Jumaat, 20 Mac 2015

DOSA DAN PENGAMPUNAN



Dalam kehidupan ini kita tidak terlepas dari melakukan dosa. Betapa banayak dosa yang telah kita lakukan sepanjang hidup kita ketika ini antara sedar atau tidak, sama ada besar atau kecil. Walau sealim mana pun dia, mendapat gelaran guru, ustaz atau ulama’ tetap tidak terlepas dari melakukan dosa. Kerana kita bukan seperti Nabi dan Rasul yang diberikan sifat maksum iaitu terhindar dari melakukan dosa dan kesilapan.  Malah para ulama’ terbilang seperti Imam asy-Syafi’i sendiri dalam syair agungnya al-I’tiroof mengungkap:
“Dosa-dosaku bagaikankan pepasir di pantai
 

Tidak Terhalang Untuk Kembali
Namun begitu, Islam itu sangat istimewa kerana ianya membuka jalan yang tersangat luat bagi setiap insan itu kembai kepangkuan Yang Esa. Malah keampunan Allah tidak pernah dihalang oleh sebarang jarak, waktu, umur, keturunan atau bangsa. Sesiapa yang ingin kembali hendaklah dia bersungguh-sungguh dengan berusaha tidak mengulangi kesilapan itu lagi. Jika kesalahan itu melibatkan sesama manusia, maka pohonlah kemaafan dari insan yang dizaliminya itu. Jika khuatir membawa mudarat, maka serahkannya kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui kadar kemampuan hamba-Nya sesuai dengan firman:

"Dan orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiayai diri sendiri, mereka ingat akan Allah lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain Allah. Dan mereka tidak meneruskan perbuatan keji itu sedang mereka mengetahui. Mereka itu balasannya ialah ampunan dari Tuhan dan syurga yang didalamnya mengalir sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya dan itulah sebaik-baik pahala orang-orang yang beramal" (surah Ali-Imran: 135-136)

Islam juga melarang ummatnya dari membuka aib atau mendedahkan perkara-perkara mungkar yang diperlakukannya kepada orang ramai dan tidak juga dibenar membuat pengakuan dihadapan orang beragama atas sebab untuk menebus dosa seperti yang diamalkan oleh sesetengah agama. Malah tiada istilah penghapusan dosa dengan mengenakan bayaran yang tinggi malah tiada juga upacara penyiksaan diri sebagai medium penghapusan dosa. Bagi Islam, setiap dosa yang dilakukan akan dihitung dan diberikan hukuman setimpal dengan dosa yang dibuat.
 

Jalan Kembali Terbentang Luas
Taubat nasuha dan kembali kepada jalan yang sebenar iaitu kembali kepada ajaran Islam yang hakiki itulah yang utama dalam mencari keredhaan dan keampunan Allah swt. Malah Allah Maha Mendengar setiap rintihan taubat hamba-Nya. Allah tidak pernah berpaling dari memberi rahmat keampunan kepada insan-insan yang mencari jalan pulang. Malah Allah sentiasa menanti hamba-Nya kembali ke pangkuan. Nabi saw bersabda:

“Sesungguhnya Allah membentangkan tangan-Nya pada malam hari agar bertaubat orang yang bebuat jahat di siang hari dan Dia membentangkan tangan-Nya pada siang hari agar bertaubat orang yang berbuat jahat pada malamnya sehingga matahari terbit dari barat” (hadis shahih Riwayat Muslim)

Keampunan itu amat meluas, malah sekiranya Allah menitipkan nur keampunan pada diri seseorang sudah pasti insan itu lebih mulia disisi Allah. Jangan pernah sesekali kita mengherdik atau menghina kepada orang yang berbuat kesalahan kerana mungkin jika dia bertaubat dengan bersungguh-sungguh dan Allah menerima taubatnya itu nescaya kemuliaan dan darjatnya amatlah tinggi di sisi Allah swt. Dalam hadis qudsi, Allah berfirman:

“Wahai anak-anak Adam, selagi engkau memohon dan mengharapkan daripada-Ku, Aku ampunkan engkau walau apa pun dosamu, Aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, jika dosamu sampai ke puncak langit, lalu engkau memohon keampunan dari-Ku, Aku ampunkan engkau, Aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, jika engkau datang kepada-Ku dengan dosa yang hamper memenuhi bumi, namun engkau menemui-Ku tanpa mensyirikkan Aku dengan sesuatu, nescaya Aku datang kepadamu dengan penuh keampunan”. (Riwayat at-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).


Dosa Yang Terulang
Manusia ini sifatnya adalah pelupa dan sangat lemah dengan pujukan dunia. Kadang kali kita sering terlupa terhadap janji kita kepada Allah. Kadang kali kita alpa dengan taubat yang diungkapkan. Namun jangan sesekali kita berputus asa atau kecewa dengan dosa-dosa yang lalu. Sebaliknya setiap kesalahan yang dibuat lalu kita tersedar dan segera memohon keampunan dari Allah swt sudah pasti Dia akan mendengar. Sedangkan iblis yang memohon agar Allah panjangkan umurnya sehingga kiamat untuk menyesatkan manusia pun turut Allah perkenankan, apatah lagi kita hamba-Nya yang sentiasa beramal ibadah dan mengharap kepada-Nya. Tiada istilah tidak berguna walau bertaubat jika tetap melakukan dosa dan tiada keampunan bagi orang-orang yang sering ingkar taubatnya. Walau dosa yang dilakukan sering berulang, namun Allah tidak pernah jemu memberi keampunan-Nya. Nabi saw bersabda:

“Seseorang telah melakukan satu dosa lalu dia berkata: “Wahai Tuahanku, ampuni dosaku”. Lalu Allah berfirman; “Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, Aku ampunkan dosanya”. Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain lalu berkata: “Wahai Tuhanku, aku telah melakukan dosa,ampunilah dosaku”. Lalu Allah berfirman: “Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, Aku ampunkan dosanya”. Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, lalu berkata: “Wahai Tuhanku, aku telah melakukan dosa,ampunilah dosaku”. Lalu Allah berfirman: “Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka Aku ampunkan hamba-Ku ini, buatlah apa yang kamu mahu, Aku ampunkan engkau”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Lihatlah betapa kasih dan sayangnya Allah terhadap setiap hamba-hamba-Nya. Tidak pernah tertutup pintu taubat bagi setiap insan. Walaupun kita sering terlupa kepada-Nya, namun sesekali tidak Dia terlupa kepada kita. Rahmat dan Rahman-Nya sentiasa dilimpahkan. Cuma mungkin kerana iman yang lemah kita sering khilaf. Namun Islam cukup indah. Jalan kembali sentiasa terbuka bagi insan yang benar-benar bertaubat……….

Wallahua’lam

Tazkirah: Ayah Ustaz: 21 Mac 2015, Wangsa Maju, KL.
 
 

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Template by:
Free Blog Templates