Saya menulis berkenaan perkara ini lapan tahun yang lepas
pada 2005. Namun mungkin ramai antara anda masih belum lagi membaca Malaysia Today pada tahun 2005 jadi terlepas
untuk membaca apa yang saya tulis.
Sesiapa yang masih mengingati apa yang saya tulis, ceritanya
agak panjang namun secara asasnya berkisar tentang hubungan antara pemimpin
Islam dalam Kerajaan Malaysia dan juga pemimpin Islam di Filipina serta peranan
yang dimainkan Malaysia berhubung “hal ehwal dalaman” Filipina.
Kebanyakan orang Malaysia tidak dapat memahami perbezaan
antara Sulu, MNLF, MILF dan Abu Sayyaf—seperti mereka yang tidak mengerti
perbezaan antara PLO dan Hamas. Walaubagaimanapun, izinkan saya merumuskan
bahawa mereka ini adalah serpihan ataupun seteru kumpulan orang Islam di
Filipina yang menuntut kemerdekaan, sama seperti orang Palestin di Timur
Tengah.
Malaysia sebagai sebuah negara Islam, bersimpati dengan
orang Islam di Filipina—sama seperti orang Islam di Selatan Thailand—dan kita
telah banyak membantu dalam apa cara bagi menyelesaikan isu di Filipina dan
Selatan Thailand.
Sepanjang jalan, bagaimanapun, sesuatu yang buruk telah
berlaku. Seperti yang telah saya tulis pada tahun 2005, ada janji yang tidak
dipenuhi. Dan ini ada kaitan dengan 'isu IC' Sabah (anda tidak perlu RCI untuk
saya beritahu anda). Dan yang menyebabkan krisis tebusan Sipadan dan
penglibatan Libya dalam menyelesaikan krisis selepas berbulan menemui jalan
buntu.
Dilaporkan sejumlah RM50 juta bertukar tangan untuk
mendapatkan pembebasan tebusan, kos yang ditanggung oleh Libya. Sudah tentu,
tiada siapa yang akan mengaku hakikat ini walaupun mereka sendiri tidak akan
dapat untuk menjelaskan bagaimana dan mengapa tebusan tersebut akhirnya
dibebaskan.
Tetapi semua itu berlaku beberapa dekad yang lalu. Kita
bercakap tentang permulaan krisis pada tahun 1970, apabila ramai daripada anda
masih belum dilahirkan lagi, dan krisis tebusan 30 tahun kemudian pada tahun
2000. Sejak itu segala-galanya telah menjadi sangat tenang – sehinggalah tahun lepas apabila keseluruhan perkara ini
telah dibangkitkan dalam persediaan untuk pilihanraya umum akan datang.
Ini apa yang berlaku baru-baru
ini.
Pada 16 Julai 2012, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar
Ibrahim telah terbang ke Jakarta untuk bertemu dengan Nur Misuari yang sangat
rapat dengan Anwar sejak Anwar berada dalam kerajaan, dan komander tentera
MNLF. Mesyuarat tersebut telah diadakan di Hotel Crowne Plaza Jakarta dan telah
diatur oleh Ahli Parlimen Indonesia, seorang lagi kawan rapat Anwar, dibawah
arahan Anwar sendiri.
Mesyuarat kedua telah diadakan di Manila pada 4 Ogos 2012
untuk memuktamadkan dan menandatangani perjanjian. Anwar terbang ke Manila
dengan penerbangan MH 704, dan jika anda semak butiran penerbangan, anda dapat
mengesahkan perkara ini, dan beliau juga telah ke Jakarta hanya dua minggu
sebelum itu.
Dalam mesyuarat itu, Anwar memberitahu Misuari bahawa dia
memerlukan bantuan untuk memenangi pilihanraya umum akan datang. Pakatan Rakyat
yakin memenangi sekurang-kurangnya 82-85 daripada 165 kerusi di Semenanjung
Malaysia. Beliau tidak yakin dengan 57 kerusi di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Pakatan Rakyat perlu menang sekurang-kurangnya 30 daripada
57 kerusi di Malaysia Timur untuk membentuk kerajaan persekutuan dengan
majoriti yang cukup tipis tetapi selesa. (Anwar boleh meningkatkan majoriti ini
kemudian dengan membawa ahli-ahli parlimen Barisan Nasional untuk beralih arah
apabila mereka membentuk kerajaan). Untuk ini berlaku, Anwar memerlukan
sokongan umat Islam di Malaysia Timur, khususnya di Sabah, ramai daripada
mereka adalah orang Islam Filipina dengan kewarganegaraan Malaysia dan hak
mengundi.
Anwar berjanji kepada Misuari bahawa sekiranya Pakatan
Rakyat mengambil alih Kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak akan diberi
autonomi, seperti yang telah mereka perjuangkan selama lebih 42 tahun sejak
tahun 1970. Kedua-dua negeri di Malaysia Timur juga akan diberikan royalti
minyak 20%, peningkatan sebanyak 15% daripada kadar semasa 5%. Ini akan
memastikan bahawa kedua-dua negeri ini akan menjadi sangat kaya - dianggarkan
RM4 bilion setahun bagi setiap negeri.
Tambahan pula, semua rakyat Filipina yang bukan warganegara
Malaysia di Malaysia Timur akan diberi kewarganegaraan, atau sekurang-kurangya
status pemastautin tetap yang sangat minimum, supaya mereka boleh mencari
pekerjaan di Sabah. Pekerjaan untuk mereka juga akan dijamin.
Nur Misuari bersetuju dengan terma-terma tersebut dan
kemudiannya melantik Haji Ibrahim Omar sebagai penyelaras MNLF atau 'duta tidak
rasmi' ke Sabah untuk membantu Anwar meraih sokongan umat Islam Filipina di
negeri itu.
Dan itulah sebabnya kerajaan Malaysia teragak-agak untuk
mengambil tindakan drastik apabila krisis Lahad Datu mula menjelma. Pihak
Kerajaan tahu ada sesuatu di sebalik insiden tersebut dan pada masa itu masih
belum jelas kaitannya secara total.
Kerajaan tidak boleh membiarkan perkara tersebut berlalu
begitu sahaja. Mengambil tindakan ketenteraan hanya akan memberikan kelebihan
kepada pihak pengkomplot dan meyakinkan pihak orang Islam Filipina di Sabah
agar bangkit menyokong Anwar bagi mendapatkan autonomi dari pihak Kerajaan
Persekutuan.
Ya, kejadian di Lahad Datu adalah satu 'wayang', seperti
yang dicanangkan oleh pembangkang. Tidak ramai yang akan berani untuk
menyangkal perkara ini. Ramai rakyat Malaysia juga yakin bahawa terdapat
'dalang' di sebalik kejadian ini. Apa yang mereka tidak tahu ialah: Siapa
dalang tersebut? Malaysia Today telah mendedahkan cerita ini dan saya mencabar
kerajaan Malaysia untuk menafikan kesahihan apa yang saya baru dedahkan.
Satu lagi perkara yang perlu dipertimbangkan ialah samada
'perang mulut' antara MNLF dan MILF juga satu “wayang”. Dengan mencanangkan
konflik ini, proses damai akan hancur berkecai dan ini memberi mereka alasan
untuk meneruskan konflik bersenjata. Walaubagaimanapun, hubungan antara MNLF
dan serpihan kumpulan lain tidaklah bergejolak seperti apa yang ia pamerkan di
sebalik tabir, jika gambar di atas dijadikan kayu ukurannya.
Kesimpulannya, memang wujud banyak plot dan sub-plot dalam
perkara ini, yang mana akhirnya kita sendiri tidak mengetahui siapa yang
mempermainkan siapa.
- Raja Petra Kamarudin