FOLLOWERS

Showing posts with label TAZKIRAH. Show all posts
Showing posts with label TAZKIRAH. Show all posts

Tuesday, January 4, 2011

TAZKIRAH : BERHATI-HATI APABILA BERBICARA

Assalamualaikum wbt,
 
Kita mungkin pernah mendengar ungkapan-ungkapan sepert 'lidah tidak bertulang' atau lidah itu lebih tajam daripada pedang. Daripada ungkapan-ungkapan itu nyatalah tugas lidah atau tutur kata amat besar dalam hidup manusia. Kesan terlanjur cakap tidak kurang yang tergadai maruah dan kerana mulut atau tutur kata juga menjadikan badan binasa.
 
 

Sunday, November 7, 2010

TAZKIRAH : ALLAH TAHU KENAPA SAKIT

SOALAN:
 
Saya masih tidak jelas dengan apa yang dimaksudkan dengan “kifarah”. Adakah seseorang yang telah dikenakan kifarah ketika hidup di dunia tidak akan diberi balasan lagi ketika di akhirat kelak?  – B DIN, Arau
 
JAWAPAN:
 
Jawapan bagi soalan yang hampir serupa dengan soalan ini telah saya jelaskan dalam ruangan yang lalu.
 
Kifarah bererti balasan Allah s.w.t. ke atas hamba-Nya yang mukmin ketika hidup di dunia akibat daripada dosa-dosa yang dilakukan olehnya. Allah telah menjelaskan bahawa setiap perbuatan manusia yang dilakukan di dunia ini, biar betapa kecil sekalipun akan diperlihatkan kepada pelakunya dan akan dibalas di akhirat kelak.
 
Manusia sering mengalami sakit, kemalangan yang menyebabkan kehilangan pancaindera, kehilangan harta benda, kematian orang yang dikasihi, kebakaran dan sebagainya. Manusia menganggap sebagai satu kecelakaan yang menyakitkan. Setiap orang cuba, berusaha untuk mengelakkan, namun, sekiranya Allah itu telah menentukan qadak dan qadarnya maka kecelakaan itu telah berlaku.
 
Tidak ada manusia yang tahu rahsia-rahsia di sebalik pelbagai kecelakaan atau kemalangan yang telah ditetapkan Allah. Boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia adalah baik bagi kamu. Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu walhal ia jahat bagi kamu (al-Baqarah: 216).
 
Bencana dunia lumrahnya dapat ditanggung oleh manusia. Pada kebiasaannya, manusia akan menjerit ketika sakit atau merengek apabila penderitaan itu berpanjangan dan tidak berupaya menjerit. Manusia akan jatuh pengsan apabila kesakitan itu bersangatan.
 
Dengan itu manusia tidak akan berasa kesakitan. Hal demikian tidak akan berlaku ketika Allah mengazab atau menyeksa hamba-Nya di akhirat kelak akibat daripada dosa-dosa yang dilakukan oleh seseorang hamba di dunia. Azab neraka akan berterusan. Kulit yang hangus terbakar akan diganti dengan kulit yang baru dan menerima seksa.
 
Abu al-Laithi menyatakan yang ia telah melawat Rasulullah s.a.w. ketika baginda sakit kuat. Ia telah menyentuh tubuh baginda dan berkata yang bermaksud: Panas badan tuan amat kuat. Baginda menjawab: Benar. Panas bagaikan panas dua orang daripada kamu. Lalu dijawab oleh Ab al-Laithi: Ini kerana tuan mendapat pahala dua kali ganda. Mendengarkan kata-kata itu baginda bersabda yang bermaksud: Benar. Demi Allah yang jiwa ku di tangan-Nya, tidak ada seorang Islam di muka bumi ini ditimpa sakit atau lain-lain bala melainkan dihapuskan dosa-dosanya seumpama pohon yang digugurkan daunnya.
 
Sayidatina Aishah berkata bahawa baginda rasulullah ada bersabda yang bermaksud: Tidak menimpa ke atas seorang mukmin suatu kecelakaan, biarpun satu duri atau yang lebih teruk daripada itu, melainkan Allah menggugurkan dengan kecelakaan itu satu dosa.
 
Rasulullah juga ada bersabda yang bermaksud: Rintihan orang yang sakit adalah merupakan tasbih, jeritannya sebagai tahlil dan kegelisahannya daripada satu bahagian itu ke bahagian lain adalah jihad di jalan Allah dan akan dicatatkan baginya sebaik-baik amalan yang pernah dilakukan ketika sihat dahulu.
 
Hadis ini menjelaskan bahawa penderitaan sakit yang dialami oleh seseorang itu diberi ganjaran oleh Allah selain menebus dosa yang dilakukan sebelum itu. Terlalu besar ganjaran Allah kepada orang yang menderita kesakitan berdasarkan keterangan hadis tadi. Dalam masa yang sama, sekiranya orang yang berkenaan tidak berupaya melakukan ibadah lagi, akibat kesengsaraan yang ditanggung, tempoh masa tersebut akan diberi ganjaran oleh Allah dengan sebaik-baik ganjaran amal yang pernah dilakukan sebelum itu. Hadis ini secara tidak langsung menggalakkan seseorang itu melakukan amalan sebaik boleh ketika hidupnya. Demikianlah kemurahan Allah terhadap hamba-Nya yang beriman.
 
Pada kebiasaannya manusia itu akan lebih insaf andainya sesuatu bukti itu dapat dilihat dengan mata kepala sendiri. Hadis yang baru dijelaskan tadi boleh menyekat seseorang itu daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran ketika hidup, kerana kejahatan manusia itu tidak semestinya dibalas ketika di akhirat kelak. Itulah yang diistilahkan sebagai kifarah. Sesungguhnya balasan di dunia itu (kifarah) diberi oleh Allah ke atas hamba-Nya yang dikasihi.
 
Pada satu ketika, seorang lelaki telah datang menemui rasulullah mengadu yang harta bendanya telah habis, manakala tubuh badannya sakit. Mendengarkan aduan itu rasulullah berkata: Tidak baik seorang hamba yang tidak kehilangan harta bendanya dan tidak sakit badannya. Sesungguhnya Allah itu apabila Ia mengasihi seorang hamba, ia akan mengujinya dan apabila ia diuji, maka Allah s.w.t. akan memberinya kesabaran.
 
Tugas manusia itu adalah berusaha berlandaskan kepada ketetapan yang disyariatkan. Berusaha mencari nafkah untuk keperluan hidup dan berubat apabila sakit. Setelah itu seseorang itu perlu bertawakal, menyerahkan diri kepada Allah dan reda dengan ketentuan Allah tidak kira sama ada ketentuan itu baik seperti yang diharapkan atau buruk seperti yang cuba dihindarkan. Itulah yang dinamakan sebagai “qana’ah” iaitu reda dengan ketentuan dan ketetapan Ilahi. Andainya seseorang itu berupaya memahami hakikat ini, ia akan beroleh ketenangan dalam hidupnya.
 
Dalam menerima ujian dan bala Allah seseorang itu perlu sabar. Sesungguhnya balasan orang yang sabar itu amat besar (az-Zumar: 10). Menyentuh tentang kesabaran, rasulullah ada bersabda yang bermaksud: Allah s.w.t telah berfirman: Apabila aku menghadapkan kepada seorang daripada kalangan hamba-Ku satu kecelakaan pada tubuh badannya, hartanya atau anaknya, kemudian ia menerimanya dengan kesabaran yang baik, nescaya Aku malu daripadanya pada hari kiamat, bahawa Aku akan tegakkan baginya neraca timbang amal atau Aku bukakan baginya buku suratan amal.
 
