CARI BAHAN

Showing posts with label Ulasan. Show all posts
Showing posts with label Ulasan. Show all posts

Saturday, October 22, 2022

Exit Door

Exit door adalah jalan keluar saat diperlukan. Kalau sudah habis pintu dan tingkap dipalang, ada exit door. Exit door kena dirahsiakan. Jangan bagi ornag tahu. Kalau nak sebut pun kena kias sahaja. Itulah Exit door.

Dalam politik, kita akan nampak ada pihak yang simpan exit door. Waktu bergaduh dan berperang bagai nak rak dengan seteru politik, ada bahagian yang didamaikan. Bak kata orang, pukul lawan jangan sampai luka. Nanti bila habis sayembara, lawan boleh maafkan. Itu exit door namanya. Apabila rancangan nampak gagal, harapan tinggal pada exit door sebagai penyelamat.

Itulah Exit door dalam politik. Perhatikan baik-baik permainan yang menyimpan exit door itu. Ia dapat difahami dari perkataan dan tidnakan para politikus.

Saturday, October 17, 2020

Macau Scam

Rupanya scammer ini kerja haram yang boleh buat pelakunya kaya raya. Kekayaan Addy Kanda yang ditahan SPRM hari itu sangat mengujakan. Hanya kerja menipu orang sahaja, boleh jadi kaya. Sudahlah begitu, menunjuk-nunjuk pula kekayaannya. Memang kerja bodohlah. Orang yang buat kerja haram, lepas itu tunjuk pula hasilnya. Dua kali bodoh. Orang jahat semuanya jahiliyyah. 

Ramai pula selebriti yang dikaitkan. Entah betul atau tidak, wallahu a'lam. Siasatan sedang dijalankan. Jika benar mereka terlibat dan rangka subhat sekalipun, mereka wajar diambil tindakan. Jenayah Scaamer ini satu rompakan halus. Jika dalam hukum hudud mencuri sekadar nilai 4 dinar lebih kurang pun dihukum potong tangan, maka scammer ini lagi dahsyat nilainya. Mereka songlap duit berjuta-juta. Hukum ke atas mereka patut lebih berat.

Satu hal yang menghairankan, bagaimana orang ramai boleh terpedaya? Apa pemyakit yang sedang bersarang dalam jiwa khalayak ramai sehingga mereka dengan mudah ditembusi tipu daya scammer?

Scammer ini macam dajallah. Orang yang rasa dirinya hebat menghadapi tipudaya scammer jangan cuba-cuba. Takut nanti terjatuh dalam perangkap mereka. Kisah dajjal yang muncul akhir zaman nanti pun begitulah. Ada lelaki kuat iman yang cuba mencabar dajjjal, akhirnya terperangkap dan jadi pengikut setia dajjal.

Wal- Iyazu-Billah...

Friday, July 31, 2020

Hukum Relatif

Jika guna hukum relatif, tidak ada seorang pun boleh dikatakan zalim. Satu orang yang dihukum bersalah atas satu jenayah, ia relatif bersalah bagi sebilangan orang tetapi akan tetap ada yang menganggapnya tidak bersalah. Demikian sebaliknya, di kala mahkamah memutuskan seseorang tidak bersalah, akan tetap ada yang menganggapnya bersalah. Hukum relatif tidak akan menemui satu kesimpulan. Islam secara relatif benar di kalangan pengikutnya tetapi dilihat sesat di kalangan penentangnya.

Ketika DS Najib Tun Razak telah dijatuhkan hukuman bersalah oleh Mahkamah Tinggi, masih ada orang yang melihatnya tidak bersalah dan mengangapnya sebagai keputusan mahkamah di bawah pengaruh politik. Oleh kerana itu, bagui hukum relatif ini, tidak ada seorang pun yang boleh dibacakan ayat Al-Quran yang melarang "rukun" kepada orang zalim.

Allah melarang anda cenderung hati kepada orang zalim.  Namun ketika anda menyokong orang berdosa, bersalah dan penjenayah, anda boleh katakan bahawa orang itu tidak bersalah, tidak berdosa dan  bukan penjenayah. Biarlah mahkamah putuskan dia sebagai penjenayah, anda tetap mengatakan dia bukan penjenayah. Maka celaaan Allah agar jangan cenderung hati kepada orang zalim tidka boleh dipakaikan kepada anda.

Jika demikian, selamanya tidak ada orang yang boleh dibacakan ayat itu. Ia subjektif dan ia relatif.

Sunday, June 28, 2020

Senja politik Tun kian berlabuh.

