Thursday, October 15, 2009
Realisasikan transformasi
Tiada lagi ‘bandar tidur’
Pelan pembangunan bakal akhiri jolokan sedemikian bagi Sri Aman
SRI AMAN: Sri Aman bakal menyingkirkan jolokan ‘bandar tidur’ dengan kewujudan sebuah bandar moden yang lengkap dengan segala infrastruktur canggih melalui perancangan pelan pembangunan baru bandar Sri Aman.
Ketua Menteri Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud berkata, bandar moden yang dibina atas tapak lama kuarters kerajaan lama sebelum ini sedang dalam pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya tidak lama lagi.
Menurutnya, pelan induk mengenai racangan pembangunan mentransformasikan bandar ini kepada bandar moden telah diluluskan, sekali gus akan lebih menceriakan lagi bandar ini dengan kewujudan bangunan-bangunan baru di sini.
Jadi buat masa ini bandar moden Sri Aman akan dilaksanakan secara berperingat-peringkat dan apa yang penting sekali pelan yang disediakan akan mengikut rancangan yang telah ditetapkan, ujarnya.
Di samping itu, pelan untuk membangunkan industri pertanian dan pelancongan untuk menarik lebih ramai pelawat berkunjung ke bandar ini turut dalam senarai rancangan kerajaan negeri, katanya.
“Bahagian Sri Aman hari ini jauh lebih maju berbanding sebelum ini sehinggakan kakitangan kerajaan yang hendak ditempatkan berkhidmat di Lubok Antu (dahulu) takut kerana menganggap kawasan luar bandar ini difikirkan seperti ‘hidup di dalam penjara’… namun kini semuanya sudah berubah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Peringkat Bahagian Sri Aman di Dewan Suarah Sri Aman semalam.
Selain itu, kata Taib, fenomena benak yang menjadi aset tarikan utama dalam menjana industri pelancongan serta tanah yang luas dan subur juga mendorong kerajaan untuk membangunakan pertanian secara komersial di Sri Aman.
Menurutnya, kawasan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) seluas 100,000 hektar dengan peruntukan berjumlah RM300 juta telah dimajukan dengan tanaman kelapa sawit di bawah projek Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA).
Sementara itu, katanya, kawasan seluas 100,00 hektar lagi dirancang akan dibangunkan dengan tanaman kelapa sawit bagi menambah ladang kelapa sawit yang sudah sedia ada di kawasan Sri Aman.
“Tumpuan diberikan kepada pembangunan sektor perladangan kelapa sawit keseluruhannya melibatkan kawasan tanah pusaka seluas 200,000 hektar di kawasan ini,” jelasnya.
Penggunaan jentera moden pula digunakan dalam projek tanaman padi secara komersial di kawasan Stumbin-Bijat di Lingga yang sekali gus dijangka akan meningkatkan taraf hidup golongan petani di Sri Aman, katanya.
Justeru, golongan petani dan masyarakat di Bahagian ini perlu bersedia mengubah cara pertanian tradisional kepada komersial yang terbukti lebih menguntungkan.
Beliau menjelaskan bahawa pelantikan Datuk Rohani Abdul Karim sebagai timbalan menteri yang bertanggungjawab dalam hal pertanian di peringkat persekutuan yang kebetulan juga wakil rakyat di sini secara tidak langsung memberi peluang dan kelebihan kepada rakyat di situ untuk meneroka bidang pertanian moden.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia (MOA) Datuk Rohani Abdul Karim, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Larry Sng, Senator Datuk Empiang Jabu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Simoi Peri, Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat, ADUN Balai Ringin Snowdan Lawan, ADUN Bukit Bangunan Mong Dagang, ADUN Batang Ai Malcom Mussen Lamoh dan Residen Sri Aman Abang Shamsuddin Abang Seruji.
'Kepuasan rakyat keutamaan saya'
PUTRAJAYA 14 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata usaha memenuhi kepuasan rakyat menjadi keutamaan beliau dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri.
"Setiap pemimpin ada stail masing-masing. Saya tidak tahulah apa stail yang orang lihat yang ada pada saya, tetapi saya sudah gariskan bahawa apa yang saya buat adalah untuk memenuhi kepuasan rakyat.
"Ini yang saya utamakan dalam gerak kerja yang saya akan lakukan," kata Najib yang juga Presiden UMNO semasa wawancara eksklusif dengan Bernama di pejabatnya sempena Perhimpunan Agung UMNO.