Sakit pada pertimbangan mata kasar adalah bala. Hanya Allah mengetahui kenapa seseorang itu sakit. Mungkin ia ditentukan sebagai kifarah atau sebab-sebab lain, seperti kerana mengangkat makam seseorang ke satu peringkat yang lebih tinggi.
 
Ternyata di sini bahawa sakit itu merupakan satu jalan yang memang telah ditetapkan untuk tujuan tertentu. Dalam pengertian lain, tanpa sakit, kifarah yang dikenakan tidak terlepas. Kerana itu sakit itu perlu dikenakan untuk tujuan tersebut, tidak kira sama ada sakit itu hanya untuk tujuan tersebut, tidak kira sama ada sakit itu hanya untuk sementara, iaitu dalam jangka masa pendek atau panjang atau hingga membawa mati.
 
Keterangan ini mengajar manusia agar mereka tidak gusar andainya mendapati ada orang yang tidak sembuh-sembuh sakitnya, biarpun setelah puas berubat. Tugas manusia ialah berikhtiar, manakala penyembuhnya adalah urusan Ilahi.


Penulis:  Dr Amran Kasimin
Terbitan asal: Mingguan Malaysia   Online 26 Ogos 2007

url artikel:
http://grenbara.bravejournal.com/entry/23176


Friday, October 29, 2010

TAZKIRAH : MENGAPA KITA MEMBACA SURAH AL-KAHFI SETIAP MINGGU

Kelebihan Surah al-Kahfi

- Abu Sa‘id al-Khudri meriwayatkan bahawa Rasulullah s.‘a.w bersabda: “Sesiapa yang membaca al-Kahfi pada hari Jumaat, pasti nur akan meneranginya antara dua Jumaat.” (Riwayat dikemukakan oleh al-Sayuti – dinilai Sahih).

- Abu Darda’ meriwayatkan bahawa Rasulullah s.‘a.w bersabda: “Sesiapa yang menghafaz sepuluh ayat dari awal surah al-Kahfi, ia terpelihara daripada Dajjal.” (Riwayat Muslim – dinilai Sahih).

Sebenarnya surah mengandungi pelbagai perkara tersirat. Surah al-Kahfi merupakan salah satu daripada lima surah yang dimulai dengan Alhamdulillah, iaitu: al-Fatihah, al-Kahfi, al-An’am, Saba dan Fathir.

Di dalam al-Kahfi disebutkan empat perkara fitnah.

1) Fitnah pada agama: Kisah Ashabul Kahfi (Penghuni Gua)
2) Fitnah harta: Kisah pemilik dua kebun
3) Fitnah ilmu: Kisah Nabi Musa dan Nabi Khidhir
4) Fitnah kuasa: Kisah Zul Qarnain


Bagi setiap fitnah yang disebutkan disebutkan juga ayat pelindung baginya:

1) Fitnah pada agama: Kisah pemuda yang berlindung di dalam gua daripada pemerintah yang zalim. Lalu berlaku perkara yang menakjubkan. Mereka tinggal di dalam gua selama lebih 300 tahun.

Kemudian disebutkan ayat perlindungan iaitu:

اصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُم بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ ۖ وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُ عَن ذِكْرِنَا وَاتَّبَعَ هَوَاهُ وَكَانَ أَمْرُهُ فُرُطًا
Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran. (al-Kahfi: 28)

Dengan demikian, perlindungan daripada fitnah pada agama adalah dengan berdamping dengan orang-orang soleh dan menghindari perhiasan hidup di dunia yang memperdayakan.

2) Fitnah Harta: Kisah pemilik dua kebun yang kaya. Allah SWT telah memberikan kepadanya segala apa yang dikehendakinya. Tetapi dia kufur dan ingkar terhadap hari kebangkitan. Lalu Allah SWT membinasakan dua bidang kebun itu.

Kemudian disebutkan ayat perlindungan iaitu:

وَاضْرِبْ لَهُمْ مَثَلَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا كَمَاءٍ أَنْزَلْنَاهُ مِنَ السَّمَاءِ فَاخْتَلَطَ بِهِ نَبَاتُ الْأَرْضِ فَأَصْبَحَ هَشِيمًا تَذْرُوهُ الرِّيَاحُ وَكَانَ اللَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ مُقْتَدِرًا (45) الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِنْدَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلًا (46)
Dan kemukakanlah kepada mereka misal perbandingan: Kehidupan dunia ini samalah seperti air yang Kami turunkan dari langit, lalu bercampur aduklah tanaman di bumi antara satu sama lain (dan kembang suburlah ia) disebabkan air itu; kemudian menjadilah ia kering hancur ditiup angin; dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan. (al-Kahfi: 45-46)

Dengan demikian, perlindungan daripada fitnah harta ialah dengan menyedari tentang hakikat dunia dan mengingati akhirat.

3) Fitnah Ilmu: Kisah Saidina Musa AS dan Khidhir AS. Dalam beberapa peristiwa, Nabi Musa tidak memahami hikmah dan melihat pada zahir sahaja.

Kemudian disebutkan ayat perlindungan iaitu:

قَالَ سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّهُ صَابِرًا وَلَا أَعْصِي لَكَ أَمْرًا

Nabi Musa berkata: "Engkau akan dapati aku, Insya Allah: orang yang sabar; dan aku tidak akan membantah sebarang perintahmu". (al-Kahfi: 69)

Dengan demikian, perlindungan daripada fitnah ilmu ialah dengan tawadhuk, sabar dan tidak terpedaya dengan ilmu.

4) Fitnah Kuasa: Kisah Zul Qurnain yang memiliki kuasa pemerintahan dari timur ke barat bumi. Beliau telah menolong satu kaum yang takut kepada Yakjuj dan Makjuj lalu ia menolong mereka membina benteng.

Kemudian disebutkan ayat perlindungan iaitu:

قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُم بِالْأَخْسَرِينَ أَعْمَالًا الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا

Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?
(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan". (al-Kahfi: 103-104)

Dengan demikian, perlindungan daripada ialah dengan ikhlas kepada Allah dalam amalan.

Penutup suruh ini disudahi dengan ayat perlindungan dari semua jenis fitnah:

قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ يُوحَىٰ إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَٰهُكُمْ إِلَٰهٌ وَاحِدٌ ۖ فَمَن كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صَالِحًا وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا

Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya". (al-Kahfi: 110)



Petikan dari  ; http://sapaanmakrifat.blogspot.com/2010/03/mengapa-kita-membaca-surah-al-kahfi.html



Tuesday, October 19, 2010

TAZKIRAH : 6 PERKARA ALLAH SEMBUNYIKAN

PDF Cetak
Allah SWT selesai menciptakan Jibrail a.s dengan bentuk yang cantik, dan Allah menciptakan pula baginya 600 sayap yang panjang , sayap itu antara timur dan barat (ada pendapat lain menyatakan 124, 000 sayap). Setelah itu Jibrail a.s memandang dirinya sendiri dan berkata:
"Wahai Tuhanku, adakah engkau menciptakan makhluk yang lebih baik daripada aku?."

Lalu Allah swt berfirman yang bermaksud.. "Tidak"

Kemudian Jibrail a.s berdiri serta solat dua rakaat kerana syukur kepada Allah swt. dan tiap-tiap rakaat itu lamanya 20,000 tahun.

