Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, guru berkenaan dipercayai baru saja selesai mengajar subjek Sejarah sebelum keluar menuju ke bilik guru.
Difahamkan, suspek berang selepas guru terbabit Mariati Mat Ail, 37, ingin membawanya ke bilik guru disiplin selepas suspek didapati bergaduh di koridor sekolah itu.
Jurucakap Jabatan Pelajaran Negeri Perlis (JPNPs) berkata, mangsa terserempak dengan satu pergaduhan di mana suspek sedang membelasah seorang pelajar tingkatan satu di kaki lima sekolah itu sebelum cuba menyuraikannya.
“Mangsa menarik suspek yang pernah dibuang sekolah untuk dibawa ke bilik guru disiplin kerana membelasah pelajar berkenaan.
“Suspek yang enggan dibawa ke bilik itu tiba-tiba melepaskan satu tumbukan kuat tepat ke muka guru itu yang mengenai hidung mangsa,” katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, semalam.
Katanya, hidung mangsa patah akibat tumbukan berkenaan menyebabkan mangsa pening sebelum terjatuh.
“Sambil menekup hidungya dengan kain, mangsa mengagahkan dirinya untuk bangun dan pergi meminta bantuan daripada rakannya yang berada di bilik guru sekolah itu.
“Suspek yang menumbuk mangsa kemudian melarikan diri sebelum mangsa pergi mendapatkan rawatan kecemasan di HTF dan membuat laporan polis kira-kira jam 4 petang, semalam,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Dros ketika dihubungi berkata, suspek berusia 14 tahun ditahan kira-kira jam 5 petang semalam sebaik saja menerima laporan mangsa.
Katanya, suspek sebelum itu membelasah seorang pelajar tingkatan satu sekolah berkenaan kerana tidak berpuas hati masalah peribadi sebelum disuraikan mangsa.
“Mangsa cuba menyelamatkan pelajar tingkatan satu terbabit sebelum dia ditumbuk suspek di muka.
“Polis memandang serius perkara ini kerana membabitkan kawasan sekolah dan akan menyiasat punca kejadian,” katanya.
Menurutnya, polis menerima dua laporan kejadian itu, daripada guru terbabit dan pelajar tingkatan satu yang dibelasah suspek.