Memaparkan catatan dengan label berjaya. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label berjaya. Papar semua catatan

16 Nov 2013

Anda 5A UPSR?

..السلام عليكم و رحمة الله و بركات

Salam sejahtera, semua..

Keputusan UPSR 2013 telahpun diumumkan pada Khamis, 14 November 2013. Kepada yang mendapat 5A, tahniah atas kejayaan anda. Kepada yang tidak mendapat 5A pun, tahniah juga diucapkan kerana telah berusaha sedaya-upaya, namun rezeki belum memihak kepada anda. Mungkin pada masa depan? InsyaAllah..



UPSR bukanlah segalanya wahai adik-adikku sekalian. Gagal mendapat 5A bukanlah bermaksud gagal selamanya. Sepanjang perjalanan hidup saya selepas UPSR sehingga kini, betapa ramainya rakan saya yang tidak berjaya mendapat 5A dalam UPSR, namun pada hari ini mencapai kejayaan yang tersendiri. Ada rakan saya yang sama sekolah rendah dulu hanya mendapat 3A 2B, belajar betul-betul pada PMR, dapat ke sekolah berasrama penuh. Ada rakan sebaya saya yang dulu dapat 4A 1B, kini belajar di USA, bakal menggenggam ijazah dalam bidang kejuruteraan pada tahun depan. Ada rakan saya yang mendapat 4A 1C pada UPSR dulu, bakal menjadi ahli farmasi yang berjaya. Ada juga yang mendapat keputusan UPSR yang jauh lebih buruk, kini menjadi ahli perniagaan yang berjaya. Percaya atau tidak? Rezeki itu rahsia Allah. Apa-apapun, berbaik sangkalah dengan ketentuanNya. Mungkin ada hikmah yang tersurat dan tersirat.

Alhamdulillah, Allah telah memberi rezeki kepada saya untuk mendapat 5A UPSR pada tahun 2004. Masa tu, saya dapat hadiah basikal lumba ala-ala Le Tour de Langkawi, berharga lebih kurang RM300. Syukur tak terkata. Hadiah itu mendorong saya berusaha lebih keras dalam peperiksaan-peperiksaan yang lain. Kecoh satu Malaysia bila mendengar berita pada Khamis lepas, yang mana ada seorang pelajar cemerlang UPSR dihadiahi kereta mewah oleh bapanya sebagai hadiah kecemerlangannya. Ayuh baca sedikit ulasan dari halaman Facebook 'I Love Kelantan':



Anak Kelantan : KISAH PENJUAL AYAM YANG JUTAWAN.

Kecoh seluruh negara dan menjadi trending no 1 di media sosial Malaysia ketika ini mengenai isu seorang bapa memberi Hadiah sebuah kereta Mini Cooper untuk anaknya yang mendapat keputusan cemerlang 5A iaitu adik Fatini daripada SK Zainab 2 , Kota Bharu.

Lagi tergamam, situasi ini terjadi disebuah negeri nun jauh di pantai Timur yang seringkali dimomok-momokkan sebagai negeri paling Miskin di Malaysia. 

Ya benar, kejadian ini berlaku di Kota Bharu. Ayahnya hanya seorang penjual ayam, belajar sehingga SPM sahaja tapi berkat usaha dalam perniagaan mampu memberi dan menukar status keluarga mereka daripada miskin kepada golongan yang mempunyai masa depan.

Saya turut sedih membaca setiap komen di facebook yang mengutuk bapa Fatini yang menyamakan kes ini sebagai tidak masuk akal, megarut, menunjuk-nunjuk, membazar dan sebagainya. Biasalah, orang Melayu Malaysia memang terkenal dengan sikap dengki, suka mengutuk jika orang lain lebih daripadanya.

Ada komen seperti " Alah, jual ayam je pun. Aku belajar sampai degree, jadi pegawai kerajaan hanya mampu pakai Myvi. Gile nak menunjuk bapak dia ni "

Saya yang membaca komen sebegini turut luruh air mata menunjukkan masyarakat Melayu kita benar-benar kritikal mengenai isu moral. Langsung tiada adap, mahupun akal yang waras walaupun mempunyai ijazah.

Ayah Fatini hanyalah anak Kelantan yang langsung tidak cemerlang , result UPSRnya adalah 4D1E sahaja bukan seperti anda mempunyai ijazah. Tetapi berkat usaha beliau bangun seawal jam 4 pagi, terus ke kedai menyembelih beratus-ratus ekor ayam untuk dijual dihampir seluruh Kelantan . Siapa yang kerja seperti ini, bergelumang dengan bau tahi ayam setiap hari, kena sembelih ayam , potong ayam dan sebagainya.

