Selamat Datang

Usrah Jamadilkubra ialah rangkaian keluarga keturunan SYED JAMALUDDIN AL-AKBAR AL-HUSAINI (Wajo Makasar 1352-1415 M) BIN AHMAD JALALUDDIN SYAH (AHMAD SYAH JALAL) melalui keturunannya SYED ALI NURUDDIN ZAINUL ALAM (Ali Nurul Alam).

Isnin, 21 Disember 2009

Rehlatul Kubra (Hari Keempat)


01 Oktober 2009 (Khamis)

Saya terjaga dari tidur sewaktu azan subuh berkumandang dari menara masjid di Kota Palu ini tatkala jam menunjukkan pukul 4.32 pagi. Walaupun begitu, saya bermalasan buat seketika ditempat tidur kerana kepenatan masih lagi tersisa.

Kemudiannya saya bangun untuk solat subuh sebelum mengejutkan Izzat yang masih lena dipembaringan.  Selepas solat subuh berjemaah dengan Izzat, kami kembali menyambung rangkaian mimpi yang terputus tadi kerana waktu masih awal sedang Pak Haris telah berjanji untuk datang menjemput kami pada pukul 7.30 pagi untuk ke Masjid Yayasan al-Khairat bagi menghadiri Majlis Haul Habib Idrus bin Salim al-Jufri.


Pukul 6.50 pagi, kami semua bangun bersiap dan menanti kedatangan Pak Haris. Sambil itu kami menikmati hidangan kopi panas yang disediakan oleh keluarga Pak Ako. Kemudian Pak Haris datang untuk menjemput kami ke Majlis Haul Habib Idrus bin Salim al-Jufri ke 41 yang diadakan di Masjid Yayasan al-Khairat, Kota Palu.

Ketika kami sampai, para tetamu dan orang ramai sudah mula memenuhi ruang bawah khemah yang disediakan di perkarangan masjid. Dijangkakan seramai 25,000 orang tetamu akan hadir ke majlis ini dari pelbagai pelosok daerah. Kami adalah satu-satunya tetamu dari Malaysia serta buat pertama kalinya dalam sejarah Majlis Haul Habib Idrus bin Salim al- Jufri ini dihadiri oleh tetamu dari Malaysia.

Kami telah diberitahu bahawa pihak Yayasan al-Khairat telah menyembelih 20 ekor lembu untuk dijadikan sebagai jamuan kepada para tetamu yang hadir di majlis ini.


Kami telah diberikan ruang khas dalam ruang Masjid Yayasan al-Khairat bersama para tetamu kehormat yang lain. Para tetamu kehormat dari pelbagai jabatan kerajaan serta wakil pihak pemerintah negara semakin ramai memenuhi ruangan masjid tersebut. Antara tetamu tersebut ialah Duta Besar Indonesia ke Arab Saudi, Dr. Salim Assegaf Al-Jufri juga turut hadir bersama.

Kebanyakkan para Habaib di sini masih pelat kearaban walaupun mereka bercakap dalam bahasa Indonesia. Malah ada ketikanya mereka lebih suka bertutur dalam bahasa Arab. Bunyi pelat mereka bercakap seperti P. Ramlee bercakap dalam cerita Ahmad Albab.

8.15 pagi, majlis dimulakan dengan bacaan syair yang dikarang khas oleh al-Marhum Habib Idrus bin Salim al-Jufri untuk menyambut kepulangan cucunya yang amat dikasihi Habib Segaf bin Muhammad al-Jufri. Kemudian disusuli pula dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran al-Karim.

Ketika kami mula menjejakkan kaki ke sini, kami diberitahu bahawa sudah agak lama hujan tidak membasahi bumi Palu ini. Namun, saat majlis ini sedang bermula, hujan turun sebagai mengiringi dan menyejukkan bumi Palu. Kedengaran ucapan syukur dari mulut para tetamu yang hadir diatas kurniaan hujan rahmat dari Allah tersebut.

Seterusnya majlis diperdengarkan bacaan Manaqib Habib Idrus bin Salim al-Jufri[1]. Manaqib yang memperkisahkan susur galur keturunan Habib Idrus atau lebih dikenali sebagai ‘Guru Tua’ serta sejarah perjuangannya dalam menyebabkan dakwah di Sulawesi ini khasnya.


Setelah itu, penceramah jemputan khas untuk majlis ini Prof. Dr. M. Quraish Shihab menyampaikan ceramah. Beliau yang begitu terkenal dikalangan masyarakat Indonesia sebagai pakar tafsir serta selalu muncul dikaca tv terutamanya dalam program Tafsir al-Mishbah.

