Assalamualaikum
Siang tadi aku eksiden lagi. Ketika aku memandu keluar dari simpang, sebuah motosikal yang memecut laju tiba-tiba muncul dari sebelah kanan. Dia tidak perasan akan kewujudan aku, manakala aku lagi la tidak perasan kelibatnya yang mencelah di sebalik lori dan kereta lain. Berbekalkan tindakan refleks dan kudrat sedia ada, penunggang itu mengelak kereta aku dan terus jatuh menyembah jalan raya.
Ya kereta aku tidak apa-apa. Jalan raya itu juga tidak apa-apa. Si penunggang tadi yang berdarah disini-sana. Dengan hingus mengalir kencang dan gaya mamai akibat selesema, aku memarkir kereta dan berlari-lari anak singa ke arah penunggang tadi. semua kemahiran memujuk aku keluarkan. Kaedah sentuhan, ayat-ayat simpati, mimik muka empati, dan banyak lagi agar cerita itu tidak berakhir dengan kayu besbal terpacak dikepalaku.
Mungkin aku bernasib baik. Penunggang tadi adalah seorang yang baik hati dan sedar akan kesilapannya menunggang laju dan tidak alert dengan kenderaan lain. Setelah menolongnya menolak motosikal ke tepi jalan, aku meminta izin untuk berlalu pergi kerana kereta aku menghalang lalu lintas. Kasihan juga aku dengan beliau. Yang aku tidak boleh terima, mengapa aku boleh terlupa untuk menghulur wang sekerat dua untuk dia pergi berubat. Penyesalan yang menghantuiku hingga kini.