Isnin, 17 Ogos 2009

Nak Cerita Bab Politik Pula...

Apabila melawat blogs rakan-rakan, berbagai-bagai cerita mereka tulis tentang politik semasa di negara kita. Ada yang mengutarakan pendapat lebih menjurus ke arah ekstrem sehingga boleh menjadikan sesuatu topik yang dihujahkan mengggangu keharmonian masyarakat kita. Walaubagaimanapun semua itu adalah berdasarkan kepada fahaman masing-masing. Kali ini penulis pula hendak menyelit sedikit, asyik mereka sahaja yang berhujah mengalahkan ahli parlimen.


Adakah dengan demo ini memberi keuntungan kepada semua rakyat? 


Isu ISA

Ramai diantara kita berpendapat ISA perlu dimansuhkan malah ada juga yang berpendapat tidak perlu. Ada juga yang menyokong anti-ISA ada juga yang menyokong pro-ISA. Sebenarnya jika dilihat isu ISA bukan isu yang baru. Ia adalah isu lama yang telah diperjuangkan oleh sesetengah pihak khususnya parti pembangkang sehingga menjayakan demonstrasi di jalanan. Persoalannya, mengapa mereka membuat demo? Antara salah satu sebab ialah mereka mahu menunjukkan kepada rakyat bahawa pengaruh mereka semakin kuat ketika ini.


MCA pernah menolak Malaysia sebagai negara Islam

UMNO juga pernah menjadi juara demonstrasi pada suatu ketika dahulu. Adakah dengan demo ini memberi keuntungan kepada semua rakyat? sudah tentu tidak. Walaupun penulis adalah salah seorang penyokong PR yang tidak tegar, tetapi penulis tetap menekankan bahawa rakyat tidak mendapat faedah secara total hasil daripada demonstrasi tersebut. Bagi sesetengah individu, mereka akan berasa seronok dengan menyertai demo dan melalui demo mereka akan dapat melepaskan perasaan geram kepada mana-mana pihak yang menentangya. 

Kesimpulan ringkas dari isu ini yang dapat penulis beri adalah ISA tak perlu dimansuhkan tetapi perlu diperhalusi dan dipinda cara dan pelaksanaannya. ISA memang zalim jika dikenakan ke atas orang yang tidak berhak tetapi adalah cukup memadai bagi mereka yang mengganggu gugat keselamatan negara. Cuma penulis berharap ISA tidak dijadikan sebagai kepentingan politik semata-mata.


UMNO  membuat demonstrasi 

Isu Arak

Isu ini pun isu lama. Bagi penulis, PAS dilihat konsisten dengan perjuangannya untuk membanteras kemungkaran. Dari zaman ALLAHyarham Ishak Bahrom (bekas mufti Selangor) lagi telah ada usaha untuk membanteras penjualan arak di khalayak ramai secara keras. Cuma pendekatan yang diguna pakai oleh MB Selangor dari PKR adalah pendekatan kepentingan politik. Memanglah itu yang diguna pakai oleh sesiapa pun oleh ahli politik untuk memuaskan hati semua pihak. 

Yang memelikkan keadaan mengapa baru sekarang UMNO beria-ia menjadikan isu arak sebagai salah satu senjata politik mereka untuk menyalahkan musuhnya sebaliknya dari dahulu lagi arak ini dijual di Selangor dan boleh didapati dengan mudah. Jawapannya mudah sahaja. Semuanya sebab politik. Jika PAS ditempat UMNO dahulupun mungkin akan melakukan perkara yang sama. Hendak menjaga hati kawan MCA dan MIC, kenalah berlembut. Perlu ada timbang rasa. Begitu juga hendak menjaga hati PKR dan DAP pun kena buat perkara yang sama. Tujuannya adalah apa? sebab politik.


Replika Dato Seri Anwar Ibrahim

KESIMPULAN

Ini semua cerita politik yang tidak memberikan sebarang peningkatan. Jika kita bertanya kepada orang kampungpun mereka akan kata “Barisan ke, Pakatan ke, yang memerintah kita macam ini juga.” Satu jawapan yang ikhlas dan mudah tanpa berfikir panjang. 

Oleh itu, marilah kita bersatu sahaja. Maksud penulis, kita tolak fahaman politik seperti ini (kenyataan ini bukan hendak menyokong kerajaan perpaduan). Bukan apa, orang semakin muak dengan hal-hal sebegini. Jika hendak berpolitik, gunakanlah pendekatan yang lain. Tunjukkan contoh dan teladan supaya orang boleh hormat. Barulah senang hendak berkempen. Jangan hanya tahu mencari kesalahan orang lain sahaja, nanti diri sendiri yang akan menangung akibatnya. 


Replika Dato Seri Najib

Seperti contoh: 

Dahulu kecoh ada replika Dato Seri Anwar Ibrahim di Batu Caves sehingga UMNO sanggup hendak buat demonstrasi, petisyen dan bantahan terhadap replika tersebut sehingga mengundang ulamak untuk memberi ulasan tetapi baru-baru ini penulis sendiripun agak terkejut apabila ada replika Dato Seri Najib pula ada di area situ! 

Hahaa... memang menggalahkan filem hindustan pula politik di negara kita ini. Kita bertekak, melolong sana sini, tetapi ahli-ahli politik ini semuanya bermain wayang sahaja. Mereka semua hanya hendakkan kuasa sahaja. Apabila sudah ada kuasa, barulah kita tahu mereka akan lakukan pada jalan yang betul ataupun tidak. Anda semua ingat Dato Hasan Ali akan bagi projek kepada orang UMNO? Anda orang ingat Dato Sri Adnan Yaacob hendak bagi projek kepada orang PAS? semuanya ini sama sahaja. Semuanya adalah disebabkan kuasa. Di belakang kita, mereka boleh duduk semeja di kedai kopi sambil berborak.

Walaupun penulis tidak berapa setuju dengan UMNO, tetapi kawan-kawan sepejabat, saudara-mara dan adik-beradik ada yang menyokong UMNO. Kami beranggapan kecenderungan atau fahaman politik ini sama seperti penyokong bolasepak. Ada yang menyokong Man United tetapi penulis tidak!. Hakikatnya kami hanya minat pada yang sama iaitu cintakan bolasepak. Jika minat nombor ekor, itu lain cerita pula. Kami tidak pernah terlintaspun hendak bergaduh atau hendak ketepikan mereka, walaupun kami lain bendera. 

Sudahlah, biarkanlah orang politik buat kerja mereka, Kita buat kerja kita. Jika asyik bercerita politik, sampai bilapun tidak akan habis. Apabila PRU sudah hampir nanti, baharulah kita bertekak pasal politik seperti tahun lepas.

Tiada ulasan: