Rabu, 22 Februari 2012

Celaka dunia akhirat – Hadi!

Setiap calon Pas yang bertanding dalam pilihan raya diwajibkan berbai’ah, satu bentuk pengakuan yang lebih besar dan berat daripada bersumpah, kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini.

Ini bagi menentukan calon tidak menyeleweng dari dasar Islam, cara dan matlamatnya, kata beliau.

Abdul Hadi berkata, sesiapa yang melanggar bai’ah yang dibuat “maka akan celaka dunia dan akhirat”.

Beliau turut menyentuh dakwaan kalangan tertentu kononnya Pas sudah menyeleweng daripada dasar Islamnya apabila membawa konsep negara berkebajikan.

“Jawapannya, Pas tetap dipelihara oleh undang-undang tubuhnya yang menghalang daripada melakukan sesuatu yang menyeleweng daripada Islam,” kata Abdul Hadi dalam satu kenyataan di sini.

Dalam pada itu, beliau mendakwa negara kebajikan yang dilakukan Barisan Nasional (BN) berunsurkan rasuah demi kemenangan pilihan raya.

Warna-warni politik
Torashah

Selasa, 21 Februari 2012

Alasan Shuhaimi Shafie - Isu pasir adalah isu lama!


PKR Selangor sememangnya sedang ketakutan. Belang mereka telah terbelah. Temberang mereka sudah pecah. Skandal pasir yang membawa kepada pembunuhan Patrick Wong, menyebabkan mereka mengambil tindakan paling bodoh iaitu membuang nama Syarikat Double Dignity dari senarai kontraktor yang berdaftar dengan KKSB sebelum membuat pengumuman syarikat itu tidak berdaftar dengan KKSB.

Dan orang yang paling takut dengan pendedahan yang dibuat oleh Raja Petra Kamaruddin adalah Shuhaimi Shafie dan Amiruddin Shaari, ADUN Batu Muda dan ADUN Batu Caves yang mempunyai kepentingan dalam syarikat berkenaan.

Dalam kenyataan terbaru Amiruddin Shaari, katanya SPRM telah selesai melakukan siasatan berhubung penyelewengan dan skandal pasir di Selangor. Dan bangga kerana tiada tindakan yang diambil oleh SPRM terhadap penyelewengan berkenaan, Amiruddin seboleh-boleh ingin menampilkan imej bersih tentang penyelewengan serta perompakan pasir di Selangor di mana dia sendiri terlibat.

Shuhaimi Shafie pula menyatakan, isu pasir adalah isu lama. Isu pasir bagi Shuhaimi Shafie bukan lagi isu yang wajar diperkatakan atau didedahkan lagi. Bijak sungguh Shuhaimi Shafie membuat tafsiran. Tiada istilah lama dan baru dalam setiap isu. Sebarang isu yang berkait rapat dengan pemimpin, adalah isu baru!

Shuhaimi Shafie merupakan pemimpin PKR. Dan sebagai pemimpin PKR, terlalu banyak isu yang dibangkitkan. Contoh paling ketara ialah isu Altantuya Shiiribu. Mengapa setiap kali para pemimpin PKR membangkitkan sesuatu isu, tidak pula dianggap sebagai isu lama, padahal isu seperti pembunuhan Altantuya Shiiribu, telah pun diselesaikan mengikut proses perundangan.

Malah isu tersebut sebenarnya bukanlah satu isu pun kepada pemimpin negara khususnya Najib Abdul Razak dan isterinya, Rosmah Mansor. Tetapi mengapa PKR terus memainkan isu tersebut untuk menunjukkan betapa jahatnya Rosmah dan Najib, padahal bukti yang dipamerkan oleh PKR hanyalah bukti yang sengaja diada-adakan serta palsu.

