28.2.15

Redah Eropah: Episod 3

Sesudah mendarat di Lapangan Terbang Stansted, kami segera menuju ke terminal bas. Tangan saya mula menggigil. Bukan kerana kesejukan namun sudah lebih jam 10:00 pagi dan saya masih belum menghirup kopi.

Mujur ada gerai Caffe Nero di terminal bas. Walaupun tidak seenak mana kopinya, namun cukup untuk mengubat ketagihan.

Kami mengisi perut bas National Express bersama para penumpang lain menuju ke stesen bas Victoria namun kami turun di pertengahan jalan. Lebih tepat, di Marble Arch. Gerbang putih masyhur yang tegak di percantuman Oxford Street, Park Lane, dan Edgware Road.

Marble Arch (Gambar ihsan Google)
Kami tidak bergambar di sini kerana lebih tertumpu untuk lekas tiba di hostel. Jadi terpaksa pinjam foto dari Google. 

Gerbang putih yang berusia hampir 200 tahun ini pada asalnya merupakan salah satu gerbang masuk di taman Buckingham Palace namun dipindahkan ke sini sekitar 1960-an. 

Kami sengaja berhenti di sini kerana mahu berjalan di sepanjang Hyde Park sambil menuju ke hostel. Barangkali tidak seindah musim semi atau musim panas, namun apa salahnya mengubat mata dengan hijau taman musim dingin.

Memang benar, pepohon pada musim panas tampak indah dengan daun nan merimbun. Hijau dan meredup. Namun saya sentiasa menganggap musim dingin mendedahkan sisi pepohon paling benar. Sirna daun, yang ada cuma dahan dan ranting paling seni. Pepohon melawan dingin kejur dengan yakin jujur.

Bukankah kita paling berani saat menjadi diri sendiri walau seisi dunia menafi?

Tiba di hostel, saya berlegar di luar sambil menanti mereka bertiga menyelesaikan urusan daftar masuk. Mereka bakal lena beralas tilam dan bantal. 

Saya? Malam kedua bermalam di lapangan terbang. Tapi itu kita cerita dalam episod lain.

Selesai mengemas kamar, kami memulakan langkah meneroka London. Sebelum berpusu-pusu dengan warga London di dalam keretapi bawah tanah, saya sempat singgah di pejabat pos. Kirim poskad, seperti biasa.

Saya mengambil keputusan untuk membawa mereka ke lokasi yang lazim dikunjungi di London untuk membeli-belah: Oxford Street, Picadilly Circus, dan Covent Garden. 

Kami di Covent Garden yang nampaknya masih bersisa dengan semangat Hari Natal. Dari kiri: Yin, Abemat, saya, Syahmi.

Yang turut diburu sepanjang hari bukan sahaja foto dan tempat yang bakal mereka serang untuk beli-belah, bahkan makanan yang sudah lama diidam sepanjang berada di Dublin:

KFC

Ya, Dublin tidak ada restoran KFC halal untuk kami rakusi. 

Sebaik cawangan KFC halal ditemukan di kawasan Tottenham Court Road, kami hampir meluru masuk namun berpura-pura tenang. 

Kami berhenti bergebang buat beberapa minit apabila hidangan di depan mata. Yang kedengaran hanyalah rangup tepung goreng sarat lemak dan bahan kimia yang tanpa gagal ditelan penuh nikmat. 

Oh ya, dan ayam.

Sesudah kekenyangan, kami sambung perjalanan ke Trafalgar Square. Yang akan saya ceritakan dalam episod seterusnya.

22.2.15

Redah Eropah: Episod 2

Penerbangan kami ke London berlepas pada jam 8:15 pagi.

Jadual seawal ini membuat kami bimbang lewat ke lapangan terbang dan ditinggalkan. Maklumlah, rumah bujang dengan satu bilik air dan empat penghuni. Mahu beratur menunggu giliran mandi pagi pun sudah mengambil masa.

Jelas kami masih tebal Melayunya, walau sedingin mana pun pagi, mahu disental jua tubuh dengan air suam.

Kalau dibikin seperti pemuda dalam Seniman Bujang Lapok atau mana-mana jejaka Eropah, pasti pantas waktu bersiap pagi. Hanya perlu sental mata dan berus gigi.

Jadi kami mengambil keputusan untuk tidur di lapangan terbang. Ironinya, dengan keputusan ini kami tidak akan mandi pun. Cuma mampu memastikan diri untuk berada di lapangan terbang tepat pada masanya.

