Saturday, January 28, 2012

Sokong Israel, kontroversi terkini Anwar

Pemimpin pakatan pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencetuskan kontroversi terkini ekoran kenyataannya "menyokong semua usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel" dalam akhbar Wall Street Journal.

Sokongan yang dilaporkan itu menyusuli kenyataan beliau berhubung undang-undang berkaitan liwat yang disifatkan sebagai lapuk dan perlu dimansuhkan.

Anwar sebelum ini menegaskan penolakan terhadap undang-undang seks luar tabie dalam wawancara dengan Associated Press di Malaysia dan dengan BBC di India.

Pendirian Anwar berhubung homoseksualiti itu, yang menyusuli kenyataan Human Rights Watch, dilihat sebagai satu bentuk sokongan kepada golongan berotientasi seks luar tabie, walaupun tidak dinyatakan sokongan dengan jelas.

Kenyataan Anwar kepada akhbar berpengaruh itu memberi sokongan tanpa syarat dalam menjaga keselamatan Israel, yang dalam amalannya melibatkan tindakan ketenteraan dan pembunuhan pemimpin-pemimpin gerakan Islam seperti Hamas.

Antara pemimpin Hamas yang pernah dibunuh Israel ialah Syaikh Ahmed Yassin, melalui serangan helikopter bersenjata pada 22 Mac, 2004.

Anwar juga sebelum ini menunjukkan sokongan kepada penyelesaian dua negara dalam isu Palestin, pilihan yang turut diterima sesetengah pihak mewakili Palestin.

Kenyataan sokongan untuk Israel itu telah mencetuskan respons keras daripada musuh politik dan sekutu dalam Pakatan Rakyat.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilapor bernama sebagai menuntut penjelasan Anwar dalam hal itu, dan menimbulkan persoalan adakah itu bakal menjadi pendirian PR sekiranya menguasai pentadbiran pusat.

Daripada rakan PR, Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan menegaskan tentangan terhadap Israel, yang dipercayai merujuk kepada kenyataan Anwar itu.

"Israel adalah sebuah entiti haram yang terlalu besar dosanya terhadap umat Islam seaqidah dengan kita meskipun kita berada jauh di Tanah Melayu.

"Sekalipun atas nama untuk ambil hati Amerika demi masa depan kita yang bakal mengambil alih Putrajaya, tidak sekali-kali wajar dan layak kita menyokong Israel apa lagi untuk memberi perlindungan kepada golongan yang dilaknat oleh Allah SWT," tulis Nasrudin di laman Facebook.

Penyokong kuat Anwar menimbulkan pula isu-isu lain termasuk perkhidmatan syarikat konsultan dari Amerika Syarikat, Apco yang pernah diperolehi kerajaan, dalam usaha menepis kesan negatif kenyataan menyokong Israel itu.

Kenyataan Anwar itu boleh dilihat sebagai satu usaha membuktikan pendiriannya dalam beberapa isu untuk mengukuhkan sokongan daripada sekutu di Barat, selepas bebas daripada dakwaan liwat dan menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.

Beliau juga kini bersaing dengan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak dalam memperlihatkan sikap yang dinilai sebagai moderat kepada Barat, untuk mendapatkan sokongan.

Najib minggu lalu selesai melaksanakan projek besarnya, gerakan moderat yang bertujuan meningkatkan imejnya di mata pentadbiran Obama dan negara-negara Barat.

Anwar walau bagaimanapun mempunyai hubungan yang baik dengan pelbagai pihak di Washington dan dunia Barat.

Hubungan baik ini dan imej liberal dan moderat yang perlu dipelihara merupakan antara sebab kenyataan beliau yang mencetus kontroversi di negara ini diutarakan.

Monday, January 16, 2012

Pakatan Rakyat, undi Melayu dan Putrajaya

Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketua pembangkang dan calon perdana menteri Pakatan Rakyat muncul di konvensyen gabungan parti pembangkang itu dengan imej yang lebih bersih, selepas dibebaskan daripada tuduhan liwat.

Dengan tema "Bersihkan Malaysia," pemimpin-pemimpin parti gabungan juga mengenakan baju putih - yang melambangkan kebersihan dan kesucian - satu penegasan misi menjatuhkan Barisan Nasional di peringkat pusat dengan segera untuk digantikan dengan parti-parti yang mendakwa lebih bersih.

Walau bagaimanapun, secara keceluruhan, konvensyen ketiga PR di Alor Setar hujung minggu lalu masih membawa isu-isu yang sama, tanpa penegasan terbaharu dan gambaran masalah bersama sedang diselesaikan.

Beberapa laporan dan komentar media liberal turut memberi perhatian terhadap isu ini, antaranya menyifatkan konvensyen kali ini sebagai hanya bunyi tanpa isi.

Apa yang diperkatakan dalam konvensyen kali ini amat menarik sekiranya muncul daripada konvensyen pertama atau kedua, tetapi selepas beberapa tahun PR wujud sebagai satu aliansi, mesej yang disampaikan semakin memenatkan.

Buku jingga yang dikemukakan pada konvensyen yang lalu semakin tercabar oleh tindakan-tindakan pemerintah, termasuk pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri, ISA.

Istilah menarik perhatian seperti "Putrajaya" semakin hilang nilainya, selepas kegagalan projek 16 September dan realiti yang semakin menampakkan betapa sukarnya untuk mencapai matlamat itu, apatah lagi bersatu selepas itu untuk menubuhkan kerajaan pusat dan meneruskan perjalanan dari situ.

Ekoran pelbagai isu seperti video seks, perbicaraan Anwar dan pertelingkahan dalaman antara parti terutama di Selangor, kebolehlaksanaan PR sebagai calon pemerintah pusat semakin teruji, walaupun PR kini satu-satunya pencabar BN yang kredibel dan wujud sebagai satu pakatan.

