Ahad, 29 Julai 2012

Hasan Ali gesa Pas jawab kenyataan Persekutuan Kristian?



Pas digesa tampil menyatakan pendirian berhubung kenyataan dikeluarkan oleh Persekutuan Kristian Malaysia - merujuk kepada senarai prinsip bernegara yang disenaraikan.

Lapan prinsip disenaraikan dalam kenyataan dikeluarkan pada 18 Julai lalu di mana prinsip terakhir merujuk kepada kebebasan beragama merangkumi kebebasan untuk menganut, mengamal, dan menyebarkan agama di mana ia dibenarkan berkembang tanpa sebarang pembatasan tidak wajar dari undang-undang, penegahan ataupun larangan.

Ini kerana, prinsip tersebut dilihat sebagai satu tuntutan keterlaluan dan di luar lingkungan perlembagaan yang sudah dipersetujui bersama sebelum merdeka.

Perkembangan itu disifatkan mungkin membuka lebih banyak ruang tuntutan yang tidak munasabah, yang akhirnya akan mencetuskan kekacauan, huru-hara dan ketidakstabilan dalan negara.

Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr Hasan Mohamed Ali pada sidang medianya hari ini beranggapan tuntutan tersebut bukan sahaja bertentangan dengan semangat perlembagaan tetapi ia akan merungkai asas kehidupan 28 juta rakyat Malaysia yang inginkan keamanan, keselamatan dan kesejahteraan yang dinikmati sekarang.

"Saya ingin penjelasan selain daripada pihak Persekutuan Kristian Malaysia, adakah Pakatan Rakyat bersetuju dengan tuntutan yang dibuat? Sekiranya bersetuju, maka saya ingin mengajukan satu lagi pertanyaan adakah PAS juga sebagai salah satu komponen Pakatan Rakyat bersetuju melaksanakan tuntutan itu?" katanya.

Beliau bagaimanapun menyatakan pendirian tidak mempunyai masalah dengan tujuh lagi prinsip bernegara yang disenaraikan Persekutuan Kristian Malaysia itu.

Warna-warni politik
Torashah

Selasa, 24 Julai 2012

AIR SELANGOR : PEMBOHONGAN PAKATAN SELANGOR DIBONGKAR!


( BACA DAN EDAR ) Memahami kronologi isu air ini akhirnya akan mendedahkan kelemahan corak pentadbiran kerajaan negeri selangor mengawal dan mentadbir urus isu air..semuanya mahu dipolitikkan..!!!

Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo, pernah menyifatkan Kerajaan Pakatan di Selangor tidak ubah seperti beruk mendapat bunga apabila berkuasa sejak tiga tahun lalu.

Menurut Mohamad Khir, tindakan kerajaan negeri Selangor enggan membenarkan loji rawatan air di Hulu Selangor dibina oleh kerajaan Persekutuan seperti mana dalam pelan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang ke Selangor sebagai keterlaluan dan boleh menyebabkan kos meningkat berkali ganda kepada kerajaan Persekutuan.

Menurut bekas Menteri Besar Selangor itu, kerajaan Selangor tidak menguruskan isu air dengan betul apabila mengaitkan isu penstrukturan semula air dan kenaikan tarif air dengan pembinaan loji rawatan air di Hulu Langat.

Dalam tulisan terbaru beliau berjudul “Sokong Penstrukturan Semula Air Selangor” di dalam blognya mengkritik kerajaan negeri Selangor, ” Bagaimana kerajaan negeri ingin bermain logik mengugut kerajaan Persekutuan sedangkan mereka “bergaduh” dengan sebuah syarikat berstatus berhad yang mereka sendiri ada 30% saham?

Bolehkah kita yang rasional menerima sikap kerajaan negeri yang menangguhkan kelulusan pembinaan loji kerana mereka gagal mengambil alih sebuah syarikat? Wajarkah projek yang bernilai berbilion ringgit ini dijadikan taruhan dan menyebabkan kerajaan Persekutuan perlu berbelanja lebih, yang tentunya membabitkan wang rakyat?

“ Alasan kenaikan tarif air ini hanyalah sandiwara kerajaan negeri kerana syarat-syarat sedia ada sudah cukup menjaga kepentingan pengguna. Seperti yang saya jelaskan tadi, tarif air tidak boleh dinaikkan tanpa persetujuan panel penilai yang dianggotai oleh kerajaan negeri, persekutuan dan wakil Syabas. ”

Adakah krisis air di lembah Klang akan berulang kembali!!!