Allah SWT berfirman yang bermaksud. "Wahai Jibrail, kamu telah menyembah aku dengan ibadah yang bersungguh-sungguh, dan tidak ada seorang pun yang menyembah kepadaku seperti ibadat kamu, akan tetapi di akhir zaman nanti akan datang seorang nabi yang mulia yang paling aku cintai, namanya Muhammad.' Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa, sekiranya mereka itu mengerjakan solat dua rakaat yang hanya sebentar sahaja, dan mereka dalam keadaan lupa serta serba kurang, fikiran mereka melayang bermacam-macam dan dosa mereka pun besar juga. Maka demi kemuliaannKu dan ketinggianKu, sesungguhnya solat mereka itu aku lebih sukai dari solatmu itu. Kerana mereka mengerjakan solat atas perintahKu, sedangkan kamu mengerjakan solat bukan atas perintahKu."
Kemudian Jibrail a.s berkata: "Ya Tuhanku, apakah yang Engkau hadiahkan kepada mereka sebagai imbalan ibadat mereka?"
Lalu Allah berfirman yang bermaksud. "Ya Jibrail, akan Aku berikan syurga Ma'waa sebagai tempat tinggal..."
Kemudian Jibrail a.s meminta izin kepada Allah untuk melihat syurga Ma'waa. Setelah Jibrail a.s mendapat izin dari Allah SWT maka pergilah Jibrail a.s dengan mengembangkan sayapnya dan terbang, setiap dia mengembangkan dua sayapnya dia boleh menempuh jarak perjalanan 3000 tahun, terbanglah malaikat jibrail a.s selama 300 tahun sehingga ia merasa letih dan lemah dan akhirnya dia turun singgah berteduh di bawah bayangan sebuah pohon dan dia sujud kepada Allah SWT lalu ia berkata dalam sujud:
"Ya Tuhanku apakah sudah aku menempuh jarak perjalanan setengahnya, atau sepertiganya, atau seperempatnya? "
Kemudian Allah swt berfirman yang bermaksud. "Wahai Jibrail, kalau kamu dapat terbang selama 3000 tahun dan meskipun aku memberikan kekuatan kepadamu seperti kekuatan yang engkau miliki, lalu kamu terbang seperti yang telah kamu lakukan, nescaya kamu tidak akan sampai kepada sepersepuluh dari beberapa perpuluhan yang telah kuberikan kepada umat Muhammad terhadap imbalan solat dua rakaat yang mereka kerjakan.... .."
Marilah sama2 kita fikirkan dan berusaha lakukan... Sesungguhnya Allah S.W.T telah menyembunyikan enam perkara iaitu :
* Allah S.W.T telah menyembunyikan redha-Nya dalam taat.
* Allah S.W.T telah menyembunyikan murka-Nya di dalam maksiat.
* Allah S.W.T telah menyembunyikan nama-Nya yang Maha Agung di dalam Al-Quran.
* Allah S.W.T telah menyembunyikan Lailatul Qadar di dalam bulan Ramadhan.
* Allah S.W.T telah menyembunyikan solat yang paling utama di dalam solat (yang lima waktu).
* Allah S.W.T telah menyembunyikan (tarikh terjadinya) hari kiamat di dalam semua hari

http://portal.perak.gov.my/bdakwah/

Sunday, October 10, 2010

TAZKIRAH : ALAM BARZAH DESTINASI YANG PASTI

alt

Ya, alam barzakh atau alam kubur destinasi yang wajib kita lalui selepas ini, pasti akan kita tempuhi tanpa ada keraguan. Beriman dengan alam kubur termasuk sebahagian dari beriman dengan rukun iman iaitu beriman dengan hari akhirat. Itulah iktikad Ahli Sunnah wal Jamaah.

Di alam kuburlah bermula kehidupan yang sebenarnya. Kehidupan yang ditentukan berdasarkan amalan dan bekalan yang kita sediakan semasa hidup di dunia ini. Di sana kita akan berdepan dengan fitnah (ujian) yang dahsyat. Berdepan dengan soalan dua malaikat yang ditugaskan. Tiada siapa yang mampu menolong kita melainkan rahmat Allah s.w.t yang diperolehi dengan ketaatan dan pengabdian diri kepadaNya.

Setiap individu yang menempuhi alam kubur wajib akan mengalami fitnah kubur. Iaitu ujian berupa pertanyaan dua malaikat Munkar dan Nakir tentang Rabbnya, agamanya dan Nabinya sebagaimana dijelas oleh Rasulullah s.a.w dalam sumber yang sahih. Dari ujian ini akan diketahui apakah kita termasuk hambaNya yang jujur keimanannya sehingga berhak mendapatkan nikmat kubur, atau apakah kita termasuk yang dusta keimanannya sehingga berhak dibalas dengan azab yang menyeksakan.

Hanya keteguhan iman yang akan menjamin keselamatan dari azab kubur. Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa sabda Nabi saw:

"Jika seorang mukmin telah didudukkan di dalam kuburnya kemudian didatangi (dua malaikat dan bertanya kepadanya) maka dia akan (menjawab) dengan mengucapkan dua kalimat syahadah:

أَنْ لاَ إِله إِلاَّ اللهُ وَ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهِ

Itulah 'ucapan yang teguh (القول الثابت ) sebagaimana yang tertera dalam firman Allah Ta'ala:

يُثَبِّتُ اللَّهُ الَّذِينَ ءَامَنُوا بِالْقَوْلِ الثَّابِتِ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الْآخِرَةِ وَيُضِلُّ اللَّهُ الظَّالِمِينَ وَيَفْعَلُ اللَّهُ مَا يَشَاءُ

"Allah meneguhkan dengan 'ucapan yang teguh' kepada orang-orang yang beriman dalam kehidupan di dunia dan di akhirat." (Surah Ibrahim: 27)

Ujian yang akan kita hadapi di alam kubur merupakan ujian yang berat sama berat dengan ujian berdepan dengan fitnah al-Masih al-Dajjal di akhir zaman ini. Aisyah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda:

"Telah diwahyukan kepadaku sungguh akan ditimpakan fitnah kepada kalian di dalam kubur-kubur kamu seperti atau hampir mirip dengan fitnah al-Masih al-Dajjal." (Imam al- Bukhari dan Muslim)

Hakikatnya fitnah Dajjal merupakan fitnah paling besar dari fitnah-fitnah yang terjadi sejak diciptakan Nabi Adam a.s sampai hari kiamat nanti. Rasulullah saw bersabda:

"Tidak ada fitnah yang paling besar sejak diciptakan Adam sampai hari kiamat dibanding dengan fitnah Dajjal." (Imam Muslim).

Kita biasa mengiringi jenazah ke tanah perkuburan, menurunkan jenazah ke liang kubur atau seringkali kita menziarahi kubur sanak saudara yang telah meninggal dunia. Dengan pancaindera kita dapati kubur tempat yang sunyi sepi. Itu pada pandangan zahir kita. Namun realiti ialah terdapat pekikan dan jeritan oleh penghuni-penghuni kubur yang sedang diazab. Sabda Rasulullah saw :

Sesungguhnya umat ini akan diuji di dalam kubur. Kalaulah kerana aku bimbangkan kamu tidak mahu menguburkan jenazah, nescaya aku akan berdoa agar Allah memperdengarkan kepada kamu azab kubur sebagaimana apa yang aku dengar. ( imam Muslim)

Nabi s.a.w juga bersabda : Aku tidak pernah melihat satu pemandangan yang lebih dahsyat daripada azab kubur. ( Riwayat al-Tirmizi dan Ibn majah, dihasankan oleh al-Albani).