Ayahnya juga bukan seperti anda, log in FB tengok orang berjaya dan buat 'benda pelik' sedikit terus kutuk, maki tanpa rasa belas. Ayahnya cuma penjual ayam tetapi jutawan. Itu sahaja.

Anda bekerja makan gaji dengan gred 41 pun belum mampu untuk menjadi jutawan sekiranya sikap anda yang seringkali menyangkal kejayaan orang lain.

Yang peliknya, orang kaya dan ahli politik yang secara terang-terangan salah guna duit kerajaan dan memberi kemewahan kepada anak mereka tidak pula anda maki sehebat dugaan yang diterima oleh ayah Fatini ini. Niat ayah Fatini cuma satu, berkongsi rasa gembira dengan kejayaan anak sulungnya yang cemerlang dengan penuh rasa syukur.

Kepada anda yang mempunyai ijazah ataupun kelayakan iktisas yang lain, saya cabar anda untuk gantung sijil graduasi anda di dinding dan menjadi seorang penjual ayam seperti usaha yang ayah Fatini lakukan ini. Kita lihat hasilnya.

Inilah kisah seorang anak Kelantan menjadi jutawan hanya dengan menjual ayam.

Nukilan oleh : Pok Dogo
Untuk I LOVE KELANTAN.



Mari kita lihat dari sudut yang positif. Bukanlah saya mengampu apatah lagi dibayar oleh jutawan berkenaan untuk menulis berkenaan perkara ini, namun sebagai seorang pelayar tetap media sosial saban hari, ada beberapa perkara yang saya lihat tidak baik dalam komen kebanyakan pengguna media sosial.

Pertama, orang kita memang tak boleh tengok orang lain 'lebih'. Anda faham maksud saya? Asal miskin, dikatakan malas berusaha. Asal kaya, pelbagai tohmahan dan cacian dilempar oleh mereka yang tidak senang melihat kejayaan orang lain. Cubalah kita husnudzon (bersangka baik) dengan orang lain. Di hati mereka hanya Allah yang tahu. Mengambil kisah hadiah UPSR ini sebagai contoh, mungkin si bapa hanya mahu menunjukkan rasa sayang kepada anaknya, lebih-lebih lagi setelah anaknya mendapat kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan. Siapakah kita untuk menghukum atau menilai? Allah sahaja yang tahu apa yang terbuku dalam hati bapanya.

Kedua, Mungkin ada sesetengah pihak mengatakan bahawa si ayah ingin menunjuk-nunjuk dengan memberi hadiah di sekolah. Baiklah, mungkin tempat yang dipilih untuk menyampaikan hadiah adalah kurang sesuai kerana mungkin menimbulkan rasa cemburu di dalam hati pelajar lain. Mungkin si ayah teruja sehingga terlupa untuk mengambil kira hal tersebut. Maafkanlah dia, dia juga manusia biasa.

Hadiah kereta mewah membazir? Lebih baik duit itu diinfaqkan ke jalan yang diredhai Allah? Ya, memang bagus menginfaqkan harta ke jalan yang Allah redha. Namun, ada siapa yang tahu, dah berapa banyak harta si ayah yang didermakan kepada mereka yang memerlukan? Jadi, tolonglah jangan buat andaian buruk sedemikian.

Biarlah dikatakan anaknya belum mempunyai lesen kerana berusia 12 tahun. Mungkin usia yang masih muda itu agak kurang sesuai untuk adik Fatini menerima hadiah sebuah kereta. Para pembaca harus ingat, 5 tahun lagi, adik Fatini bakal layak untuk mendapat lesen pandu kereta. Dalam tempoh 5 tahun ini, mestilah ayah atau ibu adik Fatini yang bawa kereta tu. Mungkin dengan hadiah ini, Fatini bakal menjadi lebih bersemangat dalam pembelajarannya di sekolah menengah? Mudah-mudahan begitulah. Saya doakan Fatini bakal meneruskan kecemerlangannya dalam pembelajaran selepas tamat sekolah rendah. Salah seorang permata negara, jangan disia-sia.