Dalam masa yang sama, urusetia majlis telah mengedarkan bungkusan kecil berisi beberapa biji kurma untuk para tetamu beserta dengan air mineral. Kebetulan perut saya mula rasa lapar kerana pagi tadi kami hanya sempat minum kopi panas sahaja sebagai pengalas perut.

Prof. Dr. M Quraish Shihab turut memetik kata-kata seorang pujangga Arab yang sangat terkenal, Ahmad Syauqi[2]Bahasa lisan sudah kehabisan kata, namun sekarang bahasa mata bertutur dengan matamu menyemai cinta.”

Dr. M Quraish Shihab juga menghuraikan perkataan al-Khairat yang menjadi nama bagi yayasan ini. Merupakan perkataan jama’ bermaksud kebaikan-kebaikan.  


Selepas itu beberapa orang kenamaan turut memberikan ucapan antaranya Duta Besar Indonesia ke Arab Saudi Dr. Salim Assegaf Al-Jufri[3] yang juga merupakan cucu bagi al-Marhum Habib Idrus bin Salim al-Jufri serta abang kepada Habib Ali bin Muhammad al-Jufri.

Diikuti dengan ucapan Pengarah Pusat Yayasan al-Khairat, Habib Assegaf bin Muhammad al-Jufri. Dalam ucapan beliau, telah dinyatakan bahawa Yayasan al-Khairaat sekarang ini telah mempunyai 1,700 buah madrasah serta mempunyai sebuah pusat pengajian tinggi iaitu Universitas al-Khairaat. Universitas al-Khairaat sekarang ini pula telah membuka satu fakulti perubatan sendiri dan telah sedia menerima kemasukan pelajar.


Terdetik rasa takjub saya dengan pencapai Yayasan al-Khairaat sedemikian rupa yang dapat menyediakan sistem pendidikan dari peringkat paling rendah sehingga peringkat tertinggi. Dan akhir sekali ialah ucapan wakil Gabenor Sulawesi Tengah.

 Sebagai penutup, diadakan bacaan Yaasin dan tahlil yang diketuai oleh Habib Sagef al-Jufri sendiri. Majlis berakhir sekitar jam 12.00 tengahari dan kami disediakan dengan nasi bungkus setiap seorang.

Sewaktu kami mula bergerak untuk keluar dari ruang dalam masjid, saya lihat seluruh perkarangan masjid dipenuhi dengan para jemaah tidak kira lelaki atau perempuan, tua atau muda. Khemah-khemah yang disediakan oleh urusetia majlis kelihatannya tidak mencukupi untuk menampung lautan manusia. Kehadiran jemaah mungkin lebih kurang 25,000 orang sebagaimana jangkaan.


Kami dipandu Pak Haris mengharungi lautan manusia untuk sampai ke tempat parkir kereta. Pak Haris kemudiannya menghantar kami ke rumah penginapan. Untuk keluar dari kawasan tersebut sahaja sudah memakan masa kerana kenderaan berpusu-pusu memenuhi jalan raya. Urusetia terpaksa meminta pihak polis serta menggunakan tenaga pelajar yang terdiri dari para pengakap untuk mengawal lalu lintas bagi mengelak berlakunya kesesakan.

Perut saya sudah terlalu lapar sangat kerana sekadar di alas dengan beberapa biji buah kurma yang diberikan oleh pihak urusetia. Sesampai sahaja di rumah penginapan, saya dan Izzat terus membuka nasi bungkus yang diberikan tadi. Terasa sedikit lega dengan masuknya nasi tersebut walaupun sebenarnya masih belum dapat menghilangkan kelaparan saya.

Selepas solat jama’ taqdim Asar bersama Izzat, saya mengambil kesempatan untuk berehat sambil membaca dan menaip Rehlatul Kubra. Saya juga sempat mengirimkan khabar berupa sms kepada isteri saya di Kelantan melalui telefon milik Abu Aswad. Dalam keasyikan membaca, menaip dan mengirim sms, saya terlena oleh kerana keletihan yang menguasai badan.


Pukul 4.00 petang, saya terbangun dan menyambung kembali kerja saya yang masih terbengkalai. Kemudiannya Abu Aswad muncul di muka pintu bilik saya mengingatkan kami supaya bersiap-siap kerana Pak Haris akan datang menjemput kami untuk makan petang dirumahnya. Sambil menunggu Pak Haris datang, kami menikmati minum petang yang disediakan oleh Pak Ako.

Lebih kurang pukul 5.00 petang, wakil Pak Haris yang dikenali sebagai Oleng datang untuk menjemput kami. Rumah Pak Haris tidaklah jauh sangat dari rumah penginapan kami, cuma jalannya sahaja yang berliku-liku.


