Showing posts with label kesihatan. Show all posts
Showing posts with label kesihatan. Show all posts

Saturday, June 12, 2010

Cergas pada usia emas

Oleh MOHD. YUNUS YAKKUB
yunus.yakkub@kosmo.com



--------------------------------------------------------------------------------


SEPERTI lazimnya, dia akan bangun seawal pukul 5.30 pagi untuk menghirup udara segar sambil memanjat kesyukuran kerana masih bernafas untuk meneruskan kehidupan.

Meskipun rutinnya agak ketat, dua keping roti serat disapu mentega dan sebiji pisang pasti akan dijamahnya sebagai sarapan pagi.

"Jika tidak pun saya akan makan biskut gandum dan minum secawan kopi. Semua ini menjadi kemestian bagi saya untuk memulakan hari dengan penuh tenaga," ujar penyanyi dan penghibur terkenal, Anita Sarawak.

Anak kepada pasangan seniman S. Roomai Noor dan Siput Sarawak yang mesra disapa sebagai Kak Nita itu telah menjangkau umur 58 tahun. Membiasakan rutin harian yang sibuk sejak karier seninya bermula ketika dia berumur 15 tahun, Anita mendakwa itu telah menjadikannya individu yang berdisiplin.

Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Dengar Ini Cerita tidak menafikan setiap manusia mendambakan kesempurnaan, kecantikan dan hidup sihat.

"Apabila kita menjangkau umur 50-an kita akan sentiasa risau. Idea penuaan mula membelenggu kita. Namun, sudah menjadi tradisi dan realiti bahawa setiap manusia tidak mampu lari daripada kitaran tersebut. Sekiranya bijak, kita mampu melambatkan proses tersebut," katanya.

Kalau ditanya apakah rahsia Anita yang kelihatan jauh lebih muda daripada usia sebenarnya, Anita menjawab, selain mengambil pendekatan menjaga kesihatan dalaman dan luaran, dia juga sering berfikiran positif.

Hakikatnya, tekanan dan rutin harian tidak pernah padam dalam kehidupan setiap orang. Tekanan membuatkan seseorang letih dan tidak bermaya.

"Maka, terapkan diri dengan kegembiraan. Ia bergantung kepada diri sendiri dan cara anda mengawalnya," terang Anita yang suka bercucuk tanam.




--------------------------------------------------------------------------------



Dalam diet sehariannya, penyanyi tersebut lebih menggemari makanan yang dibakar dan dikukus. Seminggu dalam sebulan dia akan mengamalkan diet sayur-sayuran.

Makanan yang mengandungi protein pula lebih banyak diambilnya berbanding karbohidrat. Pada masa yang sama, Anita jarang menyentuh menu daging.

Sebagai langkah menjaga pengambilan makanannya, Anita memberitahu bahawa dia tidak akan menjamah makanan selepas pukul 8 malam. Dia juga mengamalkan minum lapan hingga lima belas botol air mineral sehari dan memastikan sekurang-kurangnya terdapat sebotol air kosong di tepi sudut katilnya sebelum tidur.

"Untuk mencapai stamina semasa menjayakan persembahan, saya akan menghabiskan masa di antara 20 hingga 30 minit setiap hari menggunakan mesin kardiovaskular," ujarnya.

Melakukan aktiviti fizikal dan berpeluh amat penting kerana ia dapat menyingkirkan toksik dalam tubuh.

Bagi Anita, melakukan kerja rumah seperti menyapu atau mengemop lantai, mengemas rumah dan menaiki tangga juga adalah aktiviti yang menyihatkan daripada langsung tidak berbuat apa-apa.

Tambah Anita: "Setiap enam bulan sekali, saya akan menjalani pemeriksaan kesihatan. Kita hanya berjumpa doktor apabila kita sakit. Bukankah lebih baik jika kita dapat mencegahnya terlebih dahulu?"

Daya ingatan

Melihat dari perspektif figura lain, mungkin ramai yang ingin mengetahui rahsia sejarawan negara, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim mengasah daya ingatan yang kuat pada usia 73 tahun.


PEMAKANAN yang sihat dan seimbang mengikut kawalan tertentu adalah antara kunci kesihatan warga emas.

