Bismilahirrahmanirrahim
Assalamualaikum dan selamat
sejahtera sahabat semua. Moga kita
sentiasa bahagia bersama kehidupan masing-masing. Sahabat, malam ini tiba-tiba
saya teringatkan ayah saya di kampung. Sejak merantau jauh dari negeri kelahiran
dan berkerja pula di bumi emas ini, hanya beberapa kali dalam setahun saya
menjengguk ayah di kampung. Sebenarnya
rindu itu sentiasa ada. Kadang berdoa untuk ayah dan arwah ibu yang sudah lama
berada di syurganya Allah SWT. Insya Allah, aminn. Seingat saya, sejak saya
membuat blog ini, saya tak pernah menitipkan secebis kenangan tentang ayah ibu
saya di ruang blog ini. Mungkin kata orang lain, ahhh, buat apa. Biarkan. Bukan
saya sahaja yang ada ibu ayah. Semua orang ada ibu ayah kecuali Nabi Isa a.s
yang hanya mempunyai ibu, tiada ayah. Jadi buat apa nak cerita tentang mereka.
Betul tak?
Sahabat semua, terserah kita
untuk melakukan apa sahaja di blog masing-masing asalkan tidak melanggar
peraturan dunia dan akhirat. Dan hari ini, malam ini, detik ini saya akan
berkisahkan ayah saya. Melunasi hutang saya selama bertahun-tahun. Ayah saya
namanya seperti yang tersurat dalam nama saya Sujana Kondorid. Kondorid adalah
nama bagi ayah saya. Berasal dari sebuah
desa permai di Negeri Di Bawah Bayu. Seorang yang sentiasa kemas. Tegap. Itulah
ayah yang kukenal sejak dulu. Sejak aku kecil. Ayah memang kemas dan tegap
sejak dari muda lagi. Kekemasan dan ketegapan itu berlarutan hingga sekarang,
menginjak usia ke angka 70-an. Berdahi luas. Berhidung mancung, dagunya tirus.
Boleh dikatakan ayah seorang yang kacak. Ibu berkahwin dengan ayah ketika ayah
berumur 25 tahun manakala ibu pula 14 atau 15 tahun ketika itu. Hasil
perkahwinan itu lahirlah saya, abang-abang, kakak-kakak dan adik-adik yang agak
ramai ini.
Saya sangat sayangkan ayah
dan ibu. Ibu punya kisah dan cerita yang tersendiri. Insya Allah, jika ada
kelapangan saya akan kisahkan hikayat tentang ibu di blog saya ini. Lambang
kasih sayang saya pada ibu. Seperti mana kasih sayang saya terhadap ayah. Ayah
seorang yang bertanggungjawab. Sungguh bertanggungjawab. Masih saya ingat suatu
peristiwa, ayah sanggup berjaga malam menjaga kami ketika kampung kami heboh
dengan pencuri yang memecah masuk rumah penduduk kampung. Ayah begitu tegas
dalam pelajaran anak-anaknya. Tiada seorang dari kami yang berani ponteng
sekolah walau macam mana pun keadaannya. Walau sakit pening sekalipun, saya, adik-adik
dan abang kakak akan datang ke sekolah juga walaupun ayah tidak tahu bahawa
kami sakit masa itu. Padahal yang sebenarnya kalau ayah tahu, pasti ayah tidak
akan benarkan kami ke sekolah. Tapi kerana takut, kami rela merahsiakannya.
Hikmah daripada itulah, masa darjah lima saya dan adik saya dianugerahkan sijil
kehadiran terbaik sepanjang tahun. Ayah begitu bangga masa itu. Ayahlah yang
memberikan sijil itu kami kami berdua. Saya begitu bangga menjadi anak ayah.
Ayahlah antara orang terawal yang datang ke sekolah untuk menghadiri majlis
itu. Walaupun saya berkongsi kasut dengan adik ketika mengambil sijil tersebut,
namun saya tidak kisah kerana yang saya mahu adalah untuk membuatkan ayah
bangga dan bahagia melihat kami tersenarai dalam kalangan murid yang mendapat
anugerah tersebut.
Ayah pernah cakap yang sampai sekarang saya masih ingat, “ kamu
kena belajar bersugguh-sungguh kalau nak makan kuih ni. Kamu belajarlah, boleh
beli kuih. Kalau kamu ada duit boleh beli banyak-banyak. Makan sampai kenyang.
