BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Ahad, 15 Februari 2009

Esei UPSR 2008 - Khas untuk Cikgu2

Salam,
minggu ni malas nak tulis, tapi ada sedikit bahan bacaan menarik untuk ditatapi, sekadar sedikit hiburan. Maaf, tulisannya kecik sikit, malas nak adjust. Pandai-pandailah ye.

Sabtu, 7 Februari 2009

Al-Kisahnya Melayu Champa - Bhg 1


Assalamualaikum w.b.t

Nama diberi Muhammad Soleh, tapi nama rasmi dalam ic dan surat beranak Mohamed Seroleh, ha! Macamana tu? Mana satu yang betul ni? Nak panggil yang mana ni? Ok, entry kali ni bukan nak cerita pasal nama macam entry sebelum ni atau nak cerita asal usul nama tersebut macam entry yg dulu-dulu tu, tapi nak cerita asal usul diri sendiri. Pening tak? ala, korang baca je lah.

Niat dihati bukan nak mempromosi diri, tetapi ada cerita lain yang ingin diketengahkan. Seperti yang dinyatakan di kolum sebelah kiri, Melayu Champa adalah bangsa asal pemilik diri, Seroleh. Kenapa Seroleh? Memang orang champa pakai nama macam tu ke? Jawapannya ialah tidak, kerana adik beradik lain semua nama ok je, Faridah, Farid, Ashaari, Shukor, Abdullah, Yusof, Rozali dan Rozana. Jadi, nama Seroleh tiada kena mengena dengan bangsa champa.

Hmm, korang pernah dengar ke bangsa Melayu Champa? Ha, ni nak cerita nih.

Asal Usul Melayu Champa

Melayu Champa adalah salah satu bangsa dalam rumpun Melayu Nusantara selain Jawa, Bugis, Boyan dan lain-lain. Cuma dari segi geografinya, orang Champa tinggal di negara Indo-China seperti Kemboja, Vietnam dan Thailand berbeza dengan rumpun lain yang tinggal di sekitar Malaysia, Indonesia, dan Singapura. Kerajaan Champa telah bertapak lama di kawasan Indo-China dan pernah mempunyai sebuah negara yang sah pada tahun 1100 Masihi yang terletak di selatan Vietnam. Walaubagaimanapun, menurut cerita orang tua, negara tersebut telah tergadai dan telah menjadi salah satu wilayah di Vietnam. Ini adalah kerana raja Champa ketika itu telah berkenan dengan seorang puteri dari Vietnam dan telah menjadikannya Permaisuri beliau, tetapi entah macamana negara Champa telah digadai dan dijadikan sebahagian dari Vietnam. Hmm, tak pasti akan kebenaran cerita tersebut.


Kanak-kanak Melayu Champa di Kemboja

Orang Champa mempunyai bahasanya sendiri dan banyak juga perkataan yang seakan bahasa Melayu, nama pun satu rumpun, mesti ada persamaan di situ. Walaubagaimanapun, bahasa Champa adalah sangat berbeza sekali dengan bahasa Kemboja, Vietnam mahupun Thailand, cuma mungkin slanganya agak hampir sama dan makhraj keluar huruf pun lebih kurang. Jadi ramai yang keliru antara bahasa Champa dengan bahasa dari negara Indo-China yang lain. Berikut adalah contoh perbandingan antara bahasa Melayu, Champa dan Kemboja:

Melayu – Champa – Kemboja
Makan nasi = huak sai = si pai
Minum air = nyom I’a = phek dhek
Satu , dua, tiga = sa, dhua, klau = mui, pi, pei

Nak tau lagi cerita pasal bangsa Champa, tunggu keluaran akan datang yang akan menyentuh soal pemakanan, perkahwinan, adat resam, pekerjaan dan sebagainya. Tapi kalau tak sabar boleh cari sendiri, informasi di hujung jari. Wiki, Negara

p/s: Kalau nak belajar bahasa Champa bagitau, nanti boleh bukak kelas.

Sabtu, 31 Januari 2009

Apa ada pada nama?