Warna-warni politik
Torashah..

Selasa, 17 Julai 2012

Masalah air Selangor semakin kritikal menjelang Ramadhan?



Kapasiti loji rawatan air yang kecil selain peningkatan penggunaan sumber itu saban hari antara faktor berlaku masalah bekalan air di negeri Selangor.

Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) memberitahu, jumlah pengeluaran air daripada 34 Loji Rawatan Air (LRA) di Selangor telah mencecah Kadar Pengeluaran Maksima atau Kapasiti Saliran Maksima iaitu 4,371 Juta Liter Sehari (JLH).

Justeru jumlah yang dicatatkan gagal menampung permintaan air semasa.

"Permintaan air yang terus meningkat tetapi Kapasiti Loji Rawatan Air tidak dipertingkatkan pada masa yang sama," kata sumber kepada AntaraPos.

Ekoran perkara itu, beberapa kawasan di Lembah Klang berhadapan dengan masalah gangguan bekalan air terutama di musim kemarau.

Taman Bukit Teratai, Taman Seraya dan Taman Mega Jaya yang terletak di Ampang merupakan antara kawasan yang terjejas sejak Isnin lalu.

Sehubungan dengan itu, sumber Syabas dipetik sebagai berkata syarikat konsesi tersebut telah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan sebagai langkah jangka pendek bagi memulihkan masalah gangguan bekalan air dengan kadar segera.

"Pelan Tindakan Kecemasan merangkumi apa tindakan yang perlu Syabas ambil untuk memastikan kita memulihkan bekalan air. Objekifnya, ia dapat selesaikan masalah air dengan cepat dan untuk penyelesaian jangka masa pendek," katanya lagi.

Dimaklumkan sehingga hari ini Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masih
belum menyatakan sebarang keputusan untuk menyelesaikan masalah air yang semakin kritikal di negeri itu.

Malah Forum Air insiatif kerajaan Selangor awal bulan ini dilihat gagal mencapai kata putus untuk memastikan rakyat di negeri itu tidak menghadapi masalah air lebih-lebih lagi menjelang bulan Ramadhan.

Khalid baru-baru ini turut mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan menghantar pasukan pakar untuk memantau masalah penyusutan sumber itu di Loji Rawatan Air Sungai Langat.

Katanya keputusan itu dibuat berdasarkan penemuan limpahan air di empangan yang didakwa melebihi 100 peratus namun masih mencetuskan masalah bekalan air kepada penduduk sekitar Selangor.

Semalam Kenyataan Pengarah Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Korporat, Abdul Halim Mat Som mengesahkan bahawa kerajaan negeri belum menyatakan sebarang rancangan untuk menyiasat punca pengurangan air di loji empangan air terawat.

“Bila dia hendak buat pun kita tidak tahu, bila dia hendak lantik pun kita tidak tahu, buat masa ini tiadalah, kalau ada nanti adalah,” katanya ketika dihubungi.

Warna-warni politik
Torashah

Ahad, 15 Julai 2012

Hutang Talam : Ah Chai didesak perjelas cara yakinkan PKNS?



Pengerusi Talam Corporation Bhd. (Talam), Tan Sri Chan Ah Chai didesak menjelaskan cara yang digunakannya untuk meyakinkan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Othman Omar agar perbadanan itu mengambil alih hutang syarikat tersebut berjumlah RM392 juta.

Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, Ah Chai juga perlu menjawab sama ada benar hutang Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Universiti Selangor (Unisel) dan Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) diambil alih dengan harga RM10 setiap satu.

"Kita mahu pengesahan daripada beliau. JMM juga meminta Othman menjelaskan mengapa PKNS hanya mengambil alih hutang Talam.

"Rakyat seluruh Selangor ingin tahu mengapa hanya Ah Chai dan Talam yang mendapat kemudahan, manfaat dan keistimewaan yang amat besar daripada PKNS.

"Apakah rakyat Selangor yang lain tidak layak untuk mendapat hak dan keistimewaan yang sama," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.


Beliau mengulas pendedahan Ketua Biro Muda Profesional MCA, Datuk Chua Tee Yong yang mendakwa sebuah anak syarikat milik kerajaan negeri Selangor terpaksa menanggung beban hutang berjumlah RM316 juta untuk membayar balik hutang hasil pembelian aset Talam.

