Showing posts with label kispen. Show all posts

Jack & Hana (ii)

0


Selepas peristiwa bayangan arwah neneknya muncul di dalam cawan kopi tempohari, Jack kini jadi lebih tenang dan berkeyakinan. Tak perlu terlalu gelabah di depan gadis pencinta alam itu, getus Jack di dalam hati. Bagi Hana pula, dia rasa dia sukakan Jack. Lelaki itu bersifat keanakkan dan comel, fikir Hana. Lagi pun, kening dia tebal dan nampak ada ciri-ciri seorang pencinta.
 
Temujanji mereka yang kedua, Hana ajak Jack kutip sampah di sebuah taman. Jack tenang mengutip sampah dan membersihkan taman sambil dengar Hana membebel tentang sikap tak bermoral segelintir manusia yang suka membuang sampah merata-rata walaupun tong sampah telah disediakan. Bagi Hana, manusia begitu tak layak hidup di atas bumi kerana mereka langsung tak menghargai keindahan alam. Jack setuju, betul cakap Hana.
 
Ketiak mereka lencun dengan peluh, jadi mereka ambil keputusan untuk berehat di bangku taman. Hana bawa sandwich dan air sejuk dalam bekas mesra alam. Jack bawa mulut dan perut. Lepas makan, Jack cucuh sebatang rokok. Asap disedut dan dihembus penuh nikmat. Kemudiannya, Jack terpaksa dengar Hana membebel. Tentang bahaya asap rokok pada kesihatan, tentang pencemaran udara, tentang puntung rokok yang bersepah dan sebagainya. Ia berlarutan selama 15 minit.
 
Beberapa hari selepas itu, masa keluar dengan Hana, Jack hisap ‘rokok elektrik’. Baru beli. Hana buat muka jelek.


Gadis Cilaka

0

Hai,


Ini bukan kali pertama aku cuba untuk bunuh diri.
Bukan kali pertama juga cuba melarikan diri, dan hidup mengembara.

Mereka selalu berkata-kata, jadi diri sendiri. Jadi diri sendiri; walau seteruk mana sebangsat mana pun kau tu. Kau cakap mudah lah. Tapi bila aku jadi diri sendiri. Kau semua lari.

Kenapa?

Aku cuma nak tahu kenapa sahaja.

Yang benar,
Gadis cilaka.

Pena digengam. Selesai tulis, Dia termenung sekejap. Keluh dihela. Diremuk remuk surat itu. Dia berdiri dari duduk di bucu tembok bangunan tinggi. Misi bunuh diri gagal buat kali ke 9.

Ahh..Persetankan lah! Desusnya sendiri dan surat terluka itu dibuang ke bawah. Pena dicelup dalam poket. "Eh. Alamak! Pintu rumah tak tutup! Matilah aku!" jeritnya dan berlari.


(adaptasi lebih kurang) apa yang kita ada dalam poket oleh Etgar Keret

2

Satu pemetik api, sebiji gula-gula batuk, sekeping setem, sebatang rokok yang sedikit bengkok, sebatang pencungkil gigi, sehelai sapu tangan, sebatang pen, dua keping syiling 5 shekel. Itu semua hanyalah secubit dari apa yang saya ada dalam poket ini. Jadi perlukah ada persoalan kenapa ianya boleh membonjol sebegitu rupa? Ramai yang musykil akan kebonjolan itu. Mereka kerap bertanya, 'Apa ke jadahnya dalam poket kau tu?' Kebanyakan masa saya tak jawab pun, saya cuma senyum. Ada tikanya saya hanya membalas dengan gelak tawa yang pendek dan sopan, seolah-olah si polan di depan saya ni baru saja membuat lawak yang tak kelakar namun atas dasar kemanusiaan saya gelakkan jua.

Dan kalaulah ada yang masih gigih mahu bertanya lagi, saya akan keluarkan kesemuanya, kemudian saya mungkin akan terangkan betapa pentingnya benda-benda itu saya bawa pada setiap masa. Nasib baiklah tiada yang segigih itu. Kronologinya selalu begini; Apa jadahnya, senyum@ketawa kecil, situasi senyap yang kekok, beralih ke topik yang lain.

