Dalam hidup kita sebagai seorang muslim, hanya ada dua pilihan dalam setiap perbuatan atau amalan kita setiap saat dan setiap waktu iaitu Wahyu ataupun Nafsu. Sekiranya bukan wahyu, maka nafsulah ia dan begitu juga sebaliknya. Tiada jalan tengah di antara syariat Allah dan keinginan hati. Tiada percampuran antara wahyu dan nafsu kerana kedua-duanya adalah dua perkara yang bertentangan. Ibarat timur dengan barat. Umpama utara dengan selatan. Tiada titik pertemuan diantara keduanya.
Wahyu adalah sesuatu yang diturunkan oleh Allah sama ada terus seperti dalam Al-Quran mahupun melalui utusan Baginda Ar-Rasul. Wahyu adalah sesuatu yang hak, yang benar. Manakala nafsu pula ialah keinginan manusia sendiri tanpa mengikut apa yang telah disyariatkan Allah. Walaupun logik akal mengatakan sesuatu perbuatan itu adalah baik, tetapi jika ianya bukan datang dari Allah, maka nafsulah namanya. Begitu juga sebaliknya.
Firman Allah S.W.T.:
“Kemudian Kami jadikan engkau (Ya Muhammad) di atas syariat(peraturan) di antara urusan(agama), maka ikutlah syariat itu dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak berilmu.”
(Al-Jatsiyah, 45:18)
Kita sebagai seorang pelajar universiti, adakah kita belajar di IPT itu adalah tuntutan wahyu atau memenuhi kehendak nafsu? Supaya dipandang hebat oleh masyarakat, agar mendapat pekerjaan yang hebat, dipaksa oleh orang tua, atau menganggap ianya adalah satu tuntutan agama? Semuanya bergantung kepada nawaitu kita yang menentukan sama ada ianya adalah nafsu ataupun wahyu.
Begitu juga kiranya kita adalah seorang peniaga, penjawat awam, pemandu bas, pemimpin persatuan, ketua pegawai eksekutif syarikat korperat, mahupun cacai tua angkat najis, ianya bergantung kepada niat dan cara kita mengerjakannya. Seorang yang duduk rumah di kerusi malas tanpa berbuat apa-apa boleh dikatakan wahyu dan boleh juga dikatakan nafsu. Andai niatnya adalah kerana malas hendak berusaha dan membuang masa, maka nafsulah ia. Tapi andai niatnya adalah untuk berehat sebentar dan memulihkan tenaga supaya dapat beribadat kepada Allah seperti qiamullail dan sebagainya, maka wahyulah ia. Tapi andai niat yang baik diikuti dengan cara yang bukan syariat, maka nafsulah jua akhirnya.
Memetik kata-kata Maimun bin Mahran Rahimahullah, seorang ahli hadis yang thiqah, “Jauhkanlah dirimu dari keinginan yang bukan atas nama Islam.” Wallahu’alam.
- Al-Munthalaq, Muhammad Ahmad Ar-Rashid
- Ustaz Wan Hassan Wan Embong