Pendedahan terbaru oleh Raja Petra Kamaruddin, sebenarnya memerlukan siasatan yang lebih mendalam. Malah pihak berkuasa seharusnya memulakan siasatan baru yang lebih agresif memandangkan sudah wujud bukti-bukti baru tentang pembabitan sekurang-kurangnya dua orang ADUN PKR dalam skandal pasir di Selangor. Walaupun Raja Petra Kamaruddin sebelum ini dilihat cenderung kepada

Isu lama yang perlu diperbaharui. Itu adalah status sebenar dalam skandal ini. Apatah lagi motif pembunuhan Patrick Wong kelihatan sangat berkait rapat dengan skandal penyelewengan serta perompakan pasir di Selangor. Kedua-dua ADUN berkenaan seharusnya segera memanggil polis dan SPRM membuka kertas siasatan sesegera mungkin untuk membersihkan nama mereka, bukannya berselindung di sebalik ‘ISU LAMA’ yang cuba digambarkan sebagai sudah basi.

Skandal perompakan pasir dan pembunuhan Patrick Wong tidak pernah akan menjadi ISU LAMA. Sebaliknya apabila Shuhaimi Shafie menyatakan bahawa ianya adalah ISU LAMA, ADUN Sri Muda itu sedang menyembunyikan sesuatu yang sangat ditakutinya. Tidak mustahil Shuhaimi Shafie mengetahui atau terbabit secara langsung dalam pembunuhan Patrick Wong. Kalau tidak, masakan dia segera memberikan reaksi kononnya isu tersebut adalah ISU LAMA. Kalau tidak, Shuhaimi Shafie tidak akan terfikirkan alasan ISU LAMA!

Skandal pasir di Selangor sememangnya isu besar. Daripada janji Khalid Ibrahim bahawa pendapatan daripada perlombongan pasir boleh mencecah ratusan juta ringgit setiap tahun kepada negeri Selangor, pendapatan sebenar menjadi kurang dari 10% daripada jangkaan walaupun kawasan perlombongan pasir bertambah luas.

Dan dalam hal ini, PKR Selangor perlu dipertanggungjawabkan. Bahkan kematian Patrick Wong juga, PKR Selangor perlu memberikan jawapan kerana sehingga setakat ini, semua petunjuk mengarah kepada mereka!!! Selangordaily.

Warna-warni politik
Torashah..

Selasa, 14 Februari 2012

Bukan Islam tak perlu pertikai larangan mufti!

Orang bukan Islam diingatkan tidak mempertikaikan pandangan ulama berkaitan larangan terhadap orang Islam menyambut Hari Kekasih, hari ini.

Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya berkata, mereka tidak seharusnya mempertikaikan lara­ngan yang sudah jelas haram dalam agama Islam, kerana orang Islam tidak pernah mempertikai amalan agama mereka. Beliau kecewa dengan sikap pemimpin bukan Islam yang mempertikaikan pandangan ulama, sedangkan menyentuh isu agama adalah begitu sensitif.

“Mereka ­­­sepatutnya hor­mat agama Islam seperti mana orang Islam hormat kepada amalan agama mereka. Orang Islam tidak campur tangan urusan agama mereka, maka kenapa mereka suka campur tangan.

“Tindakan itu seolah-olah mencetuskan pertikaian agama kerana dikhuatiri menjejaskan dan melonggarkan pegangan agama umat Islam,” katanya disini semalam.

Beliau mengulas kenya­taan Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh yang menggesa Pas supaya menarik balik pendirian parti itu yang menentang sambutan Hari Kekasih pada 14 Februari.

DAP ­berpendapat pen­dirian Pas itu sangat bertentangan hak asasi manusia­ dan prinsip kebebasan di Malaysia.

Pada 7 Februari lalu, Pemuda Pas juga menggesa kerajaan melancarkan kempen menentang sambutan itu, termasuk menyiarkan iklan anti sambutan bagi mencegah umat Islam menyambutnya.

Juanda berkata, sambutan ini menjurus per­gau­­lan­ dan seks bebas. Menurutnya, di negara Islam lain, sambutan Hari Kekasih diharamkan, tetapi tidak pernah dipersoalkan. Hal berkenaan tidak sepatut­nya dibangkitkan bukan Islam.

“Mereka sepatutnya dinasihatkan oleh pemimpin Islam lain supaya tidak campur tangan­ dan tidak mengulangi lagi,” katanya.

Di Malaysia, larangan menyambut Hari Kekasih selaras dengan fatwa hasil Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-71 yang bersidang November 2005 di Kuching, Sarawak dengan menetapkan amalan merayakan Hari Kekasih tidak pernah dianjurkan Islam dan semua umat Islam dilarang merai­kannya.