Mesej yang dibawa sejak 2008 ialah PR lebih baik berbanding BN, yang dikemukakan dalam pelbagai variasi termasuk yang terbaharu, "Bersihkan Malaysia."

Isu Melayu yang menjadi kebimbangan berasas sesetengah pihak masih tidak ditangani dengan baik. Simbol lokasi konvensyen di Alor Setar, negeri Melayu ditandir PAS juga kelihatan tidak dapat pergi lebih jauh daripada itu.

Di Selangor, penentang PR memperolehi senjata baharu dengan pemecatan Datuk Dr Hasan Ali daripada PAS, yang kemudian digugurkan daripada jawatan exco dan diganti segera sebelum tamat tempoh rayuan.

Dari sudut persepsi, Hasan kini dimunculkan sebagai mangsa ekoran perjuangannya menangani isu arak, maksiat dan penyebaran Kristian terhadap orang Muslim di Selangor.

Walaupun kalangan penyokong PAS mungkin sebahagian besarnya tidak melihat isu Hasan semudah itu, kesannya terhadap pengundi Melayu atas pagar tidak boleh diremehkan.

Akhbar Umno Utusan Malaysia juga meneruskan kempen negatif terhadap Anwar, terbaharu dengan menimbulkan isu sokongan beliau terhadap hak homoseksual.

Anwar dalam satu wawancara dengan agensi berita Associated Press mengatakan undang-undang berkenaan seks gay di negara ini sebagai telah ketinggalan zaman, pandangan yang sebelumnya dikemukakan oleh Human Rights Watch.

Selepas dibebaskan oleh mahkamah, Anwar mengulangi pendiriannya dalam satu wawancara dengan badan penyiaran Inggeris, BBC, yang menarik perhatian banyak pihak di negara ini.

Isu undi Melayu tidak dapat dielakkan oleh PR yang semakin mudah dikaitkan dengan dominasi parti dan agenda yang tidak mesra Melayu.

Setakat ini, belum muncul tanda-tanda jelas untuk menentang dan menjawab persepsi itu, yang kelihatan semakin berjaya dieksploit oleh musuh-musuh PR.

Friday, January 13, 2012

Kenapa Utusan 'blackout' gambar Najib?

Akhbar dikuasai Umno, Utusan Malaysia kelihatan telah mengalihkan tumpuan ekoran keputusan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.

Selepas dua hari, yakni pada 11 dan 12 Januari gambar Najib tidak terbit di halaman dua dan tiga, gambar beliau kembali muncul pada 13 Januari dengan pengumuman program bantuan untuk rakyat berpendapatan rendah.

Pada masa sama, gambar-gambar bersaiz besar Najib muncul di muka depan dan muka tiga dengan nilai yang positif.

Berita pada hari ini, 13 Januari, bersifat positif kepada Najib tanpa sebarang kaitan kepada kes Anwar.

Pada 9 dan 10 Januari, gambar perdana menteri diterbitkan bersama laporan lawatan ke Afrika Selatan untuk meraikan sambutan parti Kongres Nasional Afrika.

Pada 10 Januari, hari selepas keputusan yang menjadikan liputan Utusan Malaysia ditunggu-tunggu, laporan ulasan Najib tentang kes Anwar diletakkan di muka tiga tanpa gambar, dengan komentar yang ringkas dan memberi fokus pada nilai positif keputusan itu kepada integriti kehakiman di negara ini.

Ketiadaan gambar Najib di halaman tiga Utusan Malaysia selama dua hari berturut-turut boleh dikaitkan dengan reaksi ramai ahli dan penyokong parti pemerintah terhadap keputusan kes liwat Anwar.

Sama ada dirancang atau tidak, ketiadaan gambar Najib selama dua hari boleh mengelakkan kaitan dibuat antara keputusan kes Anwar dengan beliau, yang kukuh dalam persepsi sesetengah pihak termasuk penyokong kuat Umno.

Sekiranya tercetus kemarahan ramai ahli dan penyokong Umno terhadap Najib dalam kes ini, kesannya dapat diminimakan dengan tiadanya gambar Najib selama dua hari di halaman depan akhbar dikuasai Umno itu.

Kemunculan pada hari ini 13 Januari pula membawa satu berita yang tidak berkaitan dengan kes itu, malah memperlihatkan kes itu tidak relevan lagi kepada beliau yang kini memberi tumpuan kepada program pembangunan.

Pada masa sama, laporan muka depan pada 10 dan 11 Januari pula memberi fokus pada Anwar dan penyokongnya, dengan kedua-duanya bernilai negatif.

Tajuk pada 10 Januari memberi implikasi Anwar dilepaskan kerana kekurangan bukti atau tidak dapat didapati bersalah kerana hal teknikal, dan petikan kenyataan Anwar yang keputusan mempunyai kaitan tekanan luar terhadap Najib pula disertakan, kerana potensi kesan negatif kenyataan itu kepada Anwar sendiri.

Keesokan harinya, tajuk Peserta Bawa Bom pula menjadi pilihan muka depan, yang juga bersifat sangat negatif kepada pembangkang.

Tuesday, January 10, 2012

Selepas Anwar bebas, peluang Najib kukuh imej antarabangsa

Pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan liwat membuka lembaran baharu politik negara dan politik imej Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.

Anwar sendiri mendakwa pembebasannya berkait dengan tekanan antarabangsa ke atas pentadbiran Najib.

Menurut Anwar, seperti dilapor AFP, Najib dipercayai menerima "bisikan daripada pemimpin-pemimpin asing" berkaitan kes liwat Anwar, yang dilihat sebagai satu konspirasi politik.