Oleh sebab itulah bila jenazah dikuburkan maka dianjurkan bagi kita untuk mendoakan untuk jenazah. Rasulullah saw bersabda:

اسْتَغْفِرُوا لأَخِيْكُمْ وَاسْأَلُوا لَهُ التَثْبِيْتَ فَإِنَّهُ الآنَ يُسْئَلُ

"Pohonkan keampunan untuk saudaramu, dan mohonkan untuknya keteguhan (iman), kerana sesungguhnya dia sekarang sedang ditanya." (Sahihul Jami').

Usaha-usaha untuk menghindari azab kubur:

1. Memantapkan keimanan kepada Allah serta mengukuhkan tauhid serta akidah dalam jiwa. Hendaklah memahami dan menghayati kalimah syahadah. Iaitu mengesakan Allah, menghindari sebarang amalan yang boleh membawa kepada syirik. Kita juga hendalklah mencintai dan mengamalkan sunnah Rasulullah saw dalam kehidupan. Inilah benteng yang sebenar berdasarkan ayat al-Quran dan hadis sebelum ini. Iaitu dikurniakan 'ucapan yang kukuh'( القول الثابت)

2. Sentiasa bertaubat kepada Allah atas segala dosa dan kejahatan yang dilakukan. Dosa-dosa itulah sebenarnya yang menyebabkan azab kubur sebagaimana sabda nabi saw yang menjelaskan keadaan ahli maksiat bila didatangkan kepadanya seorang lelaki dengan rupa yang hodoh. Bila ditanya orang itu menjawab :
Aku adalah amalanmu yang buruk. Demi Allah, tidaklah aku mengetahuimu, kecuali engkau adalah orang yang berlambat-lambat dari melakukan ketaatan kepada Allah dan bergegas kepada kemaksiatan kepada Allah. Maka Allah membalasmu dengan yang terburuk.( Abu Daud, disahihkan oleh Syaikh Al-Albani)

3. Memohon perlindungan dengan Allah dari azab kubur. Sabda baginda saw :
"Mohonlah perlindungan kepada Allah dari adzab kubur (diulangi sampai 2/3 kali)." Kemudian Rasululah s.a.w. berdoa:

اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُبِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ
"Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan kepadaMu dari azab kubur (diulang 3 kali)."
Kita juga hendaklah mengamalkan doa yang dibaca oleh Rasulullah saw pada akhir solat iaitu selepas tasyahhud sebelum salam. Iaitu doa :

اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُبِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَ الْمَمَاتِ
وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيْحِ الدَّجَّالِ
"Ya Allah, aku memohon perlindungan kepadaMu dari azab jahannam, dari azab kubur, dan dari fitnah selama hidup dan sesudah mati, serta dari fitnah al-Masih al-Dajjal." (Imam Muslim).

4. Membaca surah Al-Mulk
Dari Ibnu Abbas r.a bahawa Nabi saw bersabda:
"Ia (surah Al-Mulk) adalah penghalang, dia adalah penyelamat yang akan menyelamatkan pembacanya dari azab kubur." (al-Tirmizi, disahihkan oleh al-Albani)

Demikian beberapa cara untuk menyelamatkan diri dari azab kubur. Semoga Allah SWT merahmati dan memelihara kita semua daripada menerima azab dalam destinasi hidup kita berikutnya yang pasti kita hadapi.

Jum, 08 Okt 2010 02:38 | aisyah insyirah | Editor: sakura abyad303

http://www.iluvislam.com/tazkirah/nasihat/923-alam-barzakh-destinasi-yang-pasti.html

Sunday, October 3, 2010

AS-SYIFA' MELAKA : TAZKIRAH : WASIAT SAYYIDINA ALI KARRAMALLAHU WAJHAH

 
1. Peringatan buat dirimu yang mana pasar itu merupakan suatu tempat yang boleh merosakkan akhlak.  

2. Sesuatu yang hendak dicapai oleh keelokan budi pekerti itu ialah rasa malu seseorang pada diri sendiri.  

3. Tiada pusaka peninggalan yang lebih bermanfaat daripada elok budi pekerti.  

4. Cucikan hati kamu dengan beradab sebagaimana api membakar  sesuatu dengan kayu.  

5. Sesiapa yang dilantik menjadi pemimpin kepada manusia maka dia hendaklah mengajar dirinya terlebih dahulu sebelum mengajar orang lain. Dan dia hendaklah memperelokkan setiap tindak tanduknya seharian sebelum memperelokkan dengan lidah. Dan sesiapa yang mengajar dirinya sendiri serta memperelokkannya lebih layak untuk mendapat kemuliaan daripada mereka yang mengajar dan memperelokkan manusia yang lain.  

6. Elok pekerti merupakan gedung ketika berhajat padanya.  

7. Kualiti setiap sesuatu itu dinilai pada kebaikannya.  

8. Apabila kamu merasa letih kerana berbuat kebaikan maka sesungguhnya keletihan itu akan hilang dan kebaikan yang dilakukan akan terus kekal. Dan sekiranya kamu berseronok dengan dosa maka sesungguhnya keseronokan itu akan hilang dan dosa yang dilakukan akan terus kekal.  

9. Sekiranya kamu merasa letih kerana melakukan sesuatu yang baik maka keletihan itu kan hilang dan perbuatan baik yang kamu lakukan terus kekal.  

10. Jika kamu tidak mahu melupakan segala kebaikan yang dilakukan maka kamu hendaklah mengulangi  di dalam membuat kebaikan itu.  

11. Ratapilah saudaramu dengan berbuat baik padanya dan jauhilah kejahatannya dengan bersedekah padanya.  

12. Sesuatu yang tidak elok untuk diperkatakan sekalipun ia benar iaitu puji diri sendiri.  

13. Seelok-elok kesihatan itu adalah memberi sesuatu dan ketaatan merupakan gedung yang tidak akan musnah.  

14. Dua nikmat yang sering dilupakan ialah kesihatan dan keselamatan.  

15. Kecantikan bukan terletak pada pakaian yang dipakai tetapi ia bergantung kepada keelokan akhlak dan budi pekerti.  

16. Banyak berhutang akan menggelincirkan orang yang benar kepada pendustaan.  

17. Tepati janji merupakan kembar kepada benar.  

18. Kemarahan orang yang berakal dilihat pada tindak tanduknya dan kemarahan yang ada pada orang jahil itu dapat dilihat melalui perkataannya.  

19. Permulaan bagi perasaan marah itu adalah hilang pertimbangan manakala penghabisannya pula adalah perasaan menyesal.  

20. Tidak dikira lemah lembut jika ia timbul ketika redha tetapi lemah lembut yang sebenar akan timbul ketika dalam keadaan marah.  

21. Sesiapa yang tunduk kepada perasaan marah menyebabkan akhlaknya kurang.  

22. Bagi setiap nikmat ada kunci yang membukanya dan ada kunci yang akan menyelaknya yang mana kunci pembukanya adalah sabar dan kunci penyelaknya adalah malas.  