Katanya, PNSB iaitu anak syarikat milik penuh kerajaan negeri yang sebelum ini bebas hutang dan mempunyai simpanan kira-kira RM76 juta, terpaksa membuat pinjaman itu bagi membayar balik kepada kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang telah menjual aset berkenaan.

Sebelum itu, Tee Yong juga mendakwa, kerajaan PKR Selangor terbabit dalam penyelewengan hampir RM1 bilion yang dilakukan dengan berselindung di sebalik pelan 'menyelamat' Talam dua tahun lalu.

Azwanddin menambah, rakyat juga mahu mengetahui dari mulut Ah Chai sendiri sama ada urusan mengambil alih hutang RM392 juta itu telah mendapat kelulusan Suruhanjaya Sekuriti (SC) ataupun tidak.


Sementara itu, Presiden Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin pula mencabar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meletakkan jawatan Menteri Besar sebagai jalan keluar beliau dalam menjamin ketelusan pentadbiran negeri.

Katanya, GAPS mencabar Abdul Khalid berbuat demikian atas pelbagai tindakannya yang merugikan kewangan negeri termasuk cadangan melantik lima firma audit antarabangsa bagi menyiasat salah guna kuasa pentadbiran kerajaan negeri pimpinan PKR itu.

"Apa relevan cadangannya itu sedangkan di peringkat negeri sememangnya sudah wujud Jabatan Audit Negeri yang melaksanakan tugas audit dengan penuh integriti serta berpengalaman luas, tambahan perkhidmatan mereka adalah percuma.

"Abdul Khalid perlu percaya kebolehan kakitangan awam, jangan pula mahu menjadikan mereka kambing hitam sahaja. Pendedahan itu akan terus dilakukan selagi beliau tidak meletakkan jawatannya," ujar beliau.

Warna-warni Politik
Torashah

Ahad, 8 Julai 2012

Anwar nak ' bersara'?



Rakyat sedikitpun tidak teruja dengan hasrat Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim mahu bersara jika Pakatan Rakyat tidak mendapat mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13). Malah tidak ambil kisahpun tentang hal tersebut!

Itu sekadar strategi Anwar bagi menarik simpati orang ramai selain mengalihkan perhatian daripada pelbagai isu yang mengaitkan beliau.

Antaranya isu biseksual, adegan video seks, kes liwat yang dalam proses rayuan di mahkamah, isu bersama Shamsidar Taharin, sokongan kepada Israel dan dakwaan mengawal akaun induk RM3 bilion.

PKR yang beliau asaskan juga semakin lemah berikutan pelbagai masalah dalaman, perpecahan dan salah guna kuasa.

Pada rakyat, tujuan Anwar mengeluarkan kenyataan tersebut adalah bagi menguji maklum balas daripada semua pihak termasuk kalangan pemimpin pembangkang.

Setakat ini, rakyat memberikan reaksi yang hambar seolah-olah tidak kisah jika beliau mahu bersara. Di kalangan pemimpin pembangkang termasuk DAP dan Pas pula, tiada yang tampil menyeru beliau membatalkan hasratnya itu kecuali seorang dua, itu pun seperti melepas batuk di tangga.

Dalam kaitan ini, ramai bersetuju dengan pandangan mantan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad agar Anwar bersara daripada politik sekarang tanpa perlu menunggu sehingga pakatan ditolak dalam PRU13.

Mungkin kita sendiri merasakan sudah berbelas tahun, negara dan rakyat rugi angkara Anwar yang mencetuskan banyak masalah dan kegawatan. Cara beliau berpolitik kotor termasuk keghairahannya yang tidak henti-henti mendapatkan campur tangan negara asing selain suka memburuk-burukkan negara sendiri.

Semua orang tahu, beliau satu-satunya pemimpin yang konsisten mengheret rakyat untuk menutup salah laku moral dan isu integriti. Anwarlah orang yang memulakan budaya perhimpunan haram dan rusuhan jalanan kononnya atas nama demokrasi tetapi sebenarnya bermuslihat untuk kepentingan diri. Beliau hanya mahu menjadi Perdana Menteri dengan apa cara sekalipun.

Terlalu ramai yang sudah tertipu, daripada keluarga, sahabat-sahabat, para pemimpin PKR sehinggalah rakyat keseluruhan. Sebab itu ramai yang telah meninggalkan beliau. Sampai hari ini, Anwar masih gagal menjawab banyak persoalan kepada rakyat bahkan dikaitkan dengan beberapa isu pembohongan yang luar biasa.

