mantan Presiden PKPIM dan presiden ABIM yang juga merupakan ahli Perlimen Permatang Pauh. Selain itu Dato' A.Samad Said juga turut dijemput dan beliau telah menyampaikan sajaknya pada malam ini.


Pada keesokkan harinya, majlis perasmian Ijtimak Harakiy dimulakan dengan alunan nasyid asma'ul husna kemudian bacaan Al-Quran dari pemenang Akademi Al-Quran dan disusuli dengan ucapan dasar daripada 3 pemimpin generasi iaitu Al-Fadhil Dato' Dr. Siddiq Fadzil, Presiden WADAH, Ust. Mohamad Razak Idris, Presiden ABIM dan Saudara Mohd Faisal Abdul Aziz, Presiden PKPIM.

Manakala disebelah petangnya di adakan Seminar Maqasid Syariah : Mengagaskan Model Ekonomi Berkeadilan juga bertempat di GMI yang dibentangkan oleh beberapa ahli akademik iaitu Dr. Abdul Halim El-Muhammady(WADAH), Prof. Madya Dr. Mohamad Akram Laldin(ISRA), Prof. Madya Dr. Saadiah Mohamad (UiTM), Prof. Dr. Mohd Nazari Ismail (UM) dan Prof. Dr. Abdul Ghafar Ismail (UKM).

Muktamar 3 generasi bermula disebelah petangnya bertempat di Kolej Dar Hikmah (KDH) bagi WADAH dan ABIM manakala PKPIM betempat di GMI sebelum ke PKNS pada keesokkan harinya.

Sesi penangguhan Ijtimak Harakiy pada kali 1 ini berkahir di Kolej Dar Hikmah dimana setiap Pengerusi Muktamar akan memberi ucapan penangguhan selain ucapan-ucapan daripada 3 timbalan presiden.

Pihak ABIM Kelantan, mewakili WADAH dan PPIK mengucapkan tahniah kepada barisan baru pimpian WADAH, ABIM dan PKPIM pusat dan tahiah diatas kejayaan menganjurkan Himpunan 3 Generasi ini da semoga ia akan diadakan lagi dilain masa. Insya'Allah


Majlis Makan Malam:








Seminar Maqasid Syariah :






Muktamar ABIM






Presiden ABIM gesa Tingkatkan Kualiti Pertahan Ketahanan Dakwah


Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhamad Razak Idris menyeru para penggerak ABIM untuk sama-sama meningkatkan kualiti aktivisme mereka demi membina ketahanan untuk menggerakkan gelombang kedua dakwah melewati dekad-dekad yang mendatang.

"Para pengasas dan penggerak awal gerakan kita telah menyempurnakan tugas dan tanggungjawab dakwah dengan amat bermakna sekali. Mereka telah berjaya memenuhi tuntutan keutamaan cabaran dakwah di zamannya dengan menjadi golongan pendorong, agen dan nukleus pertumbuhan dakwah," jelasnya ketika menyampaikan ucapan dasarnya yang bertemakan " Membina Ketahanan Dakwah" sempena Ijtimak Harakiy Pertama, di Bangi, Selangor Darul Ehsan.

Ijtimak Harakiy Pertama ini menghimpunkan para aktivis rangkaian dakwah tiga keluarga besar, Wadah Pencerdasan Umat (WADAH)-Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)-Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia. "Mereka (penggerak awal ABIM) telah menjana arus kebangkitan dakwah sehingga mementuk satu gelombang kesedaran Islam yang menyeluruh di dalam pelbagai aspek kehidupan," tambah Muhamad Razak sekali lagi sambil mengingatkan cabaran yang perlu di atasi oleh generasi baru pendakwah untuk melanjutkan arus perubahan ini.

http://www.abim.org.my/