23. Sesiapa yang malas tidak akan menunaikan tanggungjawabnya.  

24. Ketua kepada kejahilan itu adalah gedung kemalasan



Petikan dari : http://www.aki2004.wordpress.com/

Thursday, September 16, 2010

TAZKIRAH : MENYOROT PERISTIWA PERANG UHUD DI BULAN SYAWAL TAHUN KE-3 HIJRAH (eKhutbah Pilihan)


الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 140 surah Ali ‘Imran :

إن يمسسكم قرح فقد مس القوم قرح مثله وتلك الأيام نداولها بين الناس وليعلم الله الذين ءامنوا ويتخذ منكم شهداء والله لايحب الظــلمين
Maksudnya : Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka maka sesungguhnya kaum kafir itu pun (dalam perang Badar) mendapat luka yang sama. Dan masa kejayaan dan kekalahan itu, Kami gilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pengajaran). Dan agar Allah membezakan orang-orang beriman (dengan orang-orang kafir) dan supaya sebahagian kamu dijadikanNya gugur sebagai syuhada’. Dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim

            Kita sekarang ini masih berada di dalam bulan Syawal di mana kehangatan sambutan eidil fitri masih hangat terasa. Anugerah hari raya bagaikan suatu majlis penerimaan ijazah kepada umat Islam yang baru sahaja berjaya menamatkan pendidikan dan tarbiah diri di universiti Ramadhan yang baru lalu.  Malah galakan berpuasa 6  hari di bulan Syawal ketika umat Islam sedang  berseronok menyambut hari raya bagaikan suatu isyarat bahawa pemergian Ramadhan bukan bererti terhentinya proses dalam mendidik diri serta mengawal nafsu dengan meneruskan segala amal soleh seperti puasa sunat, membaca serta mengamalkan al-Quran, jinak dengan masjid dan sebagainya. 

Adalah suatu yang amat rugi apabila seseorang yang telah berjaya mendidik nafsu dalam diri ketika berlangsungnya tarbiah Ramadhan akhirnya kembali menjadi hamba kepada nafsu dengan berlalunya Ramadhan. Apakah untungnya jika sebulan Ramadhan dijadikan medan untuk merapatkan diri kepada Allah sedangkan kedatangan Syawal dijadikan medan untuk memperbanyakkan maksiat terhadap Allah. Ingatlah bahawa orang yang paling bijak ialah orang yang bersiap menyediakan bekalan untuk hari akhiratnya sedangkan orang yang dungu ialah orang yang sibuk dengan habuan dunianya yang pasti ditinggalkan bila-bila masa sahaja. 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

            Kedatangan Syawal mengingatkan kita kepada beberapa peristiwa besar yang pernah berlaku dalam bulan ini seperti Peperangan Uhud, Peperangan Ahzab atau Khandak dan Peperangan Hunain. Ketika menyentuh tentang peperangan Uhud yang berlaku pada pertengahan bulan Syawal tahun ke-3 Hijrah di mana sebelum keluar berperang maka Rasulullah s.a.w telah bermesyuarat dengan para sahabat samada mahu berkubu di dalam di dalam Kota Madinah di mana pendapat ini merupakan cadangan daripada Rasulullah s.a.w sendiri berdasarkan kepada mimpinya iaitu tentang baginda melihat beberapa ekor lembu disembelih yang ditakwil dengan beberapa orang para sahabat yang gugur syahid, pedang yang sumbing yang ditakwil dengan ahli keluarga baginda yang ditimpa musibah manakala baju besi ditakwil dengan Madinah. 

Tetapi ada cadangan kedua daripada golongan muda terutama mereka yang tidak sempat keluar dalam peperangan Badar dahulu termasuk Sayyidina Hamzah yang mencadangkan agar tentera Islam keluar berperang di Uhud luar Madinah dengan alasan supaya musuh tidak menganggap bahawa tentera Islam takut. Akhirnya Rasulullah s.a.w memilih pendapat supaya keluar berperang di Uhud sehingga adanya suara daripada para sahabat agar baginda menarik balik cadangan itu lalu Rasulullah s.a.w dengan tegas menyatakan : “ Tidak patut bagi seorang nabi apabila sudah memakai baju besi maka dia meletaknya semula sehinggalah Allah membuat keputusan antaranya dan musuhnya”.

            Tentera Islam pada asalnya berjumlah seribu orang tetapi pada pertengahan jalan menuju ke Uhud maka ketua munafik iaitu Abdullah bin Ubai bersama 300 orang lagi telah menarik diri yang menyebabkan tentera Islam yang terus kekal bersama dengan Rasulullah s.a.w hanya berjumlah 700 orang terpaksa berdepan dengan bala tentera musuh seramai 3000 orang. Ini merupakan antara ujian awal kepada keimanan dan ketaatan tentera Islam kepada Allah dan rasulNya di mana umat Islam pada hari mesti mengambil pengajaran penting daripadanya antaranya bahawa dalam berjuang menegakkan agama Allah di muka bumi ini maka kita terpaksa berdepan berdepan musuh nyata iaitu kuffar dan juga musuh dalam selimut iaitu munafik.

 Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Pada peringkat pertama, tentera Islam telah mencapai kemenangan  tetapi pada peringkat kedua  tentera Islam menerima ujian kekalahan di mana 70 orang telah gugur Syahid termasuk Sayyidina Hamzah bin Abdul Muttalib. Antara sebab yang jelas kepada berlakunya kekalahan peringkat kedua ini ialah keengkaran sebahagian besar daripada kumpulan pemanah yang turut turun mengutip harta rampasan perang dengan alasan tentera Islam telah pun menang dan juga ada yang bimbang jika habuan untuk mereka akan dinafikan.

Peperangan Uhud telah menjelaskan sikap di kalangan tentera Islam sendiri di mana ada yang berjuang kerana mahu habuan dunia antaranya berbentuk harta rampasan perang dan ramai yang berjuang benar-benar ikhlas kerana Allah. Sebab itulah adanya ahli tafsir daripada kalangan para sahabat ketika menafsirkan beberapa ayat  dari surah Ali ‘Imran berkenaan Peperangan Uhud menyatakan bahawa beliau tidak pernah menyangka bahawa ada juga di kalangan tentera Islam yang telah ditarbiah oleh Rasulullah s.a.w sendiri masih lagi tamak kepada habuan dunia. Sekiranya Allah tidak membongkarkan perkara ini dalam al-Quran maka ia tidak diketahui oleh sesiapa. Perkara ini boleh kita dapati melalui firman Allah antaranya dalam ayat  145 surah Ali ‘Imran :

وما كان لنفس أن تموت إلا بإذن الله كتـبا مؤجلا  ومن يرد ثواب الدنيا نؤته منها ومن يرد ثواب الآخرة نؤته منها وسنجزى الشــكرين

Maksudnya : Tiada suatu jiwa pun akan mati melainkan dengan izin Allah melalui suatu suratan yang telah ditetapkan. Sesiapa yang mahu habuan dunia maka Kami akan berikan kepadanya. Dan sesiapa yang inginkan pahala akhirat maka Kami juga akan anugerahkan kepadanya. Kami akan berikan pahala kepada orang-orang yang bersyukur.

Menyedari tentang bahayanya pengaruh kebendaan dalam diri pejuang Islam yang boleh menyebabkan kita bakal ditimpa dengan kekalahan dan kehinaan maka umat Islam mesti berusaha menghindari penyakit merbahaya ini daripada terus subur apatah lagi menjadi budaya hidup. Selagi masih ramai pemimpin dan rakyat yang beragama Islam yang mengamalkan budaya rasuah atau mudah dijual beli dengan wang maka perjuangan dalam menegakkan Islam masih jauh lagi untuk dicapai.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Pada peringkat ketiga dalam Peperangan Uhud ini, tentera Islam dapat bertahan apabila tentera kafir Quraisy yang tidak berpuas hati kerana tidak dapat membunuh Rasulullah s.a.w telah mengatur langkah untuk menyerang Madinah tetapi tidak meneruskan perancangan mereka itu apabila mengetahui bahawa Rasulullah s.a.w telah bersiap untuk menyerang balas. Di sini kita dapat lihat betapa pentingnya membangkitkan kembali semangat pejuang Islam selepas diuji dengan kekalahan agar musuh tidak terus berdabik dada dengan kemenangan yang tidak seberapa disamping semangat musuh bertambah kurang bukannya semakin kuat.