Nampak macam politik Tun Dr. Mahathir kian suram. Bila dia gagal mendapat sokongan PKR, khasnya DS Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri bagi kali ketiga, dia makin tidak keruan. Kenyataannya berbagai-bagai. Katanya dia ada sokongan. Dia mahu bantu Anwar jadi PM. Tapi sebelum itu tersebar juga kenyataannya bahawa Anwar tidak layak jadi PM sebab dia daripada parti berbilang kaum. Ada pula dia kata dia mahu putuskan hubungan dengan PKR dan  mahu bekerjasama dengan Amanah dan DAP.

Sehingga catatan ini dibuat, pecah berita  Tun M mahukan DS Shafie Apdal menjadi PM sementara Anwar jadi TPM 1 dan anaknya Mukhriz Mahathir jadi TPM 2.

Sudah tentu para penganilisis banyak tersenyuman sumbing dan geleng kepala mengenai zipzap politik Tun Mahathir ini. Bagi para penyokong Anwar Ibrahim, rumusan tuntas yang dibuat adalah bahawa Tun M itu sedang melakukan pelbagai upaya dan helah untuk mengekang Anwar daripada mendekati posisi kerusi PM.

Betapa berbasa basinya Tun M dalam mengutarakan harapannya untuk menjatuhkan kerajaan PN pimpinan TS Muhyiddin, dia tidak dapat menyembunyikan permainan politiknya.  Hatta Anwar Ibrahim dengan tegas menyeru agar politik tipu helah yang sedang dimainkan oleh Tun M itu perlu ditolak. Nampaknya jurang antara Tun M dengan Anwar Ibrahim kembali melebar setelah merapat beberapa waktu sebelum ini.

Satu hal yang rakyat perlu sedar, politik adalah sebuah seni permainan angkubah. Ia adalah satu pencak serba mungkin. Para aktornya tidak miskin cara. Namun, makida Allah mengatasi segalanya.

Saturday, December 08, 2018

MAKJUN KUAT

UMNO kini, penggemar makjun kuat. Saat ia menjadi lemah dengan seribu satu masalah, ditambah dengan kehilangan kuasa yang perit, pantang ada khabar orang pasal ada makjun untuk kembali kuat, ia pasti mencubanya. Sebelum ini, keyakinan UMNO  bahawa makjun kuatnya adalah adalah semangat kebangsaan Melayu telah dicuba dan diolahnya. Tapi, ramuan itu kurang menjadi. mungkin silap makan atau silap campurannya.


Pengamat politik menyebut, keterlibatan UMNO dalam himpunan bantah ICERD adalah peluangnya untuk dilihat relevan. Apakah selepas himpunan ini UMNO akan kembali pulih atau sekurang-kurangnya bangkit kembali? Kita akan saksikan nanti.

Orang yang sakit, bawalah ubat apapun, dia akan mengambil resiko untuk mencubanya. Begitulah UMNO. Para penyamun yang sbeelum ini mengaut secara salah harta rakyat, waktu inilah menampilkan diri sebagai perwira dan pembela nusa dan agama. Kalau tidka begitu caranya, bagaimana lagi? Nama mereka telah banyak ditajrihkan kerana kebejatan mereka. Hendak kembali dilihat mulia, bukan senang . 

Menunjukkan diri sebagai pencinta bangsa, pembela agama adalah makjun kuat buat mereka. 

Response kepada:


Friday, October 12, 2018

Membumikan Quran

Kita banyak hafal Quran. Tapi kita sedikit dalam mangambil faedah daripadanya. Ayat-ayat yang kita baca, jarang sekali kita boleh jadikan istidlal untuk sesuatu tindak tanduk. Sama ada tindak tanduk kita maupun orang lain.Nampaknya kita tidak dapat berta'amul dengan al-quran sebagaimana sepatutnnya. Dalam situasi yang kerap terjadi, kita tidak dapat manfaatkan Quran dan dapat pula manfaatkan intisari sesebuah hadis. Jika hadis itu Saheh, tidaklah berapa terkilan. Malangnya, hadis yang dilebihkan perhatiannya berbanding Al-Quran itu adalah Daif , bahkan mauduk.

Perkara ini ada disebutkan oleh Syeikh Muhamamd Al-Ghazali dalam bukunya " Sunnah Nabawiyyah, antara Ahli Feqah dan Ahli hadis". Keghairahan menjadikan hadis sebagai rujukan, membuatkan sebilangan ulama tidka dapat mengambil manfaat terbaik dan terbesar daripada ayat-ayat Al-Quran.