Warna-warni Politik
Torashah

Sabtu, 11 Februari 2012

2 ADUN dicabar saman Raja Petra!


Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor, Shuhaimi Shafie dan Amiruddin Shari dicabar menyaman pengendali portal berita Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin sekiranya dakwaan pembabitan mereka dalam skandal rasuah pasir di negeri itu tidak benar.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Selayang, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, tindakan tersebut perlu dilakukan segera bagi membuktikan kedua-dua wakil rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tidak terlibat sekali gus membersihkan integriti dan nama baik mereka.

“Shuhaimi yang suatu ketika dahulu lantang bersuara dalam isu rasuah pasir di Selangor perlu tampil membela diri dengan memberi penjelasan bagi menafikan penglibatan beliau dalam isu tersebut.

“Ini sekali gus dapat membersihkan nama beliau selaku pemimpin masyarakat, bukan mengalih perhatian rakyat dengan menghentam Raja Petra di dalam blognya.

“Saya juga ingin menasihatkan Amiruddin supaya tidak membuat sindrom sepi atau membisu. Beliau perlu berani ke depan membuat kenyataan bagi membersihkan keadaan, bukannya menghilangkan diri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Warna-warni politik
Torashah

Khamis, 9 Februari 2012

Cinta tiga segi Pas-PKR-DAP, siapa yang kena jual?


Sekiranya ditakdirkan Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri adakah beliau akan menghalalkan protes jalanan? Adakah beliau akan membenarkan rakyat memberontak sehingga melumpuhkan ekonomi negara? Sudah pasti bila sahaja beliau meneraju negara ini beliau akan turut menggunakan pendekatan yang sama (seperti kerajaan sekarang) malah mungkin lebih teruk terhadap golongan-golongan pemprotes jalanan.

Anwar Ibrahim merupakan seorang yang cetek pemikirannya, bukan seorang pemimpin unggul bukan juga pejuang tulen. Sehingga kini apa yang jelas perjuangan beliau hanyalah bersifat peribadi. Anwar hanya ada satu cita-cita, iaitu untuk menjadi Perdana Menteri. Nafsu serakah menguasai pemikiran beliau, tiada yang lagi penting daripada cita-cita 'suci' tersebut walaupun terpaksa menggadai negara ini dan menjual kaum sendiri.

Pas, parti politik yang berjuang atas landasan Islam (kononnya) pun turut terperangkap dalam permainan jijik Anwar. Pas seolah-olah terpukau, terpana, terpaku dengan kehebatan Anwar menjual 'kelentong' beliau. Pas yang selama ini 'berperang' dengan DAP sanggup pula berganding menjadi satu, menggadai maruahnya untuk berjuang menentang saudara seIslam sendiri.

Ternyata dalam cinta tiga segi Pas-PKR-DAP, parti yang paling rugi ialah Pas. Semua tahu matlamat utama Pas adalah untuk menubuhkan sebuah negara Islam. Dan, jika diizinkan Allah mereka ini menang dan dapat menubuhkan kerajaan, apa mungkin DAP akan menurut kemahuan Pas untuk menubuhkan sebuah negara Islam?

Bak kata Karpal Singh, 'Langkah mayat saya dulu'. Betullah kata orang, bila 'bercinta' kentut pun bau wangi. Anwar dalam apa cara sekalipun akan pastikan 'kentut' DAP sentiasa wangi bagi Pas. Pakatan Rakyat bimbingan beliau tidak boleh berpecah, kerana bila berpecah maka berkecailah cita-cita 'suci' menjadi Perdana Menteri.

Namun dalam kisah cinta the three beast ini sudah pasti ada pihak yang paling beruntung. Tidak lain, tidak bukan sudah tentunya DAP. Dalam protes jalanan , 1 Ogos 2009 lalu, tanpa perlu mengerahkan jenteranya DAP telah berjaya menggerakkan hampir 10,000 macai untuk 'berjuang' bagi kepentingannya. Paling menarik macai-macai DAP ini semuanya orang Pas dan PKR. Sikap Yes Bos Pas inilah yang sebenarnya menjadi kesukaan DAP.