Lanjutan daripada Peperangan Uhud ini maka Rasulullah s.a.w telah beberapa kali mengejar musuh agar mereka menjauhi Madinah malah hampir berlaku beberapa peperangan walau pun dengan keadaan ramai tentera Islam yang masih letih dan cedera. Walau pun tidak berlakunya peperangan itu tetapi tindakan bijak ini telah menaikkan semangat juang yang tinggi kepada umat Islam disamping meletakkan musuh dalam penuh kehinaan apabila tentera kuffar yang diketuai oleh Abu Sufian telah diejek oleh masyarakat Mekah kerana bukan sahaja gagal membawa pulang harta rampasan perang walau mendakwa telah menang malah tidak dapat membunuh Rasulullah s.a.w apatah lagi menawan Madinah disamping sentiasa lari dari medan peperangan walau pun berdepan dengan tentera Islam yang sedikit dan cedera.

Cara dan taktik yang dibuat oleh Rasulullah s.a.w wajib diikuti dalam memastikan semangat juang umat Islam pada hari ini tidak terus luntur sekali pun diuji dengan pelbagai kekalahan samada melalui peperangan, pilihanraya dan sebagainya agar kita menjadi umat yang bersyukur atas kemenangan dan bersabar dengan ujian kekalahan kerana yakin bahawa segala perjuangan ini adalah kerana Allah sedangkan kemenangan musuh Islam adalah sementara dan kekalahan mereka pula merupakan kehinaan di dunia dan akhirat.

Firman Allah dalam ayat 146 surah Ali ‘Imran :

وكأين من نبي قــتل معه ربيون كثير  فما وهنوا لمآ أصابهم فى سبيل الله وما ضعفوا وما استكانوا والله يحب الصــبرين

Maksudnya : Dan berapa ramai nabi yang berperang bersama-samanya sejumlah besar daripada pengikut setia yang bertaqwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah dan tidak lesu serta tidak pula menyerah kepada musuh. Sesungguhnya Allah menyukai mereka yang sabar.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ


Petikan dari : www.ekhutbah.wordpress.com

Monday, August 30, 2010

TAZKIRAH : KEMERDEKAAN DAN KEBEBASAN MENURUT ISLAM

SYEIKH Ahmad Khadrawaih ada menegaskan: �Kesempurnaan dalam pengabdian, diperolehi pada kebebasan (kemerdekaan) dan kesempurnaan kebebasan itu tercapai dalam pengabdian.

Firman Allah SWT yang disebut dalam ayat 34 surah an-Naml bermaksud: "Dia (Puteri Balqis) berkata: Sessungguhnya raja-raja (istilah hari ini diertikan sebagai golongan penjajah) apabila memasuki sesebuah negara, pasti mereka akan merosakkannya dan menjadikan penduduknya yang mulia jadi hina dan demikian pulalah yang akan mereka lakukan"


 
Jelas menunjukkan bahawa, bukanlah kebebasan (kemerdekaan) seperti yang digambarkan oleh segelintir manusia, iaitu bebas daripada belenggu penjajahan, atau bebas dengan melakukan apa sahaja yang keji dan mungkar untuk memenuhi ruang nafsu, tetapi kebebasan yang sempurna kadang-kadang tercapai dengan menahan sesuatu. 


Apa yang diutarakan oleh ayat al-Quran dan pandangan Syeikh Ahmad di atas memang jelas berlaku kepada para pemimpin negara yang pernah dijajah oleh para penjajah suatu ketika dahulu seperti Britain, Belanda, Perancis, Itali, Jerman dan sebagainya tidak akan meninggalkan negara yang dijajah, melainkan mereka berpuas hati mendapati ada segelintir daripada penduduknya yang sanggup untuk meneruskan sistem sekular yang memisahkan antara agama dan politik.

Perkara ini jelas terjadi di India dan di tanah air kita sendiri yang bernama Malaysia tercinta, di mana sistem tersebut masih mengguna-pakai pemisahan antara agama dan politik, seolah-olah bab agama hanya boleh diceritakan orang di dalam masjid-masjid sedangkan masalah pula ditadbir oleh mereka yang rakus untuk mengaut keuntungan tertentu dan bukannya berkhidmat untuk rakyat. Perkara ini terjadi akibat tidak ada penyatuan antara agama dan politik.


Percambahan program maksiat untuk memenangi hati pengundi

Bagi mengekalkan kuasa agar diri para pemerintah disukai dan diterima oleh sebahagian besar rakyat khususnya dalam pilihan raya, pelbagai program sebelum pilihan raya dalam tempoh lima tahun itu diisi seolah-olah untuk memberitahu rakyat bahawa hiburan sangat penting bagi meringankan bebanan mereka yang penat bekerja.

Justeru, penganjuran program-program realiti seperti Akademi Fantasia (AF), Malaysian Idol, So U Think U Can Dance, One In A Million, Bintang RTM, Bintang Kecil, Anugerah ERA, Anugerah BPBH, Anugerah Skrin dan Anugerah Seri Angkasa dan yang sejak akhir-akhir ini tidak dapat dihitung dengan jari sepuluh.

Kenapa boleh terjadi demikian?

Imam at-Tabari ada menegaskan dalam kitabnya �Tarikh at-Tabari� atau Tarikh al-Umam wal Muluk mengenai satu pendapat daripada seorang sahabat yang menyebut �Rakyat (orang ramai) bergantung kepada (pegangan) agama para pemimpin mereka.� (maaf tidak dapat catat juzuk dan mukasurat, sebab masih ingat fakta ketika belajar dahulu sedangkan kitabnya tidak ada dalam simpanan).

Imam at-Tabari membandingkan corak pemerintahan di kalangan tiga orang khalifah pada zaman empayar Bani Umaiyah, iaitu khalifah yang keenam Al-Walid bin Abdul Malik, ketujuh Sulaiman bin Abdul Malik dan kelapan Khalifah Umar bin Abdul Aziz.

Pada zaman pemerintahan al-Walid lebih menekankan persoalan pembangunan yang akhirnya mempengaruhi kehidupan rakyat yang juga bercakap mengenai pembangunan, kemudian berikutnya begitu juga sampailah ke zaman pemerintahan Umar bin Abdul Aziz yang lebih menekankan aspek agama hingga rakyat suka bercakap tentang isu agama.

Apa yang dapat diambil kesimpulan, bahawa para pemerintah di beberapa negara yang pernah dijajah, akan mengikuti telunjuk tuannya hingga Islam bukan lagi faktor penting untuk diketengahkan kepada rakyat, kalau dibincangkan tentang Islam pada perkara yang remeh-remeh sahaja, tetapi dalam perkara pelaksanaan hukum Islam ditutup perbincangannya kerana dikhuatiri tidak menepati cita rasa rakyat pelbagai kaum.

Justeru, para pemimpin yang amat mendalam minatnya pada hiburan atau sukan akan berusaha memperbanyakkan program hiburan seperti yang telah disebut di atas begitu juga aspek sukan yang mendapat di hati rakyat, mereka disogokkan dengan pelbagai anugerah sukan hingga lupa peranan mereka sebagai rakyat untuk mendaulatkan Islam sebagai agama rasmi negara.

Jadi tidak hairanlah jika rakyat bercakap tentang sukan atau hiburan kerana pemerintah juga suka bercakap mengenainya, akhirnya mereka semua tidak menjadi sebaik-baik umat yang dikeluarkan Allah buat umat manusia sejagat.