Sebab itu saya nak kamu belajar sampai berjaya.” Sekarang bukan setakat kenyang tapi sampai tak nak beli dah kuih dan
biskut yang sewaktu kecil menjadi kegilaan. Betapa banyaknya hikmah ketegasan
ayah dalam menjadikan saya orang yang berjaya.
Ketegasan ayah itulah yang membuatkan saya sangat meminati buku sehingga
sekarang. Moga saya dan kalian semua akan terus menjadikan buku dan ilmu adalah
cahaya dalam kehidupan seharian. Insya Allah, aminn.
Ayah seorang yang sangat
baik. Saya tidak pernah dengar ayah mengata orang lain. Mengumpat sana sini.
Tidak pernah. Jika ayah dihina ayah tidak akan membalasnya. Ayah hanya diam.
Ayah akan buat kerja yang disukainya. Mungkin itu cara ayah melenyapkan hinaan
orang. Ayah akan bercakap perkara yang baik-baik sahaja. Sampai sekarang,
sampai ayah tua. Ayah juga sentiasa tersenyum. Cara ayah menghadapi ujian hidup
yang dihadapinya adalah dengan senyuman. Gigi ayah tinggal satu batang.
Kadang-kadang ayah nampak comel bila tersenyum. Itulah ayah. Sebagai anak saya
kagum dengan sikap ayah ini. Insya Allah, sahabat semua, sebagai anak moga
jadilah kita anak-anak yang sentiasa menyayangi ibu ayah dan mendoakan kebahagiaan
mereka di dunia dan akhirat. Insya Allah, Amin. Ayah seorang yang sangat mesra
dengan ramai orang. Mungkin sebab itulah ayah mempunyai ramai kawan. Waktu muda
dulu, ayah agak aktif dengan sukan. Ayah pernah memenangi marathon yang
diikutinya di Kuala Lumpur tahun 1990-an dulu. sebagai anak, saya sungguh
bangga dengan ayah. Kejayaan ayah itu menjadi pemangkin untuk saya dan
adik-beradik lain untuk aktif dalam sukan di sekolah dulu.
Masa kecil dulu, kalau saya
sakit, saya paling suka kalau ayah yang bawa saya ke hospital sebab lepas
berubat ayah akan bawa ke kedai makan. Masa itulah saya boleh pulun
habis-habisan kuih-muih yang terhidang sampai kenyang. Peluang seperti itu
bukan selalu ada kerana kesukaran hidup menjadikan ayah ibu lebih berjimat dalam
berbelanja. Bila dikenang, mungkin ayah sengaja buat begitu untuk memberikan
saya dan adik-beradik rasa bahagia setelah beberapa hari tidak berselera untuk
makan. Makanya ayah mahu mendatangkan selera makan kami dengan membiarkan kami
makan makanan yang jarang dinikmati. Bila mengenang nostalgia bersama ayah,
memang agak banyak memori yang menjadi kenangan terindah. Sekarang saya sudah
jauh dari ayah. Jarang jengguk ayah. Kalau setahun dua tiga kali saya balik kampung.
Kerinduan terhadap kampung halaman dan ayah membuatkan saya mahu sentiasa balik
lebih-lebih lagi bila tiba musim raya. Tiap tahun balik kampung. Jumpa ayah.
Menikmati kehidupan di kampung setelah berbulan hidup di bandar. Sekaligus
mendatangkan ketenangan dan kedamaian setelah berbulan-bulan dibebani dengan
tekanan kerja.
Sahabat semua, mari kita
doakan agar ayah ibu kita dan seluruh keluarga kita beroleh kebahagiaan di
dunia dan akhirat. Insya Allah, aminnn. Bagi mereka yang masih ada ayah dan ibu
saya doakan moga kita terus berbakti untuk ayah dan ibu kita. Menyayangi mereka. Menjadi anak yang
soleh dan solehah terhadap orang tua kita. Insya Allah, aminn. Kepada
sahabat-sahabat yang sudah tidak punya ayah, saya doakan moga mereka berada di
syurganya Allah SWT. Insya Allah, aminn. Teruskan mendoakan ayah ibu kalian.
Terus berusaha menjadi anak yang terbaik dari yang terbaik. Insya Allah. Aminn.
Moga kita semua, termasuk dalam golongan hamba Allah SWT yang beriman. Insya
Allah, aminn.
Sampai jumpa lagi sahabat
semua. salam untuk diri dan anda semua, salam…