Najib dijangka menghadapi kos politik yang tinggi sekiranya Anwar didapati bersalah dan dipenjarakan - walaupun pembebasannya juga memberi kesan negatif jangka pendek kepada pemerintah - yang sebahagiannya termasuk reaksi daripada negara dan pertubuhan bukan kerajaan Barat.

Satu agenda utama Najib berkaitan imej antarabangsanya ialah imej Muslim moderat yang cuba dibawa melalui Pergerakan Moderat Global, GMM yang akan dilangsungkan tidak lama lagi.

GMM yang menjadi instrumen baharu dasar luar pentadbiran Najib akan terjejas sekiranya Anwar didapati bersalah atas satu kesalahan yang dilihat bertentangan dengan pendirian moderat di peringkat antarabangsa, lebih-lebih lagi oleh negara Barat.

Najib selama ini cuba menunjukkan sikap moderat dalam banyak hal melibatkan politik tempatan dan anatarabangsa, sehingga pernah mengaitkan sebuah kumpulan Islam di Mesir dengan terorisme.

Usaha terbaharu Najib ini, yang dipertingkatkan selepas imej beliau dipulihkan oleh pembebasan Anwar daripada tuduhan liwat yang dikaitkan dengan konspirasi pemerintah, mampu mendapatkan sokongan yang diperlukan di medan antarabangsa.

Jabatan Negara Amerika Syarikat dalam satu kenyataan ringkas memuji keputusan mahkamah membebaskan Anwar, yang disifatkan "memberi gambaran positif kepada kebebasan kehakiman di Malaysia."

Monday, January 9, 2012

Anwar bebas, semangat BN terjejas

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini didapati tidak bersalah dan bebas daripada tuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, bekas pembantu peribadinya.

Kemenangan yang mengejutkan banyak pihak ini meningkatkan moral Anwar, partinya dan seluruh gabungan pembangkang Pakatan Rakyat.

Anwar memperolehi kemenangan dalam hal melibatkan imejnya yang terjejas ekoran dakwaan liwat ini.

Penegasan Anwar kini bukan hanya disampaikan melalui retorik tetapi telah diputuskan oleh mahkamah.

Kepimpinan dan pengaruh Anwar dalam PR dan sebagai calon utama perdana menteri PR - yang dipersoalkan sesetengah pihak ekoran kemungkinan Anwar dipenjara - ditegaskan dan ditingkatkan lagi melalui keputusan ini.

Pihak musuh politik Anwar daripada Umno memperlihatkan kekecewaan dalam hal ini, yang kelihatan ditujukan kepada Najib sehingga ada yang menggambarkan beliau mencapai satu bentuk persetujuan dengan Anwar.

Walau bagaimanapun, parti pemerintah diketuai Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak juga dapat mengambil manfaat melalui penolakan persepsi parti pemerintah menguasai mahkamah.

Tetapi Anwar dalam satu kenyataan tetap menegaskan kebebasan mahkamah masih belum dapat diputuskan lagi, kerana masih ada proses yang boleh dijalankan.

Penyokong dan pemimpin PR rata-rata menjangka Anwar akan dijatuhi hukuman bersalah dan dipenjarakan bagi memenuhi kehendak pemerintah menyekat pemimpin pembangkang itu.

Keberadaan Najib di luar negara juga mendorong spekulasi senario buruk dibayangkan oleh pembangkang dan penyokong.

Episod baharu ini juga membolehkan BN memberi tumpuan kepada hal lain dan tidak menghabiskan banyak tenaga dalam menjatuhkan seorang individu dalam pembangkang.

Keputusan ini juga mengelak tekanan yang kuat daripada negara-negara dan pertubuhan Barat yang dijangka tercetus sekiranya Anwar didapati bersalah.

Human Rights Watch telahpun memberi respons positif terhadap pembebasan Anwar, dan menegaskan kes itu tidak sepatutnya dibawa ke mahkamah.

DAP juga mendapat manfaat melalui peranan dimainkan oleh Karpal Singh yang mengetuai pembelaan Anwar.

Kelompok liberal di negara ini juga memperolehi manfaat dengan meningkatkan lagi usaha menuntut ruang lebih bebas, termasuk melibatkan penolakan undang-undang yang menolak amalan homoseksual.

Kumpulan Melayu dan Umno dijangka turut mengeksploit isu ini untuk terus menarik undi Melayu, terutama yang disifatkan di atas pagar, dengan mengemukakan isu-isu sensitif dibawa Anwar seperti kedudukan Melayu.

Isu melibatkan Datuk Dr Hasan Ali yang mendakwa dipecat kerana Anwar - yang sedikit tenggelam kerana tercetus sehari sebelum 9 Januari - juga bakal memberi kesan kepada PAS dan politik PR di Selangor dan melibatkan undi Melayu.

Sunday, January 8, 2012

Hasan Ali dipecat, apa tindakan Umno?

Datuk Dr Hasan Ali, pemimpin kontroversi PAS dari Selangor akhirnya dipecat hari ini, akibat tindakan beliau yang didakwa membelakangi kepentingan parti.

Hasan yang terbabit dalam kontroversi dalaman ekoran penglibatannya dalam siasatan ke atas sebuah gereja yang didakwa memurtadkan orang Muslim mula dikritik ramai sejak episod itu.

Kemudian, Hasan kembali menjadi perhatian selepas PAS Selangor melalui Saari Sungib mengumumkan yang beliau ditolak oleh ahli dan mungkin tidak bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

Hasan kemudian muncul dalam media dikuasai Umno, TV3 dan Utusan Malaysia, membalas kritikan dan meningkatkan profil dirinya.