Pada hakikatnya barang-barang itu telah saya pilih dengan teramat teliti supaya saya sentiasa bersedia. Bersedia supaya saya sentiasa ada 'kelebihan' tatkala momen kebenaran menampilkan diri. Emm, itu tak berapa tepat sebenarnya. Semuanya berada di situ supaya saya tak akan ada 'kekurangan' atau kelemahan tika munculnya momen kebenaran yang kerapkali tak dijangka. Kerana 'kelebihan' apa yang boleh saya dapat dengan pencungkil gigi atau setem? Tapi katakanlah, sebagai contoh, seorang gadis cantik - taklah cantik mana, cuma boleh dikatakan agak menarik, seorang gadis normal cuma tapi dengan senyum paling menawan yang boleh merentap nafas dan melangkau sedetik degup jantung - bertanyakan anda untuk sekeping setem, atau tak tanya pun. Dia cuma berdiri di situ, di tepi sebuah peti surat merah tika malam yang kehujanan, dengan sekeping envelop tanpa setem, kemudian bertanyakan anda lokasi pejabat pos terdekat, diselangi batuk-batuk kecil kerana dia sejuk, dan desperet, kerana gadis itu sedar tiada pejabat pos yang masih dibuka, lebih-lebih lagi pada waktu itu. Dan pada saat dan tika, pada momen kebenaran yang telah muncul, dia takkan tanya, 'Apa ke jadahnya ada dalam poket kau?'. Dia cuma akan terharu atas kewujudan setem yang terselit celah poket anda. Mungkin tidaklah sampai terharu, namun sekurang-kurangnya dia akan mengukir senyuman yang paling menawan itu, ukiran buat sekeping setem. Saya akan menerima urusniaga sebegitu dengan hati terbuka, walaupun harga setem melambung dan harga senyuman dah merudum teruk.

Selepas menawan saya dengan senyum termanis, dia akan ucap terima kasih, kemudian batuk lagi, sebab dia sejuk dan juga sebab dia dah segan. Saya akan tawarkan kepadanya gula-gula batuk yang saya ada. Si gadis akan bertanya 'Apa lagi yang awak ada dalam poket tu?' dengan lemah lembut, tanpa apa kejadahnya, tanpa negativiti, dan saya akan jawab tanpa ragu-ragu, 'Apa saja yang kamu mahukan, sayang. Apa. Saja. Yang. Kamu. Mahukan'

Sekarang anda tahu. Inilah yang saya ada dalam poket. Peluang. Peluang untuk ini. Peluang yang suam-suam sahaja, tidak wow, tak layak masuk dalam peratus kebarangkalian pun. Saya tahu. Saya bukan bodoh. Walaupun dengan peluang miniskul ya amat, tetapi katalah kebahagiaan yang sentiasa sibuk dengan orang lain itu tiba-tiba terlintas untuk datang menjenguk, saya akan ada pilihan untuk kata 'Ya', bukannya 'Maaf, saya tidak ada rokok/pencungkil gigi/syiling untuk apa yang kamu mahu lakukan itu'.  Inilah yang saya ada, padat dan membonjol, peluang untuk berkata ya, dan bukan maaf.



Jack & Hana

4


Di antara selang masa  dua buah bas yang sampai dan pergi, ketika itulah Jack bertemu dengan Hana buat pertama kalinya, di hentian bas. Jack, seorang lelaki biasa yang punya impian luar biasa. Hana pula seorang aktivis alam sekitar yang percaya bahawa bumi ini tercemar kerana tangan-tangan manusia sendiri yang terlampau rakus mengejar kekayaan sehingga mengabaikan kebersihan dan keindahan alam. Mungkin dia banyak terinspirasi dengan senaskah buku tebal yang jatuh dari sebuah kapal terbang ketika melintasi bumbung rumahnya suatu ketika dahulu. Pandangan mereka bertemu dalam suatu garis selari yang menyebabkan mata keduanya saling bertentangan. Bzzz! Ada percikan bunga api di mata mereka.