"Assalamualaikum, nama diberi Mohd Aqil Zafran bin Muhammad, tapi member selalu panggil gencot. ada jugak yang panggil Kill atau Zek. Tak kisahlah nak panggil apa pun. Berasal dari bla...bla...bla..."

Begitulah barangkali skrip yang selalu kita dengar setiap kali sesi taaruf diadakan. Mungkin ianya jarang berlaku dikalangan mereka yang memahami fikrah Islam, tetapi bagi orang kebanyakan ianya adalah perkara biasa dan tidak ada yang perlu dikisahkan sangat. Yelah, apa ada pada nama? ianya hanya panggilan dan untuk kita kenal semata-mata. Hmm... betul ke? Kalau gitu kenapa nak letak nama yang sedap, panjang pulak tu, berbelit lidah nak menyebut, walaupun maknanya elok. Last skali, panggil gencot yang ntah apa-apa ntah maksudnya. Dan kalau panggil Kill pulak, kan maksudnya bunuh kalau dalam bahasa Inggeris. Elok ke? Sedangkan kita sedia maklum, perkataan yang disebut dan dipanggil untuk seseorang itukan merupakan doa terutamanya apabila ianya keluar dari mulut seorang ibu atau bapa, lagilah makbul doa yang diucapkan.

Sebagai contoh, "Aqil, tolong mak pergi pasar sekejap," apabila diterjemahkan menjadi, "Si Pintar, tolong mak pergi pasar sekejap," berbanding kalau kita panggil Kill yang menjadi "Bunuh, tolong mak pergi pasar sekejap." Mana lebih elok?

Mungkin kita tidak kisah atau memang suka dengan panggilan yang takde makna itu, kerana dianggap pelik, ganas dan lain dari yang lain, tapi apa yang kita dapat? Hanya rasa bangga dengan nama yang pelik dan ganas itu. Kalau maknanya baik, insyaAllah baiklah yang kita dapat. Kalau tidak, sia-sia kita ada nama yang baik tapi tak digunakan.

Firman Allah S.W.T


Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia) maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya. Mereka akan medapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan.

Surah Al-A'raf 7:180


Biarlah setiap patah perkataan yang kita ucapkan sehari-hari adalah sesuatu yang baik dan bermanfaat sama ada untuk diri sendiri mahupun orang di sekeliling kita kerana Allah itu Maha Teliti dan menilai setiap perkara yang kita kerjakan dari sekecil-kecil biji sawi sehinggalah sebesar-besar err... apa-apa je lah yang besar. Kita dinilai oleh Allah kerana kita sudah mengikat hati kita dengan aqidah yang utuh terhadap pengakuan kita dalam Syahadatain. Wallahua'alam.

p/s: Semua nama di atas adalah rekaan semata-mata. Tiada kena mengena sama ada dengan yang hidup atau yang mati. Kalau ada yang sama, hanya kebetulan semata-mata.

Sabtu, 17 Januari 2009

Aku Masih Di Sini Bersamamu Palestin


Assalamualaikum,

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, semoga kalian semua berada dalam keadaan sihat fizikal dan sihat iman insyaAllah. Nak mintak maaf kepada semua yang rajin singgah kat blog ni sebab dah lama tak update, kerana kesibukan aktiviti di luar sana. Walaupun kurang aktif di alam maya, tapi insyaAllah kerja dakwah tetap terus berjalan dalam rutin harian.

Dengan keadaan saudara kita di Palestin yang semakin parah, perit, sakit, adakah kita masih berasa selesa dengan keadaan ini? Seluruh dunia tanpa mengira kaum bangsa dan agama, dengan lantang mengutuk serangan tentera Israel laknatullah terhadap Gaza yang tidak berdosa. Dengan angka korban yang sudah melebihi 1000 jiwa itu, dan beribu-ribu lagi yang cedera. Semua sekolah, hospital, rumah dibedil dengan sewenang-wenangnya. Mereka tidak pernah kenal mangsa, kanak-kanak, orang tua, wanita mengandung, semua tidak terkecuali menjadi mangsa. Rakyat Palestin itu tidak pernah kenal apa itu keamanan, bagaimana rasanya nikmat kebebasan, apa itu keselesaan, yang mereka tau mereka hidup hanya untuk membaling batu ke arah tentera yahudi, dengan bekalan untuk hidup yang terhad, mereka terus berjuang dan berjihad tanpa mengambil kira apa jua keadaan, apa jua rintangan, walaupun sakit, sekalipun terseksa, jari telunjuk tetap menghala ke atas dan di hati tetap cekal dengan kalimah LAAILAAHAILLALLAH.

