Thursday, December 5, 2013

Jujurkah Cinta?

Besar sungguh makna kata-kata blogger [ini]. Dibaca dari setiap inci dan butir kata yang dititipkan, terus menembusi ke dalam hati, insyaAllah, Allah akan beri kefahaman buat kita... Semoga dipandu ke jalan yang diredhai oleh Allah swt walaupun kondisi yang agak berbeza dengan jalan cerita yang disampaikan.

Sunday, October 20, 2013

Take A Break 1

Ilmu Yang Bermanfaat

Sambil makan, sambil mendengar radio di dapur. Selesai makan, kemas meja. Tiba-tiba, terdengar bicara ilmu di radio IKIM, membicarakan tentang "bagaimanakah yang dikatakan ilmu yang bermanfaat". Lantas, cepat-cepat ambil pen dan kertas, nak catat apa yang ingin diperkatakan...

Maka, sambil minum kopi beserta cekodok cicah sos pada petang yang damai ini, sama-sama kita baca yer apa yang ingin dikongsikan...

Ilmu yang bermanfaat, seperti yang dikatakan oleh Imam al-Ghazali dalam kitab Bidayatul Hidayah...

1) Membuatkan atau menambahkan lagi rasa takut kita kepada Allah swt.

2) Dapat mengenali keaiban kita

3) Berasa ghairah dalam beribadah

4) Mengurangkan rasa gemar kita pada dunia. (Perkara ini sering dibahaskan oleh orang-orang tasawwuf, yakni bukan menolak dunia, tapi tidak gemar kepada dunia, bahkan lebih mengutamakan akhirat)

5) Merubahkan akan gemarnya kepada akhirat

6) Membuka mata hati kita untuk melihat amal-amal yang boleh merosakkan ibadah kita dan berusaha memeliharanya

7) Makin tahu atau jelas tentang tipu daya syaitan

Waalau'alam...

p/s: hanya ini yang mampu dicatat dan semoga bermanfaat untuk kita semua. Nak detail, try jengah kat web site IKIM...  

Saturday, June 15, 2013

Dah tak lama dah


Iman di 'Comfort Zone'

....Ramai yang beriman di dalam tenang, tetapi tidak tenang dalam beriman....

Beriman dengan suasana comfort zone, menjadikan imannya lemah. Dia tidak mendalami makna keimanannya. Keimanannya tidak membuahkan amal yang sepatutnya. Maka tatkala keimanannya diuji, ia menjadi goyah lantas musnah. 

Tetapi berbeza dengan mereka yang tenang dalam keimanan. Mereka diuji, iman mereka sentiasa dicabar dan mereka pula sering berusaha mengatasi cabaran tersebut. Lantas mereka sampai ke satu tahap kekentalan, kekuatan, dan keimanan mereka telah teruji serta terbukti. Lantas walau dunia bergegar hebat sekalipun, mereka tetap tenang dengan keimanan dalam diri. Tidak gelabah, tidak resah.

Amat berbeza orang yang beriman dalam ketenangan, dengan orang tenang dalam keimanan. 

Kadang kita perlu mencabar diri dengan kepayahan untuk hadirnya ketenangan. Jika mahu senang lenang aja, risau nanti disergah sekali terus berkecai segala pegangan. 


- hilalasyrafoflangitilahi -
- 15.5.13 -



Saturday, June 8, 2013

Hamsa Riyal !!!

Emak ada mengatakan pada kami hajat beliau mahu menunaikan umrah selepas abang ngah kami berkahwin.  Mungkin baginya tempoh selepas itu adalah sudah tiba masanya untuk dia dan ayah memberi fokus yang lebih pada hal-hal ibadat. Ya, itu cerita 1 tahun yang lepas.. Dan alhamdulillah, Allah telah mengizinkan untuk mereka menunaikan umrah pada tahun ini. Akhirnya kami ( Mak, Ayah, Mak Lang saya dan Saya), mengorak langkah sebagai tetamu Allah untuk mengerjakan umrah pada tahun ini.