Jack dan Hana keluar bertemujanji pada minggu yang seterusnya (selepas saling berbalas senyuman). Jack, seorang lelaki biasa dengan gayanya yang biasa-biasa, memilih untuk berpenampilan lebih kemas pada hari tersebut. Hana pula mengelek senaskah buku tebal di celah ketiak yang sentiasa dibawanya ke sana ke mari. Mereka berdua lepak minum di sebuah kedai kopi bukan produk kapitalis. Mungkin pemilik kedai kopi itu seorang sosialis ataupun komunis. Kita semua kurang jelas tentang hal ini. Yang pastinya, kedai kopi tersebut mesra alam. Sudah tentulah ia pilihan Hana.

Mereka tak banyak berborak pada temujanji yang pertama itu. Hanya sesi perkenalan ringkas, saling berbalas senyuman dan kadang-kadang ketawa dalam nada yang rendah. Hana kelihatan santai dan mesra, cuma Jack yang sedikit cemas. Mungkin dia jarang bertemujanji dengan seorang gadis. Namun keadaan kembali terkawal apabila bayangan arwah neneknya muncul di dalam cawan kopi yang sedang berasap di hadapannya ketika itu. “Tenang Jack, hirup kopimu perlahan-lahan dengan gaya seorang lelaki.”


Makhluk Biru Turkois

3

sesampainya di hadapan kedai yasmeen nasi kandar, dua orang mamak tempoh hari datang sambut aku dengan senyuman paling manis dalam hidup mereka, mungkin. salah seorang mamak siap tolong tanggalkan helmet aku. berdebar juga aku dengan perangai mamak dua orang ni. aku pesan, jangan cuba reka cerita-cerita tahyul lagi. mereka cuma mengangguk. belum sempat cari tempat duduk, mamak tu dah tolong tarik kerusi dan hidang teh o ais. tak sampai 30 seken, nasi dah ada depan muka dengan lauk serupa gunung. ah, sudah! belum oder lagi, aku cakap. mamak tu kata, bawa bertenang dan makan. memandangkan aku memang sudah lapar benar, aku terus makan tanpa banyak soal.

sambil-sambil makan, aku tinjau suasana kedai mamak tu. memang ramai orang waktu tengahari macam ni. yang sedapnya, makwe pun ramai. semuanya jenis dahi lincin belaka, alahai. aku syak, makwe-makwe ni semua budak universiti berhampiran. ala, universiti yang namanya sama dengan nama bas tu. maklumlah bawah satu naungan. tengah sedap layan nasi kandar dan layan usya makwe, tiba-tiba seorang pak cik bermisai tebal di meja bersebelahan marah-marah serta meninggikan suara. dia cakap, meniaga apa macam ini kalau lambat cuci meja dan ambil pesanan. proses menyuap nasi ke mulut aku jadi sedikit terganggu. kenapa langsi sangat pak cik misai tebal ni? dah tua-tua ni kena banyak bersabar. aku renung pak cik tersebut dalam-dalam. dua orang mamak tadi kalut-kalut datang dan minta aku bersabar. ah, kenapa aku pula yang kena bersabar? sepatutnya, pak cik bermisai tu.

lepas habis makan, macam biasa aku akan bakar sebatang rokok. sedut nikotin selepas makan ibarat suatu nikmat dunia yang tidak terhingga. makwe-makwe berdahi licin tadi ramai yang dah bangun bayar dan keluar dari kedai. aku juga berkira-kira mahu bangun, bayar dan bergerak keluar. sampai di kaunter, aku disambut oleh sebuah senyuman  dari tauke yasmeen. kenapa dengan mamak-mamak yasmeen hari ni? aku terus hulur sepuluh ringgit, memandangkan lauk dalam pinggan aku tadi agak menggunung. tauke yasmeen tu cepat-cepat menolak. dia cakap tak payah bayar, dia belanja. hoi, dunia mahu kiamat kah? jarang benar kedai mamak mahu belanja orang makan. lepas tu dia cakap lagi, anytime nak makan datang ja, dan setiap dua puluh tujuh hari bulan, dia akan bayar wang perlindungan. apahal? aku malas nak tanya lebih-lebih. sebelum aku beredar, tauke yasmeen tu sempat melontarkan pujian. katanya, makhluk biru turkois dengan badan yang besar berketul tu comel dan nampak seksi. malas aku nak layan karenah mamak-mamak ni semua. asyik bercakap benda-benda tahyul saja.