Kita semua sebenarnya hanya akan teruja jika Anwar terlebih dahulu bersara daripada aktiviti tertentu yang dikaitkan dengan beliau. Tafsirlah sendiri apa yang dimaksudkan. Cukuplah, usia beliau pun sudah lanjut untuk terus terjebak dalam budaya songsang. Kasihanilah keluarga setidak-tidaknya, disebabkan angkara beliau, mereka menanggung aib. Musuh Anwar, 65, adalah nafsu dan dirinya sendiri -bukan pihak lain - seperti yang selalu beliau menuding jari.

Apa pun, Malaysia akan lebih selamat jika Anwar bersara kerana ia mampu mengelak tanah air ini dilanda musibah dahsyat.

Generasi akan datang mesti dibebaskan daripada pemimpin seperti itu. Ketika beliau mengumumkan persaraannya nanti, Anwar harus memohon maaf kepada seluruh rakyat atas kemudaratan yang telah dibawa. Persoalannya, benarkah beliau akan bersara daripada politik, yang kita sebenarnya tidak percaya. Mungkin kerana beliau sudah banyak berbohong.

Warna-warni Politik
Torashah

Sabtu, 7 Julai 2012

Angkara politik rakus, Unisel bakal jadi gajah putih!


Universiti Selangor (UNISEL) dahulunya dikenali sebagai "Universiti Industri Selangor" ditubuhkan pada tahun 1999 oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk memberi pendidikan peringkat tinggi kepada rakyat negeri Selangor.

Malangnya hasrat melahirkan modal insan berkualiti dicemari apabila kerajaan negeri PKR mengambil alih pentadbiran pada pilihan raya umum yang lalu, lantas mempolitikkan semua perkara termasuklah aspek pendidikan.

Inilah dosa paling besar kerajaan pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang rakus kuasa apabila mempolitikkan perjalanan Unisel dan bakal menjadikan universiti terulung di negeri ini sebagai gajah putih.

Tindakan Abdul Khalid itu jelas apabila melantik individu dari kalangan ahli politik sebagai Ahli Lembaga Pengarah yang banyak mempengaruhi sebarang tindakan dan keputusan di universiti berkenaan.

Ahli politik dimaksudkan ialah:

1) Faekah Hussin- Setiausaha Politik Menteri Besar
2) Dato Rashid Din - Ahli Parlimen Merbok ( PKR )
3) Che Rosli Che Mat- Ahli Parlimen Hulu Langat ( Pas)

Keadaan ini sama sekali tidak pernah berlaku pada zaman BN yang tidak pernah melantik ahli politik dalam Lembaga Pengarah kerana lebih mengutamakan kualiti pendidikan dan modal insan sehingga berjaya meletakkan Unisel setaraf dengan universiti awam dan swasta yang lain.

Naib Canselor, Datuk Dr Rosti Saruwono meletak jawatan 2 Ogos tahun lalu kerana tidak tahan dengan tekanan politik dan fitnah yang dilemparkan terhadap beliau sepanjang berkhidmat di universiti itu.

Beliau yang menggantikan Profesor Datuk Dr Razali Agus pernah berazam ketika mula-mula menjawat jawatan berkenaan untuk tidak tunduk kepada sebarang tekanan politik akhirnya terpaksa mengalah.

Dua pegawai kanan iaitu bekas Dekan Fakulti Perniagaan, Prof Dr Khalifah Othman dan bekas Pengarah Pemasaran dan Komunikasi Korporat, Halid Hasbullah meletak jawatan kerana ketidak adilan terhadap mereka.

Dakwaan itu dikuatkan lagi dengan peletakan jawatan tindakan dua Ahli Lembaga Pengarah kerana tekanan politik iaitu:

1) Datuk Adnan Alias - Bekas Pensyarah UKM
2) Datuk Dr Mohammad Ariffin Aton - Bekas CEO Sirim-Penyelidik

Dengan pengunduran Adnan dan Mohammad Ariffin, jumlah Ahli Lembaga Pengarah yang tinggal hanya 8 orang dengan tiga daripadanya adalah Ahli Politik daripada PAS dan PKR.

Selain Ahli Lembaga Pengarah, salah seorang Timbalan Naib Canselor (TNC) juga adalah aktivitis politik Pas yang aktif dan pernah dilantik sebagai Ahli Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor.

