Showing posts with label sastera. Show all posts
Showing posts with label sastera. Show all posts

12/22/12

( Noli Me Tegere : Jangan sentuh aku) Jose Rizal


Bab 50 : Cerita Elias




"Lebih kurang 60 tahun lalu datuk saya tinggal di Manila. Bekerja sebagai penyimpan kira-kira di pejabat seorang pedagang Sepanyol. Pada waktu itu dia masih sangat muda, meski telah berkahwin dan memiliki seorang anak lelaki. Pada suatu malam gudang pedagang itu kebakaran tanpa diketahui apa penyebabnya. Seluruh bangunan di makan api, yang juga menjalar ke sekitarnya. Kerugian yang diderita sangat besar. Kambing hitam harus dibekuk dan pedagang itu menuduh datuk saya. Sia-sia dia menyangkal telah melakukannya. Kerana miskin, dia dijatuhi hukuman, diarak-arak sepanjang jalan di Manila dan dipukul di muka umum.

 "Hukuman yang merendahkan darjat manusia ini, yang seribu kali lebih buruk daripada mati, belum lama berselang masih dijalankan orang. Datuk saya yang sudah tidak lagi dipedulikan oleh sesiapa pun,kecuali isterinya yang masih muda, diikat di atas punggung kuda, diiringi orang ramai yang tak berperikemanusiaan dan dipukul di setiap sudut jalan, di muka rakyat sesama saudaranya dan dekat patung-patung Jesus Maha Pengasih yang bertebaran itu. Ketika datuk yang malang itu telah diberi malu untuk selama-lamanya dan sudah puas orang melihatnya, baru dia dilepaskan dari kuda itu. Dia tidak lagi sedarkan dirinya - mengharap mati sahaja. Kekejaman yang terpulas halus : dia dibebaskan! Isterinya yang sedang hamil, sia-sia mencari pekerjaan atau minta sedekah dari rumah ke rumah untuk suaminya yang sakit dan anaknya yang tak berdaya. Tetapi siapa pula yang menaruh kepercayaan kepada isteri pembakar yang sudah dijatuhi hukuman? Kemudian dia menjadi pelacur."

 Ibarra bangkit dari duduknya.