Tahun ini ia berlaku lagi. Serangan besar-besaran Yahudi di bumi barakah Semenanjung Gaza merupakan satu lagi episod ngeri penduduk dunia tahun ini, terutamanya penduduk Palestin.
Kejadian yang mengakibatkan 225 orang terkorban dan 700 lagi cedera parah itu (hari ini sudah melebihi 300 orang terkorban dan lebih 1000 orang yang cedera) mengejutkan dunia yang sedang galak bersiap-siap untuk menyambut 1430 Hijrah dan 2009 Masihi.
Suasana di bumi Yaman boleh dikatakan bergegar seketika ketika berita itu tersebar. Media-media arus perdana negara ini tidak putus-putus memberikan laporan-laporan terkini tentang keadaan semasa yang berlaku di Gaza. Tayangan-tayangan suasana kejadian diulang tayang berpuluh-puluh kali. Putus sana putus sini, mati sana mati sini, terbakar sana terbakar sini. Mayat-mayat bergelimpangan di tengah-tengah jalan. Yang nyawa-nyawa ikan melambai-lambai mengangkat tangan sambil bertakbir. Satu pemandangan sebenar yang mampu mengoyak-rabakkan jiwa sanubari siapa sahaja yang mempunyai nurani insani. Hampir semua imam-imam masjid di Yaman membacakan doa pada setiap kali iktidal akhir solat jamaah diselangi dengan seruan-seruan jihad harta dan darah selesai solat. Di mana-mana sahaja terdengar doa-doa memohon nusrah dan kemenangan dari bibir-bibir penduduk Yaman. Tak kurang juga cerca sumpah laknat terhadap Yahudi dan pemimpin-pemimpin bacul yang bertopengkan Islam. Laungan-laungan untuk menggerakkan rakyat Yaman keluar ke jalan-jalan raya berdemontrasi sudah panas kedengaran. Bagai tak sabar ingin menghantar isyarat merah kepada Yahudi. Islam pantang dicabar!. Rakyat Yaman bagai singa lapar yang terjaga dari tidurnya dek gigitan pepijat yang pedih terasa. Semuanya bersatu di atas satu nama ikatan ukhuwah Islamiah yang terbina. Taufan yang sama boleh dikatakan di seluruh tanah-tanah arab. Suatu sensitiviti agama dan bangsa yang sangat jarang terlihat di Malaysia.
Yahudi seperti biasa dengan bongkak dan angkuh menyatakan ini hanyalah permualaan sahaja. Saranan dan gesaan badan-badan besar dunia bagai bunyi lalat yang menghurung najis. Datang dan pergi begitu tanpa dibuat apa-apa. Pergerakan Fatah yang sudah lama menjadi karzai yahudi di Palestin pasti galak menyalahkan Hamas di atas semua yang berlaku dan menunggu untuk menerobos masuk merampas apa sahaja yang ada di tangan Hamas di bumi Gaza. Pemimpin-pemimpin berhidung tinggi arab sudah mula terkocoh-kocoh bermesyuarat. Tanah air sudah dibom pun masih sibuk nak bermesyuarat bagai tidak pernah terfikir untuk bersedia sebelum ini. 23 negara arab sudah pun dicabar Yahudi. Tapi dek kerana perut sudah memboyot termakan budi, langsung tak berani mengangkat hidung dan tegas menyatakan pendirian sebenar. Yang mampu hanyalah ber"mesyuarat" dan memberikan "sedikit" bantuan perubatan kepada mangsa. Bantuan kewangan pun selalu sahaja "bocor" tercicir di mana-mana. Nak mengemas kekuda mengayun langkah pencak membalas?!, jauh panggang dari api.
Saya bekesempatan mengikuti masirah atau demontrasi yang diadakan di Stadium Sukan Yaman pada hari ini. Hampir 10000 orang bersesak-sesak memenuhi ruang stadium tersebut, walaupun sebaran tentang demontrasi ini hanya mula diberitahu melalui SMS daripada Sabafon pada pagi ini. Gelombang kebangkitan Islam semakin lama semakin marak dirasa. Bergilir-gilir ucapan pemimpin samada kerajaan dan pembangkang menggegar ruang angkasa Yaman. Toleransi yang tersangat jarang terlihat di Malaysia. Ketika pemimpin kerajaan berucap, suaranya bagai tenggelam dek lautan suara umat manusia walaupun pembesar suara berkotak-kotak tersusun di ruang stadium. Tiada roh jihad, roh ukhuwah dan roh kebenaran. Sungguh berbeda antara bercakap dengan lidah dan bercakap dengan hati. Giliran Syeikh Abdul Majid Az Zindani berucap, laungan takbir menggegar suasana. Mursyidul Am Parti Islah (Parti Islam Yaman yang didokong oleh Ikhwanul Muslimin) itu betul-betul menyatukan suara umat Islam Yaman. Lambang-lambang Parti Kuda ( Parti Sosialis Yaman yang didokong oleh Presiden Yaman) yang dikibar-kibar di celah-celah lautan manusia sebentar tadi hilang menyorok tergulung entah ke mana. Inilah suara ulama. Suara kebangkitan Islam. Pelbagai saranan dan gesaan jantan terhadap Yahudi dan pemimpin-pemimpin Negara Arab. Yang paling jelas ialah desakan kepada Presiden Mesir, Husni Mubarak supaya membuka Ma'bar Rafah. Sungguh tenang kalau demontrasi sebegini dapat berlaku di Malaysia. Tiada gangguan dari polis dan FRU. Malah pihak berkuasa sendiri yang menolong suasana demontrasi agar dapat berjalan dengan baik dan teratur. Orang Yaman yang "koboi" dan "kolot" ini nampaknya lebih demokrasi dari pemimpin-pemimpin Umno dan BN di Malaysia yang "maju" dan "moden"
Salah satu gimik yang agak menarik dapat saya lihat ketika demontrasi tersebut ialah seorang nenek tua berjubah hitam, lingkungan 70-an yang dibonceng anaknya dengan motosikal dilihat mengelilingi stadium sambil menggengam parang dan melaung kata-kata jihad. Yang lebih menarik, hampir seratus pemuda-pemuda Yaman bersama-sama berlari-lari anak menjerit semangat, menggalas replika peluru berpandu mengikuti nenek itu tadi. Para srikandi Yaman dilihat berkumpul beramai-ramai di kanan pentas utama tak henti-henti mengangkat tangan, mengibar sepanduk dan melaung seruan keamanan dan jihad fisabilillah. Subhanallah, semangat jihad yang tak mengira gender, taraf dan usia.
Peristiwa yang berlaku di akhir tahun Islam dan masihi ini bagai satu petanda kebangkitan Islam yang lebih marak pada tahun hadapan. Api intifadah baru bakal bermula. Yang pasti, kemenangan Islam sememangnya sudah dijanjikan. Yang dituntut hanyalah mengadakan sebab untuk itu. Umat Islam dunia sepatutnya sudah mula menjagakan diri mereka dari lena yang dicipta sendiri. Lebih-lebih lagi pemimpin-pemimpin Islam yang lena dalam jaga, bersemayam di kerusi-kerusi kerajaan. Kebanyakan umat Islam dunia sudah terjaga, cuma halangan pemimpin yang rakus menekan mereka. Tiada lagi waktu untuk mengharap perjanjian dan usaha damai antara Islam dan Yahudi kerana sememangnya telah diciptakan tidak ada redha meredhai antara keduanya. Permusuhan yang selamanya sehinggalah mereka beriman pada Allah yang Esa. Tidak ada lagi jalan bicara kecuali jihad harta dan nyawa.