Cuba anda perhatikan. Antara kemelampauan mencitai ilmu hadis dengan kemelampauan anti ilmu hadis. Mereka yang didakwa umum sebagai anti hadis, seringkali memetik isi kandungan Al-Quran dan menjadikannya hujjah dan paku bicara mereka. Mereka yang tergolong kalangan ahli hadis pula tenggelam dalam perbahasan mengenai konten hadis sehingga Al-Quran hanya sekali sekala meniti di bibir mereka. Ada ketika, mereka kalah kepada golongan anti hadis.

Saya terfikir hal ini. Orang kata Kasim Ahmad itu anti hadis. Ya, memang begitulah. Sudah seperti kepercayaan ramai bahawa dia anti hadis. Penganut fahamannya, ( Samada seluruhnya atau bab-bab tertentu sahaja) adalah antaranya,  Tun Dr. Mahathir. Tun Dr. Mahathir boleh dikatakan tidak pernah memetik kalam hadis nabi. Tapi dia sering pula memetik ayat Quran. Ada ketika, petikannya itu lebih jitu berbanding cara kita memetik. 

Beliau selalu memetik ayat yang bermaksud "Allah tidak mengubah nasib seuatu kaum selama mana kaum itu tidak mahu mengubah nasib mereka sendiri". Dia baca aayat itu dan dia faham atas kapasitinya sebagai pemimpin bangsanya. Dia mengkritik bangsanya dalam sajaknya, tulisannya dan ucapannya. Ayat tersebut menjadi dalil pentingnya. Dia benar-benar ulas dan manfaatkan ayat itu. Lebih daripada kita yang banyak baca Quran, hafal dan mengerti maksudnya. Ayat yang sedikit daripada Quran, huraiannya boleh jadi merentas tema pelbagai. Boleh jadi dalil dalam tulisan yang jika dibukukan, jadi berjilid-jilid.

Saya bukan nak puji Dr. Mahathir pun. Tapi, saya tidak boleh benci dia. Bahkan, siapa pun saya tak mahu benci, lebih-lebih lagi kerana khilaf politik sebagai dasarnya. Cuma saya harap kita ambil pelajaran dan iktibar daripada kesungguhan orang yang dilihat jahil agama mengambil iktibar daripada Quran. Ayat sedikit yang dia dengar, jadi buah mulutnya. Ayat banyak yang kita ingat, apakah ia jadi buah mulut kita? Kalau jadi buah mulut, untuk tujuan apa pula? Jika sekadar menjadi hujjah menyucikan diri, itu bukan tujuan Al-Quran. Jika jadi hujjah melariskan barang niaga, Quran jauh sekali daripada maksud itu.



Monday, August 06, 2018

BUKAN HARTA MUDAH ALIH

Lebih 7000 pengundi PAS dalam PRU 14 di DUN Sg Kandis ternyata bukan aset mudah alih. Walaupun arahan terbuka telah dikeluarkan melalui beberapa pemimpin PAS agar calon BN, Datuk Lokman Noor Adam jadi pilihan, para pengundi Pas yang lepas enggan berbuat demikian. Itulah kesimpulan yang dibuat oleh Ust Ahmad Fadli Shaari, Naib Ketua Pemuda Pas Pusat.


Peratusan keluar mengundi yang rendah, bawa 50 peratus memberi gambaran sikap pengundi Dun Sg. kandis. Mungkin Ahli Pas mengambil pendekatan tidak keluar mengundi. Mereka enggan mengundi PH dan berpantang pula untuk mengundi BN. Pengundi PH mungkin ambil mudah dan merasa tidak perlu bersusah payah mengundi. Pertama mungkin beranggapa calon PH itu boleh menang walau tanpa undi mereka. Ini Kerana mojoriti besar yang diperolehi sebelumnya. Kedua, sebahagiannya mungkin beranggapan bahawa PH perlu diajar agar segera menunaikan janji sebagaimana yang diwar-warkan dalam kempen BN.

Calon BN pula, Datok Lukman Noor Adam bukanlah pilihan yang tepat. Banyak faktor lain juga boleh diandaikan. Turunnya Dato' Sri najib turut berkempen lebih kepada mengikis sokongan. Tanpa sokongan jentera dan wang ringgit, para pengundi BN juga hilang semangat. Tidak ramai yang sanggup mengundi ikhlas lillahi ta'ala.