Najib yang bergiat aktif dalam politik selepas kematian bapanya, Allahyarham Tun Razak Hussein, Perdana Menteri Kedua turut ditanya sekiranya beliau melihat ada persamaan antara cabaran politik semasa dengan apa yang dihadapi arwah bapanya yang mengharungi cabaran membangunkan negara selepas pilihan raya 1969 yang dicemari dengan rusuhan kaum pada 13 Mei.
"Ia memang satu krisis, malah hanya ada dua krisis utama dalam sejarah negara, iaitu pada tahun 1969 dan 2008," kata beliau yang merujuk kepada kemerosotan sokongan ketara yang dialami oleh Barisan Nasional pada pilihan raya umum tahun lepas.
Beliau berkata semua pihak perlu memberi respons terhadap kekalutan itu, dengan merujuk kepada respons oleh arwah bapanya dalam menghadapi cabaran mendatang, yang hasilnya negara menjadi pulih dan demokrasi berparlimen dikembalikan.
"Tun Razak memulakan Barisan Nasional dan menghadapi pelbagai cabaran yang dibawa oleh peristiwa 13 Mei; diadakan parti durian dan macam-macam lagi; semua ini bertujuan membawa semua kaum untuk bekerjasama, malah beliau juga menjadi orang penting dalam membawa parti pembangkang, Gerakan dan PPP menyertai BN, beliau yang melaksanakan rekayasa politik.
Ditanya apa yang beliau mahu anggota UMNO buat untuk memperkukuhkan perpaduan kaum, Presiden parti itu berkata beliau ingin melihat mereka bermula dengan perpaduan dalam parti terlebih dahulu dan kemudian dalam konteks BN.
"Selepas itu, UMNO juga mesti menjadi pelopor kepada usaha untuk membuat programoutreach dengan mereka yang tidak menjadi anggota mana-mana parti komponen Barisan Nasional.
"Sebab itulah, saya mengajukan sikap keterbukaan dalam setiap pendekatan BN," kata beliau.
Najib sendiri mengamal apa yang beliau sarankan.
Antaranya, beliau sering melakukan "tinjauan mesra" untuk meninjau masalah rakyat, memberi tumpuan saksama kepada rakyat Sabah dan Sarawak dan menemui pelbagai pertubuhan yang mewakil berlainan kaum.
Yang terbaru Najib menunjukkan kesediaannya bekerjasama dengan mana-mana pihak di luar BN yang menyokong Barisan Nasional apabila beliau melancarkan Parti Makkal Sakti baru-baru ini. - BERNAMA
Wednesday, October 14, 2009
Bekalan elektrik ke kampung tetap dilaksanakan
Katanya, peruntukan berjumlah RM5.5 juta telah diluluskan oleh Kementerian Luar Bandar dan Wilayah untuk melaksanakan projek berkenaan.
“Fasa pertama akan bermula tahun ini selama 18 bulan. Kita akan laksanakan dalam tempoh terdekat ini. Kerajaan akan terus membangun dan memberi kemudahan kepada rakyat,” jelas Rosey ketika dihubungi semalam.
Rosey sebelum itu telah menghadiri taklimat bekalan elektrik di Dewan Rumah Mentali dan menasihat Tuai Rumah untuk terus bekerjasama dengan wakil rakyat dan agensi kerajaan untuk mempercepatkan pembangunan di kawasan mereka.
Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang yang ditemui pagi semalam memberitahu, lima kampung di Lusut Taman Tunku akan menerima bekalan elektrik secara berperingkat bermula tahun depan.
Beliau memberitahu, peruntukan berjumlah RM3.7 juta telah diluluskan untuk perlaksanaan projek ini yang akan memberi manfaat kepada 436 keluarga.
“Projek ini akan dimulakan secepat mungkin dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2011. Penduduk telah memohon bekalan elektrik sejak tiga tahun lalu. Saya dan YB Aidan Wing (ADUN Lambir) sentiasa membuat `follow-up’ untuk memastikan eruntukan dan projek ini dilaksanakan,” ujarnya.
Ahmad Lai sebelum itu telah menghadiri taklimat tentang projek RES untuk kampung berkenaan di pejabat SESCO.
Tuesday, October 13, 2009
Semangat baru perjuangan BN
Orang Sarawak berkebolehan mentadbir
Menurutnya disebabkan itu jugalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi kepercayaan kepada pemimpin-pemimpin Sarawak memegang jawatan dalam kabinet.
“Datuk Idris Jala, misalnya seorang anak jati Sarawak berjaya membawa Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) bangkit daripada hampir berdepan muflis beberapa tahun lalu.
