Saturday, June 18, 2016

Diari di pagi hari



Bismillahirahmanirrahim

Assalamualaikum dan selamat sejahtera sahabat semua. Alhamdulillah, pagi ini saya rasakan suatu ketenangan. Amat tenang rasanya. Dengar nyanyian beburung di pohon jambu. Berasimilasi dengan tiupan sang bayu yang ramah menyapa tubuh. Ya Allah, subhanallah. Dengan hamparan luas langit lazuardi jauh di angkasa raya. Benar, siulan para burung pagi-pagi ini sangat memberi kesan ke atas diri ini. Kekadang terbayang syurga-Nya yang indah. Sangat indah. Hamparan kolam seluas tanpa penghujung. Mengembara di langit-langit-Nya yang indah. Sejauh mata memandang. Dengar pula zikir penenang hati, penawar segala penyakit. Subhanallah, saya tak tahu bagaimana mahu menggambarkannya. Kalaulah boleh saya berikan secebis kenikmatan ini pada sahabat-sahabat sekalian tentu kita dapat merasainya sama-sama.

Nun di luar sana, pastinya rama-rama cinta mula mengembangkan kepaknya, menongkah langit tinggi, tinggi dan terus tinggi ke udara. Hinggap di bunga yang indah, menyedut manisnya madu penawar duka. Subhanallah. Tak terucap oleh kata-kata. Rama-rama adalah makhluk Allah SWT yang kecil tapi sangat indah untuk menceriakan dunia ini. Taman-taman bunga akan berseri dengan kehadirannya.  Begitu juga dengan sang lebah yang rakus menyedut nektar di atas kuntuman bunga yang mekar mewangi. Bunga-bunga pasti berseri menyambut kedatangannya. Indahnya dunia ini bila segala yang ada menyatu menjadi satu.

Matahari pula sangat galak menceriakan dunia ini. Baru semalam bulan bersembunyi di balik awan gemawan bersama bintang yang jauh di angkasa raya. Hari ini dunia dihidangi dengan sinaran mentari yang menyuluh bumi jauh di ufuk timur. Entah mengapa saya teringatkan kampung halaman. Teringatkan negeri kelahiran. Sungguh, kali ini hati disayat rasa sedih. Pilu yang tak terbungkam oleh kata-kata. Saya rindu pada kabus, rindu pada embun, rindu pada air mata alam, rindu pada hutan belantara. Segalanya menjadi kerinduan.


Bersabarlah duhai hati. Seketika nanti, akan datang hari itu, Kau akan terbang di langit. Seperti seekor burung, bersembunyi di balik awan. Singgah di sebuah pelabuhan sebelum sampai ke destinasi. Nikmatilah kehidupanmu di sana sepuas-puasnya selama beberapa hari sebelum kembali ke bumi sumber rezekimu. Insya Allah, moga Allah SWT permudahkannya. Aminnn

#Gambar bukan hak milik saya

Thursday, June 16, 2016

Catatan Di Bulan Ramadhan 2


Bismillahirahmanirrahim

Assalamualikum dan selamat sejahtera sahabat semua. Malam ini sudah masuk Ramadan ke-11. Sekejap saja masa berlalu. Bagaikan baru beberapa hari lepas Ramadan pertama. Hari ini cuaca sangat indah. Bulan bersinar ceria, menyuluh bumi Allah SWT dari langit Illahi. Bintang-bintang mengerdip di angkasa raya. Hari ini solat tarawih di surau. Masih berimamkan orang yang sama. Indah dan merdu suaranya. Serasa saya jatuh cinta pada suaranya. Lepas rakaat keempat, dengar pula tazkirah. Seronok dengar tazkirah yang disampaikan oleh seorang ustaz yang kelakar, tidak kering gusi dibuatnya.

Kisah menarik yang tak boleh dilupa ialah kisah Ainul Mardiah, bidadari di syurga dan kisah seorang wanita yang dapat melihat ombak berubah warna menjadi merah dan laungan momohon keampunan Allah SWT daripada ombak tersebut. Seterusnya wanita itu juga mendengar suara kokokan ayam yang memohon keampunan Allah SWT. Mendengar tazkirahnya membuatkan hati lebih bersemangat dalam meneruskan ibadah ini. Tiada yang lebih indah di sisi-Nya selain berpuasa di bulan ramadhan dengan penuh ketakwaan. Lepas tarawih balik rumah, buka internet. Tidak tahu nak buat apa makanya saya mula mencari ruang untuk menulis catatan ini dalam diari blog saya, blog BULAN DAN  BINTANG.

