Showing posts with label Assubhubada_artikel. Show all posts
Showing posts with label Assubhubada_artikel. Show all posts

Apr 9, 2008

Malu,segan,jahalu

Alang-alang korang dah termasuk dan tersesat atau masuk dengan sengaja ke dalam blog ni, meh sini kita bace2 sikit dan pikir2 balik pasal pos yang saya masukkan kat bawah ni. Kalau lebih baik lagi, dah bace tengok balik diri. Ade tak semua perkara yang disebutkan dalam diri kita.

Sedar atau tidak, sebenarnya dalam masyarakat Muslim, satu penyakit telah mula menular dan merebak dengan dahsyat sekali. Wabak yang telah menyebabkan umat Islam tidak lagi dihormati dan disegani. Wabak yang menyebabkan pemuda dan pemudi lemas dalam lautan cinta buatan sendiri. Hilang perasaan MALU. Itulah wabak yang saya maksudkan. Apakah masih ada perasaan malu dalam diri kita di saat umat ini sudah mula tiba di penghujungnya sebelum menghadapi hari kemusnahan yang dahsyat?. Mari berhenti dan bermuhasabah sejenak. Apakah rangkuman yang dapat dibuat untuk menepati konsep malu dalam Islam? Malu untuk melakukan kejahatan. Malu untuk bergaul bebas antara lelaki dan perempuan. Malu untuk melihat perkara maksiat. Malu untuk bercakap perkara sia-sia. Malu untuk mendapatkan cinta manusia selagimana cinta Allah belum lagi dimiliki. Pendek kata, malu apabila melakukan perkara tidak baik. Masih adakah perasaan ini dalam diri kalian? Mari kita lihat manusia-manusia di sekeliling kita. Adakah mereka juga mempunyai perasaan malu ini? Mungkin ya dan mungkin tidak. Dan tidak salah jika saya katakan jika jawapan tidak itu melebihi jawapan ya.

Dalam keadaan umat yang semakin tenat dan tenggelam dalam arus pembangunan ini, penerapan akhlak dan nilai-nilai positif dalam diri telah mula diabaikan. Akhirnya, nilai-nilai ini telah mula hilang. Sehingga ada segelintir manusia yang sanggup mengatakan bahawa orang-orang yang masih mengamalkan nilai-nilai murni dan sifait-sifat baik ini sebagai jumud dan ketinggalan zaman. Siapa yang jumud sebenarnya? Siapa yang ketinggalan sebenarnya? Siapa pula yang kuno juga? Adakah orang yang berakhlak baik tidak mampu untuk hidup dalam era pembangunan yang sedang pesat sekarang ini? Sudah tentu tidak. Tetapi adakah golongan yang menolak nilai-nilai murni dan baik ini mampu untuk berjalan seiring dengan pembangunan yang mereka agung-agungkan itu? Sudah tentu tidak! Lihat sahaja di Barat. Semakin maju mereka semakin jauh mereka ketinggalan. Kadar jenayah yang semakin meningkat. Pakaiannya juga mendedahkan aurat. Tidak kurang juga yang sanggup berbogel di tengah-tengah bandaraya dan pusat-pusat peranginan mendedahkan badan mereka yang kononnya cantik dan seksi. Bertamadun sangatkah perangai ini? Sudah cukup modenkah? Tidak jumudkah? Bukan kah orang-orang yang berbogel ini golongan yang hidup pada zaman-zaman dahulu? Golongan yang duduk di dalam hutan dan gua.Golongan nomad dan kuno. Kononnya ini adalah hak individu. Kebebasan bersuara. Sehingga sanggup dan boleh melakukan apa-apa sahaja tanpa ada halangan. Ingat! Bebas kamu di dunia tidak bermakna kamu terlepas di akhirat nanti. Dibawah ini saya selitkan beberapa perkongsian yang saya cari dari sumber-sumber internet. Tentang betapa besarnya nilai malu. Malu yang dituntut oleh Islam dan kisah-kisah berkaitan.(bacalah sehingga habis sekiranya anda masih berakhlak dengan akhlak Islam).

Malu


Malu ertinya dari segi bahasa adalah menahan diri dari melakukan sesuatu yang mengakibatkan sesuatu yang negatif. Maka sifat malu itu sendiri adalah sifat yang mulia dan terpuji jika difahami secara benar maksud dan tatacaranya. Dari malu akan seseorang dari keadaan hina dina dan meletakkan seseorang di dalam keadaan kesempurnaan kerana selalu melakukan hal-hal yang positif sahaja. Perasaan ini dapat mengatasi seseorang melakukan hal-hal kemaksiatan, kerana seseorang itu akan berperasaan; “ Bahawasanya saya adalah lebih tinggi daripada perbuatan terkutuk itu dan saya lebih mulia daripada perbuatan tercela itu.”.

Asal usul kalimat hayaatun (kehidupan) berasal dari kata hayaa’un (malu). Kamus lisan arab merujuk (istahyu rajulun) – kuatnya denyut kehidupan dalam jiwa seorang lelaki. Maka difahami dari frasa ini ialah dia malu untuk bersangkut-paut dalam hal-hal kehinaan kerana hati nuraninya tidak mahu melakukan hal-hal yang berakibat negative.
Maka difahami perasaan malu (al-haya’) berkait rapat dengan kehidupan itu sendiri dan membawa makna dan rahsia kehidupan itu. Maka seseorang yang tidak mempunyai sifat malu maka dia bukanlah hidup sebenarnya, tapi sudah mati atau hampir mati keadaannya.

Perbezaan malu (al-haya’) dan tersipu (al-jahalu)

Malu yang kita fahami bukanlah malu tersipu-sipu tidak pada tempatnya kerana malu yang kita bincangkan ini adalah sesuatu perasaan yang lebih besar maknanya. Sifat malu tersipu-sipu dan merendah diri adalah al-jahalu. Contoh malu tersipu-sipu hingga gagap dan takut menjawab soalan guru di kelas adalah contoh al-jahalu. Sikap ini disebabkan kurangnya keyakinan diri dan lemah keperibadiannya. Akan tetapi al-haya (malu) adalah disebabkan sifat percaya diri dan kuat keperibadiannya lantaran kuatnya dia dalam menolak segala sesuatu yang negatif. Sungguh terdapat kekeliruan dalam dua istilah ini yang sering dicampur-baurkan.

Sekilas Dalil-dalil

Rasulullah saw bersabda; “ Cabang iman itu terdapat 63 bahagian. Sedang malu itu sebahagian daripada iman.” (Bukhari:9 & Muslim:151)

Hadith yang lain menyebut; “Cabang iman itu 63 bahagian. Yang tertinggi adalah mengucapkan Lailaha illa Allah. Bahagian terendah adalah membuang rintangan dijalanan. Adapun malu itu sebahagian daripada iman.”(Abu Dawud:4676)

Dari Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma bahwasanya Rasulullah s.a.w. berjalan
melalui seorang lelaki dari golongan kaum Anshar dan ia sedang menasihati saudaranya
tentang hal sifat malu - yakni malu mengerjakan kejahatan. Kemudian Rasulullah s.a.w.
bersabda: "Biarkanlah ia, sebab sesungguhnya sifat malu itu termasuk dari keimanan."
(Muttafaq 'alaih)

Lihatlah penting sifat malu hingga ia sebenarnya berkait rapat dengan keimanan. Maka lihatlah dimana sifat malu kita dan muhasabahlah. Kebanyakan kita tidak tahu malu sebenarnya.