“Selaku ketua pegawai eksekutif dan pengarah urusan MAS, Idris berjaya memastikan MAS terus bertahan dan pada masa sama membawa keuntungan kepada syarikat itu.
“Kemampuan dan kewibawaan Idris menyebabkan Perdana Menteri (Najib) melantik beliau sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri biarpun beliau bukan ahli politik.
“Idris bertanggungjawab memantau Indeks PencapaianUtama (KPI) negara,” ujarnya.
Abang Johari yang juga Menteri Perumahan berkata rakyat negeri ini harus mengambil iktibar daripada apa yang berlaku ke atas kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri ini.
“Kepimpinan PKR negeri sudah beralih kepada ahli politik dari Perak mengambil alih daripada anak Sarawak.
“Bagaimana PKR boleh mendakwa pelantikan itu akan membantu Sarawak sedangkan parti itu tiada kepercayaan terhadap rakyat negeri ini memimpin parti itu sebagai pengerusi,” ujarnya.
Beliau menambah, keupayaan pemimpin PKR negeri yang datangnya dari Perak membantu dan mengetuai parti berkenaan juga diragui memandangkan ketika ini senario politik di negeri itu (Perak) kucar- kacir.
Abang Johari berkata keadaan itu amat berbeza dengan PBB yang terbukti mempunyai visi serta agenda politik cukup jelas yakni meningkatkan taraf hidup rakyat menerusi projek atau program pembangunan fizikal dan sosioekonomi.
Malah katanya PBB telah menjadi ‘tonggak’ dalam Barisan Nasional (BN) Sarawak yang sentiasa bekerjasama rapat dengan parti komponen BN lain untuk memanjangkan visi serta agendanya.
“PBB bukan hanya berjuang untuk Melayu atau komuniti Bumiputera semata-mata tetapi bukan Bumiputera…usaha pengerusi BN Negeri yang juga Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud telah memperkenalkan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), tujuannya mencipta peluang sosioekonomi kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.
Pada masa sama Johari mengingatkan ahli PBB agar terus bersatu kerana ia perkara penting untuk memastikan parti itu kekal kukuh dan ini dapat dilihat ketika ia berdepan cabaran politik yang hebat pada 1977, 1978 dan 1987.
Beliau tidak menafikan wujudnya pengkhianat atau ‘musuh dalam selimut’ dalam parti tetapi jika majoriti memilih untuk setia dengan visi dan agenda parti, PBB akan kekal mantap serta kukuh.
Terdahulu Pengerusi PBB Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi yang kekal menjawat jawatan itu tanpa bertanding berkata cawangan itu sebulat suara menyokong agar jawatan presiden parti yang ketika ini dipegang Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud tidak dipertandingkan dalam konvensyen PBB yang dijadual pada awal tahun depan.
Dr Abdul Rahman juga memberitahu cawangan itu mahu jawatan tertinggi parti seperti timbalan presiden, naib presiden kanan dan naib presiden kekal disandang pemimpin sedia ada.
Dalam mesyuarat itu juga Abang Johari diberi penghormatan menyampaikan pingat perkhidmatan setia kepada pemimpin-pemimpin akar umbi PBB.
Penerima-penerima tersebut ialah Maseli Drahman, Penghulu Kassim Abdul Wahed, Penghulu Siri, Penghulu Bujang Som Derahim, Pemanca Rashidi Junai, Dayang Bibi Mujir, Fatimah Hazmi, Mohamad Ismai, Sapuan Oya, Serudin Mohamad, Sepe Bujang, Johar Jaafar, Mahdi Rosli, Sulaiman Sahmi, Suhaili Kifli dan Mahrip Sapong.
Beras percuma setiap bulan
KUALA LUMPUR 12 Okt. – Kerajaan akan mengedarkan kupon beras percuma kepada 200,000 keluarga miskin di seluruh negara hujung tahun ini, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.
Beliau berkata, pemberian kupon itu akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu majlis di Pekan, Pahang pertengahan November ini.
“Pemberian kupon khas itu adalah menggantikan sistem pemberian subsidi beras kepada pengilang dan pemborong beras yang bernilai RM60 juta sebulan.
“Saya nak tegaskan di sini, skim baru ini bukan bermakna harga beras naik, tetapi ia hanya kerana kerajaan menarik balik subsidi beras yang selama ini diberikan kepada pemborong dan peruncit,” katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat Program Subsidi Beras Untuk Rakyat (SUBUR) kepada para pegawai kerajaan serta anggota Parlimen di sini.
Beliau berkata, menerusi program subsidi itu kira-kira 43,500 keluarga miskin tegar berpendapatan RM450 sebulan di bandar dan RM420 sebulan di luar bandar akan menerima kupon bagi 30 kilogram beras percuma setiap bulan manakala lebih 150,000 keluarga yang berpendapatan RM1,500 sebulan di bandar dan RM1,000 sebulan di luar bandar akan menerima tiga kupon subsidi bernilai RM10 setiap satu enam bulan sekali.
Turut menerima beras percuma dan subsidi beras ialah kira-kira 15,000 keluarga Orang Asli di seluruh negara, katanya.
Noh berkata, penerima kupon RM10 melayakkan pemegangnya membeli beras gred ST15 (15 peratus hancur) bagi 10 kilogram yang berharga RM24 pada harga RM14 dan jika mahu membeli beras yang lebih mahal, mereka hanya membayar perbezaan harga beras itu sahaja.
Mengenai pengagihan kupon, Noh berkata, ia akan disalurkan menerusi semua anggota parlimen termasuk daripada parti pembangkang yang kemudiannya akan menyerahkan kepada penerima mengikut senarai yang dikeluarkan portal Pembasmian Kemiskinan ‘e-Kasih‘ Jabatan Perdana Menteri.
Noh berkata, bagi tujuan pelaksanaan sebanyak 54,000 peruncit dan 1,200 pemborong beras di seluruh negara akan diberi surat arahan menerima garis panduan daripada kerajaan mengenai sistem pembelian melalui kupon ini.
“Kupon ini sama seperti wang tunai. Jadi tidak ada sebab kenapa ia tidak diterima (oleh peruncit) dan untuk mendapatkan wang tunai peruncit hanya perlu menyerahkan kupon kepada pemborong dan mereka akan diberikan wang tunai,” katanya.
Beliau berkata, jika ada peruncit yang enggan menerima kupon yang dikemukakan kerajaan akan menarik balik lesen peruncit terbabit.
Katanya, sistem baru itu akan dapat memastikan matlamat kerajaan membantu golongan miskin mendapat bekalan beras mencukupi tercapai.
“Selama ini pengilang dan pemborong mengaut keuntungan besar terutama apabila kerajaan membahagikan beras kepada tiga katagori iaitu ST15 (15 peratus hancur), ST10 (10 peratus hancur) dan ST5 (lima peratus hancur).
“Apa yang berlaku sekarang, beras ST15 sukar didapati di pasaran kerana pemborong membungkus semula beras ST15 kepada ST10 atau ST5 yang harganya jauh lebih mahal,” katanya.
Ditanya kemungkinan akan berlaku penipuan kualiti, Noh berkata, selepas ini kerajaan membenarkan beras ST15 dan ST5 dijual di pasaran terbuka manakala ST10 akan dimansuhkan. – BERNAMA
B. Pinang suntik semangat
PULAU PINANG 12 Okt. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di Bagan Pinang semalam memberi semangat baru di kalangan ahli untuk terus berjuang mencapai kejayaan lebih besar pada masa akan datang.
Perdana Menteri berpendapat kemenangan pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri berkenaan membuktikan kepimpinan, konsep dan semangat gagasan 1Malaysia mendapat sambutan menyeluruh serta meluas dalam segenap lapisan rakyat.
Pada masa sama, beliau berkata, kejayaan Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad menewaskan calon Pas, Zulkefly Mohamad Omar dengan majoriti 5,435 undi jelas menunjukkan rakyat lebih yakin dan percaya dengan BN.
‘‘Kemenangan itu juga mungkin berpunca daripada beberapa faktor yang kita dapat buat penilaian sama ada dasar kerajaan dan perubahan yang dibuat di peringkat nasional, kedudukan di peringkat bahagian, calon itu sendiri atau kombinasi ketiga-tiga faktor ini,” kata beliau pada sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan para pemimpin BN Pulau Pinang hari ini.
Najib yang juga Pengerusi BN mahu parti menjalankan kajian mendalam terhadap sebarang faktor kemenangan atau kekalahan dalam mana-mana pilihan raya kecil supaya ia boleh dijadikan panduan atau iktibar pada masa akan datang.
‘‘Sama ada kita kalah atau menang besar, kita mesti kenal pasti sebab dan faktor yang menyumbang kepada kejayaan kita atau sebaliknya dan jadikan peristiwa itu sebagai iktibar kepada semua.
‘‘Kalau kita menang besar, kita mesti pertahankan kemenangan itu dan kalau kita kalah, kita mesti menebus kekalahan itu,” katanya dalam kunjungan pertama ke sini sejak menjadi Perdana Menteri.