Showing posts with label Minggu Setem. Show all posts
Showing posts with label Minggu Setem. Show all posts

Saturday, December 12, 2020

Minggu Setem 2017

Saya rasa rugi jika tidak berkongsi pengalaman yang lepas berkaitan setem memandangkan gambar-gambar kenangan masih ada disimpan. Akibat kesibukan, keletihan mencari rezeki dan tumpuan aktiviti peribadi lain, blog ini saya tidak dapat kemas kini pada akhir tahun 2017 hingga awal tahun 2020.


Pada 10 Disember 2017, saya telah mengunjungi Minggu Setem 2017. Minggu Setem tersebut diadakan di Pejabat Pos Besar, Kuala Lumpur bermula dari 4 Disember 2017 hingga 10 Disember 2017.

Pada mulanya saya bercadang tidak mahu mengunjungi Minggu Setem ini disebabkan faktor ingin berjimat dari perbelanjaan. Walau bagaimanapun, saya menukar perancangan saya. Saya terasa teruja untuk hadir Minggu Setem 2017 disebabkan tema setem Lego merupakan minat saya, ingin lakukan sesuatu yang menggembirakan hati dan baki cuti kerja masih banyak belum digunakan pada tahun tersebut.


Apakah yang menarik perhatian saya pada Minggu Setem 2017?

1. Nasi lemak diberikan secara percuma oleh pihak Pejabat Pos kepada pengunjung. 

2. Pameran basikal posmen.

3. Layanan mesra petugas pos.

Apakah yang perlu diperbaiki untuk Minggu Setem akan datang?

1. Perlu ada kuiz atau meneka jumlah setem dengan menyediakan hadiah menarik.

2. Perlu menjemput sekurang-kurang satu wakil pejabat pos dari negara luar untuk menjual setem (jika tiada lagi penularan penyakit Covid-19).

3. Adakan hadiah berbentuk Sampul Surat Hari Pertama bagi pembelian barangan setem secara harian dalam resit terkumpul melebihi RM100.00 .


Thursday, October 27, 2016

Minggu Setem 2016

Pada 1 Oktober 2016, jam lebih kurang 10.15 pagi, saya berjaya menjejaki kembali ibu pejabat pos di Kuala Lumpur, Malaysia. Tanpa tidak disangka, saya sudah tiga tahun tidak menghadiri Minggu Setem disebabkan saya menghadkan diri sendiri supaya memilih hanya sekali setahun sahaja program besar berkaitan setem dalam Malaysia, bagi menjimatkan kos perbelanjaan. Pada tahun 2013, saya memilih untuk hadir Pameran Setem Tri-Nation di ibu pejabat pos Kuala Lumpur. Selepas itu, saya memilih pula Pameran Setem Remaja Dunia 2014 di KLCC. Manakala pada tahun lepas, saya mengunjungi Pameran Setem Empat Negara di Dataran Pahlawan, Melaka.

 
 

Saya agak terkedu sebentar apabila ternampak sekumpulan pelajar sekolah beratur di koridor berhampiran pintu masuk penjualan setem. Tapi saya yakin, mustahil terlalu ramai dan panjang beratur. Saya pun mencelah pelajar-pelajar tersebut. Mereka hanya berkumpul di situ. Nasib baik, saya tidak ikut beratur bersama mereka.



Serentak dengan Minggu Setem ini, terdapat Setem Definitif Antarabangsa yang pertama kali dikeluarkan di Malaysia. Saya terus bertanya dengan petugas pos tempat untuk membeli setem tersebut. Petugas memaklumkan perlu ambil nombor giliran kaunter terlebih dahulu. Nombor giliran saya, 1056 dan terdapat lebih kurang 30 orang lain menunggu. Walaupun, giliran saya lama lagi, saya tidak melatah disebabkan saya tahu bermacam-macam perkara boleh dilakukan semasa Minggu Setem.
 
 

Oleh itu, bagi mengisi masa, saya pergi mengambil risalah dan poster mengenai Setem Definitif Antarabangsa di ruang menunggu kaunter pembelian setem. Saya juga mengambil kesempatan, pergi mengepos surat kepada kenalan Sepanyol di bangunan kaunter utama. Saya mendapati, kaunter utama perkhidmatan pos tidak dibuka disebabkan ada pertandingan mewarna kanak-kanak. Selepas itu, saya membeli Lembaran Mini lama yang belum digunakan. Saya gembira dapat membeli beberapa Lembaran Mini yang masih belum ada dalam koleksi dan ditambah pula dengan diberi cenderamata berupakan Lembaran Mini Sukan Komanwel 1998 dan poskad.



