"Bila diri disayangi,
Langkah kaki ini semakin berani..."
Assalamu'alikum :)
Enak sungguh telinga malah jatuh ke hati apabila mendengar lagu yang dinyanyikan oleh Ukay's yang bertajuk Bila Diri Disayangi. Lagu ini walau telah lama didendangkan namun masih melekat di hati sesiapa yang mendengarnya, termasuklah diri saya ! Dengan liriknya yang begitu menyentuh jika benar2 dihayati, sememangnya memberi seribu erti kita apabila diri kita disayangi.
Enaknya bila disayangi...kerana kita akan diberi sepenuh perhatian ? Bayangkan sahaja sepasang kekasih yang dilamun cinta dan saling menyayangi. Dan kalau boleh, tidak ingin melihat kepada sebuah perpisahan !
Begitu juga andai kita hayati sepenuhnya cinta Allah kepada kita. Lihat sahajalah udara yang dikurniakan kepada kita tanpa had dan tidak mengenakan apa2 bayaran kepada kita. Bayangkan andai setiap udara yang dihirup dan disedut, dikenakan bayaran walaupun 1 sen ? Dan ditakdirkan umur kita panjang ? Saya kira, tak terbayar dengan jumlah yang kita hirup walau kita hanya hidup untuk sebentar mungkin. Kerana itulah kurniaan Allah ini tidak terhitung dan tidak terkira. Dan, betapa cintanya Allah Ta'ala kepada hambaNya dan cintaNya itu meluas tanpa sempadan.
"Cinta itu indah"
Pernah juga saya terlihat ungkapan ini dan soal serta muhasabah diri sendiri, indahkah ia ? Adakah cinta itu dipandang indah kerana semua dihadapan mata yang indah2 belaka ?
Andai ditakdirkan berlaku sesuatu yang tidak enak dimata, bagaimana pula ya ? Adakah masih indah ?
Sebagai contoh, dalam kehidupan, semestinya kita sentiasa mendoakan agar dikurniakan kebaikan dan kesenangan. Namun perkara lain pula mendatang. Kenapa ? Setelah berhempas pulas agar manis dipinta, namun pahit yang terasa. Sahabat2,terutamanya diriku sendiri, pernah saya terbaca sebuah kata2 yang amat menyentuh jiwa.
"Kadangkala,kita pinta rama-rama.Namun diberikan ulat hijau.Kadangkala kita mengharap bunga, namun yang datang adalah kaktus.Namun......ingatlah bahawa ulat hijau itu akan berubah menjadi rama2 dan kaktus akan menjadi bunga yang cantik akhirnya."
Inilah antara cara Allah menunjukkan sifat cintaNya kepada kita. Doa dan usaha mesti diusahakan oleh kita sendiri namun hasilnya atau penghujungnya berserahlah kepada Allah. Dan, tanda cintaNya kepada kita dengan mengurniakan rezeki yang tidak disangka-sangka kerana hanya Dia yang lebih mengetahui apa yang terbaik buat kita. Maka, andai ujian yang berat melanda, bersabarlah dan jangan berputus asa untuk berdoa kerana pengorbanan itu pahit dan syurga itu manis. Dan sudah sunnah orang berjuang, merasai kesusahan dahulu jika inginkan kemenangan pada esoknya.
Seperkara lagi, sekiranya kita bersangka baik kepada Allah dan sedar bahawa inila tanda kecintaanNya, insyaAllah kita dapat menghadapi dugaan dengan hati yang tenang dan penuh kesabaran. Dan, apabila kita sedar bahawa Allah sentiasa menyintai kita, langkah kita semakin gagah dan terus berani demi mendapat keredhaanNya.Dan terbukti cinta Allah adalah terindah kerana walau sebesar mana ujian yang diberi,andai kita bersabar, insyaAllah kita dapat nikmati cinta Allah dengan mata hati.
"Jika engkau mahukan kemesraan dengan Allah,maka garanglah terhadap dirimu.Jika engkau merasa manisnya berhubung dengan Allah,tahulah engkau betapa peritnya berpisah denganNya..."
Maka, sama2 lah kita membina kecintaan kepada Allah bukan sekadar pada bibir atau tulisan semata, namun buktikan dengan amalan serta iringi dengan hati yang suci. InsyaAllah, satu langkah kita rapat kepadaNya, seribu langkah Dia dekati kita. Semoga kita digolongkan dalam kalangan mereka yang tulus mencintaiNya....amin.
Setakat ini sahaja posting saya. InsyaAllah, sekira diizinkan, saya tulis lagi. :) Wallahu'alam..wassalam...
"Daripada Abu al-Darda' r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud : "Antara doa Nabi Daud ialah : Maksudnya : "Ya Allah ya Tuhanku, aku memohon kasih sayangMu, dan kasih orang yang mencintaiMu, serta (kasihkan) amalan yang mendekatkanku kepada cintaMu.Ya Allah ya Tuhanku, jadikanlah kasihMu lebih aku sukai berbanding diriku sendiri dan ahli keluargaku, dan daripada air yang sejuk."
(Riwayat al-Tirmizi no.3490.Hadis ini hasan)