--------------------------------------------------------------------------------


"Sebenarnya, saya tiada jawapan kerana saya hanya membaca setiap hari. Dengan membaca, kita bukan sahaja mendapat banyak maklumat malah dapat menjana pemikiran.

"Otak akan bertindak menyimpan maklumat apabila ia membabitkan pemikiran kritis. Apa yang perlu adalah menfokuskan kepada sesuatu," katanya yang mahir dalam bidang sejarah selama enam dekad.

Kay Kim berpendapat, mengkaji dan menghayati sejarah itu mampu menambah kecerdasan seseorang. Akal seseorang akan menjadi semakin tajam, berpandangan jauh, cekap dan sentiasa memikirkan kesan jangka panjang bagi setiap tindakan, isu dan peristiwa.

"Otak kanan yang terlibat dengan imaginasi dan pemikiran kreatif mampu diasah dengan fakta sejarah. Ia juga membantu meningkatkan penggunaan kuasa otak sepenuhnya," kata Kay Kim.

Bahan bacaan sejarah juga membantu meningkatkan kemahiran menganalisis, membanding, meramal dan membuat kesimpulan. Secara tidak langsung, ia membantu meningkatkan kemahiran logik dan kreativiti.

Rasional dalam menentukan atau menyingkap rahsia panjang umur sukar untuk didefinisikan memandangkan sifatnya yang subjektif. Namun, amalan pemakanan sihat antara penyumbang atau faktor ke arah matlamat tersebut.

Diet sihat

"Pemakanan yang mengikut konsep piramid makanan hakikatnya memenuhi keperluan diet sihat manusia. Pada masa yang sama, ia mengelakkan kekurangan atau pengambilan zat berlebihan yang boleh menyumbang kepada risiko penyakit," kata Pakar Kesihatan Usia Pusat Perubatan Pantai, Dr. Rajbans Singh.

Apakah makanan yang sesuai untuk warga emas? Golongan tersebut, kata Rajbans, seharusnya mengambil pelbagai jenis makanan kerana tiada satu jenis makanan pun yang boleh membekalkan kesemua zat keperluan tubuh.

"Makanan yang mengandungi kanji seperti nasi, roti, mi dan ubi dapat membekalkan tenaga. Pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan pula dapat membekalkan vitamin, mineral dan serat bagi mencegah masalah seperti sembelit.

"Apabila usia meningkat, tulang mudah reput. Jadi makanan yang tinggi kalsium seperti susu rendah lemak, ikan bilis, tauhu, tempe dan sayuran berdaun hijau perlu diambil. Pada masa yang sama, nasihat daripada pakar pemakanan masih diperlukan dalam menentukan corak diet tersebut," terangnya.


ANITA (kanan) masih menunjukkan persembahan dan aksi yang bertenaga, sama seperti gandingannya, Sheila Majid, mengalahkan artis-artis lain yang jauh lebih muda daripadanya.

--------------------------------------------------------------------------------


Sayur-sayuran bertindak sebagai antioksida dan merupakan zat penting yang dapat mengurangkan kesan negatif radikal bebas. Radikal bebas itu bertindak sebagai bahan reaktif yang berupaya memusnahkan sel membran, tisu dan organ.

Selain itu, pengambilan multivitamin boleh membantu kita menjalani kehidupan dengan lebih yakin.

"Bagi memastikan tubuh menjalankan fungsinya dengan betul, kita digalakkan mengambil suplemen dalam bentuk multivitamin. Apabila umur menjangkau 50 tahun, pengambilan nutrisi perlu selaras dengan gaya hidup," ulas Rajbans.

Perubahan gaya hidup turut mempengaruhi motivasi seseorang untuk bersenam. Meskipun begitu, masih belum terlambat bagi mereka yang berumur lebih 50 tahun untuk mengekalkan kecergasan mereka dengan melakukan aktiviti yang sesuai dengan usia mereka.

"Pada peringkat permulaan, aktiviti berjalan kaki dan melakukan aerobik (berintensiti rendah) di antara 10 hingga 15 minit sudah memadai," kata Ahli Fisioterapi Persekutuan Bola Sepak Malaysia, Mohd. Nasrul Ahmad Tajuddin.