Langkah disusun, perancangan diatur, meluncur laju meredah awan biru, menerokai langit yang terbentang luas, perjalanan yang memakan masa 8 jam... Nah, permusafiran yang cukup bermakna buat saya untuk sepanjang hidup ini. Melarikan diri dari kesibukan kerja dan tugasan, dan kami datang mendekatiNya, sebagai tetamuNya, untuk mengabdikan diri padaNya walaupun dalam tempoh yang seketika cuma. 

Merenung dalam diri, yang penuh dengan dosa, hamba yang hina lagi keji, datang mendekatiMu, semata-mata mahu menyucikan diri. 


(Gambar sekitar masjid Nabawi, - Subuh, 25 Jun 2013)



Keberadaan selama 3 hari di Madinah, dengan suhu yang mencecah hampir 50 darjah celcius, tidak akan saya lupakan walaupun hidung sentiasa berdarah dek cuaca yang panas. Mempunyai Masjid Nabawi yang tersergam indah, mempunyai ganjaran pahala solat sebanyak 1000 kali jika dibandingkan solat di masjid-masjid lain, serta mempunyai tempat tinggal Rasulullah saw bersama-sama dengan isteri-isteri baginda, juga terdapat tempat bersemadinya makam Rasulullah saw, Abu Bakar dan Umar di dalam masjid Nabawi. 

Terdapat satu peristiwa yang memberi peringatan yang cukup terkeasn di hati bila pada suatu pagi itu, saya bersolat di kawasan dataran masjid Nabawi. Selesai solat, kami duduk berzikir dan tiba-tiba datang seekor lipas menghampiri saya ketika itu. Kalau kita lah di Malaysia ketika itu, apa yang akan kita buat dengan lipas itu? Nak aja kita bunuh, ataupun kita akan amik Sheildtox untuk spray dia, bukan... Inilah yang dinamakan keistimewaan Masjid Nabawi. Semua perkara, baik hamba Allah yang terus beribadat mahu menyucikan diri dari dosa-dosa, tumbuh-tumbuhan, haiwan, mahupun apa jua perkara selagi kita berada di tanah suci Madinah, semua perkara itu dianggap suci dan istimewa. 

Perkara ini saya tidak dapat rasakan bila saya di Malaysia, tapi bila perkra ini terjadi di Madinah, baru saya dapat rasakan betapa istimewanya semua perkara itu. Sehinggalah saya ditegur oleh orang Arab ketika itu suapaya jangan sesekali dibunuh binatang itu. Walhal ketika itu niat saya hanya mahu menghalau sahaja binatang itu pergi dari kami. 

Lantas saya berfikir, mungkinkah inilah dugaan yang Allah hadirkan pada saya kerana pada waktu itu saya ada berdoa pada Allah swt supaya memberi saya kesabaran dan dilapangkan dada jika menghadapi apa-apa jua dugaan dan cabaran kehidupan. Ehemm....




Dari Madinah beralih ke Kota Suci Makkah al-Mukarramah. 

Dari Madinah ke Makkah, memakan masa selama 5 jam dengan menaiki bas. Sudah tiba masanya kami perlu berangkat ke sana untuk menunaikan ibadah umrah yang sebenar. Jam 11.00 malam waktu tempatan, kami tiba di Makkah.

" Masuk dan keluar ke tanah suci Makkah, semuanya ibadah ", Ustaz (mutawwif). Sehingga dikatakan bahawa terdapat satu masjid di dunia ini yang tak perlu melakukan solat tahhiyyatul masjid ialah Masjidil Haram, kerana terdapat ibadah lain yang lebih utama iaitu tawaf jika mahu memasukinya.

Satu lagi tempat yang penuh dengan keistimewaanya, di mana untuk Masjidil Haram, kelebihannya ialah sebnayak 100 000 kali ganjaran pahala yang lebih baik berbanding solat di tempat lain. 

Mungkin ada yang mengatakan sukar mahu melihat ramainya umat manusia seperti di Makkah ini yang berkumpul di Malaysia, melainkan seperti Perhimpunan 505... Ehem, tapi bagi saya ia tetap tidak akan sama dengan perhimpunan 505 itu. Sudah tentu kita datang berhimpun di Makkah ini pun dengan niat yang berbeza. Walhal kita datang berhimpun bukan tujuan ingin memprotes atau apa, tetapi kita datang dengan tujuan mahu mendekatkan diri lagi dengan Allah swt. waallahu'alam...