Seorang lagi TNC berdepan dengan dakwaan salah laku berkaitan kes rogol seorang pelajar ketika menjawat jawatan sebagai dekan di UPM Serdang. Abdul Khalid mengetahui kes tersebut namun demi menjaga kepentingan kroni, beliau hanya memekakkan telinga. Tindakan itu menyebabkan ibu bapa bimbang menghantar anak-panak belajar ke Unisel.

Kos pentadbiran meningkat, sebaliknya jumlah pelajar semakin berkurangan. Ini menyebabkan Unisel menanggung kerugian. Kerajaan negeri melantik tiga TNC dengan gred gaji Jusa B. Jawatan Pendaftar Kanan turut diwujudkan dengan gred gaji Jusa B. (lihat perbandingan di bawah).

BN
Naib Canselor- Gred gaji Jusa A
Seorang TNC- Gred gaji Jusa B
Seorang Pendaftar- Gred gaji Jusa C

Pakatan Pembangkang
Naib Canselor- Gred gaji Jusa A
3 TNC- Gred gaji Jusa B
1 Pendaftar Kanan -Gred gaji Jusa B
1 orang Pendaftar- Gred gaji Jusa C

Berdasarkan bukti ini, saya cabar Abdul Khalid mengumumkan kedudukan kewangan Unisel. Saya beri tempoh seminggu untuk beliau berbuat demikian.

Rakyat perlu mengetahui bahawa kerajaan negeri hanya ‘auta’ sahaja dan mereka lebih kemaruk berpolitik untuk mengekalkan kuasa sedia ada tanpa memikirkan kebajikan dan pembangunan rakyat.

Datuk Seri Noh Omar,
Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor

Suara Politik
Taminsari

Rabu, 4 Julai 2012

Nilai siapa lebih ikhlas!



SEJAK dikuasai Pas hampir 22 tahun yang lalu, negeri Kelantan sering sahaja melalui pelbagai episod dan drama politik yang tidak berkesudahan.

Namun hakikatnya keadaan tidak banyak berubah sehingga kini dan janji lama yang ditabur kerajaan Pas sejak sekian lama masih banyak yang belum ditunaikan.

Yang banyak berubah adalah parti Pas itu sendiri dan bukannya negeri yang turut dikenali sebagai negeri Cik Siti Wan Kembang.

Manakan tidak, jika dahulu bukan sahaja sukar malah haram untuk Pas bekerjasama dengan parti-parti bukan Islam namun kini hubungan itu dilihat sangat rapat sehinggakan Pas lebih banyak mengalah kepada parti DAP yang diketahui umum sebagai parti yang tidak mesra Islam.

Melihat realiti ini Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed melihat satu perubahan drastik perlu dilakukan oleh rakyat negeri itu bukan sahaja dengan memberi peluang kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) memerintah tetapi menolak sama sekali kehadiran DAP di negeri itu.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ketika ditemui baru-baru ini oleh Wartawan Mingguan Malaysia, Marhaini Kamaruddin dan Hafizahril Hamid serta jurugambar, Izham Jaafar menyatakan, rakyat Kelantan tidak akan berkompromi dalam hal-hal sebegini kerana ia melibatkan soal-soal agama.

“Saya lihat ramai rakyat Kelantan yang tidak senang dengan DAP yang semakin angkuh. Sejak sekian lama kita tahu bahawa parti itu tidak mesra dengan orang dan agama Islam.

“Oleh sebab itu apabila ada tokoh dan pemimpin DAP yang turun ke kampung-kampung di Kelantan saya lihat ia menimbulkan kegelisahan di kalangan masyarakat," katanya.

MINGGUAN: Bagaimana Datuk Seri melihat perkembangan di Kelantan sekarang dan peluang untuk menawan kembali negeri ini pada pilihan raya akan datang?

MUSTAPA: Seperti yang kita sedia maklum suasana politik Kelantan senantiasa rancak. Dari segi kita sentiasa penuh dengan ceramah dan pelbagai program lain. keadaan ini sudah tentu berbeza dengan negeri-negeri lain. Bagi UMNO negeri kami telah pun menggandakan pelbagai program untuk mendekati rakyat dan ia bukan sahaja dilakukan sebagai persiapan untuk pilihan raya. Program kami bukan sahaja melibatkan ahli-ahli parti tetapi juga NGO-NGO dan para pengundi atas pagar. Kami juga telah melengkapkan pekerja parti dengan ilmu melalui pelbagai kursus untuk bertugas sebelum dan semasa pilihan raya nanti. Kami juga sudah mengemas kini angka-angka pengundi luar yang secara puratanya sekitar 15 peratus bagi seluruh negeri.