Sunday, July 15, 2018

ISU-ISU PASCA PRU 14

Banyak isu terkait dengan tinda tanduk kerajaan baru PH yang sedang kita depani. Pembangkang, daripada pihak UMNO dan juga Pas, dari semasa ke semasa menimbulkan isu-isu. Sehingga kini, belum 100 hari memerintah, sudha berderet-deret isu yang dibentangkan untuk khalayak massa. Banyak sekali polemik politik, sehingga aku tidak dapat senarai semuanya. Sekadar ingat dan terlintas, aku senaraikan isu-isu tersebut:

  1. Isu Perlantikan Menteri Kewangan- Kenapa mesti LGE? Sepatutnya seorang menteri berbangsa Melayu atau orang yang tidak terpalit engan kes rasuah.
  2. Isu Kada hutang negara.
  3. Isu Tabung Harapan Malaysia.
  4. Isu Penggeledahan rumah dan bangunan terkait dengan DS Najib yang dibuat pada bulan Ramadhan.
  5. Isu Pendakwaan kes 1MDB yang tidak dijalankan selari dengan dakwaan ada bukti sebelum PRU14 lagi.
  6. Perlantikan Peguam Negara
  7. Isu pengiktirafan sijil UEC.
  8. Perlantikan Ketua Hakim Negara.
  9. Isu JAKIM
  10. Isu penamatan khidmat lantikan politik.
  11. Isu kenyataan Mujahid Yusuf Rawa.
  12. Isu Tuntutan Pemuda DAP agar dilantik Nga Kor Ming sebagai Menteri.
  13. Isu Kuantiti menteri.
  14. Isu harga barang yang tidak turun walau selepas GST disifarkan.
  15. Isu peruntukan tidak seimbang antara YB Kerajaan dan YB pembangkang.
  16. Isu Royalti Petrolium untuk negeri Kelantan dan Terengganu.
Banyak sekali isu yang ditimbulkan. Sesetengah isu adalah bersifat camputangan terhadap gaya dan corak pentadbiran kerajaan baru.  Sudah tentu, cara dan gaya pentadbiran kerajaan lama akan berubah. Berdepan dengan perubahan itu, sebahagian rakyat tidak biasa, bimbang status qou, nasib islam dan Melayu. 

Apabila sekelompok orang berkuasa, maka yang berkuasa itulah akan menentukan halatuju pemerintahan. Bagi yang tidak berkesempatan beraih kuasa, seharusnya berlapang dada dan paling ideal membantu melestarikan agar tidak tersasar. Hasutan-hasutan melampau, mengobar kebencian dan permusuhan adalah bertentangan dengan semangat pilihanraya dan demokrasi.

Menjelang PRU15, bila dekat pilihanraya, barulah berdegang degung semula. Kalau-kalau ada harapan menang dan meraih kuasa untuk dilaksanakan semua yang diharapkan selama ini.

Tuesday, July 26, 2016

Razeki yang selalu kita dapat.

Razeki bukan sekadar mendapat sejumlah harta.
Lebih besar daripada mendapatkan harta, ketenangan rohani dan kesihatan jasmani, juga merupakan razeki. Bahkan ia adalah razeki yang lebih besar dan diharapkan.
Anak yang mendapat doa ibunya
ada suadara-maranya yang menyayanginya
hilai tawa anak serta isteri yang menyejukkan mata
semua itu juga adalah razeki.

Kita berdoa: Ya Allah berikan aku razeki

lalu kita bayangkan hidup bertambah kaya, duit melimpah ruah, dapat kereta baru atau rumah besar. Namun kita tidak diberikan semua itu. Lalu kita pun menyangka Allah belum memakbulkan doa kita.

Patutkah kita menyangka demikian?

Padahal kita mendapat bermacam-macam nikmat dalam hidup yang kita tidak tafsirkan ia sebagai razeki. Sedangkan itulah razeki yang lebih kita perlukan daripada harta dan wang ringgit!

Friday, July 24, 2015

Kebenaran sebagai rumah api.

D tengah laut, ketika belayar malam nan gelap, daratan tidak kelihatan, para pelayar akan meninjau rumah api. Lalu ke sanalah mereka tuju membelah gelapan..

Kebenaran adalah seperti rumah api. Ia menjadi pasak dalam membuat ukuran.

Ketika memberi makna istiqamah, ia bukan semata-mata tetap pendirian, tidak berganjak walau bermacam pancaroba menimpa. Ia bukan kekal dengan apa yang telah dipegang zaman berzaman. Ia diertikan dengan mengaitkan dengan kebenaran. Jika sesat bertahun-tahun, baru sehari menemui kebenaran lalu berpegang dengan kebenaran, itulah istiqamah. Yang tetap tegar dengan kebatilan, itu bukan istiqamah.