Permulaan akhlak ialah malu

Rasulullah saw bersabda;
“Malu itu mengandungi kebaikan” (Muslim:156, Abu Dawud:4796)
“Malu itu tidak mendatangkan sesuatu kecuali kebaikan.” (Bukhari:5766, Muslim:155)
“Malu itu sebahagian daripada iman dan iman tempatnya disyurga sedangkan buruk akhlak itu sebahagian dari kekerasan hati dan tempatnya dineraka. (Tirmizi:2009)
“Malu dan iman keduanya tidak boleh dipisahkan. Jika satunya terangkat maka yang lain jua turut terangkat.”(Musnad al-Hakim, 1:22)


Jika dicabut rasa malu itu maka tunggulah saat kehancuran

Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya jika Allah mahu menghancurkan seorang hambaNya maka ia akan menghilangkan rasa malunya, maka jika telah dicabut rasa malunya kamu tidak akan menjumpainya lagi kecuali ia membenci dan dibenci dan dicabutlah rasa amanah darinya. Maka jika dicabut rasa amanah darinya engkau tidak akan menjumpainya kecuali ia khianat dan mengkhianati dan jika engkau tidak menjumpainya kecuali ia khianat dan mengkhianati dicabutlah rasa kasih saying daripadanya. Dan jika kasih saying dicabut darinya maka engkau tidak menjumpainya melainkan ia dikutuk dan dilaknat. Maka dicabutlah keislaman darinya.” (Ibnu Majah:4054)

Subhanallah, awal kehancuran adalah dicabutkan rasa malu. Astaghfirullah, di jalanan kita mendapati terlalu ramai manusia yang sudah hilang sifat malu. Mereka tidak malu dan secara terbuka melakukan kezaliman dan kemaksiatan sedangkan kita yang melihat sendiri yang berasa malu atas perbuatan mereka. Sedang mereka bangga dan bersikap acuh tidak acuh terhadap perkara yang mereka lakukan.
Bacalah sekali lagi hadith diatas, dan tanyalah diri kita. Adakah kita mempunyai sifat malu……………………..?

Suatu makna yang indah

Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya setiap agama ada akhlak tersendiri dan akhlak Islam adalah malu” (Ibnu Majah:4181)
Hadith tersebut tidak bererti satu-satunya akhlak dalam Islam adalah malu akan tetapi akhlak yang paling sempurna dalam Islam adalah sifat malu. Betapa agungnya malu dalam akhlak Islam!

Hadith yang mempunyai 2 makna

Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya apa yang diketahui oleh manusia dari sabda kenabian terdahulu ialah; Jika engkau tidak malu maka lakukanlah sesuka hati kamu.” (Bukhari:348, Ibnu Majah:4183)
Bahawa akhlak malu itu dimiliki para Nabi. Oleh itu kita dapat fahami,
1) Ancaman, jika tidak malu maka buatlah sesuka hati dan nantikanlah balasan Allah swt.
2) Kerja keras tanpa keluh kesah. Jika pekerjaan yang anda lakukan itu tidak tercela maka lakukanlah dengan sungguh-sungguh dan tulus ikhlas.

Rasulullah saw malu umpama gadis pingitan

Dari Abu Said al-Khudri r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. itu lebih sangat sifat
malunya daripada seorang perawan dalam tempat persembunyiannya - yakni perawan yang
baru kawin dan berada dalam biliknya dengan suami yang belum pernah dikenalnya. la amat
sangat malu kepada suaminya itu. Jikalau beliau s.a.w. melihat sesuatu yang tidak disenangi,
maka kita dapat melihat itu tampak di wajahnya." (Muttafaq 'alaih)


Rasa malu Nabi melebihi gadis pingitan. Jika baginda melihat sesuatu yang tidak baginda sukai, maka akan merahlah muka baginda yang mulia itu dan menjauhkan diri dari melihatnya. Apa yang kita lakukan jika kita lihat sesuatu yang tidak elok? Apakah wajah kita akan memerah dan menundukkan pandangan kita? Mulai hari ini kita cerminkanlah diri kita!

Malu Seorang Gadis

Fatimah binti Utbah bin Rabi’ah berjumpa Rasulullah saw kerana ingin masuk Islam. Saat itu Aisyah ra ada bersama baginda. Nabi saw bersabda;
“Ya Fatimah, berbaiatlah kepadaku. Janganlah engkau menyekutukan Allah sw sedikitpun. Jangan mencuri, apalagi berbuat zina.” (Ahmad: 1/21)

Ketika Fatimah mendengar kata “zina” ia menutupi wajahnya dengan tangannya disebabkan malu. Rasulullah saw berasa hairan dengan sikap Fatimah tersebut lalu Aisyah ra berkata; “Ya Fatimah, berbaiatlah engkau kerana seluruh wanita telah berbaiat tentang hal itu.” Maka Fatimah pun berbaiat.
Mendengar perkataan itu sahaja membuatkannya malu, apatah hal-hal yang lebih dari itu. Dewasa ini pemuda pemudi kita sudah hilang sifat malunya. Gadis juga berperawakan lelaki, bercakap kasar, berkata-kata lucah, menghisap rokok dan sebagainya. Jika gadis-gadis sudah begini bayangkanlah pula pemudanya. Sukar dibayangkan betapa teruknya. Dimanakah wanita seperti Fatimah ini?

Sampai Malaikat pun Malu Kepadanya
Nabi saw bersabda: Apakah saya tidak malu terhadap Utsman? Sedangkan malaikat pun malu padanya! (Muslim:6159, Ahmad:VI/62)

Adakah diantara kita yang mempunyai seperempat atau sepersepuluh dari rasa malu Utsman? Diriwayatkan Utsman menikahi seorang gadis dan apabila dia meninggal dunia, isterinya itu ditanya mengapa dia tidak mahu menikah lagi sedangkan dia masih muda. Dia menjawab,” Sungguh aku tidak akan menjumpai orang yang selembut Utsman sebagai suamiku.”

Wanita itu berjalan malu-malu

Firman Allah swt dalam al-Quran ketika menggambarkan wanita anak Nabi Syuaib berjumpa Musa as;
Kemudian datanglah kepada Musa salah seorang dari kedua wanita itu berjalan kemalu-maluan, ia berkata: “Sesungguhnya bapakku memanggil kamu agar ia memberikan balasan terhadap (kebaikan)mu memberi minum (ternak) kami.” (al-Qashash:25)

Renungilah ayat ini dan bacalah sekelian kalinya hingga kita berfikir mengapa begitu lengkap dan sempurna pernyataan Allah dalam menguraikan bagaimana anak Nabi Allah Syuaib tatacaranya berjalan? Seolah-olah kita merasakan bahawa perkataanya jua gaya jalannya menunjukkan rasa malunya. Seluruh badannya menunjuk rasa malu yang agung, menjaga kehormatan diri dan maruah wanita dan jua manusia seluruhnya. Sesungguhnya rasa malu bagi wanita itu adalah perisai tak tertembusi oleh manusia lain, andai saja dia pandai menjaga perisai malunya. Tuntutan rasa malu kepada wanita adalah fitrah kerana wanita itu sendiri lembut dan sopan melebihi lelaki.

Adalah dikesalkan pada zaman ini kita sudah ketandusan generasi sebegini. Namun disebalik redup ketandusan ini, Allah tidak menghilangkan golongan yang masih mempunyai harga diri. Masih terdapat yang memelihara aurat mereka dengan sempurna, menjaga pergaulan bebas, bersifat malu selayaknya wanita. Umpama mutiara sempurna tersusun rapi didalam bekas yang terjaga. Biarpun berdepan arus globalisasi dan modernisasi yang kuat mengfitnah, insya Allah yang memberi ketenangan pada hambaNya yang soleh dan solehah. Arus feminisme dan emansipasi wanita jua turut memberikan tekanan, yang melaungkan kebebasan yang superficial kerana hakikatnya mereka mengeluarkan diri dari keistimewaan dan darjat tinggi yang telah diberikan Islam. Hasilnya wanita yang bersikap tidak senonoh, menghina diri untuk menarik perhatian orang lain khususnya lelaki, dan hilang sifat kewanitaan. Musuh Islam sangat gembira dengan hakikat ini kerana tidak cukup dengan wanita Eropah untuk dirosakkan, wanita di Timur khususnya wanita Islam menjadi matlamatnya.