Esok masuk hari ke-12 kita berpuasa. Makanya tinggal dua minggu lebih lagi genap sebulan ramadhan. Tidak sabar nak balik kampung. Beraya bersama mak ayah di sana. Moga raya tahun ini lebih meriah dengan kehadiran anak-anak ayah yang lain. Selalunya raya pertama dan kedua sibuk buat persiapan untuk hari terbuka pada raya ketiga. Itulah yang akan berlaku setiap tahun namun kehadiran anak-anak ayah kali ini lebih ramai dari tahun sebelumnya. Semoga ayah gembira hendaknya. Bahagia di samping anak cucu tersayang. Insya Allah Aminn

#Ramadhan yang dinanti
#Gambar bukan hak milik saya


Wednesday, June 8, 2016

Catatan Di Bulan Ramadhan


Bismillahirahmanirrahim

Assalamualaikum dan salam sejahtera sahabat semua. Hari ni dah masuk tiga hari dah kita berpuasa. Moga kita terus istiqamah dan kuat dalam menempuh apapun ujian daripada Allah SWT. Hari ini saya tak pergi tarawih. Tarawih di rumah sahaja. Badan tak berapa sihat. Insya Allah, moga Allah SWT berikan saya kekuatan untuk solat tarawih berjemaah esok. Aminn. 

Semalam pergi tarawih. Sangat seronok rasanya. Entah kenapa saya rasakan ketenangan setiap kali imam membacakan surah. Terkenang tarawih di kolej dulu. Bagaikan berada di hadapan Kaabah rasanya. Suara imam yang berlagu merdu. Doanya sangat menusuk kalbu hinggakan tanpa sedar saya menangis. Teringat dosa, teringat semua kelemahan saya. Sungguh saya hanyalah hamba Allah SWT yang tidak sempurna seperti mana sifat manusia sejak azali.  Bagaimana begitu banyak dosa yang bertimbun. Moga Allah SWT akhirkan hidup kita dalam keadaan kita tidak berhutang, dalam keadaan khusnul khatimah, dalam keadaan kita berada dalam RedhaNya dan rahmatNya sahabat semua. Insya Allah, aminn.

Saya berdoa moga ramadhan kali ini lebih baik daripada ramadhan yang terdahulu. Menjadikan kita lebih baik daripada sebelumnya. Menjadikan kita lebih kuat dalam menempuh kehidupan di dunia ini. Moga bahagia ada untuk kita dia akhirat sana sahabat semua. Insya Allah, aminn. Esok akan masuk hari yang keempat. Insya Allah, moga Allah SWT permudahkannya. Selamat menyambut bulan mulia, bulan Ramadhan sahabat semua. Moga Allah permudahkan urusan kita di dunia dan akhirat. 

Teringat masa kecil-kecil dulu, setiap kali bulan ramadhan, tiap malam pergi surau yang jauhnya beberapa kilometer. Tapi walaupun jauh, semangat nak  tarawih tu sentiasa ada. Lepas berbuka saja, terus bersiap ke surau. Jalan kaki. Tak ada kenderaan. Basikal pun tak ada. Kalau hujan tengok keadaan. Masa pergi tu memang tak boleh kalau tak pandang langit. Mesti setiap kali ke surau, masa jalan mesti pandang langit. Kira bintang. Tengok bulan. Tengok kalau-kalau ada tahi bintang. Cari buruj. Subhanallah, memori itu sangat sukar untuk dilupakan. Sangat seronok rasanya. Indahnya ciptaan-Nya. Subhanallah.

Sampai di pokok ara, lariii. Kononnya pokok ara itu berhantu. Memang mesti setiap kali lalu pokok itu, kaki mesti langkah seribu. Tak boleh jalan. Sambil lari terjerit-jerit sambil terbayang-bayang hantu tu. Sama ada masa pergi atau balik, sama saja. Kalau tak lari pun mesti langkah tu panjang-panjang. Siapa yang tertinggal nahaslah. Sekarang pokok itu dah tak ada. Sudah ditebang beberapa tahun yang lalu. Sangat rindu dengan zaman kanak-kanak. Sangat rindu pada suatu masa dulu. Ketika alam masih belum dicemari sepenuhnya. Langit masih penuh dengan kerdipan lampu alam. Masih boleh nampak bulan tesenyum di sisi sang bintang. 

Sampai sini sahaja sahabat semua. Moga jumpa lagi. Salam...

#Selamat menyambut bulan Ramadhan.
#Gambar bukan milik saya


Sunday, June 5, 2016

Catatan di pagi hari



Bismillahirrahmanirrahim

Pagi ini amat indah rasanya.
dengar suara burung merdu berlagu
hamparan langit lazuardi
mengirim bahagia di taman syurga
embun-embun menitis di dedaunan
semilir berlalu begitu lembut dan mesra 
melalui taman-taman cinta
bunga-bunga mekar mewangi
menguntum senyum di balik rama-rama cinta
Sang lebah pula rakus menyedut nektar
pohon-pohon cinta meliuk lembut dalam rindu
mentari mula membuka tirainya jauh di ufuk timur
menjadikan suasana tambah meriah dan hangat
pagi ini saat indah rasanya
Subhanallah, Subhanallah, Subhanallah
bagaikan aku kini berada di taman indah
Syurga nan Indah
jauh di sana
langit-langitNya begitu luas
saujana mata memandang
moga aku dan kalian
dapat bersama
mengembara di syurgaNya Allah SWT
mengembara di langit-langitNya Allah SWT.

#Ramadhan datang lagi
#Bersyukur dengan izin-Nya
#Gambar bukan milik saya