walaubagaimanapun, aku dicengkam rasa hairan. sangat hairan. pelik benar perangai mamak-mamak tersebut hari ni. dan apa kaitannya aku dengan makhluk biru turkois berbadan besar tersebut? makhluk apakah itu? hulk? jangan nak mengarut. persoalan demi persoalan terus menerjah kotak fikiran sehinggalah ianya ditamatkan oleh sebuah panggilan telefon dari seorang teman, mengadu perihal di-rip off oleh sebuah syarikat percetakan buku indie. sebelum beredar, aku sempat pusing-pusing sekitar pekan arau, melihat kelibat makwe-makwe berdahi licin.



Stimulasi atau Metamorfosis

4


panas betul tengahari ni. tekak rasa kering, perut rasa lapar benar. kelopak mata pula rasa berat semacam ada beban yang menekannya turun. menunggang motosikal dalam kondisi ini boleh mengundang kecelakaan. aku buat brek kecemasan apabila melintas di depan kedai mamak. kurang dari tiga puluh seken, aku sudah berada dalam kedai mamak tersebut.

tanpa berlengah, aku menuju ke bahagian nasi dan lauk. astaga! ramai sangat pelanggan sedang beratur. barisan yang terhasil melimpah keluar dari dalam kedai sampai ke blok bangunan bersebelahan dan kini aku berada paling belakang dalam barisan. benar kata orang, penantian adalah suatu penyiksaan. aku sempat tumbuk dinding tanda protes sebelum pandangan jadi gelap secara total.

sedar-sedar, aku nampak kedai mamak itu lengang. ah, ini situasi yang jarang terjadi di sebuah kedai mamak. mana pergi semua pelanggan? keadaan kedai juga nampak berselerak dan agak huru-hara. seorang mamak datang memberi penjelasan. dia cakap, tadi aku pengsan sebelum berstimulasi menjadi makhluk yang besar berwarna biru turkois. seorang lagi mamak datang mencelah dan cuba membetulkan penjelasan kawannya. dia cakap, tadi aku bermetamorfosis menjadi hulk versi biru turkois dan makan semua pelanggan yang sedang beratur. yasmeen arau jadi kecoh gara-gara aku, katanya.

aku tarik nafas dalam-dalam sebelum menampar kedua-dua orang mamak tersebut. kenapa syirik sangat penjelasan mereka? hulk versi biru turkois? mengarut betul. lagi pun, mana ada hulk makan orang. pekan arau terasa sunyi sekali. selepas mengalihkan kerusi dan meja yang berselerak, aku melangkah keluar dari kedai mamak itu. oh ya, sebelum itu aku sempat pekena nasi kandar beserta teh o ais dengan harga lapan ringgit dua puluh sen. tengahari yang aneh, kata mereka. kata aku, biasa lah tu harga kedai mamak. 

dua orang mamak tadi sengaja bikin aku panas. aku masuk ke pasaraya c-mart bagi meredakan kepanasan. sedap juga pekena udara sejuk pendingin hawa dengan perut kenyang begini.


[Kispen] Gabrielle dan Theodore.

2

"Bergembira sahajalah nampaknya aku ini. Daripada terus-menerus berharap dan jatuh kecewa dalam pengharapan penantian aku." Gabrielle menongkat dagu sambil duduk mencangkung di hadapan cermin tinggi. Mukanya ceria. "Iya, aku rasa aku patut. Dengan cara itu, hidup aku akan lebih berwarna-warni dengan keceriaan!" Dia menggoyang-goyangkan jari telunjuknya. Seakan-akan budak yang baru belajar bagaimana mahu menunjuk guna telunjuk.

"Gab, kamu cakap dengan siapa tu?" Seorang lelaki masuk ke dalam bilik itu.

"Ah, bapak rupanya. Tak ada apalah. Gab saja cuba-cuba guna cermin ni. Bagus jugak ada cermin setinggi ni dalam bilik. Atas sampai bawah nampak jelas refleksinya." Gabrielle lantas bangun. Dia duduk di birai katil.