Walaupun senaman penting untuk kesihatan, seseorang perlu tahu keupayaan badan dan tidak perlu terburu-buru untuk mencapai kecergasan yang maksimum terutama apabila sudah berusia.

Secara ringkasnya, manfaat daripada bersenam adalah sebagai pelengkap rawatan dan menjadi agen pengawal semua penyakit gaya hidup.

"Selain melancarkan aliran darah, mengawal tekanan dan paras gula dalam darah, senaman juga mampu meningkatkan daya ingatan dan membuatkan seseorang itu kelihatan awet muda," tambahnya.

Wednesday, August 05, 2009

Misteri Sepasang Mata (yang sakit)

!. Misteri sepasang mata.

Pada tahun lepas, iaitu pada bulan puasa, saya telah diuji dengan satu "penyakit misteri." Mata saya telah mengalami kesilauan yang melampau. Akibatnya saya sukar mencelikkan kedua-dua belah mata tidak kiralah di luar rumah atau di dalam rumah. Bukan silau saja yang saya hadapi tapi saya rasa mudah tertekan, berserabut, pening. Jika saya berhadapan dengan situasi yang menjadikan saya stres seperti berada di dalam kelas yang pelajar-pelajarnya bising, atau anak kecil saya berlari-lari di dalam bilik air, saya sudah tidak dapat mengawal mata dan kepala saya, rasa nak menjerit-jerit. Keadaan itu berterusan berbulan-bulan hingga sekarang.

Yang harunya apabila saya masuk ke kelas, saya terpaksa berusaha bersungguh-sungguh mengajar dan dalam masa yang sama mengawal keadaan stes saya. Dalam rawatan stres, dinasihatkan kurang bercakap atau jangan bercakap kuat-kuat. Tapi, bagaimana saya nak mengelak daripada tidak bercakap atau bercakap perlahan-lahan. Sukar untuk menggambarkan bagaimana teruknya perasaan saya jika anda tidak pernah mengalaminya.

Saya memakai cermin mata hitam walaupun ketika di dalam kelas. Bolehlah bayangkan bagaimana cikgu mengajar memakai kaca mata hitam.
Saya pergi ke hospital pakar di Seremban. Lama juga mata saya diperiksa oleh 3 orang doktor tersebut, didapati mata saya normal! Saya tentulah tidak berpuas hati kerana saya tidak mereka-reka betapa terganggunya saya dengan masalah mata saya itu. Doktor yang keempat datang lalu memberi nasihat dan memberi motivasi untuk masalah mata saya.

Oleh sebab tiada berkesudahan masalah mata saya, saya disyorkan ke satu perubatan mata alternatif. Dua kali saya ke sana (KL) dan kosnya bukanlah sedikit. Malangnya rawatan itu tidak sesuai dengan masalah mata saya. (Saya pernah sentuh tentang rawatan tersebut dalam entri edisi tahun lepas).

Seorang doktor (hospital) menasihatkan saya menempah cermin mata (yang baru). Saya telah membuat pemeriksaan mata sebanyak 4 kali di optometris, kali ke 4 barulah saya bersetuju untuk menempahnya. Saya juga telah membuat pemeriksaan mata yang rapi di sebuah universiti swasta (ada course optometris). Hanya satu kesan kecil yang terdapat dan beliau bertanya adakah saya pernah kemalangan, sebab ia kelihatan seperti sudah menjadi parut. Memang saya pernah kemalangan dan kepala saya terhentak dengan kuat di dash board.

Jadi, saya pun pergilah ke optometris untuk menempah cermin mata. Kali pertama cermin mata saya itu hanya untuk rabun jauh dan untuk rabun silau. Masalah rabun jauh saya rendah saja, jika dicampurkan mata kanan dan mata kiri tak sampai pun 250. Sebelum ini saya jarang memakai cermin mata kerana saya boleh melihat dengan selesa, juga saya boleh membaca jarak yang dekat dengan jelas tanpa memakai spek. Rabun silau saya pun lebih kurang angka itu juga, tapi yang hairannya, saya sukar mencelikkan mata dan memang tugas saya yang berhadapan dengan pelajar, mengajar dan mendisiplinkan mereka menjadi sukar. Memandu waktu malam mengelirukan kerana susah membezakan jarak.