Cuba kita bayangkan, bayangkan, dan bayangkan... situasi dan keadaan yang sama tiba-tiba terjadi di bumi yang kita pijak. Ya, bayangkan jika yang dibedil itu adalah bangunan KLCC yang kita megahkan itu, Putrajaya yang cantik itu menjadi tunggang langgang, Nusajaya yang belum siap itu pun tidak terkecuali, sekolah2, universiti2, klinik2, hospital, airport klia, senai diganyang dan hancur lebur. Bersediakah kita? Bolehkah kita menjadi seperti rakyat Palestin yang cekal itu, dengan keteguhan iman terhadap Pencipta yang sangat kuat? atau kita hanya melihat tidak terdaya dan membiarkan diri menjadi mangsa bedilan? Bukanlah meminta perkara itu berlaku, Na'uzubillah, tapi ianya adalah tidak mustahil dengan keadaan dunia yang sukar dijangka ini. Apa juga boleh berlaku. Rakyat Palestin paling bertuah sekali kerana telah dipilih oleh Allah untuk berada di barisan hadapan sekali untuk menentang musuh Allah. Kemenangan sudah berada ditangan mereka, sama ada kemenangan tentera ataupun syahid (kemenangan hakiki).

Jadi, persiapkan diri, teguhkan iman, konsisten dalam beramal, dan teruskan berdoa agar hati ini terus berada di jalan yang benar. Kepada rakyat Palestin, sumbanglah sesuatu sekadar termampu dengan menyumbangkan kewangan, berdoa, solat hajat untuk kesejahteraan mereka, dan boikotlah barang pakatan yahudi. Allahuakbar!

Jumaat, 12 September 2008

Bisikan Nafsu



Wahai para pemuda, jalan penyelesaian terpenting untuk membebaskan dirimu daripada tipu daya dan hasutan syaitan, melepaskan dirimu daripada perhiasan dan kesesatannya sebagaimana yang telah kami ambil daripada ayat-ayat al-Quran.


Kita ringkaskan jalan-jalan penyelesaian tersebut di dalam beberapa noktah berikut:

° Syaitan adalah musuh kepada manusia, maka kamu hendaklah menjadikannya sebagai musuh.

° Beristiqamah mengikuti manhaj rabbani dan berjalan di atas jalan yang lurus.

° Mempertingkatkan keimanan terhadap Allah, berlindung dan bertawakkal kepadaNya.

° Memohon perlindungan dengan Allah setelah dia merasakan godaan daripada syaitan yang direjam.

° Mempertingkatkan ketaqwaan kepada Allah dan merasakan pemerhatianNya di setiap masa samada ketika sunyi atau nyata.

° Menghidupkan hati dan anggota yang lain dengan zikir kepada Allah dan sentiasa taat serta beribadat kepadaNya.

° Sedar dan beringat setelah dialpakan oleh syaitan dan memutuskan hubungan dengan ahli batil dan sesat.