Namun sampai bila? Bak kata pepatah, habis madu sepah dibuang. DAP hanya menunggu masa untuk menghancurkan Pas. Setelah matlamat dan cita-citanya tercapai, Pas akan diludah, diterajang keluar daripada Pakatan Rakyat oleh cintanya DAP.

Tapi dalam semua ini, siapa yang benar-benar rugi? Wallahuaalam.

Warna-warni politik
Torashah

Isnin, 6 Februari 2012

Krisis PAS : Cerita hampir sama, tapi tak serupa!


Apa yang sedang berlaku kepada PAS sekarang hampir menyerupai krisis yang menggugat pucuk pimpinan UMNO lebih 12 tahun lalu. Penerapan anasir-anasir Anwar Ibrahim menggoncang PAS dan akan menghancurkannya jika kesedaran tidak mengatasi sentimen yang menutup akal dan mata terhadap kebenaran.

Bezanya cuma Anwar tidak sempat menukarkan nilai dan prinsip asal UMNO walaupun percaturan politiknya berjaya menyingkirkan semua halangan kepada kemaraannya, tetapi PAS telah berjaya dikuasainya sehingga menukarkan keperibadian, memesongkan akidah, menjadikan kepimpinan ulama hanya sebagai patung-patung dan PAS menjadi ultra liberal.

Halangan besar kepada Anwarisme iaitu Nasharuddin Mat Isa dan Hasan Ali manakala Azizan menunggu giliran. Kepimpinan ulama umpama melukut di tepi gantang walaupun sesekali cuba tunjukkan Al ulama Warisatul Ambia (ulama mewarisi kenabian).

Tun Dr. Mahathir Mohamad membawa masuk Anwar ke dalam UMNO pada 1982 dengan harapan akan menggelapkan masa depan Pas tetapi 18 tahun kemudian tangannya sendiri digigitnya. Dr. Mahathir hampir keseorangan dalam saat kecemasan menghadapi cabaran genting terhadap kepimpinannya. Yang tinggal hanya mereka yang bersiap sedia untuk mengikut arus.

Semua ini berlaku menerusi taktik terancang, penguasaan institusi strategik, mengambil kuasa ke atas media arus perdana, elektronik dan cetak, memperkecilkan projek-projek mega Perdana Menteri, membangkitkan amalan kronisme, memperkenalkan Islam Madani untuk menyaingi gagasan Penerapan Nilai-Nilai Islam, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dinafikan sebagai inisiatif Dr. Mahathir, persengketaan dengan Singapura didakyah sebagai berpunca daripada Dr. Mahathir dan pelbagai lagi tikaman dari dalam untuk menghilangkan keyakinan terhadap kepimpinannya.

Dr. Mahathir hanya tersedar pada saat terakhir, dalam keadaan lemas dan cemas, tetapi kekuatan minda dan jiwa luar biasa yang ada padanya dengan bantuan segelintir kawan-kawan yang masih setia telah membolehkan beliau timbul semula dan berenang mengharungi badai serta mengalahkan pencabarnya.

Apabila Datuk Kamaruddin Jaafar bekas Setiausaha Agung ABIM dan Setiausaha Politik Anwar menyertai PAS dan dengan pantas mendapat tempat sebagai Setiausaha Agung PAS, maka kelihatan jelas strategi penyusupan yang cukup licin untuk mengAnwarismekan PAS.

Tetapi barangkali PAS terhidu bahaya maka langkah seperti menarik benang dalam tepung diambil. Kamaruddin telah digantikan dengan Datuk Mustafa Ali, seorang nasionalis yang merupakan survivor handal dalam PAS.

Mustafa telah selamat mengharungi ombak politik apabila pimpinan nasionalis cauvinis PAS digulingkan oleh kepimpinan ulama dogmatis dan seterusnya dalam keadaan PAS berada di lembah ultra liberal.

Menguasai

Grand design Anwar dari awal penyertaannya untuk menguasai UMNO dimudahkan oleh kepimpinan Dr. Mahathir yang memberikan kepercayaan penuh kepadanya tetapi akhbar Utusan Malaysia tidak turut terperangkap dalam strategi medianya yang diinisiatifkan oleh orang kuatnya daripada Berita Harian. Namun keadaan berubah setelah berlaku perubahan pucuk kepimpinan Jabatan Pengarang Utusan Melayu.

