Firaun jadi zalim, sombong dan melawan nabi Musa kerana dorongan persekitarannya. Beliau ada partinya dan kabinet menteri yang di ketuai Haman. Mereka inilah yang menjadi lengkaran jahat yang membelit Firaun dalam gelap kesesatan dan kemurkaan Tuhan.
Kalaulah seandainya Firaun itu dapat keluar daripada lingkaran jahat itu, apakah tidak mungkin dia tidak jadi seperti Firaun yang dikutuk Allah dalam Quran?
Iya...itulah satu pertanyaan tentang sebuah kemungkinan. Hakikatnya, Firaun mati kafir dan dia serta pengikutnya akan masuk neraka. Al-Quran telah menjelaskan dan menegaskan tentang kekafiran Firaun ini.
Cuma, mari kita berfikir sebentar mengenai persekitaran orang yang berbuat zalim ini. Sebahagian kezalimannya itu bukan terbit daripada kemahuannya berbuat zalim. Ia adalah pengaruh persekitaran.
Terus kepada bahan renungan kita dalam tulisan ringkas ini. Tun Dr. Mahathir Muhammad, dia seorang Perdana Menteri yang dilihat melakukan kezaliman dan berbagai kepincangan semasa dia berkuasa. Tidak perlu disenaraikan perkara-perkara yang salah dibuatnya sepanjang beliau jadi ketua eksekutif kerajaan sepanjang 22 tahun beliau berkuasa. Dia disokong dengan kuat oleh partinya UMNO dan Barisan Nasional.
Dengan persekitaran yang dia ada itu, dia pun bertindak sebagaimana yang telah dia bertindak. Ada orang ditangkap dan dipenjara. Ada mati kena bunuh. Ada tanah kena rampas. Ada yang difitnah dan dimalukan. Ada harta negara yang digelapkan. Macam-macam. Itulah yang disebut orang mengenai sejarah masa lepasnya. Allah maha mengetahui yang tersembunyi.
Kemudian, takdir Allah, umurnya pun panjang. Sekarang sudah 93 tahun. Dia telah letak jawatan dan kemudian keluar UMNO lebih 15 tahun lalu. Dia berkrisis dengan pemimpin ramai UMNO dan akhirnya kini berpatah arang. Ironi sekali, beliau orang besar dalam UMNO kemudian dimusuhi oleh UMNO sendiri. Dia benar-benar total telah terkeluar daripada persekitaran jahatnya dulu.
Tun Mahathir yang sudah lanjut usia itu pun kembali beraksi dalam arena politik. Bertanding untuk menang pilihanraya. Diangkat oleh parti baru dalam kumpulan Pakatan Harapan sebagai calon Perdana Menteri. Dalam keadaan ini, ada orang pro dan kon. Antara mereka, ada yang mengungkit kejahatan Mahathir selama 22 tahun menjadi pemerintah. Tragedi kelmarin tidak dapat dilupa. Miskipun Tun Dr. Mahathir telah terkeluar dari lingkungan jahat masa lalunya, dia masih tidak boleh dimaafkan oleh sesetengah orang.
Mari berfikir...jika dakwah Musa itu bukan mengislahkan Firaun, apa guna Musa berdakwah. Sudah tentu harapan Musa adalah agar Firaun jadi baik. Namun itu tidak berlaku. Sampai mati Firaun tertambat dan terperangkap dalam pusaran jahat partinya. Maka tujuan dakwah adalah mengislahkan orang. Cara berlakunya islah itu, Allah yang menentukan. Para pendakwah mesti terima cara Allah yang telah digariskan dalam takdir.
Lain hal dengan Tun Dr. Mahathir. Orang kata doa Ust. Fadhil Nor, gemulah Presiden Pas, telah dimakbulkan. Doanya agar umurnya panjang dan melihat kerosakannya, telah makbul. Umur Tun Dr. Mahathir panjang dan dia sedang menyaksikan kerosakannya. Namun doa Ust Fadhil Noor itu jangan dilihat dan ditafsir dengan kacamata pendendam. Mungkin di sebalik doa Ust Fahil itu, ada harapan di sanubarinya agar Tun Dr. Mahathir akhirnya menyesal dan bertaubat. Inilah sebenarnya objektif dakwah nabi dan para ulama ke atas orang-orang yang jauh dari hidayah samada orang kafir, ahli maksiat, penzalim atau selainnya.
Mereka sempat bertaubat dan kemudian mati serta dimasukkan ke syurga. Inilah matlamat dakwah. Matlamat dakwah bukan mengasing-asingkan manusia. Satu kelompok dibariskan bakal-bakal calon syurga. Satu kelompok lagi diputusharapkan dan dijerumuskan ke neraka kerana dosa mereka. Itu bukan tujuan dakwah para nabi. Syukur, jika ada orang berdosa bertaubat. Ada orang zalim berhenti buat zalim dan kembali membuat islah. Syurga yang Allah janjikan tidak sempit jika mereka tumpang sekaki masuk syurga. Lagipun, syurga itu bukan milik sesiapa kecuali ia kepunyaan Allah belaka.
Hari ini kita lihat dan pelajari bagaimana Allah menyusun perjalanan peristiwa sekitar sosok Tun Dr. Mahathir ini. Renung dan berfikirlah. Jangan jumud dengan pengaruh dendam masa lalu. Betapa besar kezaliman seseorang, kita masih perlu menaruh harapan agar orang itu menemui husnul khatimah. Tun Dr. Mahathir sedang menapak jalan ke arah itu. Dia sedang melakukan kerja pemulihan atas kerosakan yang dia lakukan. Kalau berjaya Alhamdulillah. Kalaupun gagal, niat dan kerjanya itu sudah ada nilai di sisi Allah.
Saya selalu sebut, taubat seekor semut tak sama dengan taubat seekor gajah. Kekadang orang salah faham soal ini. Waktu Tun Dr. Mahathir mula bergiat dalam politik semula, ada suara-suara orang kurang faqih menyarankan agar dia tumpukan kepada akhirat. Balik ke atas sejadah dan bertaubat. Apakah dia sangka taubat bekas perdana menteri yang berbuat zalim itu dengan cara itu? Sekali-kali tidak. Taubatnya adalah dengan menyesal dan berbuat islah. Pulihkan kerosakannya sedaya mungkin.
Siapa tahu...Allah sengaja panjangkan usia Tun Dr. Mahathir agar dia dapat menabur khidmat pemulihan negara ini sebagai sarana taubatnya. Tidaklah Allah memanjangkan usia seseorang dengan sia-sia. Tentu ada tujuannya. Bukan tujuan Allah yang Maha bijaksana memanjangkan usia hanya sekadar melihat dan terseksa perasaan kerana kerosakan akibat tangan sendiri di masa lalu.
Orang yang berjiwa besar sahaja yang boleh melupakan luka tusukan musuh sendiri dan memaafkannya. Orang berjiwa besar jugalah yang mampu melihat cahaya di balik kabut kelam kelibut. Orang berjiwa besar sahaja sanggup tahan sakit hati demi manfaat besar yang diharap untuk ummat.