Selepas itu, saya sudah berasa lapar. Tangan pun sudah mengigil. Syukur ada peniaga sarapan pagi di luar pintu tempat penjualan setem. Nasi lemak dijual dengan harga RM2.00, harganya amat berpatutan dan sedap pula.

Kemudian, saya menyambung semula membeli setem lama yang belum digunakan. Kebanyakan setem yang dijual telah ada dalam koleksi saya. Cuma saya ingin menambahkan stok simpanan bagi memudahkan pertukaran setem dengan kenalan. Saya agak terkilan pembelian setem lama tidak dimaklumkan awal akan dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan/ Goods and Services Tax (CBP/ GST). Iklan yang dipaparkan dalam laman web rasmi pos sebelum Minggu Setem berlangsung tidak begitu jelas dinyatakan.

Lebih kurang dua jam saya menunggu giliran untuk membeli Setem Definitif Antarabangsa. Nasib baik dapat membeli semua barangan filateli yang dihajati. Layanan mesra petugas lelaki di kaunter nombor dua, memuaskan hati saya. Terima kasih dan tahniah diucapkan.

Selepas itu, saya memulakan aktiviti mengoyak gigi setem untuk menampal pada Sampul Surat Hari Pertama. Agak terkial-kial untuk mengoyak gigi setem bagi memastikan setem tidak terkoyak. Seperti biasa, untuk menggunakan cap setem Hari Pertama perlu ada kesabaran. Walaupun, tidak ramai yang menggunakan cap tetapi jika  seorang sahaja mempunyai banyak surat dan poskad perlu dicap, memanglah perlu menunggu lama.
 
Selepas berjaya  mengecap Sampul Surat hari Pertama, tugas mencabar saya seterusnya, untuk mengira semula harga setem dan Lembaran Mini yang dibeli. Namun, saya dimaklumkan terdapat setem tanpa tebukan yang dijual secara helaian dikenakan harga RM10.00 walaupun nilai setem tersebut berharga RM6.00. Saya rasa terkilan sedikit. Sepatutnya pelanggan dimaklumkan awal mengenai harganya. Lebih kurang hampir 30 minit saya menghabiskan masa menyemak bagi mengira harga setem dan Lembaran Mini.




Saya bercadang untuk membeli setem sudah digunakan yang dijual oleh pengedar setem. Namun, tiada setem yang ingin dibeli di situ. Seterusnya, saya menaiki lif menuju tingkat tiga bangunan pejabat pos. Terdapat pameran setem. Saya fikir tidak ramai pengunjung dalam dewan pameran tersebut. Sangkaan saya melesat. Terdapat ramai pelajar sekolah.
 
Apabila saya tiba di rumah, saya mengetahui menerusi internet, pejabat pos ada menjual poskad sempena Minggu Setem tersebut. Mungkinkah pihak pos lewat mempromosikan poskad tersebut? Saya kecewa tidak dapat membeli poskad yang cantik itu. Namun, kekecewaan itu terubat apabila melihat poskad itu tiada tertera perkataan "MINGGU SETEM".


 
 

Apakah yang menarik perhatian saya pada Minggu Setem 2016?

1.         Nombor giliran pembelian Setem Definitif Antarabangsa.

Dengan adanya nombor giliran ini untuk kaunter pembelian Setem Definitif Antarabangsa, pembeli tidak perlu berebut-rebut atau beratur panjang untuk membeli filateli. Cara ini lebih sistematik dan adil.

2.         Jualan sarapan pagi.

Sememangnya perlu ada peniaga menjual makanan bagi mengelakkan pengunjung kelaparan atau kehausan. Dengan adanya jualan tersebut, pengunjung tidak perlu bersusah-payah mencari tempat untuk menjamu selera. Di samping itu, dapat mengisi masa ketika menunggu giliran membeli barangan filateli.

3.         Kios foto menarik.

Kios foto atau photo booth berbentuk empat segi dan bulat di tengah, berimejkan kanta pembesar, menarik untuk diambil gambar sebagai tanda kenangan. Terdapat petugas pos yang ringan tulang membantu pengunjung mengambil gambar.