Tindakan Hasan itu mengaitkan lagi dirinya dengan parti pesaing kepada PAS itu. Hasan sejak 2008 dikaitkan dengan Umno dan didakwa berhasrat menyatukan PAS dan Umno, walaupun parti telah menunjukkan sikap bertentangan.

Dalam permainan persepsi, pemecatan Hasan boleh dimanfaatkan oleh Umno dalam usahanya memperlihatkan PAS sebagai tunduk kepada DAP dan PKR.

Hasan pernah bertembung dengan DAP dan PKR dalam isu pentadbiran negeri Selangor, dan terbaharu, menimbulkan kemarahan PKR apabila menyeru ahli PAS tidak menyertai perhimpunan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Januari.

Selepas kontroversi gereja, Hasan bergerak aktif dengan pertubuhan Himpun, yang tidak dipersetujui PAS dan mendapat sokongan Umno.

Umno dijangka mengemukakan hujah penglibatan Hasan dalam isu melibatkan umat Muslim terbabit, yang tidak direstui parti sekutu DAP dan PKR sebagai sebab beliau dipecat.

Sebelum ini, usaha mengganti Datuk Seri Azizan Abdul Razak sebagai menteri besar Kedah turut dikait dengan pengaruh DAP, yang sering tidak sehaluan dengan dasar dan tindakan kerajaan negeri Kedah pimpinan Azizan.

Isu ini dilihat mampu untuk mempengaruhi orang Melayu - terutama di Selangor - menjadi semakin kritikal dengan PAS yang didakwa oleh Umno menjadi tunggangan DAP dan PKR.

Walau bagaimanapun, dari satu sudut lain, kedudukan Hasan di luar parti mampu mengurangkan kesan negatif kritikannya terhadap PAS dan gabungan Pakatan Rakyat.

'Kalau saya ditembak...'

Dalam satu sidang media, ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengulas isu kepimpinan Pakatan Rakyat sekiranya beliau dipenjara menyebut insiden beliau ditembak sebagai satu senario yang dibayangkan.

Kata Anwar, sekiranya beliau dipenjara, mengalami kemalangan atau ditembak, PR sudah bersedia dengan semua senario itu.

Sebelum ini, tindakan sabotaj terhadap Anwar pernah didakwa berlaku, seperti dakwaan perbuatan khianat terhadap sebuah kereta yang digunakan pemimpin PKR itu.

Ada pihak musuh politiknya mendakwa Anwar yang terdesak merancang insiden-insiden seperti itu untuk meraih simpati dan mencetuskan kekacauan.

Menjelang tarikh 9 Januari dan keadaan yang akan tercetus selepas itu, dakwaan perbuatan khianat terhadap Anwar, termasuk senario beliau ditembak, semakin diberi perhatian, sehingga beliau sendiri menimbulkannya.

Baru-baru ini, seorang pengawal peribadi presiden PKR, dimasukkan ke hospital akibat kecederaan yang didakwa hasil tindakan khianat.

Senario beliau ditembak atau cuba dibunuh dapat dibayangkan memandangkan episod terbaharu politik yang kritikal dan menjadi penentu kepada ketua pembangkang itu.

Senario itu berpotensi mencetuskan kemarahan besar terhadap pemerintah dan simpati serta sokongan untuk Anwar dan pembangkang.

Dari segi manfaat politik, Anwar boleh mendapat lebih kesan positif hasil sekiranya sebarang tindakan khianat terhadap beliau berlaku, berbanding musuh politiknya.

Sama ada benar atau tidak, sebarang insiden yang menimpa Anwar akan mudah dikaitkan kepada pihak pemerintah, yang kelihatan mahu melenyapkan tokoh PR itu daripada politik negara.

Insiden yang berlaku juga akan menarik perhatian media dan kerajaan-kerajaan asing, yang dijangka akan turut bersimpati dan menunjukkan sokongan kepada Anwar.

Apapun yang bakal diputuskan di mahkamah nanti, PR tidak wajar menghabiskan terlalu banyak masa dan tenaga untuk seorang pemimpin, sedangkan PR mewakili isu yang lebih besar dan rakyat yang lebih ramai.

Kes liwat Anwar ini telah lama mengheret seluruh ahli PR dalam menanganinya, menguji gabungan parti-parti pembangkang pesaing utama kepada Barisan Nasional itu.

Friday, January 6, 2012

Bagaimana keputusan kes Anwar akan gugat Najib

Negara kini sedang menunggu tarikh 9 Januari, 2012, hari yang dijangka mencetus satu lagi berita besar dalam sejarah politik negara.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketua PKR yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh dituduh mengikut Seksyen 337B Kanun Keseksaan, iaitu seks luar tabie secara sukarela.

Undang-undang ini melibatkan perlakuan homoseksual secara konsensual, sesuatu yang di banyak negara diterima sebagai sebahagian hak asasi manusia.

Kempen media pihak pro-Anwar dan pembangkang telah menimbulkan isu kredibiliti sistem kehakiman dalam usaha membela Anwar di mahkamah pendapat awam.

Gerakan dinamakan 901 dengan tujuan "membebaskan Anwar" juga digerakkan dengan dakwaan ketidakadilan sistem kehakiman negara, dengan sejak awal telah meletakkan Anwar sebagai tidak bersalah dan menjadi mangsa tindakan bermotif politik.

Hakikat bahawa Anwar didakwa menurut seksyen tersebut juga menjadi hujah oleh penyokong Anwar untuk mendakwa kesalahan di pihak mahkamah, dan juga pemerintah.

Tarikh 9 Januari nanti bakal menjadi penentu kepada politik Anwar tetapi mungkin lebih menjadi faktor penting kepada pemerintah di bawah Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak.