Ketika memberi makna takbur, nabi SAW mentakrifkan:

الكِبْر بطر الحق، وغمط الناس

"Takbur itu adalah mengengkari kebenaran dan menzalimi manusia".

Kebenaran juga jadi kelipan di menara rumah api dalam mengenal daerah takbur. Jika pakai baju lawa, kereta cantik, bergaya, rumah besar, berjalan dengan iringan pengikut yang ramai, jika mendokong kebenaran, ia tidak jadi takbur.

tapi, walau pakai baju compang camping, makan hasil buangan di tong sampah dan hidup memelaratkan diri, namun waktu kebenaran datang kepadanya, dia berdegil, tidak mahu terima, itulah takbur namanya. Maka, perhatikan bahawa k

Thursday, October 09, 2014

Hang Tuah "Untold".


Saya hanya kekadang membaca tulisan Faizal Tehrani atau nama sebenarnya Faizal Musa.Saya tidak bersetuju dengannya dalam banyak hal. Masa belajar di Universiti dulu, dia adalah rakan sekuliah saya . Saya tidak ada titik persamaan dalam bual bicara dengannya. Dia dan saya selalu bersalahan . Waktu saya mempersoalkan kewajarannya membuat tesis tahun akhir bertajuk sastera, dia telah tempelak aku dan mengatakan saya menyempitkan Islam. Saya hanya tersengih terkabil-kabil. Memang betullah apa yang dikatakannya. Islam harus dilihat luas melewati bidang.

Semasa zaman belajar, dia bukan "klik" saya. Dia ada rakan-rakan rapatnya. Namun, pertemuan-pertemuan sebelum kuliah sering bersulam pergeseran pendapat. Itu semua jadi kenangan indah zaman belajar.

Kali ini saya rasa perlu berterima kasih kepada Faisal Tehrani kerana telah memberitahu sisi "Hang Tuah Untold" yang ada dalam Hikayat Hang Tuah. Seperti kebanyakan Melayu yang lain, saya diberitahu bahawa Hang Tuah adalah pahlawan Melayu yang hebat. Penuh Kemelayuan dan penuh keislaman. Membaca Hikayat Hang Tuah sejak zaman persekolahan, perhatian tidak terfokus pada sisi "Untold" tersebut.

Rupanya Hang Tuah dan komuniti istana yang dia abdikan diri itu adalah kelompok pendosa dan kaki minum arak. Itulah yang dapat diketahui hasil petikan yang diambil daripada catatan dalam Hikayat Hang Tuah.

Mungkin ada yang akan berkata bahawa Hang Tuah telah terfitnah. Penulis Hikayat itu membawa maksud jahat untuk memburukkan keperibadian mulia Hang Tuah. Jika demikian, watak Hang Tuah tak perlu ada kerana kita mengetahui kisah Hang Tuah pun menerusi tulisan hikayat yang dibawa oleh penulis hikayat itu. Patutkah kita menerima wujudnya manusia Hang Tuah tetapi enggan menerima apa yang dihikayatkan mengenainya sedangkan wujudnya itu pun terbit dari Hikayat itu?

Kerajaan Melayu Melaka yang dibanggakan, rupanya sebuah kerajaan Melayu biasa yang bersulam noda dan dosa. Saya tidak mahu lagi menyebutkannya sebagai zaman keemasan Melayu setelah mendengar sisi "untold" yang didedahklan oleh Faisal tehrani itu.

Terima kasih kerana menceritakan.

Baca:
http://www.malaysiakini.com/columns/277098



Monday, September 22, 2014

ISIS di Pantai Timur Sabah?

Ancaman ISIS meletus di pantai Timur Sabah. Demikian seperti apa yang diwar-warkan oleh Menteri Pertahanan, DS Hishammuddin Tun Hussein. Warta mengenainya didahului dengan penafian bahawa ia satu ugutan buat rakyat Sabah.

Dengan membawa beberapa hujahan yang berhubung perjuangan Moro yang bermotifkan penubuhan negara Islam, ia pun dikaitkan dengan perjuangan ISIS yang ingin menubuhkan daulah Islam di wilayah-wilayah yang dikuasainya.Sokongan terbuka pemimpin perjuang Selatan Filipina terhadap ISIS dilihat sebagai bukti bahawa idea ISIS telah bertapak di Selatan Filipina dan mengembangkan pengaruhnya ke Sabah.