Kami juga sudah meningkatkan hubungan dengan rakyat Kelantan yang berada di luar termasuk di Kuala Lumpur, Johor Baharu dan Pulau Pinang. Kami sering mengadakan pertemuan dengan mereka untuk memberikan penerangan mengenai sebenar yang berlaku di Kelantan. Setakat ini tahap persiapan kami telah mencecah 80 peratus dan gear penuh akan bermula sebaik sahaja wisel pilihan raya ditiup. Saya ingat di seluruh negara, termasuk Kelantan sudah hampir bersedia, bagi pembangkang mereka ingin tahu calon yang akan bertanding malah saya harap ahli UMNO akan menyokong calon dipilih Presiden dan parti berasaskan konsep winnable candidate.

Setakat ini bagaimana sambutan dari rakyat Kelantan terhadap program dan walkabout yang dilakukan Datuk Seri sendiri?

MUSTAPA: Kita perlu gunakan pelbagai kaedah dalam konteks negeri Kelantan sudah tentu ia berbeza dengan negeri-negeri lain. Pertamanya keperluan untuk mengadakan ceramah umum yang mana ia perlu dilakukan di seluruh negeri. Wanita juga telah melancarkan program mereka sendiri, melalui juara rakyat sangat berkesan untuk menarik pengundi seperti turun berjumpa dengan mereka yang memerlukan pembelaan, berjumpa dengan ibu yang baru melahirkan anak, kenduri-kendara dan pelbagai lagi.

Selain itu kami telah melakukan usaha-usaha untuk mendekati belia, kumpulan kebudayaan, pemandu teksi, persatuan dan NGO masyarakat dan ahli-ahli perniagaan. Selaku Pengerusi Perhubungan Negeri saya sudah melancarkan pelbagai program yang mendekatkan diri dengan rakyat selain menerangkan kepada mereka isu-isu semasa. Memang program banyak namun bagi saya yang penting bukanlah kuantitinya tetapi hasil yang diperoleh selepas sesuatu program dijalankan. Mungkin yang perlu diperkemaskan lagi ialah pertemuan dengan anak-anak muda.

Apakah program yang dijalankan itu ‘berbaloi’ untuk menawan rakyat Kelantan?

MUSTAPA: Sama ada ia berbaloi atau sekadar balik modal sahaja, yang penting kita sentiasa buat kita sentiasa buat ‘post mortem’ untuk mengetahui di mana kekuatan dan kelemahan kami untuk dilakukan penambahbaikan. Dari segi respons yang kita dapati semakin ramai kumpulan atas pagar dan para penyokong Pas menerima realiti bahawa parti itu sudah semakin tersasar daripada matlamat perjuangan mereka. Kalau dahulunya mereka perjuangkan penubuhan negara Islam tetapi sekarang negara berkebajikan.

Mereka kurang bercakap tentang hudud. Mereka sudah faham apa yang berlaku kepada Datuk Hasan Ali yang berjuang untuk kepentingan Islam, Melayu dan raja. Namun beliau dibuang parti kerana mempertahankan pendiriannya itu. Kini Hasan Ali berceramah di seluruh negara termasuk di Kelantan dan saya lihat ramai penyokong Pas dan mereka yang di atas pagar hadir ceramah ini kerana mereka berminat mahu mengetahui kisah sebenar. Sokongan terhadap UMNO dan BN sudah semakin bertambah berbanding tahun 2008.

Bagaimana Datuk Seri melihat kerjasama plastik antara Pas dan DAP yang kita ketahui banyak percanggahan sama ada dari segi prinsip mahupun ideologi?

MUSTAPA: Saya lihat ramai rakyat Kelantan yang tidak senang dengan DAP yang semakin angkuh. Sejak sekian lama kita tahu bahawa parti itu tidak mesra dengan orang Islam dan agam Islam. Oleh sebab itu apabila ada tokoh dan pemimpin DAP yang turun ke kampung-kampung di Kelantan saya lihat ia menimbulkan kegelisahan di kalangan masyarakat. Sebelum ini tidak pernah kelihatan pemimpin-pemimpin DAP ini turun ke kampung dan memberi ceramah. Maka apabila terdapat pemimpin-pemimpin DAP yang berceramah di kampung-kampung malah ada yang membaca ayat-ayat al-Quran, rakyat Kelantan tidak boleh menerima perlakuan sebegini yang nyata begitu asing bagi mereka.