Penyakit dengki amat sukar dikikis dalam diri kita. Siapakah yang tahu kegigihan adik Fatini dalam berusaha demi mencapai kejayaan yang diidamkan? Usahlah berfikiran negatif, sebaliknya ubahlah diri, fikir dengan cara yang lebih baik. Husnudzon, itu yang dianjurkan oleh Islam. Biarlah kita jauh lebih dewasa daripada adik Fatini, tapi ambillah iktibar dari kisah kejayaan ini. Sekali lagi, rezeki itu rahsia Allah. Mungkin kita akan dapat rezeki yang tidak disangka setelah mendapat kejayaan dunia? Campakkan rasa ego "aku dah lebih makan garam" itu jauh-jauh. Sebaliknya, usahalah dan banyakkan doa kepada Allah S.W.T.. Apa kata amalkan Solat Dhuha? Rahsia murahnya rezeki..

Kesimpulannya, janganlah suka cari silap dan salah orang lain. Kalau hati dah tak suka, ada saja yang tak kena. Berdoalah supaya kita dijauhkan dengan fikiran sebegini. Punca timbulnya iri hati dan dengki.

Satu lagi kisah menarik sekitar keputusan UPSR 2013 adalah kejayaan seorang calon Orang Kelainan Upaya (OKU), adik Amir Zuhaidi dari Ketereh, Kelantan yang berjaya mendapat 5A dalam UPSR.

SEORANG bapa, Razali Harun, 45, yang berkerja sebagai buruh binaan dengan gembira terus menggendong pulang anaknya Amir Zuhaidi Razali, 12, yang mendapat keputusan cemerlang 5A dalam UPSR 2013 untuk memberitahu kepada ahli keluarga lain di Kampung Hutan Pasir, Ketereh. Amir, murid Istimewa Orang Kelainan Upaya (OKU) Sekolah Kebangsaan (SK) Ketereh mengalami kecacatan kaki kiri akibat kemalangan. Kredit Harian Metro.

Tersentuh hati ini bila melihat gambar di atas. Sebak terasa melihat wajah bangga seorang bapa. Ternyata kekayaan dunia bukanlah segalanya, namun kekayaan budi dan hati tidak ternilai. Kasihnya seorang bapa kepada anaknya. Meskipun tidak mampu memberi kekayaan dan kesenangan harta, namun kasih sayang adalah segalanya. Tiba-tiba rindukan abahku di rumah. Semoga sentiasa sihat walafiat.

Di sini kita melihat dua kes yang berbeza. Kejayaan yang sama, namun dalam latar belakang keluarga yang berbeza. Status kewangan dan kesihatan bukanlah penghalang untuk berjaya. Biarlah apa yang anda semua nak kata kepada dua orang adik yang berjaya dalam UPSR ini, tapi saya harapkan mereka akan terus cemerlang di dunia dan akhirat, dan menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Semoga menjadi anak soleh dan solehah. Ilmu yang ada jangan disia-sia!


"Kadang-kadang Allah sembunyikan matahari,
Dia datangkan hujan petir.
Kita bersedih dan tertanya tanya ke mana hilangnya matahari
Rupa-rupanya Allah nak hadiahkan kita pelangi yang indah. "


Sekian dahulu coretan dari saya, semoga kita dapat mengambil pengajaran, dan terima kasih kerana membaca..

15 Sep 2011

EPISOD 1: Corat-Coret USM-KLE

Assalamualaikum, salam sejahtera, salam 1 Malaysia.

Dah lama aku tak update blog ni, gara-gara kesibukan yang memanjang. Bermula 6 September, aku telah meninggalkan rumahku yang tercinta demi meneruskan kehidupan aku ke satu lagi tingkat kehidupan, iaitu menjadi seorang mahasiswa. Bermula dengan Program Siswa Lestari di Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan di Kubang Kerian, Kelantan, hingga 9 September 2011.



Ape je yang kitorang (budak USM-KLE) buat kat sana? Orientasi macam biasa je.. Campur sama-sama dengan bebudak USM kampus Kubang Kerian, cuma banyak kelonggaran, kurang sikit stres. Hehehe.. Yang paling best, ada barbeku. Kira macam jamuan raya la. Makan sikit je, sebab dah makan masa dinner. Yang ni pun best jugak:


'Duit raya' MARA bagi... Tapi ni untuk 6 bulan kat India taw!

Tapi yang mesti korang tak sangka kan, semuanya tak semudah yang disangka. Kita hanya merancang, Allah yang menentukan. Kami mendapat berita yang sangat tidak enak untuk kami yang berhati besar untuk terbang ke India pada keesokan harinya. Majlis Perubatan Malaysia (MMC) baru beri arahan menerusi faks bahawa hanya 70 orang daripada kami yang akan terbang dahulu. Sedangkan kami ada 91 orang. Ada yang akan terpaksa digugurkan buat sementara. Untuk pengetahuan korang, ada beberapa kategori lulusan dalam program ini, iaitu dari peringkat A-Level, International Baccalaureate (IB), South Australian Matriculation (SAM) dan juga STPM / Matrikulasi / Asasi. Oleh sebab pelajar A-Level dan IB dah ditaja oleh MARA sejak 2 tahun lepas, maka mereka diberi keutamaan untuk ke India. Mangsa penggugurannya sape? Kami, budak STPM / Matrikulasi / Asasi.


Aku terlalu risau!

Keadaan serta merta menjadi tegang, sebab masing-masing dalam tekanan. Masing-masing ada sebab tersendiri untuk kekal ke India mengikut perancangan asal, bukannya tertunda, termasuklah aku. Aku kira kes berat jugak, sebab ibu bapa aku anggota keselamatan negara, susah nak dapat cuti. Keluarga aku dah berkumpul kat Pahang, ramai saudara yang ingin turut sama. Apabila ditanya tentang siapa pelajar yang tinggal di Kelantan, aku mengaku. Mereka bertanya kepada aku, relakah aku tinggal di sana? Aku rela, cuma ada kekangan yang lebih utama, telah aku jelaskan sebelum ni.

Kembali kepada kupasan tersebut, dalam hal ni, takde sape yang salah, masing-masing sudah buntu. Namun, ada juga yang berhati mulia, menarik diri demi memberi laluan kepada kawan-kawan lain. Harapnya Allah akan mengurniakan hajat anda untuk terbang nanti, insyaAllah.

Mekanisma pengundian macam ni tau. Cabut satu kertas yang dah digulung dalam beg kertas, akan ada tertera perkataan di situ. 'STAY' bermakna terpaksa tinggal di USM lagi buat seketika, dan 'X' bermakna tidak tinggal di USM, dan akan ke India mengikut perancangan asal. Alhamdulillah, Allah dengar doa aku dan keluarga, aku berjaya mendapatkan 'X'!


Maka hilanglah perasaan cemas dalam diri aku, tapi satu lagi perasaan lain muncul dalam fikiran aku - rasa KEHILANGAN. Kenapa? Sebab keluarga besar kami seramai 91 orang tidak akan lengkap buat seketika. Beberapa orang rakan yang agak baik yang baru aku kenal dan sudah lama kenal, tidak dapat turut serta, menambahkan lagi perasaan tidak baik itu. Tapi apakan daya, takdir telah tertulis bahawa penyatuan kami harus menunggu masa. Bilakah masanya akan tiba? InsyaAllah dalam masa terdekat. Aku sentiasa doakan bahawa mereka akan segera hadir ke Belgaum!!!!! Aku rindu dengan mereka...

Baiklah, tamat sudah episod di USM Kubang Kerian. Nantikan episod seterusnya, di mana aku akan bagitau tentang perjalanan aku ke India.

Yakinlah kepada kebenaran, sesungguhnya kejayaan bakal menjadi milik anda!

5 Sep 2011

INDIA! Here I Come...

Assalamualaikum, salam sejahtera, salam 1 Malaysia.

Aku rasa, sudah tiba waktunya untuk aku melabuhkan tirai pengemaskinian blog aku, sebab beberapa hari lepas ni, aku akan sibuk sangat, sebelum aku berterbangan ke India, untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan. Mungkin tak sempat nak online dah.



Jadual waktu aku bermula esok, 6 September 2011, hingga 12 September 2011: [sori kalau blur]

6, 7, 8 September

9, 10, 11, 12 September

Mulai 6 September, aku akan berorientasi la, sebelum aku mula belajar pada 13 September 2011 (mungkin.. aku agak-agak je ni). Orientasi Fasa 1 akan diadakan di USM Kubang Kerian (15 minit je dari rumah aku), dan Orientasi Fasa 2 akan diadakan di India la. Harap-harap tak kena buli!!!!


Harapan aku cuma satu, agar segala-galanya berjalan lancar dan selamat. Kalau aku tak sempat online tu, kalau komen tak berbalas tu, faham-faham lah. Mungkin aku sibuk sangat, tapi aku akan cuba yer.

Doakan aku supaya baik-baik saja kat sana, supaya aku boleh fokus untuk belajar di sana nanti. Jadi seorang pelajar perubatan ni bukan mudah, nampak je senang yer. Tapi kalau kita fikir susah, maka susahla jadinye. Supaya kecemerlangan yang diidamkan berada dalam genggaman, 5 tahun lagi.

Alhamdulillah, akhirnya termakbul juga hasrat aku dan keluarga untuk belajar dalam bidang perubatan. Belum apa-apa lagi, kawan-kawan dan kaum keluarga dah mula panggil aku 'Doktor'. Segan la pulak. Rasa berbesar hati pun ada jugak. Rasa berlagak tu jauh sekali, dan mintak jangan ada sikit pun dalam hati aku.

9 September, pukul 10.10 malam, insyaAllah aku akan berlepas ke India. Apa-apa perkembangan, aku akan maklumkan di Facebook, Twitter dan juga di blog ini. Tak sabar dah ni nak naik flight untuk kali pertama!!!

Usah putus asa, kelak kau berjaya membela nasibmu, masamu akan tiba.

27 Jul 2011

Ke Luar Negarakah?

Assalamualaikum, salam sejahtera, salam 1 Malaysia.


Hari ni... 27 Julai 2011, bakal menentukan kursus apa yang akan aku ambik lepas ni. Masalahnya, aku dapat dua tawaran kan. Pertama, ke UiTM Puncak Alam, kedua ke India, belajar medic, bawah USM. Semestinya, aku nak masuk medic, sebab cita-cita aku nak jadi doktor... Tapi, adakah hasrat aku tu akan berjaya? MARA yang bertanggungjawab, sebab MARA akan sponsor pengajian aku, 400 ribu tu untuk lima tahun! Kalau aku dapat MARA, aku akan ke India la jawabnya. Jadi, aku dapat tak ni? Tengok perkataan 'MARA' yang akan tertera kat bawah ni, sama ada MERAH atau HIJAU. Kalau merah, maknanya tak dapat la. Kalau hijau, maknanya dapat. (Macam rancangan Jangan Lupa Lirik pulak.. Haha.. Scroll la ke bawah ek. Hehe...)













































































MARA

Alhamdulillah... Allah makbulkan doa aku, keluarga, cikgu-cikgu dan kawan-kawan sekalian. Termakbul juga hasrat aku untuk dapat medic, dan ke luar negara. Untuk pengetahuan semua, aku dah lama padam hasrat aku ke luar negara, sejak masuk PASUM. Aku dah bertekad untuk belajar di Malaysia je. Dah lama pasrah dan redha dengan ketentuan Allah.  Tebalnya perasaan rendah diri sewaktu semester 1, sehingga merosakkan result sendiri, sebab masih sukar untuk terima hakikat pada masa tu, bahawa aku tak dapat ke luar negara. Tapi sedikit demi sedikit, aku meraih kekuatan dalam diri aku.. Berkat usaha sendiri dan bantuan kawan-kawan, alhamdulillah, aku berjaya bangkit semula pada semester 2, walaupun hanya sedikit peningkatan ditunjukkan. Kalau tiada peningkatan tu, tak mungkin aku akan dapat tawaran ke luar negara.


Kenapa tak mungkin? Sebab syarat untuk memohon ke program USM-KLE ni, memerlukan PNGK minimumnya 3.50, MUET Band 4. Semester 1, aku dapat hanya 3.44, tak layak kan? MUET aku dah Band 4.. Tapi, aku masih tak berputus asa.. Sebelum peperiksaan semester 2, aku memohon untuk program tu. Aku tak menaruh harapan tinggi, dengan niat, nak test power je. Aku sedar, pointer aku tak seberapa. Tapi, aku masih tak berputus asa. Keputusan semester 2, aku dapat PNGK 3.55. Tak la segempak kawan-kawan lain di PASUM, yang ramai jugak kawan baik aku dapat 4.00. Sedih jugak la, tapi nak buat macam mana, aku pasrah je. Aku dah berusaha sedaya-upaya, dah banyak kudrat, keringat yang digunakan. Ada kalanya, air mata ada sesekali menitis, bukan tanda putus asa.


Result yang biasa sahaja tu menyebabkan aku terlupa bahawa aku pernah mohon program tu. Sehinggalah pada suatu hari, awal bulan Julai, pihak USM hantar SMS kat aku, kata aku dapat temuduga. Sekali lagi, apabila dapat tahu, aku takde la gembira sangat, sebab aku tahu result aku biasa-biasa saja. Kalau dapat tu, kira macam rezeki dan keajaiban la. Aku pun berniat pada awalnya, nak ke temuduga tu, untuk mengutip pengalaman temuduga. Lagipun, apabila aku tengok kos belajar kat sana, dalam 400 ribu hengget Malaysia untuk lima tahun, aku rasa macam serba salah. Kalau takde tajaan, nak pergi macam mana. Family aku bukannya kaya pun.


Sehinggalah pada hari temuduga tu, aku diberi borang pinjaman pelajaran MARA, di situ mula terbitnya harapan aku untuk program ni. Ibarat mati hidup semula. Ibarat bakal diberi peluang kedua, setelah kegagalan untuk mencapai keputusan yang terbaik di PASUM. Harapan aku hanya satu, agar ditawarkan program tu.


Jumaat, 22 Julai 2011. Aku dapat tawaran dari UPU, ke UiTM Puncak Alam, kursus Optometri, iaitu pilihan ke-8 aku. Alhamdulillah, sangkut jugak, sekurang-kurangnya tak la kena lelong, macam ramai kawan aku kena tahun ni. Walaupun PNGK mereka lebih tinggi atau setara, ada jugak yang kena lelong. Sistem UPU tahun ni menimbulkan kemusykilan. Aku dah cukup bersyukur ditawarkan kursus Optometri. Tapi, ada kawan aku hantar mesej pulak, selang 5 jam kemudian, katanya suruh check keputusan interview hari tu. Aku check, dan alhamdulillah, dapat tempat di sana. Tapi, persoalan masih ada, MARA nak taja ke tak ni? Baru je sebelah kaki aku kat India kalau macam nih.


Dari hari tu hingga hari ni, aku tak henti-henti berharap agar pihak MARA sudi taja aku. Harapan aku bertukar menjadi realiti hari ni! Alhamdulillah, kalau dah rezeki tu tak ke mana. Mungkin Allah berikan ujian kepada aku masa asasi, nak suruh aku rasa macam mana berada di bawah, selalunya aku hanya berada di zon selesa aku je. Allah nak uji aku ni boleh sabar ke tak. Kesabaran aku tu berbaloi, aku tak pernah putus harapan. Terima kasih kepada keluarga, pensyarah, tutor dan kawan-kawan (nak sebut kat sini ramai sangat) yang beri dorongan kat PASUM dulu... Jasa anda akan aku kenang sampai bila-bila.






Ok, dah habis part serius. Jadi, tolak campur tinggal 44 hari sahaja lagi aku di Malaysia oh tanah airku ni.. InsyaAllah aku akan fly pada 9 September nanti kat KLIA, ke India, tapi daftar dulu kat USM Kubang Kerian, Kota Bharu (wahhhhh.. jauh 'sangat' dari rumah aku) nanti 6 September. Orientasi kejap je. Sape yang ada kelapangan tu, bolehlah datang kat sana, jumpa aku. Tapi kalau tak datang pun, aku faham. Masa aku nak fly tu, dah malam. Lagipun, ramai kawan aku yang baru je daftar kat U masing-masing, masuk ijazah... Tapi harap dapat jumpa korang untuk kesekian kalinya sebelum aku fly, ek?


44 hari ni akan jadi sangat sibuk untuk aku. Dari segi fizikalya, aku sudah sedia, dari segi mental pulak dah sedikit bersedia, dari segi materialnya belum sedia apa-apa lagi. Pasport, visa, barang-barang belum ada la... Macam mana tuh? Pening pulak kepala aku ni jawabnye. Tapi yang best, kena turun KL lagi, buat visa. Sambil menyelam minum air kan, so boleh jumpa kawan-kawan lagi yang stay kat sana... Boleh shopping raya sekali, mungkin. Nak kena melawat ASiS lagi, kena bagitau la cikgu-cikgu, nanti diorang merajuk dengan aku karang, tak pasal-pasal.. Hehe.. Cikgu aku dulu pesan suruh pergi sana dulu kalau nak fly.


Jadi, aku memohon kesempatan ni, nak ucapkan tahniah kepada kawan-kawan aku yang berjaya dapat program macam aku ni, dengan pesanan, JOM PEGI INDIA!

Bakal doktor,
Rashdan Roslan