Kelemahan Dr. Mahathir di sebalik semua keulungan, kepintaran, kebijaksanaan, kecekapan dan keberaniannya yang mengagumkan rakyat Malaysia dan juga masyarakat dunia ialah beliau boleh terpengaruh dengan orang yang karismatik, petah bercakap dan pandai berdrama dengan idea-idea besar.

Kebanyakan wartawan dapat mencium lebih dahulu perasaan tidak sabar Anwar untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Dr. Mahathir.

Dengan berasaskan kepada semua maklumat yang sahih, suatu hari saya memberitahu Dr. Mahathir tentang ancaman yang sedang di dihadapinya di belakang tabir tetapi beliau bertanya kepada saya, “Zam, yang baik tentang Anwar tak adakah, semuanya hanya buruk belaka”.

Dalam program Hal Ehwal Semasa terbitan RTM pada April 1993, Rosnah Majid daripada Utusan Malaysia mendedahkan strategi Anwar yang ketika itu baru menjadi Menteri Kewangan untuk mencabar Tun Ghafar Baba sebagai Timbalan Presiden UMNO.

Program itu disertai juga oleh Rijal Arbee daripada Berita Harian sebagai panel dengan Dr. Kamal Salih daripada Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) sebagai moderator.

Rosnah telah bertanya; Apakah benar saudara Anwar akan mencabar Ghafar untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO? Anwar mengalih pertanyaan itu dengan jawapan, “Apa gunanya dibangkitkan pekara ini sekarang sedangkan pemilihan pucuk pimpinan akan berlaku hanya pada November.”

Tetapi apabila Rosnah mengemukakan bukti bahawa beliau telah mengatur strategi yang cukup rapi dengan meletakkan orang-orangnya dalam semua media termasuk Utusan Malaysia, TV3 dan Berita Harian untuk mempromosinya, Anwar kemudian naik berang dan terus menuduh pertanyaan Rosnah itu mewakili orang yang benci dan iri hati dengannya.

Taktik inilah juga yang digunakannya sehingga sekarang apabila ada pertanyaan wartawan yang mencabar kredibiliti atau mendedahkan pembohongannya. Sudah lumrah mereka mendengar jawapan balas dengan pertanyaan daripadanya, “Oh, awak dari mana? Daripada UMNO, alat Barisan Nasional,” dan sebagainya.

Banyak peristiwa yang menimbulkan keraguan tentang penghayatan Anwar dengan nilai dan aspirasi UMNO.

Pertamanya, tidak lama selepas beliau menjadi Menteri Pelajaran, Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) membantah Konsert Anak Desa Bersama Sudirman yang dijadualkan berlangsung pada 5 Januari 1985.

Siapa yang mendalangi gerakan ini mudah diketahui kerana akhbar kumpulan New Straits Times Press yang menjadi promoter agenda-agenda Anwar menjuarai bantahan manakala kumpulan Utusan Melayu pula menyokong konsert itu.

Kekecohan isu ini menarik perhatian Dr. Mahathir yang memanggil Ketua Pengarang Berita Harian dan Utusan Melayu ke kediamannya pada suatu malam yang turut dihadiri oleh beberapa orang anggota Majlis Kerja Tertinggi UMNO termasuk Musa Hitam, Abdullah Badawi dan Anwar sendiri bagi membincangkan perkara itu.

Tentangan

Dr. Mahathir yang hairan kenapa mesti ada tentangan terhadap Sudirman, telah mengarahkan supaya konsert itu diteruskan. Tetapi beliau tidak menyedari siapakah yang berada di belakang bantahan itu dengan tujuan menunjukkan semangat ABIM masih membara sekalipun telah menyertai kerajaan.

Demikian juga dalam isu penentangan terhadap pertubuhan ajaran sesat Al-Arqam. Walaupun Perdana Menteri menyokong kuat perjuangan Utusan Malaysia untuk mengharamkan Al-Arqam tetapi akhbar Berita Harian menyokong gerakan itu dengan pelbagai publisiti dan menganjurkan majlis baca puisi Al-Arqam di PWTC. Anwar menjemput pemimpin Al-Arqam dan ahlinya berbuka puasa di kediaman beliau di Damansara bersama-sama dengan para wartawan dan pengarang kanan akhbar.