Kami tahu rakyat Kelantan tidak akan berkompromi dalam hal-hal sebegini kerana ia melibatkan soal-soal agama. Namun kini akibat tindak tanduk mereka ini rakyat Kelantan sudah boleh melihat isu sebenar dan ditambah pula dengan pelbagai program yang dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mereka boleh membuat penilaian siapa sebenarnya yang benar-benar ikhlas membantu rakyat Kelantan. Lawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Kelantan menerima sambutan luar biasa.

Bagaimana Datuk Seri melihat kerjasama plastik antara Pas dan DAP yang kita ketahui banyak percanggahan sama ada dari segi prinsip mahupun ideologi?

MUSTAPA: Saya lihat ramai rakyat Kelantan yang tidak senang dengan pengaruh DAP yang semakin angkuh. Ini kerana sejak sekian lama mereka sudah tahu bahawa parti itu tidak mesra dengan orang Islam dan agam Islam. Oleh sebab itu apabila ada tokoh dan pemimpin DAP yang turun ke kampung-kampung di Kelantan saya lihat ia menimbulkan kegelisahan di kalangan masyarakat.

Sebelum ini tidak pernah pula kelihatan pemimpin-pemimpin DAP ini turun ke kampung dan memberi ceramah. Maka apabila terdapat pemimpin-pemimpin DAP ini yang berceramah di kampung-kampung malah ada yang membaca ayat-ayat al-Quran, sudah tentu mereka tidak boleh menerima perlakuan sebegini yang nyata begitu asing bagi mereka. Isu sebegini sudah tentu akan memakan diri kerana kami tahu rakyat Kelantan tidak akan berkompromi dalam hal-hal sebegini kerana ia melibatkan soal-soal agama.

Namun kini akibat tindak tanduk mereka rakyat Kelantan sudah boleh melihat betapa Pas sanggup bersekongkol dengan orang yang menolak Islam. Saudara dalam Islam ditolak tapi parti yang jelas menolak dan tidak menerima keagungan Islam serta kedudukan orang Melayu diterima. Ditambah pula dengan pelbagai transformasi yang dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mereka boleh membuat penilaian siapa sebenarnya yang benar-benar ikhlas membantu rakyat Kelantan.

Bagaimana dengan penyokong tegar, apakah mereka melihat kerjasama DAP di Kelantan sebagai sesuatu yang ikhlas?

MUSTAPA: Saya tidak lihat kerjasama DAP ini sebagai sesuatu yang ikhlas dan ia hanya tertumpu kepada ruang lingkup untuk kerjasama demi kuasa dan pilihan raya. Sekarang penyokong tegar Pas sudah mula sedar bagaimana Pas yang pernah beria-ia memperjuangkan penubuhan negara Islam, melaksanakan hukum hudud kini sudah kendur. Mereka sudah banyak berkompromi dengan sekutu mereka DAP. Kini sudah ada kumpulan yang semakin tidak puas hati dengan PAS yang dilihat sebagai mengorbankan prinsip.

Manakala UMNO pula kekal sebagai parti yang membela orang Melayu dan Islam. Kita sudah sama berkongsi kuasa dengan rakan-rakan komponen dalam Barisan Nasional (BN). Kami tetap konsisten dalam perjuangan dan rakyat dapat melihat betapa kami istiqamah dalam perjuangan. Kami tetap kekal setia dengan parti-parti komponen. Kita sedia maklum bahawa dahulu Pas amat benci kepada bangsa Cina dan menolak untuk bekerjasama dengan parti bukan Islam, tetapi kini sanggup bekerjasama dengan DAP dan mengorbankan prinsip perjuangan hanya untuk kuasa. Dahulu Pas kata wanita tidak boleh menyertai tilawah al-Quran, tidak boleh bekerja, tidak boleh bertanding dalam pilihan raya, sekarang sema sudah berubah. Mereka telah ikut UMNO.

Apakah perkara sebegini telah membuka mata rakyat Kelantan tentang siapa sebenarnya Pas dan DAP?