Apa yang perlu diingatkan, bahawa sambutan perayaan ke-50 kemerdekaan negara tidak patut disambut dengan tarian, nyanyian, persembahan konsert dari golongan artis, kerana tindakan seumpama itu adalah hasil reka cipta penjajah, yang lebih malang lagi pihak penganjur dan yang memberi izin penganjurannya akan didakwa di mahkamah Allah pada hari Kiamat.


Apa kemerdekaan atau kebebasan yang dianjurkan Islam?

Walaupun Islam telah memperkenalkan konsep kebebasan beragama, berfikir, berpolitik dan sebaginya, ia bukan bermakna memberikan kebebasan sepenuhnya hingga manusia menentang Allah secara terbuka.

Namun kemerdekaan dan kebebasan sebenarnya ialah manusia itu mampu untuk menyempurnakan pengabdiannya kepada Allah tanpa sebarang campurtangan manusia yang menyekat kebebasannya untu berbuat demikian, dengan lain perkataan, seseorang itu dapat serta mampu melakukan segala aktiviti hariannya yang berasaskan pengabdian serta ibadat kepada Allah tanpa sekatan, halangan ataupun kongkongan.

Apabila suasana seumpama ini berlaku pada diri seseorang itu, maka apa yang dilakukannya tidak lain ialah untuk menjadikan dirinya terbaik di sisi Tuhannya, kerana ia dilakukan atas kehendak diri sendiri secara bebas dan merdeka, umpama orang yang merdeka daripada belenggu perhambaan, dia akan rasakan bahawa dunia ini adalah segala-galanya.

Justeru, apa makna merdeka jika perangai, fahaman, cara hidup, cara berfikir, berpakaian, cara pentadbiran negara tidak selari dengan kehendak hukum Allah SWT, umpama hukum zina bagi orang yang telah berkahwin direjam sementara yang belum berkahwin disebat, tetapi hukum-hukum tersebut digantikan dengan denda atau penjara, maka sudah pasti manusia tidak akan merasa merdeka kerana membelakangkan peraturan sebenar yang dicipta oleh Allah buat mereka.

PETIKAN : Harakahdaily.2007/ust Zainudin Hashim




Saturday, August 28, 2010

TAZKIRAH : HAYATI KEMERDEKAAN HAKIKI DENGAN ISLAM ( Khutbah Jumaat Pilihan)

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 58 surah al-Baqarah :

وإذ قلنا ادخلوا هذه القرية فكلوا منها حيث شئتم رغدا وادخلوا الباب سجدا وقولوا حطة نغفرلكم خطــيــكم وسنزيد المحسنين

Maksudnya : Dan ingatlah ketika Kami berfirman : “ Masuklah kamu wahai bani Israel! Ke negeri ini (Baitul Maqdis) dan makanlah daripada hasil buminya yang banyak bagaimana kamu kehendaki dengan puas”. Dan masukilah pintu ini dengan sujud merendah diri dan katakanlah : “Bebaskanlah kami daripada dosa”, nescaya Kami mengampuni kesalahanmu dan kelak Kami akan menambah pemberian kepada mereka yang berbuat baik.

Bila ditanya tentang kemerdekaan dan kebebasan daripada sebarang belenggu penjajahan maka setiap diri insan yang bermaruah begitu menginginkannya. Bagi yang sudah merdeka maka mereka bergembira menyambutnya dan bagi yang belum merdeka atau baru dijajah maka mereka sentiasa berbincang dalam berusaha mengembalikan hak kemerdekaan mereka.

Penjajahan dan kemerdekaan bukan sahaja berkait kepada manusia biasa sebagaimana kita tetapi turut dialami oleh para nabi dan rasul. Oleh itu dalam mencari erti kemerdekaan hakiki dan bagaimana mahu mengisinya agar bertepatan dengan kehendak Allah maka kisah dan sejarah kemerdekaan para kekasih Allah itu wajar dikaji dan diambil iktibar yang sebaiknya.

Contohnya kemerdekaan yang dianugerahkan kepada nabi Musa yang mengetuai bani Israel daripada penjajahan dan penindasan yang begitu dahsyat yang dilakukan terhadap bangsa mereka oleh Firaun dan bangsa Qibti sepanjang berada di bumi Mesir. Allah telah memerdekakan bani Israel bukanlah disebabkan mereka adalah bangsa istimewa tetapi bertujuan agar mereka tunduk dan patuh kepada dakwah Islam yang dibawa oleh nabi Musa.

Kedegilan bani Israel dalam mengisikan kemerdekaan dengan Islam telah menyebabkan ramai dikalangan mereka dihukum oleh Allah dengan pembalasan segera samada dengan taubat secara membunuh diri akibat menyembah anak lembu yang dibuat daripada emas sepanjang munajat nabi Musa di Thursina atau dihancurkan melalui gempa bumi akibat turut mahu melihat Allah sebelum menerima dakwah nabi Musa atas alasan mereka pun berketurunan bani Israel yang sepatutnya mesti dapat melihat Allah sebagaimana nabi Musa.

 Malah kedegilan bani Israel lebih terserlah apabila mahu memasuki bumi yang dijanjikan iaitu Baitul Maqdis tanpa mahu berperang sebaliknya hanya mahu masuk setelah musuh dikalahkan. Akhirnya setelah diberikan keizinan untuk memasuki kota tersebut maka mereka terlalu megah dan sombong serta menindas bangsa asal serta mahu makanan sebagaimana mereka pernah makan ketika ditindas sebagai hamba abdi oleh Firaun di Mesir tanpa rasa bersyukur dengan nikmat al-Manna dan as-Salwa yang telah dianugerahkan oleh Allah selama ini.

Inilah antara bahana dan bala yang menimpa bani Israel akibat tidak bersyukur atas kemerdekaan yang dianugerahkan serta akibat buruk yang menghina kedudukan mereka kerana mengisikan kemerdekaan dengan perkara yang menyalahi arahan Allah dan nabi Musa. Mereka turut bertindak kejam membunuh ramai para nabi yang lahir di kalangan bangsa mereka sendiri. Yahudi pada hari ini turut mewarisi sikap degil bani Israel termasuk memperolehi negara haram Israel atas tekanan mereka terhadap Britain semasa pemecahan negara umat Islam selepas kejatuhan Khilafah Uthmaniah Turki dan kini mereka isikan kejayaan mereka itu dengan melakukan pelbagai kezaliman dan pembunuhan terhadap umat Islam.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Ini berbeza dengan kemerdekaan yang dicapai dengan Islam dan diisikan pula dengan perasaan tunduk dan patuh kepada arahan Allah maka Dia menganugerahkan kemenangan gemilang dan kemerdekaan hakiki kepada nabi Muhammad s.a.w dan umat Islam ketika Pembukaan Kota Mekah.

Kemerdekaan ini membersihkan kembali Ka’abah daripada berhala dan amalan syirik yang selama ini mengotorkan kesucian bumi Mekah. Sambutan kepada kemerdekaan bumi Mekah daripada penjajahan jahiliah disambut dengan penuh kesyukuran tanpa sikap bongkak malah penduduknya diberi layanan yang baik sehingga mereka dapat menerima dakwah Islam tanpa penentangan tidak sebagaimana sebelum ini.

