“Ini suatu permulaan yang baik dan kemenangan malam ini (kelmarin) amat penting untuk dijadikan pembakar semangat bagi meneruskan perjuangan musim ini ke Liga Super musim depan,” kata jurulatih FELDA United FC, Irfan Bakti Abu Salim.

Beliau melahirkan rasa puas hati dengan persembahan skuad bimbingannya itu yang melepasi halangan pertama saingan Piala FA dengan menewaskan Negeri Sembilan 1-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.

Menurutnya, kemenangan itu menebus kekecewaan musim lalu apabila mereka terkandas pada perlawanan pertama.

“Bagaimanapun, saya lihat masih ada kepincangan di beberapa posisi terutama di bahagian tengah, depan dan sayap.

“Biarpun kami dapat menguasai hampir keseluruhan perlawanan, tapi apabila sampai ke kawasan gol lawan, bola tersekat dan ini saya lihat suatu kelemahan berpunca daripada bahagian kiri dan kanan,” katanya.

Begitupun, bekas jurulatih Selangor musim lalu itu memuji anak buahnya kerana memperlihatkan semangat juang tinggi dan tidak putus asa untuk mendapatkan gol kemenangan.

“Pemain dilihat berusaha keras sepanjang perlawanan dan berjaya mencipta banyak peluang, tapi beberapa percubaan tidak menepati sasaran. Sebenarnya kita boleh menambah gol jika pemain dapat melakukan percubaan tepat.

Mengenai persembahan pemain import pula Irfan berkata, Zah Rahan Krangar dan Edward Junior Wilson tidak dapat bergerak bebas kerana dikawal ketat pertahanan tuan rumah.

Sehubungan itu beliau mengarahkan pemain lain terutama di bahagian sayap memainkan peranan lebih berkesan bagi mencipta jaringan “Apa pun kemenangan ini penting dan saya berharap pemain meneruskan konsisten kerana perlawanan selepas ini adalah saingan pertama Liga Perdana bertemu Pulau Pinang PBAPP FC,” katanya.

Leave a Reply