Almaklum, lewat terakhir ini, suara-suara separatis di bumi Sarawak dan Sabah kian rancak bersenandung. Sudah tentu ia memberi persepsi yang menggusarkan pihak kerajaan. Isu ISIS yang menghantui timur tengah umpama kisah hantu yang menakutkan buat sekumpulan kanak-kanak nakal yang suka bermain hingga lewat senja di luar rumah.

Barangkali kerana perkembangan mutakhir mengenai kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia yang agak panas, cerita ISIS boleh menjadi buah fikir buat rakyat Borneo. Terutama kalangan mereka yang fobia dengan idealisme negara Islam dan berbetulan pula mereka adalah kalangan yang galak memukul gendang pemisahan.

Namun, cerita yang berbentuk menakut-nakutkan mudah diperlecehkan orang dewasa ini. Keadilanlah yang akan membuatkan jiwa yang meronta terasa puas dan dengan itu tidak perlu menggunakan isu cemas untuk membulatkan paduan rakyat.


Monday, September 08, 2014

Maksum telah pun mati.

Ketika telinga panas mendengar orang menkritik taifah kita, bisikkan dalam hatimu bahawa nabi telah tiada. Kemaksuman pun telah berakhir bersama wafatnya baginda. Sebuah taifah sebagaimana seorang insan, bukan maksum. Kritiklah tentang dosanya. Semoga Allah memperbaikinya.

Kita mengaku kita ahli sunnah. Bagi kita maksum telah pun mati. Tiada yang suci walau mencapai makam wali. Namun, keyakinan kita bahawa maksum telah mati itu tidak menjadikan kita sanggup mengakui kesalahan orang-orang yang kita sucikan.

Kita sanjung syeikh kita seperti nabi. Kita tidak dapat terima kalau ada orang mengkritik beberapa perkara mengenai syeikh sanjungan kita. Ketika orang kritik Imam Syafie, pantaksub Syafie akan bangkit marah. Beberapa tempat di masa lalu telah mencipta episod berdarah kerananya. Demikian pula para pentaksub imam yang lain.

Di waktu orang mengkritik kitab "ihya ulumudin" dan status hadis-hadisnya, ada kalangan naik berang. Jika demikian, inti Ihya tidak meresap dalam jiwa pembelanya. Imam Al-Ghazali juga manusia biasa dan ada kesalahan dalam menintakan dakwatnya.

Para pengkritik orang pun jangan rasa diri maksum. Saat mengkritik orang, orang dikritik diseru agar menyedari hakikat bahawa maksum telah mati, maka ketika diri sendiri pula dikritik, ingatlah juga bahawa diri tidak maksum. Maksum telah mati buat yang dikritik dab buat diri yang mengkritik juga.

Inilah sikap kelompok ahli sunnah. Hanya Syiah yang memaksumkan imam-imam mereka. Jika kita memaksumkan ulama-ulama kita, taifah kita, kitab rujukan kita atau apa sahaja yang kita kagumi dan sanjungi, itulah petanda bahawa virus rawafidh telah merayap ke jantung hati kita.

Tuesday, April 22, 2014

RIP

Ketika ada pihak yang main bahasa mengatakan orang kafir boleh sebut Tuhan sebagai "God" tetapi tidak boleh sebut Allah, aku memang sukar untuk faham. Sekarang, isu yang baru timbul ialah mengenai ucapan R.I.P (Rest In Peace) untuk orang bukan Islam yang telah neinggal dunia. Isu ini timbul berikutan kematian Karpal Singh baru-baru ini. Majlis Fawa Kebangsaan telah diberitakan melarang orang Islam daripada mengucap RIP kerana ia adalah ucapan doa orang bukan Islam untuk yang mati di kalangan mereka.

Dalam masalah ini, aku melihat ada unsur mainan bahasa. Rest In Peace bermaksud berehatlah dalam damai. Ia adalah lafaz doa agar Allah merahmati orang yang mati itu. Dalam akidah Islam, siapa yang mati dalam kekufuran, maka dia akan dibalas neraka dan tidak ada damai buatnya. Maka mendoakan damai buatnya adalah menyanggahi akidah yang dipegang oleh orang Islam. 

Namun, apa pula yang harus dikatakan oleh orang Islam buat mendiang bukan Islam?

Aku tinggalkan isu ini dan tidak mahu pening kepala kerananya!