Kemerdekaan yang dicapai ini bukan sahaja memudahkan lagi umat Islam untuk mengerjakan ibadat umrah dan haji malah segala sistem Islam dapat diperluaskan lagi pelaksanaannya. Bahkan bermula daripada kemerdekaan Kota Mekah telah membolehkan Islam menyebar luaskan lagi dakwah dan sistemnya bukan sahaja dalam Semenanjung Tanah Arab tetapi turut keluar daripada kawasan itu. Kemerdekaan ini diminta oleh Allah agar didahulukan dengan bertasbih dan bertahmid atas nikmat Allah yang telah menjadikan umat Islam sebagai pemegang amanah dan pembela agama Islam dan juga atas rahmat Allah yang mengurniakan kemenangan serta penyertaan umat manusia yang begitu ramai memeluk Islam selepas kemerdekaan bumi Mekah.

Allah turut menyuruh agar beristighfar atas pelbagai perasaan bangga dan sombong yang berkecamuk dalam hati di saat kemenangan serta perasaan tidak sabar, terkilan, gentar kerana merasakan begitu lama kemenangan yang dijanjikan Allah ini datang. Arahan ini sebagaimana diungkapkan oleh Allah dalam ayat 3 surah an-Nasru :

فَسَبِّحْ ِبحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا

Maksudnya : Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan pohonlah keampunanNya. Sesungguhnya Allah Amat Menerima taubat hambaNya.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Bagi mengisi kemerdekaan maka kita perlu kembali kepada seluruh sistem Islam yang telah terbukti hebat dan adil dalam memuliakan generasi sebelum kedatangan penjajah. Kita ingat kepada ungkapan Sayyidina Umar al-Khottab ketika mahu menerima kunci Baitul Maqdis dari Rom sebagai lambang kemerdekaan dengan katanya :

نَحْنُ قَوْمٌ أَعَزَّنَا اللهُ بِاللإسْلامِ فَمَهْمَا نبَتْغَيِ العِزَّةَ بِغَيْرِمَا أَعَزَّنَا اللهُ أَذَلَّنَا اللهُ

Maksudnya : Kita merupakan suatu bangsa yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam. Maka selagimana kita mencari kemulian selain menggunakan Islam yang telah memuliakan kita maka selagi itulah kita akan dihina oleh Allah.

Kita juga mesti faham tentang hakikat kemerdekaan agar sambutan hari merdeka bukan untuk berseronok sehingga tersesat dalam budaya penjajah sebaliknya kita hendaklah mengisikan kemerdekaan yang dicapai sebagaimana yang diperjuangkan oleh para ulama’ dan pejuang Islam ketika menentang penjajah iaitu dengan mengembalikan semula sistem Islam.

Para pejuang kemerdekaan bukan berjuang untuk melihat generasi selepas merdeka hanya tahu berseronok sebaliknya mereka mahu kita melaksanakan seluruh sistem Islam sebagaimana yang pernah dilaksanakan sebelum kedatangan penjajah.

Hayatilah erti kemerdekaan sebagaimana yang pernah diucapkan oleh panglima Islam Rub’i bin ‘Umair ketika menjawab pertanyaan panglima Farsi iaitu Rastam tentang sebab tentera Islam mahu memerdekakan Farsi di mana katanya dengan tegas : Kami diutuskan untuk memerdekakan sesiapa yang mahu di kalangan manusia daripada perhambaan sesama manusia kepada perhambaan diri hanya kepada Allah, memerdekakan manusia daripada sistem ciptaan manusia yang zalim kepada sistem Islam yang adil, memerdekakan manusia daripada pandangan hidup yang sempit setakat nampak kehidupan dunia kepada kehidupan berpandangan jauh sehingga hari akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Jika pejuang Islam yang memperjuangkan kemerdekaan negara masih hidup maka mereka pasti kecewa melihat anak bangsa mereka rosak dan hanyut dengan sistem dan budaya penjajah walau pun saban tahun menyambut hari merdeka.

 Pejuang kemerdekaan pasti terkilan kerana cita-cita untuk melihat agar seluruh sistem Islam kembali dijulang dikhianati oleh anak bangsa sendiri yang terus berusaha membenamkan seluruh sistem Islam daripada dilaksanakan dengan pelbagai alasan berasaskan nafsu yang bertentangan dengan tuntutan wahyu. Masalah jenayah yang berlaku dalam negara hari ini yang kini semakin tenat terutama rosaknya akhlak di kalangan pelajar sekolah di mana kesemuanya ini bukanlah disebabkan Islam dilaksana tetapi ia disebabkan Islam tidak diletakkan di tempat yang sewajarnya.

Perkara ini akan bertambah serius jika semakin banyak usaha dalam mengurangkan pengajian agama di sekolah termasuk yang terbaru menjadikan pendidikan moral diselaraskan mengikut semua agama bukan mengislamkan lagi pendidikan tersebut.

Oleh itu sebelum terlambat dan bertambah parah maka kita seru kepada seluruh umat Islam bermula daripada pemimpin sehingga rakyat jelata agar menyambut kemerdekaan negara bersama merdekanya sistem Islam untuk dilaksanakan. Dalam suatu Seminar Antarabangsa Sistem Keadilan Jenayah Islam yang diadakan di Johor baru-baru ini telah membuktikan secara tidak langsung tentang keadilan system Islam yang selama ini cuba disembunyikan. Antaranya pelaksaannya di Nigeria selama 2 tahun walau pun dengan pelbagai kesukaran tetapi telah membuatkan rakyatnya lebih bersopan, menjaga peribadi dan berhati-hati dalam setiap tingkah laku,

Begitu juga pelaksanaannya di Pakistan dapat diterima baik oleh orang bukan Islam yang tidak pernah merasakan perundangan Islam menzalimi mereka. Manakala pelaksanaannya di Arab Saudi telah membawa kepada peratus jenayah di negara itu paling rendah di dunia. Dalam tempoh 25 tahun pemerintahan Malik Abdul Aziz hanya 16 orang dipotong tangan dan dari tahun 1967 hingga 1987 iaitu 20 tahun hanya seorang wanita yang telah kahwin dihukum rejam kerana berzina. Jika dilihat daripada hasil kajian tersebut maka jumlahnya begitu jauh lebih kecil berbanding jenayah yang berlaku dalam negara kita yang terus mengamalkan sistem penjajah.

Tuduhan liar bahawa hukum hudud Kelantan dan Terengganu yang digubal menghalalkan liwat terhadap isteri adalah mengelirukan kerana ia sememangnya tidak dikenakan hudud sebaliknya dikenakan hukum ta’azir. Sedangkan jika kita kaji beberapa perundangan Mahkamah Syariah negeri sendiri seperti Wilayah Persekutuan hanya mentakrif salah liwat antara lelaki dengan lelaki sahaja sedangkan lelaki meliwat perempuan apatah lagi isteri tidak dikira salah. Oleh itu dalamilah ilmu agama sebelum bercakap mengenai keadilan. KeranaMu Allah kami akan merdekakan seluruh sistem Islam untuk dilaksanakan. KeranaMu Allah kami akan majukan negara berlandaskan Islam.

Firman Allah dalam ayat 30 surah as-Syura :

وما أصــبكم من مصيبة فبما كسبت أيديكم ويعفوا عن كثير

Maksudnya : Dan apa sahaja musibah yang menimpa maka ia disebabkan perbuatan tangan kamu sendiri dan Allah memaafkan sebahagian besar dari kesalahan kamu

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

 
 
Petikab dari : http://www.ekhutbah.wordpress.com/

Man Ana ???

My photo
Melaka, Malaysia
Pengembaraan Insan Tiada Noktah Tanpa Syarat Meniti Kebahagiaan. Email : iq_insan@yahoo.com

Popular Posts