Cermin yang saya tempah tadi nampaknya tidak bertahan lama sebab saya tidak meminta dimasukkan rabun dekat. Ini menjadikan saya terpaksa membuka atau mengangkat cermin mata jika ingin membaca dekat. Apabila berada di rumah, saya tidak selesa menggunakan cermin mata tersebut sebab kebanyakan penglihatan menggunakan jarak dekat dan saya boleh melihat dekat dengan baik. Jadi, saya tidak memakai cermin mata. Kesannya, apabila saya ke sekolah pada hari Isnin (pada hari yang berikutnya), kesilauan itu semakin serius.

Saya pun ke optometris sekali lagi dan menempah cermin yang "multi focal", untuk rabun dekat, rabun jauh, rabun silau dan warnanya akan berubah secara automatik jika terdedah pada cuaca panas. Harga cermin boleh tahanlah, tetapi oleh sebab ada offer, cerminnya menjadi RM700 asal RM1100. Bingkainya saya guna cermin mata yang lama (dahulu). Saya pun tidak tahu berapa lama tempoh mata akan mengalami pengubahsuaian dan pulih, tapi hingga sekarang sudah hampir 3 bulan memakai cermin mata baru, keadaan silau masih belum pulih.

Ada juga kawan-kawan atau doktor yang saya kunjungi mengesyurkan saya berjumpa dengan doktor sekian sekian. Sekarang saya dah jadi macam fobia, sebab perubatan aternatif itu ramai orang sembuh dengannya, tapi tidak bagi saya. Pakai cermin mata pun tak banyak beza sementelah saya tidak suka memakai cermin mata.

Sekarang, di samping menghadapi mata silau, alergik saya semakin buruk. Menyapu rumah pun menyebabkan saya mudah selsema. Mengemas buku semasa cuti dulu menyebabkan saya demam dan batuk seminggu. Akhir-akhir ini keadaan alergik semakin teruk, mata mudah pedih dan gatal.
Saya sudah mencuba pelbagai cara. Saya juga cuba menghentikan makanan-makanan yang dikatakan aergik. Saya juga banyak mengambil makanan tambahan seperti jus kurma, jus manggis, spirulina dsb.
Saya banyak berdoa dalam usaha pemulihan. Bahkan bukan saya seorang yang berdoa, ada yang menyayangi saya mendoakankesihatan saya secara berterusan hingga sekarang.

Saya juga mohon diberi petunjuk atas "penyakit misteri" ini.

Dalam dua tiga hari ini, saya mula terfikir suatu perkara...

Ada SATU benda yang saya belum hentikan sejak misteri ini berlaku. Iaitu kosmetik yang saya gunakan... Mungkinkah ini puncanya? Logiknya saya telah menggunakan banyak bahan kesihatan dan memberhentikan penggunaan bahan-bahan yang alergik, cuma kosmetik yang saya gunakan saja yang saya terus gunakan...

Dalam seminggu dua ini, saya tidak sempat menggunakan krim malam. Saya pun tidak tahu mengapa saya tidak sempat gunakan sebab biasanya saya cuba cari masa juga. Apa yang saya rasa mata saya ada ringan sedikit...Jadi, saya pun meletakkan kosmetik saya tu sebagai suspek utama. Bermula pagi tadi saya sudah tidak memakai krim siang. Dan apabila saya bertanyakan sahabat saya yang menggunakan jenama yang sama, rupa-rupanya beliau sudah berhenti daripada menggunakannya. Beliau berhenti bukan kerana alergik tapi disebabkan rasa hairan kerana ketika membeli krim malam produk tersebut, krim itu tidak dipamerkan di atas rak bersama-sama produk yang sama, tapi di letakkan di bawah tempat kaunter, bukan baru sekali tapi sudah beberapa kali beliau mengalaminya.

Untuk makluman pembaca, produk ini berasaskan bahan semula jadi. Saya ada memberitahu doktor pakar suatu masa dahulu tentang produk ini. Menurut beliau, walaupun menggunakan bahan semula jadi, tapi tidak dapat tidak ia ada menggunakan bahan kimia dan boleh jadi berbahaya...