Siapa kata orang Arab di Madinah dan Makkah tak pandai berbahasa Melayu? Bahkan cukup fasih dan dapat memahami bahasa kita dengan baik. 

Baru saja lalu depan kedai mereka, sudah disuruh singgah dahulu, boleh tengok-tengok dulu katanya. Malah dipanggilnya kita ' ibu' ' lagi. Dari jauh sudah didengar, " hamsa riyal, hamsa riyal... ". Itulah lima riyal.  

Bertanya pada diri, apa maksud sebenar kita melakukan ibadah Umrah?

1) Umrah, bila-bila masa kita boleh buat. Pangkal duit dan kesihatan. Tapi bagi yang hidup tak lah semewah mana, umrah sekali seumur hidup pun sudah memadai. Itu belum lagi diceritakan soal haji, yakni lagi besar lagi belanjanya. Saya menyeru jika ada peluang ingin mengerjakan ibadah umrah, perbetulkan niat kita semula. Kita buat ibadah umrah ini, semata-mata mahu mencari keredaanNya dan mahu lebih dekat lagi dengannya. Sebab apa, apabila kita ke sana, kita difokuskan untuk sentiasa berzikir, berdoa, berselawat, melakukan solat-solat sunat, dan amalan-amalan kebaikan yang lain di mana kita sentiasa mengingatkan diri kita untuk terus mengingatiNya. Sudah tentu jika di Malaysia, kita sukar benar-benar dapat menumpukan sepenuhnya pada amalan-amalan sebegitu atas komitmen kita pada hal-hal kerja, pelajaran, mahupun tugasan-tugasan harian yang lain. Jadi, gunakanlah kesempatan yang ada jika dapat melaksanakan ibadah umrah atau haji nanti.   

2) Bagaimana jika kita sudah pulang dari umrah pula? Maka perlulah kita sentiasa muhasabah atau perhalusi diri kita sendiri. Benarkah amalan-amalan yang kita lakukan sepanjang di sana benar-benar ikhlas, benar-benar jujur, penuh dengan kesungguhan ataupun tidak. Kerana apa yang kita mahu elakkan, ibadah umrah yang sekadar suka-suka, main-main mahupun sambil lewa. Dibawa ziarah ketempat-tempat sejarah nabi sekalipun, tetap tak terkesan dihati jika kita tiada niat dengan penuh kesungguhan mahu melakukan ibadah umrah ini. Nauzubillah min zalik... Ingat, peluang tak selalu kita dapat. 

3) Mengambil peluang untuk melihat kesan-kesan tapak sejarah yang berlaku ketika Nabi Muhammad saw datang berhijrah dari Makkah ke Madinah. Peristiwa-peristiwa yang berlaku kita sama-sama dalami untuk kita hayati susah payah Rasulullah saw dan para sahabatnya dalam berdakwah, memperjuangkan agama Islam.  

               Menelusuri sirah, Rasulullah saw dan para sahabatnya telah bersusah payah menegakkan syiar Islam di bumi Makkah dan Madinah. Peperangan merupakan salah satu cara untuk mempertahankan Islam. Bahkan rezeki dalam peperangan itu sendiri terletak di bawah mata pedang. Menang berperang, harta ranpasan menjadi habuannya. Mati berperang, syahid namanya. 

Betapa kuat tahap keimanan mereka, mereka telah berpenat lelah untuk meninggikan Islam supaya kita dapat merasai kenikmatan Islam itu kelak. Peperangan kita? Kita lawan nafsu tidur, lawan nafsu makan, lawan diri ini yang cepat saja mahu merungut. Cuaca panas lah.... sabar, Rasulullah saw berpanas, berlapar, berhabisan wang, tenaga demi kita semua. 


Bahkan kita boleh bersa'ie dalam tempat yang ber air-cond... ehmm...


