Teme's GANG

Makhluk Asing

Catatan musafir 4


Musim sejuk, December 2014.

Resah hati Amed..

Perkara yang dibincangkan oleh rakan-rakannya seakan-akan hanyalah suara latar.
Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri..

Bangunan-bangunan bersejarah dan unik di sekitar kota Rome kelihatan mono, lansung tidak menarik perhatiannya pada ketika itu. Dia berjalan pantas, selari dengan pergerakan teman-teman musafirnya. Masing-masing perlu menyiapkan kajian dan tugasan yang diberikan oleh pihak university untuk field trip.
Amatlah tidak digalakkan untuk berpecah daripada kumpulan kerana keadaan yang sibuk dan jalan di kota Rome yang rumit dan berbelit-belit, besar kemungkinan untuk sesat. Tambahan pula, ianya melibatkan kerja berpasukan, jika hilang seorang ahli, maka kerja seluruh kumpulan akan mengalami kepincangan.

Hatinya merintih kerisauan..

"Macam mana aku nak solat ni.. Dah nak maghrib ni... Allah.."




Winter,

Waktu siang sangat singkat pada musim ini, malamnya pula jauh lebih panjang dari waktu siang. Memberi lebih masa untuk sang hamba mengerjakan solat malam. Tetapi, merupakan cabaran untuk melakukan solat di siang hari kerana waktu subuh, zuhur dan asar teramat singkat. Mungkin ada yang berpendapat keadaan seperti ini mudah untuk mengerjakan puasa, tapi hakikatnya hanya muslim yang hidup di sini yang tahu, lebih cabaran untuk berpuasa lebih dari menahan lapar dan dahaga. Tenaga banyak digunakan oleh badan untuk menstabilkan suhu anggota, kerap terasa lapar.

Berada dalam kalangan mereka yang belum lagi muslim kadang-kadang rumit bagi Amed. Kebiasaannya, dia akan curi-curi menunaikan solat bila rombongannya berhenti untuk makan tengah hari. Dia akan berpuasa, kerana dengan cara demikian, waktunya untuk makan itu dapat digantikan dengan pencarian tempat yang bersih, tersorok dan sesuai untuk solat.

Tetapi kali ini lain..

Mereka tiada masa untuk berhenti makan tengah hari kerana terlalu sibuk, masing-masing hanya membeli roti dan makanan ringan untuk sekadar mengalas perut. Sehinggakan hampir mustahil untuk Amed meminta kumpulan itu berhenti seketika semata-mata untuk dia menunaikan solat.

Syaitan pun mainkan peranan,

"Alah Amed.. Sekali-sekala tinggal solat apa ada hal. Allah faham yang hambaNya dalam keadaan sukar, nanti boleh bertaubat.. dah leisure nanti gantilah balik solat tu."


Hatinya berlawan,

"Takboleh! Aku muslim! Allah nampak apa yang aku buat! Takkan aku nak korbankan hak Allah untuk hak aku di dunia?!"

Rombongannya terus berjalan laju..

Ada juga terlintas untuk berpecah dari kumpulan, tapi Amed tak ingin sesat di bandar yang asing baginya. Lagipun, sukar untuk mencari warga Italy yang fasih berbahasa Inggeris.

"Kau ok ke Amed? Kau senyap je sejak 30 minit tadi.."

Joel mengemukakan soalan. Rakan sekumpulan Amed yang berasal dari Portugal ini sudah lama perhatikan riaknya yang kelihatan bingung sejak dari tadi.
Amed menoleh ke arah Joel sambil memaksa otot pipinya menarik senyuman kecil. Terkejut kerana ternampak seperti ada mata dan gigi terbang. Gigi dan bahagian putih mata Joel kelihatan makin jelas kerana waktu hampir maghrib, Joel berkulit hitam.

Aku ok.. aku ok”, balas Amed.

Seperti ada yang tak kena dengan kawannya itu,
Melalui jawapan Amed yang hanya sepatah-dua, Joel perasan yang ada sesuatu yang bermain di fikiran Amed.

