Lewat pagi tadi aku mendapat perkhabaran tentang dua orang pelajar UPSI maut di simpang empat berdekatan Kuil dan Restoran Yik Mun. Lokasi sebenar aku tidak pasti, kerana dua orang yang aku tanya menerusi YM gagal memberikan maklumat yang tepat.
Tapi selaku orang yang dah bermustautin di TM sejak 15 tahun yang lalu, seakan dapat mengagak di mana lokasi kejadian tersebut. Andaian aku agak berasas kerana sewaktu balik dari sekolah aku melihat cebisan plastik (mungkin komponen plastik motorsikal) bertaburan di tengah-tengah simpang empat tersebut.
Sepanjang yang aku tahu dah banyak kali kemalangan berlaku di simpang empat tersebut. Ada beberapa keadaan yang menyebabkan kemalangan maut berlaku. Paling kerap apabila traffic light tidak berfungsi. Kenderaan dari Ipoh atau dari KL (jalan lama) susah nak berhenti sebab selepas selekoh Taman Universiti (dari arah KL), jalan selepas itu memang lurus. Manakala dari arah Ipoh, keadaan jalan lebih lurus lagi. Dari bangunan MDTM (Bandar Behrang 2020) sehinggalah simpang empat tersebut jalan memang lurus. Jadi, apabila traffic light tidak berfungsi, kenderaan akan terus sahaja melintasi simpang tersebut sambil membunyikan horn kenderaan sebagai isyarat mereka tidak akan berhenti. Oleh itu kenderaan dari arah Proton City dan UPSI atau Kuil Hidu Tg.Malim lazimnya kena mengalah bagi mengelakkan suatu tragedi daripada berlaku.
Bukan hanya sewaktu traffic light tidak berfungsi kenderaan besar seperti lori dan bas tidak berhenti, malah dalam keadaan lampu isyarat bertukar daripada warna kuning ke merah pun kenderaan tersebut masih terus memecut. Aku fikir keadaan inilah yang mungkin telah meragut dua nyawa lagi di simpang tersebut. Apatah lagi dalam keadaan pagi yang masih sedikit gelap. Menurut maklumat yang aku dapati kemudiannya, kejadian berlaku sebelum 6.30 pagi. Cikgu-cikgu yang hantar anak ke nursery ada yang sempat nampak motorsikal yang ditunggangi allhyarham dalam keadaan yang sangat teruk. Tetapi, tidak pula nampak kenderaan lain di tempat kejadian.
Bagi mengelakkan kejadian yang sebegitu berulang lagi pada masa akan datang, aku mencadangkan agar lampu isyarat digital yang ada tempoh masa menunggu sebelum bertukar warna dipaang di simpang tersebut. Melalui lampu isyarat jenis tersebut ia kan memaklumkan kepada para pengguna berapa lama lagi lampu hijau akan bertukar kepada merah dan begitu juga apabila lampu telah bertukar menjadi merah berapa lama lagi ia akan bertukar kepada hijau semula.
Oleh sebab kini kenderaan semakin banyak dari arah Proton City lantaran semakin banyak kawasan taman perumahan diwujudkan, tempoh lampu hijau sepatutnya ditambah untuk mengelakkan terlalu banyak kenderaan yang tidak lepas dalam sekali giliran. Hal ini sangat penting terutamanya pada waktu pagi apabila masing-masing bekejar ke tempat kerja atau untuk menghantar anak-anak ke sekolah.
Ada baiknya jika pihak polis traffik atau polis awam membuat pemantauan di simpang tersebut pada waktu pagi bagi mengelakkan tabiat sesetengah pemandu yang speeding sewaktu lampu isyarat berwarna kuning dan akhirnya menjadi warna merah. Ataupun bagi mengawal tabiat buruk sesetengah pemandu yang memotong barisan dan menghimpit kenderaaan lain dari arah kanan sebelum menyelit dan melepasi simpang empat dan akhirnya memecut ke arah UPSI.
Selain daripada itu, jika berlaku black-out, pihak polis hendaklah segera berada di simpang tersebut bagi mengawal lalu lintas. Apa yang biasa berlaku, tiada polis yang bertugas sepanjang traffic light itu black out, menyebabkan kemalangan boleh berlaku.
Aku rasa jika beberapa perkara yang dinyatakan di atas dapat dilaksanakan, Insya Allah kemalangan maut akan dapat disifarkan di simpang empat tersebut.