Dengan penyelesaian ini, kamu -wahai saudaraku para pemuda-akan menjadi insan yang beriman, sedar dan pandai bertindak di dalam segenap perkara. Kamu akan menjadi seorang yang mempunyai keimanan yang mendalam, beriltizam dengan manhaj Islam dan ajaran al-Quran. Syaitan tidak akan dapat bergantung, memperdaya atau menguasai kamu. Kamu selama-lamanya akan menjadi seorang hamba Allah yang ikhlas dan tenteraNya yang menang. Inilah makna firman Allah yang telah menggugat syaitan dengan kata-kata yang menggentarkan:

Maksudnya: Sesungguhnya hamba-hambaKu tidak adalah bagimu sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa yang menurutmu dari orang-orang yang sesat (dengan pilihan mereka sendiri). (Al Hijr,15: 42)


Inilah yang telah diakui oleh syaitan sendiri bahawa dia tidak mempunyai jalan untuk menggoda hamba Allah yang ikhlas:

Maksudnya: Iblis berkata: Wahai Tuhanku! Kerana engkau telah menjadikan daku sesat, maka demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semua, kecuali di antara zuriat Adam itu orang-orang yang dibersihkan daripada sebarang syirik.(Al Hijr,15: 39-40)



Inilah rahsia sabda Rasulullah s.a.w kepada Umar al-Faruq:

Maksudnya: Demi Allah yang diriku berada di bawah kekuasaanNya. Syaitan tidak akan bersemuka dengan engkau, apabila engkau melalui satu jalan maka syaitan akan melalui jalan yang lain. (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.)

Adalah diharapkan kepada kamu -wahai saudaraku para pemuda-supaya menjadi hamba Allah yang ikhlas dan mengikut manhaj yang dilalui oleh Umar al-Khattab iaitu keteguhannya bersama kebenaran iman, taqwa dan iltizamnya dengan Islam supaya tidak ada satu jalan pun untuk syaitan memperdayakan kamu... sehingga kamu tidak terpengaruh dengan kesesatan dan tipu daya syaitan di setiap detik kehidupanmu... Dan sesungguhnya firman Allah adalah benar dan hanya Dia sahaja yang mampu menunjukkan kepada kita semua jalan yang lurus.

Ketika Allah menjadikan jiwa manusia, Dia menjadikan di dalamnya dua penerimaan:

penerimaan terhadap kebaikan dan penerimaan terhadap kejahatan. Sekiranya manusia memperlengkapkan jiwanya dengan akhlak, amal soleh dan mengasuhnya dengan ilmu dan pentarbiahan... jiwa tersebut akan membesar dan berkembang dengan mengikut petunjuk dan kebaikan, beransur-ansur menuju ke arah keseimbangan dan kesempurnaan dan sentiasa bekerja untuk memperbaiki dirinya dan juga orang lain.


Sekiranya dia mengabai dan membiarkannya beberapa hari tanpa pengasuhan sehingga jiwanya diselaputi oleh karat-karat kejahilan, ditutup oleh wabak pergaulan bebas dan ditimbuni oleh suasana yang rosak serta adat kebiasaan yang keji, maka tidak syak lagi ia akan membesar bersama-sama kejahatan, kefasadan dan penyelewengan.


Al-Quran dan as-Sunnah telah menegaskan perkara ini. Allah telah berfirman:

Maksudnya: Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya). Serta mengilhamkannya (untuk mengenali) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa. Sesungguhnya kerjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebaikan). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). (As Syams,91: 7-10)

Imam Bukhari telah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda:

Maksudnya: Setiap kanak-kanak itu dilahirkan di dalam keadaan bersih, maka kedua ibubapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi.

Imam Al Ghazali telah menegaskan di dalam Ihya’ Ulumuddin tentang penerimaan jiwa manusia terhadap kebaikan dan juga kejahatan serta persediaannya untuk beristiqamah di atas jalan yang lurus ataupun menyeleweng ke jalan yang sesat ketika beliau berkata:

Kanak-kanak adalah amanah kepada kedua ibubapanya dan hatinya berada dalam keadaan bersih. Sekiranya kanak-kanak tersebut disediakan dan diajar dengan kebaikan, maka dia akan membesar di atas kebaikan dan akan berbahagia di dunia dan akhirat.

Sekiranya dia disediakan dan diajar dengan kejahatan serta dibiarkan seperti binatang ternakan, dia akan menderita dan binasa. Menjaganya ialah dengan mendidik dan mengajarnya akhlak yang mulia.