"Kenapa kamu ni? Nampak macam ada masalah saja?" Theodore duduk di kerusi meja bacaan Gabrielle.

"Hmm. Nampak jelas sangatkah saya ni bermasalah? Heheh." Gabrielle garu kepala. Dia tersipu-sipu. Bukan malu kerana punyai masalah, tetapi malu kerana masalahnya perlu dibincangkan dengan bapaknya.

"Tak adalah sangat. Tapi kalau dah makan pun tak habis macam selalu, tengok televisyen pun macam ziarah kematian, takkanlah tak ada sesuatu yang tak kena dengan kamu ni. Lagipun, kamu tu dah hidup 18 tahun dengan bapak. Setiap perubahan kamu tu bapak nampak, Gab." Theodore menjawab sambil mengusik-usik pen, kertas, buku, apasaja di meja belajar itu. "Kamu.. sudah jatuh cintakah?" Terus tepat memandang mata Gabrielle.

"Erk? Sampai begitu sekali konklusi bapak? Kenapa tak cakap saya ada masalah dalam pelajaran ke, masalah memandu ke.. masalah penglihatan ke..? Masalah cinta pulak yang bapak konklusikan?" Gabrielle tersengih-sengih.

"Tengok ni." Theodore lempar bukulakaran pada Gabrielle. Gabrielle terus sambut. "Siapa tu gadis tu? Bolehtahan lawa dia tu. Bapak nak kenal boleh tak? Kurang, kurang, bapak boleh pasang lagi satu. Heheh." Theodore sengih kambing.

Gabrielle omel perlahan-lahan tanpa bunyi yang jelas kedengaran. Dia buka satu-satu mukasurat bukulakarannya sambil tersenyum-senyum. "Iya, dia gadis idaman saya."

"Idaman sahajakah? Bila nak gerakkan tulang empat kerat tu, romeo?" Theodore bangun. Dia mahu pulang ke biliknya. Tiba-tiba sahaja rindu nak melihat wajah isteri tercinta. Tiba-tiba sahaja rindu nak membelai setiap inci tubuh isterinya.

"Hm. Sudah, bapak. Kata gadis ni, dia belum bersedia. Ada pelbagai lagi perkara yang dia perlu selesaikan sebelum mula bercinta." Gabrielle tutup bukulakaran. Dia juga bangun, lantas letakkan kembali buku itu di atas meja.

"Siapa namanya?"

"Natalie."

"Cantik nama tu. Tak apa, walaupun dia kata begitu, kamu janganlah berhenti memikat hatinya. Mungkin suatu hari nanti dia akan jatuh hati pada kamu seperti kamu jatuh hati padanya? Siapa tahu bukan? Yang penting, jangan putus asa. Kalau kamu penat, rehat sebentar. Duduk dahulu, uruskan kehidupan kamu yang lain. Akan tetapi, jangan pula kamu putus hubungan dengannya. Nanti melepas pula. Jangan sampai dia sangka kamu tidak serius dalam mengejarnya. Parah kamu nanti. Faham tak, Gab?" Sambil berbicara, sambil Theodore berjalan perlahan ke arah pintu. Matanya juga melilau-lilau ke seluruh inci bilik anak lelakinya itu. "Bilik kamu ni.. bagai ada mistletoe. Heheh." Sambung Theodore lagi.

"Mistletoe? Apa tu?" Gabrielle garu kepalanya lagi.

"Google-lah. Baiklah Gab. Bapak nak kembali ke bilik. Rindu pula pada mama kamu tu. Selamat malam. Tahniah kerana telah jatuh cinta. Semoga bertuah juga beroleh hati Natapadia tatau tu." Theodore senyum mesra.

"Natalie-lah bapak." Gabrielle juga balas senyum dengan senyum.

"Haa, ya. Apa-apalah. Malam." Theodore tutup pintu bilik.

"Malam... Nate." Bisik Gabrielle perlahan sambil tersenyum memandang lakaran wajah gadis yang dicintainya.


Post navigation