Saya harap penemuan ini benar. Saya sudah tidak sabar-sabar untuk melihat dan celik dengan sempurna, macam orang lain atau macam saya dulu dulu...

Masya Allah, betapa besarnya anugerah mata yang sering kita ambil ringan..

Ya Allah, sihatkanlah badanku, sihatkanlah pendengaranku, sihatkanlah penglihatanku...amin..

Sunday, July 12, 2009

Alzheimer bukan hanya orang tua

Pesakit Alzheimer masih dapat mengingati perkara yang berlaku 30 tahun lampau dengan baik namun gagal mengingati perkara mudah yang dilakukannya beberapa minit lalu.


PERUBAHAN personaliti yang ketara merupakan simptom awal penyakit ini.


APABILA memperkatakan mengenai Alzheimer atau nyanyuk, masyarakat seringkali mengaitkan penyakit ini dengan faktor umur.

Malah punca yang sering dikaitkan dengan penyakit ini ialah otak pesakit mengecut dan wujudnya abnormal protein dalam otak yang dipanggil amiloid.

Keadaan itu menyebabkan saraf-saraf dalam otak menjadi tidak normal dan keseluruhan saiz otak semakin mengecil yang akhirnya menyebabkan pesakit mengalami masalah lupa yang serius.

Namun, dalam keadaan tertentu, penyakit yang lazimnya dihadapi oleh mereka yang berumur melebihi 60 tahun ke atas, juga boleh dialami golongan lebih muda.

Pakar Runding Geriatrik Hospital Pakar Cheras, Dr. Rajbans Singh, berkata meskipun jarang berlaku, kebarangkalian ia dihidapi oleh mereka yang berumur dalam lingkungan 50-an, tetap ada.

"Simptomnya masih samar namun kecenderungan untuk terlupa adalah sama. Walaupun begitu, antara keterlupaan golongan ini dan Alzheimer adalah jangka waktu memori yang diingati," ujarnya.


PERBEZAAN keadaan otak pesakit Alzhaimer (kanan) yang mengecut berbanding otak normal.


Jelas Rajbans, bagi pesakit Alzheimer, mereka masih dapat mengingati perkara lampau yang berlaku 20 hingga 30 tahun lalu dengan baik namun gagal mengingati satu perkara mudah yang dilakukannya beberapa minit lalu.

Bermula dengan keterlupaan jangka pendek, penyakit ini akan berlanjutan hingga membuatkan pesakitnya kehilangan memori secara total.

Tambahnya lagi, keadaan pesakit bertambah serius apabila mereka mula berhalusinasi dan pada tahap ini, potensi mencederakan diri mereka amat tinggi sekiranya tidak dirawat serta diawasi.

"Bertepatan dengan nama lain bagi penyakit ini iaitu The Long Goodbye, penyakit ini lazimnya meliputi tempoh lebih 10 hingga 20 tahun. Jadi, tidak mustahil keadaan mereka akan bertambah buruk," jelasnya.

Antara simptom tingkah laku atau psikologi pesakit Alzheimer termasuklah gemar menjerit, agresif dari segi fizikal, gangguan personaliti, banyak bertanya, kemurungan, kadangkala tidak mahu dibantu, salah sangka dan tidak tidur pada waktu malam.

Rawatan

Menyentuh mengenai jenis rawatan, jelas Rajbans, tiada satu kaedah khusus untuk menyembuhkannya namun apa yang boleh dilakukan ialah melengahkan simptom.

Dalam beberapa kes tertentu, pemberian ubatan untuk meningkatkan kembali sel dan hormon dilakukan dalam bentuk tablet.

"Masalah utama pengambilan ubatan dalam bentuk tablet ialah pesakit kerap terlupa untuk mengambilnya seperti yang diarahkan. Jadi, satu inovasi dilakukan iaitu pesakit dilekat satu tampalan seumpama plaster di lengan.

"Dengan itu, pesakit tidak lagi mempunyai masalah dengan rutin mengambil ubat," jelasnya yang turut menjelaskan antara penyebab utama penyakit ini ialah virus, toksin, kekurangan hormon dan vitamin serta pelbagai lagi.