Wednesday, April 24, 2013

Sukar difahami

Memang sukar untukku fahami beberapa perkara yan melanda dunia politik tanah air lewat terakhir ini. Tindakan DS Najib melantik Zulkifli Nordin mewakili Umno sebagai calon Palimen Syah Alam seperti sengaja membunuh diri. Insan Zulkifli Nordin yang mempunyai rekod cemar dalam parti yang dianggotainya dulu, dikutip oleh Presiden UMNO itu untuk menjadi pahlawan di Syah Alam. Perkara yang menjadi andaian logikku adalah, orang Umno Syah Alam tentu tidak boleh menerimanya. Tapi, itu yang DS Najib lakukan.

Sementara itu, keciciran calon UMNO bagi Parlimen Pasir Mas menghadirkan diri pada hari mencalonan juga luar biasa. Ia seperi disengajakan sebagai taktik untuk memberi jalan kepada Ibrahim Ali bertanding di sana. Ibrahim Ali, walaupun calon bebas, dia cenderong menyokong BN.Namun, memberi laluan kepada Ibrahim Ali memberi rekod buruk kepada UMNO. Itu yang berlaku dan aku tidak faham siasat ini. Bagiku ini satu tindakan bodoh atau desperado.

Sehari dua ini Umno tentu terkejut beruk dengan pengisytiharan bekas Menteri Besar negeri Selangor masuk Pas. Sekali fikir, memang payah untuk difahami mengapa orang yang mengabdikan dirinya hampir seluruh hayat politiknya dalam UMNO boleh membuat pertukaran arah begitu besar. Berfikir dengan otak biasa, aku tak faham. Tapi, mengingatkan takdir hidayah Allah, apalah hendak dihairankan? Kalau kemurtadan Hasan Ali dan konco-konconya dari Pas itu boleh kita fahami, maka demikianlah kembali ke landasan perjuangan Islam oleh bekas- bekas algojo jahilliah.

Sememangnya kita tidak fahami banyak perkara. Namun, semua itu adalah pelajaran yang diberikan Allah untuk kita berfikir mengenainya.

Friday, April 19, 2013

TAN SRI AISHAH GHANI

Khabar sampai hari ini. Tan Sri Aishah Ghani berpulang ke rahmatullah hari ini. Beliau mati sebagai seorang veteran UMNO sejati. Semoga Allah mengampunkan dosanya. 

Betapapun anda berjuang dalam dunia ini, maka setelah mati anda akan kembali seorang diri. Bawalah apa yang anda usahakan dalam kehidupan ini dan tiada sesiapa dapat membantu anda lagi. Sementara masih hidup, buatlah yang terbaik.  Kelak, jangan sesal setelah mati.

Friday, January 11, 2013

Hanya Allah Tuhan Sekelian alam.

Ramai juga orang yang kebingungan dalam meleraikan isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam. Lantas keluarlah pelbagai kenyataan yang mana pada satu tahap, kelihatan memperakukan ada Tuhan yang lain selain bernama Allah.  Beralasankan takut nama Allah disalahguna, maka nama Allah dilarang diguna oleh bukan Islam. Sedangkan, salahguna nama Allah banyak juga berlegar dalam masyarakat Islam. Ada kalangan penganut Islam sendiri yang mengungkapkan kalimah Allah tidak pada tempat yang sepatutnya. Sebagai contoh, ada kalangan sufi yang mengatakan "anal haq" yang menjelmakan Allah dalam semua wujud. Namun, hal ini tidak pula ditafsirkan sebagai salahguna nama Allah oleh pihak yang takut nama Allah disalahgunakan oleh orang bukan Islam.

Orang Kristian, khususnya berbangsa Arab telahpun menamakan Tuhan sembahan mereka sebagai Allah jauh sebelum nabi Muhammad dibangkitkan dan membawa Islam yang dibersihkan dari kesyirikan. Adalah tidak munasabah untuk kita menafikan hal mereka itu bertaabbud dengan nama Allah, sekalipun mereka tersasar kepada trinity. Akidah yang tercemar kaum kristian itu tidak menjadikan mereka patut menamakan Tuhan mereka dengan nama yang lain. 

Dalam Al-Quran, Allah SWT menyuruh nabi menyeru kaum nasrani agar bersepakat dengan orang Islam di atas kalimah yang satu, iaitu bertuhankan Allah. Sekalipun mereka berat untuk menerima kenabian Muhammad, memadilah untuk langkah mendekatkan jika mereka sanggup mengakui Allah sebagai Tuhan dan tidak mensyirikkanNYa.

Siapa yang merasakan Allah miliknya, ketahuilah bahawa Allah adalah sebuah nama agung yang menjadi dambaan setiap makhluk bertuhan. Hatta ikan, pepohonan dan batu batan mengungkapkan kalimah Allah!.