Sama ada disabitkan atau tidak - atau sebarang keputusan lain - kempen kepada rakyat yang telah lama digerakkan bakal membawa kesan besar kepada pemerintah.

Anwar yang bebas berkempen sehingga Pilihan Raya Umum ke-13 nanti bakal diangkat sebagai wira yang terlepas daripada usaha memfitnah dirinya buat kali kedua oleh musuh politik yang jahat.

Anwar yang terpenjara juga akan diangkat, sebagai mangsa satu tindakan bermotif politik oleh kerajaan Najib.

Anwar yang terpenjara bakal menjadi modal kempen parti-parti pembangkang, walaupun sokongan sebenar dan kepercayaan terhadap Anwar telah banyak terhakis.

Pada masa sama, iklim politik yang liberal kebelakangan ini yang melanda seluruh dunia menjadikan keputusan memenjarakan Anwar sebagai sesuatu yang tidak popular di peringkat global, medan yang masih menyebelahi Anwar dan kelompok liberal.

Sekiranya Anwar disabitkan kesalahan, Najib memerlukan usaha berganda untuk bersaing di mahkamah pendapat awam sehingga tiba Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Disember lalu, pemerintah Amerika Syarikat sendiri menyatakan satu pendirian tegas menyokong hak gay sebagai hak asasi manusia yang turut perlu dihormati dan diperjuangkan.

Sekiranya Anwar didapati bersalah, implikasi politiknya ialah Malaysia bakal menjadi perhatian sebagai negara yang menghukum pelaku homoseksual, dan dilakukan tidak lama selepas pentadbiran Obama - yang turut ingin dirapati oleh Najib - menyatakan sokongan kepada hak tersebut.

Tidak lama selepas kenyataan sokongan AS itu, badan hak asasi Human Rights Watch pula menggesa Malaysia menghapuskan undang-undang yang menghukum perlakuan homoseksual secara suka sama suka.

Anwar turut menyatakan pendirian serupa dengan pertubuhan hak asasi itu dalam satu kenyataan kepada sebuah agensi berita Barat, Associated Press baru-baru ini.

Hal ini menjadi satu tekanan antarabangsa yang kuat terhadap pentadbiran Najib. Selain AS, negara-negara Eropah turut dijangka bersuara dalam hal ini.

Perhatian yang boleh menjejaskan imej Najib ini, dan menyukarkan hubungan dengan negara Barat, sesuatu yang menambah masalah menjelang pilihan raya umum.

Selain faktor politik dalam negara, Malaysia turut akan menjadi topik hangat di peringkat global ekoran keputusan kes liwat Anwar nanti.

Tuesday, January 3, 2012

Game changer?: Selebriti dan parti politik (Bhg 3/3)

3. Politik selebriti dan selebriti politik

Dua orang pelawak popular, Harun Salim Bachik dan Afdlin Shauki menyerahkan borang menyertai Umno hari ini.

Pasangan pelawak yang menduduki tempat kedua sebuah pertandingan lawak di televisyen Astro itu menjadi selebriti terbaharu menunjukkan sokongan kepada Umno selepas Lisa Surihani yang menerima anugerah daripada Pergerakan Puteri Umno November lalu.

Kedua-dua pelawak menjadi selebriti terkini yang pernah terlibat dengan rancangan itu yang menyertai pentas politik.

Penyertaan dua orang pelawak terkenal itu meningkatkan lagi wajah popular parti pemerintah Umno, yang kini bersaing sengit dengan PAS dalam membariskan selebriti penyokong parti masing-masing.

Perkembangan terbaharu ini juga turut menghangatkan lagi politik selebriti dalam medan politik parti negara, dengan kedua-dua PAS dan Umno mempunyai barisan selebriti yang setara.

Penglibatan mereka kini menjadi tumpuan media dan bakal menjadi bahagian penting dalam liputan kempen pilihan raya akan datang.

Persaingan kedua-dua PAS dan Umno bermula dengan sengit terutama selepas penyertaan berprofil tinggi Bob Lokman dalam PAS, dan menjadi penggiat aktif bersama pemuda parti itu sehingga mencetuskan rasa kurang senang sesetengah penggiat industri budaya popular.

Kedua-dua pelawak dijangka aktif dalam kempen parti pemerintah itu sehingga pilihan raya umum akan datang.

Afdlin sebelum ini menunjukkan kecenderungan liberal melalui kegiatan seninya, dan turut mencetuskan kritikan sesetengah pihak ekoran penglibatannya dalam filem kontroversi Nasi Lemak 2.0.

Ekoran perkembangan yang relatif agak baharu ini, selebriti terbabit berpotensi dilihat dan dikaitkan dengan rapat dengan kecenderungan parti masing-masing, sehingga mungkin muncul sebagai selebriti yang jelas elemen politik mereka.

Identiti politik mereka mungkin menjadi satu identiti penting, atau identiti utama disebabkan kaitan dengan parti politik terbabit, seperti yang berlaku pada Bob Lokman yang kini muncul lebih sebagai selebriti PAS berbanding identiti lain.

Di sebelah Umno, pengarah Tan Sri Jins Shamsudin juga muncul sebagai selebriti yang sangat dikaitkan dengan parti yang disertai.

Kempen politik, sama ada secara langsung atau tidak langsung melibatkan penggiat budaya popular dan personaliti terkenal telah digerakkan, terbaharu melibatkan pelawak Zizan yang digandingkan dengan penceramah Ustaz Azhar Idrus dalam satu program menjelang tahun baharu 2012 di Shah Alam, Selangor, anjuran kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Agamawan popular itu menerima anugerah daripada Pemuda PAS dalam muktamar tahunan parti itu tahun lalu.

Zizan sebelum ini terlibat dalam kontroversi yang tercetus akibat dialognya dalam filem Hantu Bonceng, kontroversi yang kemudian menemukannya dengan pemimpin Pemuda PAS.

Perkembangan ini semakin memberi gambaran kemeriahan kempen pilihan raya akan datang, yang bakal menyediakan ruang yang jauh lebih besar kepada elemen budaya popular, sehingga mempunyai potensi untuk menenggelamkan isu-isu yang kompleks dan menjadikan persaingan imej popular sebagai faktor yang lebih utama.

Sunday, January 1, 2012

PAS dan PRU 13: Satu gagasan bagi mencapai kemenangan

Oleh WAN ABD RAHMAN WAN AB LATIF

Pengenalan

Dalam keterujaan ahli PAS menghadapi muktamar ke-57 yang akan diadakan pada 3 hingga 5 Jun 2011 yang lalu, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang awal-awal lagi mengingatkan para perwakilan peranan penting mereka iaitu di samping memilih saf kepimpinan baharu yang mantap, mereka juga diseru agar memberi perhatian yang serius berkaitan merencana strategi yang berkesan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 yang hampir tiba.

Berlatarbelakangkan situasi ini, tulisan ini akan mengemukakan beberapa gagasan umum berkaitan dengan pilihan raya yang seharusnya menjadi pegangan dan panduan kepada para petugas PAS. Dengan adanya gagasan umum ini ia dapat meluruskan sikap petugas PAS dalam pilihan raya iaitu pertama melihat kerja-kerja pilihan raya sebagai satu amal saleh dalam usaha kita mencari keredaan Allah.

Sekiranya pandangan ini benar-benar dapat ditasdiqkan dalam hati dan dibuktikan dalam perbuatan berlandaskan keikhlasan pada Allah, kita telah pun memperoleh kemenangan di pusingan pertama. Seterusnya, sekiranya Allah mengizinkan kita memenangi kerusi (parlimen atau Dewan Undangan Negeri) maka kita telah meraih kemenangan berganda.

Gagasan umum yang akan dikemukakan sudah semestinya bersumberkan al-Quran, kitab rujukan terpenting umat Islam.

Al-Quran dan Pilihan Raya

Al-Quran yang datangnya dari Allah merupakan petunjuk untuk memandu manusia dalam kepelbagaian aktiviti kehidupannya, termasuk berpartisipasi dalam proses pilihan raya. Bagi memenuhi perbincangan ringkas ini, paling tidak terdapat empat ayat al-Quran yang boleh dikaitkan dengan pilihan raya. Ayat pertama adalah dari Surah al-Baqarah ayat 251 apabila Allah Berfirman (mafhumnya): “ ...seandainya Allah tidak menolak (kezaliman) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, pasti rosaklah bumi ini... .” Mafhum ini merupakan kesimpulan dari ayat yang lebih panjang yang menceritakan tentang kemenangan Nabi Allah Daud menentang Jalut yang zalim.

Kemenangan akan berpihak kepada mereka yang berjuang untuk menegakkan keadilan Allah. Ini janji Allah. Rujukan al-Quran kepada "sebahagian manusia" dalam ayat di atas boleh juga merujuk kepada "sebuah parti politik" dalam sistem demokrasi; dan penolakan (atau persaingan) adalah sesuatu yang lumrah dalam kehidupan manusia, termasuklah persaingan semasa pilihan raya.

Ayat kedua merujuk kepada Surah al-Maidah ayat 35. Dalam ayat ini Allah Berfirman, mafhumnya “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan carilah jalan untuk mendekatkan dirimu kepada Allah; dan berjihadlah kamu di atas jalanNya; dan dengan itu kamu akan memperolehi kemenangan.” Ayat ini seperti ayat-ayat lain dalam al-Quran, bersifat "berantai" dan "dua hala" yang memperlihatkan dinamisme ajaran Islam itu sendiri. Ayat ini memberitahu kita bahawa sifat orang beriman ialah bertaqwa kepada Allah. Sifat taqwa ini dapat direalisasikan secara praktikal dengan mencari jalan yang boleh mendekatkan diri mereka kepada Allah.

Jalan atau wasilah atau platform dan sebagainya boleh merujuk kepada "parti politik" yang berlandaskan perjuangannya kepada Islam. Sesudah berada di atas landasan gerakan Islam seperti PAS, maka ahli-ahlinya (terdiri dari mereka yang beriman) hendaklah bekerja untuk parti secara aktif (berjihad di jalan Allah); dan dengan cara ini perjuangan PAS (seperti dalam pilihan raya) akan diberi kemenangan oleh Allah.

Ayat ini juga memberitahu kita bahawa berada dalam jamaah Islamiyah seperti PAS dan berjihad bersamanya merupakan syarat kepada kesempurnaan iman itu sendiri. Akhirnya, ayat ketiga adalah dari Surah as-Saff, ayat empat. Ayat ini adalah ayat yang popular yang selalu dirujuk oleh petugas-petugas PAS. Dalam ayat ini Allah berfirman mafhumnya: “Allah amat kasih kepada mereka yang berjuang di atas jalanNya dalam satu barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti bangunan yang tersusun kukuh.”

Ayat ini merujuk kepada pentingnya jentera peperangan (pilihan raya) disusun secara rapi, seperti rapinya sebuah bangunan. Sebuah bangunan rumah perlu ada pintu, jendela, tangga, bilik tidur, dapur dan sebagainya. Ini seumpama merujuk kepada jentera pilihan raya yang mempunyai pelbagai peranan; yang penting ia mesti tersusun rapi dan bantu membantu di antara satu sama lain. Rumah yang dibina dengan batu bata yang tersusun rapi sudah semestinya merupakan sebuah rumah yang kukuh yang tidak akan tumbang dibadai angin ribut pilihan raya.

Secara kesimpulannya, mesej daripada ketiga-tiga ayat yang dirujuk di atas ialah persaingan (salah satunya dalam konteks pilihan raya) adalah sesuatu yang fitrah dalam kehidupan manusia. Akan senantiasa ada persaingan antara mereka mendukung keadilan dan mereka yang mendukung kezaliman. Allah akan senantiasa bersama mereka yang memperjuangkan keadilan.

Untuk mencapai cita-cita ini, orang-orang beriman hendaklah berada di dalam jamaah Islam seperti PAS dan berjihad bersamanya bagi mencapai kemenangan. Perjuangan jamaah yang mantap khususnya jentera pilihan rayanya diumpamakan sebagai sebuah bangunan yang kukuh yang diikat dengan batu-bata yang memperkukuhkan satu dengan yang lain.

Suasana pilihan raya: Ayat keempat

Ayat ke empat dari al-Quran yang kita akan rujuk lebih bersifat peranan petugas-petugas PAS semasa pilihan raya itu sendiri. Ayat yang dimaksudkan adalah dari Surah al-Anfaal ayat 60. Dalam ayat ini Allah Berfirman, mafhumnya: “Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka dengan kekuatan yang kamu sanggupi dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap untuk berperang, untuk menggerunkan (dengan persiapan sedemikian) musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain yang kamu tidak ketahui, sedang Allah mengetahuinya. Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah nescaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak dianiaya (dirugikan).”

Sekiranya ayat di atas dikaitkan dengan pilihan raya maka intisari dari ayat di atas juga boleh dilihat sebagai merupakan prasyarat kemenangan. Antara tuntutan Allah ke atas petugas parti adalah: Pertama, dalam menghadapi lawan petugas parti mesti memberi sumbangan yang maksima berdasarkan kemampuan (atau peranan) yang berbeza-beza. Ini konsisten dengan saranan Allah bahawa Allah tidak akan membebankan hambaNya (dalam menjalankan tugas mereka menegakkan syariat Allah) lebih dari kemampuan mereka. Allah lebih tahu batas-batas kemampuan hamba-hambaNya kerana manusia adalah makhluk ciptaan Allah.

Dalam hal ini, formula yang harus dipakai oleh petugas-petugas parti ialah "kemampuan sumbangan" adalah berdasarkan jawatan yang disandang: Lebih tinggi jawatan yang disandang maka lebih tingga sumbangan yang perlu diberi kepada parti. Sebagai contoh, sumbangan presiden adalah 100 peratus, pesuruhjaya negeri adalah 70 peratus, ketua kawasan ialah 50 peratus, ketua cawangan 20 peratus dan ahli biasa 10 peratus.

Berdasarkan prinsip "memaksima sumbangan berdasarkan kemampuan yang berbeza-beza," maka untuk mencapai kemenangan presiden mesti sumbang paling minima 80 peratus ( 80 daripada 100 memperoleh markah "A"), pesuruhjaya negeri 60 peratus, ketua kawasan 40 peratus, ketua cawangan 15 peratus dan akhirnya ahli biasa 8 peratus. Sumbangan ini berupa wang ringgit dan jiwa raga. Kedua-dua bentuk sumbangan ini hendaklah disumbang secara serentak. Sekiranya pemimpin atau ahli berkenaan kurang dari segi kewangan maka sumbangan dari segi tenaga hendaklah dilebihkan. Begitulah sebaliknya.

Perkara kedua yang dituntut ialah menyediakan "pasukan-pasukan berkuda yang lengkap untuk berperang." Dalam konteks semasa ini merujuk kepada petugas-petugas parti yang telah dibekalkan dengan ilmu pilihan raya yang lengkap. Mereka faham dari segi teori dan praktis berhubung dengan peraturan dan akta pilihan raya. Mereka faham apa yang harus mereka lakukan dalam keadaan-keadaan yang tertentu. Berbekalkan ilmu pilihan raya, maka petugas parti dapat menggubal strategi dan taktik bagi berhadapan dengan lawan.

Misalnya, semasa pengundian dijalankan petugas parti akan senantiasa peka terhadap suasana di tempat mengundi. Sekiranya berdasarkan nombor kad pengenalan, pengundi yang berdiri dilihat lebih tua atau muda dari yang sepatutnya, maka petugas parti tidak akan ragu-ragu untuk memprotes kehadiran dan keabsahan pengundi tersebut.

Perkara ketiga, dengan menguasai ilmu pilihan raya secara teori dan praktik, ini dapat "menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu." Ini terbukti benar kerana kekuatan sesebuah organisasi seperti parti PAS amat bergantung kepada asas teori dan praktik yang relevan sebagai landasannya. Ini boleh memperkuatkan parti sekaligus menggerunkan musuh. Ada satu lagi perkara yang boleh menggerunkan musuh. Ini ada pada Nabi dan ada pada sahabat iaitu kekuatan ruhiyyah. Kekuatan ruhiyyah sebagai senjata yang menggerunkan musuh muncul apabila hamba Allah amat hampir dengan Allah.

Ini perlu dilihat sebagai keutamaan dalam kehidupan seorang petugas parti. Kemenangan Rasulullah S.A.W. apabila berdepan dengan musuh dalam peperangan (dalam konteks kita pilihan raya) banyak bergantung kepada faktor ini. Dalam sejarah Islam model Rasulullah S.A.W. ini diikuti dengan jayanya oleh sahabat empat (khalifah ar-Rashidun), dan Umar Abd. Aziz, Salahuddin al-Ayubi, Mohammad al-Fatih dan kedua orang Tuan Guru kita (presiden dan mursyidul am).

