MAS akan tingkat keuntungan 2013



Ahmad Jauhari
KUALA LUMPUR 3 Jan. - Malaysia Airlines (MAS) meletakkan sasaran untuk mengekalkan trend pelaporan fiskalnya yang positif tahun ini ke tahun hadapan, hasil pelaksanaan Pelan Perniagaan yang diumumkan pada Disember 2011 secara konsisten dan agresif.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ahmad Jauhari Yahya berkata, MAS akan terus mempercepatkan pelaksanaan Pelan Perniagaan itu pada tahun ini, dengan fokus tambahan pada peningkatan perolehan dan pulangan melalui pemasaran dan promosi yang agresif dan pengurusan kapasiti yang lebih baik.
Katanya, selain itu, penyerahan lebih banyak pesawat baharu yang lebih cekap bahan api sebagai sebahagian daripada program memudakan kumpulan pesawatnya akan dilaksanakan.

Katanya, penyertaan pesawat Airbus A380 dalam kumpulan pesawat MAS serta kemasukan ke dalam perikatan oneworld menjelang 1 Februari ini dijangka mempunyai kesan positif ke arah meningkatkan serahan produk dan perkhidmatan kepada para penumpang dan akhirnya menguntungkan kumpulan itu.
"Pada masa yang sama, kumpulan syarikat penerbangan akan terus menurunkan kos secara aktif melalui peningkatan pengurusan kos dan memacu produktiviti bagi menghasilkan kecekapan pada keseluruhan sistem," katanya kepada Bernama.

MAS mencatatkan keuntungan bersih RM37 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2012, selepas mengalami kerugian enam sukuan berturut-turut dan peningkatan signifikan berbanding dengan kerugian RM478 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama sebelum ini.
Ahmad Jauhari berkata, elemen utama di dalam memulihkan syarikat penerbangan negara itu ialah menempatkan pelan pembiayaan, yang bertujuan mengukuhkan kunci kira-kira, meningkatkan modal kerja dan menyediakan platform pembiayaan yang jitu bagi serahan pesawat yang baharu dan cekap bahan api.
"Serahan baharu pesawat sangat penting bagi mengekalkan kerelevanan kita dalam pasaran yang kompetitif," katanya.

Selain menjadi lebih cekap di segi teknologi dan menurunkan perbelanjaan bahan api secara keseluruhan, yang kini menelan sehingga 38 peratus daripada kos operasi bulanan syarikat penerbangan itu, pesawat baharu akan membolehkan syarikat itu menawarkan peningkatan produk dan perkhidmatan kepada pelanggan dengan pulangan yang lebih baik.
Mengenai perikatan oneworld, Ahmad Jauhari berkata, ia yang dijangka ditandatangani pada bulan depan yang akan meningkatkan dan mengukuhkan kedudukan MAS.
Ia juga akan meningkatkan liputan global syarikat itu ke 840 destinasi di 156 negara.
"Perikatan oneworld akan meningkatkan bilangan rangkaian kami yang menyediakan perkhidmatan ke lebih 60 destinasi di hampir 30 negara.

"Ia juga membolehkan syarikat penerbangan ini meraih manfaat kewangan yang disumbang dari sebahagian daripada gabungan global melalui peluang pengurangan kos dan tambahan penumpang," katanya.
Sementara itu, Ahmad Jauhari berkata, anak syarikat milik penuh MAS, Firefly dan MASwings, akan mengembangkan rangkaian kapasiti sebelum pelaksanaan Dasar Langit Terbuka ASEAN pada 2015.
Pesawat model turboprop ATR72-600 bernilai RM3 bilion, yang ditempah MAS dari Avions de Transport Régional (ATR), akan turut membolehkan kedua-dua anak syarikat itu bersaing dengan baik.
Kira-kira 20 daripada 36 pesawat turboprop yang ditempah adalah bagi Firefly, manakala bakinya adalah untuk MASwings, dan tempahan itu dijadual diserahkan secara berperingkat mulai suku kedua tahun ini.


Comments