Tuesday, November 13, 2012

Malang Pemimpin Ke Enam

Imam As-Sayuthi menyebutkan dalam karyanya Tarikh Al-Khulafa' bahawa Ibn Al-Jauzi memetik perkatan As-Suli di mana dia telah berkata:

Ada orang berkata bahawa sesiapa yang menjadi pemimpin keenam akan berdepan dengan pemecatan (disingkirkan dari jawatannya).

Petikan yang sama juga diturunkan oleh Ibn Kathir dalam Al-Bidayah Wan Nihayah .


Ibn Al-Jauzi berkata bahawa dia telah meneliti hal tersebut dan mendapati ia sangat menakjubkan. Beliau membawa contoh pemerintahan Islam yang bermula dengan nabi SAW dan khalifah yang yang ke enam adalah Hasan bin Ali. Jawatannya dicabut dan diambil oleh Mu'awiyah. Lalu selepas itu dalam kekhalifahan umaiyyah, dengan meletakkan Ibn Zubair sebagai khalifah ke enam, beliau juga dicabut kekhalifahannya apabila terbunuh dalam serangan Hajjaj bin Yusuf As-Tsqafi ke atas kota Makkah. Setelah itu, bermula khalifah Al-Walid, Sulaiman, Umar Abd Aziz, Yazid, Hisyam dan Al-Walid sebagai yang ke enam, dia juga hilang kekuasaan dan tamatlah pemerintahan Umaiyyah.

Dalam dinasti Abbasiyyah,bermula khalifah As-Saffah, Al-Mansur, Al-Mahdi, Al-Hadi, Ar-Rasyid dan yang ke enamnya adalah Al-Amin. Dia ditewaskan abangnya Al- Makmun yang merebut jawatan khalifah daripadanya. Selepas itu, bermula dengan Al-Makmun dan disusuli dengan Al-Mu'tasim, Al-Wathiq, Al-Mutawakkil, Al-Muntasir dan yang ke enamnya Al-Musta'in juga mengalami nasib yang sama. 

Dapat disimpulkan, meneliti perjalanan khalifah-khalifah seterusnya, yang ke enam setelah proses rampasan kuasa, pemecatan, penggulingan atau apa sahaja seumpamanya juga akan mendapat nasib yang sama atau hampior sama. Ia memberi satu kesimpulan hasil pemerhatian (tajarrub) bahawa pemimpin ke enam akan berdepan pemecatan.

Komen penulis: 

Teringat pula pemimpin ke lima adalah DS Abdullah Ahmad Badawi, beliau letak jawatan dan diambil alih oleh DS Najib Tun Abd Razak.  DS Najib Adalah pemimpin keenam. Apakah beliau akan berdepan dengan nasib para pemimpin ke enam sebagaimana yang ditulis oleh ulama dalam karya mereka? Kita tunggu dan lihat.

Kalau apa yang dihuraikan oleh Ibn Al-Jauzi itu boleh diambil kira, maka hubaya-hubaya wahai sesiapa yang dipilih jadi pemimpin ke enam. Tidak kira pemimpin peringkat manapun. Nombor enam seperti punya rahsia Allah yang masih perlu ditadabburkan. 

Mungkinkah ada kaitan dengan penciptaan langit dan bumi dalam masa enam hari?




Tuesday, November 06, 2012

Orang bodoh agama

Bahananya terjadi kalau orang bodoh agama dengar orang cakap pasal agama, dan dia sukar nak faham. Apabila dia gagal itu faham, maka dia akan buat tafsiran sendiri mengikut apa yang dia mampu faham. Ditambah pula jika dalam dirinya tersimpan maksud jahat.

Demikianlah apa yang boleh difahami dari putarbelit media blog dan dilanjutkann pula TV3 terhadap kenyataan yang diucapkan oleh  YB Nurul Izzah Anwar.

Apa yang dicakapkannya ialah mengenai konsep tiada paksaan dalam agama sebagaimana yang telah pun ditegaskan dalam Al-Quran. Kerana kurang faham dengan hukum hakam Islam, dikatakan pula Nurul Izzah itu galakkan Melayu jadi murtad. Islam ada hukumnya dan kebebasan memilih agama adalah hukum umum. Ada yangg khusus untuk muslim sahaja iaitu hukum murtad.

Para penjilat dari Perkasa dengan pantas memberi reaksi terhadap laporan tidak bertanggungjawab dari blog murahan dan pemberitaan tercela TV3 itu. Namun, mereka berdiam diri pula terhadap kenyataan biadap yang terang lagi bersuluh daripada CSL mengenai hudud.