Renungi hadis ini

Dalam hal ini ada sebuah Hadis yang diriwayatkan Imam Bukhari yang diterima dan'
Abu Mas'ud yaitu Uqbah al-Anshari, mengatakan bahwa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Sesungguhnya di antara hal-hal yang ditemui (didapatkan) dari ucapan kenubuwatan yang
pertama ialah: Apabila kamu tidak malu, maka lakukanlah apa saja yang kamu kehendaki."


Adapun Hadis di atas itu mengandung pengertian sebagai ancaman atau untuk
menakut-nakuti pada seseorang yang hendak berbuat semau-maunya. Jadi maksudnya ialah:
"Kalau kamu tidak malu kepada Allah dalam melakukan kemunkaran dan kemaksiatan itu,
terserahlah, kamu boleh melakukan apa-apa yang kamu inginkan dan sesuka hatimulah.
Tetapi ingatlah bahwa setiap sesuatu itu ada balasannya, baik di dunia ataupun di akhirat."
Ada pula sebagian alim-ulama yang berpendapat bahwa maksud Hadis di atas itu
adalah untuk menunjukkan kebolehan sesuatu kelakuan. Jelasnya: "Kalau kamu hendak
melakukan sesuatu, sekiranya kamu tidak malu kepada Allah dan para manusia, sebab
memang bukan larangan agama, baik sajalah kamu lakukan. Tetapi sekalipun agama
membolehkan, kalau kamu malu, tidak kamu lakukan pun baik juga jikalau hal itu termasuk
sesuatuyawaz (yakni bukan hal yang wajib atau sunnah). Jadi baik dilakukan atau
ditinggalkan sama saja bolehnya."

Tegakkanlah rasa al-haya dalam diri kita. Itu adalah anugerah Allah yang tidak ternilai dan tidak terbanding dengan apa yang ada pada dunia dan seisinya.

Allahua'lam.

Sumber: bahantarbiyyah.info, Riyadus Solihin, Akhlak Mukmin (Amr Khaled)

Mar 12, 2008

Hati Oh Hati..

Pernah tak satu ketika ketika anda ditegur oleh seorang sahabat kerana anda melakukan kesalahan, anda melenting dan marah kepadanya? Lalu kemarahan itu anda zahirkan pada perbuatan yang tidak sepatutnya anda lakukan. Seperti memburukkan beliau tanpa beliau sedari. Mereka-reka fitnah supaya dia dibenci oleh orang lain?

Pernah jugakah jika anda tidak senang dan benci melihat seseorang yang lebih muda dari anda mendapat jawatan ketua yang sepatutnya di dalam syarikat atau apa-apa pertubuhan yang sepatutnya anda miliki jawatan itu atas faktor umur anda yang lebih tua darinya dan pengalaman yang anda miliki? Lalu anda mengumpulkan rakan-rakan sekerja anda untuk menggulingkan ketua tersebut? Ataupun membuat perkara-perkara yang menunjukkan bahawa anda tidak suka kepadanya, tanpa melalui saluran sepatutnya?

Pernah tak suatu hari apabila anda berjumpa dengan kawan lama anda yang mempunyai kedudukan kewangan yang teguh dan anda mula irihati terhadap kekayaan yang dimilikinya? Lalu anda berusaha untuk mengikis kekayaan tersebut dengan cara menzalimi dirinya seperti sihir, santau dan sebagainya?

Pernah tak suatu ketika apabila anda melihat seseorang yang mempunyai kelebihan dalam bidang tertentu dan hati anda mula membentak dan muncul bibit-bibit kebencian di hati anda?

Mengapakah saya membawakan misalan-misalan di atas kepada anda? Kalau anda perhatikan betul-betul, semua masalah yang saya nyatakan di atas bermula dari permulaan yang sama. Apakah dia? Hati. Mengapakah hati ini? Hati ini sidah mula kotor. Kerana apa? Kerana telah dicemari dosa dan noda. Kerana ia telah membenarkan syaitan untuk bertakhta di situ. Dan tercalitlah tompokan-tompokan hitam di situ. Lalu tompokan yang semakin banyak ini menyebabkan rantaian sifat-sifat mazmumah menguasai diri anda. Betul kah semua teori yang saya nyatakan ini? Mungkin beberapa penjelasan di bawah dapat membuka dan merobek ‘kekejaman’ yang telah sekian lama bertakhta di hati kita.

Dimanakah Allah di dalam hati?
Sebenarnya segala sifat-sifat buruk itu datangnya dari kehendak hati. Hati yang kotor. Hati yang tidak menjadikan Allah sebagai matlamat. Misalan mudah, jika seseorang itu sakit dari segi fizikalnya seperti demam, batuk dan seumpamanya, apakah yang akan dilakukan? Sudah tentu dia akan mendapatkan ubat untuk mengubati penyakit itu. Ubat-ubat itu tidak lain tidak bukan untuk menghapuskan ketidakselesaan tubuh yang dialaminya. Itu ubat bagi penyakit zahir. Bagaimana pula hati? Maksud saya hati nurani. Apakah anda mengubatinya apabila ia sakit? Atau anda membiarkannya merebak sehingga mengganggu kehidupan anda. Akhlak dan ibadah. Selama ini pernah tak anda menghadapi penyakit hati ini? Jika tidak Alhamdulillah. Jika ya, sudahkah anda mencari ubat untuk mengubatinya? Ubat untuk menyembuh hati kita ini supaya ia tidak mati. Jika mati hati kita ini, maka susahlah petunjuk dan cahaya Ilahi nak masuk dan meneranginya.

Mengapa dinamakan hati?
Dinamakan hati sebab ia berasal dari perkataan Arab al-Qalb’ yang bermaksud berubah-ubah/bolak-balik. Betul tak hati kita ni beruba-ubah? Cuba cek balik. Kalau semalam bukan main rajin pergi kuliah awal, hari ni pergi awal tak ke kuliah? Kalau semalam studi sampai berbelas jam, hari ni pula berapa minit anda studi? Kalau semalam rasa macam tak nak bercouple, hari ni ade tak rasa macam nak couple? Mesti terjadikan salah satu perumpamaan saya di atas. Tambah-tambah yang terakhir itu. Betul tak? Itulah sebabnya hati dinamakan hati. Sebab ia berubah. Tak tetap. Sekejap A. Sekejap B. Tetibe terasa pula nak C.
Teringat saya kepada satu hadis Nabi (rujuk Hadis ke-6 Imam Nawawi):

"Dari Abu Abdullah An-Nu'man bin Basyir r.a. katanya : saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda : ' Sesungguhnya yang halal itu terang ( jelas ) dan yang haram itu terang, dan di antara keduanya pula terdapat pekara-pekara yang syubahat ( tidak terang halal atau haramnya ) yang tiada diketahui oleh orang ramai. Orang yang memelihara dirinya dari pekara-pekara yang syubahat itu adalah seperti orang yang melindungi agama dan kehormatan dirinya. Orang yang tergelincir ke dalam pekara syubahat itu akan tergelincir masuk ke dalam pekara haram. Laksana seorang pengembala di pinggir sebuah tempat larangan, yang akhirnya lalai dan masuk ia ke dalam tempat larangan itu. Adapun bagi setiap raja sebuah tempat larangan, dan tempat larangan Allah itu adalah pekara-pekara yang diharamkanNya. dan ketahuilah pada setiap jasad itu seketul daging. Andainya ia baik, baiklah seluruh jasad itu dan sekiranya ia rosak maka rosaklah seluruh jasad itu. Itulah hati. '

Jelas tak apa fungsinya hati kepada manusia? Hatilah yang mengawal segala-galanya di dalam tubuh ini. Dari perkara luar kawal hingga ke perkara dalam kawalan. Dari sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besarnya. Alangkah indahnya hidup orang yang mempunyai hati nurani yang bersih. Sudah tentu mudah sahaja dia beribadat kepada Allah dengan tenang. Mudah sahaja dia khusyuk dalam solatnya. Mudah sahaja mengalirkan makna Al-Quran yang ditadabburnya dalam perlakuan harian. Cuba kita tengok kalau-kalau hati ini jadi kotor pula, apakah impaknya? Sudah tentu perkara bertentangan akan berlaku. Solatnya susah. Baca Quran pun nak tak nak. Nak belajar pun susah. Sebab apa? Hati itu sudah mati kerana tidak diubati.