Tambahnya, penyakit ini bukan sahaja melibatkan pesakit malah seluruh ahli keluarga terdekat yang terpaksa menjaga, merawat dan memantau pesakit.

"Pengetahuan asas mengenai simptom, penjagaan harian serta keperluan pesakit amat penting bagi ahli keluarga. Secara tidak langsung, ia akan membantu ahli keluarga menangani salah faham antara mereka," nasihat Rajbans.

Jangka hayat yang semakin bertambah di Malaysia memberi petunjuk bahawa masyarakat perlu memandang serius penyakit ini.

Ujarnya, ia merupakan fenomena normal di mana-mana negara di dunia apabila taraf hidup semakin meningkat dan keperluan kendiri seperti perubatan mencapai tahap terbaik.

"Sebagai contoh, Jepun. Apabila populasi warga emasnya meningkat mendadak pada 15 tahun lalu, satu pendekatan dilakukan oleh kerajaan mereka agar golongan ini aktif dari aspek minda dan fizikal," jelasnya.

Monday, June 08, 2009

Kurang air rambut gugur

Mengapakah kekurangan air dalam badan menyumbang kepada masalah keguguran rambut yang teruk?


MINUM banyak air suam untuk mengawal suhu badan.


RAMAI daripada kita panik apabila melihat rambut gugur. Sebenarnya, kejadian seumpama itu bukanlah sesuatu yang luar biasa. Ia lazim berlaku kepada sesiapa sahaja saban hari.

Walaubagaimanapun, sekiranya jumlah rambut yang gugur itu terlalu banyak selain meneliti kembali gaya hidup anda, sesi rundingan dengan pakar mungkin wajar dilakukan.

Keguguran rambut boleh menyebabkan seseorang itu kurang yakin diri, bersikap menyendiri, pemalu dan mengalami trauma yang berpanjangan. Klinik Siddha Nexhs Herbal bagi penjagaan kulit dan rambut, menangani masalah tersebut melalui teknologi siddha.

R.C Rajhaletchumy, Perunding Prinsipal Naturopati di Nexhs Herbal mencadangkan supaya seseorang itu minum lebih banyak air ketika menjalani rawatan rambut dan kulit kepala.

"Bekalan air yang mencukupi memainkan peranan penting dalam menurunkan pitta doshic dan menstabilkan tenaga vata, pitta dan kappa, yakni tenaga haba, udara dan air. Amalan meminum air suam juga membantu mengawal suhu badan selain mengatasi masalah keguguran rambut," katanya.

Sebaliknya, air sejuk memburukkan lagi keadaan seseorang yang menghadapi masalah rambut. Individu yang memiliki tenaga air yang berlebihan (kappa) dalam badan, kurang berdepan dengan tabiat meminum air sejuk."'

Minum air

Dalam pada itu, Rajhaletchumy memaklumkan ramai juga pelanggan yang mengeluh 'Saya telah mencuba pelbagai jenis produk tetapi semuanya gagal'.


PENGGUNAAN ramuan herba membantu proses rawatan keguguran rambut.


Perkara ini berlaku kerana teras masalah utama keguguran rambut diabaikan.

Walaupun seseorang itu digalakkan menjalani sesi perundingan peribadi, pengambilan vitamin B kompleks yang disyorkan oleh doktor mungkin kurang berfungsi tanpa pengambilan air yang banyak.

Kesannya, badan menjadi terlalu panas hinggakan air kencing bertukar menjadi kekuningan. Ini seterusnya membawa kepada keguguran rambut yang teruk.

Di Nexhs Herbal, langkah-langkah rawatan rambut dan kulit yang bersepadu dipraktikkan bagi memastikan ia benar-benar memfokus kepada permasalahan tersebut.

Selain minum sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari, Rajaletchumy menawarkan kombinasi ubat-ubatan herba bagi kegunaan luaran, kulit kepala dan ubat khas tanpa antibiotik bagi kesihatan kulit.


Ini pesanan kepada diri sendiri yang asyik lupa nak minum air. "Badan kita memerlukan air" Kasihi diri kita, tiada diri kita siapalah kita..