“Kau pasti? Kau nak ke tandas ke? Sepatutnya kau pergi awal-awal, sekarang ni kita kene kejar masa”  
“Eh bukan.. aku dah ‘keluarkan’ habis dah pagi tadi.. hahaha”

Kemudiam Amed terdiam.
Kata-kata rakannya tadi menambahkan kerisauan, rasa serbasalah dalam hati Amed semakin mencengkam. Sedangkan nak ke tandas pun dikatakan tak sempat, inikan pula nak minta sekumpulan berhenti untuk memberi laluan kepadanya untuk solat. Mindanya serabut memikirkan.

Kumpulan seramai 23 orang ahli itu masih meneruskan perjalanan laju..

Langit yang biru kelihatan semakin keperangan, menandakan Sang  Maghrib akan mengambil tugas Sang Asar tidak lama lagi.

“macam mana ni.... macam mana ni.. macam mana ni..”

Itulah yang bermain di fikiran Amed. Mudah untuk kita mengatakan remeh, tapi hanya dia yang lalui saat yang sukar itu yang merasakan. Membesar di negara yang majoritinya Islam, seingatnya, dia tidak pernah mengalami masalah solat sebelum ini. Dia juga memikirkan tanggapan rakan-rakannya yang mungkin akan merasakan dia mementingkan diri sendiri kerana melengahkan seluruh kumpulan semata-mata untuk solat, Amed seorang sahaja muslim dalam kumpulan itu.

Amed memandang ke arah Oren, lelaki yang bertanggungjawab untuk mengetuai perjalanan kumpulan pada hari tersebut. Mereka bertukar-tukar giliran sesama ahli kumpulan untuk menjadi ketua kumpulan pada tiap-tiap hari untuk berlaku adil. 

Niat di hatinya hendak meminta Oren berhenti seketika, tetapi latar belakang Oren yang berasal dari Israel secara tidak lansung mewujudkan su’ dzhon (sangkaan buruk) dalam hati Amed.

Amed memberanikan diri,
Dia mempercepatkan langkah menuju ke arah Oren yang berada di hadapan kumpulan. Joel mengikut rapat di belakang Amed dengan penuh rasa ingin tahu.

Kini Amed berada betul-betul di sebelah Oren. Oren menoleh ke arah Amed.
Amed menoleh kembali sambil tersengih lebar.
Oren menunjukkan reaksi hampir tergelak melihat riak wajah Amed yang seringkali tersengih dengan tiba-tiba apabila berurusan dengan sesiapa sahaja.

Dengan mengangkat kening sebelah kiri, Oren bertanya..

“Ni mesti kes nak ke tandas kan?”
“Errr.. bukan..” Amed menjawab.

Joel yang mengikut di belakang Amed tadi kini berdiri di sebelah Oren sambil memasang telinga, mendengar perbualan Amed dan Oren. Oren menyambung pertanyaan..

“Habistu? Ada barang tertinggal ke?”
“Tak jugak.. Ada yang lagi mustahak dari tu..”
“Kita silap jalan ke?”
“Bukan silap jalan.. Tapi aku nak minta izin sesuatu boleh?” sengih di wajah Amed semakin lebar.
“Apa?”

Oren kelihatan curiga, begitu juga dengan Joel yang sejak dari tadi mengikuti perbualan dua orang rakannya itu.


“Boleh tak aku nak minta izin kita berhenti kejap di tepi jalan?”
“..? ..? ....untuk apa?” 
“Aku nak solat kejap.. 5 minit je”

Oren berkerut sambil menoleh tepat ke hadapan. Seperti ada sesuatu yang menghalangnya daripada mengeluarkan keputusan. Tidak perlu dijelaskan apa itu solat, kerana kebanyakan rakan-rakan Amed telah terbiasa melihat dia keluar dari dewan kuliyah untuk mengerjakan solat di university. Terutamanya Oren, seorang yahudi yang menetap di negara haram Israel, pastinya dia tahu serba sedikit tentang solat muslim.

Keadaan menjadi sepi seketika, lalu Joel pula yang mengeluarkan kata-kata. 

“Kau perlu solat sekarang ke Amed?”

Amed hanya mengangguk dengan pantas. Joel meneruskan bicaranya sambil memandang ke arah Oren yang seperti masih memikirkan sama ada mahu berhenti atau tidak.

“Kita berhenti sekejap lah ye?” cadang Joel kepada Oren.
“...” 
“...”

Keadaan kembali sepi tanpa apa-apa perkataan keluar dari mulut Oren.
Langit semakin keperangan, hampir masuk waktu haram mengerjakan solat, Amed tahu yang dia tidak boleh berlengah lagi.

Amed mengambil keputusan sendiri,
Dia pusingkan badan ke belakang, menghadap rakan-rakan sepasukan sambil berjalan mengundur, lalu dia mengeluarkan kata-kata dengan sedikit lantang untuk menarik perhatian rakan-rakan sepasukannya.

“Korang.. aku kene berhenti kejap ni.. korang teruskanlah perjalanan, aku nak solat kejap, nanti aku akan kejar korang balik.. iye?”

Mereka semua memperlahankan langkah lalu berhenti, termasuklah Oren dan Joel.

“Kita semua berhenti seketika lah ye? Kita tunggu Amed solat sekejap.. ahli kumpulan mana boleh tinggal ahli kumpulan yang lain” laung Joel sambil menoleh ke arah rakan-rakan.

Rata-rata mereka mengangguk. Amed terharu dengan tindakan Joel yang membelanya.

Amed dengan cepat menuju ke sudut jalan dan membuka aplikasi kompas dari telefon bimbitnya untuk menentukan arah kiblat. Lalu dia menghamparkan baju sejuk yang dipakai sebagai alas tempat bersujud. Wuduk memang dijaga olehnya sepanjang perjalanan, tiada masalah dari soal itu.

Dia memulakan solat.

Itulah kali pertama rakan-rakan se’studio’nya (studio= seperti kelas bagi pelajar architecture) melihatnya solat secara depan-depan. Amed sedar yang setiap mata rakan-rakannya itu memerhatikan dia solat, terasa janggal, teramat sukar untuk khusyuk. Biarlah apa pandangan orang, asalkan Allah redha dengan ibadahnya, Amed meneruskan solat.

...

...

...


Selesai memberi salam, Amed memandang ke arah Joel dan mebuat isyarat thumbs-up sebagai tanda dia telah selesai solat. Joel ketika itu sedang memegang kamera lalu berjalan menuju ke arah Amed yang masih dalam posisi duduk tasyahud.

“Selesai dah?” 
“Belum.. 2-3 jam lagi baru siap” jawab Amed dengan nada bergurau.

Joel tersengih lalu menunjukkan screen kameranya kepada Amed.

“Tengok ni.. cantik kan gambar ni?”

Joel memang berbakat dalam fotografi, Amed melihat ke dalam screen camera tersebut dengan penuh minat.
Ada gambar dirinya sedang sujud berlatarbelakangkan langit yang biru keperangan. Hanya silhouette dirinya dan beberapa bangunan kelihatan dalam gambar tersebut.

Amed tersenyum, matanya membesar tanda teruja.

“Serious cantik gambar ni Joel! Jadi fotografer lah, takpayah jadi arkitek.. hahaha”

Rakan-rakan sekumpulan tertarik dengan kata-kata Amed tersebut, lalu masing-masing berkerumun untuk melihat gambar dari dalam kamera Joel. Semunya menunjukkan respon positif.

Joel membalas kata-kata Amed...

“Bukan gambar ni yang cantik, moment dalam gambar tu yang jadikan gambar itu bermakna” 
“Betul.. dalam kesibukan dunia, ada seseorang yang meninggikan Tuhannya lebih dari segalanya..” sampuk Bianca, salah seorang daripada rakan sepasukan mereka yang berasal dari Romania.





................................................................................................

Memang sukar menjadi asing, di tempat yang asing, bersama insan-insan yang asing,

Namun percayalah,
Walaupun mujahadah mengejar redha Allah itu perit, Allah akan bantu, Allah akan suntikkan ketenangan dalam jiwa hamba,
Sebagai hint dan pembangkit semangat untuk mengejar ketenangan abadi di syurga.
Tiada satu amalan baik pun yang terlepas dari pandangan Yang Maha Bijaksana.


Ya,
Memang ada potensi untuk kita menerima cacian, perli, dan komen-komen negatif dalam usaha kita mengejar redha Allah,
Tapi.... who cares.. selagi landasan kita betul, ilmu kita sahih, kejarlah syurga dengan sungguh-sungguh walaupun letih,
Bersusah-susah di dunia, apalah sangat, tak ingat dah kesusahan di dunia bila kelak kita berjaya di syurga.

InsyaAllah,
Allah itu selalu ada,
Allah tak terlepas pandang dari kita walau satu detik,
Dan ketahuilah, bila kita perlukan Allah, Allah itu dekat..

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.”-Al-Baqarah ayat 186

#catatanPelukisJalanan
#temetemerity

Ayam Goreng

Catatan Musafir 3


Musim sejuk, November 2013.

Allah sahaja tahu betapa gembiranya aku ketika itu, keluar dari restoran fast food, dengan satu bungkus makanan dalam beg plastik di tanganku. Menahan teruja, hati berbunga-bunga.

Dah sebulan aku makan nasi berlaukkan telur dadar bersama renjisan garam penyedap rasa. Beras pula tidak boleh digunakan lebih daripada setengah pot kecil sehari, syarat yang ditetapkan olehku sendiri untuk memastikan bekalan lebih lama lagi. Sedap, terutama bila seharian tak menjamah makanan, suapan nasi kosong panas bersama telur mampu memujuk halus air mata.

Tikala duit memang kosong lansung, air gula suam menjadi pembekal tenaga, kalau masih lapar, aku tidur. Kini baru aku serba sedikit mengerti apa yang dimaksudkan dengan ‘ikat perut’ bila aku sendiri menekan bantal di perut ketika menyiapkan assignment untuk mengelakkan terasa lapar yang menganggu konsenterasi. Bersyukur kerana aku masih punyai ikhtiar.

Betul,
ramai lagi orang yang jauh lebih susah, yang terpaksa mengunyah daun dan dedahan untuk alas perut, tapi aku ceritakan kisah yang konteksnya diri aku. Dibesarkan dalam keadaan yang boleh dikatakan tidak pernah merasa kesusahan yang sebetul-betul kepayahan, sehinggalah aku mengambil keputusan untuk ke sini menyambung pelajaran. Aku tidak ceritakan pada ibubapaku, mereka dah berhempas pulas membantu. Aku tak mahu kerana aku nak mendapat segulung ijazah, habis harta untuk adik-adik aku tarah.




Bau ayam goreng dari restoran makanan segera yang aku beli tadi membuatkan aku telan air liur sendiri. 

Tak sabar untuk balik ke rumah, 
Hidangkan dengan nasi, 
Makan perlahan-lahan sambil menikmati. 

Bukan selalu aku ada peruntukan lebih untuk makanan, tak sangka dengan sebungkus hidangan pun Allah mampu selitkan setinggi-tinggi kegembiraan. Sungguh, bahagia itu bukanlah terbit dari harta berjuta, tapi dari penghargaan kepada sekecil-kecil kurniaan yang Allah beri pada kita.


..


..


Hujan mulai turun renyai-renyai, tidak selebat hujan di Malaysia,
Tapi hujan yang ringan di kota ini boleh menyeksakan kerana suhu yang rendah di kala musim sejuk.

Aku berlari-lari anak ke tempat hentian bas yang berdekatan untuk mencari teduhan.
Duduk sambil mendakap badan sendiri yang kesejukan. Mujurlah ada baju sejuk yang dihadiahkan oleh seorang senior, moga dia peroleh pahala setiap kali baju ini menyuamkan aku. Bungkusan makanan tadi aku peluk di dada, disamping dapat merasai haba dari ayam goreng yang baru dimasak segar, aku dapat elakkan ia dari terjatuh ke lantai. Terlalu risau.

Mataku teralih kepada satu sosok tubuh yang terbingkas bangun dari terbaring di lantai. Beberapa helai pakaian lusuh yang dijadikan selimut olehnya tadi bertaburan di lantai hentian bas. Jejaka itu berpaling dan mencapai-capai beberapa beg dan bungkusan di sekelilingnya lalu menarik barang-barang tersebut ke tempat teduhan, mukanya kerisauan, kelam kabut.

Aku perhatikan..

Beliau duduk semula di tempat tadi dan membalut badannya dengan beberapa pakaian lusuh miliknya yang terhampar di lantai.
Sambil berlunjur, dia mengambil satu bungkusan yang agak kuyup kebasahan. Tangannya mengigil kesejukan, perlahan-lahan membuka penutup bungkusan,
Aku cuba panjangkan leher, tertanya-tanya apakah yang ada di dalam bungkusan yang terbuka itu.

Dia melihat kaku ke dalam bungkusan selama lebih kurang 5 saat, lalu menghempaskan bungkusan itu ke tepi. Dia kelihatan hiba.

Kini bungkusan itu terbuka betul-betul dihadapanku,
Di dalamnya ada nasi kosong dan telur goreng yang sudah separuh dijamah. Terdapat air bertakung dalam hidangan itu. Barangkali air hujan telah bercampur dengan makanannya ketika dia terbaring sebentar tadi.

Aku tak sedar mataku mula berkaca-kaca, lembutnya teguran Allah pada hambanya. Sekurang-kurangnya aku ada tempat tinggal, tak seperti jejaka homeless ini.

Aku berpaling semula kepada jejaka tadi.
Mulutnya mencebik, bibirnya bergetar-getar. Barangkali menahan tangisan.
Dia terlihat aku yang sedang memandang tepat ke arahnya.
Perlahan-lahan dia menarik snow cap yang dipakainya ke bawah untuk menutup matanya. Mungkin dia segan. Namun aku sempat perasan tangisan di matanya.

Teringat akan satu kalam Pencipta,

“Kamu tidak akan sekali-kali dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”
–Surah Ali Imran ayat 92

Aku menarik nafas panjang,
Bangun dari tempat duduk dan menghampiri jejaka tadi,
Aku usik bahunya tanpa berkata-kata, cuba untuk mengawal emosi,
Dia mendongak,
Aku menghulurkan bungkusan ayam goreng di tanganku,
Bau ayam itu kuat, dia tahu yang aku sedang menghulurkan makanan padanya,
Dia menerima sambil teresak-esak,

“God bless you mate.. God bless you..”

Itu yang dia katakan padaku sambil mengawal tangisan,

Aku mengangguk-angguk sambil tersenyum padanya,
Tak mampu untuk mengeluarkan kata balas, aku berpaling dan teruskan perjalanan pulang ke rumah.
Mataku berair, mungkin kerana tempias hujan.. lelaki mana boleh menangis,

Tapi satu yang aku rasakan,
Ketenangan yang teramat, rasa puas..


Percayalah,

Kebahagiaan tidak semestinya datang dengan memiliki... (sambung sendiri)




#temetemerity


Muslimah dan Wangian

Catatan musafir 2


Musim sejuk, 2015.

Satu-satunya bilik solat di Faculty of Art, Design and Architecture di universiti tempat aku menuntut,
Hanya muat 4 sejadah buat satu-satu masa, kecik, tiada tempat berwuduk, tapi cukuplah untuk universiti yang tak ramai muslim dan di dalam negara non-muslim.

Tempat berwuduk? Takda.. pandai-pandailah berwuduk kat mana-mana yang boleh.
Ada juga perasaan segan kalau terpaksa berwuduk di toilet awam yang ramai orang. Pernah sekali aku berwuduk di sinki sambil diperhatikan oleh seorang rakan British yang non-muslim, dan dia bertanya,

“Tengah water-bending ke?”

Errr..




Habis mukaddimah,
Nak dijadikan cerita, pada suatu hari aku ke bilik solat untuk solat zuhur. Tergesa-gesa ke bilik solat dan terus meluru masuk, mengejar masa.

Sejujurnya, jarang nak terjumpa orang yang solat di fakulti ini,mungkin ramai yang uzur. Tapi hari tersebut lain, ada seorang muslimah sedang solat dalam bilik yang sempit itu. Bagi menghormatinya, dengan pantas aku mengambil keputusan untuk keluar, bersandar pada dinding di luar bilik solat sambil menunggu muslimah tadi selesai solat.

5 minit berlalu,

Muslimah tadi keluar, sambil tersenyum dia memberikan isyarat padaku untuk menggunakan bilik solat tersebut. Aku membalas dengan isyarat menyuruhnya jalan dahulu kerana terdapat satu lorong sempit sahaja dari pintu bilik solat tersebut yang menghubungkannya ke lorong laluan utama di kampus berkenaan. Kami terpaksa berselisih di lorong yang selebar tidak lebih 2 meter.




Bila jarak kami semakin hampir, aku berhenti dan berjalan mengiring, memberi muslimah tersebut lebih ruang untuk berjalan. Melihatkan keadaannya yang bertudung labuh elok dan berbaju longgar menepati syarak, aku bimbang dia kurang selesa jika jarak antara kami terlalu dekat.

Dia melintas di hadapanku.... dan aku terhidu sesuatu...



..........................

Pause cerita sekejap,

Kita cerita pasal muslimah dan wangian dalam islam, secara ringkas..
Mungkin ada yang sudah tahu, mungkin juga ada yang baru tahu.

Secara umumnya, HARUS bagi wanita untuk memakai wangian. Namun begitu, ada juga keadaan yang SUNAT, MAKHRUH, dan juga HARAM. Dalam kategori harus ini, wanita dibenarkan menggunakan wangian untuk menghilangkan bau busuk pada badan. Wangian itu boleh digunakan dengan kadar hanya dihidu oleh dirinya sahaja.


SUNAT bagi wanita memakai wangian di dalam rumahnya, terutama untuk melayan suami. Sunat juga memakai wangian sebelum melakukan ihram.

Aisyah RA berkata, "Kami (isteri-isteri Rasulullah s.a.w) pergi menunaikan haji bersama Rasulullah s.a.w. Ketika hendak berihram, kami memakai minyak wangi yang terbaik di kening kami. Ketika salah seorang di antara kami berpeluh, minyak wangi itu akan mengalir hingga ke muka dan Rasulullah saw melihat hal itu, tetapi tidak menegur kami (maksudnya Rasulullah s.a.w tak larang perbuatan ini)" (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)


Wanita MAKHRUH memakai wangian ketika berpuasa, pendapat ini juga merupakan fatwa Imam As-Syafie.


Kategori yang seterusnya ialah HARAM..
*betulkan kerusi, duduk tegak*

Ramai yang tak ambil cakna bahagian yang ini.
Muslimah, secara totalnya dilarang sama sekali memakai wangian ke masjid. Sunat memakai wangian ke masjid hanyalah bagi musimin sahaja.. now you know kan? Jangan buat dah ye? Please?..

Nabi s.a.w bersabda "Siapa saja perempuan yang memakai minyak wangi kemudian keluar ke masjid nescaya tidak diterima solatnya sehingga ia mandi dahulu (membersihkan dirinya dari wangi-wangian tersebut)." (Sahih riwayat Ibnu Majah dari jalan Abu Hurairah)


Wanita juga dilarang memakai wangian berlebihan yang akan menyebabkan orang di sekeliling terhidu baunya. Macam yang dikatakan tadi, cukuplah pakai wangian untuk menghilangkan bau badan.

"Seorang wanita yang memakai bau-bauan dan melintasi satu kaum (orang banyak) maka dia itu adalah perempuan zina" (riwayat Abu Daud, Tirmidzi)



Masalahnya bukanlah pada bau tersebut,
Tetapi wangian pada wanita bukan sahaja mewangikan, malah menpengaruhi syahwat lelaki.. serious..

“ini diskriminasi kepada kaum wanita! Lelaki nak bernafsu tu dia punya pasal lah! Kejamnya islam!” kata penjual perfume, random. Risau perfumenya tidak laku selepas ini. Jangan risau, boleh beli perfume, pakai banyak-banyak depan suami, jangan minum sudah.

Agama islam bukan mendiskriminasi kaum wanita, agama islam menjaga kaum wanita.
Bahkan tiada agama lain di dalam dunia yang memuliakan wanita lebih daripada islam.

Ada agama yang mewajibkan wanita membayar dhori ketika berkahwin, atau dengan erti kata lain, wanita yang perlu membayar mas kahwin kepada pihak lelaki (tidak disebut nama agama atas faktor-faktor keselamatan). Oleh kerana inilah sesetengah masyarakat membunuh anak-anak perempuan mereka hingga ke hari ini, kerana mereka rasakan anak perempuan itu suatu pembaziran. Dalam islam tidak, lelaki yang memberi penghormatan dengan membayar mas kahwin kepada pihak wanita.

Ada ajaran yang kita katakan paling hampir dengan ajaran Islam, terdapat juga diskriminasi wanita dalam ajaran tersebut. Mungkin ajaran ini mempunyai nama nabi-nabi dan rasul-rasul yang sama dengan ajaran islam (juga tidak disebut nama agama atas faktor-faktor keselamatan), namun, mereka menganggap wanita ini SYAITAN kerana bagi mereka, disebabkan wanitalah(Hawa) Nabi Adam AS dicampakkan ke dunia.
Hal ini bercanggah dengan ayat Al-Quran yang tidak meletakkan kesalahan itu pada sebelah pihak sahaja.

“Setelah itu maka Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya ...” -surah Al-Baqarah ayat 36


Inilah islam..
Islam adil pada laki-laki dan wanita,
Kedua-dua belah pihak berhak mendapat rahmat dan ganjaran Allah di syurga.

“Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.” -surah An-Nahl ayat 97



.....................
Sambung cerita..

Dia melintas di hadapanku.... dan aku terhidu sesuatu...
Bukan sengaja aku mencari bau, tapi fitrahku sebagai manusia, aku juga bernafas dan masih elok fungsi hidungku..

Aku terbeliak,
Aku menarik satu nafas panjang, dan cuba menahan daripada menghidu buat kali kedua. Aku mempercepatkan langkah ke arah bilik solat.

..

..

Adakah bau itu terlalu wangi dan aku terlalu ‘qawiy’ sampai menahan bau wangi tersebut dari mempengaruhi nafsu?

Tidak.. tidak sama sekali..

Malah bau itu ialah bau ketiak yang sangat..... (tak jumpa perkataan nak describe)
Dan sumber primier bau tersebut ialah makhluk muslimah tadi.

Rasa macam nak menggelupur sambil menghentak-hentak lantai selepas terhidu bau tersebut. Bilik solat yang jaraknya 10 meter terasa seperti 10 kilometer, tak sabar untuk bernafas seperti manusia normal semula bila di dalam bilik solat nanti. Aku berjalan pantas tetapi masih mengawal reaksi diri daripada mengaibkan muslimah tadi.

Sebaik sahaja tiba di hadapan bilik solat, dengan pantas aku pulas tombol pintu, masuk, tutup pintu.... dan menarik nafas lega yang teramat dalam..

...

...

....

TIDAKKKKKKKK!!
Perkataan inilah yang terlintas dalam mindaku apabila menyedari bau dalam bilik solat tersebut telah didominasi oleh bau muslimah tadi, malah lebih busuk.. Aku dah tak boleh tahan, sambil memasukkan kepala dalam baju, aku tertiarap sambil menggumpal-gumpalkan sejadah menutup mukaku..
Bukan over-reacting, tetapi memang dahsyat baunya.. serious bro..

Aku cuba bersangka baik, mungkin ada tikus ninja atau tikus lutsinar yang mengeluarkan bau-bau tersebut. Lalu aku kuatkan semangat untuk menunaikan solat, itulah mujahadah terbesarku pada hari itu.

Sumpah..
Aku menunaikan solat dalam keadaan sangat menyiksakan,
Berlinangan air mata jatuh ke pipi, bukan sebab khusyuk..
Tetapi sebab busyuk..


................
Konklusinya,
Jadilah muslimah solehah yang betul-betul faham apa yang dituntut dalam agama,
Beramal dengan apa yang disuruh, jangan pula menghasilkan sesuatu yang negatif dari pengamalan kita..
Jadilah muslimah yang smart, pentingkan kebersihan dalaman dan luaran.
Jika kelakuan seharian kita sebagai manusia boleh mengundang benci orang bukan islam terhadap agama, walaupun kita berniat kerana Allah, mesti ada yang tak kena dengan diri kita.

Aku kasihan pada muslimah tadi, mungkin dia tak perasan bau yang dikeluarkan olehnya.
Lebih merisaukan lagi, apakah tanggapan orang terhadap islam selepas melihat seorang wanita berhijab di kota London dan bau ketiaknya bertebaran di angkasa? Pastinya akan ada yang beranggapan islam ini tidak mengamalkan kesejahteraan hidup bermasyarakat.. malah menyumbang kepada pencemaran udara..

Muslimah solehah,
Kehadirannya tak menarik perhatian lelaki,
Ketegasannya tak menyakitkan hati,
Kelembutannya tak menggoda,
Bicara tak mengundang kebencian di dada.


Fahami dan amalkan, dan kita akan hidup dengan sejahtera..
#temetemerity


HOT POST!!