Perkara ke empat, semasa pilihan raya berlangsung petugas parti bukan berdepan dengan parti lawan sahaja tetapi seluruh jentera atau agensi kerajaan yang besar kemungkinan petugas parti tidak dapat mengenalpastinya dengan secara yang tepat. Al-Anfaal ayat 60 merujuk fenomena ini sebagai "musuh-musuh lain yang kamu tidak ketahui, sedang Allah mengetahuinya." Sekali lagi dalam konteks ini hubungan yang rapat dengan Allah adalah penting bagi meraih kemenangan.

Perkara yang kelima, semasa pilihan raya (dan juga di luar musim pilihan raya) petugas parti perlu infaq fi sabilillah untuk parti. Sungguhpun aspek kekuatan ruhiyyah adalah perkara yang pertama dan utama tetapi aspek kewangan juga perlu untuk menggerakkan parti. Dalam hal ini dan selari dengan tuntutan al-Quran orang yang pertama yang perlu menyumbang (dalam konteks kewangan) adalah petugas parti itu sendiri. Terdapat di kalangan kita yang amat bersemangat, belum apa-apa sudah bertakbir, tetapi apabila "kopiah bergerak" satu sen pun dia tidak menderma kepada parti!

Allah tidak hendak tengok berapa banyak kita menderma tetapi keikhlasan kita menderma untuk partiNya, walaupun satu sen. Dalam hal ini al-Anfaal, ayat 60 menegaskan: “Apa saja kamu nafkahkan pada jalan Allah nescaya akan dibalas dengan cukup kepadamu.” Dalam kes-kes menderma kepada parti, kita amat terharu mendengar cerita atau kisah benar yang berlaku kepada ahli-ahli PAS terutama di Kelantan dalam tahun-tahun 1950-an dan 1960-an. Ahli biasa PAS begitu komited dan sayang kepada PAS. Terdapat ahli-ahli biasa PAS di kampung-kampung yang menghulur bantuan yang amat bermakna kepada PAS. Kita dengar cerita seorang penoreh getah yang memperolehi tiga keping getah sehari dan beliau menderma satu keping untuk PAS! Kita juga dengar cerita terdapat penanam padi yang pada satu musim memperolehi hasil lima guni padi dan satu guni diinfaqkan kepada PAS! Apakah masih ada dalam PAS sekarang ahli-ahli yang begitu komited dan sayang pada PAS? Tepuk dada tanya iman!

Persiapan kuda-kuda untuk berperang: Pentingnya jentera

Secara yang lebih spesifik, terkini jentera parti perlu menfokuskan kepada tiga kerja penting: Penambahan ahli baharu sehingga mencapai sasaran kemenangan, peningkatan kepakaran (berkaitan peraturan dan akta pilihan raya) dan pengukuhan kewangan. Ketiga-tiga perkara ini telah pun disentuh secara ringkas dalam perbincangan di atas. Dari sudut kewangan, sebagaimana yang telah ditetapkan setiap unit peti undi perlu mempunyai tabung sebanyak RM5000.

Dalam kes penambahan ahli baharu kita rujuk kepada negeri Perak sebagai contuh. Pada tahun 2008 jumlah penduduk negeri Perak adalah 2,351,300 orang. Daripada 2 juta lebih penduduk negeri Perak ini, 1,183,316 telah mendaftar sebagai pemilih. Berdasarkan kelayakan (umur 21 tahun ke atas), jumlah pengundi sepatutnya berjumlah 1,410,780. Ini bermakna mereka yang layak tetapi belum mendaftar ialah seramai 227,464.

PAS Perak perlu berusaha untuk mendaftar pengundi yang layak tetapi belum mendaftar ini iaitu di peringkat minima (33 peratus) iaitu seramai 75,063 dan di peringkat maksima (66 peratus) iaitu seramai 150,126 pengundi. Dalam konteks pendaftaran pemilih baharu, tumpuan perlu diberikan kepada peranan yang dimainkan oleh Unit Pendaftaran Pemilih (UPP) dan Program Gerakan Pendaftaran Pemilih (PGPP) peringkat Dun.

Persiapan-persiapan lain yang relevan bagi menghadapi pilihan raya ialah peralatan yang mencukupi seperti komputer dan kedudukan strategik bilik-bilik gerakan Majlis Tindakan Dun dan UPU. Jangan dilupakan program-program munajat yang perlu diadakan secara kerap khususnya selepas pembubaran dewan sehinggalah keputusan pilihan raya diumumkan.

Kesimpulan

Secara umumnya pilihan raya adalah berkaitan dengan keupayaan satu-satu parti politik yang bertanding dengan menggunakan isu-isu yang dikira penting, manifesto yang menyakinkan dan tawaran-tawaran lain yang boleh memikat pengundi. Dalam hal ini, parti-parti bertanding cuba untuk memenangi hati dan fikiran pengundi. Islam melihat peranan hati sebagai anggota tubuh manusia yang paling penting kerana hati merupakan pusat kepada pelakuan manusia (termasuk pelakuan politik semasa pilihan raya); dan hanya Allah yang boleh menenangkan hati manusia yang berbolak-balik (terutamanya apabila berdepan dengan umpan-umpan pilihan raya) dan kepada Allahlah petugas-petugas pilihan raya PAS perlu rujuk bagi mendapat hidayah, pertolongan dan seterusnya kemenangan.

Dr Wan Abdul Rahman Wan Ab Latif ialah pengarah Pusat Penyelidikan PAS.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...