Di rumah Pak Haris, sekali lagi kami dihidangkan dengan makanan tradisi orang Kota Palu iaitu ‘Kaledo’ iaitu jagung atau ubi kayu yang dimakan bersama dengan sup kaki lembu. Kami menikmati hidangan tersebut dengan penuh kesyukuran sekali kerana kami ini bukan jenis yang memilih. Apa yang dihidangkan, itulah yang kami makan. Dalam ketika itu, Habib Alwi tiba bersama sahabatnya. Menurut Habib Alwi, ‘Kaledo’ itu adalah singkatan bagi ‘Kaki Lembu Donggala’.   

Tatkala azan maghrib berkumandang dari menara masjid, kami bertolak bersama Pak Haris ke Gunung Gawalise[4] untuk melawat sendiri sebuah tempat hiburan berupa disko yang telah bertukar menjadi Pesantren Raudhatul Mustafa dibawah bimbingan Habib Idrus al-Habsyi.

Untuk sampai ke kawasan Pesantren Rauhdatul Mustafa tersebut, kami perlu melalui jalan agak teruk keadaannya yang mendaki 45 darjah. Nasib baik juga kenderaan yang dipandu Pak Haris tersebut tergolong dalam jenis pacuan 4 roda.


Apabila kami sampai di sana, kami terus menuju ke surau untuk menunaikan solat jama’ maghrib. Ketika itu, keadaan gelap gelita kerana bekalan elektrik terputus diseluruh kawasan pesantren. Kedengarannya suara orang berwirid secara beramai-ramai dari arah surau. Dalam kegelapan, kami teraba-raba mencari tempat berwudhuk. Kemudian kami solat jama’ maghrib berjemaah diimamkan oleh Abu Aswad.

Selepas solat, kami berkesempatan untuk menemui Habib Idrus al-Habsyi, Pengetua Pesantren Raudhatul Mustafa. Pada pandangan saya, umur Habib Idrus adalah dalam lingkungan 35 tahun dan masih muda lagi. Namun pemuda lulusan Universiti al-Azhar dan Darul Mustafa, Yaman itu kelihatannya begitu berwibawa untuk memimpin pesantren yang mempunyai 70 orang pelajar dan 6 orang guru itu.

Mengikut cerita Habib Idrus al-Habsyi, pesantren tersebut baru sahaja dibuka pada tahun 2006. Pada asalnya kawasan pesantren tersebut merupakan pusat hiburan atau tempat maksiat. Dalam kegelapan dibantu oleh lampu lensa kamera, saya masih boleh melihat keindahan kawasan tersebut. Apatah lagi dari puncak Gunung Gawalise tersebut, kami dapat melihat keindahan malam di Kota Palu yang bergemerlapan.  


Setelah itu kami mohon mengundur diri, Habib Idrus berjanji akan mengunjungi kami di rumah penginapan pada tengahari esok sebelum kami berangkat ke Ujung Pandang. Perjalanan untuk sampai kebawah tersebut perlu melalui jalan yang rosak teruk serta berbatu sejauh 5 kilometer.   

Malam ini kami mendapat undangan supaya menghadirkan diri ke majlis zapin[5] sempena perkahwinan seorang penduduk tempatan pada pukul 9.00 malam. Namun begitu, ketika itu jam baru sahaja menunjukkan pukul 8.00 malam. Jadi dikesempatan ini Abu Aswad meminta Pak Haris menghantar kami ke salah sebuah gedung buku yang terbesar di Kota Palu ini. Setelah beberapa kali berpusing-pusing sambil menikmati suasana malam di Kota Palu ini, kami berhenti disebuah kedai buku yang agak besar. Saya menjadi sangat teruja setiap kali mengunjungi kedai buku kerana ianya merupakan salah satu tempat yang menarik untuk dikunjungi. Tetapi saya hanya sempat membeli sebuah novel sahaja kerana Abu Aswad telah mengajak keluar untuk ke majlis perkahwinan tersebut.

Menurut Pak Haris, zapin ini adalah warisan yang dibawa oleh masyarakat Arab Yaman ke Indonesia dan sudah menjadi seperti satu adat warisan masyarakat Indonesia sendiri mengadakan zapin sebagai satu majlis yang diamalkan oleh pengantin yang akan melangsungkan perkahwinan pada keesokan harinya. Ianya seperti majlis perpisahan alam remaja pengantin yang bakal mendirikan rumah tangga.


Inilah kali pertama saya melihat tarian zapin. Ianya hanya ditarikan oleh orang lelaki sahaja. Ia mengujakan saya dan jika ikutkan hati, ingin sangat saya menyertai masyarakat setempat untuk menari zapin. Tapi apa boleh buat, saya tidak pandai menari zapin, tapi kalau tari silat boleh la. Izzat pun begitu juga, apatah lagi ianya diiringi dengan lagu Arab padang pasir yang amat mengasyikkan kami. Para pemuda keturunan Arab begitu lincah menari zapin mengikut rentak muzik dan lagu yang didendangkan oleh penyanyinya.    Setelah malam semakin lewat, Abu Aswad mengajak kami untuk balik ke rumah penginapan. Kalau ikutkan hati, saya masih mahu menyaksikan tarian zapin ini sehingga tamat.

Dalam perjalanan pulang ke rumah penginapan, Abu Aswad meminta supaya Pak Haris singgah di gerai soto atau warung ikan bakar untuk makan malam. Pada masa yang sama, Pak Haris mendapat panggilan telefon dari Pak Ako. Pak Haris menjelaskan tujuan kami, namun Pak Ako meminta Pak Haris terus membawa kami pulang ke rumah penginapan kerana beliau akan menyediakan makanan tersebut untuk kami.   

Pak Haris langsung menghantar kami ke rumah penginapan. Pak Ako sudah sedia menanti kami di beranda. Dia telah mengarahkan isterinya untuk keluar mendapatkan makan malam kami. Sementara menunggu makan malam kami siap, kami bersembang dengan Pak Ako atau nama sebenarnya Abdul Haq yang merupakan Ketua Umum Kepemudaan Yayasan al-Khairaat. Pelbagai perkara yang kami sembangkan terutamanya mengenai Habib Ali bin Muhammad al-Jufri serta pembangunan Yayasan al-Khairaat.


[1] Guru Tua, begitulah beliau disapa. Beliau adalah Ulama Hadralmaut yang berhijrah ke Indonesia untuk menjaga benteng pertahanan aqidah Islam di Sulawesi dari ancaman Missionary Kristian. Beliaulah pengasas Yayasan al-Khairaat yang kini memiliki lebh dari 1800 madrasah dan sekolah bermula dari sekolah asas sehingga ke peringkat univerisiti. Lembaga pendidikan Islam al-Khairaat berpusat di Kota Palu dan menyebar ke daerah sekitar menjadikannya sebagai pintu gerbang dakwah Islam di Kawasan Timur Nusantara. 


Nasab beliau adalah Habib Idrus bin Salim bin Alwi bin Segaf bin Alwi bin Abdullah bin Hussein bin Salim bin Idrus bin Muhammad bin Abdullah bin Alwi bin Abu Bakar al-Jufri bin Muhammad bin Ali bin Muhammad bin Ahmad bin Alwi bin Muhammad bin Alwi bin Ali bin Muhammad Faqih al-Muqaddam bin Alwi bin Abdullah bin Ahmad al-Muhajir bin Isa an-Naqib bin Ali al-U’raidhi bin Jaa’far as-Sadiq bin Muhammad al-Baqir bin Ali Zainal Abidin bin Husein bin Ali bin Abi Thalib suami Fatimah az-Zahra binti Rasulullah s.a.w

Habib Idrus lahir di Kota Taris, 4 KM dari Ibu Kota Seiwun Hadramaut pada 14 Syaaban 1309 hijrah bersamaan dengan 15 Mac 1881 Masihi. Beliau mendapat pendidikan agama secara langsung dari ayahnya dan lingkungan keluarganya sendiri. Ayah beliau, Habib Salim adalah seorang qadhi dan mufti di Kota Taris, Hadramaut. Manakala datuk beliau Habib Alwi bin Segaf al-Jufri adalah seorang ulama pada ketika itu. Beliau merupakan salah seorang dari 5 orang ahli hukum di Hadramaut yang fatwa-fatwanya terkumpul dalam kitab Bughyatul Musytarsyidin karya al-Imam al-Habib Abdurrahman al-Masyhur.

Tatkala Habib Idrus menginjak usia remaja, ayah beliau al-Habib Salim melihat bahawa kelak anaknya itu bisa menggantikannya. Beliaupun mendidik anaknya tersebut secara khusus. Habib Salim membuatkan kamar khusus bagi anaknya agar dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran. Habib Idrus kemudiannya mendalami pelbagai ilmu seperti tafsir, hadis, tasawuf, fiqh, tauhid, mantiq, maa’ani,bayan, badi’, nahu, saraf, falaq, tarikh dan sastera. Selain kepada ayahnya, Habib Idrus juga belajar kepada para ulama dan auliya’ di Hadramaut. Diantaranya ialah al-Habib Muhsn bin Alwi as-Segaf, al-Habib Abdurrahman bin Alwi bin Umar as-Segaf, al-Habib Muhammad bin Ibrahim Bilfaqih, al-Habib Abdullah bin Husein bin Sholeh al-Bahar, al-Habib Idrus bin Umar al-Habsyi dan al-Habib Abdullah bin Umar as-Syatiri di Rubath Tarim.

Kemudian pada tahun 1327 H atau sekitar tahun 1909 M bersama sang ayah, Habib Idrus berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah haji dan berziarah ke makam datuknya Rasulullah s.a.w di Madinah. Di sana mereka menetap selama enam bulan. Selama itu Habib Salim memenafaatkan waktunya untuk mengajak puteranya berziarah kepada para ulama dan auliya’ yang berada di Tanah Hijaz pada masa itu untuk meminta berkah, doa serta ijazah dari mereka. Salah satunya ialah kepada Sayyid Abbas al-Maliki al-Hasani di Mekah. Habib Salim kemudiannya membawa Habib Idrus pulang ke Hadramaut. Setelah itu beliau membawa Habib Idrus belayar ke Indonesia tepatnya ke Kota Menado untuk menemui ibunya Syarifah Nur al-Jufri serta Habib Alwi dan Habib Syeikh yang merupakan saudara kandung Habib Idrus yang telah terlebih dahulu berhijrah ke Indonesia. Setelah beberapa waktu di Indonesia, Habib Idrus dan ayahnya kembali ke Hadramaut. Setibanya di Hadramaut, Habib Idrus mengajar di madrasah yang dpimpin oleh ayah beliau. Setelah itu Habib Idrus berkahwin dengan Syarifah Bahiyah dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Habib Salim, Habib Muhammad dan Syarifah Raguan. Pada bulan Syawal 1334 H bersamaan dengan 1906 M ayah beliau, Habib Salim telah meninggal. Dan pada tahun itu pula Habib Idrus telah diangkat oleh Sultan Mansur sebagai mufti dan qadhi di Kota Taris, Hadramaut padahal ketika itu beliau baru sahaja berumur 25 tahun.

Pada tahun 1839M . Hadramaut berada di bawah penjajahan Ingeris. Ketika itulah Habib Idrus bersama seorang sahabatnya yang bernama Habib Abdurrahman bin Ubaidillah bermaksud hendak ke Mesir untuk menyebarkan kekejaman Inggeris dan pencabulan hak asasi manusia yang telah dlakukan Inggeris di Hadramaut. Setelah semua persiapan rapi dibuat, mereka berdua berangkat melalui Pelabuhan Aden. Namun di Pelabuhan Laut Merah itu, rancangan mereka telah diketahui oleh pihak Inggeris lalu keduanya telah ditangkap dan semua dokumen telah dirampas dan dimusnahkan. Mereka kemudiannya dbebaskan setelah ditahan buat beberapa waktu dengan syarat mereka tidak dibolehkan untuk pergi ke mana-mana negeri Arab sekalipun. Setelah kejadian itu, Habib Abdurrahman memilih untuk terus menetap di Hadramaut manakala Habib Idrus pula memilih untuk berhijrah ke Indonesia.

Pada tahun 1925 M, Habib Idrus kembali ke Indonesia untuk kali kedua dan pada mulanya beliau menetap di Pengkalongan, Jawa Tengah. Di sana beliau telah berkahwin dengan Syarifah Aminah al-Jufri dan telah dikurniakan dua orang anak iaitu Syarifah Lulu’ dan Syarifah Nikmah. Syarifah Lulu’ telah berkahwin dengan Sayyid Segaf bin Syeikh al-Jufri dan salah seorang anaknya ialah Dr. Salim Segaf al-Jufri, Duta Besar Indonesia ke Arab Saudi sekarang ini.         

Pada tahun 1926 M, beliau telah berpindah ke Kota Jombang, di sana beliau mengajar sambil berdagang. Namun di penghujung tahun 1928 M, oleh kerana selalu kerugian dalam perdagangan, Habib Idrus membuat keputusan untuk berhenti berdagang dan memilih untuk menjadi guru. Dan pada tahun itu juga beliau telah berhijrah ke Kota Solo. Tanggal 27 Disember 1928M bersama para Habaib yang lain, beliau telah mendirikan Madrasah Rabithah Alawiyah di Kota Solo. Namun pada penghujung tahun 1929M, beliau meninggalkan Kota Solo dan menuju ke Sulawesi. Beliau kemudiannya belayar ke Menado. Ketika kapalnya singgah di Donggala, Habib Idrus menggunakan kesempatan ini untuk berjumpa dengan komuniti Arab yang dipimpin oleh Syeikh Nasr bin Khams al-Amri di situ beliau telah mengutarakan tentang rencananya untuk mendirikan madrasah di Kota Palu.
Setibanya di Menado, HAbib Idrus mendapat telegram tentang hasil musyawarah dengan masyarakat Arab yang berada di Kota Palu mengenai pembinaan madarsah. Ada akhirnya disepakati bersama bahawa saranan berupa pusat pendidikan akan dibina oleh masyarakat Arab di Palu, manakala gaji guru Habib Idrus yang mengusahakannya. Pada awal 1930M, Habib Idrus menuju ke Kota Palu dan pada tanggal 30 Jun 1930M setelah menguruskan kebenaran pembangunan dan surat-surat lainnya kepada pemerintah Hinda Belanda, maka Madrasah al-Khairaat di rasmikan di Kota Palu.

Dalam perkembangannya, pengelolaan madrasah sepenuhnya diuruskan oleh Habib Idrus. Para murid yang belajar disana tidak dikenakan sebarang yuran. Hal ini kerana Habib Idrus mengadaptasikan sistem pendidikan Arab yang pada umumnya tidak memungut yuran pendidikan dari para muridnya. Sehingga para murid lebih focus terhadap pelajaran. Habib Idrus memberikan gaji kepada para guru dan kakitangan sekolah dari hasil perdangannya. Ketika itu beliau mengambil barang dagangan dari Jawa dalam jumlah besar, kemudian beliau mengagihkannya kepada pedagang-pedagang di Kota Palu. Uniknya Habib Idrus selalu menunjukkan resit asli pembelian barang-barang tersebut kepada para pedagang, kemudiannya beliau meminta para pedagang itu memberikan keuntungan antara 10 – 15%.

Habib Idrus mengajar para pelajarnya dengan penuh dedikasi dan tahap professional yang tinggi. Keikhlasan dan kesungguhan beliau itu telah membuahkan hasil. Perguruan al-Khairaat ketika itu telah berjaya menghasilkan guru-guru Islam yang handal yang kemudiannya bertebaran ke seluruh pelusuk Sulawesi Tengah, Sulawesi Utara, Maluku dan Irian Jaya. Kewujudan Perguruan al-Khairaat dan para pelajarnya telah berhasil menghalanh kawasan Timur Indonesia dari para pendakwah Kristian, yang pada waktu itu Hindia Belanda mempunyai tiga organisasi yang bertugas mengkristiankan suku-suku terasing di Sulawesi Tengah iaitu Indische Kerk (IK) berusat di Luwu, Nederlands Zending Genootschaap (NZG) berpusat di Tentena dan Leger Dois Hest (LDH) berpusat di Kalawara.

Pada 11 Januari 1942M, Jepun menduduki Sulawesi dan menjadikan Kota Menado sebagai pusat pengkalan di kawasan Timur Indonesia. Tidak lama selepas itu, Jepun memerintahkan penutupan Perguruan al-Khairaat. Selama tiga tahun setengah pendudukan Jepun, Habib Idrus tidak sedikitpun menyerah untuk mengajar para muridnya. Proses pembelajaran tetap berlangsung walaupun secara sembunyi dan rahsia. Lokasi pembelajaran dipindahkan ke Desa Bayoge dalam jarak satu setengah kilometer dari lokasi Perguruan al-Khairaat. Pembelajarannya dilaksanakan pada waktu malam dan hanya penerangan seadanya, para pelajar datang satu persatu secara sembunyi. Tepat saat kemerdekaan Republik Indonesia pada tanggal 17 Ogos 1945M, Habib Idrus kembali membuka Perguruan al-Khairaat secara rasmi. Beliau kembali berjuang untuk mengembangkan dakwah dan pendidikan Islam. Selama 26 tahun (1930- 1956M) lembaga yang telah dirintisnya ini telah menjangkau seluruh kawasan Indonesia Timur.

Perguruan al-Khairaat kemudiannya mengembangkan sayapnya dengan membuka Perguruan Tinggi pada tahun 1964M dengan nama Universitas Islam al-Khairaat yang mempunyai 3 fakulti iaitu Fakultas Sastera, Fakultas Tarbiyah dan Fakultas Syariah. Manakala Habib Idrus merupakan rektor pertamanya. Ketika terjadi pemberontakan G30S PKI pada tahun 1965M, Perguruan Tinggi al-Khairaat di bekukan untuk sementara waktu. Para mahasiswanya diberikan tugas untuk berdakwah ke daerah-daerah terpencil kawasan Sulawesi. Hal ini sebagai usaha untuk membendung fahaman komunis sekaligus menyebarkan dakwah Islam. Setelah keadaan kembali reda, pada tahun 1969 Perguruan Tinggi al-Khairaat dibuka kembali.

Ketika masih lagi dalam suasana Aidul Fitri, sakit parah yang telah lama dideritai Habib Idrus kembali menyerang. Bertambah hari semakin berat penyakitnya. Maka guru, ulama dan sasterawan itu meghembuskan nafasnya yang terakhir pada hari Isnin 12 Syawal 1389H bersamaan dengan 22 Disember 1969M. Sebelum menjelang saat kewafatannya, Habib Idrus telah mewasiatkan tentang siapa sahaja para petugas yang akan menguruskan jenazahnya mulai dari memandikannya, imam solat jenazah, tempat perlaksanaan solat jenazah, siapa yang akan turun ke liang lahad, muadzin di lahad, sampai yang membaca talqin di kuburnya.

Habib Idrus tidak meninggalkan karangan kitab, namun karya besarnya adalah al-Khairaat dan murid-muridnya yang telah memberikan pengajaran serta pencerahan agama kepada umat. Para murid al-Khairaat telah bertebaran ke seluruh kawasan Indonesia untuk meneruskan perjuangan sang pendidik yang tidak kenal utus asa ini. Salah satu murid beliau yang meneruskan perjuangan dakwahnya adalah Ustaz Abdullah Awadh Abdun yang berhijrah dari Kota Palu menuju ke Kota Malang untuk berdakwah dan mendidik para muridnya dengan mendirikan Pesantren Darul Tauhid di Kota Malang. Ketika wafat, Habib Idrus telah mewariskan 25 cawangan al-Khairaat dan ratusan sekolah serta bebeapa madrasah yang beliau dirikan kala hidupnya. Kini Perguruan al-Khairaat dikelola menjadi institusi moden berupa Perguruan Besar al-Khairaat dan Yayasan al-Khairaat, dibentuk pula Wanita Islam al-Khairaat dan Himpunan Pemuda al-Khairaat. (Abdul Qadir Umar Mauladawilah, 17 Habaib Berpengaruh di Indeonesia. Pustaka Bayan, Cetakan iv Januari 2009. Muka surat: 126)   
              
[2] Ahmad Syauqi dilahirkan di daerah Alhanafi, Kaherah pada16 Oktober 1868 M. Darah campuran yang ada pada dirinya berasal dari Arab, Turki dan Yunani. Darah Arab ia dapatkan dari ayahnya yang berasal dari suku Kurdi, sedangkan Ahmad Halim sang datuk (bapak dari ayahnya) berasal dari Turki yang kemudian menikah dengan Tamraz, seorang dara Yunani. Silsilah yang bercampur-campur  ini berpengaruh kuat pada karakter sastera Syauqi, dimana Arab dan Yunani terkenal dengan syair dan para sasterawannya.

Banyak anekdot yang selalu dituangkan penulis sejarah seni dan budaya untuk memberi gambaran betapa intimnya keluarga Syauqi dengan para pegawai Istana: Sewaktu kecil, mata Syauqi sakit. Syauqi kecil tidak dapat melihat ke bawah. Pada suatu hari datuknya membawa Syauqi kecil mengunjungi Ismail (Pemerintah Mesir pada waktu itu). Melihat mata Syauqi yang tidak dapat melihat ke bawah, Ismail mengambil beberapa butiran emas kemudian menaburkannya di atas permadani. Seketika pandangan Syauqi 'turun' ke bawah, lalu berusaha mengumpulkan dan bermain dengan butiran emas. Melihat tingkah tingkah Syauqi itu, Ismail memberi saranan kepada sang datuk agar mengubati cucunya seperti yang ia lakukan. Sang datuk menjawab, "Ubat seperti ini tidak dapat saya jumpai kecuali pada paduka".

Cerita ini menunjukan kecerdasan datuknya yang memang berasal dari Yunani dengan jawapan yang nyastra. Pada masa Syauqi dua sistem pendidikan diberlakukan. Pertama sistem pendidikan agama yang dipelopori al-Azhar, dan kedua sistem Eropah yang berorientasi pada sains dan sastra. Syauqi memilih alternative kedua. Setelah menamatkan Pendidikan Dasar dan Menengahnya di bawah asuhan syekh Soleh, ia melanjutkan studi di Fakulti hukum, kemudian pindah ke "fakulti Tarjamah" sehingga mendapatkan ijazah dalam bidang Seni Terjemah. Kemudian Syauqi melanjutkan studinya di Perancis untuk memperdalam ilmu hukum dan sastera Perancis. Di Perancis Syauqi mulai bersentuhan dengan sastera dan para sasterawan Eropah khususnya sastera Perancis. Ia banyak membaca dan menonton drama Perancis seperti Son of AlexandriaDiamas dan Ji Di Mo Basan. Pada tahun 1894 Syauqi kembali ke Mesir. Wawasan dan pengetahuan Syauqi juga semakin bertambah saat ia habiskan empat tahun berkelana di Perancis, ia semakin menguasai bahasa Perancis dan Turki sekaligus.

Akibat campur tangan Inggris, pada saat Perang Dunia I meletus Syauqi dan para pegawai istana lainnya diasingkan ke Andalusia (Sepanyol). Di pengasingan inilah Syauqi dicengkam kesendirian dan kerinduan akan tanah airnya yang kemudian dituangkan ke dalam syair-syair melankolis.

Usai Perang Dunia, Syauqi kembali ke tanah airnya mengabdikan diri kepada bangsa dan negaranya terutama dalam bidang sastera sampai menghembuskan nafas terakhir pada 13 Oktober 1932.

(dipetik dari http://groups.yahoo message/40800?o=1&d=-1).com/group/ppiindia/
[3] Salim Assegaf Al Jufri (lahir di Surakarta, Jawa Tengah, 17 Juli 1954; umur 55 tahun) adalah Duta Besar Indonesia untuk Arab Saudi dan Kesultanan Oman sejak tahun 2005 menggantikan Muhammad Maftuh Basyuni. Ia juga pernah menjabat sebagai Ketua Dewan Syariah Partai Keadilan Sejahtera (PKS), Direktur Perwakilan WAMY (World Assembly of Muslim Youth) untuk Kawasan Asia Timur dan Asia Tenggara dan juga Direktur Syariah Consulting Center.
(dipetik dari http://grandparagon.com/index.php/2009/10/22/daftar-nama-dan-profil-menteri-kabinet-indonesia-bersatu-ii/)


[4] Gunung Gawalise adalah sebuah gunung yang terletak di daerah Banawa, regensi Donggala, pulau Sulawesi, Indonesia.Gunung Gawalise mempunyai ketinggian setinggi 2023 meter. (dipetik dari http://ms.wikipedia.org/wiki/Gunung_Gawalise)

[5] Tarian Zapin (Jawi:زافين) merupakan sejenis tarian rakyat Melayu tradisional. Tarian ini diilhamkan oleh peranakan Arab dan dikatakan berasal dari Yaman. Tarian zapin telah menular luas di kalangan penggemar seni tari di nusantara iaitu di Semanjung Tanah Melayu, kepulauan Borneo dan gugusan pulau yang sebanding yang mana bergiat aktif dari dulu hingga kini seperti di Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia. Zapin telah mengalami pengubahsuaian dari segi bentuk dan ragamnya yang ternyata lebih tradisional sifatnya. Dengan itu tarian Zapin biasanya mempunyai pecahan tersendiri menurut tempat ia ditarikan, antaranya adalah:

    * Tarian Zapin Arab
    * Tarian Zapin Johor
    * Tarian Zapin Lenga
    * Tarian Zapin Pekan
    * Tarian Zapin Tenglu

Tarian Zapin mementingkan pergerakan berkumpulan dan bukannya usaha individu. Antara peralatan muzik yang mengiringi tarian Zapin adalah gambus, rebana, gendang, rebab dan marakas. Biola tidak tergolong sebagai sejenis alat muzik tarian Zapin namun terdapat anggapan salah dalam kalangan rakyat. Ini disebabkan muzik yang dihasilkan rebab mempunyai persamaan dengan gesekan biola.

Mengikut sejarah tarian Zapin, pada mulanya tarian ini adalah sebagai tarian hiburan di istana setelah dibawa dari Hadramaut, Yaman oleh para pedagang Arab pada awal abad ke-16. Pada masa itu negeri Johor menjadi pengganti kepada peranan Melaka sebagai sebuah entrepot antarabangsa pada kurun ke-16.

Tarian zapin ini kemudiannya merebak ke negeri-negeri sekitar Johor seperti di Riau, iaitu pusat pemerintahan Johor lama, Singapura, wilayah Sarawak, dan Brunei Darussalam.

Mengikut sejarah tarian Zapin, pada mulanya tarian ini adalah sebagai tarian hiburan di istana setelah dibawa dari Hadramaut, Yaman oleh para pedagang Arab pada awal abad ke-16. Pada masa itu negeri Johor menjadi pengganti kepada peranan Melaka sebagai sebuah entrepot antarabangsa pada kurun ke-16.

Tarian zapin ini kemudiannya merebak ke negeri-negeri sekitar Johor seperti di Riau, iaitu pusat pemerintahan Johor lama, Singapura, wilayah Sarawak, dan Brunei Darussalam. (http://ms.wikipedia.org/wiki/Tarian_Zapin)










Tiada ulasan:

Catat Ulasan