Alangkah indahnya kata-kata penyair:

Akhlak tumbuh seperti tumbuh-tumbuhan,
apabila disirami air, ia akan tumbuh dengan baik,
sekiranya penjaganya menyediakan tempat yang baik,
ia akan mengeluarkan hasil yang baik.

Menurut al-Quran, nafsu terbahagi kepada tiga bahagian: Nafsu ammarah, nafsu lawwamah dan nafsu mutmainnah. Kita akan membincangkan ketiga-tiga nafsu ini secara ringkas.

1. Nafsu Ammarah:

Allah telah berfirman melalui lisan isteri raja Mesir di dalam surah Yusuf:

Maksudnya: Dan aku tidak membebaskan diri aku (dari kesalahan). Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang yang telah diberikan rahmat oleh Tuhanku. Maka Tuhanku adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. (Yusuf,12: 53)

Maknanya: Nafsu manusia yang tidak dihiasi dengan keimanan dan tidak dibekalkan dengan ketaqwaan serta tidak beriltizam dengan agama rabbani... kebanyakannya akan mendorong manusia melakukan kejahatan disebabkan adanya dorongan syahwat dan penerimaan kejahatan yang telah dibekalkan kepadanya untuk mendapatkan kelazatan.

Begitu juga kerana adanya hasutan syaitan dan ia menghiasinya dengan berbagai-bagai dorongan...

Dengan ini, isteri raja telah menggoda dan mengajak Nabi Yusuf untuk melakukan kejahatan. Apabila Nabi Yusuf menolak, dia telah menghasut raja supaya memenjarakannya. Semua ini bertujuan menodai kesucian Nabi Yusuf dengan segala kejahatan dan tohmahan serta perkara yang menyakitkan.

Perkataan ‘kecuali orang yang telah diberikan rahmat oleh tuhanku’ membawa maksud Allah telah mengecualikan nafsu yang dirahmatiNya. Dia akan menjauhkannya daripada segala kejahatan dan kekejian, sebagaimana yang telah dilakukan kepada Nabi Yusuf a.s.

Perkataan ‘Maka Tuhanku adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani’ membawa maksud Tuhanku maha pengampun bagi sesiapa yang bertaubat dan menyesali perbuatan jahatnya. Dia akan mengampunkan dosa yang dilakukan oleh manusia kerana tabiat dan penerimaan kejahatan yang telah dijadikanNya untuk manusia, di mana ia dijadikan cenderung kepada kejahatan, penyelewengan dan menuju ke arah memenuhi tuntutan syahwat dan kelazatan.

2. Nafsu Lawwamah.

Allah telah berfirman di dalam surah al-Qiamah:

Maksudnya: Aku bersumpah dengan hari kiamat, dan Aku bersumpah dengan Nafsu Lawwamah (bahawa kamu akan dibangkitkan sesudah mati). (Al Qiamah,75: 1-2)

Mujahid berkata: Nafsu ini adalah nafsu yang mengeji dirinya sendiri di atas apa yang telah berlaku dan menyesali perbuatan jahat yang telah dilakukannya serta menyesali terhadap kebaikan, kenapa dia tidak memperbanyakkannya. Dia sentiasa mengeji dirinya walaupun dia telah bersungguh-sungguh melakukan ketaatan.


Al Farra’ pula berkata: "Ia sentiasa mengeji perbuatan jahat dan baik yang telah dilakukannya. Sekiranya dia melakukan kebaikan dia akan berkata: Kenapa aku tidak menambahnya?. Sekiranya dia melakukan kejahatan dia akan berkata: Amat celakalah apa yang telah aku lakukan.” Sekiranya beginilah keadaannya, maka ia merupakan pujian kepada nafsu.

3. Nafsu Mutmainnah.

Allah telah berfirman di dalam surah Al Fajr:

Maksudnya: Wahai orang-orang yang mempunyai jiwa yang tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya (nafsu mutmainnah)! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan puas hati lagi diredhai (di sisi Tuhanmu). Serta masuklah kamu ke dalam golongan hamba-hambaKu yang bahagia. Dan masuklah ke dalam syurgaKu. (Al Fajr,89: 27-30)

Nafsu Mutmainnah adalah nafsu yang tetap berada di atas keimanan, ketaqwaan dan Islam.

