Monday, October 20, 2008

RAJA MELEWAR DITABAL YAMTUAN REMBAU, 1777


Replika istana Raja melewar di Istana Raja, Kota, Negeri Sembilan. ia terletak di pinggir Sungai Penajis dan dipercayai tempat asal istana itu dibina.Dari istana inilah Raja Melewar dipercayai melarikan diri ke Seri Menanti, Kuala Pilah dengan melalui Bukit Miku di Kampung Batu.

Keperkasaan Yamtuan Besar Ketiga bukan mitos
KUALA PILAH 1 Ogos - Kurator Muzium Adat Jelebu, Prof. Norhalim Ibrahim berkata, terdapat percanggahan pendapat tentang fakta sejarah berkaitan kedatangan Raja Melewar ke negeri ini.
Menurut beliau, ramai yang beranggapan Raja Melewar tiba dan ditabalkan sebagai Yamtuan Besar Negeri Sembilan pada sekitar tahun 1777 dengan berpegang kepada tulisan Newbold (1843).
Namun, berdasarkan kepada dokumen-dokumen lama Portugis, Belanda dan Inggeris, Norhalim percaya baginda tiba lebih awal lagi di sini iaitu pada sekitar tahun 1700.
''Selain itu, terdapat juga sepucuk surat yang ditulis oleh Almarhum Tuanku Muhammad kepada Ratu Victoria pada tahun 1727 tentang kedatangan Raja Melewar pada sekitar tahun 1700," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pengisahan sejarah laluan Raja Melewar pada majlis penutup Program Jelajah Laluan Raja Melewar di Muzium Diraja Seri Menanti di sini semalam.
Norhalim menambah, kajian beliau juga mendapati Raja Melewar telah mangkat sebelum tahun 1777.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan tentang peristiwa pertabalan Raja Melewar sebagai Yamtuan Rembau.
''Bagaimanapun, Raja Melewar akhirnya diusir dari Rembau kerana baginda dikatakan menimbulkan masalah sosial.
''Setelah tewas dalam pertempuran dengan orang-orang Rembau, Raja Melewar berundur menyusuri laluan dari Miku ke Seri Menanti," katanya.
Kata Norhalim, di Seri Menanti, Raja Melewar telah ditabalkan sebagai Yamtuan Besar Negeri Sembilan.
Beliau juga memberitahu, peristiwa kemangkatan Raja Melewar dipercayai berlaku sekitar tahun 1740 hingga 1750 di Rembau.
Katanya lagi, peristiwa itu berlaku kerana orang-orang Rembau telah bersumpah akan menamatkan riwayat Raja Melewar sekiranya baginda menjejakkan kaki semula di sana.
Norhalim menjelaskan, Raja Melewar dipercayai dibunuh dengan menggunakan buluh kuning yang runcing kerana baginda dikatakan tidak lut oleh besi. (Petikan Utusan Malaysia 31 Julai 2008)

Komen:
Kalaulah Raja Melewar tidak diusir dari Rembau lalu membawa diri ke Seri Menanti, Kuala Pilah, apakah Rembau hari ini akan menjadi tempat bersemanyamnya Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan? Bekas istana Raja Melewar itu terletak di Kg. Istana Raja, kira-kira enam km dari pekan Kota ke barat. Kawasan itu telah dibangunkan menjadi Kompleks Istana Raja Melewar dan terletak di tepian Sungai Penajis dan telah diwartakan sebagai salah satu produk pelancongan menarik di negeri Adat perpatih itu.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

youtube column : nyanyian r.azmi dll.