4) Kita bermusafir mahu melihat kebudayaan dan kehidupan orang di negara lain. Di Makkah, kebanyakkan bangunan hotel-hotel dibina dengan hasil bantuan jurutera-jurutera tempatan kita. Bahkan terdapat satu monorail yang telah dibina di kawasan Mina sana atas usaha sama kerajaan Arab Saudi dengan Malaysia. Di situ, ada hasil titik peluh anak Malaysia menyumbangkan keringat demi kelangsungan ibadah umrah dan haji umat Islam. Tapi seperkara yang saya kurang suka dengan orang Arab kat sana, disiplin mereka atas jalan raya kurang. Cuma saya tak pasti bagaimana kadar kemalangan mereka atas jalan raya berbanding dengan Malaysia. huhu...

5) Bila mahu melakukan ibadah umrah, sudah tentu kebanyakkan dari kita menggunakan agensi umrah, dan sudah tentu  bilangan jemaah yang ramai turut terlibat. Maka, jika ada perkara yang jemaah terlewat berkumpul, maka janganlah kita berasa cepat marah dengan mereka. Banyakkan bersabar. Allah tidak memberi kesihatan, kesenangan, kemudahan yang sama pada semua orang. Boleh jadi kelewatan jemaah itu merupakan satu ujian buat kita untuk lebih banyak bersabar. Walau bagaimanapun, jemaah yang lewat juga janganlah ambil kesempatan. Boleh jadi ini juga satu pentarbiyahan buat kita untuk lebih tersusun, cepat dan pantas pergerakannya. Sekalipun kita tahu, kesihatan kita ada terjejas sikit, tapi banyakkanlah berzikir dan berdoa. Boleh jadi juga Allah mahu mengelakkan kita supaya terus menyusahkan orang lain. Itulah zikir yang selalu di amalkan, Allahumma yasir wala tu'assir (Allah permudahkan, jangan susahkan). 


" hamsa riyal, hamsa riyal... Ibu singgah dulu. Boleh tengok-tengok. Halal, halal.... "
" Ini berapa? "
" Sepuluh riyal saja. Ini cantik, ini cantik "...



Waallahu'alam...



Wednesday, April 24, 2013

Orang kita bercakap pasal apa hari ini....?

23 April 2013... suatu petang yang redup saya meminta emak untuk menemani saya ke bengkel kereta yang berdekatan dengan rumah, nak ambil kereta yang sudah dibaiki setelah mengalami sedikit remuk di bahagian hadapan bumper kereta. Disebabkan petang itu ada pasar malam, maka kami harus menempuhnya untuk  ke bengkel kereta itu.

Saya bertanya pada emak, terasa macam bulan puasa pula kita ke pasar malam ni ye. Macam nak beli juadah berbuka. Lantas emak jawab, dah memang nak dekat pun. Dah tak lama dah.....

Hemm... betul lah tue. Mengikut tarikh entry post ni, ( 25 April 2013 @ 14 Jamadil akhir 1434H), bila dikira-kira, kita mempunyai masa lebih kurang 2 bulan 10 hari lagi sebelum kedatangan Ramadhan... Ya Allah, semakin hampir Ramadhan Mu... Mohon doakan agar kita sama-sama dapat berjumpa dengan Ramadhan yang akan datang ni..

Namun, cerita bulan puasa itu tidak terasa lagi bahangnya, walaupun pada hakikatnya ia semakin dekat. Tapi ada satu kisah yang lagi dekat dengan kita semua buat masa ini. Kisah PRU ke 13. Ya, inilah bahang yang semakin hangat diperkatakan dimana-mana saja. Satu kisah yang cukup panas untuk dibicarakan dan hangat dirasai sekalipun bercakap dalam bilik yang berhawa dingin takat beku.

Mengapa kita sibuk bercakap tentang pilihanraya sekarang ni?

Sebab, dah musim pilihanraya, maka kita bercakaplah pasal pilihanraya. Tak gitu? Yer, benar... Tapi apa yang sampai hangat dan panasnya? Nah, kita tanyalah pada diri sendiri. Kita nilaikanlah sendiri.

Dulu, saya bukanlah orang yang benar-benar mahu menyibukkan diri dengan hal-hal politik ini. Bahkan jika diambil tahu sekalipun, hanya sekadar untuk pengetahuan, bukan untuk niat berhujah sekalipun dan dengan sesiapa pun. Sampai begitu sekali.... Ya, benar. Kerana ketika itu saya masih naif, jahil dan cetek ilmu serta pengalaman, sehinggakan saya merasa kabur untuk memilih mana yang terbaik. Dan pernah suatu ketika saya suarakan perkara ini kepada murabbi saya tentang perancangan parti-parti yang ada dan sejauh mana perancangan-perancangan mereka itu dapat dicapai. Dek kerana pening memikirkan agenda masing-masing, maka saya mengambil kata hati yang lemah, untuk malas nak ambil kisah.

Nah! Kali ini soalan ini sekali lagi menerjah ke fikiran saya. Mengapa saya harus ambil tahu.

Saya harus ambil tahu dan wajib untuk tahu. Soal politik, merupakan soal kepimpinan, pemerintahan,  pengurusan dan pentadbiran sesebuah negara ataupun negeri, dimana sebagai umat Islam, kita mahukan sistem pemerintahan yang sentiasa menegakkan syiar-syiar Islam walau apa cara sekalipun tanpa berlaku diskriminasi kaum dan bangsa. Saya kira, tidak perlu lah lagi saya memanjang lebarkan entri post saya kali ini untuk menceritakan tentang kehangatan pilihanraya kita kali ini, kerana saya sedia maklum, yang membaca entri ini pun sudah tahu apa yang terjadi dan lagi arif tentangnya.

Apa yang saya mahukan dari saya dan kalian juga, sama-samalah kita renungkan kembali dengan apa yang telah kita lalui selama ini atas sistem pemerintahan yang ada sekarang ini. Cubalah beri sedikit ruang dan waktu untuk menambahkan lagi kefahaman kita tentang perkara ini. Benarlah kata ramai ahli ilmuan dan cerdik pandai, 1 undi kita amat bermakna, tapi jangan kita main-main dengan 1 undi itu, kerana 1 undi itu jugalah yang akan menentukan amal timbangan amalan kita di akhirat kelak dalam memilih pemimpin yang boleh menegakkan keadilan dan kebenaran.

Saya menyeru, jika ada kelapangan untuk mendengar kempen, ceramah, bersua muka dengan calon pemimpin, berbual dan bersembang ke, gunakanlah masa itu dengan sebaik-baiknya. Rebutlah peluang itu sebelum kita menetapkan keputusan untuk memilih walaupun di fikiran kita sudah ada jawapannya, tapi teruskan berusaha. Setidak-tidaknya, jika pilihan kita itu silap, di akhirat kelak kita mampu mengatakan di hadapan Allah, bahawa kita sudah berusaha untuk memilih yang terbaik dan sudah tentu kita tak akan tahu ramalan mana yang paling baik, hanya Allah yang Maha Mengetahui akan hal hamba-hambaNya.

Saya doakan agar sesama kita dapat berpolitik dengan cara sihat dan berhikmah, sekalipun kita berpolitik di medan pejabat, di sekolah, di kampus, di pasar, di atas jalan raya, di gelanggang perlawanan bola atau badminton, atau dimana-mana sahaja.

Jernihkan hati, jernihkan fikiran, semoga Allah luruskan hati kita semua ke arah kebenaran! InsyaAllah. Selamat menjalani ibadah berkempen dan mengundi.... ;)











 

Friday, April 19, 2013

cemburu, cemburu, cemburu

Cemburu... Cemburu... Cemburu.... dan; ah!

Saya cemburu dengan mereka yang berkebolehan menulis, mengarang, berkarya. Ada saja idea-idea menarik yang mereka tulis di ruangan-ruangan mana yang boleh ditulis, seperti di sini; dan menarik juga untuk dibaca. 

Mungkinkah saya boleh menjadi seperti mereka... khabarkanlah pada saya.... Saya cemburu pada pen yang berdakwat basah. Eh?!