Makna ayat di atas ialah: Wahai nafsu yang telah tetap dan teguh di atas keimanan, kebenaran dan beriltizam dengan jalan Islam serta menjaga garis sempadan syarak... kembalilah ke tempat yang mulia di sisi Tuhanmu dalam keadaan redha dengan apa yang telah engkau lakukan di dunia dan engkau pula diredhai oleh Tuhanmu. Engkau tidak suka marah dan tidak terfitnah... tidak ketika kaya dan tidak ketika miskin, tidak ketika sihat dan tidak juga ketika sakit, tidak ketika senang dan tidak pula di waktu susah. Engkau tidak melampaui batasan syarak di dalam hak dan tanggungjawab engkau... masuklah wahai nafsu mutmainnah ke dalam kumpulan hamba-hamba Allah yang dimuliakan dan bergabunglah ke dalam partinya yang soleh... masuklah syurga Allah yang mana kenikmatannya tidak pernah disaksikan di dunia dan tidak pernah didengar oleh telinga serta tidak pernah terlintas di dalam hati manusia.

Tidak ragu lagi bahawa nafsu Mutmainnah merupakan nafsu yang paling tinggi sekali darjatnya daripada nafsu-nafsu yang telah disebutkan kerana ia memiliki keistimewaan dengan ketetapan iman, keteguhan dalam keyakinan, ketaatan yang berterusan dan istiqamah di atas manhaj Islam.


Sumber : Abdullah Nasih Ulwan, Pemuda Muslim Dalam Menghadapi Cabaran Masa Kini, www.dakwah.info

Isnin, 1 September 2008

Festival Bulan Ibadah




Alhamdulillah! Alhamdulillah! Alhamdulillah!

Bersyukur ke hadrat Illahi kerana telah memberi peluang kepada kita sekali lagi untuk menjejaki dan merasai bulan yang penuh rahmah, Ramadhan. Inilah peluang kita, ya, peluang yang sangat kita tunggu-tunggu selama sebelas bulan untuk kita melipatgandakan amalan kita. Bulan untuk kita sama-sama mencari rahmat Allah. Ayuhlah kawan-kawan kita menghiburkan diri kita dengan amal-amal soleh. Mengoptimumkan masa kita dengan pengabdian kepada Allah. Mengimarahkan rumah-rumah Allah. Memeriahkan 'Festival Bulan Ibadah'.
Firman Allah SWT:


Maksudnya: ...dan hendaklah kamu mengagungkan Allah kerana memberi petunjuk kepada kamu, semoga kamu bersyukur. (Al-Baqarah, 2:185)

Di masjid, di surau, di rumah, di pejabat, ada saja yang kelihatan sedang bertilawah, bertadarus, berzikir, solat, bersedekah, menghadiri majlis ilmu, dan sebagainya seolah-olah ada satu pesta yang sangat meriah di mana-mana sahaja. Malah, bukan sahaja manusia, tetapi pokok-pokok, daun-daun, batu-batu, awan, langit, bumi dan seluruh alam semesta ini sedang beribadat dan meraikan 'Festival Bulan Ibadah' ini. Jadi, janganlah kita ketinggalan untuk sama-sama ikut serta bagi memeriahkannya. Semoga amalan kita dibulan yang mulia ini mendapat keredhaan-Nya, insyaAllah. Wallahu'alam.

Selamat beramal dibulan Ramadhan!

Isnin, 25 Ogos 2008

Memeriksa Diri


Saya ingin mengajak anda semua untuk menguji diri kita masing-masing dengan ujian iman dan Islam, dan mengukur kehidupan kita dengan sinaran kriteria tersebut. Bila anda mengakui telah menerima Islam dan menyatakan iman kepadanya, periksalah...


1-Apakah benar bahawa hidup dan mati anda adalah benar-benar untuk Allah saja?