Mujurlah Lapangan Terbang Antarabangsa Dublin agak selesa untuk bermalam. Banyak ruangan luas untuk berbaring, terutamanya di kawasan hadapan McDonald's yang sentiasa menjadi tumpuan para penumpang untuk melelapkan mata andai perlu berlepas pada awal pagi.
Nota:
Andai berkelana, anda boleh semak The Guide to Sleeping in Airports sama ada lapangan terbang yang bakal anda kunjungi sesuai untuk bermalam atau tidak. Hal ini penting andai penerbangan anda berlepas awal atau anda mahu menjimatkan kos penginapan untuk satu malam sebelum ke destinasi seterusnya. 
Laman sesawang ini memuatkan pengalaman yang dikongsi bersama para pengembara tentang lapangan terbang di seluruh dunia. Di Nice misalnya, saya dibantu oleh laman sesawang ini untuk mencari kerusi yang tidak berpalang dan sesuai dijadikan katil sementara. 
Ya, kadangkala anda akan terkesima tentang betapa rinci para pengembara berkongsi pengalaman. 

Kembali ke Dublin.

Kami tiba di lapangan terbang sekitar jam 11 malam. Kawasan hadapan McDonald's hampir penuh namun kami berjaya mendapatkan beberapa lajur kerusi untuk lena.

Kesemuanya tidur dengan aman, kecuali Redzmie atau panggilan mesranya Abe Mat (Abang Mat) yang masih sangsi tentang peluang kami berlepas pada awal pagi. Dia tega berjaga dengan minuman likat kafein Monster sebagai teman. Barangkali ada kaitan juga dengan fobianya pernah terlepas penerbangan sebelum ini.

Kalau menurut logik itu, seharusnya saya juga punya fobia yang sama. Entahlah.

8 Januari 2015

Mujurlah kami semua bangun awal keesokan paginya.

Sesudah membersihkan diri ala kadar dan solat Subuh di pinggir balai berlepas, kami bersama-sama dengan penumpang lain menunggu giliran mengisi perut kapal terbang.

Masing-masing cuma membawa satu beg galas kerana kelana yang singkat, termasuk saya yang berkelana lebih lama ke Rom dan Venice sesudah London.
Nota: 
Andai berkelana dengan pesawat, pastikan anda cuma membawa satu beg sahaja ke dalam pesawat kerana rata-rata syarikat penerbangan tidak membenarkan beg kedua terutamanya syarikat penerbangan tambang rendah. 
Lebih mudah andai anda memang hanya membawa satu beg untuk berkelana, jadi tidak ada beg yang perlu didaftar masuk. 
Hal ini akan menjimatkan masa kerana anda tidak perlu beratur panjang di kaunter daftar masuk bagasi dan dalam situasi anda terlewat ke lapangan terbang, anda boleh terus meluru ke gerbang berlepas tanpa perlu risau tentang bagasi. 
Syaratnya, bagasi harus sesuai dengan saiz yang ditetapkan. 
Sambil menunggu giliran, kami terlihat petugas RyanAir mula mengedarkan pelekat kuning untuk ditampal pada beg para penumpang.

Rupanya kami perlu juga mendaftarkan bagasi masuk ke ruang kargo. Kata petugas itu, ruang di dalam bahagian penumpang sudah terlebih muatan.

Berkelana dengan syarikat penerbangan tambang murah, begitulah adatnya. Ada saja karenah yang perlu dihadapi.

Kata orang, yang dibayar itulah yang dilayar.

Terkial-kial kami mengeluarkan beberapa gajet yang dibimbangi rosak saat dicampak semberono oleh staf lapangan saat beg kami dipindahkan kelak.

Sambil enjin pesawat mula menderam, dengkuran kami turut mendalam.

Jadi, saya akan sambung catatan ini saat kami mendarat di London.

Jumpa lagi!


3.2.15

Redah Eropah: Episod 1

Setelah berkira-kira, saya memilih Redah Eropah sebagai judul catatan kelana. Jujurnya, ini bukan travelog. 

Saya kurang gemar menggunakan istilah itu kerana bagi saya, travelog hanya ditulis oleh pengembara tegar yang penuh rinci mencatat dan mengingat setiap butir perjalanannya. 

Saya? Jauh sekali begitu. 

Yang saya rakam dalam Redah Eropah hanyalah cebis-cebis ingatan yang amat lemah, disulam dengan pemerhatian (dan barangkali khayalan) sendiri tentang manusia dan dunia sekeliling yang saya temukan sepanjang perjalanan. 

Satu lagi sebabnya, hashtag. Zaman kini manusia sudah tidak lagi bertentang mata andai bersua. 



Semuanya tentang media yang dihadap tekun di skrin sambil jari menari-nari menggantikan suara, mimik muka, dan rasa paling dalam di dada. 

Saya gembira sesudah mendapati #RedahEropah masih belum ada yang empunya. Bagi pengamal Twitter, hal sebegini penting. Maknanya, saya jadi pemula. 

Dan saya tidak pernah malu untuk mengaku diri sebagai generasi penyembah skrin. 

Zaman berubah. Manusia juga berubah. 

Seperti mana datuk nenek kita berasa janggal apabila ibu bapa kita mula berseluar bell-bottomed dan menjawab panggilan telefon cinta, begitu jugalah generasi kini dipandang serong kerana lebih cenderung berkomunikasi di alam maya. 

Cuma usah keterlaluan. Itu saja. 

Lihat? Betapa jauhnya saya menyimpang. Ini satu lagi sebab catatan kelana saya tidak muat dikongsi di Instagram. Semuanya mahu dibebel dan dikisah panjang-panjang. 

Ada yang bertanya, mengapa tidak ditulis di Facebook, seperti kisah-kisah pendek terdahulu?

Saya sudah lama berputus asa dengan Facebook. Entah kenapa. Hanya diakses sekali-sekala andai ada pesanan penting dari sesiapa. Jadi di sini (dan Instagram) sajalah tempat saya berceloteh. 

7 Januari 2015

Oh, ya. London. 

Melayu tipikal, bukan? Semuanya harus bermula di London. 

Begitulah manisnya ironi kecintaan kita kepada mantan penjajah yang menjarah isi bumi kita dahulu. Kini kita berlumba-lumba ke sana mencurahkan wang kepada mereka, kerana masih belum cukup harta nenek moyang kita dilicinkan dahulu. 

Sekali-sekala megah menunggang kuda nasionalisme, apa salahnya? Sesudah puas, kita turun dan tambat kuda di tiang sedar. Kemudian ketawa sepuas-puasnya. 

Saya ke London, kalau tidak silap, untuk kali ketiga. Kali ini bersama Syahmi, Hizrin, dan Redzmie. Tiga orang rakan serumah di Dublin. 

Namun saya bersama mereka sehari saja. Lorong kami mencapah di sini. Mereka bertiga ingin meneroka London sambil membeli-belah sebelum pulang ke Malaysia.

Saya pula menunggu penerbangan murah ke Venice pada hari berikutnya. Kalau terbang terus dari Dublin, terlalu mahal harga tiketnya. 

Namun itu tidak bermakna saya tidak mampu menggila bersama mereka di sini untuk sehari. Tambahan pula, mereka masih belum berkesempatan mengembara di London dengan teliti. 

Syahmi pernah ke sini untuk sebuah konsert pada musim panas lalu. Hizrin di sini buat kali pertama. Jadi saya dan Redzmie jadi pemandu pelancong amatur yang harus diturut penuh was-was. 

Saya akan sambung Episod 2 di Lapangan Terbang Antarabangsa Dublin. Terima kasih pada yang sudi membaca. 

Ruang ini bukan sahaja untuk kelana musim sejuk saya sebelum pulang ke Malaysia, namun jua memuatkan pengalaman saya sebesar hama, setahun di kota Dublin dan beberapa kota di Eropah yang sempat saya singgahi sepanjang tempoh itu. 

Jumpa lagi!

Kembali

Alangkah ruginya andai kembara Eropah ini tidak dicatat.

Itulah yang terlintas di benak saya setiap kali amaran caption too long muncul di Instagram kerana catatan pada gambar terlalu panjang. Ruang yang terhad untuk saya bercerita tentang #knb40days di Instagram membuat saya akur dan bangun menumbangkan kemalasan. 

Selepas tujuh bulan koma, Salah Taip kini bernafas semula. 

Untuk catatan pertama, saya akan mulakan dengan perjalanan singkat saya ke London bersama teman-teman serumah sebelum ke Rome. 

Nantikan!