Monday, November 17, 2008

Tingkat keupayaan otak

BETAPA kuat sekalipun otak berfungsi, sesekali kita tetap lupa sedangkan otak juga perlukan ‘penyelenggaraan’. Bukan pembedahan atau melakukan sesuatu yang berbahaya kerana kajian mendapati otak mampu dipertingkatkan keupayaannya hanya menerusi beberapa langkah mudah.

Berikut beberapa kaedah yang boleh diamalkan untuk membantu untuk meningkatkan fungsi otak:

Makan badam

Badam dipercayai boleh meningkatkan ingatan. Kombinasi minyak badam dan susu yang diambil sebelum tidur atau selepas bangun tidur dikatakan boleh menguatkan kuasa ingatan. Susu badam boleh disediakan dengan menghancurkan badam tanpa lapisan luarnya dan ditambah air dan gula.

Minum jus epal

Kajian Universiti Massachusetts Lowell, Amerika Syarikat menunjukkan jus epal meningkatkan pengeluaran pemancar sistem saraf yang penting, acetylcholine di dalam otak sekali gus meningkatkan kuasa ingatan.

Tidur dengan baik

Kajian mendapati ingatan jangka panjang diperkuatkan apabila seseorang itu memperoleh tidur yang baik.

Nikmati aktiviti mudah yang digemari

Tekanan boleh mengeringkan kekuatan otak. Amalkan aktiviti mudah yang digemari setiap hari untuk menyingkirkan tekanan daripada fikiran.

Sesetengah daripada aktiviti mudah ini bukan saja baik untuk otak malah tubuh dan jiwa seperti mendengar muzik yang digemari, bermain dengan anak dan melahirkan penghargaan kepada orang lain.

Selain itu, berlari beberapa kilometer setiap hari, mengayuh basikal atau berenang juga elok diamalkan.

Senaman minda

Senaman fizikal memang penting untuk membina tubuh yang kuat namun senaman mental juga sangat diperlukan. Sedar atau tidak, kanak-kanak mempunyai kekuatan otak yang jauh lebih tinggi berbanding golongan dewasa. Si kecil sentiasa bermain dengan fikirannya. Fikiran sedemikian menunjukkan kekuatan ingatan yang baik.

Untuk membuatkan fikiran aktif, ada beberapa perkara yang boleh dilakukan seperti bermain silang kata, berinteraksi atau melakukan kerja sukarela. Selain itu, mulakan hobi seperti menulis blog, membaca, melukis atau mempelajari kemahiran baru.

Mengurangkan pengambilan gula

Gula bukanlah makanan. Ia sejenis karbohidrat yang memberikan tenaga khayalan. Pengambilan gula berlebihan boleh mengakibatkan gejala kebimbangan yang keterlaluan.

Gula yang berlebihan juga boleh menyebabkan rasa takut apabila berada di tempat sempit, hilang ingatan dan masalah saraf lain.

Jika boleh, nikmati makanan tanpa perlu menambah gula.

Khasiat gandum penuh

Gandum penuh mengandungi lecithin. Bahan ini membantu untuk mengurangkan masalah pengerasan saluran darah yang lazimnya merosakkan fungsi otak.

Makan hidangan ringan pada waktu malam

Hidangan berat boleh menyebabkan seseorang itu sukar tidur dan tekanan emosi sewaktu tidur. Elok menikmati hidangan berat waktu siang ketika tubuh melakukan banyak pergerakan sekali gus memanfaatkan pengambilan yang banyak itu.

Pada waktu malam, nikmati hidangan ringan berserta buah-buahan untuk memudahkan tidur. Tidur yang baik boleh menguatkan otak.

Berimaginasi

Orang Yunani cukup mahir dari segi prinsip imaginasi dan kaitannya untuk mengingati apa saja. Teknik berkenaan memerlukan seseorang itu mencipta imaginasi jelas dan berwarna-warni yang boleh dikaitkan dengan objek yang diketahui.

Jika proses imaginasi itu turut disertai deria sentuh, rasa, bau, dengar dan melihat, seseorang itu boleh mengingatinya dengan lebih baik.


Kelebihan vitamin B kompleks

Vitamin B kompleks menguatkan ingatan justeru, nikmati makanan termasuk sayur-sayuran yang mempunyai kandungan vitamin B kompleks yang tinggi.