Apabila saya memberitahu Dr. Mahathir bahawa Utusan Malaysia tidak akan menghentikan penentangan terhadap Al-Arqam kerana berseorangan dalam hal ini, Dr. Mahathir meminta ia diteruskan kerana beliau tetap menyokong tetapi tidak menyedari siapa yang sedang menikam dari belakang.

Apabila Anwar menguasai Utusan Malaysia sepenuhnya, rombongan Al-Arqam telah melawat Ibu Pejabat Utusan Melayu dan diberikan sambutan. Namun akhirnya Al-Arqam telah diharamkan.

Harus diingatkan banyak peristiwa ‘gunting dalam lipatan’ hanya terdedah bila Dr. Mahathir menyedari kesilapannya tetapi beliau terpaksa membayar harga politik yang sangat mahal untuk menyingkirkan seorang yang amat dipercayai dan disayanginya pada saat-saat kedaulatan negara hampir tergadai kepada kuasa asing dan maruah bangsa yang dibinanya sejak lebih 20 tahun hampir terpadam.

Saya pernah memberitahu Dr. Mahathir secara terbuka dalam tulisan dan juga dalam ucapan semasa menjadi Menteri Penerangan dan sebelumnya, yang disiarkan oleh media cetak bahawa kesilapan besar beliau adalah membawa masuk Anwar ke dalam UMNO, tetapi beliau menjawab, “Mana saya tahu dia akan berbuat demikian”.

Sebenarnya tidak semua orang PAS yang percaya dan senang dengan Anwar, baik yang telah tersingkir atau yang masih berada di tampuk kuasa parti atau kerajaan.

Setelah saya kalah dalam Pilihan Raya 2008, saya telah menjemput Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak untuk melancarkan buku Ulama Terbilang Negeri Kedah, Allahyarham Haji Abdul Rahman Merbok, yang diterbitkan oleh JASA semasa saya menjadi Menteri Penerangan.

Azizan menyetujuinya kerana saya rakan semaktab dengannya dan Haji Abdul Rahman ialah guru bapanya.

Tetapi suatu yang tidak dapat saya lupakan hingga hari ini ialah bisikan Azizan kepada saya di majlis itu yang diadakan di surau pekan Merbok, “Buat apa RTM buat siaran langsung debat dengan Anwar di Dewan Bahasa? Saya menjawab, “Saya bukan lagi Menteri Penerangan”.

Penerapan anasir-anasir Anwar ke dalam PAS telah memesongkan parti itu daripada jati dirinya serta kemurnian prinsip agung perjuangan Islamnya. Walaupun Anwar hanya menarik tali dari luar dan tidak berada di dalam Pas seperti dia berada dalam UMNO tetapi kesannya kepada PAS lebih buruk lagi.

PAS telah menjadi begitu toleran terhadap segala kemaksiatan yang menjadi bahan cacian dan kutukan terhadap UMNO sebelumnya, daripada penjualan arak, persundalan, murtad, seks songsang dan terakhir, penerimaan kepada kepimpinan yang mahukan pengiktirafan terhadap keselamatan Israel.

Sudah terlalu lewat untuk PAS kembali ke pangkal jalan. PAS tidak mempunyai seorang manusia luar biasa yang berkaliber besar seperti Dr. Mahathir dalam UMNO yang berupaya mengumpul serta memulih kekuatannya dengan pantas, tegas dan nekad untuk timbul semula bagi menentang dan memusnahkan musuh dalaman.

Tidak ada siapapun dalam PAS yang akan dapat menandingi kekuatan Anwar. Para ulama pun telah menjadi umpama patung-patung.

Apa yang dapat diucapkan kepada PAS dalam saat-saat kesedihan menyaksikan penyerahan dirinya kepada segala kemungkaran hanyalah “Biarkan si luncai terjun dengan labu-labunya".-UMO

Warna-warni politik
Torashah

Ahad, 5 Februari 2012

Salam Maulidur Rasul


لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيراً

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang) Al-Ahzab 33:21

Salam Maulidur Rasul dari UMNO Bandar Puncak Alam.

Warna-warni politik
Torashah

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor