Graf iman menurun. Mungkin itu sudah cukup untuk menggambarkan situasi diri *saya untuk minggu ini. Diserang demam yang tidak menentu selama 4 hari berturut-turut. Aktiviti harian yang terbatas dan kemampuan berfikir yang berkurangan. Hanya berkurung di dalam bilik untuk mengelakkan jangkitan kepada kawan-kawan serumah.Bukan tidak biasa melalui hari-hari sebegini. Namun, kali ini ia berbeza sekali. Hari ini telah mengingatkan kepada hari-hari lampau. Kenangan ketika berada di Malaysia dan ketika berada dalam belasan tahun. Mungkin kerana tiada aktiviti yang dilakukan, maka otak ini ligat mengingati peristiwa-peristiwa lalu.
Antara sedar dan tidak, tahun ini sudah 2 tahun lebih berada di perantauan. Jauh dari keluarga dan sahabat ketika sekolah dahulu. Bukan tidak biasa melalui hari-hari ini.Bahkan telah banyak pengalaman yang dilalui sebelum ini. Ditipu ketika berjual beli, diejek oleh kanak-kanak ketika berjalan, dibaling dengan batu,dicuri sepatu ketika menunaikan solat,bersesak-sesak di dalam kenderaan awam,kesejukan yang menular hingga ke sumsum,tinggal di rumah yang dindingnya runtuh setiap hari ibarat salji,berkongsi bilik dengan tikus-tikus yang licik dan bermacam lagi. Perkara ini sudah tidak asing lagi bagi diriku suatu ketika dahulu ketika mula menjejakkan kaki ke bumi asing ini. Bukan tidak biasa melalui hari-hari ini.
Ketika ini, hanya satu perkara sahaja yang saya sentiasa fikirkan, iaitu
KELUARGA. Mahu saja rasanya membeli tiket dan pulang ke Malaysia. Tetapi itu bukanlah pilihan terbaik bagi saya. Rindu kepada keluarga. Baru sebentar tadi saya menelefon mereka untuk melepaskan rindu. Rindu telah dilepaskan, kesedihan pula menimpa.Sudah jatuh ditimpa tangga. Tahun ini sejarah baru bakal terlakar. Mereka akan ke Sabah dan beraya di sana. Pertama kali keluar dari Semenanjung bagi emak dan adik-adik. Tetapi tidak bagi baba yang telah beberapa kali ke sana. Pertama kali ialah ketika hendak menyambung pengajian di Sarawak. Tak sampai seminggu dihantar, sudah pulang semula ke Semenanjung kerana ‘tidak tahan’ katanya.Dan saya sekali lagi kerugian untuk kesekian kalinya. Ada saja penghalang untuk saya bersama-sama keluarga. Apa-apa pun moga cuti kali ini lebih bermanfaat.
Teringat aktiviti-aktiviti yang saya lakukan ketika pulang ke Malaysia dahulu. Pengalaman sebagai orang kampung. Title yang diberikan kepada saya ketika mula berpindah ke rumah baru di dalam kebun milik kami. Dikelilingi pohon-pohon buahan, getah,pokok renek dan semak samun. Boleh dikatakan semua jenis pokok buah-buahan ditanam disekitar rumah kami. Langsat, durian, cempedak, pisang, nenas, rambutan, nangka dan pelbagai lagi. Kami juga sering diziarahi oleh warga hutan terutamanya monyet-monyet ketika musim buah-buahan dan reptilia yang menjalar untuk makan telur ayam yang dibela oleh kami. Pengalaman sebagai orang kampung betul-betul mematangkan saya. Belajar untuk menjadi lelaki dan berdikari.

Tepi rumah

Nenas milik kami
Cucu Atuk
Banyak aktiviti yang telah saya lakukan bersama-sama atuk dan saya merinduinya sekarang. Paling saya suka ialah ketika sesi mendengar atuk bercerita. Mula dari atuk dilahirkan sehinggalah beliau berumah tangga dan beranak-pinak.. Semua cerita itu telah saya ketahui.
Saya suka menemani atuk berkebun. Paling tidak pun saya dapat menemani atuk ketika meracun rumput di kebun getah milik kami. Paling tidak dapat dilupakan ialah pengalaman menangkap landak bersama atuk. Saya sempat merancang untuk menangkap landak beberapa hari sebelum pulang ke sini. Dengan berbekalkan sebuah perangkap usang yang telah dibaiki dan berumpankan beberapa biji buah bacang masak, kami telah memasang perangkap tersebut di dalam kebun getah berhampiran ladang kelapa sawit.Kesungguhan atuk menceritakan tentang kelazatan daging landak menyebabkan saya terliur.Saya pernah merasanya ketika kecil-kecil dahulu. Macam daging ayam rasanya. Malangnya, umpan yang kami pasang tidak mengena. Lain yang dicari, lain yang dapat.Yang ada hanyalah monyet yang tersesat dan masuk ke dalam perangkap kami. Takkan monyet pula yang hendak dibuat hidangan..
Ketika di sekolah rendah dahulu, saya akan mengambil peluang cuti sekolah untuk tidur di kampung bersama-sama atuk. Pada sebelah paginya setelah bangun dari tidur, saya akan ikut atuk pergi berkerja di dalam ladang. Dengan motorsikal ‘gerebek’ yang sudah belasan tahun umurnya kami masuk ke dalam ladang kelapa sawit.Tugas saya mudah saja. Merekod bilangan buah kelapa sawit yang telah dipotong. Caranya mudah, atuk akan berhenti di setiap tempat yang terdapat longgokan buah tersebut.Kemudian,saya akan turun dari motor dan memangkah buah tersebut di tandan yang telah dipotong dengan menggunakan sebatang pensel bermata besar. Seterusnya, saya akan membilang dan merekodnya di dalam buku khas milik atuk. Begitulah rutin saya setiap pagi bersama atuk.Kadang-kadang tiub tayar motor pecah dan kami terpaksa menyorong motor sejauh berkilometer untuk keluar dari situ. Seperkara lagi yang menakutkan saya ialah ketika berselisih dengan traktor-traktor atau lori pengangkut buah.Bunyinya yang kuat akan menyebabkan saya menyorok di belakang dan memeluk erat atuk ketika membonceng. Maklumlah,kanak-kanak lagi.

Tempat bermain lagikan dikenang,
inikan pula tempat tersesat
Dan saya teringat juga pengalaman tersesat di dalam ladang kelapa sawit baru-baru ini. Ketika itu, sepupu saya yang berumur 6 tahun menjadi guider saya.Tujuannya mahu merentasi ladang tersebut untuk pergi ke kebun getah tempat pakcik saya menoreh. Teringin rasanya mahu ‘membusukkan’ tangan mengumpil getah sekerap. Pertama kali masuk semula ke situ setelah 2 tahun. Namun, guider yang saya ada tidak mampu untuk menunjukkan saya jalan yang betul. Kami tersesat hampir 45 minit dengan minyak yang terhad dan jalan yang dipenuhi lopak-lopak air kerana baru lepas hujan. Silap lorong dan keliru kerana jalan-jalan yang hampir sama.Guider saya dengan yakinnya menunjukkan arah berdasarkan ‘pengalamannya’. Habis semua tempat kami redah.Dari tempat menternak ayam hinggalah ke ladang lembu.Turun dan naik bukit.ke kiri dan ke kanan dan akhirnya berpatah balik. Nasib baik memori guider saya masih lagi baik.Tiba di suatu persimpangan dia berteriak;
“Ha! Jalan ni la yang atok selalu lalu dengan Ijol....”
“Huh,akhirnya..! Selamat jumpa..kalau tak tidur dalam hutan la aku hari ni..” kata saya di dalam hati.
Bukan apa. Saya cuma takut diserang oleh anjing-anjing liar atau babi hutan sekiranya minyak kami habis di dalam ladang tersebut. Juga saya takut kami disondol dan ditanduk oleh sekumpulan lembu-lembu yang meragut rumput di tepi jalan berturap batuan merah itu. Silap gaya nahas dibuatnya. Mahu menyorong motor entah mana jalan keluarnya. Antara pengajaran yang saya dapat pada hari tersebut ialah jangan berputus asa walaupun anda telah sesat dan yang paling penting, jangan jadikan kanak-kanak sebagai pemandu arah anda terutamanya ketika di dalam hutan. Antara gambar-gambar yang saya sempat rakan seperti di bawah.

Ijol posing selepas sesat
Sekolah..sekolah
Adik sebelum ke sekolah
Juga teringat saya ketika menemani adik saya yang mahu ke sekolah.setiap pagi sesudah sarapan saya akan menunggunya di depan pintu sehinggalah cikgunya datang mengambil. Adakalanya saya tertidur sehinggalah adik datang dan menjerit.
“Bgh! Cikgu datang…”
Macam saya pula yang hendak ke sekolah. Tergesa-gesa bangun dari tidur.Sesudah adik pergi, saya mengunci pintu dan meneruskan aktiviti yang ‘tergendala’ tadi. Pabila pulang sayalah orang yang akan membuka pintu untuk adik. Kalau saya tertidur atau di dalam tandas, adik akan pusing mengelilingi sambil rumah menjerit-jerit menyuruh membuka pintu.Sehinggalah saya datang.
“Bukak pintu! Org dah balik!Bukak pintu!Bukak pintu!”
Tengah hari pula, jika atuk ada kerja, saya ditugaskan untuk menjemput adik dan sepupu-sepupu dari sekolah.Inilah satu-satunya masa saya mengasah skill memandu ditemani dua orang co-pilot. Ijol dan adik. Ada saja cerita-cerita baru dari mereka sewaktu pulang dari sekolah.Kadang kala macam kawan baik, adakalanya bergaduh dan tak bertegur sapa. Macam-macam.
Kanak-kanak pulang sekolah
Pada sebelah petang pula, saya akan ke rumah atuk yang terletak kira-kira 400 meter dari rumah kami. Tujuannya untuk mendengar berita-berita semasa tentang kampung kami ataupun membaca surat khabar. Sambil-sambil itu boleh juga minum-minum petang dan makan cekodok panas bercicahkan sambal dengan atuk dan nenek di bawah pokok rambutan . Jika tidak ke rumah nenek, saya akan ke halaman rumah untuk menyiram pokok ataupun sekadar mengambil angin.Selepas itu kebelakang rumah untuk memberi ‘adik-adik angkat’ saya makan.Ayam diberi jagung manakala angsa pula diberi nasi bercampur air. Jika tak diberi makan, bisinglah ‘mereka’ sampai keesokan harinya. Jika mereka tak bising, emak yang akan ‘bising’ memarahi kami kerana membiarkan ‘anak-anak angkatnya’ kelaparan.
Suatu ketika sebelum pulang ke tanah air, adik telah mencadangkan kepada saya untuk membawa balik seekor anak unta untuk dijadikan ‘adik angkat’ tambahan. Namun,apabila ditanya siapakah yang akan membelanya, adik hanya ketawa. Maksudnya,dia tidak akan bertanggungjawab dan unta tersebut pasti akan mati kekeringan dan kelaparan sekiranya saya membelanya di belakang rumah. Kebiasaannya, setengah jam sebelum Maghrib saya akan bermain bola bersama adik-adik,sekadar untuk mengeluarkan peluh saja.
Itu sebahagian dari aktiviti yang telah saya lalui.Mahu diceritakan semua sudah pasti setebal sebuah novel. Cukuplah sedikit coretan untuk menghiburkan hati yang kerinduan ini. Maklumlah, orang yang sakit jika otaknya tidak digunakan, maka akan ,’mandullah’
aktiviti akalnya.Sudah tentu anda tahu mengapa saya ‘agak bosan’ tinggal di sini.Mana tidaknya, saya tidak dapat melakukan aktiviti yang saya lakukan seperti dinyatakan. Maklumlah, orang kampung.Tahun depan pulang lagi..Itupun kalau ada rezeki.
Menjadi harapan saya apabila sudah berkeluarga nanti ialah membina sebuah pondok di bawah pohon durian di hadapan rumah kami.Berehat di dalamnya ketika musim buah-buahan sambil minum-minum petang bersama adik-beradik dan keluarga masing-masing serta mengimbas kembali peristiwa dan pengalaman ketika kami kecil-kecil dahulu. Itupun jika masih ada umur dan rezeki.
Buka tidak biasa melalui hari-hari begini...
Istiqomah dalam amal
Sekarang bulan Zulhijjah.tak lama lagi Raya Aidiladha. Maka akan genaplah 3 kali saya ‘beraya haji’ di sini. Moga dalam bulan barakah ini kita mengambil setiap peluang yang ada untuk menggandakan amalan. Nantikan entry selepas ini. Moga Istiqomah dalam amal.
Sekian.
*saya,aku,ana..(terpulang)
* maaf kepada kawan-kawan yang datang ke Melaka tempoh hari.Tak ajak ke rumah sbb parent sibuk berkerja.