Camne nak bersihkan hati?
Hati saya dah matila doctor. Camne nak ubati ek? Kalau hati sakit Hepatitis ke boleh la jumpa doctor. Tapi kan saya nyatakan tadi. Saya sedang merujuk kepada hati nurani. Hati yang tidak mampu diubati melainkan oleh doctor-doktor Muslim dan beriman. Siapakah mereka? Andalah doktornya. Rawatilah hati sendiri. Beberapa perkara boleh dilakukan untuk mengubati hati-hati ini.

Pertama: Banyakkan berdoa supaya Allah lembutkan hati kita untuk menerima kebaikan.
Wahai tuhanku! Tetapkan hatiku diatas jalan agamamu.
Ya Allah! Berilah petunjuk kepada hati ini.
Ya Allah! Aku memohon kepada Mu hati yang khusyuk.
Ya Allah! Jauhilah aku dari hati yang tidak khusyuk.

Duduk di dalam majlis ilmu. Susah ke nak buat perkara ni? Senang je kan? Ada majlis-majlis ilmu tu join la. Kat kuliah. Kat universiti. Kat sekolah. Kat masjid. Apa maksudnya? Sebarang majlis yang membuatkan hati anda tidak lalai dan tidak leka dari mengingati Allah. Menuntut ilmu juga dikira majlis ilmu. Belajar agama juga dikira menuntut ilmu. Kalau dah tak sempat nak buat macam mana? Dengar-dengarlah ceramah. Kalau rajin sikit lagi, bacalah buku. Sentiasa letakkan hati anda dalam keadaan bekerja supaya ia tak lalai.

Selain itu, banyakkan juga membaca Al-Quran dan berzikir. Kalau mengumpat mengata orang senang, takkan nak ingat Allah sekejap tak bolehkan? Sentiasa melazimi mengingati Allah dalam apa jua perkara. Tajdid kembali niat supaya ia tidak terpesong. Mudah-mudahan hati kita dilembutkan..

Kemudian, bersegera untuk menunaikan ibadah dalam waktunya. Jangan bertangguh-tangguh. Bila bertangguh senang syaitan nak cucuk jarum. Mula-mula cucuk sikit. Lama-lama terbenam dalam hati. Dah mula keras hati tu..

Sentiasa berhubung dengan akhirat dan ingat mati. Ni lagi senang. Kalau ingat mati, sudah tentu semua orang akan buat baik. Bila buat baik, senanglah lembut hati nanti. Maka sentiasalah mengingati pemutus kelazatan iaitu kematian.

Realiti hari ini

Kalau ita tengok manusia sekeliling kita, adakah kita boleh mempercayai mereka seratus peratus? Adakah hati mereka sudah terjaga? Adakah hati kita juga terjaga? Adakah kita menjaga hati-hati mereka dan mereka menjaga hati kita? Saya tak rasa perkara itu berlaku di zaman ini. Kalau adapun mungkin segelintir manusia yang menjaganya. Kerna apa? Kerana hati kita telah dicemari. Dicemari hasad dengki. Iri hati. Cemburu. Tiada kesudahannya. Lalu hati kita dihijab oleh Allah untuk berkasih sayang. Berkenalan dan bermesra antara satu sama lain. Tiada siapa yang mampu memecah tembok itu melainkan kita sendiri.. hanya orang-orang yang hatinya selamat dan sejahtera akan masuk ke dalam syurga.. Renungi ayat ini:

“ Hari yang tiada manfaat baginya harta dan anak-pinak, kecuali mereka yang datang kepada Allah dengan hati yang sejahtera..” [Asy-Syuara:88-89]



Allahua'lam.


Saya olahterjemahkan dari risalah yg dapat masa dalam kuliah.

Nota: Tak perlu melihat kebelakang utk melihat gelagat kami. Tetap COOL. Hari itu akan datang juga kepada kita semua. Cuma lambat atau cepat yang membezakannya. Jangan tergesa-gesa sehingga menyerahkan hati itu bukan kepada pemiliknya. Biarlah penjaga itu dapat membawa hati ini kepada penciptanya. Dan biarlah hati ini diserahkan dengan cara yang terhormat kepada penjaganya..Sabarlah menunggu..janji Allah kan pasti..menjemput hati-hati kita ini.

Feb 20, 2008

Ketika Azan Bergema..

Membina Masjid Nabi

Selepas memasuki Madinah semenjak berhijrah dari Mekah, Rasulullah telah mendirikan masjid sebagai tempat untuk mengembangkan syiar Islam. Pelbagai perkara dan faedah telah didapati hasil dari pembinaan masjid ini. Selain untuk mendirikan solat fardhu 5 waktu yang menghubungkan antara Pencipta dan hambaNya, masjid turut menjadi tempat pengerat dan perhimpunan antara kaum Muslimin yang terdiri dari kalangan Muhajirin dan Ansar. Disitulah bibit-bibit ukhuwwah di atas dasar akidah dan keimanan kepada Allah yang Esa bermula. Masjid ini turut dijadikan pusat penyebaran ilmu Islam dimana Rasulullah merupakan guru dan pengajar manakala murid-muridnya terdiri daripada para sahabat yang sentiasa dahagakan ilmu pengetahuan.

Masjid turut dijadikan institusi kehakiman dan mahkamah pada masa itu. Di situlah Rasulullah dan para sahabat menyelesaikan pelbagai masalah yang menimpa masyarakat di Madinah. Bermula dengan pertelagahan dan diakhiri dengan kasih sayang kerana undang-undang yang digunakan adalah hukum Allah yang Maha Adil. Selain itu, ia turut dijadikan tempat Rasulullah bermesyuarat atau Syura. Disitulah pandangan-pandangan yang bernas dikongsi dan semua pihak yang terlibat bebas bersuara untuk memastikan keadilan dan kesyumulan Islam dapat dikembangkan di Jazirah Arab dan dunia amnya.

Sebelum menuju ke medan perang, para panglima dan tentera Allah akan berkumpul di masjid ini juga. Di situ, panglima-panglima perang akan diberikan panji-panji Islam dan diberikan nasihat dan pedoman oleh Rasulullah sendiri. Antara fungsi lain masjid di zaman Rasulullah ialah sebagai tempat menyambut rombongan, mengambil bai’ah dan tempat perlindungan kepada golongan yang miskin dan tiada kemampuan harta.

Tapak masjid

Asal tapak masjid nabi ini ialah tempat unta tunggangan baginda berhenti. Ia merupakan tapak mengeringkan tamar yang dimiliki oleh 2 orang anak yatim iaitu, Suhail dan Sahl. Mereka merupakan anak peliharaan As’ad Bin Zurarah. Rasulullah menawarkan kepada mereka wang untuk tanah tersebut, tetapi mereka menolaknya dengan berkata:
Bahkan kami berikan kepada kamu wahai Rasulullah. Akhirnya, Rasulullah enggan menerimanya dan membeli tanah tersebut dengan bayaran. Kemudian baginda mula menimbuskan tanah dengan dibantu para sahabat sambil mendendangkan:

Ya Allah sesungguhnya ganjaran ialah ganjaran akhirat,
Oleh itu rahmatilah Muhajirin dan Ansar

Sewaktu sahabat melihat kesungguhan baginda membina masjid, salah seorang dari mereka mendeklamasikan:

Sekiranya kami duduk tidak berbuat sesuatu sedang Rasul berkerja,
Itulah kerja sesat daripada kami

Binaan masjid tersebut tidaklah seindah dan selengkap masjid yang kita dapati pada zaman ini. Tiang pintu dibuat dari batu manakala bumbungnya daripada pelepah tamar. Tiangnya pula dari batang tamar. Ketinggian masjid tersebut hanyalah tinggi sedikit dari ketinggian manusia. Qiblatnya dibina di utara masjid menghadap ke Baitul Maqdis. Masjid ini berlantaikan batuan kecil yang ditaburalaskan di atasnya. Dua buah bilik dibina ditepinya. Satu untuk Saudah Bt Zam’ah dan satu lagi milik Aisyah. Ketika ini baginda baru mengahwini mereka berdua.

Dari pembinaan masjid inilah ramai tokoh-tokoh telah dilahirkan, generasi penegak Islam yang gemilang, tokoh yang mempunyai keperibadian yang tinggi sehingga dihormati oleh kawan dan disegani lawan. Dimanakah fungsi masjid kita sekarang? Adakah sehebat masjid nabi ini?

Permulaan azan

Allah mewajibkan solat ke atas umat Muhammad agar mereka tidak lalai dalam menjalani kehidupan sehari-harian. Dengan itu mereka akan menghidupkan apa yang disuruh Allah dan meninggalkan segala dilarang hasil dari kekhusyukan dari solat mereka.

“Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar” [Al-Ankabut: 45]

Selain itu, Allah turut mengganjarkan kepada mereka yang bersolat jemaah dengan pahala yang lebih dari solat bersendirian. Dengan solat berjemaah ini, disiplin mereka akan lebih terjaga. Perbincangan dan segala urusan dapat diselesaikan sekiranya mereka berkumpul dan bertemu di masjid pada setiap kali solat. Kemesraan dan ikatan hati-hati mereka juga semakin kuat. Oleh itu, untuk menyedarkan orang ramai pada setiap kali masuk solat, satu tindakan perlu diambil supaya mereka tidak tertinggal bersolat secara jemaah di masjid. Maka, nabi telah berbincang dengan para sahabat tentang perkara yang perlu dilakukan untuk tujuan itu.

Sebahagian mereka mencadangkan: Bendera dinaikkan apabila tiba waktu solat supaya orang ramai dapat melihatnya. Namun, ia tidak memberi manfaat kepada orang yang sedang tidur.

Berkata sahabat lain: Kita nyalakan api di tebing tinggi. Tetapi cadangan ini turut ditolak.

Cadangan lain: Menggunakan bunyi tiupan trumpet. Ini adalah cara yang digunakan oleh Yahudi. Oleh itu, Nabi tidak menyukainya kerana tidak mahu merupai Yahudi dalam apa jua amalan mereka.

Daripada Abdullah bin Zaid, berkata dia:

Rasulullah SAW berniat menggunakan trumpet. Baginda mengarahkan untuk membuat kerantung kayu. Oleh itu, ia pun diukir. Abdullah bin Zaid bermimpi, dan dia menceritakannya:
“Saya melihat seorang lelaki memakai dua pakaian hijau membawa kerantung kayu. Saya berkata kepadanya: Wahai hamba Allah! Kamu menjual kerantung kayu? Dia bertanya: Apa kamu mahu lakukan dengannya? Saya berkata: Untuk memanggil orang menunaikan sembahyang. Dia berkata: Apakah kamu mahu aku tunjukkan cara yang lebih baik dari itu? Saya bertanya: Apa dia? Dia berkata: Kamu ucapkan: Allah Maha Besar (2x). Aku naik saksi Muhammad adalah pesuruh Allah (2x), Marlah bersembahyang (2x), Marilah menuju kejayaan (2x), Allah Maha Besar (2x), Tiada Tuhan selain Allah.

Perawi berkata: Lalu Abdullah pun keluar sehingga bertemu Rasulullah. Beliau memberitahu baginda apa yang dilihatnya dalam mimpi tersebut. Bersabda Nabi Muhammad SAW: “ Sesungguhnya sahabat kamu ini telah bermimpi. Keluarlah bersama Bilal melaungkannya. Sesungguhnya suaranya lebih merdu berbanding kamu." Lalu beliau menyampaikan perintah nabi itu kepada Bilal dan Bilal melaungkannya dengan panduan Abdullah. Kemudian, Umar Al-Khattab mendengar laungan itu seraya berkata: “Demi Allah, saya telah bermimpi sebagaimana dia (Abdullah bin Zaid) bermimpi.”

Bilal merupakan antara dua orang Muazzin ketika itu. Seorang lagi ialah Abdullah Bin Ummi Maktum. Bilal telah menambah ‘ solat itu lebih baik daripada tidur’ dalam azan Subuh dan Rasulullah memperakui tindakan itu. Begitulah kisah laungan azan yang kita sering dengari sebanyak lima kali sehari semalam. Moga entri ini bermanfaat untuk semua. Semoga hati-hati kita dilembutkan untuk menjaga solat berjemaah di awal waktu setiap hari. Allahumma Amin.

Allahua’lam.

Rujukan dan ringkasan dari: Rihab Fil Islam

Nota: Balik dari sekolah tadi masa tengah jalan-jalan pas gi bank, terdengar azan Asar. Terfikir pula nak masukkan tentang sejarah bagaimana azan bermula. Pas baca-baca sikit tentang azan dan buat draft, inilah hasilnya yang dapat dikongsikan dengan kamu semua. Minggu depan baru update sbb hujung minggu ni out-station. Pembangunan jiwa bermula..

Dec 18, 2007

Bagaimana Anda?



Assalamualaikum.

Sedikit perkongsian di bulan Zulhijjah mudah-mudahan kita sentiasa ingat dan tidak tercicir dari jalan yang benar. Entri kali ini memuatkan sedikit khowatir dari surah Al-Haqqah. Surah ini merupakan surah ke 69 di dalam Al-Quran dan mengandungi 52 ayat. Merupakan Surah Makkiyah.

Al-Haqqah bermaksud “yang pasti terjadi” kerana hari kiamat sudah pasti akan terjadi dan berlaku. Didatangkan ayat ini dengan perkataan “haaaa” yang panjang sebelum didatangkan sabdu di atas huruf ‘Qoff’ lalu mematikan sebutan haa yang panjang itu secara tiba-tiba. Seperti yang disebutkan dalam Tafsir zilal Al-Quran, ini menunjukkan bahawa Allah Taala mendatangkan bala Hari Kiamat secara tiba-tiba ketika manusia sedang berada pada tahap keseronokan yang paling maksimumkan. Ketika itu manusia sedang leka melakukan maksiat kepada Allah sehingga terlupa bahawa Hari Kiamat pasti berlaku.

“Maka apabila Sangkakala ditiup dengan sekali tiup. Dan diangkatlah bumi dan gunung-ganang dengan dan dibenturkan dengan sekali benturan. Maka pada hari ini terjadilah Hari Kiamat. Dan terbelahlah langit kerana pada hari itu langit menjadi rapuh. Dan para malaikat berada di pelbagai penjuru langit. Pada hari itu lapan Malaikat menjunjung Arasy tuhanmu diatas kepala mereka. Pada hari itu kamu dihadapkan (kepada Tuhanmu),tidak ada sesuatu pun bagi kamu yang tersembunyi (bagi Tuhanmu).” [ Ayat 13-18]

Ayat ke 13 hingga ke 18 menunjukkan kedahsyatan yang berlaku pada hari Kiamat. Allah Taala menggambarkan dengan sesuatu yang amat dahsyat sekali sehingga tidak dapat digambarkan oleh manusia ketika itu. Menurut Tafsir Zilal, Sangkakala yang ditiupkan itu datang dalam 3 kali. Tiupan pertama membinasakan semua yang ada di dunia. Tiupan kedua, mematikan segala yang hidup dan tiupan ketiga menghidupkan kembali manusia.

Ayat 14,15 dan16 menggambarkan tentang kedahsyatan Hari tersebut. Ketika itu gunung ganang dan bukit-bukau akan hancur dan langit menjadi rapuh. Ini menunjukkan kedahsyatan yang amat sangat dan manusia yang berada pada ketika berada dalam keadaan yang sangat huru-hara dan kacau-bilau. Cuma anda bayangkan keadaan yang digambarkan di dalam ayat ini. Adakah anda mampu untuk mencari tempat perlindungan untuk menyelamatkan diri?Sudah tentu tidak.. Maka bersegeralah bertaubat andainya dan sudah tentu PASTI kita melakukan maksiat.

“Adapun orang yang kitabnya diberikan di tangan kanannya, maka dia berkata, ‘Ambillah,bacalah kitabku ini’. Sesungguhnya aku yakin bahawa aku akan menerima perhitungan terhadap diriku ini. Maka orang itu berada dalam kehidupan yang diredai. Dalam Syurga yang tinggi. Buah-buahan yang dekat. (Kepada mereka dikatakan, ‘Makan dan minumlah dengan nikmat kerana amal yang telah kamu kerjakan pada hari-hari yang lalu’.” [Ayat 19-24]
Ayat ke 19-24 menggambarkan keadaan orang yang beriman dengan Allah Taala dan RasulNya ketika diberikan kitab kepada mereka. Al-Kitab di sini merujuk kepada catatan amal perbuatan mereka ketika di dunia. Mereka berada dalam keadaan yang sangat gembira ketika menerima catatan tersebut dari tuhan mereka. Dan mereka dikurniakan oleh Allah Taala dengan syurga yang kekal abadi di atas keimanan dan kepercayaan mereka serta amal-amal soleh yang mereka kerjakan selama berada di dunia. Juga di atas kesabaran mereka melawan hawa nafsu dan godaan-godaan duniawi yang dating bertali arus tanpa henti itu.
“Adapun orang yang kitabnya diberikan di tangan kirinya, maka dia berkata, “Alangkah baiknyajika kitabku ini tidak diberikan kepadaku.” Sehinggalah aku tidak mengetahui bagaimna perhitunganku. Kiranya kematian itulah yang menyudahkan segalanya. Hartaku saama sekali tidak berguna bagiku. Kekuasaanku telah dariku. “Tangkaplah lalu belenggulah tangan ke lehernya”. Kemudian masukkanlah dia ke dalamapi neraka yang menyala-nyala. Kemudian belitlah dia dengan rantai yang panjangnya tujuh puluh hasta. Sesungguhnya dialah orang yang tidak beriman kepada Allah yang Maha Besar. Dan tidak mendorong orang lain untuk memberi makan orang miskin. Maka pada hari ini di sini tidak ada seorang teman pun baginya. Dan tidak ada baginya makanan kecuali darah dan nanah. Tidak ada orang yang memakannya kecuali orang-orang yang berdosa.” [Ayat 25-37]

Ayat ke 25-37 menggambarkan kedaan orang yang menerima Al-kitab mereka dengan tangan kiri dan azab-azab Allah kepada mereka ketika berada dalam neraka. Sesungguhnya, orang yang melakukan maksiat dan kufur ini amat menyesal sekali ketika menerima catatan amal mereka sehingga mereka berharap agar kitab tersebut LANSUNG tidak diberikan kepada mereka kerana mereka telah mengetahui bahawa tempat yang layak kepada mereka, iaitu NERAKA JAHANNAM.
Pada hari tersebut, segala harta-harta yang mereka kumpulkan serta pangkat kekuasaan mereka tidak lagi dapat membantu mereka, bahkan mereka berada dalam keadaan kesal yang amat sangat. Tangan dan leher mereka dibelenggu dan dicampakkan ke dalam neraka yang apinya menjulang tinggi dan panas membakar. Mereka dibelit dengan rantai-rantai dan diberi makan dengan makanan yang paling menjijikkan iaitu nanah dan darah. Bayangkan ketika di dunia ini anda disuruh makan nanah tersebut. Sudah tentu sahaja tekak anda akan loya dan terus termuntah. Bukan setakat makan, tengok sahaja anda sudah tidak mahu kerana terbayang dan terasa kejijikannya. Begitulah kisah ahli neraka yang hidupnya dipenuhi dengan dosa dan maksiat kepada Allah ketika di dunia.

Sebagai contoh, seorang pelajar yang mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan, sudah tentu sahaja dia mahu menyebarkan berita kecemerlangannya kepada orang lain dan berkongsi kejayaannya. Begitula peristiwa yang berlaku terhadap ahli syurga. Mereka sangat gembira dan bahagia berada di syurga.

Sebaliknya, seorang pelajar yang gagal dalam peperiksaaannya, sudah tentu saja tidak mahu berkongsi keputusunnya dengan orang lain .Bahkan kalau boleh, dia pasti tidak mahu mengetahui natijah peperiksaannya. Cepat-cepat sahaja mahu disorokkan di dalam poket seluar atau bajunya. Begitulah peristiwa yang berlaku kepada ahli neraka. Mereka menyesal dengan perkara yang telah mereka sia- siakan dan lalaikan ketika berada di dunia. Mudah-mudahan kita tergolong dari golongan yang bakal mendapat syurga Allah Taala.

“Haasibuu anfusakum qobla an tuhasabuu”


Allahua’lam.

Salam Eid Adha. Kulla A'm wa Antum Bikhair

Rujukan: Tafsir Zilal dan Syaamil Quran
*Khowatir@Khatiroh adalah lintasan-lintasan yang hadir ketika membaca ayat-ayat Al-Quran.Harap jelas. Saya bukan bertujuan untuk mentafsirkan surah ini keseluruhannya, sebaliknya ingin berkongsi isi-isi penting dari surah ini sahaja.


Dec 5, 2007

Aku ingin berjaya..

Assalamualaikum wbt..

“Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman. Iaitu orang yang khusyuk di dalam solatnya. Dan orang yang menjauhkan dirinya dari perbuatan yang sia-sia.dan orang yang menunaikan zakatdan orang yang memelihara kemaluannya.kecuali terhadap isteri-isteri dan hamba sahaya yang mereka milikinya,maka sesungguhnya mereka tidak tercela.dan orang yang memelihara amanat-amanat dan janjinya.serta orang yang memelihara solatnya mereka itulah yang akan mewarisi. Yang akan mewarisi syurga Firdaus dan mereka kekal di dalamnya…” [ Surah Al-Mukminun:1-11]

Alhamdulillah, setelah lama tak berkumpul, akhirnya tadi kami bertujuh dapat berkumpul semula. Kira-kira 4 bulan juga lamanya kami tidak berkumpul bersama. Maklumlah, masing-masing ada urusan masing-masing. Ada yang pulang ke Malaysia kerana cuti dan sebagainya. Cuma ingin berkongsi sedikit perkara yang dapat dari pertemuan tadi. Kira-kira pada pertemuan tadi, sempat berbincang mengenai awal surah Al-Mukminun bermula ayat 1-24 sambil dibimbing oleh Ust Salman.
Setelah semua kawan-kawan memberi komentar mengenai surah ini, maka ini adalah antara kesimpulan yang dapat saya buat berdasarkan perbincangan tersebut.

Permulaan Surah ini menceritakan tentang ciri-ciri orang yang berjaya di akhirat. Kejayaan di dunia tiada manisnnya sekiranya seseorang itu tidak berjaya mendapatkan syurga Allah diakhirat. Dalam surah Al- Mukminun, beberapa ciri-ciri orang-orang berjaya telah digariskan oleh Allah Taala. Antaranya:

Pertama: Khusyuk di dalam solat
Kedua : menjauhi perkara-perkara ‘lagho’ @lalai
Ketiga : menunaikan zakat
Keempat : menjaga kemaluan
Kelima : menunaikan amanah
Keenam : menjaga solat.
*sila rujuk Al- Quran

Jika diperhatikan di dalam surah ini, Allah Taala memulakan ciri-ciri orang berjaya dengan khusyuk di dalam solat dan mengakhirinya dengan orang yang menjaga solat. Dapat disimpulkan di sini bahawa solat amat memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan seseorang individu.
Seorang sahabat telah berpesan kepada saya. “Sekiranya anda ingin berjaya maka laksanakanlah solat dengan sebaiknya dan jangan sesekali meninggalkannya.”
Suatu hari, saya secara tidak sengaja melewatkan solat kerana beberapa urusan yang perlu diselesaikan. Akhirnya, solat itu saya laksanakan diakhir-akhir waktu. Akibat dari perbuatan itu, semua pekerjaan dan tugasan yang saya lakukan pada hari tersebut serba tidak menjadi dan terbengkalai. Ada sahaja perkara yang berlaku dan melambatkan urusan saya. Ketika bermuhasabah kembali kejadian tersebut, saya dapati antara puncanya adalah kerana saya tidak menjaga solat. Ketahuilah bahawa solat itu mempunyai impak yang sangat besar dalam kehidupan dan keteraturan kehidupan anda.

Hikmah solat 5 waktu amat banyak sekali. Jika dikaji, sebenarnya waktu solat adalah waktu untuk kita berehat. Dan waktu solat adalah waktu perubahan antara satu fasa hari ke fasa yang lain. Contohnya, solat Maghrib adalah perubahan di antara siang dan malam dan begitu juga Subuh yang merupakan perubahan fasa malam dan siang.

Dan hikmah tiada solat di antara waktu Subuh hingga ke Zohor adalah kerana waktu ini adalah waktu yang paling ideal dan sesuai bagi manusia untuk menjalankan aktiviti-aktivi hariannya. Contohnya, bagi seorang pelajar waktu ini adalah waktu untuk menuntut ilmu di sekolah dan universiti. Bagi seorang pekerja waktu ini adalah waktu untuk mencari rezeki untuk keluarga dan pelbagai lagi contoh yang sudah pasti anda dapat memikirkannya.

Dan ketika Zohor pula, semua Muslim diwajibkan solat kerana waktu ini adalah waktu ‘rehat sebentar’ sebelum memulakan kembali tugas masing-masing. Sungguh agung penciptaan Allah dan kita seringkali tidak dapat mentafsirkannya sekiranya tidak mengambil sedikit dari masa-masa kita untuk meneliti keindahan ciptaan Allah.
Sesungguhnya Allah tidak menjadikan sesuatu melainkan ada hikmah di sebaliknya.

Dalam ayat ke 11 pula, Allah menjanjikan bagi orang-orang yang berjaya ini syurga yang tertinggi iaitu ‘Syurga Firdaus’. Syurga ini dapat diwarisi sekiranya semua tuntutan yang disebutkan di atas dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

‘ ..yang akan mewarisi syurga Firdaus dan mereka kekal di dalamnya..’

Bayangkan betapa besarnya ganjaran Allah! Syurga Firdaus! Tetapi masih terdapat ramai lagi dari kalangan kita yang sering alpa dan leka. Masih lagi bermain-main dan melengahkan solat walaupun sudah mendengar azan dan iqamat. Masih lagi mempunyai alasan untuk melewatkan solat walaupun telah mengetahui ganjaran solat di awal waktu. Masih lagi tidak solat berjemaah walaupun tahu bahawa pahalanya sangat besar. Aduhai malangnya hamba-hambaMu ini Ya Rabb. Masih banyak lagi kelalaian yang sering dilakukan walaupun Kau ingin mewariskannya kepada kami syurga Firdaus.

Bayangkan seorang ayah yang ingin mewariskan hartanya kepada anak-anak. Sudah tentu harta tersebut sangat-sangat bernilai disisinya dan tidak mahu pula mewariskannya kepada orang lain.Sudaj tentu juga tiada orang yang mahu warisnya mewarisi harta yang murah dan tiada nilai.Tetapi, disini Allah Taala ingin mewariskan sesuatu yang diidamkan olah setiap Mukmin iaitu Syurga Firdaus. Bukannya syurga yang paling rendah, bahkan syurga yang paling tinggi! Justeru, tiada alasan lagi bagi kita untuk tidak mendapatkan syurga Allah melainkan kita seorang yang lalai,alpa dan leka dengan kenikmatan dunia. Kepada sahabat-sahabat yang masih lagi ‘tidur’ dalam perjalanan ini, sudah-sudahlah tu….. Bangun-bangun..basuh muka dan teruskan langkahan anda… kejarlah syurga itu…

Dalam surah ini juga diceritakan tentang keajaiban dan fasa-fasa kejadian manusia yang bermula dari setitis air mani sehinggalah menjadi tulang yang dibalut daging dan akhirnya lahir ke dunia (ayat 12-14). Di sini dapat kita perhatikan bahawa, kejadian manusia itu melalui pelbagai peringkat-peringkat yang berlainan. Ayat selepas kejadian manusia adalah ayat tentang kematian iaitu ayat ke 15.Ayat ini datang secara tiba-tiba selepas ayat kejadian manusia. Mengingatkan kepada kita bahwa kematian itu datang secara mengejut dan tiba-tiba.Tidak awal dan lewat walau sesaat.

'.....Dan selepas itu kamu sungguh pasti mati...'

Ya! Sudah Allah Taala ingatkan dalam ayat ini bahawa sesungguhnya kematian itu PASTI akan berlaku. Cuma waktu dan tempatnya sahaja yang kita tidak tahu. Maka, banyakkanlah berdoa agar kita dimatikan dalam keadaan Husnul Khatimah. Ameen.

Itulah antara kesimpulan-kesimpulan yang dapat saya coretkan untuk dikongsi bersama anda. Banyak lagi sebenarnya hikmah yang dapat diambil, mungkin bersambung di waktu lain kerana saya ada kuliah yang perlu dihadiri pada keesokan hari. Sekian.

Allahua’lam.

Nov 25, 2007

Taubat Kepada Allah

Taubat Kepada Allah

Alhamdulillah. Segala puji dan syukur dirafa’kan kehadrat Ilahi, seinfiniti kesyukuran diucapkan di atas segala Rahmat dan naungan yang diberikan olehNya. Selawat serta salam kepada baginda Nabi Muhammad SAW, serta para sahabat, ahli keluarga serta mereka yang mengikuti sirah perjuangan baginda dalam menegakkan agama Allah, iaitu agama Islam.

Alhamdulillah, sekali lagi saya diberi kesempatan masa untuk menulis artikel yang bertajuk “Taubat kepada Allah”. Artikel ini ialah ringkasan dari buku berjudul”Hatta Yughayyiru Ma Bianfusihim” karangan Amru Khalid.

Kita seringkali diingatkan untuk bertaubat dan beristighfar apabila melakukan kesalahan samada secara terang atau bersendirian. Kadangkala, ketika kita asyik dengan keseronokan nikmat dunia ini, kita sering terlupa dan terbabas dari landasan sebenar yang ditetapkan oleh Islam. Dan di situlah pentingnya peringatan yang sentiasa mengingatkan kita untuk kembali kepada Allah.

Mengapa perlu bertaubat?

Persoalan ini seringkali diutarakan oleh pelbagai pihak samada yang berpegang teguh kepada agama atau mereka yang juga mengaku Islam, tetapi ‘terbabas’ dari landasan sebenar.
Di sini, kita perlu melihat kepada suasana sekeliling kita supaya kita dapat mengetahui apakah maksud tersirat di sebalik peringatan untuk kita sentiasa dan segera bertaubat.
Tempat serta suasana yang kita tinggal sekarang ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa sebenarnya umat ini telah jauh serta lupa bahawa mereka adalah makhluk yang tertakluk serta terikat di bawah kekuasan yang Maha Esa. Pelbagai peperangan, kerosakan serta pelbagai lagi kemusnahan semakin berleluasa disebabkan ‘tangan’ manusia yang kononnya inginkan kemodenan dan kemajuan, tetapi pada hakikatnya bertuhankan hawa nafsu. Kita dapat melihat syabab-syabab Islam yang jelas telah terpengaruh dengan budaya-budaya kuning samada dari segi pergaulan, pemakaian serta pelbagai lagi budaya yang jelas merosakkan martabat Islam sebagai agama suci dan mulia. Itu tidak termasuk lagi dengan peristiwa pembuangan bayi-bayi, pembunuhan,rogol,penaklukan serta pelbagai macam lagi jenayah….Maka, di sinilah pentingnya kepada kita untuk bertaubat memohon keampunan serta kembali kepadaNya..dari sinilah bermulalah titik tolak dalam diri setiap individu untuk mengubah dirinya kepada yang lebih baik seterusnya menimbulkan kesedaran dalam dirinya untuk mengubah masyarakat yang telah ‘ternoda dek dosa-dosa yang mereka lakukan’.

Dan di sini, pengarang buku ini secara terus terang menyatakan bahawa:"Aku takut jika sekiranya Allah Taala menghalalkan peperangan serta pelbagai lagi kerosakan disebabkan perbuatan serta dosa-dosa yang aku lakukan terhadapNya.”
Cuba anda bayangkan sekiranya dosa-dosa kecil yang kita lakukan itu tidakkah ia apabila dihimpunkan mampu untuk menandingi dosa-dosa besar yang kita lakukan..? Dan dosa itu baru dilakukan oleh seorang..Cuba bayangkan apabila dosa itu dilakukan oleh setiap jiwa Muslim?? Tidak mustahilkah Allah Taala akan menurunkan bala disebabkan dosa kita semua?? Muhasabahlah kembali apa yang telah kita lakukan..

Siapa antara kita yang suci dari dosa?

Bayangkan ketika kita bangun di malam hari untuk memohon keampunan dari Allah Taala dengan mengadakan Qiamullail..dan kita itu kita berdoa: [Ya Allah..aku memohon dan mengharapkan agar Kau hapuskan segala dosa yang aku lakukan..aku bertaubat kepadaMu yang Allah dengan taubat nasuha..terimalah taubatku Ya Allah….]
Adakah Allah Taala tidak akan menghapuskan dosa-dosa kalian? Bukankah Allah itu Maha Pengasih lagi Penyayang terhadap hambaNya? Maka, yakinlah bahawa setiap amalan serta taubat yang kita lakukan tidak akan disia-siakan oleh Allah Taala..(konsep ini ialah konsep Siqoh Billah..sila rujuk artikel sebelum ini…) Perlulah kita sedar bahawa tiada antara manusia yang Maksum kecuali Nabi Muhammad SAW…Mengapakah kita masih perlu lagi bertangguh-tangguh untuk bertaubat sedangkan Allah Taala sentiasa mahu untuk mengampunkan serta memaafkan dosa-dosa kita?

Marilah kita sama-sama berazam untuk tidak kembali kepada dosa-dosa yang telah kita lakukan. Katakanlah:”Ya Allah, kami berazam pada hari ini untuk bertaubat kepadaMu,kami berazam untuk memperbanyakkan solat Tahajjud serta Qiamullail, bukalah pintu hati kami untuk kembali ke jalan yang benar dan kesempitan dan kemusnahan itu terlerai dari membelenggu umat-umat Islam..”
Bayangkanlah jika semua umat Islam berazam untuk bertaubat dan kembali kepada Allah, nescaya kehidupan ini akan kembali aman dah sejahtera..!

Terdapat segelintir dari manusia yang merasakan bahawa dosa yang mereka lakukan terhadap Allah Taala itu hanyalah kecil dan ringan dan sudah pasti akan diampunkan..Namun, tidakkah kita lupa bahawa setiap dosa-dosa kecil itu akan terhimpun menjadi banyak sekiranya kita tidak segera bertaubat? Pepatah Melayu juga ada mengatakan ‘Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit.’ Bukankah begitu wahai sahabat-sahabatku??

Allah Taala berfirman:

‘..dan kamu menganggapnya suatu yang ringan saja, padahal disisi Allah ia adalah besar’
[Surah An-Nur:15]

Janganlah kamu berputus asa dengan rahmat Allah Taala.

‘Katakanlah: Hai hamba-hambaku yang melampau batas terhadap terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dengan rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.’ [Az-Zumar:53]
Dan mengetahui bahawa Rasullullah merasa amat gembira dengan turunnya ayat ini kerana telah jelas bahawa Allah Taaala akan mengampunkan semua dosa hambaNya yang memohon keampunan kepadaNya.
Dalil-dalil lain yang menunjukkan sifat pengasih dan pengampun Allah Taala terhadap hambaNya yang bertaubat.

‘Tidakkah mereka mengetahui,bahawasanya Allah menerima taubat dari hamba-hambaNya dan menerima zakat, dan bahawasanya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang. [At-Taubah:104]

‘….sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang menyucikan diri’ [Al-Baqarah:222]

‘Yang mengampuni dosa dan menerima taubat' [Al-Ghafir:3]

Orang yang menzalimi diri mereka...


Marilah kita sama-sama menghayati ayat dari firman Allah Taala:

‘Dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim’ [Al-Hujurat:11]

Mereka ini telah zalim kepada siapa? Tentulah kepada diri mereka kerana keangkuhan serta keengganan mereka untuk bertaubat. Dan Allah Taala telah membahagikan manusia kepada 2 golongan: Golongan yang bertaubat dan golongan yang ZALIM. Tiada yang ketiga bagi kedua-duanya..

‘Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung’ [An-Nur:31]

Rasullullah SAW diriwayatkan sentiasa beristighfar kepada Allah Taala sebanyak 70 kali siang dan malam. Malah ada pendapat yang mengatakan lebih dari 100kali sehari. Lihatlah, bagaimana seorang lelaki yang dipilih oleh Allah sebagai utusan yang membawa risalah Islam, yang maksum dari sebarang kesalahan,dan telah dijanjikan syurga, tetapi tetap jua memohon keampunan dari tuhannya..Bagaimana pula dengan kita yang sudahlah tidak maksum, sering terlupa untuk beristighfar kepada Allah, serta banyak pula melakukan maksiat serta dosa..Adakah layak bagi kita untuk mendapat syurga Allah sekiranya kita terus bergelumang dengan dosa dan maksiat tanpa bertaubat kepadaNya ??

‘Kamu adalah umat terbaik yang dikeluarkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar….’ [Ali-Imran:110]

Sedarlah kita bahawa kita adalah sekumpulan manusia yang dipilih oleh Allah untuk menegakkan syariat Allah melalui bidang perubatan. Adakah kita mahu untuk menjadi doktor yang bergelumang dengan maksiat atau adakah kita ingin menjadi manusia yang mulia di sisi Allah? Tidakkah kita melihat bahawa kita adalah golongan yang Allah Taala tujukan di dalam ayat ini?Adakah kita ini manusia yang tergolong antara mereka yang dikasihi oleh Allah?

Syarat-syarat taubat
1- Menyesal terhadap maksiat yang dilakukan
2- Berhenti dari melakukan maksiat
3- Berjanji tidak akan mengulanginya lagi

Sesungguhnya ketahuilah bahawa Rahmat Allah sangat luas dan Allah Taala akan mengurniakan rahmatNya kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya. Maka, saya menyeru sahabat-sahabat pembaca artikel ini untuk kita sama-sama kembali bertaubat kepada Allah serta mengajak serta menyampaikan ilmu yang kita perolehi ini kepada sahabat-sahabat lain. Mudah-mudahan dengan usaha kita yang tidak seberapa ini diterima sebagai amal ibadah disisi Allah dan seterusnya menjadi pemberat neraca timbangan kita apabila dihisab di padang Mahsyar kelak.InshaAllah.

Wallahua’lam.

SyaBAB
* artikel diambil dari blog friendser saya