4.         Layanan mesra petugas pos.

Terdapat petugas pos yang memberi layan baik dan tidak lokek senyuman. Wajar dikekalkan.

5.         Cenderamata.

Terdapat cenderamata setem, Lembaran Mini dan poskad diberikan pembeli setem lama. Cendermata wajar diberikan kepada pembeli sebagai tanda penghargaan dan kenangan. Dengan adanya cenderamata tersebut, sedikit sebanyak dapat menggembirakan hati pengunjung terutama yang hadir dari luar Kuala Lumpur.

6.         Jumlah kerusi pengunjung memuaskan.

Jumlah kerusi yang disediakan di ruang jualan setem lama dan Setem Definitif Antarabangsa untuk pengunjung memuaskan. Pengunjung terdiri dari pelbagai peringkat usia termasuk warga emas. Keselesaan pengunjung harus diutamakan.

7.         Poster diberikan kepada pengunjung.

            Terdapat Poster Setem Definitif Antarabangsa dan Minggu Setem yang diletakkan di ruang kaunter setem yang membolehkan pengunjung bebas mengambilnya. Poster ini juga boleh dianggap sebagai cenderamata terutama bagi pengunjung yang mengumpulnya.

 
 

Apakah yang perlu diperbaiki untuk Minggu Setem akan datang?

1.         Menyediakan resit kepada pembeli setem lama.

Resit perlu diberikan kepada pembeli setem lama oleh pihak pos supaya kekeliruan bayaran yang dikenakan dapat dielak. Tambahan pula, terdapat sesetengah individu yang membeli setem lama pelbagai jenis dalam kuantiti banyak. Dengan ada resit, dapat mengelakkan berlakunya pertikaian atau salah sangka harga setem lama dikenakan kepada pelanggan.

2.         Jualan helaian setem lama tanpa tebukan perlu dilabelkan harga.

            Terdapat kekeliruan di kalangan pembeli ke atas helaian setem lama tanpa tebukan (imperforate stamp) yang harganya berbeza berbanding dengan nilai sebenar yang tertera pada setem tersebut. Setem lama tanpa tebukan dijual dengan harga yang lebih tinggi daripada setem lama ada tebukan. Dicadangkan pihak pos melabelkan harga setem tanpa tebukan.

3.         Setem lama dijual secara helaian perlu diasingkan.

Mana-mana setem lama yang dijual secara helaian (tidak boleh dikoyak dari helaian setem) perlu diasingkan daripada setem yang dijual secara kepingan. Selain daripada itu, perlu dilabelkan untuk makluman pembeli. Ada pembeli yang mengoyakkan setem yang dijual secara helaian hingga ditegur oleh pihak pos. Bagi mengelakkan perkara ini berlaku, sememangnya wajar diasingkan dan dilabelkan mana-mana setem dijual mengikut helaian.

4.         Mengadakan kuiz atau meneka jumlah setem.

Beberapa tahun sebelum ini, terdapat kuiz atau meneka jumlah setem semasa Minggu Setem. Dicadangkan kuiz atau meneka jumlah setem perlu diadakan semula dengan menawarkan hadiah menarik bagi memeriahkan Minggu Setem.

5.         Promosi barangan filateli sempena Minggu Setem.

            Tidak semua peminat setem akan mengetahui apakah barangan filateli yang akan dijual khas sempena Minggu Setem. Oleh yang demikian, promosi secara jelas dengan menyatakan apakah barangan dijual perlu ada sebelum berlangsungnya acara Minggu Setem. Sekiranya terdapat barangan filateli yang dijual tidak disenaraikan dalam risalah atau poster promosi, dicadangkan petugas pos terutama di kaunter jualan dapat mengesyorkan kepada pengunjung yang mungkin berminat atau terlupa untuk membeli. Kemungkinan dengan cara ini, dapat meningkatkan jualan pihak pos sempena Minggu Setem.

6.         Menjemput wakil pejabat pos dari negara luar.

            Dicadangkan pada tahun akan datang, pihak pos menjemput sekurang-kurangnya satu wakil pejabat pos dari luar negara menjual produk filateli semasa Minggu Setem. Pihak pos boleh menjemput terutama negara berdekatan seperti Brunei Darrusalam, Singapura, Thailand, Filipina dan Laos. Dengan adanya wakil pos dari luar negara bukan sahaja dapat memeriahkan Minggu Setem tetapi dapat mengeratkan hubungan sesama negara.
 
7.         Lembaran Mini "MINGGU SETEM".
Pihak pos seharusnya mengekalkan pengeluaran Lembaran Mini sempena Minggu Setem. Ketiadaan Lembaran Mini yang mempunyai cetakan “MINGGU SETEM” bagaikan kurang lengkap terutama peminat setem yang mengumpul Lembaran Mini tersebut. Oleh itu, disyorkan pada masa akan datang sekiranya pihak pos mahu mengeluarkan suatu keluaran setem semasa Minggu Setem, set setem tersebut perlu ada Lembaran Mini.
 

Friday, November 30, 2012

Minggu Setem 2012

                         Gambar: Sebahagian setem Malaysia dibeli pada Minggu Setem 2012

Pada 21.11.2012, saya telah mengunjungi Minggu Setem 2012 yang diadakan di AEON AU2, Setiawangsa, Kuala Lumpur. Kali ini saya gembira dapat membeli beberapa keping Lembaran Mini dan setem sekitar tahun 2000 hingga 2005. Apa yang mengejutkan saya kali ini, ada gerai Pos Indonesia! Apalagi, saya pun membeli beberapa keping Lembaran Mini yang berharga RM2.00 dan RM4.00. Saya juga membeli satu lembaran setem Keluaran Bersama Indonesia-Singapura yang dijual dengan harga RM10.00 .

                           Gambar: Antara Lembaran Mini dibeli dari gerai Pos Indonesia

Sunday, October 23, 2011

Minggu Setem 2011

Pada 15.10.2011, hari Sabtu jam lebih kurang 3.30 petang, saya telah mengunjungi Minggu Setem yang diadakan di Sunway Pyramid, Selangor, Malaysia. Agak payah untuk saya ke sana disebabkan jauh sedikit dari pusat bandar Kuala Lumpur dan saya pula amat jarang saya ke Sunway Pyramid.

Pada minggu tersebut dilancarkan setem peti pos. Apa yang istimewa kali ini terdapat juga rantai kunci yang memaparkan gambar setem peti pos. Cantik.

Saya telah membeli beberapa setem yang belum digunakan lagi. Paling seronok saya dapat membeli setem yang dikeluarkan pada tahun 2000 yang masih tiada dalam koleksi saya. Ada juga lembaran mini yang dibeli walaupun sebelum ini saya fikir lembaran mini tersebut tidak akan dapat saya jumpa dan beli di pasaran. Terdapat Sampul Surat Hari Pertama diberikan percuma oleh Pos Malaysia setelah saya membeli seterm-setem tersebut.

       Gambar: Sebahagian setem-setem yang dibeli


Apabila saya membeli setem-setem tersebut, saya telah mendapat beberapa barangan filateli percuma sebagaimana gambar yang dipaparkan. Antara yang menjadi kesayangan saya, Sampul Surat Hari Pertama XXI IUFRO World Congress - Hutan dan Masyarakat: Peranan Penyelidikan yang dikeluarkan pada 7.8.2000 .

Gambar: Barangan filateli percuma yang diterima

Friday, December 17, 2010

Minggu Setem 2010

Pada hari Isnin 13 Disember 2010 jam lebih kurang 11.00 pagi saya telah mengunjungi Minggu Setem yang diadakan di Berjaya Times Squares, Kuala Lumpur, Malaysia. Hari tersebut merupakan hari pertama Minggu Setem! Tidak pernah selama ini saya hadir pada hari pertama Minggu Setem. Minggu Setem ini dijalankan selama seminggu.

Saturday, February 27, 2010

Minggu Setem 2009

Gambar: Sebahagian setem-setem yang dibeli pada Minggu Setem 2009.


Gambar: Sebahagian hadiah yang diterima daripada POS Malaysia.

Pada 12.12.2009, saya telah mengunjungi Minggu Setem 2009 Dataran Pahlawan Melaka Megamall yang diadakan di Banda Hilir, Melaka, Malaysia. Terdapat pelbagai setem dan lembaran mini yang dijual. Hadiah berupakan Sampul Surat Hari Pertama turut diberikan kepada pembeli setem. Terima kasih POS Malaysia!