Showing posts with label PRK N25 KAJANG. Show all posts
Showing posts with label PRK N25 KAJANG. Show all posts

Thursday, 13 February 2014

Hanya strategi kitar semula


Tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu bertanding di Kajang dan memberi bayangan untuk merebut jawatan Presiden PKR dipercayai hanya strategi 'kitar semula' bagi mengaburi mata rakyat.

Penganalisis politik, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, strategi sedemikian sering digunakan Anwar agar dapat mengalih perhatian rakyat daripada memberi tumpuan terhadap kes mahkamah yang dihadapinya.

Menurut beliau, Anwar merupakan seorang ahli politik yang sedaya upaya akan cuba meloloskan diri daripada sebarang tindakan tanpa memikirkan soal rugi atau integriti.

"Beliau kini sebenarnya sedang panik apabila berdepan dengan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah, jadi tindakan untuk bertanding itu juga sebagai usaha mempengaruhi keputusan mahkamah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada 28 Januari lalu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengesahkan spekulasi Ahli Parlimen Permatang Pauh itu akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang selepas penyandang kerusi kawasan itu, Lee Chin Cheh meletak jawatan.

Isnin lalu, penasihat PKR itu menerusi wawancara dengan sebuah portal membayangkan pula untuk bertanding merebut jawatan presiden dalam pemilihan parti, pada Mei depan.

Menurut Ahmad Atory, Anwar juga akan sedaya upaya mengeruhkan keadaan agar lebih ramai pihak membela beliau.

"Apa agenda atau objektif beliau bertanding di Kajang, adakah mahu memberi khidmat terbaik kepada pengundi kawasan itu, sudah tentu tidak melainkan mahu memenuhi agenda peribadinya.

"Saya berpendapat, sudah-sudahlah beliau cuba mempermainkan kuasa rakyat untuk kepentingan diri kerana harus diingat lama-kelamaan orang akan bosan dengan taktiknya," tegasnya.

Ujar beliau, langkah Anwar bertanding di DUN Kajang itu seperti 'mencemar duli' memandangkan beliau pernah memiliki jawatan tinggi dalam kerajaan termasuk memangku tugas Perdana Menteri ketika dipimpin Tun Dr. Mahathir Mohamad.

"Kenapa tiba-tiba nak bertanding di Kajang, maknanya memang ada yang tidak kena dengan mereka (pembangkang) ini," katanya.

Tuesday, 28 January 2014

MB Selangor Umum Anwar Bertanding DUN Kajang


PETALING JAYA, 28 JAN - Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding di kerusi DUN Kajang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR), umum Menteri Besar hari ini.


Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, keputusan itu juga dipersetujui pimpinan parti Pakatan Rakyat (PR) yang dimaklumkan dalam satu mesyuarat awal pagi tadi.

Katanya, dengan penyertaan Ketua Pembangkang Parlimen itu ke negeri Selangor mampu meneruskan kecemerlangan Kerajaan Selangor.

“Ini adalah keputusan bersama bagi menjadikan Pakatan Rakyat lebih kuat.

“Jadi kita akan menumpukan sepenuh perhatian bagi memastikan kejayaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kajang,” kata Abdul Khalid.

Abdul Khalid membuat pengumuman berkenaan dalam satu sidang media yang turut dihadiri Anwar serta Lim Kit Siang dan Salahuddin Ayub yang diadakan di ibu pejabat PKR di sini, hari ini.

Sementara itu, Anwar pula sekali lagi menolak spekulasi bahawa beliau bakal menggantikan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.

“Keputusan yang dicapai dalam Pakatan Rakyat ini memberi motivasi kepada saya untuk membantu meningkatkan kecemerlangan pentadbiran kerajaan Selangor,” kata Anwar.


Semalam, speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh mengumumkan perletakan jawatan Adun Kajang, Lee Chin Cheh daripada PKR.

Justeru, selaras dengan Fasal 5 Perkara 70 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor, sesuatu kekosongan luar jangka hendaklah diisi pada masa 60 hari dari tarikh kekosongan.

Dalam pilihan raya umum lalu, Lee sebagai calon PKR menang dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru dengan BN, BERJASA dan tiga calon bebas.

Kawasan itu mempunyai 38,965 pengundi dengan 48 peratus Melayu, 41 peratus Cina dan India sebanyak 10 peratus.

PARLIMEN KUALA SELANGOR

BUKIT MELAWATI

IJOK

JERAM