2-Apakah hidup, akal fikiran, tenaga yang ada pada jiwa dan raga anda, waktu dan usaha-usaha anda, semuanya anda abdikan untuk memenuhi kehendak Allah?

3-Apakah yang harus anda kerjakan untuk menunjang tercapainya tugas yang telah diberikan Allah kepada umat Islam?

4-Selanjutnya, apakah anda telah memberikan seluruh kepatuhan dan pengabdian anda sepenuhnya kepada Allah?

5-Apakah pelayanan kepada hawa nafsu dan pengabdian kepada keluarga, saudara-saudara, handai-taulan, masyarakat dan penguasa Negara, telah sepenuhnya terhapus dari jiwa anda?

6-Sudahkah anda mengukur suka dan benci anda, seluruhnya tergantung pada kehendak Allah?

7-Kemudian anda juga harus memeriksa apakah bila anda mencintai seseorang, hal itu anda lakukan kerana Allah atau tidak; apakah bila anda membenci seseorang, juga kerana Allah?

8-Apakah dalam cinta dan benci anda tidak terkandung unsur egoisme atau keangkuhan?

9-Sekali lagi, anda harus memeriksa apakah tindakan anda dalam memberi atau tidak memberi sesuatu kepada seseorang juga telah anda lakukan kerana Allah?

10-Benarkah bahawa, apa pun yang anda belanjakan untuk kepentingan anda sendiri ataupun anda berikan kepada orang lain adalah kerana hal itu telah ditetapkan Allah, dan bahawa dengan pembelanjaan dan pemberian itu, tujuan anda adalah semata-mata mencari redha-Nya?

11-Demikian juga bila anda tidak memberikan sesuatu kepada seseorang, apakah hal itu juga kerana Allah melarang anda memberikannya?

Bila anda merasakan yang sedemikian itu dalam diri anda, maka anda harus bersyukur kepada Allah bahawa anda telah dianugerahi rahmat iman dalam kepenuhannya. Tetapi bila dalam hal ini anda masih merasakan sesuatu kekurangan, maka anda harus memusatkan tekad dan perhatian anda untuk menghilangkan kekurangan ini, kerana kesejahteraan anda di dunia ini dan keselamatan anda di akhirat nanti, tergantung pada usaha anda untuk menghilangkan kekurangan dalam iman anda itu. Tetapi kejayaan anda itu tidak akan dapat menebus kerugian anda di akhirat, kerana kekurangan iman anda itu. Tapi bila anda berhasil menutupi kekurangan iman anda, maka walaupun anda tidak memperoleh apa-apa du dunia ini, anda akan tetap berjaya di akhirat nanti.

Ukuran ini ditetapkan bukan dengan meksud agar anda menguji orang-orang lain dengannya, dan menentukan apkah mereka itu Mu’min, kafir atau munafiq, tetapi agar anda menguji diri anda sendiri, dan setelah mengetahui kekurangan dalam iman anda, anda segera mencuba menghilangkannya sebelum anda dihadapkan di pengadilan akhirat nanti. Anda tidak perlu penilaian ‘ulama’, mufti atau kadi mana pun juga, tentang diri anda. Yang penting bagi anda adalah penilaian dari Penguasa Tertinggi, yang tahu akan hal yang ghaib mahupun yang kelihatan. Janganlah anda cepat merasa puas dengan melihat nama anda tercantum sebagai seorang Islam dalam daftar tanda penduduk anda, tetapi berusahalah agar nama anda tercatat dalam Buku-Catatan Allah sebagai hamba-Nya yang patuh. Tidak ada gunanya bila seluruh manusia di dunia ini memberikan surat keterangan bahawa anda adalah seorang Islam. Kejayaan anda yang sebenarnya terletak dalam penilaian yang diberikan oleh Allah, bahawa anda adalah seorang Mu’min, bukannya seorang munafiq, seorang beriman, bukannya seorang kafir.

Sumber : Sayyid Qutb & Abu’l A ‘la Al-Maududi. 2001. Manhaj Hidup Muslim. Shah Alam. Dewan Pustaka Fajar.