MUSTAPA: Semua perkara ini telah dilakukan UMNO sejak sekian lama lagi. UMNO dan BN sudah jauh ke hadapan malangnya Pas baru hendak merangkak. Maka adalah jelas bahawa UMNO tetap konsisten walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan cacian namun Pas pula sanggup menggadai prinsip. Semua ini semakin jelas kepada rakyat Kelantan sendiri. Kami juga penganut agama Islam, berada dalam saf yang sama dalam sembahyang tetapi dicaci dan dihina. Sebaliknya Pas mendewakan pemimpin DAP dengan gelaran Khalifah Umar Abdul Aziz. UMNO dan BN adalah parti yang mendahului zaman dan konsisten manakala PAS adalah parti ketinggalan zaman dan sanggup mengubah prinsip untuk menang pilihan raya.

UMNO dan BN adalah parti yang telah banyak melakukan jasa. Kita laksanakan DEB yang telah ubah nasib bangsa Melayu dan rakyat Malaysia, melahirkan profesional Melayu dan kini Perdana Menteri sedang melakukan pelbagai transformasi Kerajaan, ekonomi dan politik yang jelas untuk kepentingan rakyat. Saya sangat mengharapkan agar rakyat Kelantan sedar bahawa PAS sudah tersasar dari perjuangan asal dan setelah 22 tahun diberi peluang, nasib rakyat Kelantan tidak banyak berubah. Orang UMNO dilihat sebagai musuh tetapi DAP dianggap sebagai saudara.

Bagaimana dengan isu-isu yang dihadapi oleh kerajaan negeri, apakah rakyat Kelantan sekadar menerima atau sudah mula mempersoalkan integriti mereka?

MUSTAPA: Isu yang dihadapi oleh kerajaan negeri sudah mula membuka mata masyarakat di negeri ini. Mungkin terdapat mereka yang fanatik terhadap Pas, namun semakin ramai yang sedar mereka bukanlah maksum dan telah gagal membela rakyat. Mereka telah membuka mata mengenai penyelewengan yang berlaku dalam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PNBK), kelemahan dalam menangani isu air, cara mereka membangunkan ladang rakyat, gagal beri rumah kos rendah. Banyak janji tidak tertunai. Tahun 1990 kata nak bagi wang emas RM100 sebulan, tapi janji tinggal janji. Masyarakat sudah mula sedar tetapi bagi mereka yang fanatik masih sukar untuk kita ubah pendirian mereka.

Begitu juga Anwar Ibrahim. Bagi mereka yang fanatik dengan beliau walaupun pelbagai keraguan timbul mengenai integriti moralnya, mereka tidak akan berubah pendirian akibat terlalu fanatik. Bagi saya mungkin mereka yang fanatik di Kelantan mencecah 50 peratus. Namun saya yakin semakin ramai rakyat yang faham isu sebenar dan saya berharap mereka yang di atas pagar juga akan berubah. Inilah masa terbaik untuk berubah. PRU 13 akan tentukan masa depan agama, bangsa dan negara.

Bagaimana kesan yang dilalui oleh rakyat Kelantan berikutan peristiwa Bersih 3.0 yang berlaku tidak lama dahulu?

MUSTAPA: Saya melihat rakyat Kelantan adalah warga yang cintakan kedamaian. Kami juga menghargai perpaduan. Kami dalam UMNO tidak mahu umat Islam berpecah. Kami dalam UMNO mahu hidup dalam harmoni dengan semua kaum di Kelantan dan negara kita. Mereka tahu apa yang dilakukan oleh pakatan rakyat dalam perhimpunan Bersih 3.0 pada April lepas boleh merosakkan keamanan dan keharmonian negara. Saya melihat majoriti rakyat Kelantan tidak mahu menyertai demonstrasi haram yang boleh bawa kacau bilau.

Pakatan rakyat nak gagalkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat melalui cara yang tidak demokratik. Mereka tanamkan kebencian terhadap saudara seagama dalam ceramah. Mereka mencaci dan mencerca pasukan keselamatan yang menjaga keamanan negara. Pembangkang memberi pelbagai gelaran kepada pihak polis dan merendahkan martabat pasukan keselamatan kita. Rakyat Kelantan tak suka ini semua. Negeri kita amalkan demokrasi tetapi demokrasi ada batasnya. Rakyat Kelantan nak bersuara melalui kertas undi, bukannya demonstrasi haram. Kita boleh berbeza pendapat tetapi ada adab dan akhlaknya. Saya harap kita matang dalam politik.-UMO

Warna-warni politik
Torashah

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor