Selasa, 24 Ogos 2010

Wan Azizah Perlu Perjelaskan Hubungan Azmin-Anwar!

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail perlu membuktikan beliau bukan boneka, dengan menjelaskan mengapa naib presiden parti itu, Azmin Ali, begitu diberi keistimewaan oleh suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari berkata, selain itu, Wan Azizah juga perlu menjelaskan bentuk hubungan istimewa yang terjalin antara Naib Presiden PKR tersebut dengan suaminya, sehingga ketua pembangkang itu sanggup melebihkan Azmin dalam apa jua keadaan.

"Wan Azizah perlu tampil menjelaskan semua dakwaan ini dan bukannya mengambil sikap membisu. Ini kerana isu yang mengatakan beliau seorang boneka sudah menimbulkan kegelisahan di kalangan rakyat dan juga penyokong PKR.

"Selaku Presiden, Wan Azizah perlu menjelaskan apakah bentuk hubungan istimewa yang terjalin antara Anwar dengan Azmin sehingga beliau sendiri kelihatan dipinggirkan oleh suaminya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas gesaan bekas Naib Presiden PKR, Datin Saidatul Badru Tun Said Keruak supaya Wan Azizah tampil menjelaskan pelbagai tohmahan berkait dakwaan yang mengatakan Anwar terlalu memberi keistimewaan kepada Azmin hingga menjadikan Ahli Parlimen Gombak itu sangat berkuasa melebihi presiden.

Sebelum ini, bekas rakan baik Anwar, Datuk S. Nallakarupan turut mempersoalkan mengapa Penasihat PKR itu dan Wan Azizah takut hendak menjawab tentang kedudukan istimewa Azmin walaupun dicabar berulang kali.

Mengulas lanjut, Anuar mendakwa, beliau pelik apabila melihat ketua pembangkang itu terlalu prihatin terhadap Azmin berbanding individu lain yang menyokong perjuangan PKR termasuklah ahli keluarganya sendiri.

"Pernah dalam satu insiden pada 1996 sewaktu Anwar menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, beliau gelisah apabila Azmin (setiausaha sulit bagi Timbalan Perdana Menteri) tidak hadir ke pejabat sedangkan jika kakitangan lain, beliau tidak ambil kisah.

"Manakala pada satu insiden yang lain pula iaitu pada 1997 di Mauritius semasa mesyuarat Menteri Kewangan Sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), Anwar begitu terganggu sehingga tidak dapat memberi tumpuan kepada ucapannya hanya disebabkan Azmin 'merajuk'," dakwanya.

Menurut beliau, kemampuan Azmin mempengaruhi tindak-tanduk dan perasaan Anwar membuktikan Naib Presiden PKR itu mempunyai 'tangan ghaib' yang sangat berkuasa melebihi kuasa yang dimiliki oleh Wan Azizah selaku presiden parti.

"Persoalannya apa dia tangan ghaib yang membolehkan Azmin mengikat Anwar? Ini yang perlu dijawab oleh Wan Azizah jika benar beliau bukan seorang boneka dalam PKR," katanya.

Warna-warni politik
Torashah

Isnin, 16 Ogos 2010

Adakah Hasan Ali "Alim-alim Kambing" !

Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali yang membidas Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar yang mendesak supaya pusat-pusat hiburan di negeri itu ditutup sepanjang bulan Ramadan. Hasan Ali berkata, "Bagi kita setiap bulan adalah haram bagi semua aktiviti maksiat bukan bulan Ramadan sahaja." Ini menunjukkan betapa ceteknya ilmu agama pemimpin-pemimpin Umno. "Bulan Ramadan baru nak tunjuk alim? Itu alim-alim kucing".

Riak nampaknya Datuk Hasan Ali ni ya! Kita ingin pula bertanya pada Hasan Ali jika ilmu agamanya sudah tinggi, maka kenapa tidak di tutup saja pusat-pusat hiburan di Selangor pada bulan-bulan yang lain! Bukan kah kuasa sudah berada dalam tangan? Kalau bulan ramadan pun tak sanggup nak tutup, bulan-bulan lain jangan cerita lah!Kalau Noh Omar alim-alim kucing, maka Hasan Ali pula bagaimana ya?, Mungkin istilah baru ini amat sesuai dengan dirinya, iaitu "alim-alim kambing".

Hasan Ali yang juga merupakan exco agama Selangor, apakah beliau buta apabila tidak menyedari kegiatan rumah urut dan pusat-pusat hiburan tumbuh macam cendawan selepas hujan sejak Pakatan memerintah?. Jangan kata pulak nanti tak boleh tutup sebab PAS tak ada kuasa, tetapi yang berkuasa adalah PKR dan DAP sahaja. Kalau PAS tak ada kuasa dalam Pakatan, apa gunanya bersekongkol lagi dengan DAP dan PKR?. Mulut kata Islam...tapi perbuatan langsung tak melambangkan sifat-sifat seorang Islam yang tulin.

Pemimpin-pemimpin UMNO bukan lah seperti pemimpin-pemimpin PAS yang nampak alim tapi cakap tak serupa bikin. Adalah lebih baik jika kurang ilmu, tetapi dapat mengamalkan ilmu yang kurang itu dengan baik dan sempurna daripada banyak ilmu, tetapi tidak dapat untuk mengamalkannya.

Kalau sebut pasal jihad mereka lah juara, tapi bila masa nak tegakkan hukum masing-masing jadi kecut. Kecut atau takut kena BALUN dengan DAP. Perkara ini dah biasa berlaku di Selangor dan negeri lain malah Hasan Ali yang tampak tegas berlakon memarahi Ronnie Liu berkenaan isu arak..tapi pada penghabisan cerita "Happy Ending" yang mana Hasan Ali telah "CIUM MOLOT" dengan Ronnie Liu.

Begitu juga halnya dengan Kerajaan Kelantan, walaupun sudah lebih 20 tahun memerintah negeri Cik Siti Wan Kembang tetapi masih tidak mampu untuk melaksanakan Islam secara syumul disana!. Malah dalam waktu yang sama Negeri Kelantan juga menjadi jaguh kepada banyak kes-kes jenayah, apakah pemimpin-pemimpin PAS kelantan tidak mengetahuinya?.

Berbalik semula kepada perkara dimana Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad mengkritik Umno Selangor yang meminta agar pusat hiburan dan rumah-rumah urut di negeri itu ditutup sepanjang bulan Ramadan, beliau menyifatkan gesaan itu sebagai sikap “hipokrasi” parti itu.

“Ia bukan hanya dosa ketika bulan Ramadan,” kata beliau sambil menambah, pendekatan betul adalah menerusi pendidikan, bukannya tekanan.

Beginilah sikap pemimpin-pemimpin PAS yang mana tidak mengambarkan sikap sebenar sebagai seorang pejuang Islam, selama ini mereka menekan, memaki, menyesatkan orang Islam lain dan adakah perkara yang mereka lakukan sebelum ini mengikuti pendekatan yang betul? Atau ianya hanya satu sandiwara yang biasa di mainkan oleh mereka setiap kali ada teguran dari orang lain?.

Daun sirih ulam Cik Da
Makan sekapur lalu mati
Walaupun banyak ilmu di dada
Biar merunduk resmi padi

Buah pelaga makan dikikir
Dibawa orang dari hulu
Sebarang kerja hendak difikir
Supaya jangan mendapat malu

Kemumu di tengah pekan
Dihembus angin jatuh ke bawah
Ilmu yang tidak diamalkan
Bagai pohon tidak berbuah

Tumbuh melata si pokok tebu
Pergi pasar membeli daging
Banyak harta tak ada ilmu
Bagai rumah tidak berdinding

Sumber : Kita Gempur

Warna-warni politik
Torashah

Sabtu, 14 Ogos 2010

Keratan akhbar Pembangkang siar Ahli Parlimen PAS di Gereja Christ of The King atas alasan dakwah!

Soalan :
1) Adakah ada orang Kristian benar orang Islam berdakwah di tempat ibadat mereka ?

2) Adakah tiada tempat lain untuk misi bertemu rakyat untuk berdakwah ?

3) Adakah logik ahli agama lain dibenar dakwah di tempat ibadat kita ?

4) Adakah ini tanda politik memperalatkan rumah ibadat sudah semakin berleluasa hingga sampai ke gereja ?

5) Apakah pandangan agama tentang hukum masuk tempat ibadat agama lain ?

Jawapan soalan kelima ada iaitu kita tidak diharuskan ke tempat ibadat agama lain tanpa sebarang urusan. Apatah lagi sebagai pemimpin bagi sebuah parti Islam sudah tentu perkara yang boleh menimbulkan fitnah perlu dielakkan.Sekarang ini sudah banyak insiden seperti bukan Islam masuk ke masjid untuk tujuan politik.

Mereka tidak lagi takut kerana sebahagian yang menyokong PAS sudah pun berjaya diliberalkan fahaman mereka hingga membenarkan masjid dimasuki oleh ahli politik bukan Islam.Hingga kepada kalimah Allah juga diliberalkan batasannya kepada bukan Islam demi mencapai cita cita politik yang sedikit.

Moga ALLah SWT selamatkan Malaysia dan sekelian umat muslimin…Amin

Sumber : penembak-tepat.blogspot.com

Warna-warni politik
Torashah..

Selasa, 10 Ogos 2010

Pejabat Peguam Negara nafi sekat bukti inkues Beng Hock!

Pejabat Peguam Negara menafikan sebarang penyekatan bukti dalam inkues kematian Teoh Beng Hock selepas mengemukakan sekeping nota yang ditemui tahun lepas dalam beg sandang Beng Hock, yang mungkin mengandungi petunjuk tentang kematiannya.

Penemuan bukti baru itu menyebabkan prosiding inkues itu yang sepatutnya didengar semalam ditangguh kepada 18 Ogos.

Kenyataan pejabat Peguam Negara itu malam tadi menjelaskan, pejabat Peguam Negara dimaklumkan mengenai penemuan nota itu oleh pegawai penyiasat ASP Nazri Zainal pada 7 Oktober tahun lepas, lebih dua bulan selepas kematian Beng Hock.

Beng Hock, 30, Setiausaha Politik kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu di tingkat lima, Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, pada mulanya Ahmad Nazri tidak menemui nota tersebut ketika beliau memeriksa beg sandang Beng Hock sebaik insiden berlaku.

Bagaimanapun, ia berkata, Ahmad Nazri baru-baru ini mengaku yang dia menjumpai nota tersebut ketika memeriksa beg sandang simati pada 17 Julai tahun lepas tetapi tidak menyedari kepentingannya kerana turut menjumpai dokumen lain dan ia ditulis dalam tulisan Cina dan Rumi.

Kenyataan itu menjelaskan penemuan bukti itu mengejutkan pejabat Peguam Negara dan ia mengarahkan siasatan dijalankan.

Katanya, nota itu dengan segera diterjemahkan, dan terdapat cukup fakta untuk nota itu dianalisa oleh pemeriksa dokumen dari Jabatan Kimia pada 9 Oktober dan kemudiannya pada 20 Oktober tahun lepas.

Menurutnya, pemeriksa dokumen menyediakan laporan mereka, dan ia kemudiannya dipertimbang oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, yang tidak yakin dengan ketulenan nota itu disebabkan kekurangan contoh untuk mengesahkan tulisan tangan berkenaan, khususnya tulisan Cina.

Tambahan pula, nota itu ditemui selepas dua bulan kematian Teoh dan ini akan menimbulkan syak wasangka tentang ketulenan dan penemuannya.

"Setelah mempertimbangkan faktor-faktor ini, Abdul Gani berpendapat nota itu tidak perlu dikemukakan sehingga, dan melainkan, pegawai penyiasat boleh menyediakan penjelasan yang memuaskan,” kata kenyataan itu.

Katanya, terdahulu pejabat itu diberi penjelasan oleh pegawai penyiasat berkenaan bahawa beliau menjalankan pemeriksaan rapi selepas dinasihatkan oleh pakar psikologi iaitu kebiasaannya sekeping nota akan ditinggalkan dalam kes bunuh diri.

"Berikutan itu, Peguam Negara memutuskan untuk mengemukakan nota tersebut dan mengarahkan pegawai penyiasat untuk menjelaskan perkara ini di mahkamah untuk mengelak sebarang akibat pada masa depan dan biarlah ia diputuskan oleh koroner selepas menimbangkan penjelasan pegawai penyiasat dan laporan oleh pemeriksa dokumen,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut pejabat itu merasakan bahawa tidak ada penyekatan atau penyembunyian bukti, dan keputusan untuk tidak menawarkan nota itu pada awalnya dibuat berdasarkan laporan pemeriksan dokumen serta penemuan nota yang boleh menimbulkan syak wasangka.

"Pejabat Peguam Negara akan mengemukakan dokumen sebagai bukti hanya apabila pejabat itu telah berpuas hati tiada lagi kemusykilan,” katanya.- UM.

Warna-warni politik
Torashah..

Khamis, 5 Ogos 2010

Selangor Bangkit : Giliran Pakatan Rakyat 'Selamatkan Selangor'!

Selepas kempen pusingan pertama 'Selamatkan Selangor' oleh Umno negeri itu tamat Ahad ini, tiga hari kemudiannya, giliran Pakatan Rakyat pula membuat serangan balas bagi menjawab isu-isu yang dibangkitkan dalam 19 siri ceramah sepanjang kempen tersebut.

Menariknya, penerangan balas kerajaan Pakatan melalui Skuad Komunikasi Selangor (SKS) akan dimulakan pada hari pertama umat Islam berpuasa pada bulan Ramadan - dijangka 11 Ogos.

Pada masa yang sama, Umno - melalui Sekretariat Selamatkan Darul Ehsan (SSDE) - pula memilih berehat sepanjang bulan puasa, sebelum menyambung semula kempen fasa keduanya selepas Hari Raya Aidilfitri yang pada pertengahan September.

"Kita (Pakatan) akan mulakan kuliah di masjid-masjid seluruh Selangor. Kita akan edarkan risalah penerangan. "Paling kurang pun, kita minta buat tazkirah sekurang-kurangnya 30 minit," kata pengarah penerangan di pejabat menteri besar Selangor Badrul Amin Bahron .

Bermula 23 Julai lalu, Umno Selangor menganjurkan siri jelajah fasa pertama di seluruh Selangor bagi menjelaskan mengenai "pembohongan kerajaan Pakatan" terhadap rakyat di negeri itu, antaranya menampilkan bekas setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ezam Mohd Nor.

Selain membangkitkan isu-isu berkaitan Anwar - yang juga penasihat ekonomi negeri - isu lain yang sering ditimbulkan dalam siri-siri ceramahnya berlegar sekitar pertadbiran hasil pasir di negeri itu.

Ketika dihubungi hari ini, Badrul berkata pihaknya memilih membuat penerangan di masjid-masjid sepanjang bulan Ramadan memandangkan pada masa itu ramai umat Islam berkumpul bagi beribadat.



Umno: Fasa kedua tanpa isu pasir

Badrul Amin juga menjelaskan selepas kerajaan negeri mengumumkan peruntukan RM15 juta untuk tujuan penerangan negeri, pihaknya akan menaikkan edaran akhbar negeri Selangorkini berkali ganda bagi menjawab dakwaan pembangkang negeri.

"Daripada 60,000, kita jangkakan meningkat kepada 300,000 naskhah diedarkan selepas hari raya Adilfitri nanti," katanya penceramah terkenal itu yang juga ahli majlis pimpinan pusat PKR.

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Selangor Shukor Idrus (kiri) pula berkata setelah bekerja keras hampir tiga minggu menjelajah seluruh negeri, respons yang diperoleh begitu memuaskan.

Katanya, keberkesanan program Selamatkan Selangor dapat diukur daripada sambutan orang ramai dalam ceramahnya di beberapa tempat yang melebihi jumlah sasaran, seperti di Klang dan Kota Raja.

"Kita sasarkan 1,000 sahaja (setiap ceramah), tetapi di sesetengah tempat jumlahnya sampai 2,000 orang yang hadir," katanya yang juga ADUN Kuang.

Ditanya tentang isu pasir akan ditimbulkan lagi dalam siri kempen fasa keduanya bagi merampas semula negeri itu, Shukor berkata setakat ini maklumat yang hendak disampaikan sudah berjaya. "Fasa kedua nanti kita fokuskan isu yang lain pula," katanya di sini hari ini.

Warna-warni politik
Torashah

Rabu, 4 Ogos 2010

Jais: Purata 30 AJK surau, masjid letak jawatan!

Kira-kira 30 anggota jawatankuasa (AJK) masjid dan surau di Selangor termasuk nazir, bendahari dan imam meletak jawatan setiap bulan disebabkan tiada persefahaman sesama mereka.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata perkara itu mungkin berpunca daripada rasa tidak puas hati sesetengah pihak terhadap pemilihan AJK yang dibuat menerusi mesyuarat agung.

"Setiap bulan saya perlu tandatangan peletakan jawatan AJK purata antara 20 ke 30 orang. Jumlah itu masih kecil berbanding jumlah kesemua AJK di negeri ini iaitu kira-kira 8,000 orang, tetapi kalau tidak diatasi takut menjadi perbalahan dan mendatangkan masalah kepada pengurusan masjid dan surau," katanya kepada pemberita, di Shah Alam hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata rasa tidak puas hati juga timbul berhubung pelaksanaan projek, sumbangan serta ketiadaan kerjasama antara mereka menyebabkan ada yang menjalankan tugas orang lain."Seperti contoh di Kuala Langat, ada orang beri sumbangan tidak melalui nazir dan bendahari tetapi terus beri kepada bilal dan bilal pula terus lantik kontraktor untuk melaksanakan projek.

Bendahari dan nazir tidak tahu kerana tiada kerjasama. Sistem dan senarai tugas dah ada tetapi ada yang buat tugas orang lain."Sepatutnya bilal kena maklumkan bendahari dan nazir tetapi dia terus buat, ini menunjukkan tiada ketelusan. Banyak lagi sebab seperti penceramah, biro agama nak panggil orang ini, nazir pula tidak setuju," katanya.

Mohammed Khusrin berkata sikap sedemikian tidak harus wujud dan seharusnya AJK masjid dan surau tidak memperbesarkan isu-isu yang remeh sehingga boleh menggugat persaudaraan sesama umat Islam.

Mereka sepatutnya melaksanakan tugas demi kepentingan agama, bukan kepentingan peribadi atau kelompok tertentu, katanya.

Mengulas perkembangan lain, Mohamed Khusrin berkata hanya sekitar 40 peratus penceramah yang berceramah di masjid dan surau negeri itu mempunyai tauliah manakala selebihnya sukar dipastikan kerana tidak menyertakan maklumat lengkap.

"Dari laporan yang kita terima dan kumpulkan dari semua masjid dan surau daerah, kita dapati ada borang membabitkan maklumat peribadi penceramah yang memberi ceramah tidak lengkap seperti tidak meletak nama penuh, kad pengenalan dan nombor rujukan tauliah," katanya.

Sehubungan itu, Mohammed Khusrin meminta agar AJK masjid dan surau bekerjasama dengan mengemukakan maklumat penceramah yang lengkap menggunakan borang yang disediakan serta menghantar laporan tersebut kepada JAIS setiap bulan.

"Kita juga mengharapkan agar semua AJK membantu mereka yang tidak bertauliah supaya memohon tauliah bagi memastikan setiap perkara yang disampaikan oleh penceramah memberi kesan positif kepada perpaduan umat Islam," katanya. - Bernama

Warna-warni politik

Torashah

Isnin, 2 Ogos 2010

Tindakan terhadap PKFZ atas arahan Tee Keat!

Siasatan berhubung skandal penyelewengan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) telah dimulakan atas arahan Datuk Seri Ong Tee Keat semasa beliau memegang jawatan Menteri Pengangkutan.

Tee Keat yang juga bekas Presiden MCA ketika menjelaskan perkara itu berkata, beliau turut melantik panel bebas iaitu Price Waterhouse Coopers Advisory Services Sdn. Bhd. (PwC) untuk menyiasat perkara tersebut demi menjaga kepentingan pembayar cukai dan orang ramai.

"Semasa saya menjadi Menteri Pengangkutan, penyiasatan yang dibuat adalah atas arahan saya dan pelantikan Price Waterhouse dibuat secara bebas. "Kita tidak pandang kepada latar belakang politik, tak pandang apa sekali pun. Yang penting saya kata penyiasatan kena bebas," katanya.

Tee Keat ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada warga emas ahli-ahli Persatuan Bekas Polis cawangan Ampang di sini hari ini. Beliau diminta mengulas kes pendakwaan ke atas bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik yang dituduh menipu kerajaan Malaysia dengan memperdaya Jemaah Menteri untuk memberi persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah untuk projek Mega Distribution Hub di Pelabuhan Klang.

Tee Keat menegaskan, semua hasil siasatan oleh badan yang dilantik dan panel yang ditubuhkan oleh beliau untuk menyiasat skandal PKFZ pada tahun lalu telah pun diserahkan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Saya hanya menjalankan tugas dan sebarang tanggungjawab terhadap penyiasatan dan dakwaan bukan di bawah bidang kuasa saya. "Lagipun saya bukan lagi menteri. Tanyalah menteri sekarang kerana beliau lebih sesuai untuk menjawabnya," katanya. Hasil siasatan berhubung projek PKFZ telah didedahkan kepada orang ramai melalui laporan PwC pada 28 Mei lalu.

Tee Keat juga enggan mengulas ketika ditanya sama ada beliau tahu mengenai khabar angin mengatakan ada lagi individu yang akan diheret ke mahkamah berhubung skandal tersebut.
Selain Liong Sik, empat individu lain termasuk bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Datin Paduka Oi Choo Phang telah didakwa melakukan pecah amanah dan menipu dengan membuat tuntutan palsu akhir tahun lepas.

Dalam pada itu, Tee Keat yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, pihaknya kini sedang mencari mekanisme terbaik menyelesaikan masalah berkaitan isu bil air tertunggak di kawasan perumahan rumah pangsa kos rendah dan kos sederhana rendah di sekitar Lembah Klang.
Menurutnya, beliau sudah mengadakan rundingan dengan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) sejak minggu lalu untuk menyelesaikan masalah tersebut.

"Ini termasuk usaha menukar meter pukal kepada meter individu selain mengubah kadar bayaran bil komersial yang terpaksa ditanggung oleh penghuni dan pemilik rumah.
"Saya sedang berusaha menyelesaikan masalah-masalah ini dan mungkin dalam minggu depan kita akan menerima satu berita baik," katanya.

Tee Keat berkata, antara kawasan perumahan yang teruk menghadapi masalah berhubung tunggakan air sehingga ada yang terpaksa dipotong bekalannya ialah di Lembah Maju dekat sini.

Warna-warni politik
Torashah

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor